18
Fri, Oct
26 Artikel Baru

ISU kebiadapan sebuah akhbar Cina, Nanyang Siang Pau yang memaparkan karikatur monyet menghina Presiden PAS, dan Speaker Dewan Rakyat mendapat kecaman rakyat. Kami dari Dewan Muslimat PAS Malaysia turut dukacita terhadap tindakan melampau itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang keterlaluan.

Sesungguhnya Islam sangat menghormati agama lain dan mengamalkan sikap toleransi bagi sesuatu isu yang tidak disepakati. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada semesta alam.” [Al-Anbiya’: 107]

Karikatur yang bertajuk "Akta Monyet" dalam terbitan akhbar Nanyang Siang Pau yang bertarikh 8 April 2017 ternyata adalah satu tindakan penghinaan sesama manusia.

Karikatur yang menayangkan watak seekor monyet memakai songkok dan seekor monyet lagi memakai serban putih beserta makanan yang dihidangkan itu seperti RUU355 yang baru-baru ini dibentangkan dalam Parlimen. Ia nada gurau yang biadap dan tidak seharusnya dilukis oleh kartunis tersebut.

Walaupun permohonan maaf sudah dibuat, namun kami berharap agar semua pihak media sama ada bercetak, elektronik dan segala medium sosial terkini dapat memaparkan berita yang tepat, sahih dan tidak menimbulkan kontroversi mana-mana pihak dengan niat untuk melariskan dan menggemparkan suasana melalui agenda yang tidak beretika ini.

Sesunguhnya dalam menyebarkan berita seharusnya setiap wartawan perlu membuat liputan secara beretika serta menggunapakai kaedah yang matang dan menunjukkan profesion wartawan sebagai suatu kerjaya yang profesional. Besar harapan kami semoga isu sedemikian tidak berulang lagi. Semoga para wartawan terus mengamalkan budaya etika yang berakhlak mulia, menggunakan sumber yang tepat lagi sahih dan bernas untuk tatapan kepada pihak umum. Marilah kita mengamalkan budaya politik matang, demi kesejahteraan bersama.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 Rejab 1438 / 12 April 2017 - HARAKAHDAILY 12/4/2017

NANYANG Siang Pau bukan sahaja telah menyakiti hati dan merobek perasaan ahli-ahli PAS tetapi sedang menyiram minyak terhadap bara permusuhan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam apabila dengan berani menyiarkan karikatur yang menghina Presiden PAS dan Speaker Parlimen dalam akhbarnya, baru-baru ini.

Tindakan ini merupakan suatu sikap yang sangat biadab dan boleh diistilahkan sebagai provokasi jahat yang boleh menimbulkan ketegangan dan mungkin boleh mengakibatkan kejadian yang lebih buruk jika ianya terus dibiarkan. Walaupun karikatur tersebut sudah ditarik balik dan permohonan maaf telah dibuat tetapi kesan terhadap penyiaran tersebut telah membekas dan sakitnya masih terasa.

Perbezaan politik haruslah diurus dengan baik dan janganlah ianya diperjudikan dengan tindakan dan cubaan yang boleh mengancam kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.

Tindakan Nanyang Siang Pau harus dilihat dari kaca mata keselamatan oleh rakyat dan pihak berkuasa. Mereka bukan sahaja dari etikanya telah bersikap biadab bahkan telah tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi asas kepada penubuhan negara Malaysia.

Apakah yang Nanyang Siang Pau mahu tunjukkan kepada rakyat dengan menyiarkan karikatur tersebut? Apakah mereka mahu jika seluruh umat Islam di Malaysia bangun dan melakukan tindakan balas terhadap sikap biadab mereka?

Inikah budaya dan etika kewartawanan yang mereka sedang tonjolkan kepada masyarakat dan anak muda yang bersemangat untuk mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik dan saling menghormati?

Nampaknya Nanyang Siang Pau sedang merintis jalan mati kepada budaya kewartawanan yang beretika bahkan mereka sedang membawa pembaca dan anak muda Malaysia ke arah budaya pemikiran melampau.

