PENGISYTIHARAN Perdana Menteri (PM) bahawa PM, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Menteri Kabinet dan semua ahli Parlimen sebagai penjawat awam adalah definisi yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pemimpin negara. Ia bererti bahawa mereka juga adalah penjawat awam yang tertakluk dengan Undang-undang Negara dan tidak boleh melakukan sewenang-wenang sebarang usaha meraih laba daripada kedudukan politik mereka. Pelantikan mereka adalah suatu tanggungjawab yang berat digalas yang akan dihitung bukan sekadar di dunia, ianya bukan kesempatan untuk direbut dan diwarisi.

Dalam kenyataan tersebut PM juga mewajibkan kesemua jawatan dalam pentadbiran mengisytiharkan aset, pendapatan termasuk juga hadiah yang diterima mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kenyataan beliau dilihat sebagai usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa pemimpin negara. Hasrat ini perlu disambut oleh seluruh kepimpinan negara dengan perkhidmatan penuh jujur dan amanah bagi membuktikan mereka berbeza dari Kerajaan sebelumnya. Mencegah rasuah yang membarah di negara ini bukan hanya dilaksanakan terhadap rakyat bawahan. Yang paling utama, pemimpin negara dahulu mesti dibersihkan agar jangan ada mereka yang memegang kuasa pemerintahan terpalit dengan pelbagai skandal dan dakwaan rasuah.

Untuk membuktikan ketelusan pemerintahan negara, agensi penting seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi jaminan untuk diberi kebebasan sepenuhnya menyiasat dakwaan dan kes yang melibatkan pemimpin negara termasuk terhadap PM, TPM dan seluruh anggota Kabinet. Jaminan ini penting supaya SPRM tidak takut bertindak terhadap mana-mana pemimpin negara. Jika tidak ia sekadar slogan muluk dan retorik yang mengulangi apa yang pernah disuarakan oleh regim Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Kenyataan PM memberi makna bahawa pemimpin negara di bawah pemerhatian dan pemantauan rakyat secara langsung. Mana-mana pemimpin yang dilihat tersasar atau hidup di luar kebiasaan dengan kemewahan melampau, rakyat akan melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya. Justeru, ia adalah amaran awal bahawa jika ada seorang pemimpin yang terpalit dengan salah laku dan dakwaan rasuah, pemimpin tersebut mesti bercuti bagi siasatan dijalankan ke atasnya ataupun meletakkan jawatan.

PAS pula bersama dengan rakyat serta jaringan sivil yang lain akan terus memerhati dengan penuh teliti dan menegur mana-mana pemimpin yang curang dan culas. Mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bagi PAS bagi memastikan Kerajaan dan negara tidak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T di akhirat kelak. Oleh kerana itu, PAS sentiasa bersuara lantang dan terus mengkritik agar Kerajaan berada pada landasan sepatutnya. PAS konsisten dalam menegur pemerintah sejak tahun 1955, kadang membayar dengan harga yang mahal atas perlawanannya dengan penguasa sehingga ramai pimpinannya mendekam dalam tahanan politik regim seperti ISA.

Jika Kerajaan benar-benar telus, serius melaksanakan tatakelola Kerajaan yang baik dan agresif mahu menjadikan Kerajaan dan negara ini bersih daripada najis korupsi, rakyat tidak teragak-agak untuk turut membantu. Kerajaan yang bersih daripada najis rasuah menjadi sebab rakyat dan negara juga bebas dari rasuah. Dalam tempoh lima tahun ini, Kerajaan dicabar untuk terus menjaga agar pemimpin, rakyat dan negara bersih atau sifar rasuah. Ia dapat dibuktikan nanti dengan penurunan Indeks Rasuah Negara, kadar tangkapan dan siasatan SPRM menurun, agensi Kerajaan lebih berintegriti dan dipercayai manakala pasukan penguatkuasa juga mendapat keyakinan rakyat. Jika Kerajaan PH gagal menepati janji mereka, maka bersiaplah mereka untuk menjadi pembangkang yang konstruktif pula untuk penggal pemerintahan berikutnya

(Penulis adalah Ahli jawatankuasa PAS Pusat) - HARAKAHDAILY 10/7/2018

RESPONS tindakan Kerajaan Melaka mengiktiraf lepasan UEC untuk diambil sebagai penjawat awam negeri.

I-Guru meyakini bahawa pendidikan merupakan wadah yang terpenting dalam usaha integrasi bagi mewujudkan perpaduan antara kaum serta pembinaan negara bangsa yang utuh dan harmoni di Malaysia.

