USAHA Menteri KPKT untuk bekerjasama dengan BNM, MOF dan semua agensi berkaitan dalam isu rumah mampu milik dan lambakan rumah yang tidak terjual, adalah sangat baik. Namun cadangan untuk 'memudahkan' syarat kelulusan pinjaman perumahan kepada pembeli, adalah tidak baik.

Risiko daripada cadangan ini adalah, sekiranya bank melonggarkan syarat pinjaman dengan memberikan kelulusan kepada pembeli yang tidak layak untuk meminjam, ia bakal mendedahkan institusi kewangan kepada risiko kegagalan bayaran balik pinjaman, dan kesan rantaian terhadap ekonomi adalah sangat negatif. Pihak BNM, MOF dan institusi kewangan pastinya sangat maklum dengan risiko ini.

Antara cadangan yang pernah diutarakan untuk mengatasi masalah rumah mampu milik adalah:

1. Koordinasi oleh pihak kerajaan dan pemaju bagi memastikan tidak berlaku jurang (mismatch) di antara penawaran dan permintaan.

2. Pembukaan tanah kerajaan atau GLC untuk pembinaan rumah mampu milik di kawasan strategik (contoh transit-oriented development).

3. Pelaksanaan polisi pinjaman (contoh DSR, LTV) dan cukai (contoh RPGT) untuk mengekang elemen spekulasi dalam pasaran.

4. Pelaksanaan skim sewa-beli melibatkan pemaju dan institusi kewangan.

5. Inovasi pembinaan bagi mengurangkan kos dan masa projek perumahan (contoh IBS).

6. Integrasi data dan maklumat oleh pihak kerajaan, pemaju, institusi kewangan, dan pembeli secara lebih tepat.

Justeru, solusi terbaik untuk isu ini bukannya dengan memudahkan polisi pinjaman (credit policy), tetapi mengawal selia penawaran dan memperluaskan skim sewa-beli kepada pembeli rumah pertama, di samping inovasi dalam pembinaan dan meningkatkan ‘celik kewangan’ dalam kalangan pembeli rumah.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
6 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 6/7/2018

KENYATAAN YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) mengenai perlakuan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) adalah bersalahan dengan sudut pandang Islam dan peruntukan Undang-undang Negara.

Pandangan yang beliau kemukakan itu dilihat sebagai mengiktiraf perlakuan LGBT sebagai hak seseorang selama ia dilakukan dalam ruang peribadi masing-masing.

takiri1Beliau berpendirian demikian kerana menganggap kesalahan tersebut semata-mata urusan antara individu terbabit dengan Tuhan sahaja; tidak ada kena mengena dengan orang lain. Kefahaman ini ternyata sangat silap kerana LGBT melibatkan pencerobohan terhadap hak masyarakat dan sifat tabii kemanusiaan.

Perlakuan liwat sebagai contoh merupakan satu jenayah dalam Islam dan juga jenayah dalam Undang-undang Negara sama ada dibuat secara sembunyi apatah lagi terang-terangan.

Jenayah liwat sangat keras dalam Islam sehingga Nabi S.A.W bersabda :

 مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

"Sesiapa yang kamu temuinya melakukan amalan kaum Lut maka bunuhlah pelaku dan orang yang diperlakukan"

(Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah dinilai sahih oleh al-Albaani)

Meskipun negara kita tidak menjadikan hukuman tersebut sebagai undang-undang, tapi ia menunjukkan betapa besarnya jenayah liwat.

Menurut tokoh ulamak terkenal Imam Ibnu Qayim dalam karya beliau al-Jawaab al-Kaafi:

 "Oleh kerana kerosakan perlakuan liwat antara kerosakan terbesar maka hukumannya di dunia dan akhirat juga adalah antara hukuman yang paling besar."

Azab Allah ditimpakan kepada seluruh umat Nabi Lut A.S akibat perbuatan sebahagian mereka yang berkelakuan sumbang. Ini menunjukkan, perlakuan tersebut adalah suatu bencana kepada semua orang sekiranya ia tidak dicegah.

Undang-undang Negara juga ada memperuntukkan beberapa kesalahan jenayah berkaitan perlakuan LGBT. Antaranya ialah Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan yang menyatakan berkenaan kesalahan hubungan seks luar tabii.

Berdasarkan statistik Jabatan Peguam Negara dan polis, sebanyak 171 kes telah didakwa mengikut Seksyen 377B dari 2010 hingga 2014, sementara sebanyak 489 kes didakwa mengikut Seksyen 377C dalam tempoh lima tahun tersebut.

Seksyen 25 dan Seksyen 26 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 pula menyatakan berkenaan kesalahan liwat dan musahaqah iaitu melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan. Begitu juga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri lain.

Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan dalam Seksyen 25, "Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu".

Seksyen 26 pula memperuntukkan, "Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu".

Ini menunjukkan Undang-undang Negara sama ada Sivil atau Syariah memperakui bahawa perlakuan LGBT ini adalah merupakan jenayah dan pelakunya boleh dikenakan tindakan tanpa mengira sama ada ia dilakukan secara tersembunyi atau terangan-terangan.

Saya khuatir, pendirian longgar oleh seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam dalam isu ini akan membuka ruang selesa dan meyakinkan kepada golongan LGBT untuk terus mendesak agar perlakuan dan golongan LGBT diiktiraf di negara ini.

Lebih saya bimbang, jika sikap Menteri seperti itu akhirnya menjadikan Malaysia menerima syor supaya mengiktiraf orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat; meminda Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat kerana menganggap ia tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman; dan memansuhkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi” seperti yang dituntut oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Sekali lagi saya mengharapkan agar pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mereka tidak boleh diharapkan untuk menjaga agama malah bersikap Liberal melampau dalam isu-isu agama dan undang-undang yang bertujuan memelihara keharmonian awam.

Mandat kepada PH di peringkat Persekutuan oleh rakyat adalah untuk merobohkan kezaliman dan penindasan bukannya merobohkan agama Islam dan undang-undang.

Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada pelbagai bencana akibat usaha menghalalkan LGBT.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus - HARAKAHDAILY 6/7/2018

ALHAMDULILLAH, Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Injuksi Husam Musa terhadap Mohd Yasin (Setiausaha Kerja PAS Kelantan).

Husam merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 16.11.2017 yang menolak permohonan Injuksi tersebut dengan kos sebanyak RM7,000.

Permohonan Injuksi ini dipohon Husam untuk menghalang Defendan atau PAS Kelantan dari memasuki atau menggunakan Wisma Tok Guru (Wisma Oren) selepas hartanah tersebut dibeli dan berpindah milik kepada Defendan.

Rayuan Husam pada hari ini ditolak sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan dengan kos sebanyak RM10,000.

YA Hakim Nalinni Pathmanathan yang mengetuai Panel 3 Hakim memutuskan, antara lainnya, bahawa Mahkamah Tinggi membuat dapatan yang betul bahawa tuntutan Perayu atau Plaintif tidak mempunyai isu untuk dibicarakan (no issues to be tried). Panel juga memutuskan bahawa sandaran tuntutan atas doktrin equity ke atas fizikal bangunan tersebut adalah tidak terpakai dalam kes ini. Dalam apa keadaan sekali pun, doktrin equity hanya terpakai terhadap pemilik dahulu dan tidak boleh dipanjangkan kepada pemilik baru (Mohd Yassin).

Husam diwakili sekumpulan lebih 10 Peguam yang diketuai oleh Tan Sri Gopal Sri Ram (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan), manakala Mohd Yasin diwakili 11 Peguam yang diketuai oleh Tun Salleh Abbas (bekas Ketua Hakim Negara).

Bagi pihak Luham Pusat, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Dato’ Takiyudin Hassan SUA, Luham Kelantan yang diketuai Nik Bahrum dan Aznam Mohamed dan keseluruhan pasukan Peguam Luham Kelantan atas keringat dan kerja keras pasukan.

Sekadar mencatat nota,
WAN ROHIMI WAN DAUD
Palace Of Justice, Putrajaya
6.7.2018
LUHAM Pusat - HARAKAHDAILY 6/7/2018

wima

AHAD lalu, YB Tuan Haji Yahaya Ali telah selamat dimasyhurkan sebagai Yang DiPertua atau Speaker Dewan Undang Negeri Terengganu dalam satu istiadat sebagai tanda bermulanya penggal baharu Dun ke-14. Nama beliau dicadangkan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mohktar dan disokong oleh Exco kanan, Ustaz Satiful Bahari Mamat yang kemudiannya diumumkan sah pelantikan itu oleh Setiausaha Dun.

Mungkin kita boleh berkenalan sedikit dengan watak yang sebenarnya satu nama besar di Terengganu ini. Sebelum jari ini menari dengan lebih lanjut, menerangkan siapakah beliau, ingin saya maklumkan terlebih dahulu bahawa tulisan ini bukan untuk memuji ataupun bercerita melampau-lampau. Saya sedar bahawa, Allah memiliki hati semua manusia. Manusia juga ada kesilapan dan kekurangan. Cukuplah saya katakan bahawa tulisan ini hanya sebagai pengajaran yang baik untuk diikuti oleh golongan muda yang mungkin baharu mengenali politik dan bagaimana beliau menghadapinya. Apa yang saya tulis ini berdasarkan pemerhatian saya secara dekat.

Beliau pernah menjadi Pegawai Kerajaan sebelum berhenti untuk menjadi calon PAS paling muda di Terengganu pada tahun 1986 bagi kerusi Dun Paka ketika berumur 27 tahun. Keadaan beliau ketika itu amat tersepit kerana pemikiran kuno masyarakat ketika itu ialah kerja dengan Kerajaan, rezeki akan selamat. Dan jika berhenti daripada Kerajaan, ia tindakan cari penyakit. Namun atas semangat mahukan Islam didaulatkan, beliau tetap meneruskan hasrat beliau. Diamanahkan oleh parti kali kedua tahun 1995, dan beliau mengejutkan BN dengan mengalahkan Azmi Ahmad di Alur Limbat.

Tahun 1999, beliau menang sekali lagi di kerusi yang sama. Sebagai bekas Pegawai Kerajaan dan ahli usrah kepada Dato’ Ustaz Harun Taib, Haji Yahaya diberi kepercayaan menjadi Exco Infrastruktur ketika itu. Tahun 2004, seperti yang sedia maklum, terdapat banyak kerusi PAS kalah, dan beliau juga tidak terkecuali. Proses ini biasa bagi ahli politik PAS. Mereka tidak takut kalah, kerana sudah biasa hidup miskin dan jawatan itu adalah amanah, jika ada dipikul, jika tiada maka terlepas beban.

Namun ketahanan seseorang manusia itu akan dapat dilihat ketika ujian sebenar datang. Beliau dua kali pada tahun 2008 dan 2013, tidak dicalonkan sebagai calon PRU PAS Terengganu walaupun ada dalam beberapa tahun itu, beliau menjadi YDP PAS Kawasan Marang dan lebih besar jawatan beliau ialah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu. Tahun-tahun ini saya anggap sebagai amat mencabar karier beliau sebagai ahli politik. Kisah beliau di sini saya tekankan agar diambil pengajaran oleh golongan muda jika mahu terus kekal berpolitik di dalam PAS.

Setenang manapun jemaah, pasti akan ada ributnya. Sebaik mana manusia, pasti akan ada sisi kurangnya. Begitulah proses yang akan menjadikan seseorang itu lebih berpengalaman. Tinggal lagi bagaimana jemaah menghadapinya dan menyelesaikannya. Pada pandangan saya, ada beberapa isu yang agak menjejaskan beliau kerana keadaan sekeliling yang terpaksa beliau hadapi. Ya-lah, manakan tidak, terkadang tekanan daripada dalam adalah lebih perit dihadapi berbanding tekanan luar.

