PADA sidang kelmarin dahulu saya telah mengambil peluang di atas soalan tambahan saya berkenaan jumlah pendahuluan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri untuk membangkitkan isu pembiayaan Projek Lebuhraya Pantai Timur 2 yang menelan belanja lebih RM5 bilion. Seperti masih tertera pada satu artikel di Laman Sesawang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2015, Pengerusi Jawatan Kuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri ketika itu Ir Rosli Othman menyifatkan projek LPT2 ini unik kerana ia satu satunya lebuh raya milik Persekutuan di Malaysia yang 1/3 dari pembiayaannya oleh Kerajaan Terengganu.

Ia melibatkan sejumlah RM1.85 bilion wang dana khas milik Terengganu yang sehingga kini sebanyak RM1.45 bilion belum dipulangkan.

Sebahagian pernah dibayar sebanyak RM118 juta dalam bentuk naik taraf jalan Awana Kijal, Kemaman. Isunya jalan itu pun adalah milik Persekutuan yang memang sudah menjadi tanggungjawab Persekutuan.

Sebanyak RM300 juta dijanjikan untuk Rumah Mampu Milik yang sebanyak RM100 juta telah dibelanjakan berbaki RM200 juta yang perlukan komitmen Persekutuan agar diteruskan.

Itu pun saya akan mendapat kepastian agar ia bukanlah peruntukan yang sama untuk perumahan rakyat yang sememangnya diperuntukkan kepada setiap negeri-negeri kerana ia sepatutnya sebahagian skim pembayaran semula wang dana khas milik Terengganu yang dibelanjakan untuk LPT2.

Tiada negeri lain tolong bayarkan untuk pembinaan lebuh raya milik Persekutuan seperti di Terengganu dalam projek LPT2 dalam jumlah mencapai angka bilion ringgit.

Dalam soalan saya, saya menegaskan pembayaran dalam bentuk projek mestilah untuk senarai projek negeri yang menjadi milik negeri.

Saya meminta kepastian agar Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harap menjelaskan sama ada mereka akan meneruskan amalan terdahulu di Terengganu yang tenyata merugikan Negeri Terengganu dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan dengan jelas senarai milik negeri dan senarai milik Persekutuan.

YB Menteri Kewangan tidak bersedia untuk menjawabnya dan meminta saya menulis surat kepadanya dan beliau telah berjanji akan jawab bertulis.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu - HARAKAHDAILY 9/12/2018

ADA yang kata hanya 55 ribu, ada yang dakwa lebih 500 ribu, ada yang letak 1.5 juta dan ada yang menjangkakan sejuta peserta hadir ke Himpunan Tolak ICERD yang berlangsung di Dataran Merdeka atau apa yang digelar Himpunan 812. Tidak ada suatu mekanisma terbaik bagi mengira kehadiran peserta itu. Limpahan mereka, membingungkan semua pihak kerana bagi yang ingin mendakwa himpunan ini gagal, mereka akan meletakkan jumlah yang sedikit. Manakala bagi yang suka memperbesar-besarkan kehebatan mereka, akan menokok tambah bilangan sehingga tidak masuk akal.

Ketika himpunan berlangsung, tiada laporan berkenaan salah laku peserta. Tiada kedengaran tembakan amaran oleh pihak berkuasa kerana kedegilan peserta, melawan arahan polis. Tidak kelihatan tangkapan dibuat atas apa-apa alasan perlanggaran undang-undang. Tidak terlihat juga kelibat trak FRU yang suatu ketika dahulu, sangat sinonim dengan peserta, sama ada mengejar mereka, mahupun menyemburkan air kimia sebagai acara khas antara pihak berkuasa dengan peserta seperti bermain polis sentri gayanya.

Tiada kenderaan polis diranapkan, tiada anggota pihak berkuasa dikepung atau dicederakan. Tiada kedai yang dimusnahkan, malah penjaja atau pemilik kedai makan yang menjalankan perniagaan mereka, sangat gembira dengan pelanggan yang memenuhi setiap inci ruang perniagaan mereka. Tinggal lagi adakah mereka sempat melayani pelanggan mereka yang berpusu-pusu itu atau tidak. Namun, datang peserta sebagai petualang merosakkan perniagaan mereka, tidak sekali. Malah ada juga terbaca, penyokong PH yang dalam keadaan mencarut dan memaki peserta, turut mahu berniaga pada masa perhimpunan itu. Itulah nilai kepercayaan mereka terhadap himpunan aman ini.

Peserta beratur mengikut garisan yang dibuat oleh pimpinan. Yang datang dari Sogo, beratur dengan sopan. Yang datang dari Masjid Jamek, melangkah gagah. Yang datang dari Masjid Negara, menapak seiring dan yang sudah sedia menunggu di Dataran Merdeka, tetap menunggu walaupun hujan dan panas. Begitu berdisiplin mereka berhimpun, bukan untuk bertumbuk, berkumpul bukan untuk merusuh. Berjalan seiringan, bukan untuk memecah perpaduan. Tujuan mereka satu, untuk menunjukkan kepada sesiapa sahaja bahawa jika agama Islam diperkotak-katikkan, mereka akan bangun, seiya sekata, mempertahankan keagungan agama ini. Entah dari mana datangnya mereka ini, tidak terbilang arahnya.