I-Guru turut menyokong Laporan Rahman Talib yang mencadangkan penyatuan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk semua kaum di Malaysia sebagai langkah paling strategik mendekatkan pelbagai kaum. Walau bagaimanapun, cadangan ini masih belum menjadi kenyataan.

Sehubungan itu, I-Guru melahirkan rasa bimbang dengan usaha pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang akan terus melebarkan usaha integrasi dan perpaduan ini.

I-Guru berasa sangsi dengan kesediaan pihak Kerajaan Negeri Melaka yang mengambil penjawat awam lulusan UEC yang hanya mahu peperiksaan Bahasa Melayu sahaja yang diwajibkan sebagai syarat pengiktirafan tersebut sedangkan peperiksaan lain masih mengekalkan bahasa Cina. Bahkan kurikulumnya berkiblatkan negara Cina dan Taiwan serta mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

I-Guru berpandangan, pengiktirafan UEC dengan syarat sebegini hanya akan meneruskan dua aliran pendidikan yang berbeza dan seterusnya menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup dan pergaulan dalam kalangan rakyat Malaysia.

I-Guru juga menzahirkan rasa bimbang dengan kerapuhan jati diri pelajar yang lahir dari kurikulum yang berkiblatkan negara lain. Bagaimana mungkin semangat patriotisme dapat disemai tanpa bersandar kepada kurikulum nasional sebagai teras pendidikan dan pembinaan jati diri.

I-Guru menyeru agar kerajaan negeri PH bersikap lebih tegas menolak usaha-usaha untuk menghalang perpaduan ini. Kerajaan PH seharusnya mengenepikan perbezaan politik dalam menangani isu ini sekiranya benar-benar komited untuk merealisasikan hasrat perpaduan, pembinaan negara bangsa dan gagasan kemalaysian.

Pendidikan sangat penting untuk mewujudkan perpaduan, semangat patriotisme serta menjamin kestabilan negara. Hala tuju negara dipupuk dan ditentukan melalui pendidikan. Maka kurikulumnya mestilah berasaskan falsafah pendidikan kebangsaan dan dalam kerangka mendaulat bahasa kebangsaan.

Mohd Azizee Hasan
Presiden I-Guru - HARAKAHDAILY 10/7/2018

JAHIL sungguh sebahagian orang Melayu yang bergelar dan berjawatan, apabila berkata tutup sekolah tahfiz (agama) dan iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC).

Menjadi jahil murakab apabila mahukan sekolah tahfiz ditutup. Mereka ini rakyat Malaysia ke bukan? Membaca Perlembagaan atau tidak? Peliknya, kenapa mereka tidak sensitif langsung, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh bertutur dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu (BM) selaku Bahasa Negara?

Sepatutnya, sebagai rakyat Malaysia, semuanya mesti fasih ber-Bahasa Melayu (BM), Bahasa Negara, seperti keluarga Cina saya.

Persoalannya, kenapa masih ada, malah ramai dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk wakil rakyat, bercakap BM berterabur, sedangkan kita sudah merdeka lebih 60 tahun? Dalam keadaan sebegini pun, lebih hina lagi apabila ada mendesak Kerajaan mengiktiraf UEC, meskipun ia bercanggah dengan hasrat Kerajaan dan agenda pembinaan negara bangsa.

Agenda negara seperti Bahasa Negara (BM) mesti dikuatkuasakan dan jangan dipolitikkan. Belum pun 100 hari saya lihat kesilapan demi kesilapan telah dilakukan barisan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengetuai Kerajaan Malaysia. Mungkin disebabkan oleh ramai dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengalaman.

Ada yang terlalu baharu dalam dunia politik. Langsung tidak pernah terlibat dalam pimpinan cawangan atau bahagian, tiba-tiba bertanding, menang, terus dilantik menjadi Ketua Menteri, Menteri atau Timbalan. Lebih malang lagi apabila bercakap tidak berlapis atau fikir dahulu sebelum meluahkan.

Saya harap dalam proses pembelajaran itu mereka akan menjadi matang. Fikir dahulu atau sebelum mengeluarkan kata-kata atau sebelum bertindak. Jika tidak, tidak sampai pun lima tahun lagi, pasti mereka akan ditukar. Rakyat Malaysia sudah bijak.

Saya tidak dapat menerima sama sekali apabila ada rakyat Malaysia tidak dapat bertutur dan memahami Bahasa Negara atas beberapa alasan:

Pertama, sebab mereka adalah rakyat Malaysia dan lahir di Malaysia, tidak ada alasan untuk tidak fasih BM, kecualilah mereka lahir di China atau di India; dan

Kedua, BM adalah Bahasa Negara, mana mungkin rakyat Malaysia tidak dapat menguasainya. Apa yang mereka buat selama ini?

