SAYA berasa kesal membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Amirudin Shari yang meminta Dr Halimah Ali meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) selepas beliau dinamakan oleh PAS sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil N.32 Dun Seri Setia. 

Begitu juga kekesalan dan kekecewaan saya akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.

Adalah diketahui bahawasanya jawatan Dr Halimah Ali dalam PPAS bukanlah berelaun bulanan sebagaimana syarikat berkaitan Negeri (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Bahkan beliau kekal memegang jawatan tersebut kerana minat mendalam beliau akan bidang bacaan malah hasil sumbangan beliau pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai "The Largest Outdoor Reading Event" yang berjaya mengumpul 15,271 peserta semasa penganjuran Pesta Buku Selangor di PPAS.

Saya mengharapkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) usahlah bermain politik dendam murahan sebegini di saat mereka melaungkan hak demokrasi yang patut diberikan sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang. Apakah demokrasi hanya terpakai kepada PH sahaja?

Politik sebegini hanya akan menyebabkan rakyat muak dan bosan akan kerenah kerajaan sedia ada sepertmana yang dihadapi oleh mereka daripada Kerajaan BN terdahulu. Sekarang adalah masa untuk membina semula negara dan menunaikan segala yang dijanjikan kepada rakyat.

Adakah PH menyedari bahawasanya mereka kini merupakan Kerajaan Persekutuan yang mentadbir Malaysia pasca PRU14? Realitinya, mereka hendaklah bertindak seperti kerajaan dan bukannya masih mempunyai mentaliti pembangkang.

Atau apakah kontroversi ini sengaja dicipta agar rakyat dapat dialihkan dari isu kegagalan Kerajaan PH menunaikan Manifesto 100 Hari seperti yang dijanjikan atau isu pembantu khas kepada seorang Menteri atau isu pemilikan tanah selama 999 tahun atau isu LGBT yang sedang hangat diperkatakan sekarang?

Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr Halimah atas sikap berjiwa besar beliau yang akan melepaskan jawatan dalam PPAS walaupun beliau layak untuk terus memegang jawatan tersebut kerana tidak mahu mencetuskan polemik yang berterusan.

Inilah yang seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memikirkan mengenai keutamaan agenda rakyat yang patut didahulukan berbanding agenda peribadi.

Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada semua pengundi N.32 Dun Seri Setia supaya keluar mengundi untuk memenangkan Dr Halimah dalam Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan tidak lama lagi bagi memastikan Kerajaan Negeri Selangor mempunyai pembangkang yang kuat untuk proses semak dan imbang.

Pencapaian dan kejayaan yang dilakarkan oleh Dr Halimah semasa menjadi Adun Selat Klang dan Exco Kerajaan Negeri Selangor wajar dipertimbangkan oleh pengundi Seri Setia sebelum membuat keputusan yang pastinya akan menguntungkan masa depan mereka.

"Sik Sejahtera Bersama Islam"

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan YDP PAS Kawasan Sik /
Ahli Parlimen Sik

9 Zulhijjah 1439 | 21 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 21/8/2018

PERSAHABATAN kami panjang di medan jamaah dan misi bantuan kemanusiaan, banyak kisah suka duka dan aku mengingati Dr Hajjah Halimah Ali (AJK PAS Pusat yang juga mantan Exco Selangor) sebagai Calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi PRK N.32 Seri Setia sebagai seorang yang sangat dedikasi menggalang apa sahaja amanah di pundak bahu.

Nama sebaris dengan doktor-doktor PAS yang mengharum nama dalam medan operasi masyarakat, tak lelah membantu manusia tanpa mengira ganjaran, Dr Abdul Rani Osman, Dr Alias Razak, Dr Izani, Dr Suhazeli, Dr Azman Ibrahim, Dr Yunus Khairi, arwah Dr Lo'lo Ghazali, Dr Rainey Azmi dan ribuan doktor yang lain.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA untuk kami berangkat ke Bantul yang digoncang gempa bumi pada tahun 2006, sehingga mengorbankan enam ribu nyawa. Aku masih terbayang wajah cemasnya kerana tidak dapat melepasi kaunter imigresen kerana tarikh pasportnya kurang daripada enam bulan daripada tarikh luput. Kami melambainya daripada jauh dengan harapan beliau akan menyusul dengan team bantuan kemanusiaan yang lain selepas memperbaharui pasport antarabangsa beliau. Sedang kami mengemaskan tali sabuk keselamatan pesawat, beliau tiba-tiba masuk ke dalam pesawat dengan senyuman menyeringai dengan matanya yang sepet mengecil.

"Macam mana imigresen boleh lepaskan doktor?" Tukas seorang anggota misi bantuan kehairanan. Aku tak terbayang bagaimana ilmu pujukan tahap tinggi doktor Muslimah ini mampu mencairkan pegawai imigresen. Beliau menyarung vest hitam berlogo Yayasan Amal Malaysia dan sehingga kini beliau ialah Pengerusi Relawati YAM.

Kami menghulurkan bantuan kemanusiaan di Desa Kaliurang, berhampiran Gunung Merapi. Dr Halimah merawat mangsa-mangsa gempa bumi yang masih dalam keadaan trauma, pelbagai gerakan swadaya masyarakat lain juga berkampung di sekitar kawasan bencana. Aku salute pada para doktor relawan yang memberikan masa berharga mereka untuk membantu manusia lemah dan tertindas tanpa apa-apa bayaran, bahkan terbuka pada risiko gempa susulan.

Aku juga sempat bersama beliau dengan relawan-relawan YAM, Muslim Care Malaysia ke program kebajikan dan dakwah di Pulau Ketam. Seorang tokoh pimpinan Muslimat yang ringan tulang dan banyak idea, sering menghindari wilayah intrik dan polemik. Sosok ini bukan sekadar popular di Selangor, namun namanya dikenali di peringkat nasional.

Beliau dilahirkan pada 27 Jun 1960, dengan darah kacukan Cina dan mampu bertutur banyak bahasa. Insan bertuah ini memiliki pendamping hidup yang juga aktif bersama masyarakat iaitu Dr Ahmad Supian. Sibuk di medan politik dan dakwah tidak bermakna meninggalkan urusan mendidik anak-anak, enam cahaya matanya juga menggalang gelaran doktor walaupun beliau membuka ruang anak-anak memilih profesi dan kerjaya. Dr Imran, Dr Khadejah, Dr Zaid, Dr Zubir, Dr Hafiz, Dr Zaid dan Dr Liyana.

