PAS Negeri Perak merakam ucapan takziah kepada isteri dan seluruh ahli keluarga serta ahli PAS seluruhnya di atas pemergian Ustaz Mohd Zawawi Hassan pagi ini di Hospital Taiping.

Ustaz Zawawi, mantan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Adun Gunong Semanggol, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak. Beliau juga ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Serai.

Pemergiannya amat dirasai kehilangannya.

Semoga Allah SWT merahmatinya dan menempatkan Almarhum bersama golongan yang soleh dan bertaqwa.

RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak Darul Ridzuan
8 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 8/1/2019

(Tulisan ini adalah dari temubual khas bersama Almarhum Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan semasa hayatnya selaku pemimpin di Perak. Pandangan dikemukakan berkaitan hubungan ini membayangkan keilmuan, gagasan, perhatian dan keprihatinan PAS dan dirinya. Sempena belasungkawanya, ikuti semula perkara pernah dikemukakan almarhum)

Bagaimana sistem pemerintahan Islam mensejahterakan hubungan kerajaan, rakyat dan tanah?

SISTEM pemerintahan Islam meletakkan hubungan yang erat antara kerajaan, rakyat dan tanah. Malangnya, pemerintahan yang berasaskan sekular serta idealogi makhluk mengabaikan pertalian penting tersebut.

Natijahnya, sesama makhluk gagal mendapat faedah yang harmoni, sebaliknya mendatangkan pelbagai kesan negatif lagi merosakkan.

Adun Semanggol, Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan berkongsi secebis ilmu pengurusan dan saling kait antara tiga komponen tersebut dalam sistem pemerintahan Islam untuk diambil sebagai iktibar berdasarkan masalah yang banyak berkembang dalam masyarakat hari ini.

Menurut beliau, tanah yang diusahakan rakyat akan mendatangkan pulangan kepada pengusahanya dalam bentuk hasil berupa makanan sebagai keperluan asasi untuk hidup. Dari keupayaan itu juga akan mendatangkan zakat kepada kerajaan untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Tindakan seperti itu mengalirkan dan mengikat hubungan sesama insan berupa kasih sayang dan keprihatinan, selain membangunkan upaya golongan asnaf untuk terus menikmati keperluan hidup atau mengubah status diri misalnya keluar dari belengu kemiskinan.

“Tanah yang diusahakan sebagai pertanian, Allah sebut di dalam al-Quran bahawa Dia menurunkan hujan dan hujan itu pula menumbuhkan tanaman. Dalam Tafsir Sya’rawi menyatakan, bila ditanam rakyat akan mendapat makanan, maksudnya manusia boleh hidup.

“Yang mentadbir itu Allah walaupun ada pemerintah (manusia). Bila Allah turunkan hujan mencurah-curah tumbuh makanan, di situ juga ada ‘proses’. Tumbuhan akan keluarkan oksigen untuk kegunaan manusia dan tumbuhan menyedut karbon dioksida yang dilepaskan manusia.

“Jadi di sana ada hubungan tumbuh-tumbuhan dengan manusia dan makhluk Allah yang lain. Iaitu orang akan hidup, satu memperolehi makan sebagai imbangan ekonomi dan satu lagi hubungan di antara alam itu dengan manusia,” jelasnya.

Keberkatan faraid Islam

Kepentingan tanah juga terang Ustaz Zawawi, dapat dilihat dalam bab faraid Islam di mana penting pembahagian pusaka itu diselesaikan menurut Islam.

Menurutnya, pembahagian itu supaya orang Islam memiliki asetnya terutama tanah kerana sama ada diusahakan atau tidak, pemilikan tanah itu adalah lambang ekonomi. Tanah yang diusahakan misalnya sebagai pertanian akan mendatangkan hasil ekonomi dan sekiranya dibina kediaman ianya untuk berteduh dan keperluan menjalani kehidupan. Bahkan sekiranya dibiarkan, dari tanah itu mungkin untuk sewaan atau ditemui hasil-hasil bumi darinya.

Malangnya ujar beliau, pembahagian pusaka milik orang Islam di negara ini banyak yang tidak selesai akibat keengganan menggunakan kaedah secara faraid Islam. Mengakibatkan bukan sahaja hilang keberkatan, malah umat Islam hilang segala-galanya berkait faedah dari pemilikan tanah.

Keadaan itu katanya, ditambah oleh kegagalan kerajaan berperanan untuk menyedar dan bersungguh-sungguh menjaga hak rakyat berkaitan pemilikan tersebut, sedangkan terdapat jabatan yang menguruskan perkara itu.

