17
Wed, Jul
47 Artikel Baru

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah akan menganjurkan konvensyen peringkat negeri Sabah pada 10 Mac 2019.

Konvensyen ini dijangka akan menghimpunkan lebih daripada 500 ahli mewakili PAS kawasan seluruh negeri Sabah.

Konvensyen yang bertemakan Kesatuan Membawa Kekuatan ini akan turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Dalam konvensyen itu nanti, Presiden akan menyampaikan amanat dan dialog bersama dengan perwakilan.

Antara objektif utama konvensyen kali ini adalah untuk menghimpunkan ahli PAS bagi mendengar amanat dan pesanan daripada Presiden selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada bulan Mei 2018. Ini adalah kunjungan pertama Presiden selepas PRU-14.

Kami amat yakin banyak perkara dan pesanan yang akan diberikan oleh Presiden. Ditambah pula dengan keadaan semasa di mana pelbagai pihak membuat tuduhan terhadap PAS.

Walau bagaimanapun saya yakin Presiden akan memberi penekanan kepada soal kekuatan ummah dan keadilan dalam pentadbiran.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
7 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 7/3/2019

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam ulasan Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama politik PAS dan Umno sebagai isyarat ‘perang’ terhadap golongan bukan Melayu di Malaysia.

Kenyataan Lim Guan Eng sangat bahaya, boleh mencetuskan api permusuhan dan mengundang persekitaran yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kerjasama politik PAS dan Umno adalah satu tindakan untuk melindungi (protective action) kedudukan Islam, menyatu padukan ummah dan membela kebajikan orang Islam di Malaysia.

Tidak ada satu pun kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan PAS yang mengecam golongan bukan Islam dan bukan melayu, apatah lagi melancarkan permusuhan terhadap mereka.

Lim Guan Eng dan DAP cuba untuk menyalakan api permusuhan yang keterlaluan. Apakah mereka sangka kerjasama politik PAS dan Umno bertujuan untuk menghapuskan hak dan kepentingan golongan bukan Melayu?

Walhal, PAS mempunyai sayap parti Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada golongan bukan melayu dan bukan Islam. Malah, PAS telah menampilkan lebih ramai calon bukan Islam yang mewakili PAS dalam PRU14 lalu.

PAS menuntut Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka dan membetulkan keadaan.

Kenyataan politik yang sangat bahaya ini boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang ekstremis untuk melancarkan pelbagai tindakan propaganda supaya agenda penyatuan ummah gagal dan kebencian terhadap golongan bukan Melayu dan bukan Islam terus dimomokkan.

Perjuangan PAS dan tindakan politiknya sehingga kini menepati lunas feqh politik Islam dan juga tidak bercanggah dengan amalan demokrasi negara.

Persoalannya kenapa Lim Guan Eng dan DAP kelihatan begitu cemas, takut dan panik dengan kerjasama politik antara PAS dan Umno?

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
30 Jamadil Akhir 1440 | 7 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 7/3/2019

SEJARAH menyaksikan PAS membina kekuatan dan pengaruhnya, di atas serangan dan sekatan yang dikenakan kepadanya.

PAS bermula daripada sifar, dan pernah menjadi pembangkang paling sedikit kerusi.

PAS pernah menyertai kerajaan Persekutuan, dan berpengalaman memerintah beberapa kerajaan negeri.

PAS pernah bersendirian, dan pernah menjalin kerjasama dengan parti lain yang berbeza ideologi.

Dalam menempuhi denai perjuangan ini, ada di kalangan ahli PAS yang mendapat sokongan masyarakat, dan bergerak di cawangan yang aktif. Tetapi ada juga di kalangan ahli PAS yang disisihkan di tengah masyarakat, dan bergerak di cawangan yang tidak aktif.

Namun dalam semua keadaan ini, PAS tidak pernah lemah dan rugi.

Walau difitnah dan diserang dari segenap penjuru, kekuatan PAS tidak pernah berkurang, malah sokongan dan pengaruhnya semakin hari semakin berkembang.