Calon Seri Setia ini mendapat pendidikan tinggi di Australia, iaitu di Elizabeth Matriculation College, Hobart. Seterusnya menyambung pendidikan ijazah pertama di sebuah kampus ternama yang melahirkan ramai pakar perubatan iaitu Universiti Tasmania. Dalam usaha memantapkan ilmu dan tsaqofah dalam perjuangan Islam, beliau juga menyambung pendidikan Islam dan mendapat Diploma Tasawwur Islam daripada pusat pendidikan PAS yang bercita mengulamakkan profesional, Institut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Beliau memenangi kerusi Adun Selat Klang pada tahun 2008, seterusnya namanya mula meniti di bibir rakyat dan peminat-peminat politik. Halimah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Adun Selat Klang (2008-2014). Beliau memegang portfolio Pendidikan dengan pelbagai program pemerkasaan ilmu dan pendidikan diatur untuk rakyat Selangor. Sebagai negeri maju, Selangor membina mercu tanda pendidikan untuk rakyat, antara memiliki perpustakaan yang terbaik di negara ini.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Beliau memajukan pendidikan tinggi di Selangor iaitu UNISEL serta Pengasas Yayasan Pendidikan Islam Selangor.

Halimah Ali memacu pelbagai idea untuk kesejahteraan Selangor, antaranya mengasaskan Model Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor (SPIES) serta membuka ruang pada rakyat untuk menyertai bidang kebajikan dan dakwah melalui GeMS dan juga beliau terlibat dalam mengasaskan Pasukan Sukarelawan Briged Amal Selangor (BASE).

Minat yang mendalam dalam bidang pendidikan menyaksikan usaha beliau mengasaskan Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS) dan juga mengasaskan Kelas Agama Menengah Arab (KAMA).

Amat malang bagi pengundi Seri Setia jika mengabaikan ilmu, bakat, kompetensi dan qudwah berkeluarga yang ada pada Dr Halimah Ali. Jangan kerana ketaksuban maka kita menutup mata pada insan yang sudah terbukti berjasa pada masyarakat. Beliau lebai profesional yang mampu menjadi jurubicara yang hebat di Dun Selangor, mengartikulasi dengan baik isu dan permasalahan rakyat. Beliau bukan 'pasu bunga' yang terhias indah!, Dun Selangor perlukan pengkritik dan pembangkang yang cerdas dan genius, apatah dengan dua penggal yang cemerlang Dr Halimah di Dun Selangor sebelum ini.

(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja Lujnah Politik Pusat) - HARAKAHDAILY 21/8/2018

SELEPAS kejatuhan Sriwijaya di Palembang dan Singhasari di Jawa, telah bangkit Majapahit sebagai kuasa politik baru di Nusantara pada 1293M. Majapahit menjadi sebuah empayar yang menguasai hampir seluruh Nusantara termasuk Champa di Indo China, Borneo, Kepulauan Visaya, Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Kepulauan Maluku. Menjelang runtuhnya Majapahit pada 1486M, dalam kraton Majapahit juga bangkit Kerajaan Demak yang beragama Islam pada 1478M, mewarisi Empayar Majapahit yang mulai melemah dan banyak wilayahnya telah melepaskan diri. Sultan-sultan Demak yang memerintah selama 71 tahun (1478-1549M), telah berjaya membina semula Empayar Jawa dengan menguasai seluruh pulau itu dan menjadi kuasa politik terbesar di Jawa pasca Majapahit. Demak berjaya mengatasi pengaruh Kerajaan Sunda Padjajaran di Barat dan Jawa Blambangan di Timur, yang kedua-duanya adalah Kerajaan Hindu.

Sultan Raden Patah yang memerintah selama empat dekad telah berjaya membina semula kekuatan pewaris keraton Majapahit dengan menguasai bahagian tengah Jawa, sedangkan kawasan Barat kekal dikuasai oleh Kerajaan Hindu Padjajaran, manakala di sebelah Timur pula menjadi Wilayah Kerajaan Hindu Blambangan. Seperti mana Raden Patah yang berhadapan dengan Portugis pada 1513M di Melaka, Sultan Pati Unus dan Sultan Trenggono juga turut berhadapan dengan Portugis masing-masing di Melaka pada 1521M dan Sunda Kelapa pada 1527M. Dalam mengekalkan pengaruh politiknya di Jawa, Demak terpaksa berhadapan dengan Kerajaan Hindu Padjajaran dan Blambangan, selain penjajah Portugis. Proses perluasan wilayah sebenar berlaku pada zaman Sultan Trenggono (1521-1546M) di mana seluruh Pulau Jawa telah berjaya dikuasai, tetapi kesyahidan Sultan Trenggono dalam perang menghadapi Blambangan telah menghentikan perluasan pengaruh Islam ke Pulau Bali - yang menyebabkan Bali menjadi satu-satu Wilayah Hindu di Nusantara hari ini.

Mewarisi Empayar Majapahit

Sebagaimana Majapahit mewarisi Kerajaan Hindu Singhasari pada 1292, apabila Raden Wijaya, menantu Kertanagara membangunkan Majapahit selepas diserang Jayakatwang dari Kediri. Keraton Majapahit kemudiannya diwarisi pula oleh Kerajaan Islam Demak pada 1478M. Pada akhir kepemimpinan Kertanagara dalam Kerajaan Singhasari, baginda telah menyatukan agama Hindu Siva dengan Buddha Tantrayana, sehingga kedua-dua agama berpengaruh dalam Kerajaan Mahapahit yang beragama Hindu. Pada zaman Tribuana Wijaya Tunggadewi (1328-1350M) dan Hayam Wuruk (1350-1389M), pengaruh Islam sudah pun wujud di dalam Kerajaan Majapahit, sedang pada zaman Prabu Brawijaya V (1474-1486M), Islam telah pun mendapat kedudukan politik dalam Kerajaan Majapahit ekoran keterbukaan Rajanya. Beberapa isteri Raja adalah puteri beragama Islam, sedang para putera baginda juga telah ramai memeluk Islam sehingga sebahagian Adipati (Gabenor) Majapahit terdiri daripada pembesar Islam, sama ada putera Istana atau pembesar biasa. Salah satu faktor yang memberi kedudukan kepada Islam ialah hubungan Majapahit dengan Dinasti Ming di China, di mana Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam telah beberapa kali mengunjungi Jawa antara 1404-1433M sehingga wujudnya komuniti Cina Muslim di Jawa.