Ditambah lagi ketika masalah itu berlaku, itu sudah ada suara-suara Erdogan di dalam PAS yang menyeru kepada menentang Presiden. Suara-suara itu tidak jauh daripada beliau. Di kampung beliau itu ada agak ramai yang menyertai kumpulan menentang Presiden PAS. Dan mereka bukan orang lain dengan Haji Yahaya, mereka yang berdekatan dengan beliau. Saya tidak dapat bayangkan betapa goncangan yang kuat ini, beliau hadapi. Satu pihak seperti menolak, satu pihak bagaikan menarik beliau.

Tidak beliau endahkan walaupun ada suara sumbang secara psikologi yang saya dengar sendiri mendakwa beliau akan berubah arah dan akhirnya Allah membantu beliau menghadapinya dengan jaya. Tidak setakat itu, malah terbukti beliau bukan sahaja menyerahkan diri beliau kepada jemaah, tetapi juga isterinya Hajjah Zarani Othman ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu dan anak mereka juga sekarang turut terlibat secara langsung sebagai tenaga utama jemaah PAS. Alhamdulillah juga, ribut itu terhenti dan semuanya bertaut kembali dengan izin Allah.

Inilah ketaatan yang diperlukan oleh ahli PAS. Ketika diuji, barulah tahu bagaimana kita. Ujian pula datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang akan gagal, gugur dan ada yang akan kekal bersama jemaah. Anak-anak muda perlu melihat ini sebagai motivasi untuk meneruskan perjuangan mereka. Mesti ada hala tuju dan tahu di mana kedudukan kita. Sikap gopoh-gapah akan merugikan kita semua. Sikap lebih tahu daripada pimpinan juga hanya menunjukkan kesombongan kita sebagai pengikut. 

Kini Haji Yahaya diberi kepercayaan untuk mengemudi Sidang Dun, iaitu institusi yang mulia dari sudut Perlembagaan bagi membentuk segala enakmen dan bagi Kerajaan menyelesaikan masalah negeri untuk keselesaan rakyat. Atas pengalaman beliau beberapa penggal sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Exco, Adun dan YDP PAS Kawasan, beliau telah bertindak sebaik-baiknya bagi mengawal perjalanan Dun. Sekali lagi saya tekankan tidak saya memuji beliau, tetapi agar secebis kisah politik beliau, kita ambil pengajaran bagi perjalanan politik kita yang pastinya beranjau.

Selamat bertugas YB Haji Yahaya Ali, semoga Allah memudahkan jalan bagi YB mendapat redha Allah. Amin. - HARAKAHDAILY 6/7/2018

TINDAKAN Menteri Belia dan Sukan mengenakan seluar pendek ketika menyertai satu aktiviti kecergasan tentu sekali didorong faktor ingin menunjukkan kebersamaan dengan aspirasi anak muda. Sukan telah menjadi fenomena anak muda hari ini. Gym, gelanggang futsal, badminton, taman rekreasi, trek jogging menjadi permintaan tinggi di kalangan anak muda. Sementelah Menteri tersebut sememangnya muda.

Walau bagaimanapun, mungkin sang Menteri tidak menyedari bahawa di sebalik kegilaan anak muda untuk bersukan, kesedaran terhadap agama juga bergerak selari ke depan. Sebab itulah gambar beliau berseluar pendek mendapat kecaman yang hebat daripada masyarakat. Bahkan dia seorang sahaja berpakaian sebegitu.

Kita bukan ingin berbahas mengenai variasi hukum batas aurat. Namun kemarahan masyarakat lebih didorong dengan sentimen adab kesopanan dan juga meraikan mazhab setempat. Pemimpin sebaiknya tidak menimbulkan polemik yang tidak perlu. Keluar daripada khilaf dan mengambil ihtiyat adalah lambang kekuatan taqwa.

Virus Liberalisasi

Jika difahami secara lebih teliti, fenomena ini merupakan barah Liberalisme yang semakin menular. Zaman hari ini adalah giliran Liberalisme dengan versi yang pelbagai menusuk masuk ke minda separa rakyat, sebagai peluru perang ideologi terhadap Islam menggantikan perang bersenjata. Liberalisme adalah penerus kepada ideologi sosiopolitik Nasionalisme yang diperkenalkan pasca Kolonialisme, yang kini tidak lagi digemari rakyat.

Vaksin Islamisasi

Walau bagaimanapun, proses Islamisasi di Malaysia khususnya turut berjalan rancak seiring perang ideologi yang dilancarkan. Masyarakat semakin faham Islam jika dibandingkan sejak pasca Kolonialisme dahulu. Jika dulu Islam hanya di kampung, kini Islam lebih rancak di bandar. Jika dulu Islam hanya diminati golongan pencen, kini Islam menjadi trendy kalangan anak muda. Jika dulu Islam hanya di masjid surau, kini Islam sampai ke konti radio dan pentas TV.

Adaptasi Liberalisme

Perkembangan Islamisasi ini menyebabkan musuh Islam mengadaptasi pendekatan agar terus menawan umat Islam secara halus. Daripada Liberalisme, diperkenalkan ideologi Islam-Liberal. Menerima pendekatan Islam yang selari dengan beberapa pendekatan Liberalisme, dalam masa yang sama mengajak supaya Syariah Islam secara keseluruhan dikaji semula agar selari dengan prinsip Liberalisme. Yang paling penting adalah memastikan segala agenda dan ajaran yang mendorong kepada Syariah Islam ditegakkan di peringkat pemerintahan tidak berjaya. Sekularisme masih menjadi tunjang utama.

Menteri Belia dan Sukan yang baharu ini tidaklah dikenali sebagai pembawa ideologi Islam-Liberal sebelum ini. Bahkan dia bukanlah dari lulusan agama walaupun seorang graduan UIA. Gaya hidupnya juga lebih Liberal. Justeru tidak menjadi pelik jika dia tampil berseluar pendek. Cuma mungkin dia belum memahami situasi untuk mengadaptasi Liberalisme dalam masyarakat yang dipengaruhi Islamisasi ini.