Ini kerana setiap serangan dan sekatan yang dikenakan kepada PAS, hanya akan membangkitkan kesungguhan ahli PAS untuk terus bekerja dan melaksanakan arahan.

Manakala setiap fitnah dan ‘pembulian’ yang dikenakan kepada PAS, hanya akan membangkitkan simpati dan sokongan daripada rakyat bawahan.

Semua ini dapat disaksikan sepanjang denai perjalanan PAS yang penuh ujian dan sarat dengan pengalaman.

Jika dahulu BN sangat kuat menyerang dan menekan PAS, kekuatan PAS tidak pernah berkurang malah pengaruhnya semakin berkembang.

Kini giliran PH pula yang kuat menyerang dan memfitnah PAS. Pastinya kekuatan PAS tidak pernah berkurang, malah pengaruhnya akan terus berkembang.

Sesungguhnya, pengalaman adalah sebaik-baik pengajaran. – HARAKAHDAILY 7/3/2019

PADA pagi ini Ketua Pemuda PAS, YB Ustaz Muhammad Khalil hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penerimaan wang daripada 1MDB.

Saya turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya mengiringi YB Ustaz Muhammad Khalil bersama Saudara Hisham di mana soal siasat berlangsung selama 1 jam lebih.

Pihak kami sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya dengan keterangan yang jujur dan jelas di atas fitnah yang diajukan kepada YB Ketua Pemuda, di mana beliau didakwa dan dikaitkan memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi yang kononnya adalah hasil daripada wang yang disalurkan kepada PAS dengan dakwaan fitnah penerimaan wang RM90 juta tersebut.

Walaupun telah di sangkal fitnah tersebut beberapa kali oleh YB Ketua Pemuda sebelum ini, tetapi ianya tetap berterusan. Bagi menyangkal tuduhan dan fitnah tersebut, Ustaz Afnan Hamimi, yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, telah tanpil membuat satu pengakuan terbaru di laman facebook beliau, bahawa motosikal berkuasa tinggi yang dikaitkan dengan YB Ketua Pemuda adalah sebenarnya merupakan motosikal Ustaz Afnan sendiri. Untuk pengetahuan Ustaz Afnan bukan sahaja seorang pendakwah bebas, beliau juga adalah seorang pengusaha perniagaan stesen minyak yang telah beroperasi lebih dari 12 tahun yang lalu.

Perlu diingatkan kembali bahawa di dalam kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia, ada banyak latar belakang seperti profesor, doktor, pemegang PhD dan ijazah, jurutera, pendakwah bebas, kepakaran ekonomi dan lain-lain, dan tidak lupa juga ahli-ahli perniagaan.

Sehubungan itu, pihak kami menyokong penuh SPRM dan pihak berkuasa yang lain untuk menggunakan kuasa yang pihak berautoriti ini ada bagi meneruskan penyiasat ke atas pimpinan dari pihak parti lain seperti PKR, PAN dan sudah tentu DAP sekiranya terdapat laporan keatas mereka

“Terus Mara”
“Islam Memimpin”

MUHD KHIDHIR
Penolong Setiausaha II
(Diplomatik dan Hubungan Luar)
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 6/3/2019

PAS memandang berat kenyataan Saudara Lim Guan Eng (LGE), Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Persekutuan, yang mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan kononnya persefahaman Umno-PAS merupakan suatu ‘perisytiharan perang’ ke atas masyarakat Bukan Melayu di negara ini.

PAS menganggap kenyataan LGE mengesahkan DAP sebuah parti yang bersikap chauvinis dan tidak demokratik, meskipun nama DAP diterjemahkan sebagai ‘Parti Tindakan Demokratik’.

Di samping itu kenyataan beliau juga menggambarkan DAP adalah parti ‘anti Melayu-Islam’. Sebenarnya kenyataan LGE itu yang merupakan ‘perisytiharan perang’ dengan menekan butang paniknya.

