18
Fri, Oct
30 Artikel Baru

KAMI memandang serius pendedah Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail kelmarin bahawa negeri Kedah adalah negeri kedua tertinggi perokok di negara ini.

Fakta yang didedahkan bahawa 26.5% penduduk Kedah yang berumur 15 tahun ke atas adalah perokok sangat mengejutkan.

Menganggarkan kanak-kanak berumur 0-15 tahun berjumlah sekitar 500,000 mengikut statistik penduduk Kedah pada 2010 dan kini Kedah mempunyai populasi lebih 2 juta,  bermakna Kedah mempunyai lebih 1.5 juta perokok.

Kerana penduduk negeri Kedah adalah majoriti kaum Melayu, kami percaya perokok di negeri ini pasti majoritinya adalah di kalangan kaum Melayu.

Angka kasar ini menunjukkan Kedah berpotensi berhadapan krisis penduduk berpenyakit akibat merokok yang cukup besar.

Ini belum lagi dilihat dari sudut implikasi ekonomi dan sosial. Tabiat merokok merupakan punca yang utama kepada kanser dan kardiovaskular. Kos rawatan yang terpaksa ditanggung kini adalah sangat besar untuk dua  penyakit utama tersebut. Manakala merokok di kalangan anak muda berpotensi besar terdedah kepada penyalahgunaan dadah.

Bagi perokok di kalangan golongan B40 ternyata ia akan menjadi beban ekonomi yang bertambah dan akan menjadi lebih kritikal bila wang untuk kesihatan dan pendidik disalur kepada tabiat perokok.

Kami berpandangan jika gejala ini tidak diatasi segera, negeri Kedah akan berdepan masalah yang sangat berat dari sudut kesihatan dan ekonomi rakyat.

Tidak ada gunanya Kerajaan Kedah berusaha mencapai taraf pendapatan tinggi di kalangan rakyat jika gejala merokok akan menyedut pendapatan rakyat dan  juga beban kos khidmat kesihatan dari bajet kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang tinggi perlu ditanggung.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan menggunakan kaedah yang lebih berkesan dari hanya menubuhkan 58 buah Klinik Berhenti Merokok di seluruh negeri Kedah untuk merawat golongan perokok tegar.

Kempen pihak Jabatan Kesihatan sempena bulan Ramadhan ini sudah dilakukan saban tahun, namun ia maseh tidak berkesan kerana tabiat merokok sudah menjadi norma masyarakat sebaik sahaja berbuka puasa.

Pendekatan ke arah menguatkuasakan larangan menjual dan merokok di kawasan awam mesti dilaksanakan dengan tegas.

Terlalu jelas pelanggaran merokok di premis awam seperti restoran, kawasan pasar, kawasan masjid dan surau, premis pejabat awam dan swasta sangat berleluasa. Pihak masyarakat maseh tidak melihat kepentingan melapor perlanggaran peraturan terhadap perokok dan membiarkan penjual dan perokok berleluasa tanpa diambil tindakan.

Suatu gerakan yang berkesan yang melibatkan pemimpin politik, NGO dan pemimpin akar umbi di kalangan masyarakat mesti dikerah. Pihak berkuasa kesihatan dan kerajaan tempatan mesti diperkasakan lagi untuk membenteras pelanggaran undang-undang mengenai penjualan rokok dan merokok di premis awam.

Kami mengambil perhatian terhadap fatwa mengharamkan rokok di negeri Kedah masih belum digazetkan sehingga kini. Padahal fatwa negeri Kedah itu sudah dikeluarkan sejak 1996 lagi. Manakala fatwa haram terhadap rokok vape juga telah dikeluarkan pada 25 November 2015 yang lalu.

Sayangnya ia hanya tinggal fatwa di atas kertas semata-mata.

Sudah sampai masanya pihak Majlis Fatwa Negeri Kedah segera mengambil langkah untuk mengangkat fatwa tersebut supaya digazetkan di Dewan Undangan Negeri.

Isu ini melibatkan majoriti umat Islam dan mudaratnya terlalu jelas. Tidak munasabah fatwa yang boleh menjadi salah satu kekuatan dalam mengekang tabiat merokok di kalangan umat Islam masih ditangguh penguatkuasaannya.