Mereka sengaja mengabaikan sensitiviti umat Islam dengan tindakan tersebut bahkan sikap mereka itu jelas berasaskan dari ketidakpuasan hati mereka terhadap pembentangan RUU 355 oleh Presiden PAS dan laluan yang diberikan oleh speaker parlimen terhadap pembentangan tersebut.

Malaysia yang harmoni dan saling menghormati yang diasaskan oleh pemimpin kita terdahulu serta undang-undang yang termaktup dalam perlembagaan Malaysia telah dilacurkan oleh ahli politik dan wartawan yang yang mempunyai agenda politik sempit dan perkauman.

Inilah kebimbangan yang sering difikirkan oleh para pemimpin PAS. Keterujaan melampau untuk menguasai Putrajaya sehingga mengabaikan asas kepada keharmonian masyarakat. Umpama lari dari mulut buaya masuk ke mulut harimau.

Inilah wajah yang dilukiskan oleh ahli politik cauvinis yang mahu mempertahankan hak mereka tetapi sanggup memperkosa hak orang lain. Mereka berpolitik dan menggunakan hujah undang-undang dan perlembagaan bagi mempertahankan keinginan masyarakat mereka dalam masa yang sama undang-undang yang menjadi rujukan mereka menjadi tidak sah kepada umat Islam yang ingin mempertahankan kesucian agama Islam dan penganutnya.

Umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya harus sedar sebelum terlambat dari permainan kotor dan politik jijik Nanyang Siang Pau dan ahli-ahli politik yang menaunginya.

Kita mengimpikan sebuah negara Malaysia yang lebih baik dan harmoni selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang. Menggantikan kerajaan dan sistem yang lemah tetapi bukanlah menyerahkannya ke tangan politikus yang cauvinis yang akan membawa negara dalam situasi yang lebih buruk sebaliknya negara ini harus dipimpin oleh mereka yang amanah terhadap umat Islam dan rakyat bukan Islam.

Hentikan sokongan anda terhadap politikus yang bersikap perkauman. Hentikan juga sokongan anda terhadap politikus yang mengkhianati amanah dalam kepimpinan.

Abdul Hisham Othman
Ketua Penerangan PAS Sabah
11 April 2017 - HARAKAHDAILY 11/4/2017

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah memanggil ketua pengarang akhbar harian Nanyang Siang Pau Sdn Bhd pada hari ini berhubung karikatur yang dianggap menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

Demikian dimaklumkan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

"Ia juga secara tidak langsung seolah-olah mempersendakan Parlimen dan agama Islam kerana Rang Undang-undang (RUU) 355 yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait dengan hal ehwal agama Islam," ujarnya.

Menurutnya, satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini (11 April 2017) dikeluarkan kepada akhbar berkenaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan tempoh tiga hari telah diberi kepada penerbit untuk menjawab surat tunjuk sebab tersebut.

"Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan serta prosedur yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan dua perenggan itu. - HARAKAHDAILY 11/4/2017

1. PAS Pusat memandang serius langkah Akhbar NANYANG SIANG PAU dengan sengaja dan dengan niat menyiarkan Karikatur yang menghina Presiden PAS dan Yang DiPertua Dewan Rakyat di muka B2 akhbar itu pada 8 April 2017 yang lalu.

2. PAS menganggap penyiaran tersebut dalam semua keadaan bertujuan menghina bukan sahaja Presiden PAS dan Yang DiPertua Dewan Rakyat, malah semua ummat Islam dan juga Undang-undang Islam.

3. PAS tidak boleh berkompromi dalam perkara yang seumpama ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab. Untuk itu PAS telah pun melantik Peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil dengan kadar segera.

4. Dalam hal ini PAS juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Terima kasih.

Dato' Takiyuddin Hassan,
Setiausaha Agung PAS.

Bertarikh: 11 April 2017.

S.k.: Tetuan Tengku Amilin 'A-Ishah Puteri, Faizi & Wan Rohimi,
(Peguambela & Peguamcara)
U.p.: Encik Wan Rohimi bin Wan Daud.

