SAYA membaca tulisan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di dalam blognya yang mempertikaikan ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berhubung hukum bagi orang Islam menyertai perayaan hari Krismas. Saya juga menonton rakaman video kuliah Ustaz Khalil yang disiarkan oleh Malaysiakini dan dijadikan tajuk berita beberapa portal online.

Ringkasnya, berhubung sambutan krismas, Ustaz Khalil menyatakan tiga perkara penting:

1. Diharamkan kepada umat Islam menyertai perayaan hari Krismas yang mengandungi unsur-unsur syirik kerana Krismas ialah merupakan perayaan agama. Akidah Kristian yang berkonsepkan trinity jauh berbeza dengan akidah Islam yang mentauhidkan Allah SWT.

2. Berhubung hukum mengucapkan selamat hari Krismas, Ustaz Khalil menyatakan, “Adapun jika kita nak ucap kepada mereka, ada ulama kata, di sana ada tempat yang diizinkan pada had dan batas yang tertentu. Contohnya kalu jiran kita orang Kritsian, takpelah kita rai ke dia, royat ke dia, selamat hari raya mung lah…”

3. Manakala berhubung mengucapkan selamat hari Krismas pada situasi yang tiada keperluan, beliau menyatakan, “Adapun kalau kita saja-saja nak sebut hari ni kan, dalam facebook dalam twitter, pergi sebut “kita mengucapkan Selamat Hari Krismas, selamat hari raya untuk orang Kristian, jangan.. seolah-olah kita redha dengannya..”

Justeru, apabila Lim Kit Siang mengulas pandangan Ketua Pemuda PAS itu dengan menulis, “Malaysians are presented with the most shocking example of the vicious and toxic politics of lies, hate, fear, race and religion to destroy Malaysia as a tolerant, harmonious and successful plural nation of diverse races, religions, languages and cultures with the primitive warning by the PAS Youth leader and son of PAS President, Mohamad Khalil Abdul Hadi to Muslims not to celebrate Christmas tomorrow or to post Christmas greetings on Facebook because the Christian celebration is against the teachings of Islam and that there should be any acknowledgement of the Christian religion..” saya nampak bahawa Lim Kit Siang sedang memperlihatkan kebimbangannya yang teramat sangat kepada PAS sehingga menabur tohmahan sedemikian rupa.

Jelas sangat ketakutannya kepada Presiden PAS apabila tanpa segan silu terus mendakwa bahawa pandangan Ketua Pemuda PAS itu ialah kerana terkesan dengan apa yang dinamakannya sebagai Amanat Haji Hadi 2 apabila dia menulis, “Is this to be Hadi Amanat2 to spearhead the vicious and toxic politics of lies, hate, fear, race and religion to destroy Malaysia as a tolerant, harmonious and successful plural nation of diverse races, religions, languages and cultures?”

Apa yang salahnya dengan isi kuliah Ustaz Khalil tersebut? Jika pada isi yang pertama iaitu orang Islam dilarang menyertai perayaan agama Kristian, ia sudah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini di mana jelas menyatakan bahawa adalah haram bagi umat Islam menyertai perayaan agama lain jika mengandungi unsur syirik. Lim Kit Siang boleh membuka pautan berikut : http://www.islam.gov.my/…/115-garis-panduan-orang-islam-tur… yang menyebut:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan:

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

Adakah Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan kerana terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi? Bahkan Mufti Perlis, Dato Dr Asri Zainal Abidin juga menyatakan perkara yang sama ada tahun 2010 dengan menulis, “Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain…” (Rujuk : http://drmaza.com/home/?p=1277)

Adakah Mufti Perlis sedang terkesan dengan Amanat Haji Hadi?