LGE sepatutnya melihat penyatuan ummah yang dipelopori oleh PAS dan Umno dengan pandangan jauh sebagai suatu langkah yang positif ke arah perpaduan masyarakat demi kebaikan negara, setelah berpecah sejak lebih 60 tahun yang lalu.

PAS juga berpandangan LGE sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang lama (DAP) sepatutnya mengambil langkah yang sama untuk menyatukan masyarakat bukan Melayu, terutamanya kaum Cina, juga untuk kepentingan negara, bukannya mengapi-apikan semangat perkauman sempit yang boleh ‘membakar’ negara ini.

PAS melihat kenyataan LGE tersebut amat merbahaya kepada keharmonian, perpaduan dan semua sistem yang ada dalam negara ini.

Justeru saya menyeru seluruh rakyat yang cintakan keamanan dan kerukunan agar membuat laporan polis terhadap LGE kerana menghasut.

PAS juga menyeru YAB. Perdana Menteri agar memecat LGE dari kabinet sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan parah.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 07 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 7/3/2019

SEMALAM, Malaysiakini telah memuat naik artikel berkaitan kenyataan Lim Guan Eng yang bertajuk Lim warn Umno-PAS union will declare war on non-malays yang bermaksud Lim Guan Eng memberi amaran bahawa gabungan PAS-Umno akan mengisyiharkan perang terhadap orang bukan Melayu.

khalil1Saya menggangap bahawa ia adalah satu kenyataan yang cukup bahaya serta boleh membawa persepsi buruk terhadap perpaduan kaum di dalam negara. Ia juga seperti cuba menakut-nakutkan orang bukan Melayu bahawa kerjasama PAS-Umno akan membawa bahaya kepada orang bukan Melayu serta boleh membuatkan orang bukan Melayu ketakutan. Lim Guan Eng perlu meminta maaf kepada rakyat kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Ia adalah kenyataan yang cukup tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan cukup bahaya daripada seorang Menteri Kanan Kerajaan Persekutuan yang cuba memainkan sentimen perkauman untuk menjana sokongan politik.

Walaupun Malaysiakini telah menukar semula tajuk tersebut daripada Lim warn Umno-PAS union will declare war on non-malays kepada Lim warn Umno-PAS union will target non-malays, saya tetap berpendapat bahawa Lim Guan Eng masih lagi cuba untuk bermain api perkauman. 

Malaysiakini sepatutnya sebagai sebuah portal berita harus bertanggungjawab, beretika serta telus dalam berita yang disiarkan. Isu seperti ini yang cuba memarakkan lagi sentimen perkauman tidak patut disiarkan untuk tatapan umum. Sebagai sebuah organisasi berita yang bertanggungjawab, Malaysiakini seharusnya menjalankan due diligence terhadap sebarang berita disiarkan, adakah patut disiarkan atau disemak semula sebelum disiarkan.

Soalan kepada Lim Guan Eng, apakah maksud penyatuan PAS-Umno akan mengisytihar perang terhadap orang bukan Melayu atau jika berpandukan U-turn terbaru setelah ditukar tajuk, penyatuan PAS-Umno akan menjadikan orang bukan Melayu sebagai sasaran?

Adakah Lim Guan Eng cuba membangkitkan sentimen perkauman dengan kenyataan tersebut? Adakah selama ini PAS mahupun Umno menindas orang bukan Melayu atau kenyataan tersebut hanya untuk menaikkan sentimen orang bukan Melayu?

Adakah ini jenis Malaysia Baharu yang DAP canangkan? Jika ini Malaysia Baharu tersebut, ia jelas cukup tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan cukup bahaya kepada perpaduan kaum dan negara. Penghinaan terhadap mana-mana agama, bangsa dan kaum di dalam negara adalah salah, tidak bertamadun, tidak bertanggungjawab serta memang patut didakwa.

Siapa pun dalam kalangan kita tidak suka agamanya dihina, dicaci dan dipermainkan sama ada orang Islam, Buddha, Kristian dan Hindu. Sebenarnya kita perlu tanya kenapa ia terjadi, sebabnya serta dorongan mereka bertindak sedemikian. Adakah ada hasutan atau ditanam kebencian terhadap Islam pada mereka?

