RAKAN saya di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga bekas Ketua AMK menyatakan bahawa tiada guna Kelantan bergelar Serambi Makkah jika pembalakan berleluasa.

Saya tidak ingin menyentuh tentang fakta pembalakan di Kelantan yang semua orang tahu bahawa Jabatan Perhutanan Kelantan pernah dianugerah sijil MS ISO 9001: 2008 di atas kejayaan pengurusan pengeluaran kayu secara berkekalan di hutan simpan kekal.

Sijil anugerah itu dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia bagi tempoh 21 September 2016 sehingga 14 September 2018. Barangkalikah sebuah negeri yang berlakunya pembalakan berleluasa menerima sijil tersebut?

Soalan balas saya kepada saudara Nik Nazmi ialah, wajarkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) digelar dengan nama 'Keadilan' jika berleluasanya politik wang di dalam parti tersebut?

Bukan saya yang kata, calon Timbalan Presiden PKR yang menyatakan demikian. Jika dakwaan itu benar, bermakna hampir 51 peratus yang mengundi YB Datuk Seri Azmin Ali sebagi Timbalan Presiden adalah berkemungkinan daripada yang telah dibeli undinya? Selamatkah sebuah parti jika Timbalan Presidennya menang dengan undi dibeli?

Jika dakwaan itu tidak benar, bermakna kira-kira 49 peratus yang mengundi Rafizi Ramli telah mengundi seorang pembohong. Selamatkah sebuah parti yang 49 peratus anggotanya mengangkat seorang pembohong untuk menjadi pemimpin?

Jadi soalannya, adakah layak PKR digelar Parti Keadilan Rakyat? Sekadar soalan untuk soalan YB Nik Nazmi.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
19 November 2018 - HARAKAHDAILY 19/11/2018

 

SUHU atmosfera politik tanah air luar biasa panas kebelakangan ini walaupun musim tengkujuh sudah mula melanda. Ia berikutan daripada isu ICERD yang ditentang keras oleh masyarakat Melayu-Muslim dan golongan bumiputera.

Umum mengetahui, Kerajaan PH hari ini didominasi oleh kelompok bukan Muslim kerana bilangan Ahli Parlimen Muslim dalam PH hanyalah 58 orang berbanding ahli parlimen bukan muslim seramai 66 orang.

Antara kesilapan besar dalam pembentukan Kabinet PH ialah apabila Perdana Menteri melantik Senator P. Waytha Moorthy sebagai Menteri melalui pintu belakang.

Dia tidak pun dipilih oleh rakyat pada PRU14 yang lalu.

P. Waytha Moorthy merupakan pengasas dan pemimpin utama Hindu Rights Action Force (HINDRAF), kumpulan ekstrem menuntut hak penganut Hindu yang kononnya ditindas oleh kelompok Muslim di Malaysia.

Sebagai penghargaan kepada HINDRAF kerana membantu PH memperoleh sokongan undi masyarakat India maka P. Waytha Moorthy dianugerahkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).

Pemimpin HINDRAF yang kerjanya menghasut perpecahan rakyat dilantik sebagai menteri untuk agenda perpaduan, sungguh melucukan bukan Kabinet PH ini?

Sepertimana PH melantik Teresa Kok, Ahli Parlimen DAP Seputeh Wilayah KL sebagai Menteri Industri Utama untuk menjaga hal ehwal penoreh getah, pekebun dan peladang sawit.

Pada 23 Oktober 2018, Senator P. Waytha Moorthy berucap dalam perasmian penutup Persidangan Kebangsaan Non-Diskriminasi ke-8: "Malaysia Lebih Dekat untuk Meratifikasi ICERD" anjuran Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS).

Beliau menyatakan bahawa “Kerajaan Malaysia komited untuk meratifikasi enam perjanjian antarabangsa termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun hadapan”.

Sebelum daripada itu, Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuriraani a/p Patto ketika berucap di Parlimen pada 15 Oktober 2018 turut menggesa Kerajaan PH agar mematuhi janji ke-26 dalam Manifesto Pakatan Harapan iaitu meratifikasi kesemua konvensyen antarabangsa termasuk ICERD ini.

Antara kenyataan pertama Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah setelah dilantik sebagai menteri ialah pada 02 Julai 2018 , beliau menyatakan hasrat Kerajaan PH mahu meratifikasikan kesemua baki 6 konvensyen antarabangsa yang masih belum ditandatangani.