Isi kuliah yang kedua, berhubung mengucapkan Selamat Hari Krismas, Ustaz Khalil telah menyatakan dengan jelas dan terang bahawa terdapat pandangan berbeza para ulama berhubung isu ini. Bahkan beliau menyebut dengan jelas kesederhanannya berhubung perkara ini apabila menyatakan situasi di mana jiran kita orang Kristian, tiada masalah mengucapkan tahniah di atas kegembiraannya hari ini dengan tidak beriktikad kebesaran hari Krismas. Manakala pada perkara yang ketiga iaitu mengucapkan Selamat Hari Krismas pada situasi yang TIADA KEPERLUAN, di sinilah beliau mengajak para pendengar agar berhati-hati dan mengelakkan perkara tersebut kerana dibimbangi terlibat dengan unsur membesarkan Hari Krismas.

Di tengah-tengah ramai mufti yang membolehkan ucapan tersebut dengan pesanan agar tidak membesarkan Hari Krismas, bukan tidak ada cendikiawan Muslim yang menegah terus ucapan tersebut dan mereka tentu sekali bukan terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi. Saya sertakan pautan petikan kuliah Dr Kamilin Jamilin untuk diikuti dengan Lim Kit Siang (https://www.facebook.com/1743258955902336/videos/2114383548789873/) yang sama sekali tidak bertolak ansur berhubung haramnya mengucapkan Selamat Hari Krismas. Saya yakin ramai mengenali beliau sebagai seorang yang tidak menunjukkan kecenderungan jelas kepada PAS.

Jika saya sertakan pandangan dari tokoh agamawan yang kelihatan pro-PAS, sudah pasti secepat kilat pengikut Lim Kit Siang akan segera menyatakan bahawa mereka semua terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi.

Kesimpulannya, terdapat perbezaan pandangan para ulama di dalam isu ini. Tidak mengucapkan selamat hari Krismas tidak menyebabkan anda kurang bertoleransi dan mengucapkannya pula tidak berhak untuk dilabel sebagai kurang ‘Islam’. Seorang muslim yang berpegang kepada satu nilai yang berada dalam ruangan khilaf sudah tentu tidak berhak menyatakan muslim lain yang berbeza sebagai kurang agamanya. Dalam hal ini, percubaan Lim Kit Siang agar PAS melabel Presiden Turki sebagai ‘kurang Islam’ adalah satu percubaan yang menampakkan kejahilannya dan kegagalan kawan-kawannya dalam Pakatan Harapan untuk ‘menyekolahkannya’ berhubung adab berkhilaf.

Sebenarnya, tujuan utama Lim Kit Siang ialah mengaitkan Ketua Pemuda PAS dengan Amanat Haji Hadi, itu sahaja. Kerana itu, dikaitkan pula dengan penentangan PAS terhadap ICERD, membuktikan nyawa ICERD masih lagi hidup. Saya ingin menyebut, jika demikian saya boleh kaitkan, kebebalan Menteri Kewangan dalam isu-isu ekonomi sehingga salah titip perpuluhan dan sebagainya, adakah disebabkan Amanat Kit Siang? Kit Siang tidak sempat mengajar anaknya Matematik yang betul kerana sibuk berpolitik dari zaman muda? Saya tahu ia kedengaran kasar, demikianlah juga kasarnya bahasa dan niat Lim Kit Siang dalam tulisannya itu.

Adakah tulisan di dalam blog rasmi DAP seperti berikut : (https://dapmalaysia.org/…/party-declar…/setapak-declaration/) berhubung hak kesamarataan di antara bumiputera dan bukan bumiputera juga adalah hasil ‘Amanat Kit Siang’? Dalam erti kata lain, cita-cita DAP secara rasminya ialah menghapuskan sama sekali istilah dan keistimewaan bumiputera dan menjadikan seluruh warga negara Malaysia sama dari sudut hak?