“Di sini tidak ada keberkatan orang Melayu Islam kita, jadi satu azab sedangkan ini keturunan selesai cara faraid. Atas tanah tu mana tahu ada gas, atas tanah tu ada batu arang, atas tanah tu ada minyak, atas tanah tu ada emas.

“Bertengkar sampai tak mahu tolak ansur langsung, akhirnya (pembahagian) tak selesai. Sebab itulah terjadi masalah ekonomi, sebab itulah anak-anak orang Melayu Islam sekarang bertempiaran lari jadi bangsat tak ada rumah, tak boleh miliki rumah,” kesalinya.

Kegagalan kerajaan

Menyentuh peranan kerajaan membangunkan tanah, Ustaz Zawawi mendedahkan betapa banyak pembinaan kediaman untuk kaki tangan kerajaan seperti kuarters-kuarters di seluruh negara dibina sekadar untuk memberi projek kepada kroni.

Katanya, kediaman terbabit tidak memenuhi keselesaan untuk diduduki selain faktor seperti kemudahan asas lain dan penyelenggaraan serta lokasi tidak sesuai, di mana akhirnya ia dibiarkan kosong.

Kesannya ujar beliau, bukan sahaja menunjukkan kelemahan pengurusan tanah sebagai aset sangat bernilai, tetapi juga mendatangkan kerugian serta menimbulkan pelbagai kesan sosial sampingan seperti beban bayaran, vandalisme dan tempat kegiatan tidak bermoral.

Jalan gelong, rumah kotak

Exco Pemuda PAS Malaysia itu turut menyelar kerajaan kerana gagal menyediakan jalan raya yang terbaik sepertimana negara lain.

Menurutnya, jalan yang bengkang bengkok dan berombak serta rosak mempengaruhi dan mengganggu minda rakyat, sekali gus turut mendatangkan kesan lain kepada kehidupan mereka.

“Bila kita lihat dari sudut ilmu nafsi dan ilmu psikologi, bila bergerak atas jalan macam ini, hidup dia pun macam jalan gelong takkan ikut sistem. Sebab itu buang sampah merata, lampu merah langgar, tidak ada sistem, sebab manusia tak ada tamadun dengan pembangunan tadi.

“Kalau kaji ilmu adab, ilmu tamadun, kerajaan bila hendak buat sesuatu, kena tengok sistemnya, maka rakyat yang ikut pun ada sistem,” terangnya.

Ustaz Zawawi turut menyentuh pembinaan dan pola penempatan masyarakat hari ini di mana banyak dibina rumah berkotak-kotak serta susunan perumahan yang membekukan pemikiran dan sosial budaya masyarakat.

Menurutnya, konsep pembinaan yang ada pada hari ini membuatkan ‘manusia seperti katak bawah tempurung’, tidak tahu mengakses dunianya serta dipenuhi pelbagai tekanan.

Kerajaan juga selar beliau, gagal memberi keseimbangkan pada pembangunan di mana hampir semua negeri dilayan dan dihasratkan untuk pembangunan industri.

“Sebab tu tok-tok guru kampung dulu bila ada padi di situ ada pondok pengajian ada perjuangan. Jadi hubungan dengan masyarakat itulah komuniti, bila ada pendidikan, adanya pertanian, ada makanan asas, diwajibkan zakat.

“Bila proses zakat itu ada hubungan dengan manusialah, di situ ada hikmah sekeliling. Maksudnya orang miskin ini kita meraikan, mendapat manfaat daripada kewajipan zakat tadi. Jadi hubungan masyakat ekonomi seimbang cukup harmoni, orang susah dibantu mereka yang mendapat hasil,” ujarnya menerang kitaran kesejahteraan itu.- HARAKAHDAILY 8/1/2019

RAMAI yang bersungut kepada saya, Perdana Menteri (PM) tak ada umum apa-apa projek mari melawat Terengganu.

Tak apalah, kita dah lama lalui zaman bila pemimpin mari melawat, jadi kemestian wajib kena umum projek. Cukuplah itu. Biar Kerajaan PH laksana dulu apa yang telah mereka umumkan.

Saya menilai peluang bersama dalam lawatan PM ini sangat produktif. Tentu sekali saya tak berpeluang duduk bincang dengan PM. Tapi peluang berjumpa pegawai kanan Kementerian Pertanian yang hadir seperti KSU MOA, Ketua Pengarah LPP, Ketua Pengarah Pertanian, Ketua Pengarah FAMA dan Ketua Pengarah LKIM saya gunakan sebaiknya untuk bincang pelbagai isu untuk masyarakat tani, penternak dan nelayan Terengganu. Mereka sangat supportive.