Pihak kami bersama rangkaian NGO di bawah gerak kerja dakwah akan mengadakan perbincangan khas untuk merancang strategi menggembleng masyarakat akar umbi supaya tabiat merokok terutama di kalangan remaja dan generasi muda dibanteras.

Kami berharap mendapat dukungan dan sokongan dari pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah untuk memberi kemudahan dan sokongan kewangan supaya Kempen Benteras Rokok dapat dijayakan. - HARAKAHDAILY 7/5/2017

Penulis ialah Presiden Mapim.

BEKAS Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak pernah menekankan betapa kewujudan Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP)  atau lebih dekat namanya sebagai Felda adalah satu usaha kerajaan dalam membantu golongan miskin tidak bertanah memiliki tanah seterusnya mengubah kehidupan mereka.

Sesuai dengan idea tersebut, maka kerajaan ketika itu membantu masyarakat golongan tidak bertanah ini menabur bakti membantu kerajaan meningkatkan kemajuan dalam sektor perladangan yang sebelumnya dipelopori kaum bukan Bumiputera.

Felda ditubuhkan bagi merealisasikan hasrat ini,  malah Felda pernah mencapai status syarikat perladangan teknokrat terbaik di dunia dengan kemajuan dan asetnya yang cukup bernilai,  memacu kemajuan negara.

Suatu masa lalu Felda menjadi kebanggaan kepada seluruh warganya.

Sampailah satu ketika Felda diserahkan kepada mereka yang tiada integriti dalam mengurustadbir termasuk yang menjadikan Felda kini diambang kejatuhan yang dahsyat apatah lagi kemudi yang menjadi orang kepercayaan Datuk Seri Najib Razak juga sangat diragui integritinya.

Felda merupakan satu satunya kawasan atau aset bernilai kepada Umno BN dalam meneruskan survival politik mereka  dimana ia menjadi fix deposit kepada mereka.

Tatkala kawasan bandar dikuasai pembangkang tidak kira dari parti mana sekalipun, Felda tetap dikuasai Umno secara total.

Namun Umno terus menerus tidak berlaku adil kepada warga Felda khususnya anak Muda.

Apatah lagi Akta GSA 1960 sejak dahulu mengikat warga felda dari terlepas dengan ikatan “janji palsu Umno BN”.

Akta ini  sebenarnya banyak menjerut warga Felda, hanya beberapa Felda terdahulu sahaja yang mendapat hak tanah dan boleh dibahagi kepada waris sedangkan selepas pindaan dan beberapa pengubahsuaian akhirnya kini akta itu dilihat cukup mencengkam.

Mengapa akta ini  disifatkan sebagai bercanggah dengan Islam?

Ayuh kita lihat beberapa cirinya

BERCANGGAH FARAID FELDA

Pertamanya dalam feqah ia bercanggah dengan hukum ihya dan iqta'. Cara pelaksanaan mirip  sistem Feudal Eropah yakni penzaliman berlaku dengan rampasan tanah oleh sang penguasa, ia disebut sebagai zaman kegelapan Eropah.

Keduanya, akta ini tidak telus dan status tanah milik peneroka dan juga tanah Technoplant tidak jelas menurut akad Islam Kontrak Muzaraah dan Musaqah.

Lantas seterusnya akta ini banyak menafikan hak yang diiktiraf syariat iaitu hak waris atau yang disebutkan sebagai generasi kedua dan seterusnga.

Lebih mendukacitakan akta ini sebenarnya menyekat yang halal adalah lebih berat daripada membenarkan yang haram.

Bagi mengetengahkan isu ini, NGO Generasi melihat bahawa ada keperluan untuk dimobilisasi gerakan menggesa Akta GSA ini dipinda dengan para pengamal undang-undang, pakar rujuk syariah  dan pelbagai disiplin ilmu lain termasuk para alim ulama, pentadbir dan para penggubal dasar,  legislatif sebagainya duduk berbincang mengenai pindaan akta ini.

NGO Generasi melihat kepentingan semua pihak duduk menyelesaikan isu ini kerana di sana terdapat kepentingan golongan miskin, bumiputera dan mereka yang tidak bertanah akhirnya nanti memiliki tanah dan dapat diwariskan kepada anak anak mereka bagi menjamin masa depan anak anak ini pasca ketiadaan ibu bapa mereka yang menjadi Peneroka Felda.