Bukankah Lim Kit Siang sendiri pada 25 Januari 1969 telah berkata: “Kita akan terus menekan ke arah kesaksamaan kaum, di mana semua warganegara adalah sama, di mana tidak ada perbezaan di antara ‘bumiputera’ dan ‘bukan-bumiputera’,” Sehingga ke hari ini, Lim Kit Siang masih belum menarik balik atau menafikan kandungan ucapannya itu, dan bolehlah dinyatakan bahawa ‘Amanat Lim Kit Siang’ sebenarnya lahir jauh sebelum ‘Amanat Haji Hadi’.

Saya tetap berpandangan bahawa Amanat Lim Kit Siang jauh lebih merbahaya, bahkan dengan DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan, Amanat Lim Kit Siang sedang dilaksanakan sedikit demi sedikit. Cuma barangkali kerana takutnya kepada Presiden PAS, tetap mulutnya tidak berhenti meratib Amanat Haji Hadi, bahkan jika Lim Kit Siang tersedar dari tidur sekalipun kerana mimpi buruk, Amanat Haji Hadilah yang akan dipersalahkannya.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Bertarikh: 25 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 25/12/2018

SAYA melihat ada pihak yang sengaja melaga-lagakan antara YB Ustaz Muhammad Khalil, Ketua Pemuda PAS dengan Sohibus Samahah Mufti Wilayah dalam isu ucapan dan sambutan krismas sedangkan kedua-dua pihak berbicara pada topik berlainan.

YB Ustaz Khalil menjelaskan hukum haram menyambut krismas bagi orang Islam. Itu adalah hukum yang telah disepakati oleh semua ulamak. Ada pun Mufti Wilayah dalam tulisan Bayan Linnas menjelaskan hukum mengucapkan Merry Christmas atau tahniah kepada penganut Kristian.

Perkara kedua ini menjadi perselisihan di kalangan ulama. Sebahagian ulama mengharamkan ucapan selamat krismas kerana ia bererti perakuan terhadap kebenaran agama mereka. Sebahagian ulama pula mengharuskan dengan meletakkan syarat iaitu hendaklah ia hanya bertujuan memupuk hubungan perpaduan dan hendaklah tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan, memuliakan dan menyetujui agama lain.

Saya juga melihat ada yang sengaja melencongkan maksud sebenar kenyataan Mufti Wilayah yang mengharuskan dengan meletakkan seolah ucapan selamat hari krismas adalah ungkapan yang sunat dan digalakkan untuk dituturkan. Perlu diingat ia adalah keharusan dan bukannya galakan. Sesuatu hukum yang harus boleh berubah menjadi sunat disebabkan perubahan keadaan dan tujuan seumpama dengan tujuan dakwah.

Memupuk keharmonian beragama bukannya dengan menurut segala kehendak agama berlainan dalam perayaan keagamaan tetapi dengan menghormati mereka dan memberikan hak kepada mereka untuk menyambut perayaan agama mereka.

Islam meletakkan hubungan antara muslim dan bukan muslim dalam ruang lingkup yang sangat luas iaitu "berkebajikan dengan mereka dan melakukan keadilan" dalam semua aspek kehidupan selagi mereka tidak memerangi Islam dan umatnya. Hubungan kasih sayang sesama insan perlu terus dibina dan dipupuk menerusi pelbagai lagi aktiviti kehidupan seharian melibatkan hubungan persahabatan, kejiranan dan urusan hidup. Itulah yang diajar oleh Islam. Ia tidak diukur hanya pada ruang yang sempit iaitu sambutan perayaan bersama antara penganut agama berbeza.

Masyarakat Islam di Malaysia telah menunjukkan contoh yang baik dalam bergaul dengan bukan Islam sejak ratusan tahun dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia sesuatu yang boleh dibanggakan. Maka tidak perlu ada yang terlebih lajak kepada sambutan perayaan bukan Islam yang melibatkan ritual beragama kerana ia melibatkan hukum terlarang dalam agama.