Jadi, tuduhan Anwar dan pemimpin PH kononnya PAS dan Umno memanipulasi isu ini bagi kepentingan politik adalah tidak benar kerana yang mula menuntut dan berjanji ICERD ini diratifikasikan ialah pemimpin PH sendiri.

Usahlah hanya pandai membaling batu tetapi sembunyi tangan pula dalam ketakutan.

PH juga kelihatan tidak seiring sekata dalam icu ICERD ini.
PPBM antara yang paling awal menolak ICERD.
PKR kata ICERD ini bagus tapi perlu tangguh dulu.
PAN pula tengah pening lalat, presiden senyap sepi, timbalan presiden menolak, Mujahid dan Khalid Samad pula perlekeh orang yang menentang ICERD.

DAP antara pendokong tegar ICERD ini, lihat sahaja kenyataan rasmi di portal Roketkini yang bertajuk "DAP harus sokong ICERD" sepertimana yang terkandung dalam Deklarasi Setapak 1967 bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label “bumiputera” dan “bukan bumiputera”.

Di Parlimen pada hari ini, suasana Dewan menjadi kecoh apabila tiba giliran Senator P. Waytha Moorthy menyampaikan ucapan penggulungan belanjawan 2019 bagi portfolionya iaitu perpaduan.

Dia ditekan hebat oleh barisan Ahli Parlimen Pembangkang yang meminta dia bercakap benar berkenaan hasrat meratifikasi ICERD.

P. Waytha Moorthy mengubah pula kenyataan yang dahulunya dia berkata Kerajaan akan meratifikasi ICERD pada suku pertama tahun hadapan kepada sesi konsultasi akan bermula pada tempoh tersebut.
Dia juga didesak memperjelas berkenaan kononnya Artikel 153 Perlembagaan tidak terjejas apabila ICERD diratifikasi sedangkan Artikel 1. 4 Konvensyen ICERD secara jelas menyatakan pengecualian (reservation) perlu ada had tempoh masa bukannya boleh kekal untuk selamanya.

"4. Special measures taken for the sole purpose of securing adequate advancement of certain racial or ethnic groups or individuals requiring such protection as may be necessary in order to ensure such groups or individuals equal enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedoms shall not
be deemed racial discrimination, provided, however, that such measures do not, as a consequence, lead to the maintenance of separate rights for different racial groups and that they shall not be continued after the objectives for which they were taken have been achieved."

Apa jaminan Kerajaan PH tidak akan mengusik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan suatu hari nanti kerana pihak antarabangsa pasti mendesak ianya dihapuskan seiring dengan matlamat utama ICERD ini diwujudkan iaitu menyamaratakan hak kesemua kaum tanpa ada diskriminasi?

Kelihatannya P. Waytha Moorthy gagal menjawab persoalan asas ini sehingga dia sendiri tidak dapat meneruskan sesi penggulungan akibat asakan kuat daripada sekalian Ahli Parlimen Pembangkang.

Yang anehnya, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Kerajaan PH yang berani bangun membela P. Waytha Moorthy yang terkapai-kapai keseorangan menghadapi serangan demi serangan Pembangkang.

Benar apa yang dikata Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Ustaz Dato' Tuan Ibrahim bahawa Menteri Perpaduan ini sudah hilang kelayakan untuk menjawab di dalam Dewan. Tugas ini perlu digalas oleh Perdana Menteri sendiri.

Tekanan demi tekanan perlu diteruskan terhadap Menteri PH ini agar dia sedar dan insaf bahawa apa yang dia pernah sebut dalam rakaman video yang sedang hangat tersebar itu adalah suatu fitnah jahat dan pengkhianatan kepada negara Malaysia yang menganugerahkan kewarganegaraan kepadanya.

Tidaklah mustahil P. Waytha Moorthy ini akan berundur sepertimana yang dia pernah lakukan ketika bergelar timbalan menteri pada zaman BN dahulu. Dia meletakkan jawatan pada 10 Februari 2014.

Seandainya PM sedar akan kemarahan rakyat yang sedang meluap sekarang, sepatutnya sudah tiba masanya P. Waytha Moorthy ini digugurkan terus daripada jawatan menteri.
Lagipun dia bukannya dipilih oleh rakyat pada PRU 14 lepas.

Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
19 November 2018 – HARAKAHDAILY 19/11/2018

ADA tuduhan yang mengatakan PAS hanya lawan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sahaja, tak lawan 1MDB. Untuk makluman, PAS bukan lawan ICERD sahaja. PAS juga lawan seks songsang, 1MDB, LGBT, kes rasuah banglo, kes terowong, Forex, PKFZ, Perwaja, kes rasuah, kes akidah. Bacalah daripada media PAS. Jangan ambil maklumat sampah yang tidak tahu mana asal usulnya.

Janganlah duduk perasan mereka sahaja yang lawan rasuah. Apa yang pelik, bunyi gegak gempita hendak lawan rasuah. Parti sendiri terpalit dengan rasuah. Pemimpinnya bebas tuduhan rasuah. Rakyat sudah pandai menilai. Sekarang musim rakyat tepuk dan senyum kepada pemimpin PH.

Alhamdulillah, semakin lama, semakin terserlah. Rakyat sudah kenal siapa pejuang dan siapa yang ambil peluang. Cakap tidak serupa bikin. Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

PAS bukan parti oportunis. PAS bukan parti yang tidak ada maruah sehingga hilang jati diri. PAS bukan parti yang lapar pada sokongan sampai gadai prinsip perjuangan agama dan jati diri.

Kami diajar berpolitik untuk bekalan mati. Kebenaran kawan PAS, walaupun ia dibawa oleh musuh. Kebatilan musuh PAS walaupun yang bawa itu kawan PAS.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
19 Novermber 2018 – HARAKAHDAILY 19/11/2018

TRAGEDI Memali yang telah terpahat selama 33 tahun dahulu adalah mercu tanda kezaliman BN di zaman pemerintahan Tun Mahathir, 19 November 1985 adalah tarikh bersejarah yang sentiasa mekar dalam ingatan kolektif kita semua. Jika dahulu mantan pimpinan PAS yang kini dalam kabinet kerajaan PHlah yang berada di barisan hadapan meminta mangsa-mangsa tragedi Memali diberikan keadilan. 

riduan mnorKini mulut mereka dikunci rapat untuk bersuara atas apa jua isu yang menyentuh maruah Islam dan bangsa Melayu. Memali akan terus diingati dan menuntut diluruskan sejarah mereka bahawa penduduk kampung ini adalah mangsa kezaliman, sebagaimana kelompok reinkarnasi komunis yang mahukan tragedi Batangkali dibongkar kembali dan diberikan keadilan oleh kerajaan British.

Memali adalah arca yang berdiri memantulkan persoalan demi persoalan, segalanya sangat rahsia seperti membuka kotak pandora yang pemalu. Rakyat Malaysia ingin tahu di manakah Tun saat peristiwa tersebut? Benarkah di dalam negara atau di negara China? Rakyat ingin tahu apakah sebab kematian sebenar empat orang anggota keselamatan yang terlibat dan apakah yang dimaksudkan SOP pihak keselamatan oleh Tun selama ini. Apakah punca sebenar yang menyebabkan 14 orang ahli-ahli PAS yang menjadi korban dalam tragedi ini.

Dekad 1980-an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat. Dasawarsa ini juga menyaksikan keghairahan anak muda untuk menyeru kerajaan melaksanakan tuntutan Islam, manakala rejim bertindakbalas dengan tangkapan- tangkapan ISA.

Watak utama yang menjadi ikonik tragedi ini ialah As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al-Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli, Libya.

Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang. Ustaz Ibrahim bekerja di bawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di Kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat di kalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1978 di Dun Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah pada tahun 1978 dan juga Pengerusi ABIM daerah Baling.

Suara pemuda PAS sangat vokal dalam dekad 80-an, pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda PAS di bawah ISA , antaranya Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. Umno kedah semakin gelisah dengan populariti Ustaz Ibrahim yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput.

Dalam Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1985, sekali lagi wakil Umno Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan Umno di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang sedang menaufan anak-anak muda negara ini.

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung lokasi Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa di daerah agraria itu.

Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz Ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juned mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Perintah berkurung telah dikenakan di daerah ini serta penangkapan ISA sekali lagi menyerkap para pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud. Rentetan daripada itu juga sekatan kepada ceramah-ceramah PAS di seluruh negara, PAS berjaya menenangkan ahli-ahlinya yang gelisah. Manakala seluruh media arus perdana tak lelah menyudutkan PAS sebagai kambing hitam dalam tragedi ini.