Apatah lagi dalam keadaan tanah sebagai aset berharga kini adalah menjadi matlamat bagaimana ia harus dipertahankan hak milik dari generasi ke generasi Felda.

Sesuai dengan peranan NGO Generasi sebagai vehicle PAS dalam mendepani isu isu tanah, warisan dan generasi, maka sudah sampai masanya PAS juga mengwujudkan Lajnah Felda khas sebagai wadah PAS membawa dan mengketengahkan isu Felda bukan terutama sekali dalam memastikan gelombang mencadangkan pindaan Akta GSA ini harus dimulakan sesuai dengan saranan Agenda Memacu Gelombang Hijau yang digariskan Tuan Guru Presiden PAS pada Muktamar Ke-63. – HARAKAHDAILY 6/5/2017

Penulis adalah Presiden NGO GENERASI WARISAN KEBANGSAAN (GENERASI) dan Timbalan Pengerusi Lajnah Tanah, Orang Asal dan Peneroka Bandar

TANGGAL  6 Mei,  sewaktu berdakwah melalui seni di Medan,  Indonesia, saya menerima mesej para sahabat, tahniah dan takziah kerana saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lajnah Kesenian  dan Kebudayaan PAS Pusat.

Bergandingan dengan senior, Dr Riduan Mohammad Nor selaku Pengerusinya. Satu amanah yang berat, namun  bagi saya jalan dakwah semakin terbuka luas, apatah lagi seni ini sebati dalam jiwa.

Usai Konsert Kesenian Islam bergandingan bersama Ustaz Roslan Md Esa dan Ustaz Najhan Halim,  kami bersiap untuk pulang ke Malaysia dan ketika itulah mesej bertalu talu diterima.

"Nampaknya UMC boleh terus menyanyi dan berkarya dakwah, telahan seorang sahabat melalui mesej membuka minda dan mencerdas akal untuk  terus bergerak bersama jalan Islam yang dirintis para Ulamak selama ini.

PAS tidak pernah anti seni atau kebudayaan. Malah PAS kini disertai para artis, budayawan dan yang sewaktu denganya.

Abang Bob Lokman, Zuar XPDC, dan ramai lagi sudah menyertai platform ini menyusur jalan dakwah yang dibina PAS sekian lama.

Saya pernah melalui jalan seni walaupun ketika duduk di Lajnah Dakwah PAS Pusat selaku Setiausaha.

Pernah bergandingan dengan Derry Sulaiman, Mas Opick, Rayhan Kangen Band dan anak-anak Band yang telah ber hijrah.

Pernah merentas jalanan mencari pemuzik jalanan untuk ditiup roh dakwah kepada mereka kaki Busking.

Semuanya menuju jalan dakwah kerana istimewanya PAS adalah juga parti yang menitikberatkan dakwah.

Tiga tonggak PAS iaitu Siasah, Dakwah dan Tarbiyah sebenarnya luas dan boleh dirintis pelbagai kaedah termasuk seni.

Insya-Allah saya akan berjalan dalan nuansa dakwah melalui seni kali ini. Doakan kami berjalan membantu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Istiqamah menuju kemenangan. – HARAKAHDAILY 6/5/2017

DISEBABKAN ada pihak yang mempertikaikan kerelevanan dokumen dalaman PKR yang membuktikan bahawa pemimpin tinggi PKR sendiri pernah mengakui bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan oleh DAP, yang akan menambahkan bilangan kerusi Parlimen dari 222 menjadi 262, dengan pecahan 143 kerusi bandar, 39 kerusi separa bandar dan 80 kerusi luar bandar, jika diguna pakai oleh Pakatan Rakyat, akan menjadikan DAP dominan dan mengambil-alih kuasa politik Malaysia, yang sememangnya merupakan satu dokumen sahih, maka di sini saya sertakan enam lagi contoh kerakusan DAP untuk menjadikan DAP dominan dalam politik Malaysia.