Ketika Islam mulai pesat dalam Kerajaan Majapahit, tercetus Perang Paregreg (1404-1406M), perang saudara yang telah menjejaskan pengaruh Majapahit ke atas wilayah-wilayahnya. Sesudah itu, saat Wilayah Majapahit telah merosot kecuali di Jawa dan Palembang, putera-putera Prabu Brawijaya V seperti Arya Damar (Jaka Dillah) dan Jimbun (Raden Patah) telah memeluk Islam. Kedudukan mereka sebagai Adipati Palembang dan Adipati Demak Bintoro telah membolehkan mereka muncul sebagai pewaris Majapahit ketika berlakunya serangan Girindra Wardhana ke atas Majapahit pada 1486M. Sewajarnya, pewarisan ini bukan hanya terhadap takhta Majapahit sahaja, tetapi juga seluruh Wilayah Majapahit yang masih ada ketika itu. Malangnya, Raden Patah yang berkuasa di Demak Bintoro hanya menguasai Majapahit Barat, sedangkan Majapahit Timur yang berpusat di Daha Kediri kekal dikuasai oleh kerajaan Hindu yang dipimpin oleh Prabu Udhara sehingga 1527M. Bagi mengembalikan kekuasaan warisan Majapahit ini, Demak telah melakukan perluasan wilayah sehingga seluruh Jawa dapat dikuasai.

Empayar Demak: Penguasaan seluruh Pulau Jawa

Selain menjadi ulamak dan pemimpin agama, Raja-raja Demak terkenal kerana kepahlawanan dan kesatrian mereka. Tome Pires yang mencatatkan tentang Pate Rodim (Raden Patah) menyifatkan pengasas Demak itu sebagai seorang cavaleiro (pahlawan). Pada peringkat awal, Raden Patah telah berjaya menguasai beberapa wilayah seperti Jepara, Rembang, Kudus, Tingkir, Jipang, Semarang, Pajang dan Juwana. Bandar Tutang menjadi pelabuhan utamanya, selain Niag di Bonang dan Militer di Jepara, sedangkan pemerintahan berpusat di Glagahwangi, sebelum ia dipindahkan ke Gunung Prawoto oleh Sunan Prawoto (Raden Mukmin) pada 1546M. Pada zaman Sultan Pati Unus tidak banyak perluasan kawasan yang berlaku kerana tumpuan diberikan untuk menghalau Portugis selepas kejatuhan Kerajaan Samudera-Pasai pada 1521M, setelah baginda gagal mengalahkan Majapahit di Daha pada 1517M.

Perluasan wilayah yang lebih besar berlaku pada zaman Sultan Trenggono dengan Sunan Fatahillah sebagai Panglimanya. Pada tahap pertama (1421-1429M), tumpuan diberikan untuk membebaskan Ceribon (1526M), Banten (1526M) dan Sunda Kelapa (1527M) dari pengaruh Padjajaran, termasuk menghalau Portugis di Sunda Kelapa pada 1527M. Pakuan (Bogor) yang menjadi Ibu Kota Padjajaran telah jatuh ke tangan Demak pada 1529M. Sebelum itu, pada 1527M, Demak telah berhasil menghancurkan Majapahit di Daha, diikuti oleh penaklukan ke atas Wirasari (1528M), Tuban (1528M), Gagelang (Mediun) (1529M), Medangkungan (Blora) (1530M), Surabaya (1531M) dan Pasuruan (1535M). Kemudian penaklukan terus berlaku di Lamongan, Blitar dan Wirasaba (1541-1542M), Penanggungan (1543M) dan Sengguruh (Malang) (1545M). Dalam bulan Februari 1546M, Sultan Trenggono dan Sunan Fatahillah telah mengepung Pasuruan dalam rangka menghancurkan Kerajaan Hindu Blambangan yang berakhir dengan kesyahidan Sultan Trenggono. Sejak itu, timbul krisis dalam Kerajaan Demak dan penaklukan telah terhenti.

Demak membendung pengaruh Portugis

Ketika Demak sedang bangkit membangunkan pengaruh Islam di Jawa, Nusantara telah diancam oleh perluasan pengaruh Portugis yang telah menguasai Goa (1510M) dan Melaka (1511M). Pada 1512M, Portugis mula membuka pangkalannya di Ambon untuk menguasai perdagangan rempah. Kedatangan Portugis bukan sahaja mengancam penguasaan Islam ke atas laluan perdagangan Timur-Barat di Nusantara, tetapi telah memberi kesan besar terhadap perkembangan dakwah. Raden Patah selaku penguasa Demak yang menyedari peranan besar Melaka terhadap dakwah, termasuk pembentukan Majlis Dakwah Wali Songo semenjak 1404M, telah mengaturkan satu ekspedisi ketenteraan pada 1513M untuk menghalau Portugis. Serangan ini diketuai oleh menantu baginda, Adipati Yunus dan putera baginda, Raden Surya. Sebanyak 100 kapal dan 5,000 tentera menyertai armada ini, tetapi tidak dapat mengalahkan Melaka, bahkan Raden Surya telah syahid dalam ekspedisi ini. Setelah gagal membebaskan Melaka, Kerajaan Demak memberi tumpuan untuk membebaskan Jawa dari pengaruh Hindu sehingga kewafatan Raden Patah pada 1518M.