Kefasihan Peguam Negara baharu, Tommy Thomas dalam BM antara isu yang dibangkitkan pengkritiknya ketika beliau dinamakan sebagai pengganti Peguam Negara sebelumnya. Namun, tidak dihiraukan.

Saya sangat terkejut apabila Peguam Negara sendiri berkata beliau akan mempelajari BM yang telah ditinggalkan selama ini, lebih 40 tahun berkecimpung dalam sektor perundangan.

Kenapa ditinggalkan Bahasa Negara sedangkan kita tinggal dan mencari makan di sini? Orang Bangladesh yang tidak sampai setahun di sini pun boleh bertutur dan memahami BM dengan baik, kenapa kita yang bergenerasi tinggal di sini tidak dapat menguasai Bahasa Negara ini?

Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia? Kita resah jika mereka jahil Bahasa Inggeris (BI) dan Bahasa Ibunda tetapi kita tidak langsung kisah jika mereka jahil BM?

Peguam Negara yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, meminta perbicaraan di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam BI. Beliau berjanji akan memperbaiki kelemahan ber-Bahasa Melayu.

Alasan beliau, ketika menjadi peguam selama 42 tahun, berurusan dengan anak guam, pada dasarnya klien komersial dan dokumen, beliau mengabaikan BM saya. Beliau berjanji akan memperbaiki BM.

Persoalannya, bolehkah bahasa dikuasai sepenuhnya dalam jangka masa singkat sementara menunggu 5 tahun lagi?

Inilah akibatnya apabila kita memandang remeh agenda Negara. Sibuk berpolitik. Agenda Negara menjadi percaturan politik. Apabila penegasan dibuat, maka di situ ada kepentingan politik, akhirnya agenda Negara diketepikan demi mendapat undi.

Apakah kita sudah lupa, pada 10 Oktober 2009, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menolak rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam BI adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses Mahkamah.

Hakim tersebut berkata, keutamaan BM dalam Mahkamah kita tidak boleh dinafikan. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah mesti dibuat dalam Bahasa Kebangsaan.

Begitu juga Peraturan 101, Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994, menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam Bahasa Kebangsaan.

Peguam terikat dengan ketetapan menggunakan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dalam prosiding Mahkamah. Menurut penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan ketika menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM 100 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Hakim Abdul Malik Ishak, BM mesti digunakan bukan sahaja ketika prosiding, tetapi juga dalam memfailkan dokumen Mahkamah. Kegagalan pihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam BM akan menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh digunakan.

Beliau berkata, Mahkamah perlu menguatkuasakan keperluan memfailkan dokumen Mahkamah dalam BM seperti ditetapkan undang-undang.

Memorandum rayuan dalam BI yang difailkan Anwar secara terang-terangan melanggar undang-undang dan perlu ditolak. Perayu mesti memfailkan memorandum rayuan dalam Bahasa Kebangsaan. Tiada bahasa lain akan dilayani dan tidak layak sebagai rekod rayuan.

Untuk makluman, Anwar memfailkan saman pada 26 Januari, 2006, mendakwa kenyataan Tun Mahathir yang menggelarnya sebagai seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkannya secara peribadi dan kapasiti rasminya sebagai bekas Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Pada 4 Julai, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala lumpur menolak saman itu dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman itu. Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu (Bernama, 9 Disember 2009).

Saya masih yakin dengan apa yang saya tulis selama, jika dibanci selagi lagi penduduk Malaysia setiap 10 tahun, bagi tahun 2020 nanti, bukti-bukti seperti ini pasti akan berulang.

Pada 2010 apabila banci penduduk dibuat, rupa-rupanya begitu ramai rakyat Malaysia, terutama orang Cina tidak dapat bertutur dan memahami BM. Pembanci terpaksa membawa penterjemah sebagai pengantara untuk menterjemahkan BM yang disampaikan pembanci ke dalam Bahasa Cina (juga India).

Wajarkah rakyat Malaysia terpaksa menterjemahkan BM selaku Bahasa Negara kepada rakyatnya sendiri? Pergilah ke dunia lain dan lihat. Tidak pernah ada berlaku, kecuali di Malaysia.