Kita perlu bijak mengintai dan memanfaatkan setiap peluang demi untuk rakyat. PR kena kemas dan data perlu lengkap. Cakap kena teratur dan wajah kena manis. 

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu -  HARAKAHDAILY 8/1/2019

 

PADA zaman teknologi maklumat ini, wujud satu sikap tidak sabar untuk mengetahui sesuatu berita baharu. Akibatnya ada segelintir yang cuba membuat pelbagai telahan dalam isu pelantikan jawatan YDPA dengan mendahului ketetapan Majlis Raja-raja.

Perkara 32(3) menyebut bahawa kuasa melantik YDPA terletak pada Majlis Raja-raja. Perkara 38(6) pula menyebut kuasa melantik YDPA adalah termasuk dalam kuasa di bawah budi bicara Majlis Raja-raja. Ia membawa maksud, tidak siapa yang boleh campur tangan dalam urusan berkenaan.

Perkara 38(2) pula menyatakan bahawa pelantikan YDPA oleh Majlis Raja-raja hendaklah dibuat mengikut cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan.

Jadual Ketiga, menetapkan bahawa seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika:

(a)     Raja itu belum dewasa: atau

(b)     Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih; atau

(c)     Majlis Raja-raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. 

Jadual Ketiga juga memberikan panduan berkenaan jadual pergiliran YDPA antara sembilan buah negeri. Pergiliran ini telah pun berlaku dalam pusingan pertama dengan urutan senarai berikut: Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak.

Bila selesai pusingan itu, maka Jadual Ketiga menetapkan bahawa perlu dibuat senarai baharu yang disusun semula bagi pusingan berikutnya dengan menyenaraikan negeri-negeri “mengikut susunan Raja-rajanya telah memegang jawatan itu”.

Oleh kerana dalam pusingan pertama, semua sembilan orang Raja-raja telah mengisi jawatan YDPA, maka pusingan kedua ini sepatutnya berjalan mengikut pusingan pertama. Jika ada Raja yang meminta dilambatkan gilirannya waktu pusingan pertama dahulu, ia tidak perlu diambilkira dalam pusingan kedua ini.

Oleh yang demikian, memandangkan enam buah negeri telah selesai mengisi jawatan YDPA dalam pusingan kedua ini, maka tinggal lagi baki tiga negeri yang belum iaitu Pahang, Johor dan Perak. Jika diikutkan, jadual pusingan terdahulu, giliran berikutnya ialah Pahang.

Walau bagaimanapun, Majlis Raja-raja tidak terikat untuk membuat pemilihan berdasarkan pergiliran ini semata-mata. Majlis Raja-raja boleh membuat keputusan yang berbeza di atas beberapa asas iaitu:

a.     Majlis Raja-raja boleh membuat keputusan berbeza berasaskan tiga faktor yang menghilangkan kelayakan YDPA yang terdapat dalam Jadual Ketiga.

b.     Terdapat kemungkinan mana-mana Raja yang menyatakan hasratnya untuk tidak dipilih, atau dilambatkan giliran.

Dalam hal ini saya berpendapat, rakyat perlu memberikan kepercayaan dan kesetiaan kepada Majlis Raja-raja dalam menentukan pelantikan YDPA. Apa sahaja keputusan perlu diterima dengan hati terbuka dan positif. Tidak perlulah menggunakan saluran media baharu untuk menyebarkan pandangan-pandangan yang seolah-olah cuba untuk mempengaruhi pelantikan YDPA.

Pilihan yang ada pada Majlis Raja-raja adalah luas. Keputusan yang dibuat itu juga berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang dinilai dalam mesyuarat berkenaan. Inti pati perbincangan tentunya adalah rahsia. Tidak perlu bagi kita untuk mencari dan mengorek maklumat yang di luar tanggungjawab kita.

Dalam tempoh sebelum YDPA dilantik ini Timbalan YDPA iaitu Sultan Perak akan menjalankan tugas dan peranan YDPA. Walaupun tiada tempoh yang ditentukan bagi pemangkuan tugas, namun kita percaya Baginda akan mengambil langkah segera bagi melantik YDPA yang baharu melalui mesyuarat Majlis Raja-raja.