Islam agama yang memupuk keharmonian bermasyarakat. Islam juga menjelaskan batas perhubungan apabila melibatkan ritual beragama konsepnya ialah firman Allah dalam ayat 6 surah al-Kafirun.
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
"bagi kamu agama kamu dan bagi saya agama saya." - HARAKAHDAILY 25/12/2018

MANIFESTO Pakatan Harapan adalah untuk menstabilkan harga minyak. Rakyat seluruh Malaysia termakan dengan janji manis tersebut dan memenangkan Pakatan Harapan sehingga menjadi kerajaan. Namun, kerajaan seharusnya membantu rakyat, bukan terus membebankan rakyat.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius kesusahan yang terpaksa dilalui oleh rakyat pada hari ini. Dengan isu barang naik yang masih tidak berkesudahan, walaupun dengan sistem cukai SST, rakyat kini dibebankan dengan harga minyak yang tidak turun. Walhal, harga minyak dunia turun sehingga paras USD60 untuk satu barrel.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia telah membuat pengiraan harga minyak RON 95 berdasarkan harga minyak dunia terkini. IKATAN dan PAS di dalam Pemuda Gagasan Sejahtera terdiri daripada golongan profesional yang mampu membuat pengiraan tersebut, tanpa bantuan pihak Pakatan Harapan, seperti dihebahkan oleh Rafizi Ramli. Untuk mendapatkan harga satu liter RON 95, pengiraan tersebut termasuklah harga kos actual refined oil (berdasarkan harga MOPS), alpha, kos operasi, margin syarikat minyak, dan margin pembekal/pengusaha stesen minyak.

Berdasarkan harga MOPS dari bulan Oktober ke Disember, harga minyak satu barrel telah jatuh dari USD82 kepada USD60. Mengikut pengiraan terkini menggunakan harga minyak USD60 satu barrel, selepas memasukkan keseluruhan kos dan margin keuntungan, harga minyak di stesen minyak dianggarkan RM1.90 untuk seliter. Ini menunjukkan bahawa rakyat telah membayar 30 sen setiap liter kepada kerajaan Pakatan Harapan sejak 20 November 2018.

Setelah membuat mengiraan lebih terperinci, kerajaan sebenarnya tidak perlu membayar subsidi minyak apabila harga minyak USD70 setiap satu barrel. Berdasarkan maklumat ini, dianggarkan harga minyak USD70 sejak 8 November 2018. Kerajaan sebenarnya mempunyai masa selama 2 bulan untuk memberitahu rakyat dan mengurangkan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak di stesen minyak, tetapi YB Menteri dan Kerajaan memilih untuk diam membisu dan menindas rakyat.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mewakili Pemuda Gagasan Sejahtera menggesa YB Menteri bersikap telus dan prihatin dengan kesusahan yang dialami rakyat. Kami menggesa harga minyak diturunkan mengikut perkiraan harga minyak dunia. Pemuda Gagasan Sejahtera juga melihat Pemuda Harapan diam membisu dengan isu sebegini.

Hal ini hanya dibangkitkan oleh golongan “Senior” Pakatan Harapan seperti Rafizi Ramli, yang tidak mempunyai jawatan di dalam Pakatan Harapan. Adakah Pemuda Harapan tidak pandai membuat pengiraan sebegini? Kami di Pemuda Gagasan Sejahtera boleh membantu mereka di dalam Kerajaan.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
24 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 24/12/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah ingin menjelaskan bahawa sesiapa yang beragama Islam wajib menjalankan kehidupan berpandukan hukum dan garis panduan yang termaktub dalam al-Quran.

Saya ingin memberi respons kepada kenyataan pihak penganjur Jawatankuasa Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah yang berusaha mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membenarkan peserta Muslim menyertai pertandingan tersebut.

PAS Sabah berpesan kepada seluruh umat Islam jangan sesekali terlibat sebagai peserta program Unduk Ngadau.

Di samping terdapatnya undang-undang berkaitan yang termaktub dalam Seksyen 91, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995, Islam juga tidak membenarkan penganutnya secara bebas menjadi ratu di khalayak ramai.