Sultan Pati Unus yang menggantikan Raden Patah telah melihat Portugis sebagai ancaman setelah Kerajaan Samudera-Pasai tumbang diserang kuasa Barat itu pada 1521M. Dalam masa yang sama, pelayar Portugis, Ferdinand Magellan telah tiba di Pulau Cebu untuk menakluk Kepulauan Visaya yang merupakan Wilayah Brunei dan Sulu. Ekoran itu, dalam tahun 1521M itu juga, Sultan Pati Unus telah menyiapkan 375 kapal dengan dukungan Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah. Walau bagaimanapun, Sultan Pati Unus telah syahid bersama putera sulungnya, kemudian Raden Hidayat dan Sunan Fatahillah (Fatalehen) telah mengambil alih kepemimpinan armada tersebut, dan berundur balik ke Demak. Selepas gagal mengalahkan Portugis kali kedua, penjajah Barat itu telah bersekongkol dengan Kerajaan Hindu Padjajaran untuk membuka loji di pelabuhan Sunda Kelapa pada 1522M, selain turut meluaskan pengaruh mereka di Ternate. Membendung perluasan pengaruh Portugis ini, Sultan Trenggono telah menyusun ketumbukan tentera diketuai Sunan Fatahillah untuk menyerang Ceribon dan Banten pada 1526M, sebelum menguasai Sunda Kelapa pada 22 Jun 1527M. Dalam serangan ini, bukan sahaja Portugis berjaya dihalau, tetapi Sunda Kelapa yang dikuasai oleh Padjajaran turut jatuh ke tangan Demak. Sunda Kelapa kemudiannya dinamakan sebagai Jayakarta (Jakarta) mulai tarikh tersebut dengan Sunan Fatahillah sebagai adipatinya.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
13 Zulqaedah 1439 / 27 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 20/8/2018

ALHAMDULILLAH segala puji dan syukur kepada Allah atas kurniaNya kepada rakyat Terengganu, kemenangan Parti Islam Semalaysia (PAS) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri setelah bertungkus lumus selama 14 tahun bagi memenangi kembali hati rakyat Terengganu selepas kekalahan pada tahun 2004. Apapun, tiada gunanya kemenangan jika ianya gagal diisi dengan pengisian yang selari dengan kehendak Allah. Ianya juga menandakan bahawa rakyat Terengganu semakin cerdik berpolitik, sememangnya menginginkan manifesto-manifesto yang dijanjikan, dipenuhi, walau siapa dan dari parti manapun mereka.

Saya cuba memberikan gambaran ringkas kerja-kerja oleh saf kepimpinan Kerajaan Terengganu yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Selain itu ada juga cerita belakang tabir yang tidak diketahui rakyat yang saya akan sampaikan demi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat tentang apa yang telah, sedang dan akan dilaksanakan demi rakyat Terengganu. Harus diingat, manifesto PAS Terengganu tidak pernah menyebut secara khusus dalam tempoh berapa lamakah ia akan dilaksanakan. Tetapi pastinya sebelum penggal ke-14 ini berakhir. Pastinya janji manifesto ini sangat realistik. Juga sebagai maklumat tambahan, akan ada beberapa portfolio yang akan duduk bersama bagi kelancaran perlaksanaan manifesto-manifesto itu. Jadi ia akan dilihat bertindih tetapi mempunyai fungsi yang berbeza. Dan apa yang mesti disematkan dalam minda semua ialah Kerajaan PAS Terengganu mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) iaitu mendahului kepentingan rakyat yang akan mengekalkan dan menambah baik apa-apa yang baik tinggal kerajaan terdahulu dan mengenepikan apa-apa yang tidak baik.

Saya mulakan dengan YAB Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohkhtar yang memegang portfolio Perancang, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli. Manifesto yang dijanjikan iaitu mengembalikan semula tanah-tanah rakyat yang telah dirampas kerajaan terdahulu ketika peralihan kuasa tahun 2004, telah dilaksanakan dan diberi pujian kawan dan lawan. Beliau juga memberikan kelonggaran bagi pemilik tanah melewatkan bayaran cukai sehingga Oktober ini. Permohonan bagi mendapatkan tapak rumah juga telah dibuka bagi yang layak. Bonus Raya yang ditunggu-tunggu dengan penuh debar oleh kakitangan kerajaan tempohari kerana bimbang Kerajaan Negeri keputusan wang kerana ianya hampir habis digunakan oleh pentadbiran terdahulu, akhirnya diterima sebelum Aidilfitri. Isu royalti yang menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sejak dua dekad lalu juga hampir diselesaikan, selepas pertemuan dengan Perdana Menteri. Usaha bagi menjadi negeri pengeluar silika juga giat dilaksanakan sekaligus bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

YB Ustaz Satiful Bahari Mamat, memegang amanah sebagai Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi. Antara janji-janji PAS dalam bidang pendidikan ialah mahu menyediakan sebuah sekolah rendah Islam di setiap Dun dan sebuah sekolah menengah Islam bagi setiap parlimen. Memandangkan sistem pendidikan memerlukan sedikit masa jika mahu dibina infrastruktur yang baharu, maka beliau memutuskan untuk menggunakan prasarana-prasarana yang telah sedia ada bagi menjimatkan kos permulaan. Tempat-tempat seperti Taman Ilmu yang terbengkalai itu juga telah dilawati beliau bagi melihat sejauh mana kebolehgunaan bangunan itu. Pelan tindakan sudah ada, insyaAllah pada tahun 2019 ini, sekolah pertama akan dirasmikan. Manakala dalam hal berkaitan dengan dakwah, beliau menumpukan kepada kefahaman rakyat kepada perlaksanaan syariah. Pastinya usaha kefahaman ini tiada penghujungnya.

Mengetuai Portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak telah melaksanakan manifesto mengecualikan cukai pintu kediaman. Dan untuk menunaikan manifesto itu, Kerajaan Negeri akan membayar jutaan ringgit kepada Majlis Bandaraya dan Majlis-Majlis Daerah yang lain. Hospital baharu turut menjadi perkara penting yang sedang diberi penekanan. Tiga buah hospital iaitu Unisza, Dungun dan juga Kemaman, dijangka akan memberikan lebih keselesaan kepada pesakit, sedang diusahakan agar segera direalisasikan setelah bertahun-tahun dijanjikan pemerintah terdahulu.

Berkaitan dengan kemasukan ke wad-3 secara percuma, insyaAllah ianya hanya menanti detik untuk penguatkuasaannya sahaja, sebaik selesai beberapa isu lagi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan anggaran belanja oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM5 juta setahun. Bagi membina kira-kira 1000 buah pertama rumah mampu milik, perancangannya dengan empat projek pertama akan dimulakan hujung tahun ini. Sasaran keseluruhan ialah 20 ribu buah sehingga tamat penggal ini. Bukan itu sahaja, 234 orang pembeli yang menghadapi masalah perumahan terbengkalai di Padang Setengga, Kuala Berang, melewati 10 tahun turut ditinjau dan beliau akan menyelesaikan mengikut lunas-lunas perundangan.

Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri pula telah memulakan usaha-usaha bagi membina insan sebagai satu aset penting negeri. Pengerusinya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam langkah awalnya telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memenuhi manifesto portfolio beliau bagi membina pusat pemulihan dadah secara holistik dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Beliau juga memperkenalkan Program Madinah Ramadhan yang mensasarkan bukan sahaja ibadat tetapi juga membantu memajukan perniagaan rakyat yang berdekatan dengan tempat program. Taman Tamadun Islam (TTI) bakal menjadi Akademi Dakwah di negeri ini dan pertemuan dengan wakil TTI sudahpun berlaku. Manakala bagi memastikan agar masjid-masjid tidak lagi ada masalah ketiadaan pengajar, beliau sudah berbincang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi penyelesaian terbaik.

InsyaAllah akhir Ogos ini, pertemuan dengan golongan mak nyah yang ingin keluar daripada dunia gelap mereka akan berlangsung kali kedua. Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) diperkemaskan menggantikan Unit Komunikasi (UKOM) dan sedang rancak menjalankan kerja-kerja menerang pencapaian dan rancangan-rancangan baharu Kerajaan Negeri. Satu lagi nadi portfolio beliau, Institut Modal Insan Sejahtera (i-MITS) ditugaskan bagi memantapkan penyebaran dakwah dan penerangan sehingga ke peringkat paling bawah. Stesen Radio Manis F.M yang berada di bawah portfolio beliau juga akan diberikan kekuatan baharu, bukan sahaja akan dimanafaatkan oleh Terengganu, tetapi juga Kelantan insyaAllah.

Seorang Exco yang erring turun padang bersama pegawai jabatan dan agensi yang berada dibawah portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim. Tujuan beliau membawa wakil-wakil itu adalah bagi memberikan ruang seluasnya kepada rakyat agar dapat berinteraksi secara langsung, berbincang tentang peluang atau halangan yang ada dalam agenda untuk memajukan sector pertanian Negeri Terengganu, sekaligus meruntuhkan halangan birokrasi antara rakyat, pegawai dan pimpinan Kerajaan negeri. Petani-petani kampung pastinya tidak mudah melangkahkan kaki mereka ke pejabat Exco atau Jabatan Pertanian. Setakat ini sudah lima Dun dijelajah beliau bersama pasukannya iaitu Jabi, Batu Burok, Kerteh, Pengkalan Berangan dan Bukit Payong bagi memberi penerangan tentang peluang dan bantuan daripada kerajaan kepada rakyat terutama muda-mudi dengan semuanya mendapat sambutan yang hangat.

Dalam masa yang sama, beliau juga telah menjelajah ke seluruh negeri bagi mengenal pasti punca-punca kegagalan projek-projek pertanian terdahulu supaya tindakan pemulihan dapat diambil. Pengarah Jabatan berkaitan diarahkan menyediakan kertas putih pelan bagi pemulihan projek-projek gagal dengan segera. Masalah lain seperti kemudahan infrastruktur di pelabuhan dan kompleks perikanan, turut diintai beliau. Beliau juga meluluskan kos menaikkan bot karam nelayan di Pulau Duyung. Semua rancangan dan tindakan sedang berjalan, bukan sekadar sembang. Perkataan pertanian tiada ditulis secara khusus dalam Manifesto PRU 14 PAS Terengganu, tetapi seperti pemberian air percuma kepada golongan miskin, 20 ribu peluang pekerjaan dalam masa empat tahun dan mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas dan pemberian tanah-tanah baharu, mesti melibatkan portfolio beliau sebagai pelengkapnya.

Tokoh berpengalaman dalam urusan pentadbiran negeri, YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar pula ditaklifkan menjaga portfolio Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran. Untuk tugasan beliau yang melibatkan manifesto, pertama ialah pelaburan Lembah Silika di Jambu Bongkok, dijangka akan menyediakan sebanyak 7600 peluang pekerjaan. Kedua, membuka peluang pekerjaan di kawasan-kawasan industri dan usaha bagi kedua-duanya sedang berlangsung. Dalam tugasan perdagangan dan industri pula, beberapa kilang terpilih yang dahulunya rugi atau ditutup yang dilihat sangat besar potensinya seperti Perwaja Steel, bakal diambilalih oleh pelabur baharu dan Eastern Steel akan dibuka semula.

Beliau juga telah selesai membantu pengagihan dana raya telah diperluaskan kepada lebih ramai penama, perlantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlantikan penuh pertama bagi negeri-negeri yang mendapat kerajaan baharu, perlantikan kakitangan i-MITS, perlantikan kakitangan UPDI dan perlantikan Ahli Lembaga Pengarah bagi anak syarikat Kerajaan Negeri. Menyiapkan semua organisasi ini sangat penting terutama bagi melancarkan perjalanan pentadbiran. Dan beliau sebagai bekas Pegawai Kewangan Negeri, sememangnya layak bagi tugasan ini.

Bagi YB Ustaz Ariffin Deraman, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat yang diketuai beliau, telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi meluaskan lagi potensi Terengganu sebagai destinasi pelancongan. Antara perkara terawal yang dilakukan beliau ialah melihat sendiri keupayaan bas dua alam yang menjadi isu hangat sebelum PRU lalu. Ianya terpaksa disimpan kerana masalah teknikal.

Kawasan Bebas Cukai Kenyir, Zoo Kemaman dilawati beliau dan keputusannya ialah Kerajaan Negeri terpaksa menyiapkan kompleks itu kerana ia sudah hampir siap dan belanja yang sudah dikeluarkan adalah ratusan juta ringgit. Beberapa buah pulau turut ditinjau beliau dan terbaharu, Pulau Bidong dilihat sebagai berkeupayaan untuk dimajukan. Ia akan menjadi antara agenda beliau untuk diteruskan perancangan membangunkannya. Akan tetapi kesemua hal yang melibatkan pelancongan ini akan diteraskan kepada apa yang ditekankan sebagai “Mesra Muslim”. Bengkel garis panduan bagi mencapai hasrat ini telah diadakan dengan disertai ahli akademik, penggiat budaya dan sejarah. Bagi menambah daya saing Teknologi Maklumat pula, beliau menumpukan untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan mengkaji semula peranan EIO dan Pusat Bestari.