Boleh jadi juga apa yang dilakukan itu adalah percaturan pihak tertentu yang sengaja mahu 'test-market' terhadap sosio masyarakat Malaysia. Mungkin juga sebagai langkah normalisasi Liberalisme secara halus.

Cabaran di medan politik

Di medan politik, pendukung Islam sudah tentu mahu menyaingi populariti yang sedang dibina pemerintah sekarang. Kealpaan dari mendekati rakyat terutama anak muda yang semakin membesar populasinya di negara ini akan menyebabkan PAS secara khususnya terus ketinggalan. Oleh kerana itu PAS juga kini rancak dengan program yang lebih bersifat mendekati anak muda.

Kajian akademik diperlukan

Namun, perlu ditentukan terlebih dahulu pendekatan apakah yang paling tepat untuk digunakan. Adakah dengan mengekalkan nilai-nilai Islam yang menjadi identiti PAS, atau menjadi sedikit terbuka agar dapat 'lepak sekali' dengan anak muda. Khusus menyentuh mengenai hiburan.

Jawapan yang konkrit tidak boleh diberikan. Persoalan ini perlu diperhalusi dengan membuat kajian dan pemerhatian. Perlu dapatkan angka-angka dan data yang jelas apakah sebenarnya kemahuan rakyat dan anak muda.

Hipotesis yang mengatakan anak muda Malaysia sukakan hiburan, anak muda tertarik program hiburan anjuran PAS, ramai mendekati program PAS kerana program hiburan yang ada di dalamnya, dan yang berkaitan dengannya perlulah diukur dengan metodologi akademik. Data dan angka mengenai kesan daripada program hiburan yang dijalankan, golongan sasaran yang ingin dicapai, kesedaran Islam yang berjaya dibentuk, persepsi masyarakat yang bukan hedonis dan sebagainya juga perlu disediakan. Barulah program yang dianjur benar-benar berjaya dan tidak hanya dijalankan atas nama adat atau terikut rentak tarian pesaing politik semata-mata.

Dibimbangi jika tersilap pendekatan, ia bakal menatijahkan impak negatif terhadap PAS. Golongan yang memiliki kesedaran Islam yang semakin membesar populasinya tidak lagi melihat PAS memiliki jati diri Islam yang hakiki. Lalu mereka memilih jemaah yang lebih dilihat berprinsip. Lebih ditakuti, kesilapan mengamalkan pop-Islamisme menyebabkan kita secara tidak langsung menyumbang kepada agenda normalisasi perkara yang tidak Syarie.

Badan kajian; PAS mampu lakukan 

Isu-isu belia hanyalah satu juzuk dari masalah sosial yang perlu ditangani. Banyak lagi masalah sosial yang lain. Belum lagi masuk bab masalah politik, ekonomi, pendidikan, pertanian, keselamatan dan sebagainya. Atas sifat gerakan Islam yang membawa agenda tajdid (pembaharuan) dan islah (pemulihan), PAS perlu menangani masalah itu dengan teliti dan cermat. Usia hampir mencecah 70 tahun ini sepatutnya lebih matang dan profesional dalam setiap tindakan.

Manfaatkan kuasa negeri

Dengan kelebihan menguasai dua Negeri Kelantan dan Terengganu, sepatutnya sudah wujud institut penyelidikan yang besar yang dianggotai pakar-pakar akademik dalam menjalankan kerja-kerja kajian dan penambahbaikan (R&D) dalam gerak kerja. Modul pemerintahan bersepadu seperti WINS2051 di peringkat nasional dan PITAS2030 di Terengganu menunjukkan PAS memiliki cukup kepakaran untuk merangka pelan pemerintahan yang lebih sistematik. Ianya patut dijadikan rujukan utama sebelum sebarang aktiviti dan projek dijalankan.

Siapa mahu cabar Rand Corporation, Brookings ETC? 

Sedarlah bahawa musuh Islam jauh meninggalkan kita dari sudut gerak kerja yang sistematis. Mereka punya badan seperti Rand Corporation, Brookings Institute, CIA dan sebagainya. Belanja untuk R&D sahaja telah melewati angka trillion dollar. Sebab itulah agenda mereka di seluruh dunia berjalan lancar.

Justeru mendukung perjuangan Islam tidak boleh sekadar melepaskan batuk di tangga. Jangan berselindung atas slogan tawakkal dan Allah pasti menolong hingga bersikap acuh tidak acuh. Tiada istilah hit and run. Allah menuntut supaya kita umat Islam berjuang sehabis daya dan ruang. Gembeling segala kekuatan dan tenaga yang ada, agar kita mencukupkan semua syarat-syarat kemenangan Islam.

Kita selalu bercakap mengenai strategi al-Fateh yang begitu teliti dalam menawan Constantinople. Namun apakah kita telah mengambil langkah yang serupa?

22 Syawal 1439
6 Julai 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 6/7/2018

 

MUKADIMAH

PAS tidak ada pilihan lain. Ia mesti berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan lebih berkesan dalam 'Malaysia Baru'. Walaupun berperanan sebagai pembangkang pasca PRU14, adalah sangat kurang 'trending' di dalam media-media sosial, tidak lagi seperti sebelum ini. Namun ia adalah sangat penting dalam struktur sistem demokrasi.

Kita dapati ruang 'check and balance' kepada Kerajaan 'Malaysia Baru' tidak sepopular pada zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. Bahkan pada sesetengah pihak, ia tidak lagi perlu. Kerana Kerajaan baru ini adalah manifestasi yang tepat kepada Kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. Tidak perlu lagi kritikan atau bangkangan. Hanya perlukan sokongan, kesabaran dan pemahaman daripada rakyat.

Di antara menyokong atau membangkang secara langsung begitu, ramai yang cenderung untuk menjadi pihak ketiga yang masih di peringkat 'tunggu dan lihat' serta 'memberi masa dan peluang' kepada Kerajaan baru di peringkat Persekutuan.