Belum pernah lagi di dalam negara sejak Merdeka berlaku penindasan terhadap mana-mana agama, bangsa mahupun kaum. Jika hanya untuk menyatu padukan orang Melayu Islam dianggap bahaya, ia adalah pemikiran yang cukup cetek. Adakah salah untuk orang Melayu Islam bersama walau berlainan ideologi dan pemikiran? Jika itu Lim Guan Eng anggap ancaman kepada orang bukan Melayu, dia patut bubar saja PH sama seperti di bubar Pakatan Rakyat.

PAS tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dalam negara malah PAS berbangga mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai pelbagai agama, kaum dan bangsa. Malah di Kelantan dan Terengganu, tidak pernah berlaku ketidakadilan terhadap agama, bangsa dan kaum lain. Tanyalah mereka dan cuba dekati PAS, kemudian anda akan sedar PAS lebih baik daripada PH terutamanya DAP. PAS bukan rasis dan ektremis agama, sebenarnya anda ditipu hanya kerana kepentingan politik sempit segelintir pihak.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/3/2019

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sangat kesal dengan kedudukan kewangan terkini institusi strategik pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional, yang mencatatkan kerugian sebelum cukai yang pertama di bawah Pakatan Harapan dengan jumlah RM6.3 bilion dalam tempoh 13 tahun.

Sudah tentu jumlah kerugian yang besar pada tahun 2018 sangat mengejutkan semua pihak berbanding kerugian yang pernah dialami pada tahun 2005 sekitar RM830 juta. Tambahan pula, keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan pada tahun 2017 ialah RM2.9 bilion.

Prestasi kewangan Khazanah Nasional menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat. Mengapa hal ini boleh berlaku? Bagaimana nilai aset Khazanah hilang sebanyak RM25 bilion dalam tempoh kira-kira 12 bulan? Mengapa rosot nilai menjangkau sehingga RM7.3 bilion iaitu melebihi tiga kali ganda berbanding RM2.3 bilion pada tahun 2017?

DPPM tidak menolak faktor global seperti tekanan perang dagang dan kelembaban pasaran, tetapi faktor domestik yang berlaku disebabkan ketidaktentuan polisi, tiada hala tuju yang jelas dan persekitaran ekonomi kurang kompetitif mengakibatkan kedudukan kewangan Khazanah terjejas teruk.

Tiga aset pelaburan menyumbang kepada prestasi buruk dua digit. Pertama, Malaysia Airlines Bhd. Kedua, Telekom Malaysia dan ketiga ialah Axiata Group Berhad. Antara sebab hal ini berlaku adalah kerana perubahan drastik regulasi dan ketidak jelasan polisi daripada pihak kerajaan.

Kerugian RM 6.3 bilion Khazanah Nasional turut akan menjejaskan kantung Kerajaan Persekutuan menerusi dividen pelaburan. Sekiranya hal ini berlaku, maka tidak mustahil Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah hutang atau mengenakan cukai baharu yang lebih membebankan rakyat.

DPPM juga bimbang tindakan segera Kerajaan untuk menjual aset-aset strategik akan terus berlaku. Hal ini boleh dirujuk dalam satu laporan berita bertarikh 14 Februari lalu yang menyatakan Khazanah bersedia untuk menjual lebih banyak aset domestik dan luar negara supaya dapat menyuntik lebih banyak wang ke dalam kantung kerajaan.

Akhir sekali DPPM berharap agar pihak Kerajaan menjelaskan faktor-faktor di sebalik kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion, kehilangan aset RM25 bilion dan rosot nilai RM7.3 bilion Khazanah dan mesti bertanggung jawab untuk memperbaharui semula kedudukan ini bagi tahun kewangan 2019.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia
29 Jamadil Akhir 1440 | 6 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 6/3/2019

More Articles ...