Enam contoh ini adalah:
1.Ketegasan pemimpin DAP, khususnya Penasihat Seumur Hidupnya, Dr Chen Man Hin, menuntut supaya agihan kerusi Parlimen untuk Pilihan Raya Umum 1999 antara parti-parti komponen Barisan Alternatif, iaitu PAS, DAP dan KeADILan, dilakukan sama rata, iaitu 48 kerusi untuk PAS, 48 kerusi untuk DAP dan 48 kerusi untuk KeADILan. Ini di antara lainnya boleh dibaca dalam laporan akhbar Berita Harian pada 14 Julai 1999 bertajuk “PAS, DAP, KeADILan agih kerusi sama rata”, laporan akhbar Berita Harian pada 21 Julai 1999 bertajuk “DAP tetap tanding 48 kerusi” dan laporan akhbar Berita Harian pada 22 Julai 1999 bertajuk “DAP mahu pembahagian sama rata”.

2.Pengumuman secara unilateral Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di dalam Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan pada 2 November 2014 bahawa Pakatan Rakyat akan menubuhkan sebuah kerajaan negeri di Kuala Lumpur jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Umum Lim Guan Eng: “What do we promise, what does DAP and Pakatan Rakyat promise for Wilayah Persekutuan? We promise that there will be a state government for Wilayah Persekutuan, especially Kuala Lumpur. Sudah sampai masa kita ada sebuah kerajaan negeri di Wilayah Persekutuan... Itulah yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat, itulah janji Pakatan Rakyat, di mana kita akan balik kepada demokrasi, kita akan benarkan satu kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat memerintah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.”

3.Pendedahan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, di dalam Konvensyen Tahunan DAP  Selangor pada 30 November 2014 bahawa, ekoran pelantikan Menteri Besar Selangor baru, DAP akan mengambil alih 1 kerusi Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor milik PAS dan bahawa, ekoran ia tidak dapat dilaksanakan, DAP menuntut jawatan Timbalan Speaker Kedua Negeri Selangor kepadanya. Dedah Tony Pua: “Dalam perkara ini persetujuan telah pun dicapai antara pimpinan tertinggi PKR dan DAP bahawa seorang lagi Ahli EXCO akan diberikan kepada DAP. Atas sebab-sebab yang tertentu, kami menerima bahawa Ahli EXCO tambahan itu terpaksa dialihkan kepada PKR. Oleh sebab itu, kami telah menuntut supaya jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor diagihkan kepada DAP. PKR dengan 13 orang ADUN telah menempati 4 Ahli EXCO dan 1 Menteri Besar. DAP yang mempunyai 15 ADUN hanya menduduki 3 jawatan EXCO dan 1 Speaker Dewan Undangan Negeri. Kami di DAP jelas berasa tuntutan kami adalah adil dan langsung tidak keterlaluan dan oleh sebab itu pemimpin dan kepimpinan DAP di peringkat Pusat dan Negeri telah sebulat suara menyokong pencalonan Saudara Ng Suee Lim sebagai Timbalan Speaker dalam Dewan Undangan Negeri. Kami pun tidak berhasrat untuk mengusir Timbalan Speaker PAS yang telah dipilih dan dilantik. Kami hanya menuntut selama ini untuk Timbalan Speaker Kedua dilantik sepertimana yang diaturkan di Negeri Perak dan juga Negeri Sabah.”

4.Arahan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, di dalam Konvensyen DAP Johor pada 11 Oktober 2015 supaya DAP melengkapkan diri sebagai bakal pewaris kerajaan negeri Johor, kerajaan persekutuan dan kerajaan tempatan berikutan DAP adalah parti pembangkang terkuat di Johor dengan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ia menangi dalam Pilihan Raya Umum 2013 berbanding 4 kerusi yang dimenangi oleh PAS dan 1 kerusi yang dimenangi oleh PKR. Arah Liew Chin Tong: "Harapan saya supaya DAP Johor bukan sahaja bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tetapi juga melengkapkan diri sebagai bakal pewaris kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan kerajaan tempatan. Misi kita dalam dua tahun akan datang adalah untuk mengubah Johor dan sekaligus mengubah nasib Malaysia dalam 50 tahun akan datang. Perjuangan untuk menamatkan kuasa Umno sejak 1955 akan menyaksikan pertempuran paling hebat di Johor. Setiap lapisan parti termasuk PLC, cawangan, DAPSY, Wanita, semua perlu menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran tersebut, supaya kita bersedia untuk mentadbir negeri Johor dan menawan Putrajaya”.