Peristiwa Memali 33 tahun lalu tetap utuh bersemayam di tangkai hati kita yang cintakan kebenaran dan perjuangan Islam. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan di antara hak dan batil, juga keteladanan di jalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila'. Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. "Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah" frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan.

Bagi saya, Tun Mahathir masih mempunyai ruang memperbaiki kesilapan lalu, memohon maaf secara terbuka pada keluarga mangsa, meluruskan sejarah Memali yang dipalit dengan fitnah. Kembalikan semula maruah Ustaz Ibrahim yang tercalar, membayar pampasan yang setimpal pada waris-waris mangsa Memali. Tun mempunyai kuasa, maka manfaatkan untuk membetulkan keadaan dan menjernihkan kembali prasangka yang tertanam lebih tiga dekad itu. – HARAKAHDAILY 19/11/2018

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

ISLAM merupakan kunci utama keamanan, keharmonian dan kemakmuran yang melatari tanah air Malaysia selama ini. Kerana ia meluhur kukuh sebagai tonggak penting di dalam Perlembagaan Negara. Menaungi "Rahmatan lil 'alamin" ke atas seluruh rakyat biarpun berbeza adat, budaya, bahasa, kaum dan agama.

Dengan Islam, Allah S.W.T kalimatkan jaminan-Nya terhadap sikap melampau manusia dari melakukan pencerobohan, pengusiran, penganiayaan dan peperangan. Namun, Allah mengingatkan dalam ayat 40 surah al-Hajj, jika tidak ada yang berjuang menegakkan Islam menentang kejahatan itu, banyak pihak akan binasa.

Nescaya kata Allah, akan runtuhlah banyak tempat pertapaan serta gereja (kaum Nasrani), dan tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Mengertikan kehancuran menyeluruh dan tanpa batas kepada sesiapa sahaja sekiranya sikap melampau dibiarkan.

Jika sekiranya agama yang menjadi roh kekuatan umat manusia boleh dimusuhi, tentunya insan lebih lemah seperti kaum wanita, kanak-kanak, warga emas dan miskin lebih mudah ditindas. Ketika itu, perjanjian atau konvensyen hak asasi ciptaan manusia bukan lagi jaminan dan tidak lebih dari umpama sarang labah-labah.

Apatah lagi setelah tembelang kepada usaha meratifikasi ICERD akhirnya pecah membongkar agenda tersembunyi pihak tertentu, menyerlah dendam beralaskan agama dan kaum. Inilah mentaliti keganasan yang mesti segera dicegah. Ia hanya memanipulasi segala deklarasi dan kedudukan untuk mencapai tujuan sulit mereka.

Kesamarataan diuar-uarkan hanyalah ungkapan manis yang sebenarnya adalah racun pembunuh. Paling utama, ianya langsung tidak relevan dan menjejak di bumi Malaysia yang lebih dahulu menjadi contoh kepada dunia dalam menangani kepelbagaian di negara ini. Ia sebaliknya perlu terus diperkukuh dan dipertahankan.

Kami menyeru kebangkitan kesedaran semua sama ada Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, termasuk kaum wanita untuk bersama dalam saf perjuangan membantah ratifikasi ICERD. Demi segala yang telah dikecapi dan masa depan dinanti, kita akan pastikan Malaysia tidak akan kembali dijajah.

"Islam Memimpin"
"Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan"

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 19/11/2018

KEBENCIAN dan dengki terhadap PAS terus bersarang meluap-luap dalam dadanya.

PAS sedang gembeling rakyat bagi menentang ICERD kerana ia mengancam kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera.

Secara tidak langsung istilah "Ketuanan Melayu" bangkit kembali kerana perlindungan terhadap kepentingan Islam dan Melayu Bumiputera yang dijamin dan diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan bakal terancam kiranya dilihat melalui kaca mata sempit ICERD.

Dan dalam kepanasan semangat menolak ICERD ini beliau bangkit menerjah kononnya "Ketuanan Melayu" itu bertentangan dengan konsep keadilan yang dibawa Islam.

Lihatlah betapa kacau dan terganggu fikiran orang yang seperti beliau.

Asal sahaja ada modal untuk perlekeh dan burukkan PAS akan beliau kutip dan eksploit walaupun kosong dan tiada asas.

Malang walau status bertaraf Menteri Pusat namun Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara gagal difahami baik-baik.