YB Haji Hanafiah Mat, yang bertanggungjawab dengan portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional sudah menyelesaikan dua manifestonya iaitu Perkahwinan Perdana yang sekarang akan berlangsung untuk kali kedua dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak bagi setiap agensi kerajaan. Selain itu, bagi ibu tunggal dan juga bapa tunggal yang mahu berkahwin baru-baru ini, diberikan saguhati. Malah Dana Raya yang ramai orang menganggap Kerajaan Negeri akan gagal mengagihkannya kerana faktor kewangan, berjaya diberikan dan dibuka pula kepada lebih ramai penerima yang layak yang dipinggirkan oleh kerajaan terdahulu. Pada tahun hadapan insyaAllah manifesto pencen kepada pesara yang layak sebanyak RM50 sebulan akan dilaksanakan, menurut sumber pejabat beliau.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah pula sedang bertungkus lumus menyiapkan rancangan portfolio beliau untuk memberikan bantuan sebanyak RM400 bagi belia yang mahu mengambil lesen motor. Beliau juga sedang sibuk meneliti perkembangan pasukan Sukma Terengganu yang mensasarkan juara keseluruhan September nanti. Bagi tugasan beliau yang melibatkan NGO, satu majlis yang dinamakan sebagai Majlis Perundingan NGO, mewakili semua kluster bakal diwujudkan. Ia akan menjadi penasihat, mata, telinga dan juga pendukung aspirasi kepada kerajaan untuk mencapai tujuan menjadikan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

Manifesto bagi pemberian air 20m3 pertama secara percuma kepada rakyat miskin Terengganu yang layak adalah dibawah bidang kuasa Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh YB Dr Mamad Puteh, sedang berjalan. Pemberian ini berbeza dengan yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu kerana dahulu diberi percuma JIKA kurang 20m3 DAN untuk semua rakyat. Jika melebihi 20m3, ia mesti dibayar penuh, tiada lagi percuma. Ianya juga terkadang tidak mencapai matlamat membantu golongan miskin.

Tetapi skim sekarang, hanya mereka yang miskin sahaja yang layak dan jika melebihi 20m3 sekalipun, ia hanya dikira pada kiraan meter bermula (21m3) iaitu yang wajib dibayar hanyalah 1m3 dan begitulah seterusnya. Bagi 834 buah masjid dan surau yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri, kesemuanya menerima 50m3 air percuma daripada Kerajaan Negeri. Isu Pasar Kuala Berang juga mendapat perhatian dan tindakan beliau dengan menyelesaikan masalah seperti najis burung yang diadukan oleh peniaga-peniaga. Selain, beliau sekarang memberikan lebih perhatian mengkhususkan kepada projek-projek kerajaan sebelum ini agar semuanya berjalan baik.

YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman yang diamanahkan memegang urusan Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja telah mengisytiharkan Hari Keusahawanan yang turut ada didalamnya klinik bagi usahawan baharu di setiap daerah bertujuan memberi penerangan dan maklumat apa yang terbaik kepada usahawan melalui agensi-agensi di bawah beliau. Ianya telah dimulakan di Besut dan Kuala Nerus baru-baru ini. Tidak terhenti setakat itu, beliau juga telah mengadakan kerjasama bersama Jabatan Tenaga Kerja dibawah ‘JobsMalaysia’ untuk membantu graduan-graduan yang menganggur mendapat pekerjaan. Disamping mengekal dan menambah baik skim-skim terdahulu, YB Khuzaini juga memperkenalkan skim baharu bagi usahawan-usahawan dalam bidang agro dan pelancongan yang belum diwujudkan sebelum ini. Bantuan kewangan juga dirancang untuk diagihkan kepada peniaga-peniaga yang berdaftar yang berniaga di tapak yang sah.

Inilah antara beberapa cebisan kisah di balik tabir pentadbiran Kerajaan Terengganu, bermula waktu-waktu awal mereka menduduki tampuk pemerintahan yang saya kutip dan kongsikan bagi kefahaman semua akan bidang tugas kepimpinan negeri. Ada banyak lagi, tetapi ada perancangan yang tidak boleh dimaklumkan awal kepada umum. Mereka berkerja pagi, petang dan tidak sedikit juga waktu malam dihabiskan bagi mereka memenuhi kehendak seluruh lapisan warga Terengganu. Kerja keras ini bukan hanya tertumpu kepada melunaskan janji-janji manifesto sahaja, tetapi juga merancang perkara baharu, melaksanakannya dengan wang rakyat dan memastikan hasil yang terbaik diperolehi rakyat. Kepercayaan rakyat ini tidak mereka persiakan, mereka sedang membuktikan mereka adalah lebih baik, malah terbaik dalam menyempurnakan amanah yang dipikul.

Ucapan terima kasih juga harus diberikan kepada kakitangan Kerajaan Negeri dan agensi disemua peringkat yang sentiasa membantu kepimpinan menjalankan agenda mereka dengan sikap penuh profesional. Amatlah diharapkan pula kepada penyokong atau ahli PAS agar tidak terlalu menekan pimpinan bagi mendapat hasil terbaik dengan segera. Barisan pimpinan kita sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat. Bersabarlah, biarlah orang lain yang berfikir atau bertindak diluar kebiasaan, memberi tekanan, tetapi bukan kita. Kita mesti menjadi pembantu kepada pimpinan kita dengan keupayaan yang kita miliki. Kerajaan ini, kerajaan kita.

NASIR ABDULLAH
Doha, Qatar - HARAKAHDAILY 20/8/2018

DEWAN Muslimat PAS Negeri Sabah menyatakan sokongan terhadap solusi yang telah diutarakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Siti Zailah Mohd Yusoff dalam Sidang Parlimen 15 Ogos lepas. Susulan kes cubaan rogol di Universiti Malaysia Sabah 13 Julai yang lalu. Ekoran daripada kes tersebut, pelaksanaan penambahbaikan tahap keselamatan khususnya asrama Mahasiswi haruslah dipandang tegas.

Hal ini dikatakan demikian kerana kes yang berlaku melibatkan maruah seorang pelajar perempuan dan universiti merupakan gedung ilmu yang sepatutnya menjadi tempat menuntut ilmu dengan aman dan tenteram.

Antara tiga solusi yang telah disebutkan oleh YB Zailah ialah melantik Penyelia Wanita sahaja di asrama Mahasiswi untuk memantau dan memastikan keselamatan Mahasiswi terjaga.

Memasang CCTV di setiap blok asrama Mahasiswi untuk sentiasa memantau suasana asrama agar Mahasiswi sentiasa dalam keadaan selamat.