Inilah akibatnya apabila kita terlalu rasis dan obses dengan bangsa sendiri sehingga agenda Negara ditolak ke tepi. Sistem pendidikan berasaskan kaum terus bersarang sehingga tidak boleh disentuh. NGO dan parti politik ultra kiasu lebih berkuasa daripada Kerajaan. Kerajaan terpaksa tunduk untuk kekalkan kuasa.

Kajian saya ke atas orang Cina membuktikan, majoriti mereka tinggal di kawasan perumahan Cina, bersekolah Cina, mendengar dan menonton siaran radio dan TV Cina, membaca akhbar Cina dan berkawan dengan Cina. Tidak bercampur dengan orang Melayu.

Pendek kata, sosialisasi mereka terlalu ke-Cinaan (Ke-Indiaan). Berbeza sekali dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Apabila BM tidak ditekankan atau diwajibkan, sampai bilakah masa mereka akan menguasai dan menghayati agenda Negara seperti Bahasa Negara.

Kita menganggap perkara ini kecil, lebih hina lagi, ada orang mencadangkan supaya menutup sekolah agama (tahfiz) dan iktiraf UEC. Wah! Hebat Malaysia.

Wahai pemimpin politik! Berfikirlah, rancanglah mulai sekarang, bagaimanakah untuk memandaikan rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati agenda Negara sebelum terlambat. Janganlah asyik berpolitik kerana ia akan menghancurkan Negara kita pada suatu nanti.

Akhirnya, saya rasa bersyukur atas kenyataan Menteri Pendidikan terbaharu, akan mengkaji UEC secara holistik sebelum diiktiraf terutama melibatkan subjek BM.

PROF DR RIDHUAN TEE ABDULLAH
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) - HARAKAHDAILY 10/7/2018

LEGASI Empayar Melayu yang ditinggalkan oleh Sriwijaya (682-1100M) pada abad ke-12M memerlukan penyambung yang dapat membina semula kekuatan bangsa selepas diserang Empayar Chola (300-1279M) dari India pada 1025M. Kejatuhan Sriwijaya yang beragama Buddha sebenarnya membangkitkan dua kuasa politik Melayu pada abad ke-13M, iaitu Dharmasraya (1080-1347M) yang beragama Hindu dan Melaka yang telah memeluk Islam. Dharmasraya di Jambi (sebelum berpindah ke Pagaruyung) yang bersekutu dengan Singhasari (1222-1292M), Kerajaan Hindu di Jawa menjadi saingan utama Melaka yang baru memeluk Islam dan bertapak di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika Melaka bersekutu dengan Samudera-Pasai untuk membangkitkan gelombang Islam, muncul pula Majapahit (1293-1498M) yang membangunkan Empayar Hindu di Nusantara. Di Utara, kebangkitan Kerajaan Buddha Ayyutthaya (1350-1767M) turut mengancam Melaka, selepas Sukhothai (1238-1430M) merosot. Inilah gambaran persaingan politik-agama di kalangan Kerajaan-kerajaan di Nusantara pada abad ke-13 dan 14M, di mana Melaka adalah salah satu pesaing utamanya.

Kebangkitan Melaka sebagai penyambung Empayar Sriwijaya sebenarnya diperkuatkan oleh faktor Islam. Melaka telah berkembang pesat dalam masa 250 tahun dengan menjadi pusat perdagangan tersibuk dan terpenting, sedangkan dalam meluaskan pengaruh politiknya, Melaka dapat menguasai semula wilayah utama Sriwijaya, khususnya Negeri-negeri pesisir Selat Melaka hingga Segenting Kra. Kekuatan ini sekali gus merangsang kemajuan Islam dalam pentadbiran, pelaksanaan Syariat dan perkembangan dakwah. Dalam mengukuhkan kedudukan ini, Melaka telah membina hubungan dengan Dinasti Ming (1368-1683M) di China, selain Khalifah Abbasiyah-Mamluk (1250-1517) di Kaherah melalui Syarif Makkah, Daulah Othmaniyah (1289-1924M) yang disebut sebagai Sultan Rom dan Kesultanan Delhi (1206-1526M) di India. Ketokohan dan kewibawaan Sultan-sultan Melaka sangat berkesan terhadap kemajuan ini, di samping dukungan besar daripada para pembesar dan ulamak dalam membentuk sebuah Empayar Islam di Nusantara.