5.Pengumuman Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, di dalam sidang media pada 30 Oktober 2015 kesediaan DAP Selangor untuk meletakkan calon di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimiliki oleh PAS dalam pilihan raya umum akan datang, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat. Ini di antara lainnya boleh dibaca dalam laporan portal Astro Awani pada 30 Oktober 2015 bertajuk “DAP sedia bertanding di lapan DUN dipegang PAS - Tony Pua”.

6.Pengumuman Penasihat DAP, Lim Kit Siang, di dalam kenyataan media pada 30 Disember 2016 bahawa jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang bakal DAP tandingi dalam pilihan raya umum akan datang akan meningkat sekali ganda berbanding jumlah kerusi yang telah DAP tandingi dalam Pilihan Raya Umum 2013 (4 kerusi Parlimen dan 8 kerusi Dewan Undangan Negeri). Ini di antara lainnya boleh dibaca dalam laporan di blog beliau pada 31 Disember 2016 bertajuk “DAP Sabah to create a “political earthquake” in Sabah in 14th General Election through the ballot box to peacefully and democratically start the process of political change in Sabah and Malaysia”. – HARAKAHDAILY 6/5/2017

MUNGKIN buat kali pertama dalam sejarah, dua pimpinan dengan latar belakang kelayakan sama sebagai doktor pergigian diamanahkan menerajui Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat. Sama ada sengaja atau kebetulan, inilah antara kelainan yang ditampilkan susunan kabinet baru PAS Pusat bagi sesi 2017/2019.

Penulis dengan latar belakang kelulusan pergigian dari University of Baghdad akan  bergandingan dengan senior lulusan pergigian dari Universiti Malaya, Dr Rosni Adam dalam memikul tanggungjawab bagi merealisasikan agenda kebajikan dan kemasyarakatan PAS dalam rangka untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera bersama Islam. Suatu amanah yang sangat besar.

Walau telah bersedia untuk ditugaskan di mana-mana posisi yang bakal diarahkan oleh Tuan Guru Presiden, tapi sebenarnya hati kecil saya memang berharap untuk berbakti di lapangan kebajikan. Mungkin pengalaman lebih 4 tahun memikul tanggungjawab di Lujnah Kebajikan PAS Terengganu menyebabkan tugas-tugas turun padang melaksanakan rutin kebajikan telah sebati dengan jiwa. Alhamdulillah, saya akhirnya jatuh di lubuk yang saya minati. Kita sedia bergelumang dengan selut dan lumpur demi cita-cita yang besar ini.

Kerja tanpa banyak politiking serta mampu sampai terus ke dasar untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan adalah keistimewaan orang kebajikan. Banyak tembok yang terhalang dapat dipecahkan melalui senjata kebajikan. Jarang kita kena marah atau ditengking herdik kerana nak buat kebajikan. Orang yang tengah muram dan masam boleh senyum kerana kebajikan. Pintu yang tertutup boleh terbuka kerana kebajikan. Orang yang jauh boleh didekatkan dengan kebajikan. Tangan yang longgar genggamannya tika bersalaman boleh dieratkan kerana kebajikan.

Manusia adalah hamba kepada budi. Apabila kita hadir ketika susah, orang akan ingat kita ketika senang. Walau keupayaan kewangan kita tak semewah parti yang berkuasa, tetapi dengan sedikit seni dalam berbuat kerja kebajikan akan mampu untuk meletakkan kita selangkah di hadapan berbanding pesaing kita. Strategi inilah nanti yang akan digarapkan dengan mantap serta memanfaatkan secara optimun setiap sumber yang ada. – HARAKAHDAILY 6/5/2017

Penulis ialah AJK Kerja PAS Pusat.

SETELAH meneliti kes tuduhan terhadap pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik, Mapim mengambil pendirian menolak dan membantah beberapa golongan termasuk Hindraf dan badan gabungan agama Buddha, Hindu, Kristian dan  Sikh di Malaysia yang menuduh beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan dengan itu mereka melancarkan kempen menolak kehadiran beliau di Malaysia.

Soalnya apa agenda mereka untuk menolak Zakir Naik berceramah di Malaysia jika kerajaan Malaysia tidak melihat beliau sebagai ancaman dan dengan itu mempunyai masalah menerima beliau sebagai tetamu dan penda'wah?