Kita sama-sama doakan agar pemilihan YDPA berjalan lancar dan dirahmati oleh Allah S.W.T.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
7 Januari 2019 - HARAKAHDAILY 7/1/2019

(Teks ini adalah dari temubual khas bersama Almarhum Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan semasa hayatnya selaku pemimpin di Perak. Selain pandangan, beliau juga membayangkan gagasan, perhatian dan keprihatinan PAS dan dirinya kepada agama, negeri dan rakyat. Sempena belasungkawanya, ikuti semula perkara pernah dikemukakan almarhum)

TIGA isu kritikal dihadapkan Umno terhadap PAS di Perak iaitu PAS dikatakan boneka DAP, akan menyebabkan agama Kristian berkembang dan jawatan Perdana Menteri akan dapat kepada orang Cina.

Isu ini dimainkan secara konsisten oleh Umno di kawasan-kawasan majoriti Melayu yang PAS bertanding dengan gambaran bahawa agama, bangsa dan negara akan tergadai di bawah teraju PAS.

Sedangkan ketika tidak bersama DAP pada pilihan raya tahun 2008, PAS dapat mencapai kejayaan luar jangka termasuk memenangi Dun Pasir panjang dan Lubuk Merbau, demikian menurut Setiausaha PAS Negeri Perak, Ustaz Mohammad Zawawi Abu Hassan.

Kesannya ujar beliau, dilihat pada pilihan raya tahun 2013 apabila PAS kehilangan undi Melayu sebanyak 2 peratus dan kebanyakan Dun PAS tandingi menerima kekalahan majoriti bawah 500 undi, walaupun PAS menerima peningkatan undi kaum Tionghua sebanyak 4 peratus.

“Jadi apa yang berlaku hari ini (putus hubungan dengan DAP) terbaik untuk PAS sebenarnya dan memang BN berjaya memanipulasi tiga isu itu. Ini yang dimainkan walaupun benda tak betul.

“Jadi bila kita buat keputusan terbaru ini, kita dapat reaksi yang baik dari rakyat dan mematahkan hujah daripada kalangan musuh kita Umno-BN. Dia tak ada hujah apa lagi, sedangkan kita boleh guna pulak kelemahan yang dilakukan oleh mereka,” jelasnya.

Kini katanya, Umno-BN sudah tidak ada isu hendak palitkan kepada PAS dan hanya memainkan isu Negara Islam dan hudud, sedangkan PAS mempunyai kekuatan menjawabnya, sekali gus memberi peluang kepada PAS untuk kembali meraih sokongan teras.

BN gagal bangunkan Perak

Kerajaan BN Perak ujar Ustaz Zawawi, gagal membangunkan negeri ini yang mempunyai kawasan pertanian sangat luas untuk manfaat rakyatnya khususnya golongan petani itu sendiri.

Perak katanya, merupakan kawasan padi, sawit dan getah yang dibangga-banggakan hasil pengeluarannya, tetapi tidak juga mengubah taraf hidup para petaninya.

Menurutnya, kebanyakan petani ini hidup susah umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kemiskinan dalam keadaan suasana negeri yang dikatakan pengeluaran hasil pertanian, rakyat dia miskin. Sepatutnya kerajaan mestilah membangunkan hasil pertanian ini dan menguruskannya sebaik mungkin supaya memajukan rakyat.

“Kita tak mahu negeri ini maju gah di depan mata rakyat, negeri kedua pengeluar hasil pertanian, tetapi rakyat miskin. Jadi tak maju juga,” tempelaknya.

Begitu juga katanya, berkait isu Tanah Rizab Melayu, beliau selaku Adun telah kemukakan soalan bertulis dan lisan di dalam Sidang Dun Perak, namun tidak pernah berjawab kerana dipercayai isu itu tidak selesai di semua daerah seluruh Perak.

Hatta menurutnya, tanah pertanian padi yang terletak di bawah Akta Keselamatan Makanan dan Negara, apabila diambil untuk pembangunan seperti perumahan dan akuakultur untuk ternakan ikan arowana, walaupun tidak diluluskan, projek sudah berjalan.

Kesannya ujar beliau, dua kerugian diperolehi iaitu tidak mendapat bayaran premium dan tidak digantikan tanah seluas yang diambil.

“Inilah bahayanya Umno, perkara paling besar berkaitan masalah tanah. Sebab kita bila bincang bab pemerintahan sebuah negara atau negeri, dia ada kerajaan, ada rakyat, ada tanah. Kalau tanah habis jual, kalau ada kerajaan pun rakyat nak duk di mana?” persoalnya.