Pembangkang di Malaysia Baru  

Majoriti pihak yang lantang mengkritik Kerajaan sebelum 9 Mei baru-baru ini telah pun bersekutu membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru. Mereka terdiri daripada anggota parti politik dalam komponen PH, tokoh-tokoh NGO yang mendukung PH, tokoh-tokoh dan nama-nama besar dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial, bisnes, perundangan, pendidikan, agama dan aktivis masyarakat.

Pada ketika ini, mereka telah pun menjadi sebahagian daripada ahli Kabinet, ahli Parlimen penyokong Kerajaan, pegawai-pegawai lantikan politik di Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan, kepimpinan baru dalam syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), anggota jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan paling kurang pun telah menjadi jentera siber pendukung tegar Kerajaan baru.

Umno pula pada ketika ini masih dalam period cuba belajar untuk menjadi pembangkang. Antaranya, dengan menuntut supaya layanan yang adil diberikan kepada mereka oleh pihak Kerajaan. Sesuatu yang tidak diberikan kepada 'pembangkang' pada saat Umno berada di puncak kuasa.

Sebetulnya Umno sedang tidak ketahuan arah tujunya. Rakyat masih marah kepada mereka. Masih marah kepada legasi DS Najib dan 1MDB. Masih ingat zaman dibelenggu GST. Masih ragu dengan kepimpinan baru mereka. Umno juga sedang kehilangan ramai pemimpinnya, wakil-wakil rakyatnya dan ahli-ahlinya. Malaysia Baru ketandusan 'pembangkang' dalam erti kata yang sebenarnya. Yang tinggal hanyalah PAS.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 

Kerajaan PH bukanlah kerajaan BN yang dahulu. Ia bermula daripada halaman kosong yang putih bersih. Ia tidak ada 'beban silam', tidak seperti BN. Ia hanya ada sederet janji 100 harinya. Menyelamatkan negara daripada kleptokrasi, penyalahgunaan kuasa, kesilapan pengurusan ekonomi, institusi-institusi demokrasi yang gagal berfungsi dan kerakusan DS Najib.

Ia bermula dengan baik. Menjanjikan Kerajaan yang adil untuk semua, tidak membalas dendam, mengalu-alukan pelaburan dan komuniti perniagaan, menghormati hubungan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri, menyalurkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak, memberikan juga sebahagian peruntukan Kerajaan Pusat kepada wakil-wakil rakyat bukan PH, memberikan kebebasan media yang tidak diberikan oleh BN dan lain-lain.

Pada peringkat ini, semua pihak teruja dan menaruh harapan yang tinggi kepada YAB Tun Mahathir untuk memacu Malaysia Baru ke tahap yang lebih tinggi.

Perdebatan era baru 

Namun perdebatan tentang langkah, dasar dan Manifesto Kerajaan PH mula timbul di kalangan netizen, ahli politik, ahli agama, ahli perundangan, komuniti perniagaan dan kedai-kedai kopi tidak lama selepas itu. Untuk lebih tepat, kira-kira sebulan selepas PH membentuk Kerajaan.

Perdebatan bersifat sama ada menyokong atau tidak menyokong beberapa isu-isu tertentu. Perdebatan agak hangat, tetapi sangat berbeza jika dibandingkan sebelum PRU ke-14. Di mana penyokong Kerajaan PH yang dahulunya pembangkang tegar telah bertukar menjadi pendukung tegar Kerajaan. Tiada lagi perbincangan rasional, yang penting mesti menjadi pendukung Kerajaan.

Pihak yang mengkritik Kerajaan akan dituduh sebagai saki-baki machai Umno yang perlu dihapuskan. PAS pula menjadi 'punching beg' baru untuk mereka. Semuanya salah PAS. Kata-kata kesat, menghina dan mengecam digunakan sebagai hujah untuk menjawab pelbagai kritikan terhadap Kerajaan PH.

Penggunaan berita fitnah atau berita yang sengaja di'spin' bagi memburukkan pembangkang era Malaysia Baru telah membangun dengan begitu pesat sekali. Tajuk-tajuk utama portal berita juga turut di'spin' agar menjadi lebih sensasi dan lebih berperisa untuk menjatuhkan kredibiliti pembangkang.

Isu-isu utama yang diperdebatkan 

Kerajaan PH bermula dengan pelantikan PM dan diikuti dengan pelantikan 4 Menteri kanan beberapa ketika setelah itu. Beberapa dasar baru Kerajaan telah dibuat dan beberapa dasar lama telah dihapuskan.

Beberapa isu yang mendapat reaksi berbeza rakyat Malaysia adalah seperti berikut:

●     Pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Pada awalnya, perdebatan mengenai pelantikan bukan Melayu Islam sebagai Menteri Kewangan turut didebatkan. Perdebatan itu hampir ditamatkan dengan gesaan mengutamakan prestasi dan bukannya keturunan dan agama. Namun akhir-akhir ini, perdebatan adalah mengenai prestasi Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang sangat tidak menyerlah, bahkan menjadi punca kepada kehilangan pelaburan di Bursa Malaysia dengan nilai kerugian berbillion-billion Ringgit.

●     Propaganda Hutang Negara 1 trillion Ringgit dan Tabung Harapan. Dibahaskan oleh komuniti ekonomi, komuniti bisnes dan ahli akademik tanpa kepentingan politik.

●     Kegagalan menunaikan sebahagian daripada janji-janji utama 100 hari PH dalam mengurang beban sara hidup rakyat seperti penghapusan tol, penurunan harga petrol dan pengecualian bayaran pinjaman PTPTN.

●     Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Perdebatan seputar Peguam Negara bukan Islam, tidak mampu Berbahasa Melayu dengan baik dan kurang berkemahiran dalam pendakwaan jenayah.