Memperbaiki kerosakan fasiliti asrama seperti bumbung bangunan, tombol pintu dan pagar di sekitar universiti agar tidak ada lagi pencerobohan pada masa akan datang.

Kami berharap solusi yang dikemukakan dipandang serius dan dilaksanakan secepatnya agar kes cubaan mencabul maruah Mahasiswi ini tidak lagi berulang. Semoga mangsa yang terlibat mendapat keadilan yang sepatutnya dan diharap pihak pentadbiran universiti mengambil pengajaran dan tindakan yang sewajarnya.

NORSAH BONGSU
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah - HARAKAHDAILY 20/8/2018

SALAH satu ciri terpenting Kerajaan Demak sebagai sebuah Daulah Islam ialah mengimplementasikan kepemimpinan ulamak. Kerajaan ini bukan hanya dibangunkan oleh para ulamak di kalangan Wali Songo, tetapi Raja pengasasnya juga, Raden Patah adalah seorang ulamak yang mewarisi legasi takhta Kerajaan Majapahit di Trowulan yang runtuh diserang oleh Girindra Wardhana pada 1478M. Kerajaan Demak yang bangkit sebagai Kerajaan Islam ini bertahan selama sekitar 70 tahun, sebelum ia diserang oleh Pajang pada 1549M dan selepas pembunuhan Sunan Prawoto, Sultan terakhirnya pada 1549M. Sepanjang sejarah perkembangannya, Kerajaan Demak bukan sahaja berjaya menamatkan penguasaan Kerajaan Hindu Majapahit, Padjajaran dan Blambangan, tetapi berjaya memasukkan seluruh Pulau Jawa dalam Wilayah Islam, dan sekali gus menyebarkan Islam ke seluruh Kepulauan Nusantara termasuk Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan Nusa Tenggara.

Peranan para Wali Songo, khususnya Sunan Gunung Jati, Sunan Giri dan Sunan Kudus terhadap pentadbiran Kerajaan Demak telah mengukuhkan kedudukan Sunan Kota (Raden Patah) dan para pewarisnya, Sultan Adipati Yunus (Pati Unus) dan Sultan Trenggono sebagai Sultan-sultan yang berwibawa dalam melanjutkan pengaruh ulamak di Jawa. Sebagai mana Raden Patah (1478-1518M) yang terkenal sebagai pengasas Kerajaan Demak, Sultan Pati Unus (1518-1521M) pula terkenal kerana kegigihan jihadnya menentang Kerajaan Hindu dan menyekat pengaruh Portugis, sedang Sultan Trenggono (1521-1546M) adalah penyebar Islam dan pembangun Empayar Demak, yang kedua-duanya syahid dalam jihad mereka. Tinggal saja Sunan Prawono yang tidak sempat berbuat banyak apabila dibunuh oleh Arya Penangsang, sebelum Jaka Tangkir dari Pajang menyerang dan meruntuhkan daulah ini pada 1459M. Namun, dalam tempoh 70 tahun ini, di bawah empat orang Sultan, Kerajaan Demak yang mewarisi Majapahit ternyata berjaya membina kegemilangan yang setanding sebagai sebuah empayar politik di Jawa.

Demak, 1478-1549: Perkembangan Kerajaan

Sejak berdirinya Kerajaan Demak pada 1478M (1400 Tahun Saka atau 856H) ekoran keruntuhan Majapahit, Raden Patah telah dilantik oleh para Wali Songo sebagai Sultan Demak pertama bergelar Sultan Fatah secara rasmi pada hari Isnin malam Selasa, 12 Rabiul Awal 860H (1482M atau 1404TS). Memerintah selama 40 tahun, Sultan Fatah telah berusaha mengembangkan dakwah Islam dan menguatkuasakan Undang-undang Syariat melalui Salokantra, iaitu satu set Undang-undang Kerajaan. Baginda turut melancarkan ekspedisi membebaskan Melaka pada 1513M dari penjajahan Portugis. Pada 1518M, Sultan Fatah telah wafat dan digantikan oleh menantunya, Pati Unus (Adipati Yunus) bergelar Sultan Yunus. Pada asalnya, Raden Surya, putera sulung Sultan Fatah menjadi putera mahkota, tetapi baginda syahid ketika ekspedisi membebaskan Melaka pada 1513M, lalu Sultan Yunus ditabalkan. Dengan didukung oleh Sunan Gunung Jati, Sultan Yunus telah melancarkan ekspedisi ke Melaka kali kedua pada 1521M, tetapi baginda dan putera sulungnya telah syahid dalam perang ini, lalu diganti oleh Raden Trenggono, putera Sultan Fatah. Sultan Trenggono adalah cucunda Prabu Brawijaya V yang juga cucu Sunan Ampel dari sebelah ibunya. Baginda memerintah sehingga 1546M.

Pada 1526M, Demak telah berjaya menguasai sepenuhnya Majapahit, diikuti penguasaan Demak ke atas Tuban, Wirasari (Mediun), Medangkungan (Blora), Surabaya, Pasuhruhan, Lamongan, Blitar, Wirasaba, Gunung Pananggunggan dan Sengguruh. Pada zaman sebelumnya, Demak telah berkuasa ke atas Jepara, Rembang, Kudus, Tingkir, Jipang, Semarang, Pajang dan Juwana. Dengan kejayaan Sultan Trenggono menguasai semua wilayah ini, hampir seluruh Pulau Jawa telah berada dalam kekuasaan Demak kecuali Blambangan, sekali gus menjadi empayar terkuat menggantikan Majapahit. Namun begitu, pada hujung pemerintahannya, telah berlaku sedikit konflik dalam keluarga dan kerajaan. Banginda mengahwinkan puterinya dengan Sunan Fatahillah dari Pasai yang juga anggota Wali Songo, manakala seorang lagi puterinya dinikahkan dengan Jaka Tingkir, yang dijadikan Adipati Pajang. Untuk mengembangkan dakwah, Sunan Kalijaga telah dibawa ke Ceribon, tetapi berlaku perselisihan pendapat dengan Sunan Kudus, sehingga tercetus pula krisis dalam pentadbiran agama. Sultan Trenggono pada 1546M, telah mengatur gerakan jihad ke atas Panarukan di Timur Jawa yang diketuai Sunan Fatahillah sebagai langkah menghancurkan saki baki Kerajaan Hindu Blambangan. Setelah pengepungan selama tiga bulan, Sultan Trenggono syahid ketika sedang bermesyuarat di medan perang akibat tertusuk pisau oleh putera Bupati Surabaya yang masih kanak-kanak. Baginda digantikan oleh puteranya, Raden Mukmin yang bergelar Sunan Prawoto. Kerana krisis dalaman Istana dan wali-wali yang berlanjutan, pada 1549M, Sunan Prawoto telah dibunuh oleh upahan sepupunya, Arya Penangsang. Sesetengah ahli sejarah mengatakan Arya Penangsang menjadi Raja Demak seketika, sebelum dibunuh oleh Adipati Tingkir yang bergelar Adipati Hadiwijaya dari Pajang. Pembunuhan ini telah meruntuhkan sama sekali Kerajaan Demak, dan berganti dengan Kerajaan Pajang pada 1549M.