Melaka menyambung Legasi Sriwijaya

Sriwijaya adalah Empayar Melayu yang melanjutkan Kerajaan Minanga yang wujud pada awal abad ketujuh Masehi. Empayar Melayu Buddha yang berpusat di Palembang ini menguasai seluruh Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu hingga Segenting Kra, seluruh Pulau Jawa kecuali Jawa Timur, dan Champa di Indo-China. Sriwijaya runtuh pada abad ke12M setelah diserang Empayar Chola dari India pada 1025-1026M dan Dharmasraya dari Batanghari (Jambi) pada 1088M. Keruntuhan Sriwijaya telah menyebab keluarga Dirajanya berundur dari Palembang. Sebahagian daripada mereka ke Pulau Bintan, dan akhirnya berkerajaan di Singapura. Kerajaan Singapura yang diasaskan oleh Sang Nila Utama akhirnya terpaksa berundur ke Melaka kerana diserang oleh Majapahit. Kebangkitan Melaka sebagai sebuah Kerajaan Melayu adalah menyambung legasi Sriwijaya sebelumnya yang merupakan Empayar Melayu terbesar antara abad ketujuh hingga 11M.

Sriwijaya disebut sebagai "Sribuza" dalam catatan Arab, "San-fo-si" dalam catatan Cina, "Yavadeh" dalan catatan Pali dan Sanskerta dan "Malayu" dalam catatan Khemer. Para pengkaji menjangkakan Pulau "Sabadeibei" dalam peta Ptolemy (150M) adalah Sriwijaya. Keagungan Sriwijaya telah mengangkat Bangsa Melayu menjadi kuasa besar di Tenggara Asia dan Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca di Nusantara terutama dalam urusan perdagangan, selain menjadi pusat pengembangan Agama Buddha. Atas asas kekuatan ini, para Khalifah Islam telah mewujudkan hubungan dengan Sriwijaya terutama pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz (717-720M). Walaupun Dharmasraya yang disebut dalam Prasasti Grahi (1183M) juga merupakan Empayar Melayu Hindu yang besar, dan pernah menjadi sekutu Singhasari, tetapi ia tidak dapat menahan kebangkitan Majapahit dari Jawa. Yang dapat bangkit menggantikan Sriwijaya sebagai Empayar Melayu ialah Melaka yang berdiri pada 1262M, dengan putera Palembang sendiri yang mengasaskan kerajaannya.

Dari pelabuhan menjadi empayar

Pemilihan Melaka sebagai Pusat Kerajaan Baru oleh Parameswara berkait rapat dengan kedudukan strategiknya sebagai sebuah pelabuhan di Selat Melaka, iaitu di muka Sungai Bertam (sekarang Sungai Melaka). Maka dari bandar pelabuhan inilah Parameswara membina Kerajaan pada peringkat awal, kemudian selepas memeluk Islam dan mengahwini Puteri Perlak yang juga ipar Sultan Samudera-Pasai, Melaka mula dikunjungi oleh para pendakwah dan pedagang dari Arab, Parsi, India dan China sehingga ia dapat mengambil alih peranan pelabuhan Samudera-Pasai di Selat Melaka. Pada zaman kemuncaknya, dikatakan 83 bangsa yang datang berdagang di Melaka, sehingga Tome Pires menyifatkan Melaka sebagai imperium dunia. Beberapa ketika selepas kemunculan Melaka dan tersebarnya Islam, Kerajaan yang baru ini dirundung malang apabila berlaku konflik dalam Istana disebabkan oleh perebutan takhta dan Sultan yang lemah. Sultan Mahkota (1282-1284M) dan Sultan Abu Syahid (1341-1343M) adalah antara Sultan yang tidak berkesan di Melaka, sedangkan Sultan Mohammad Shah (1284-1341M) masih memberi tumpuan mengekalkan kelangsungan Melaka dalam wilayah yang kecil.

Apabila Raja Kassim (Sultan Muzaffar Shah) (1343-1373M) menjadi Sultan pada 1343M, baharulah nama Melaka mulai terkenal dan Islam dijadikan agama rasmi. Para pendakwah mula dikirimkan ke pulau-pulau seluruh Nusantara termasuk Brunei dan Mindanao. Kemasyhuran Melaka telah memaksa mereka menghadapi serangan Siam yang cuba meluaskan pengaruh selepas kebangkitan Ayutthaya pada 1350M. Pada zaman Sultan Mansur Shah (1373-1446M), bagi menghadapi ancaman Siam, Melaka membina hubungan dengan China dan Laksamana Cheng Ho telah melawat Melaka sebanyak tiga kali, sehingga Siam tidak lagi mengancamnya. Pada zaman ini juga Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka telah diwujudkan. Dengan kekuatan yang ada ini, Sultan Alaiddin Riayat Shah (1446-1479M) bukan sahaja mewarisi sebuah Kerajaan yang kuat, tetapi dapat pula baginda mengukuhkan kedudukan dengan melaksanakan Syariat yang lebih tegas, di samping aktiviti dakwah yang semakin rancak. Melaka dapat melahirkan beberapa tokoh seperti Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga dan Sunan Fatahillah yang mengembangkan Islam di Jawa dan mengasaskan Kerajaan Demak pada 1475M.