●     Menolak gesaan SPB Yang DiPertuan Agong agar melantik Peguam Negara daripada kalangan orang Islam. Bahkan, DS Anwar Ibrahim sendiri telah diterima menghadap dan memberikan jaminan kepada SPB Yang DiPertuan Agong bahawa Tommy Thomas adalah calon terbaik untuk menjadi Peguam Negara, tanpa perlu bimbang terhadap penghakisan hak orang Melayu dan agama Islam.

●     Pemberian lesen judi sukan yang pertama di Malaysia kepada Ascort Sports yang dimiliki oleh TS Vincent Tan. Perdebatan tentang judi halal dan kemunculan kembali kroni lama.

●     TS Vincent Tan membeli saham T7 Global yang mendapat kontrak ECRL, kemudian menjualnya kembali dengan untung lumayan. Perdebatan tentang pendedahan maklumat ECRL yang dibatalkan, namun tidak jadi dibatalkan tidak lama setelah itu dan akan diteruskan. Semalam projek diumumkan akan digantung pula serta merta oleh Kementerian Kewangan.

●     Pendakwaan DS Najib yang penuh 'hanky panky' 'tidak kemas'. Perdebatan tentang kertas pertuduhan, pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan, perkaitan dengan bukti-bukti yang dirampas dan lain-lain. Termasuk Peguam Negara yang tidak boleh Berbahasa Melayu.

●     Dasar pentadbiran agama Islam dalam menangani cabaran kefahaman Islam Liberal, Syiah, Kristianisasi dan lain-lain. Di mana beberapa kumpulan yang difatwakan sebagai sesat menuntut hak untuk mengamalkan dan menyebarkan ajaran mereka secara terbuka. Lebih malang lagi, ada yang sengaja membuat tarian seksi berlatar-belakangkan masjid hanya didenda RM 25 dan masih ada pihak yang cuba menjadikannya sebagai trend Malaysia Baru.

●     Prestasi Menteri-menteri yang baru dilantik. Ada yang membuat kenyataan rasmi di dalam Bahasa Mandarin dan Tamil. Ada yang mengatakan harga barang telah turun hingga 30 peratus pasca GST. Ada yang membuat ketetapan hari ini dan menjadikannya sebagai cadangan sahaja pada besoknya. Ada jabatan dan projek pada zaman pentadbiran DS Najib yang hanya ditukarkan namanya. Ada yang meminta penjawat awam yang tidak boleh menerima dasar Kerajaan agar berhenti kerja dan pelbagai ragam lagi.

● Isu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi dalam urusan berkaitan Kerajaan. Pendukung PH jelas sekali tidak merasakan ini sebagai satu isu. "Isu bahasa tak sepenting kandungannya", kata mereka.

PAS mesti lebih bersedia untuk mengetuai suara pembangkang di dalam politik negara  

Oleh itu, PAS perlu memposisikan dirinya agar menjadi medium utama membawa suara rakyat yang terpinggir. Apatah lagi yang terpinggir ialah golongan majoriti.

Ketidakpuasan hati kepada dasar-dasar Kerajaan PH akan mendorong lebih ramai tokoh-tokoh masyarakat dan pemimpin parti politik yang tersisih untuk mendekati PAS. Untuk itu PAS mestilah mempunyai suatu mekanisme yang lebih teratur dalam menerima kemasukan besar-besaran golongan ini.

Terutamanya daripada golongan yang masih di peringkat 'tunggu dan lihat' serta 'memberi masa dan peluang' kepada Kerajaan Baru.

Beberapa langkah segera  

Dasar 'engagement' perlu terus diperkasakan. Mesti ada peranan dan tugas yang khusus untuk tokoh-tokoh baru yang diterima masuk. Tidak wajar untuk hanya memastikan mereka menyertai PAS, tanpa apa-apa peranan yang signifikan dalam membantu mengukuhkan kehadiran parti di dalam masyarakat. Jika begitu, mereka tidak akan bertahan lama. Atau keberadaan mereka di dalam parti telah tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Mesti ada usaha untuk memahamkan mereka tentang visi dan misi perjuangan PAS secara serius. Dalam masa yang sama, berilah peluang untuk mereka mengenali budaya dan jentera PAS secara memberikan pengalaman praktikal, iaitu dengan sama-sama turun membuat kerja kemasyarakatan bersama jentera PAS di peringkat akar umbi.

Memujuk ahli PAS di peringkat akar umbi untuk bekerjasama dengan mereka juga memerlukan usaha yang tidak sedikit. Pengalaman bertembung dengan golongan yang hanya mementingkan keuntungan politik semata-mata, menjadikan ahli PAS di peringkat akar umbi lebih bersifat defensif dalam menerima kemasukan mengejut tokoh-tokoh baru ke dalam parti. Ini juga perlu ditangani.

Mungkin satu jawatankuasa khas boleh diwujudkan untuk menangani fenomena baru ini. Fenomena ini adalah baik kepada PAS tetapi perlulah ditangani dengan bijaksana.

Mungkin jawatankuasa khas di bawah salah seorang Naib Presiden atau terus di bawah Timbalan Presiden. Lajnah Politik akan mendapati jawatankuasa ini sangat membantu meningkatkan pengaruh parti dalam masyarakat yang lebih besar. Terutamanya segmen masyarakat yang agak berjauhan dengan PAS.

Penutup

PAS memang sangat berpengalaman sebagai pembangkang dan juga sebagai Kerajaan Negeri. Ini adalah satu fakta.

Namun, kredibiliti PAS sengaja dipertikaikan oleh musuh-musuh politiknya agar PAS dan kepimpinannya hanya dilihat sebagai parti agama yang ekstrem, memakai jubah dan serban tetapi tidak pandai berpolitik dan mentadbir Negara Malaysia yang berbilang kaum dan berdaya maju.

Oleh itu PAS perlu terus berusaha keras untuk mengukuhkan kehadiran jenamanya di dalam politik negara. Tumbangnya BN, memberikan peluang yang sangat signifikan kepada PAS untuk menjadi parti politik utama umat Islam di negara kita.