Sampah dikutip seusai perhimpunan. Lalu lintas dijaga kemas oleh Jabatan Amal. Tanpa kehadiran polis sekalipun untuk mengawal, mereka sudah terlatih, memastikan displin peserta mengikut kehendak pihak berkuasa. Ceramah pimpinan, menaikkan semangat peserta, menyedarkan mereka dari lamunan khayalan keindahan janji-janji palsu musuh Islam dalam menarik umat kepada mereka. Inilah suasana dan keadaan yang sangat biasa yang boleh ditonton oleh semua pihak. Peserta datang tanpa dibayar sama ada tambang, mahupun makan. Entahlah bagi ahli Umno yang mungkin pertama kali mengeluarkan belanja dari poket sendiri. Jangan direka cerita ahli PAS dibekalkan wang tambang atau duit makan mahupun saku. Tiada manusia waras yang akan percaya.

Tiada kedengaran kidung yang menghasut, menghina bangsa dan agama lain. Mereka dilarang mencaci maki kepercayaan lawan. Mereka tidak dibiarkan mencarut marahkan musuh kerana ianya bukan akhlak Islam yang diajarkan oleh Nabi. Tiada potret pimpinan mana-mana gerakan yang dibakar atau dihina dek kerana geram yang menggunung kepada mereka. Kesemua dendam dan amarah, disimpan, hanya pergerakan memberi amaran kepada bukan Islam agar tidak terus menerus menghina Islam. Tiada juga adegan gesel-menggesel berlainan jantina. Dalam kesibukan berhimpun, terlihatlah ribuan manusia melakukan solat berjemaah, kewajipan tiada ditinggalkan. Menambahkan lagi kepercayaan orang ramai. 

Pastinya jika PAS mengepalai perhimpunan, polis, tentera dan anggota keselamatan, tidak dipeningkan oleh gelagat sesetengah peserta yang degil. PAS akan memastikan kesemua pesertanya mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tidak boleh ini dinafikan. PAS berjaya mendidik ahli-ahli mereka berpegang dengan disiplin yang sangat tinggi. Ia sentiasa menyusahkan lawan PAS kerana penanda aras disiplin yang tinggi ini. Pasti akan ada suara berbunyi, kalau PAS, pasti tidak kecoh. Kalau PAS mesti bersih. Kalau PAS, mesti Jabatan Amal akan membantu. 

Bagi sesetengah pihak, berita ini kelihatannya seperti satu berita yang mengagumkan. Mereka yang tidak biasa dengan disiplin PAS, akan merasakan kehebatannya, mengujakan. Tetapi bagi PAS, ianya bukanlah satu berita yang menghairankan. Biasa-biasa sahaja kerana semua disiplin ini telah diterapkan ahli PAS dalam setiap himpunan tajaan mereka. Ianya sudah menjadi satu tabiat, bukan hal yang baharu dibuat-buat. Rakyat dan pihak berkuasa tidak ragu jika PAS menjanjikan perhimpunan aman, kerana pastinya keamanan yang akan diberikan jika tiada provokasi. Disiplin ini datangnya dari Islam. PAS tidak ada kelebihan melainkan jika terus menerus berpaut pada dahan Islam. Taniah kepada semua peserta atas solidariti bagi menjadi benteng mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
9 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 9/12/2018

SETINGGI penghargaan diucapkan kepada para peserta, penganjur, NGO dan parti politik yang telah berhimpun secara aman pada hari yang penuh bersejarah ini di hadapan Dataran Merdeka.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak PDRM dan DBKL yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik, dan menjadi penanda aras baharu demokrasi yang lebih matang dalam negara.

Semoga himpunan ini menjadi saksi kesedaran, keberanian dan kebangkitan rakyat yang cintakan perpaduan dan keamanan negara.

Sila beli kapur barus,
Sila jemput silalah kaut,
Jangan berani melawan arus,
Kelak tenggelam di dasar laut.

Dari Pelangai pergi ke Merapoh,
Kerana mahu beli buahnya,
Lampu merah jangan dirempuh,
Kalau dirempuh besar padahnya.

Dari Serdang ke Pasir Salak,
Datang menangguk udang galahnya,
Sarang tebuan jangan dijolok,
Kalau dijolok parah padahnya.

ABDUL HADI AWANG
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 8/12/2018

MEKANISMA baru pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat lebih membebankan peminjam, dan turut membebankan majikan.

Paling terbeban adalah golongan belia dan keluarga muda (segmen M40) yang hidup di tengah bandar, berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup dan bebanan cukai yang meningkat mengikut pendapatan, ditambah pula dengan hutang sekeliling pinggang.