Selepas kewafatan Sultan Alaiddin Riayat Shah, Sultan Mahmud Shah (1479-1510M) telah membangunkan Empayar Melaka dengan lebih luas. Negeri-negeri Melayu yang dikuasai sebelum ini oleh Sultan Mohammad Shah seperti Pahang, Sungai Ujung, Kelang dan Selangor, telah diperluas oleh Sultan Muzaffar Shah ke Dinding, Muar, Batu Pahat, Singapura dan Bintan. Sedangkan Bernam, Beruas, Perak, Kedah, Terengganu dan Johor dikuasai pada zaman Sultan Mansur Shah. Sultan Mahmud Shah kemudiannya meluaskan lagi Wilayah Melaka ke Kelantan, Pattani hingga ke Singgora, di samping seluruh Pantai Timur Sumatera dari Aru hingga Jambi. Hubungan diplomatik dengan Kerajaan-kerajaan Islam di India, Makkah, Kaherah dan Rom juga diperkukuhkan, sehingga akhirnya Melaka menjadi sasaran penjajah Kristian Portugis pada 1511M. Akibat serangan Portugis ini, Kerajaan Melaka telah runtuh dan Sultan Mahmud Shah terpaksa berundur ke Muar dan akhirnya mendirikan Kerajaan Johor-Riau.

Tokoh-tokoh utama di Melaka

Sepanjang suku alaf kemunculan Melaka (1262-1511M) dalam politik dan sejarah Nusantara, Empayar Islam ini telah melahirkan tokoh-tokoh besar dalam bidang politik dan juga agama, termasuk tokoh-tokoh di kalangan orang bukan Melayu. Mendahului kegemilangan tokoh-tokoh tersebut ialah Parameswara (1262-1282M) sendiri yang merupakan pengasas dan pembangun Melaka. Kemudian muncul pula beberapa Sultan yang terkenal iaitu Sultan Muzaffar Shah (1343-1373M), iaitu Sultan yang bertanggungjawab meletakkan Islam sebagai agama rasmi Melaka, sekali gus membuka ruang kebangkitan Islam, manakala Sultan Mansur Shah (1373-1446M) pula telah memperkenalkan Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang bertulis berasaskan Islam. Sultan Alaiddin Riayat Shah (1446-1479M) pula dianggap Sultan yang terbaik kerana telah mempraktiskan cara pentadbiran Khalifah Umar al-Khattab (634-644M), sedangkan Sultan Mahmud Shah (1479-1510M) adalah penakluk bagi Empayar Melaka sehingga Selat Melaka dapat dikuasai sepenuhnya.

Selain daripada Sultan-sultan yang berwibawa ini, kekuatan Melaka sangat dibantu oleh para pembesar yang berwibawa sama ada sebagai Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Temenggung atau pembesar yang lain. Tokoh-tokoh utama di kalangan pembesar ialah Bendahara Seri Wak Raja Tun Pepatih, Bendahara Tun Perak, Bendahara Tun Mutahir dan Bendahara Tepok. Mereka adalah pentadbir utama mewarnai kegemilangan Melaka. Di kalangan Laksamana, Penghulu Bendahari dan Temenggung yang terkenal ialah Laksamana Hang Tuah, Laksamana Hang Jebat dan Laksamana Hang Nadim. Tun Ali pula merupakan bekas Penghulu Bendahari Melaka yang pernah menjadi Bendahara, manakala Temenggung Khoja Hassan juga adalah antara yang terkenal di kalangan mereka. Di satu sisi yang lain, turut berperanan besar dalam Kerajaan Melaka ialah para ulamak yang menjadi pentadbir agama seperti Makhdum Syed Abdul Aziz, anaknya - Qadhi Maulana Yusof dan cucunya - Qadhi Maulana Munawar yang merupakan pemimpin agama yang utama di Melaka. Maulana Sadar Jahan juga berperanan besar terutama ketika Melaka menghadapi serangan Portugis pada 1511M.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
25 Syawal 1439 / 9 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 10/7/2018

KEPERCAYAAN diletakkan teraju tertinggi kepimpinan PAS kepada anggota Exco DPPM membuktikan Pemuda PAS sentiasa unggul melahirkan tenaga-tenaga berwibawa.