Terangnya lagi, begitu juga dengan isu pemilikan tanah di mana berlaku banyak tanah diusahakan rakyat dan apabila pemohon yang miskin gagal membayar premium, akhirnya geran tanah tersebut dapat kepada pihak lain.

Selain gagal mempertahankan Tanah Rizab Melayu katanya, kerajaan juga gagal mendidik orang Melayu-Islam untuk menjaga kepentingan tanah pusakanya hingga tergadai kepada pihak lain yang akhirnya menyebabkan bangsa ini tidak memiliki kediaman sendiri walaupun rumah mampu milik.

Jelasnya, tanpa tanah bermakna tidak wujud pemilikan dan pengembangan ekonomi, sekali gus membuktikan Dasar Ekonomi Baru yang memperuntukkan 30 peratus ekuiti untuk Bumiputera dilaungkan Umno hanya omong kosong.

Umno-BN juga bidas Ustaz Zawawi, gagal mengurus tadbir dengan baik misalnya pembinaan kuarters-kuarters guru, peladang, pertanian dan lain-lain.

Terangnya, kerajaan hanya tahu membina tetapi gagal menyalurkan peruntukan untuk penyelenggaraan menyebabkan ia tidak selesa dihuni.

Pertikainya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana wang untuk pengurusan berkenaan wujud dari potongan gaji kakitangan terbabit.

“Maksudnya duit pengurusan tu ada, rumah tu dia nak rosak 5 tahun sekali bukan kerajaan kita tak ada duit. Tapi duit tu ke mana? Kalau dia tak mahu, pekerja tu kurang-kurang dia boleh sewa pada orang lain, buka bangunan tu dimanfaatkan.

“Ini masalah kediaman rakyat, tanah bukan tak ada, ada tapi tak diselenggara. Banyak Kuarters JPS, Jabatan Pertanian, Peladang, Guru yang jadi macam tu,” luahnya kesal serta mengingatkan bahawa majoriti kaki tangan kerajaan itu adalah kaum Melayu.

Lebih mendukacitakan katanya, keadaan tersebut membibitkan pula masalah sosial lain misalnya tekanan dan bebanan kepada kakitangan untuk menyewa di tempat lain, kuarters terbiar menjadi sarang penagihan dan kegiatan tidak bermoral, serta pelbagai kesan berantai lain.

Masalah kediaman seumpama itu juga bongkar Ustaz Zawawi, berlaku pada rumah-rumah yang dibina untuk para penghulu di negeri itu.

Jelas beliau, hakikat sebenar pembinaan kuarters dan rumah sedemikian hanyalah untuk kepentingan kroni iaitu dengan memberi projek, tetapi manfaatnya untuk rakyat tidak jelas.

Mentaliti projek untuk kepentingan kroni itu juga katanya, berlaku pada projek-projek lain seperti penyelenggaraan jalan raya.

DAP bukan Cina

Ustaz Zawawi menyangkal sinonim mengaitkan apabila PAS memutuskan hubungan politik dengan DAP bermakna juga putus hubungan dengan masyarakat kaum Tionghua, sekali gus tidak mungkin mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Pertamanya tegas beliau, bukan PAS punca putusnya hubungan itu, sedangkan DAP sejak zaman Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor lagi telah bertindak meninggalkan Barisan Alternatif.

Begitu juga katanya, DAP Sarawak bertindak memutuskan hubungan dengan PAS dan DAPSY Perak pula memutuskan hubungan dengan Pemuda PAS Perak, manakala DAP Pusat memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, tetapi mahu bersama PAS.

“Kalau budaya kita pun kita tak leh nak terima, sebab apa? Dia nak kahwin dengan anak, tapi tak mahu bapak, mana boleh. Nak kahwin dengan anak, nak duduk dengan anak, nak ambil anak, tapi dengan pak nak tolak, orang tak leh terima yang tu, ini adalah satu benda yang songsang,” ujarnya ketawa.

Hakikatnya menurut beliau, masyarakat Cina masih menerima PAS dan perkara itu dibuktikan dengan penyertaan bekas Adun DAP Bercham, Sum Cheok Leng dan kehadiran pada sambutan-sambutan yang diadakan PAS untuk kaum tersebut.

Begitu juga terangnya, pimpinan dan Adun PAS Perak juga terus mendekati budaya masyarakat kaum Tionghua serta memberi perkhidmatan menurut keperluan.