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam Bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Ringkasnya Melayu ikut Perlembagaan adalah Islam (bangsa Melayu yang murtad atau menolak Islam bukanlah Melayu ikut definisi Perlembagaan).

Lalu kalau kita perjuangkan "Ketuanan Melayu" hakikatnya kita mahu memartabat dan mendaulatkan Islam dalam perjuangan itu. Islam jika didaulatkan maka ia wajib memberikan keadilan buat semua.

Sabda Rasulullah S.A.W:

َ“Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya."

HR. Ad-Daruquthni (III/ 181 no. 3564), tahqiq Syaikh ‘Adil Ahmad ‘Abdul Maujud dan Syaikh ‘Ali Mu’awwadh, Darul Ma’rifah, th. 1422 H) dan al-Baihaqy (VI/205) dari Shahabat ‘Aidh bin ‘Amr al-Muzany R.A. Lihat Irwaa-ul Ghalil (V/106 no. 1268) oleh Syaikh al-Albany rahimahullah

Oleh itu di peringkat manakah warasnya bila kita menuduh Ketuanan Melayu itu bercanggah dengan Islam?

Janganlah kerana berdendam dengan PAS dan akrab pula dengan DAP, apa sahaja yang PAS bawa dan perjuangkan mahu diserang dan ditentang.

Jadilah Menteri yang baik, bukannya ayam jantan yang berkokok. - HARAKAHDAILY 19/11/2018

 

PERKARA yang paling ditakuti DAP ialah PAS membentuk kerjasama politik dgn Umno. Kerana kerjasama itu akan menjadi sebuah tsunami yang akan meranapkan mimpi politik DAP.

Kerana tidak mahu kerjasama politik itu menjadi realiti, makanya DAP berusaha sungguh-sungguh menakutkan ahli PAS dan Umno dengan kalimat UG. Tujuannya supaya ahli-ahli tegar PAS akan meninggalkan PAS manakala ahli tegar Umno pula akan meninggalkan Umno. Semakin kecil berlakunya serpihan parti-parti Melayu Islam akan semakin menggembirakan DAP. Contohnya Parti Melayu Bersatu dan PAN. Mereka terpaksa berpaut kepada DAP.

Oleh itu suka saya menyeru kaum Melayu Islam Umno dan PAS. Mari kita gerakkan usaha kesedaran kembali kepada Islam sebagai tonggak kekuatan kita. Allah telah dedahkan kepada kita cita-cita sulit DAP terhadap negara ini. Lebih-lebih lagi selepas mereka merangkul kemenangan besar. Selama ini cita-cita itu mereka sembunyikan dari tatapan umum. Namun bila mereka melihat non-Muslim kebanyakannya berpihak kepada mereka dan sebahagian orang-orang Melayu dapat mereka kuasai dengan janji-janji manis, lalu mereka secara terang mula melangkah dengan berani untuk mencapai hasrat politik mereka.

Banyak sudah ucapan-ucapan dan tindakan mereka yang kita dengar dan lihat memperlekehkan Islam dan bangsa Peribumi Melayu ini. Sehingga ketuanan Melayu dipersoalkan. Mereka bertambah berani bila ada Melayu bacul yang turut mempertikaikan bangsanya dan mengiakan pandangan DAP.

Sebenarnya PAS dan Umno boleh saling mengambil iktibar dari sejarah sesama mereka. PAS ada pengalaman bersama DAP sebanyak dua kali. Manakala Umno ada pengalaman selama 60 tahun lebih sebagai sebuah parti asobiyyah Melayu Sekular. Jika digabungkan kedua-dua pengalaman itu kita akan temui jawapan bahawa perjuangan Islam tidak boleh diharapkan kepada sokongan parti Liberal Sekluar seperti DAP. Juga iktibar bahawa perjuangan berteraskan Nasionalisme Melayu semata-mata akhirnya akan lemah dan runtuh. Lalu sebaiknya gabungkan kerjasama politik PAS dan Umno yang punya persamaan iaitu Melayu dan Islam untuk menyekat keserakahan DAP yang pastinya akan merugikan Islam dan Melayu.

Ayuh kita gerakkan tsunami politik itu mulai sekarang. Jangan berlaman-laman kerana tanah air ini sudah bosan dengan kezaliman, penindasan dan pembohongan. Tanah air ini rindukan keadilan Islam dan segala kebaikan darinya.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat - HARAKAHDAILY 19/11/2018

 

More Articles ...