Kami berbesar hati dan menghargai pelantikan Pengarah Strategi DPPM, Mohd Syahir Che Sulaiman selaku Setiausaha Politik Presiden PAS yang baharu.

Kemampuan DPPM melahir dan membekalkan keupayaan seperti ini adalah antara aset serta kekuatan terhadap kelangsungan dan masa depan perjuangan PAS dengan izin Allah.

Kami amat menyedari betapa ianya adalah harapan dan sandaran untuk Pemuda PAS lebih berdaya maju dan istiqamah menggalas agenda serta cita-cita perjuangan Islam.

Namun, kami sentiasa mengharap nasihat juga dukungan untuk terus menjana potensi dan meneguhkan PAS di arena siasah dakwah negara ini dan antarabangsa hingga mencapai sejahtera Akhirat.

Tahniah kepada Mohd Syahir dan semoga diberi pertolongan oleh Allah untuk melaksanakan taklifan ini dengan lebih cemerlang. Para Pemuda PAS teguh memastikan tanggungjawab ini dipikul bersama.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 10/7/2018

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) membantah keras pengesahan tindakan Ketua Menteri Melaka YAB Haji Adly Zahari untuk mengiktiraf lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pengambilan perkhidmatan kerajaan negeri Melaka.

Pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) merupakan suatu pengkhianatan besar kepada Dasar Bahasa Kebangsaan 1963/67, Dasar Pendidikan Negara, Penyata Razak 1956 serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1996.

Ia juga melanggar peruntukkan 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

Tindakan ini memperlihatkan bahawa agenda tersembunyi pihak pihak yang tertentu telah berjaya dilaksanakan sebaik sahaja Kerajaan Pakatan (PH) berjaya memenangi PRU14.

Tindakan ini juga merupakan malapetaka berganda kepada sistem pendidikan negara apabila bahasa Melayu mulai dicabar dan dipinggirkan bermula dengan pelaksanaan keputusan oleh Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui oleh PH.

Tindakan ini dengan sendirinya mengesahkan pengiktirafan pelaksanaan UEC secara langsung dan akan mewujudkan dua aliran (dua bahasa) yang besar dalam sistem pendidikan negara, sistem peperiksaan awam SPM dalam bahasa Melayu dan sistem pepereksaan UEC dalam bahasa mandarin/cina.

Pengiktirafan UEC dilihat merupakan tindakan politik yang terdesak oleh Ketua Menteri bagi membalas sokongan pengundi pihak pihak tertentu untuk memenangi PRU14.

Sedangkan tindakan ini telah melanggar dan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan yang juga sebagai bahasa intergrasi nasional.

Mohd Zai Mustafa
Ketua Eksekutif MAPPIM - HARAKAHDAILY 10/7/2018

KUALA LUMPUR: Pendapat bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) supaya sekolah tahfiz ditutup tidak bersifat membina tetapi lebih merujuk kebencian peribadi beliau terhadap institusi tahfiz, golongan agama dan pendakwah.

“Pandangan beliau yang menghina cabang institusi keilmuan Islam itu telah menimbulkan keresahan umat Islam yang menyintai Al Quran, ingin mendalami Al Quran dan meletakkan Al Quran sebagai panduan hidup,” ujar Presiden Persatuan Permata Al Quran Malaysia, Ustaz Manolito Mohd Dahlan dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, sebagaimana di bawah.

PERSATUAN Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia (Permata Al Quran) kesal dengan kenyataan di dalam portal Malaysiakini pada 7 Julai 2018 dengan tajuk 'Zam Saran Mujahid Tutup Sekolah Tahfiz'. Ianya dilihat sangat keterlaluan dan dibelenggu kejahilan terhadap realiti sebenar keadaan institusi tahfiz di negara ini. Pendapat Zam tidak bersifat membina tetapi lebih merujuk kebencian peribadi beliau terhadap institusi tahfiz, golongan agama dan pendakwah. Pandangan beliau yang menghina cabang institusi keilmuan Islam itu telah menimbulkan keresahan umat Islam yang menyintai Al Quran, ingin mendalami Al Quran dan meletakkan Al Quran sebagai panduan hidup.

Islam mengajar umatnya beradab dengan Al Quran dan Rasulullah SAW melalui sebuah hadith sahihnya mengajar kita bahawa 'sebaik-baik orang ialah yang belajar dan mengajar Al Quran'. Permata Al Quran meminta YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa agar tidak mempedulikan kenyataan Zam itu malah wajar menasihati Zam agar jangan mencampuri urusan pentadbiran Islam oleh kerajaan baru.