Jelasnya, masyarakat Tionghua juga sebenarnya ramai yang hidup kais pagi makan pagi, tetapi mereka gigih bekerja dan menjaga kesatuan sesama mereka.

Begitu juga katanya, kebimbangan masyarakat Tionghua terhadap hudud sudah semakin sirna hasil penerangan berterusan dilakukan PAS, selain salah faham lain berkenaan ajaran Islam.

Agenda kebajikan, masyarakat

Terang Ustaz Zawawi, PAS Perak akan meneruskan agenda memasyarakatkan PAS hingga berjaya mewujudkan Perak sebagai Negeri Berkebajikan.

Jelasnya, pelbagai perancangan untuk kepentingan rakyat akan dilaksanakan seperti pemberian air percuma, membiayai pendidikan, hubungan mesra rakyat dan meningkatkan ekonomi dengan hasil bumi yang banyak di Perak.

Hingga akhirnya ujar beliau, direalisasikan hasrat “Membina Malaysia Sejahtera” sebagaimana tema Kongres Rakyat di Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya, PAS Perak menyedari negeri itu sebagai kawasan pertanian dan rakyatnya ramai berstatus susah, dengan purata pendapatan di bawah RM1,500 sebulan.

Paling merosakkan ekonomi rakyat katanya, adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah melanggar kaedah Islam.

“GST ini bermakna mengambil harta rakyat terutama yang Islam. Islam ditindas dua kali, satu zakat, satu cukai. Sedangkan dalam Islam cukai hanya pada bukan Islam. Islam sudah ada zakat.

“Di mana dia berusaha, di situ sudah dikenakan zakat, inilah maksud ekonomi dalam Islam ia tidak akan melebihi dari orang lain, ia akan mensejahterakan,” terangnya.

Beliau menghuraikan putaran impak GST ke atas sosio-ekonomi rakyat hingga akhirnya akan menggugat kestabilan institusi zakat, sekali gus menimbulkan putaran masalah lebih besar kepada negeri dan negara. - HARAKAHDAILY 8/1/2019

ISU peletakan jawatan Yang Di Pertuan Agong mendapat perhatian rakyat Malaysia. Pelbagai spekulasi dan andaian dapat dibaca di mana-mana, dalam FB, dalam WhatsApp dan pelbagai lagi media.

Namun, tidak kurang juga yang secara biadap mentohmah dan mencaci Sultan Muhammad V dengan penuh kehinaan.

Perkara ini, jika tidak dibendung akan menyebabkan institusi Di Raja menjadi bahan lawak sebahagian daripada rakyat Malaysia yang kurang ajar.

Walaupun ada yang telah memohon maaf tetapi permohonan maaf bukan jalan penyelesaiannya. Jika tidak, ramai lagi yang akan mengambil sikap sedemikian rupa, hina dan mohon maaf.

Mereka yang menghina Sultan Muhammad V atau institusi Di Raja mesti ditangkap dan diambil tindakan oleh PDRM.

Tiada kompromi!

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL - HARAKAHDAILY 8/1/2019

SEJAK 9 Mei 2018, ramai individu telah menghina secara keterlaluan YDPA dan sultan. Mereka menggunakan kata-kata kesat, lucah dan fitnah di media-media sosial.

Semalam, individu bernama Eric Liew yang bekerja di Cisco System telah menghamburkan kata-kata kurang ajar terhadap YDPA.

Komentar biadap yang dilakukan olehnya telah mengguris perasaan rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya.

Sebelum ini, ramai individu termasuk blogger pro pemerintah juga telah melakukan tindakan yang sama.

Mereka sewenang-wenangnya melakukan demikian seolah-olah kebal dengan tindakan undang-undang meskipun banyak laporan polis telah dibuat.

Sebaliknya, apabila seorang individu menghina PM, dia telah ditangkap pada bulan Mei yang lalu. Terbaru, seorang individu juga mengkritik Adun DAP di Sarawak, turut ditahan selama beberapa hari.

Mengapa berlaku tindakan terpilih dan dibiarkan pihak yang menghina insititusi raja dan YDPA? Adakah mereka ‘dijaga’ oleh orang atasan?

Adakah ini makna kebebasan yang dilaungkan selama ini? Sewajarnya tindakan biadap mereka boleh disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Selayaknya tiada kompromi terhadap pihak yang menghamburkan penghinaan, fitnah dan biadap terhadap YDPA, institusi raja atau siapa sahaja di negara ini.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
7 Januari 2018 | 1 Jamadil Awwal 1440 – HARAKAHDAILY 7/1/2019

More Articles ...