Kami mengikuti isu serangan dakwaan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan di negara ini yang pada hakikatnya mahu menyekat pengaruh beliau kepada masyarakat awam di Malaysia, terutama mengenai keupayaan beliau berhujah dalam perbandingan agama yang menarik ramai penganut agama lain kepada Islam.

Pengaruh beliau di India dalam menjelaskan kefahaman masyarakat terhadap Islam dan bandingan dengan agama lain ternyata dilihat sebagai gugatan kepada pihak yang bersikap fobia dan cemburu terhadap Islam.

Kami berpendirian apa sahaja tuduhan ke atas beliau yang dilaporkan oleh pihak media di India dan di negara yang lain, hendaklah dibukti tanpa prejudis. Jika hanya dengan bersandar kepada pandangan esktrimis Hindu di India dan kelompok Barat yang melebel beliau sebagai pembicara yang menerapkan faham terorisme, maka bagi kami ia tidak lain dari propaganda Islamofobia yang telah mempengaruhi kelompok penentang Zakir Naik.

Kami kesal terhadap penentang Zakir Naik yang begitu ghairah mahu beliau dihantar balik ke India. Nampaknya pihak yang menfailkan kes dimahkamah itu beria-ia untuk menghukum beliau dan dengan sentimen yang melampau mendesak kerajaan Malaysia menangkap dan mengusir beliau.

Apa agenda mereka sebenarnya? Mengguna alasan Dr Zakir diburu oleh pihak berkuasa di India, tidak cukup untuk menjadi asas kerajaan Malaysia untuk menahan dan mendesak taraf pemastautin tetap beliau di Malaysia dibatalkan. Malaysia ada undang-undangnya tersendiri dan tidak perlu tunduk kepada desakan dari luar.

Sepanjang kami mengikuti ceramah beliau secara langsung di India dan di Malaysia tidak ada bukti bahawa beliau mengembangkan faham esktrimis dan menganjur keganasan terhadap penganut agama lain.

Hanya mereka yang tidak mampu berdebat dengan beliau akan terasa tergugat kerana beliau mampu membentang wacana yang jelas dan menyakinkan mengenai Islam untuk didengar dan difahami oleh audien Muslim dan non Muslim.

Dengan fenomena ramai yang mahu melafazkan syahadah dalam majlis ceramah Zakir Naik, ia tidak harus dilihat sebagai gugatan kepada agama lain. Ia hanya suatu perkembangan yang positif bahawa penerangan Islam yang jelas dan dapat menghindar dari faham esktremis merupakan sumbangan besar Zakir Naik kepada masyarakat dunia.

Kenapa kumpulan pendesak ini tidak mahu berdepan dengan Zakir Naik dan berdebat secara langsung dengan beliau? Apa yang menyebabkan mereka mengambil keputusan menuntut perintah mahkamah ke atas beliau? Kenapa mereka mahu dilihat juara dan mewakili kumpulan pendesak di India untuk mengambil tindakan ke atas Zakir Naik?

Kemampuan beliau menguasai pengetahuan mengenai agama lain dan secara ilmiah membuat perbandingan dengan Islam, tidak sama sekali menunjukkan beliau menghina atau memprovokasi kebencian terhadap agama Iain.

Malah beliau lebih banyak berhujah untuk memperbetulkan salah faham masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap Islam.

Ruang bersoal jawab yang disediakan, setiap kali beliau menyampaikan ceramahnya telah menarik ramai bukan Islam sama ada belia, cendekiawan, golongan profesional dan ahli agama yang lain untuk mendapat penjelasan yang menyakinkan terhadap keindahan Islam.

Sebahagian besar mesej beliau adalah ke arah menanam sikap toleransi, dialog, keamanan dan saling hormat menghormati antara agama dan kaum.

Tuduhan yang dilontar terhadap beliau oleh golongan yang merasa terancam kerana pengaruh beliau,  adalah semata-mata atas sikap prejudis dan sentimen fanatik terhadap agama dan ketakutan terhadap potensi beliau menarik minat masyarakat awam terhadap Islam yang sebenar.

Tuntutan mahkamah yang difail oleh beberapa kumpulan untuk menangkap, mengusir beliau dari Malaysia dan membatalkan taraf penduduk tetap yang diberi oleh kerajaan Malaysia kepadanya, adalah melampau. Malah adalah sangat biadap apabila ada yang mahu anugerah Maal Hijrah kepada beliau yang disampaikan oleh KDYMM yang DiPertuan Agung, ditarik balik.