PENYIARAN karikatur RUU355 oleh akhbar harian Nanyang Siang Pau yang berunsur penghinaan dan secara tidak langsung menyentuh sensitiviti agama bukanlah satu keterlanjuran. Sebaliknya ia adalah disengajakan, dirancang dan bermotif yang mewakili pendirian serta kepentingan politik pihak tertentu. Dalam erti kata mudah, PAS sebagai sasaran dalam isu tersebut tahu kalangan yang berangkara mengatur permainan sangat jahat ini.

Permohonan maaf hanyalah alasan lunak dalam mengisi plot-plot lanjutan menuju kepada banyaknya lagi sandiwara yang akan dioperakan, termasuk menggunakan pelakon tambahan berbayar dan sedia serta setia diperalatkan. Penyiaran karikatur itu sendiri menggambarkan betapa gelisah, kecewa, marah dan bebalnya mereka, selain peranan para pelabur dana, aset dan medium untuk menjayakan modul operasi tersebut.

Malangnya, mereka menjerumuskan diri ke kancah yang terlalu merbahaya dan melanggar sempadan secara melulu lagi emosi melibatkan agama dan kaum. Tetapi inilah selalunya modal pihak yang terdesak dan tersepit di mana pencerobohan sedemikian sememangnya untuk menzahirkan penentangan mereka. Namun ternyata mereka lupa bahawa keangkuhan cauvinisme dan rasisme mereka akhirnya akan membakar diri. Untuk memahaminya, imbas kembali kronologi berikut:

• 30 September 2005: Akhbar Denmark, Jyllands-Posten menyiarkan karikatur karya kartunis, Kurt Westergaard yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai pengganas dan tidak bermoral;
- Arab Saudi, Libya, Sudan dan Qatar bertindak menutup kedutaan mereka di negara itu
- Tujuh lagi akhbar iaitu di Perancis, Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol meneruskan penerbitan sama sebagai sokongan moral kepada Jyllands-Posten
- Ikhwanul Muslimin lancar kempen memboikot barangan Denmark dan Norway
- Amir Jamaat Islami, Qazi Hussin memimpin ratusan ribu umat Islam Pakistan berdemonstrasi, tetapi beliau kemudian dikenakan tahanan rumah

• 3 Februari 2006: Guang Ming Daily juga melakukan tindakan sama. Atas desakan massa, akhbar itu digantung penerbitannya selama dua minggu oleh kerajaan;

• 4 Februari 2006: Sarawak Tribune menyiarkan lakaran kartun sama. Turut diselitkan rencana sinikal bertajuk “Cartoons: Not Much Impact Here”;
- Umat Islam Malaysia menunjukkan protes luar biasa hingga mengheret PM mengeluarkan kenyataan
- Pengurusan Sarawak Tribune terpaksa menghentikan penerbitannya dan premis akhbar itu dikawal pihak keselamatan. Kerajaan kemudian menggantung lesen penerbitannya.

Kini perangai sama sedang diperlakukan dengan menjadikan akhbar-akbar berkaitan sebagai proksi terhadap agenda terselindung pihak tertentu itu yang bersembunyi secara bacul dan pengecut. Mereka tidak akan berhenti melainkan sekadar ‘berdiam’ seketika, itupun seandainya umat Islam bangkit menunjukkan amaran dan ketegasan. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

NANYANG Siang Pau (NSP) telah bertindak mengulangi skrip sama yang menjadikan gugatan ke atas ketenteraman awam dan keharmonian kaum sebagai mangsa dalam permainan politik pihak tertentu.

Tindakan NSP boleh dilihat sebagai mewakili pihak tertentu yang terdesak untuk membesarkan lagi bantahan mereka terhadap usaha dan agenda Islam menerusi penggubalan dan pindaan undang-undang di Parlimen.

Mengapa prosedur dan tatacara yang telah dilakukan secara sah itu mesti dipertajamkan dengan sentimen seperti ini? Jangan dijadikan permohonan maaf sebagai alasan lunak, tetapi ketika sama kamu seolah-olah mempamerkan pisau di tangan.

Ia sama sahaja seperti menghunus senjata untuk bersengketa secara pengecut di mana perbuatan itu hanya dilakukan pelampau yang senyum di depan tetapi menikam di belakang dan ini tentunya sangat merbahaya.