PAS Sabah berharap pihak berkuasa agama akan terus bertegas untuk tidak membenarkan umat Islam menyertai pertandingan seumpama ini.

Orang Islam tidak akan menghalang dan membantah program Unduk Ngadau ini bagi masyarakat bukan Islam kerana ianya telah menjadi budaya masyarakat Kadazan-Dusun-Murut (KDM) di Sabah. Tetapi jangan sesekali melibatkan peserta yang beragama Islam.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
24 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 24/12/2018

PERBALAHAN sesama pimpinan dalam PH sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Ditambah pula pertelingkahan sesama pimpinan dalam setiap parti. Keadaan ini berlaku kerana masing-masing parti ada mimpi yang berbeza. DAP ada mimpi Malaysian Malaysia. Bersatu ada mimpi menguasai PH. PKR ada mimpi untuk naik takhta PM ke-8. Cuma PAN sahaja yang tidak jelas mimpi mereka selain dari yang mereka katakan iaitu mahu menjadi benteng kepada DAP. Tapi itu yg mereka kata. Hakikatnya kepentingan diri jua yg ingin di kejar. Dulu PAN tuduh Pas mahu jadi tongkat UMNO. Tapi ternyata PAN yg akhirnya jadi terompah kayu DAP. Untuk senang dap berulang alik ketandas untuk kencingkan rakyat.

Kini semuanya sudah bercelaru. Semua pimpinan PH asyik pertahankan parti dan kem masing-masing. Kepentingan rakyat sudah tidak diutamakan. Bukan saya sahaja yang kata begitu bahkan Nurul Izzah juga menyebut demikian. Nampaknya doa Ustaz Nik Zawawi dan ratusan ribu yang membanjiri KL pada 8 Disember lepas dimakbulkan Allah. Dalam ratusan ribu yang hadir itu (kalaupun tak sampai sejuta) pasti ada golongan peneroka yang menderita sejak rejim PH berkuasa. Ada para penoreh getah yang terseksa dengan harga getah yang merudum. Ada golongan nelayan yang sengsara dan dipaksa pula tanam nenas belakang rumah untuk menambah kos sara hidup. Ada pelajar-pelajar yang ditipu dengan janji mansuh hutang PTPTN yang tak kesampaian. Ada pengguna jalan raya yang diperdaya dengan pemansuhan tol. Wah, begitu ramai orang yang teraniaya dan dizalimi mengaminkan doa YB Ustaz Nik Zawawi. Sebab itu Nabi ingatkan.:

"Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi. Kerana sebelum doa mereka diangkat setinggi awan, doa itu sudah dimakbulkan Tuhan dengan firman-Nya pasti doa kamu Aku makbulkan walau dalam beberapa ketika."

Tapi soalnya berimankan PH dengan amaran Nabi ini?

Bukti lemasnya PH menghadapi isu kencing ini sehingga semua kelemahan mereka itu dicampak kepada orang lain. Selepas puas beralasan semua kelemahan dan kepincangan itu disebabkan Kerajaan Umno terdahulu, lalu dipersalahkan malaikat. Akhir sekali kelemahan itu dilontarkan kepada Nabi. Selepas ini tak tahu siapa lagi yang akan mereka persalahkan. Melihat kepada kegelabahan mereka dan semakin merapu statement-statement mereka saya yakin hayat PH sudah sangat tenat kalaupun belum sakarat. Kini ketika menghadapi saat-saat akhir perjalanan roh mereka, semakin banyak pula datangnya perkara-perkara yang menakutkan mereka. PAS baik dengan Umno mereka jadi takut. Pimpinan Umno masuk Bersatu mereka juga takut. Umat Melayu Islam berkumpul di Pusat Kota Raya KL mereka takut. Azmin rapat dengan Tun mereka takut. Ustaz-ustaz berceramah di TV pun mereka takut. Dengar doa mereka takut. Semuanya menakutkan mereka. Akhirnya mereka hidup dalam ketakutan. Tunggulah, bila kemenangan kamu melalui cara yang tidak benar maka kamu juga akan jatuh melalui asbab yang kamu tidak jangkakan.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 25/12/2018

 

EKORAN kenyataan YAB Perdana Menteri tempoh hari, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meminta pihak kerajaan untuk merombak kurikulum sekolah dengan menekankan konsep integrasi ilmu iaitu merujuk kepada kesepaduan antara ilmu wahyu dan ilmu akal.