Pelbagai rungutan diterima setiap kali ada pengumuman baru oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN.

Ternyata, ianya merupakan natijah kepada kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan memenuhi janji manifesto yang tidak munasabah, dan terpaksa mencari jalan singkat untuk menunaikannya.

Sudah tiba masanya isu PTPTN dikaji secara menyeluruh dengan mengambil pandangan semua pihak berkepentingan, khususnya peminjam itu sendiri.

Isunya bukan sekadar mekanisma pembayaran balik pinjaman, tetapi keseluruhan ekosistem PTPTN meliputi aspek pendanaan, pembiayaan, pematuhan dan kesedaran.

Sistem pengajian tinggi negara yang masih bergantung kepada subsidi kerajaan dan yuran pelajar juga wajar dikembangkan dengan mengambil kira alternatif pendanaan awam dan waqaf sebagai instrumen yang lebih mampan.

Pemuda PAS telah dan akan terus mengemukakan cadangan solusi bagi merungkai dilema yang dihadapi oleh PTPTN, Kerajaan, IPT dan pelajar dalam isu ini.

Justeru sudah tiba masanya untuk semua pihak berkepentingan duduk semeja bagi mencari formula terbaik menyelesaikan dilema PTPTN yang semakin membebankan ini.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
7 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 7/12/2018

ptn

MERUJUK pada siaran yang berlegar di media sosial dan portal media pada petang ini mengenai isu 'cuti', saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang pengumuman cuti khas pada hari Ahad 9 Disember 2018 dari Kerajaan Negeri Terengganu.

Oleh yang demikian, hari Ahad 9 Disember adalah hari bekerja untuk pentadbiran Kerajaan dan Agensi Agensi di Negeri Terengganu.

Terima kasih.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
8 Disember 2018
5.30 petang – HARAKAHDAILY 8/12/2018

MACAM-macam usaha untuk mematikan semangat rakyat untuk berhimpun menentang ICERD pada 8 Disember 2018. Cuba hendak gambarkan ini perhimpunan perkauman Melayu.

Macam-macam tuduhan dilabelkan kepada penganjur. Buang duit. Lebih baik makan pisang di masjid. Geng serban panjang. Membazir sahaja Kelantan bagi cuti peristiwa.

Bagus juga dengan tuduhan ini. Bertambah semangat rakyat untuk hadir apabila promosi dibuat oleh pemimpin PH.

Biarkan rakyat jadi hakim negara. Ini masa pemimpin PH hadapi pula perhimpunan rakyat. Bukankah sebahagian pemimpin besar PH kaki demo?

Bukan setakat demo, tidur atas jalan, bermalam dalam khemah. Hisap gas, kena pukul. Jangan mudah lupa walaupun sudah senang dan mendapat impian yang dicita. Atau pun sudah menjadi almarhum. Roda sentiasa berputar. Dulu hari awak, sekarang hari kami.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
7 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 7/12/2018

POLISI skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang diumumkan oleh Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan adalah sangat zalim dan menekan hidup graduan Malaysia khususnya buat mereka yang datang daripada keluarga yang miskin. Apa yang dilakukan oleh Wan Saiful dan Maszlee Malik ini adalah tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.
 
Kerajaan sepatutnya memberikan fokus kepada pembangunan polisi-polisi untuk memberdaya ekonomi anak muda dan bukannya merompak gaji anak muda miskin secara terbuka dan menggunakan kuasa yang mereka ada. Wan Saiful, Pengerusi PTPTN yang bergaji besar dan Maszlee Malik, Menteri yang sedang menikmati gaji yang besar pada hari ini sepatutnya berkerja untuk mencipta satu mekanisme yang mapan untuk membantu anak muda mempunyai ekonomi yang stabil disamping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin.
 
Namun, apa yang berlaku adalah perkara yang sangat menyedihkan iaitu mereka mengambil jalan mudah dengan memeras ugut anak muda serta peminajam-peminjam PTPTN dengan kuasa yang mereka ada.
 
Menurut laporan Bank Negara Malaysia 2017, graduan bujang sepatutnya mempunyai gaji sebanyak RM2,700.00 sebulan, graduan yang berkahwin tanpa anak mendapat gaji sebanyak RM4,500.00 sebulan dan graduan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM6,500.00 sebulan.
 
Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.
 
Ini menunjukkan bahawasanya majoriti graduan masih berada di bawah paras pendapatan yang baik seperti yang dicadangkan oleh BNM. Kerajaan sepatutnya tidak malas untuk membuat kajian dan berdialog dengan para pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, menekan graduan dan menzalimi peminjam-peminjam PTPTN.
 
Amaran daripada kami amahsiswa Malaysia agar pihak PTPTN segera menarik polisi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) ini atau kerajaan bakal berhadapan dengan amukan anak muda Malaysia dari seluruh negeri dan universiti.
 
Sekia. Terima kasih.
 
“Istiqamah Bersama Islam“
 
MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
6 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 6/12/2018
 

More Articles ...