Sebaliknya kami menegaskan sikap prejudis agama yang mendalam dari kumpulan seperti Hindraf jelas boleh menimbulkan ketegangan antara agama kerana merekalah yang mencabar kedudukan Islam di negara ini.

Kami menegaskan bahawa kumpulan ini dengan terang-terangan mahu campur tangan dalam urusan agama Islam di negara ini dengan mengguna saluran undang-undang untuk menyekat pendakwah seperti Zakir Naik.

Padahal tidak sedikit para sami dari India dibenarkan masuk ke negara ini atas nama memimpin dan menguruskan ribuan kuil Hindu yang wujud di Malaysia. Kerjasama yang dijalinkan antara Malaysia dengan India jangan diambil kesempatan untuk menekan kerajaan Malaysia mengusir Zakir Naik.

Kami mengingatkan kepada Hindraf dan kumpulan-kumpulan yang bersama dengannya yang sering mempersoalkan isu yang berkait dengan kedudukan Islam di negara ini , agar jangan melampau batas sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam.

Negara ini adalah bebas untuk mengamalkan agama masing-masing kecuali dalam konteks yang boleh menjejaskan keamanan awam. Sikap beragama yang sempit dan prejudis terhadap agama lain tidak harus dibenarkan menguasai pemikiran awam. – HARAKAHDAILY 6/5/2017

PAS Johor mengharap agar semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa atau agama untuk kembali kepada sikap yang bertoleransi sesama kita.

"Hormatilah semua amalan agama-agama yang ada di Malaysia ini supaya kita semua dapat mencipta sebuah Malaysia yang lebih sejahtera," ujar PAS Johor dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan media PAS Johor

Hari ini masyarakat telah dikejutkan dengan penularan satu video amukan jemaah masjid kepada seorang pemandu yang membunyikan hon tanpa henti ketika solat Jumaat diadakan. PAS Johor amat menyesali perkara seperti ini berlaku dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. Ia menunjukkan kegagalan sistem nilai dan toleransi masyarakat secara keseluruhannya. Sekiranya perkara ini tidak diubah dan ditangani dengan baik, ia akan membarah dan meruntuhkan hubungan sesama kaum dan agama di negara ini.

Masalah parkir yang sesak ketika upacara-upacara besar adalah perkara biasa di Malaysia dan ianya boleh diselesaikan dengan mewujudkan sistem parkir yang lebih tersusun dan sistematik serta makluman kepada para pemandu kenderaan mengikut keadaan setempat.

Sikap tidak bertoleransi juga terserlah kepada pemandu yang terlibat. Membunyikan hon ketika solat dikerjakan hanya menunjukkan betapa tiadanya toleransi lebih-lebih lagi ketika satu upacara agama dilakukan. Ianya sememangnya hanya akan mengundang ketidakpuasan hati dan kemarahan kepada jemaah surau tersebut.

Tiada sikap toleransi yang ditunjukkan oleh segelintir jemaah masjid yang agak agresif terhadap pemandu tersebut juga sesuatu yang sepatutnya dielakkan. Tidak perlu bertindak secara kekerasan dan merosakkan harta benda kerana Islam mengajar kita bersabar adalah lebih baik. Walau bagaimanapun, kejadian sebenar hanya diketahui oleh mereka yang terlibat. Keadilan perlu dilaksanakan walau siapa yang melakukannya.

Di dalam kes seumpama ini, masyarakat dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan lagi keadaan teutama melalui media sosial. Serahkan kepada pihak yang berkuasa untuk menyiasat dan membuat hukuman.

Tahniah kepada pihak yang berkuasa termasuk PDRM, Majlis Agama Islam Johor, pihak pentadbiran surau dan ketua komuniti masyarakat Cina tempatan yang berjaya menyelesaikan isu ini dengan pantas dan berkesan.

Justeru, PAS Johor mengharap agar semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa atau agama untuk kembali kepada sikap yang bertoleransi sesama kita. Hormatilah semua amalan agama-agama yang ada di Malaysia ini supaya kita semua dapat mencipta sebuah Malaysia yang lebih sejahtera.

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
5 Mei 2017 / 9 Syaaban 1438H

More Articles ...