Kebanyakan institusi pendidikan seperti di Selangor, Terengganu dan Kelantan telah menyuburkan konsep integrasi seperti pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Integrasi, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab dan Maahad Tahfiz Sains.

Sambutan dalam kalangan masyarakat sangat menggalakkan. Hal ini menjadi indikator bahawa para ibu bapa mahu anak-anak mendapat mendapat ilmu yang seimbang di samping penghayatan terhadap adab dan akhlak.

Pada hari ini, hanya ada satu sahaja subjek Pendidikan Islam dan ia tidak diajar setiap hari. Pada masa yang sama, setiap pelajar akan dinilai praktikaliti amalan fardhu ain seperti berwuduk dan bersolat.

Kurikulum yang diamalkan pada hari ini sudah baik cuma perlu diperkemaskan. Oleh sebab itu, PAS mencadangkan konsep integrasi ilmu perlu diterapkan bagi membentuk jatidiri dan kefahaman pelajar.

Hal ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Subjek Pendidikan Islam dan Moral juga mesti dijadikan syarat wajib lulus bagi semua peperiksaan utama negara.

Cabaran yang perlu difokuskan oleh kerajaan adalah menangani peningkatan kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.

Data menunjukkan sebanyak 1,440 kes jenayah direkodkan pada tahun 2017, meningkat daripada 1,302 kes pada tahun 2016. Kes-kes yang direkodkan adalah jenayah bunuh, rogol, dadah, mencuri, ragut dan pecah rumah.

Isu ini perlu ditangani bersama dan diberikan perhatian serius agar para pelajar dapat dididik dengan baik dan dijauhi daripada anasir-anasir negatif.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
16 Rabi’ul Akhir 1440 | 24 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 24/12/2018

SEBELUM berpecahnya Pakatan Rakyat (PR), Penasihat DAP Lim Kit Siang sudah membayangkan kemungkinan pakatan yang dibarisi oleh DAP, PAS dan PKR akan berpecah dan membawa haluan masing-masing jika PAS berdegil mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Hakikatnya 'kedegilan' PAS untuk melaksanakannya tidak pernah padam sejak Allahyarham Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan pada 1990, malah menjadi matlamat kerajaan negeri itu sehingga hari ini.

Beralaskan persepsi yang dimainkan itu, PAS dan hudud sering dituduh sebagai punca perbalahan PR sehingga menyebabkan pecahnya gabungan pembangkang itu. Persepsi itu dimainkan sehingga ramai yang percaya jika gabungan pembangkang tanpa 'pak lebai' PAS yang inginkan hudud, sudah tentu gabungan pembangkang itu akan aman damai dan utuh.

Tapi tak apa. PR sudah pun terkubur.

Kini ada Pakatan Harapan (PH). Di dalamnya, DAP kini sedang berkawan dengan PPBM, yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad yang sememangnya tidak bersetuju dengan hudud dan PAS; PAN yang juga kurang bersetuju dengan hudud dan bermusuh dengan PAS dan PKR, sahabat lamanya daripada PR yang sudi bersama DAP meninggalkan PAS.

Sepatutnya, gabungan PH utuh sebab di dalamnya tiada lagi PAS dan agenda hudud. Tetapi malangnya, ia tidak begitu.

Beberapa hari lepas, Lim Kit Siang memberikan amaran lagi. Katanya, DAP tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan campuran PH jika usaha mencapai tujuan Malaysia Baharu diketepikan.