Peluang ini perlu segera direbut dengan bijak. Jika tidak, PAS setakat mengekalkan pengaruh sedia ada.

Akhir sekali, PAS mestilah menjadi harapan kepada rakyat Malaysia yang merasa tersisih. Janganlah sampai rakyat tetap menaruh harapan kepada Umno untuk membawa suara terpinggir mereka. Jika begitu, pastilah harapan mereka akan lunyai di tangan PH. 

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
Jumaat, 6 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 6/7/2018

 

ANTARA ciri asas sebuah Kerajaan Islam ialah pelaksanaan syariat sebagai Undang-undang Negara dalam semua aspek kehidupan. Pelaksanaan syariat ini menunjukkan ketundukan pemerintah Islam terhadap keagungan Kerajaan Allah S.W.T yang menurunkan syariat kepada manusia. Dalam konteks Alam Melayu, kewujudan Kerajaan Islam sejak 840M telah menyaksikan komitmen para pemerintah untuk melaksanakan Undang-undang Syariat, dan terbukti di Perlak dan juga Samudera-Pasai bahawa ia telah diberlakukan. Sama ada mempunyai sistem pelaksanaan syariat yang tersusun atau sebaliknya, ia menjadi persoalan kedua, sedangkan yang lebih pokok adalah pemberlakuan hukum itu sendiri. Inilah perkara yang menjadi sumber kekuatan kepada Kerajaan Islam Samudera-Pasai yang dicatatkan mempunyai komitmen yang tinggi dalam melaksanakan hukum syariat kepada semua lapisan rakyat.

Dalam mengukur pelaksanaan ini, kita dapat melihat dari tiga aspek, pertama, pemberlakuan hukum itu sendiri yakni ia telah dipraktiskan dalam kehidupan bernegara. Catatan Ibnu Batutah telah menjawab persoalan ini, walaupun ia hanya mewakili sejumlah kecil dari zaman Samudera-Pasai. Kedua, kewujudan institusi-institusi hukum syariat seperti badan kehakiman, pelaksana undang-undang dan jawatan-jawatan yang menjadi lembaga agama. Kewujudan jawatan Qadhi, Mufti dan Majlis Fatwa adalah menunjukkan institusi tersebut telah berdiri. Dan ketiga, penggubalan undang-undang yang menjadi sumber rujukan pelaksanaan, apakah ia berbentuk teks undang-undang atau kitab-kitab fekah mazhab atau mengikut ijtihad para ulamak semasa. Ketiga-tiga aspek ini boleh membuktikan mengenai kewujudan, kuat kuasa dan pelaksanaan syariat yang berlaku dalam Kerajaan Samudera-Pasai.

Pelaksanaan Syariat: Catatan Ibnu Batutah

Sebahagian besar maklumat mengenai pelaksanaan syariat dan penerapan hukum Islam dalam Kerajaan Samudera-Pasai adalah berdasarkan catatan Ibnu Batutah (1304-1369M), iaitu seorang pengembara Maghribi dalam bukunya, Tuhfat an-Nuzzar fi Gharaiib al-Amsyar wa Aghaib al-Asfar atau lebih dikenali sebagai ar-Rihlah Ibnu Batutah, yang disusun oleh Ibn al-Juzzay al-Kalbi atas perintah Sultan Abu al-Inan (1348-1358M), Sultan Marinid di Maghribi. Ibnu Batutah asalnya seorang Qadhi bermazhab Maliki di Maldiv telah melawat Samudera-Pasai pada 1345M. Catatan ini dianggap sangat penting, kerana beliau sendiri sebagai Qadhi adalah seorang yang sangat memahami hukum Islam, sebelum mengembara selama 30 tahun. Beliau berada di Samudera dan tinggal dengan Sultan Mahmud Malik az-Zahir II (1330-1349M) selama 15 hari, setelah meninggalkan India 25 hari sebelumnya, dan kemudiannya ke China.

Menurut Ibnu Batutah, kedatangan beliau disambut oleh Bohruz, iaitu wakil Laksamana, sebelum diraikan oleh para pembesar iaitu Amir Dalwasah, Qadhi Amir Sayyid al-Syirazi dan Faqih Tajuddin al-Esfahani (Mufti) bersama beberapa fuqaha' lain. Setelah itu, beliau mengadap Sultan Mahmud Malik az-Zahir II dan tinggal di Samudera-Pasai selama dua minggu. Beliau menyifatkan Sultan Samudera-Pasai itu sebagai Raja yang terkenal, paling dermawan dan bermazhab Syafie. Baginda mencintai para ulamak yang membaca al-Quran dalam majlis-majlisnya dan mengadakan pengajian. Baginda selalu berperang dan berjihad terhadap orang kafir, sedangkan hidupnya sederhana termasuk sanggup berjalan kaki ke masjid. Baginda suka belajar agama dan menguasai (alim) Mazhab Syafie. Penduduk Samudera-Pasai juga bermazhab Syafie dan suka berperang bersama Raja, sehingga orang kafir membayar Jizyah.

Catatan ini memberikan maklumat bahawa:

●     Samudera-Pasai adalah bermazhab Syafie termasuk Raja dan rakyatnya;

●     Adanya peranan para ulamak dan fuqaha' dalam pentadbiran negara;

●     Lembaga agama telah wujud dengan jawatan Qadhi, Mufti dan Majlis Fuqaha';

●     Jihad dan perang adalah mekanisme untuk menghadapi negara-negara kafir yang menolak Islam;

●     Sistem Jizyah telah dilaksanakan ke atas negara kafir yang kalah dan berdamai, sehingga mewujudkan kelompok Zimmi;

●     Wujudnya Negara Islam (Darul Islam), Negara Kafir (Darul Harbi) dan Negara Berdamai (Darul Suluh); dan

●     Sultan Samudera-Pasai adalah seorang alim dan mencintai ulamak dan majlis ilmu.