Tokoh-tokoh pembangun Demak

Selain peranan para Wali Songo yang telah disebutkan, ketokohan Sultan-sultan Demak memang menjadi faktor yang sangat penting dalam membangunkan Demak. Tiga Sultan pertama Demak adalah para ulamak dan mujahid yang meluaskan dakwah Islam di Jawa, selain mempertahankan bumi umat Islam dari penaklukan kuasa Barat, Portugis. Sultan Demak keempat, Sunan Prawoto juga dicatatkan mempunyai cita-cita untuk meluaskan lagi Empayar Demak dan berkuasa seperti Daulah Othmaniyah, tetapi kerana kelemahan beliau, diikuti oleh peranan perisik Portugis, Fernandez Mendez Pinto serta krisis-krisis dalaman kraton, telah menyebabkan Demak runtuh dalam tempoh yang sangat cepat. Kelemahan utama Sunan Prawoto ialah kerana selalu tunduk dengan pandangan Pinto, terlalu cenderung untuk menjadi ahli sufi sedangkan baginda seorang Sultan serta gagal menangani krisis para wali dengan berkesan. Kerana kelemahan ini, berlaku krisis Istana yang membawa kepada pembunuhannya dan gerakan menuntut takhta yang menghancurkan Demak.

Di sebalik kelemahan Sunan Prawoto, Raden Patah yang mewarisi legasi Majapahit telah memperlihatkan ketokohannya yang didukung oleh para Wali Songo. Selain meluaskan empayar dan menegakkan syariat, putera Prabu Brawijaya V ini telah meluaskan dakwah Islam di seluruh Jawa dan berusaha menghalau Portugis dari Melaka. Menantu baginda, Pati Unus pula adalah Raden Abdul Qader bin Raden Muhammad Yunus (Sheikh Khaliqul Idrus) yang merupakan generasi ke-19 Rasulullah S.A.W. Baginda adalah bekas Adipati Jepara, selain turut menjadi menantu Sunan Gunung Jati. Sebelum menjadi Sultan, baginda adalah Panglima Armada Laut Kesultanan Banten, Demak dan Ceribon yang berusaha membebaskan Melaka. Ketika ini baginda bergelar Senapati Sarjawala. Peranan terbesar baginda ialah ekspedisi kedua ke atas Melaka pada 1521M yang membawa kepada kesyahidannya, dan sejak itu baginda bergelar Pangeran Seberang Lor. Adapun Sultan Trenggono sebagai putera Raden Patah dan cucunda Sunan Ampel, termasyhur dengan gerakan-gerakan jihadnya dalam meluaskan Empayar Demak ke seluruh Pulau Jawa dan akhirnya syahid dalam perang ke atas Blambangan pada 1546M.

Peranan para ulamak dalam kepemimpinan umat

Kedudukan para ulamak dalam kepemimpinan Kerajaan Demak adalah satu model baru kepemimpinan di Nusantara. Berbeza dengan Kerajaan Perlak, Melaka, Samudera-Pasai dan Brunei sebelumnya, Demak tampil dengan ulamak menjadi pengasasnya dan kesemua Rajanya adalah dari kalangan ulamak, selain peranan besar Wali Songo terhadap dasar-dasar kerajaan, sehingga Islam dapat bangkit dengan pesat di Jawa dalam tempoh 70 tahun. Gabungan ulamak-umarak ini merupakan ciri khusus yang membezakan Demak dengan kerajaan-kerajaan lain di Nusantara sejak 840M. Kemunculan Raden Patah (1478-1518M), Pati Unus (1518-1521M), Sultan Trenggono (1521-1546M) dan Sunan Prawoto (1546-1549M) sebagai para Sultan yang bertaraf ulamak telah mengangkat kedudukan Islam sebagai agama yang diterima dengan cepat oleh orang Jawa yang sebelumnya beragama Hindu di bawah Majapahit. Keadaan inilah yang membawa kepada ulasan seorang sarjana, Sri Wintala Achmad yang mengatakan, berdasarkan gelaran 'Sultan' dan 'Sunan' yang digunakan dalam Kerajaan Demak, bukannya 'Prabu,' 'Ratu,' atau 'Maharaja,' menunjukan bahawa Raja-raja Islam bukan sahaja berperanan sebagai pemimpin rakyat dan negara, tetapi juga sebagai pemimpin agama.

Konsep kepemimpinan agama ini mudah diterima oleh masyarakat Jawa kerana agama Hindu sebelumnya meletakkan konsep 'Devaraja,' iaitu satu konsep yang menyucikan Raja dengan memberikan taraf 'Dewa' kepada mereka. Sedangkan Islam membawa tema 'Khalifatullah fil ard' (Khalifah Allah di muka bumi), yang meletakkan ulamak sebagai pemimpin, menyerupai konsep 'Devaraja.' Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan para Wali Songo yang berperanan sejak 1404M, di mana dalam pemikiran masyarakat Jawa, para wali ini mempunyai keramat atau magis, iaitu satu bentuk kuasa luar biasa yang dimiliki oleh para ulamak disebabkan faktor agama. Soal benar atau tidak magis tersebut, tidak berbangkit dalam mengangkat tokoh-tokoh ulamak, tetapi semua kronik Jawa membawakan tema ini dalam memperkatakan mengenai Wali Songo. Atas asas ini, kepemimpinan ulamak menjadi unsur penting dalam peng-Islaman orang Jawa, sekali gus membentuk kepemimpinan umat.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
12 Zulqaedah 1439 / 26 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 20/8/2018

More Articles ...