Permata Al Quran yakin YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mempunyai visi dan misi untuk memajukan lagi sistem pendidikan Islam termasuk sekolah-sekolah tahfiz di Malaysia. Masa depan Islam di Malaysia dengan segala institusi yang mendukungnya harus terus maju dan ditambahbaikan dan bukannya mengundur ke belakang dengan menutup institusi pendidikan agama yang telah diterima rakyat seperti yang disarankan oleh Zam. Aktiviti dan amalan Islam adalah suatu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri. Jika sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dibiarkan tumbuh subur, kenapa institusi yang dekat di hati umat Islam hendak ditutup?

Maahad-maahad tahfiz telah wujud sejak 1961 dan sehingga kini terdapat 1,281 buah maahad tahfiz di seluruh negara. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan terhadap institusi umat ini. Pihak Permata Al Quran umpamanya telah mengambil pelbagai inisiatif dengan kerjasama pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan swasta untuk memperkasakan institusi tahfiz seperti berikut:

1. Membantu mengubal Dasar Pendidikan Tahfiz Negara pada tahun 2016 yang akan mengangkat pendidikan tahfiz sebagai pendidikan arus perdana (mainstream) negara.

2. Membantu mewujukan Maahad Tahfiz Sains yang telah melahirkan ramai graduan huffaz di bidang professional seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya.

3. Kewujudan Tahfiz Tvet hasil kerjasama dengan Kolej Komuniti, Giat Mara dan politeknik yang telah dapat melahirkan huffaz yang berkemahiran, malah telah berjaya mewujudkan Program Tahfiz Aero Angkasa hasil kerjasama dengan Syarikat CTRM .

4. Pihak persatuan juga telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Sumber Manusia untuk melatih pelajar tahfiz dengan pendidikan NOSS (National Occuputional Skill Standard) meliputi pengurusan tahfiz, pengajaran tahfiz dan pengurusan masjid. Ini akan dapat melahirkan huffaz yang berketerampilan dan bernilai tambah (value added).

5. Pihak persatuan sentiasa berkerjasama dengan pihak kerajaan, insititusi pengajian tinggi dan pihak swasta untuk mengadakan pelbagai kursus dan latihan tambahan untuk menambah keilmuan pelajar-pelajar tahfiz.

6. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan oleh maahad-maahad tahfiz terutama dalam sistem pendidikan tahfiz merangkumi pembangunan kurikulum pendidikan, latihan perguruan, sistem pengurusan, infrastruktur sekolah dan keselamatan.

Pendidikan Al Quran adalah teras kepada agama Islam. Pendidikan Al Quran juga telah diiktiraf sebagai pendidikan yang terbaik yang mampu untuk melahirkan jati diri dan membentuk syaksiah insan. Pada hari ini banyak insitusi pendidikan arus perdana berintegrasi dengan sistem hafazan Al Quran sehingga melahirnya Sekolah Imtiaz, MRSM Ulul Albab , Sekolah Tahfiz Integrasi Sains & Teknologi dan wujud pula kerjasama langsung dengan institusi pengajian tinggi awam sehingga lahir lebih ramai pelajar cemerlang dalam pengintegrasian ilmu sains teknologi dan hafazan Al Quran.

Pihak persatuan juga meminta kepada mana-mana pihak yang prejudis dengan institusi tahfiz supaya berlaku adil dan lebih teliti di dalam mengeluarkan kenyataan. Jangan bermain dengan sentimen kebencian dan kebebalan lama yang 'ellergic' dengan sesuatu yang bersifat agama. Era ini adalah era kebangkitan Islam di seluruh dunia, zaman merapu dan menjelekkan agama seperti yang pernah dilakukan oleh Zam dahulu telah berakhir.

Sehubungan itu, pihak Permata Al Quran tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap Zam atas perbuatan menghasut sekiranya beliau masih terus-menerus menghina institusi agama Islam seperti sekolah-sekolah tahfiz. Ini bagi mengelak berlakunya kemarahan rakyat, perpecahan, permusuhan serta tanggapan negatif terhadap institusi Islam.

Kami mengharapkan agar pihak Kerajaan Baru pasca PRU14 dapat memperkukuhkan lagi insititusi tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama dengan menyediakan lebih banyak peruntukan, menyediakan pelbagai latihan-latihan malah memberi ruang yang lebih luas untuk lepasan maahad tahfiz supaya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan menyediakan bidang pekerjaan dalam pelbagai sektor. - HARAKAHDAILY 10/7/2018

More Articles ...