Pengukuhan institusi-institusi syariat

Mewarisi Sistem Kesultanan dari Perlak merupakan pengekalan institusi syariat yang paling tinggi dalam Islam. Ini kerana sejak zaman Kesultanan Saljuk (1040-1129M), para ulamak mengakui Institusi Sultan adalah sah selagi tidak terpisah daripada Khalifah. Nizamul Muluk (m. 1085M), Wazir Saljuk yang terkenal mengakui hal ini dalam bukunya, Siyasat al-Muluk, sebelum diakui juga oleh Imam al-Juwaini (m. 1092M) dan Imam al-Ghazali (1111M). Sultan dianggap mewakili Khalifah dalam mentadbir umat Islam. Semua pemerintah Samudera-Pasai memakai gelaran Sultan, selain gelaran kebesaran seperti Malik as-Saleh dan Malik az-Zahir. Kemudian beberapa institusi penting iaitu Sheikhul Islam, Mufti dan Qadhi diwujudkan dalam proses Islamisasi ini. Jawatan-jawatan ini mempunyai fungsi untuk menguatkuasakan syariat, mengeluarkan fatwa, menafsirkan hukum, mengendalikan pengadilan dan mengetuai upacara agama.

Dalam sejarah Samudera-Pasai, tokoh pertama dilantik sebagai Sheikhul Islam ialah Sayyid Ali al-Makarani yang dilantik oleh Sultan Malik as-Salleh (1267-1297M). Hikayat Raja-raja Pasai mengatakan Sultan menetapkan syarat supaya semua Pegawai Kerajaan yang dilantik mesti di kalangan orang-orang yang taat kepada Islam. Kemudian muncul pula jawatan Qadhi yang dipegang oleh Sheikh Amir Sayyid as-Syirazi. Qadhi adalah Hakim yang menegakkan syariat dan melaksanakan Sistem Kehakiman Islam. Sedangkan Mufti yang disandang oleh Faqih Tajuddin al-Isfahani pula menyerupai tugas Sheikhul Islam yang menerajui pentadbiran agama dan mengeluarkan fatwa. Majlis Fuqaha' juga diwujudkan untuk membantu Mufti. Pada zaman Sultanah Nahsyiyah (1406-1428M), telah wujud jawatan Wazir Syariat dan Wazir Sufi yang menjadi pembantu utama Sultanah. Berdasarkan jawatan-jawatan ini, menunjukkan bahawa institusi-institusi syariat telah pun wujud dengan kukuh dalam Kerajaan Samudera-Pasai.

Rujukan Undang-undang Syariat di Samudera-Pasai

Pengukuhan pelaksanaan syariat akan bantu oleh Undang-undang Syariat itu sendiri. Namun begitu, Nusantara tidak mempunyai catatan yang jelas mengenai teks undang-undang sebelum abad ke-15, kecuali Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M. Faktor utamanya ialah abad kesembilan hingga 12M adalah zaman pengukuhan Mazhab Fekah selepas empat imam mazhab yang terkenal itu. Sebagai sebuah Wilayah Islam yang baru, yang sebelumnya beraliran Syiah, dan hanya menerima pengaruh Mazhab Syafie pada abad ke-11M, Nusantara berhadapan dengan lacuna (kekosongan) undang-undang dari segi teksnya. Menurut Tajuddin Muhammad, pengaruh Syafie masuk Nusantara melalui Kerajaan Ghowri, India, sedangkan Ayang Utriza Yakin mengatakan ia daripada Kerajaan Ayubiyah dan Mamalik dari Mesir, di mana Mazhab Syafie adalah mazhab rasmi kedua-duanya. Dalam konteks praktis Undang-undang Syariat ini, sebenarnya tiada teks undang-undang yang digubal sehingga abad ke-16M, lebih-lebih lagi kerana Samudera-Pasai tidak termasuk dalam jajahan Melaka yang mempunyai Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang wujud pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1446-1456M).

Maka apakah teks undang-undang di Samudera-Pasai? Mereka murujuk Kitab-kitab Fekah Mazhab Syafie sebagai teks undang-undangnya, kerana di Aceh, Kanun Mahkota Alam atau Qanun al-Asyi dianggap undang-undang terawalnya yang digubal pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah al-Mukammil (1588-1604M). Pada abad ke-15M, dipercayai ulamak-ulamak yang ada di Samudera-Pasai, khusus Mufti dan Qadhi yang dibawa dari Asia Barat dan Parsi telah membawa Kitab Fekah Syafie dari negeri masing-masing ke Samudera-Pasai. Antara kitab yang terkenal sebagai rujukan ialah Takhlis al-Minhaj tulisan Imam Nawawi, al-Ghayah wa at-Taqrib (Abu Sujak), al-Muharrar (ar-Rafie), Tuhfah al-Muhtaj (Ibnu Hajar al-Haitami), Fath al-Wahab (Zakariya al-Ansori), Fath al-Qarib (Ibnu Qassim al-Ghazzi), al-Mahalli (Jalaluddin al-Mahalli), Nihayat al-Muhtaj (ar-Ramli), Mughni al-Muhtaj (Khatib Syarbani) Qalbi wa Umairah (al-Qalyubi), Fath al-Muin (Zainundudin al-Malibari) dan I'anat at-Talibin (Syed Bakri ad-Dimyari).

Pada ketika ini, di Samudera-Pasai, kitab-kitab berbahasa Arab ini belum banyak yang dicetak, menyebabkan para menuliskan Kitab-kitab Fekah yang disadur ke dalam Bahasa Melayu. Selain digunakan sebagai rujukan pelaksanaan syariat, ia juga adalah rujukan dalam majlis-majlis ilmu untuk mengembangkan Mazhab Syafie. Satu lagi sumber hukum di Samudera-Pasai ialah fatwa dan ijtihad para ulamaknya yang berfungsi melalui institusi Mufti dan Majlis Fuqaha', namun ijtihad mereka tetap bergantung kepada Kitab-kitab Fekah Syafie sebagai rujukan.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
20 Syawal 1439 / 4 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 6/7/2018

More Articles ...