Dari mana datangnya asap ini? Di mana apinya?

Terdapat 4 keputusan Kerajaan PH mutakhir ini yang dilihat bercanggah dengan perjuangan DAP.

Pertamanya, kegagalan Kerajaan PH mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC) sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto pilihan raya gabungan politik itu.

Kedua, kegagalan Kerajaan PH untuk bertegas dalam meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketiga, pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak untuk mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan atas alasan ia akan menimbulkan kepada konflik perkauman sejurus tercetusnya insiden rusuhan kuil di USJ25, Subang Jaya.

Perkara keempat yang mencetuskan ketegangan antara DAP dan PPBM baru-baru ini ialah penghijrahan 'katak politik' yang menjadi-jadi daripada Umno kepada PPBM, meskipun DAP tidak pernah membantah penghijrahan orang PAS ke PAN satu ketika dulu.

Akan tetapi, apakah yang dimaksudkan oleh Kit Siang mengenai istilah Malaysia Baharu? Apakah tanpa UEC, ICERD dan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, maka Malaysia Baharu dianggap gagal di mata beliau?

Kalau ditanyakan kepada rakyat tentang Malaysia Baharu, sudah pasti kebanyakan mereka percaya Malaysia Baharu ialah sejenis strategi pusingan-U pentadbiran PH yang entah ke mana berdasarkan prestasi 8 bulan pertamanya.

Perkara paling menjelekkan ialah tanggungjawab Kerajaan PH terhadap manifesto yang digunakan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan hampir kesemua yang ditulis menjadi sekadar kertas rujukan, bukannya janji yang perlu ditunaikan.

Tapi percayalah, asap Kit Siang ini bukan sebarang asap. Ada anak api yang sedang membara.

Dalam pada itu, Rafizi Ramli menggunakan anak api ini untuk melancarkan serangan pertama terhadap Dr Mahathir dengan mengatakan populariti beliau menurun sebanyak 20 peratus semenjak PH menawan kerajaan.

Bakal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menggunakan peletakan jawatan mengejut anaknya Nurul Izzah daripada semua jawatan penting untuk melancarkan serangan terhadap Ahli Parlimen Umno yang sedang melompat ke arah PPBM.

Menariknya, punca sebenar Nurul meletak jawatan masih misteri. Mengapa beliau enggan terus berkhidmat sehingga bapanya menjadi PM sebelum mengundurkan diri akan terus menjadi tanda tanya.

Apakah ini protes terhadap Dr Mahathir atau bapanya sendiri?

Perang dalaman PH kini tertumpu pada desakan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorty supaya meletak jawatan kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan cara beliau mengendalikan isu ICERD dan insiden rusuhan kuil USJ25.

Isu ini sudah menjadi pertarungan utama antara PPBM dan DAP.

Para pemimpin PPBM, termasuk orang kuat Dr Mahathir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dan Datuk A Kadir Jasin telah secara terbuka mendesak Waytha supaya meletak jawatan, manakala para pemimpin DAP pula, termasuk anak mendiang Karpal Singh iaitu Ramkarpal setia mempertahankannya bersama peguam Siti Kasim.

Bagaimana pula dengan pendirian PKR dan PAN? Bagaimana pula pendirian Anwar dalam isu ini? Fraksi Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Dr Afif Bahardin telah menyatakan pendirian untuk menyokong PPBM dan turut serta mendesak Waytha meletak jawatan.

Bagaimanakah kesudahan episod ini? Apakah Waytha dapat kekal dalam Kabinet, atau beliau meletakkan jawatan atau dipecat oleh Dr Mahathir?

Nasib yang menimpa Waytha akan menentukan siapakah yang berkuasa dalam PH, membuka mata rakyat, sekali gus mencorakkan perbalahan politik dalaman pakatan itu selanjutnya. - HARAKAHDAILY 24/12/2018

More Articles ...