NSP ternyata telah menjadi wadah kepada pihak penghalang yang cuba membuat sekatan dan penentangan lanjutan kepada RUU355. Ia akhirnya mengesahkan kewujudan pihak penghalang yang pernah disebut Presiden PAS.

Tetapi mengapa perlu dengan membakar sensitiviti agama dan bernada rasis? Apakah kita lupa ia adalah api yang paling mudah dimarakkan? Malah, kebiadaban dan persendaan karikatur itu setidak-tidaknya telah menyinggung banyak pihak.

Tidak ada mana-mana pihak boleh menerima penghinaan dan provokasi yang kita khuatir akan menyebabkan pihak tertentu menangguk di air keruh. Ingat kembali beberapa insiden yang pernah berlaku dahulu.

Kita tidak mahu ia berulang dan kami menggesa semua pihak menghentikan ulangan perbuatan seperti ini. Kami juga mahu pihak KDN mengkaji semula permit penerbitan akhbar kepada NSP jika penerbitan karikatur tersebut melanggar syarat dan menyeru semua pihak menjunjung etika media yang dihormati.

“Jihad Menuju Kemenangan"
"Inilah Penyelesaian Kita"

USTAZ SALIM MAHMOOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
11 April 2017 | 14 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 11/4/2017

PEMBENTANGAN Usul RUU 355 oleh YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen telah memberikan satu pencerahan terhadap salah faham keatas Usul pindaan itu. Sebelumnya, banyak pihak sengaja mengelirukan rakyat Malaysia termasuk non-muslim agar menentang usul ini.

Pembentangan yang cukup jelas dan menjawab segala fitnah keatas RUU 355 ditambah pula dengan penjelasan teknikal dan sejarah RUU 355 oleh YB Datuk Takiyudin Hasan, Ahli Parlimen Kota Bharu membuka mata ramai pihak yang selama ini menentang RUU 355 hasil dari maklumat salah yang diperolehi. Malah sudah ramai yang berubah menyokong RUU 355.

Maka, muncul pula tindakan provokasi melampau akhbar Nanyang Siang Pau menyiarkan karikatur monyet dengan mengaitkan dengan RUU 355, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, dan Tan Sri Pandikar Amin yang jelas berniat jahat dengan cubaan bermain dengan sentimen dalam kalangan pembaca media berbahasa cina.

PAS Kawasan Batu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bermoral NANYANG SIANG PAU yang bersikap biadab dan menghina dengan menyamakan pimpinan kami dengan monyet. Mereka juga menghina islam apabila karikatur monyet tersebut memakai serban, simbol suci umat Islam yang digunakan dalam solat. Malah karikatur itu juga cuba memperlekehkan institusi parlimen dengan tulisan "Hou Zi Xi Fa" bermaksud "monyet main undang undang".

Jika Nanyang Siang Pau ada pandangan berkenaan dengan RUU 355, kami sedia menyediakan tapak untuk pihak anda berhujah, silakan datang ke gelanggang, jangan baling batu dan sorokkan tangan. Berhujahlah dengan matang dan bukan dengan karikatur yang menghina.

Justeru, saya mewakili PAS Kawasan Batu menyarankan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang sedia ada untuk menyiasat dan menggantung penerbitan Nanyang Siang Pau dengan kadar segera.

13 (1) Tanpa menjejaskan lesen atau permit dibawah mana mana peruntukan lain dalam akta ini, jika menteri berpuas hati bahawa mana mana mesin cetak yang berkenaan dengannya lesen itu telah dikeluarkan adalah digunakan untuk mencetak mana mana hasil penerbitan yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara atau bahawa mana mana akhbar yang berkenaan dengannya permit telah dikeluarkan mengandungi apa apa jua yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara, dia boleh membatalkan lesen atau permit itu.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
 
Sekiranya dibiarkan, tindakan provokasi bersifat perkauman ini akan menjadi kebiasaan kerana dengan hanya memohon maaf dapat selesaikan kesalahan yang mereka lakukan. Tindakan tegas berupa pengajaran dan contoh kepada pihak lain amat diperlukan. Biar Nanyang Siang Pau merasai kesan apabila menjolok sarang tebuan.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu

More Articles ...