SAYA membaca laporan Malaysiakini terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berhubung Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di mana beliau dilaporkan berkata bahawa Pilihan Raya PBT tidak akan diadakan di negara ini.

Ia adalah kerana menurut beliau, Pilihan Raya PBT akan menyebabkan konflik yang mungkin menyebabkan perbezaan kaum dan sebagainya. Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi ini.

Saya sangat menghargai pendirian Perdana Menteri ini. Ia bukanlah merupakan kali pertama beliau menyatakan pendirian tersebut bahkan ia pernah disebut dalam satu wawancara bersama Sinar Harian Oktober lepas.

Pada 31 Oktober yang lalu, saya bangun bertanya kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berhubung cadangan mengadakan pilihan raya tersebut di Dewan Rakyat. Pada masa itu, beliau sendiri tidak memberikan jawapan yang jelas dan terang sekalipun Perdana Menteri telah menyatakan pendiriannya.

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan ini sekalipun dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Harapan, ia tidak boleh dilaksanakan pada masa ini berdasarkan komposisi yang tidak seimbang dari aspek kependudukan. Benar kata Perdana Menteri, jika ia dilaksanakan, banyak konflik yang akan timbul. Lagipun, manifesto bukannya kitab suci (sekurang-kurangnya dalam kes ini).

Justeru, kenyataan Perdana Menteri ini biarlah menutup mulut semua pihak. Tidak perlu lagi mana-mana pihak membangkitkan cadangan ini lagi. Kita tidak mahu dengar mana-mana pihak membuat kenyataan mengelirukan seperti contoh, "kami sokong Pilihan Raya PBT namun akur dengan keputusan kerajaan..." Kenyataan seperti ini pun tidak perlu untuk dikeluarkan.

Sekalung terima kasih untuk Perdana Menteri.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
10 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 10/12/2018

MEMORI semalam

●     Perhimpunan aman semalam berlangsung dengan jayanya. Seperti biasa, media akan melaporkan anggaran kehadiran. Bagi kerajaan yang sudah memiliki rekod salah kira hutang dan salah titik perpuluhan, tentunya laporan bilangan dari media pro-kerajaan sangat meragukan. 

Namun pengalaman sendiri berada dalam lautan manusia itu, himpunan kali ini adalah lebih besar daripada Bersih 3, himpunan terbesar pernah saya hadiri.

●     Kredit selayaknya diberikan kepada penganjur program semalam, NGO Ummah. Namun tidak dapat dinafikan, anggota PAS menyumbang tenaga yang tidak kurang besar bagi menjayakan program ini. Barisan jawatankuasa penganjur, pengendali himpunan, penguasaan pentas utama, termasuklah pasukan Jabatan Amal dan Briged Muslimat yang menggalas berbagai peranan, mereka adalah anggota PAS walaupun tidak memakai topi parti.

●     Apa yang menarik, saya dapat rasakan ramai yang turun kali ini adalah mereka yang belum pernah bersama himpunan jalanan sebelum ini. Dari segi penampilan, percakapan dan chemistry, dapat dikesan bahawa kebanyakan yang hadir bukan ahli atau penyokong PAS. Tanpa menafikan kehadiran ahli PAS yang tinggi, namun dek kerana ramainya yang berhimpun, ahli PAS tidak mendominasi jumlah peserta.

●     Himpunan semalam bukan atas agenda kepartian, sebaliknya atas agenda agama, bangsa dan negara. Saya yakin penyumbang penyertaan terbesar adalah dari parti PAS dan Umno. Namun anggota kedua parti ini menunjukkan sikap matang dengan tidak membawa bendera atau lambang parti. Ada pihak yang cuba mengangkat bendera parti dan kumpulan tertentu, tetapi ramai peserta lain menegur untuk menurunkannya kembali.

Itulah yang sebaiknya. Supaya penganjuran program ini dilihat murni tanpa agenda mengangkat kepentingan sempit mana-mana pihak. Agar tidak menjadi sebab kesatuan ummah ini tergendala dengan sengketa lama atau persepsi buruk.

●    Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan ucapan Pengerusi NGO Ummah. Beliau merayu kepada PAS dan Umno supaya benar-benar menjalinkan kerjasama kerana dua parti inilah yang menaungi majoriti Islam dan Melayu di negara ini. Dengan kerjasama strategik antara dua parti ini sahajalah kunci kesepakatan Islam Melayu yang boleh menyelamatkan kedudukan agama dan bangsa ini.

●    Sebaik laungan berbaur kerjasama antara PAS-Umno bergema dari pentas utama, hampir semua peserta menyambut dengan takbir dan sorakan, tanda bersetuju. Ini bermaksud aspirasi kerjasama ini tidak hanya disarankan oleh pimpinan NGO, malah daripada akar umbi orang Islam Melayu, termasuklah dari dua parti terbesar ini juga. Seolah semua mula memahami, perjuangan demi agama dan negara tidak akan ke mana tanpa kuasa politik.

Kerjasama antara teori dan realiti

●     Teori kerjasama PAS-Umno sangat indah. Orang Islam membentuk majoriti hampir 70 peratus di Malaysia. Jika kesemuanya berpadu, kuasa politik akan kembali ke tangan kita. 

Walau bagaimanapun, kita harus berpijak di bumi nyata. Realitinya, gabungan ini tidak seindah yang disangka. Ada orang Islam yang sayangkan Islam, cintakan bangsa, benci DAP dan konco-konconya, tetapi tidak boleh menerima kerjasama ini.

●     Sifir kerjasama ini mudah. Golongan yang benci kepada DAP dan mahukan kesatuan Islam-Melayu secara asasnya bersetuju bahawa kerjasama dua parti politik ini adalah keperluan mendesak. Tetapi bila tiba kepada perbahasan watak dan perilaku Umno, golongan ini mula menarik brek. Kebencian terhadap Umno melebihi rasa keperluan kesatuan Islam-Melayu.

Terus terang saya katakan, PRU14 yang lalu, masalah utama yang kami hadapi bagi meraih sokongan adalah kerana dipalitkan dengan imej Umno. Walaupun bermacam penerangan sudah diberikan, fitnah PH tidak dapat disangkal. Agak pelik tapi benar, orang menolak PAS kerana benci Umno. PAS menghadapi PRU14 keadaan sukar antara dua paradoks; mengoptimumkan sokongan Islam-Melayu dan mengelak imej buruk Umno memburukkan PAS.

●     PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson patut dijadikan pedoman. Walaupun kerjasama mewujudkan pertandingan 1 lawan 1 telah digunakan, namun angka undian yang disasarkan tidak berjaya dicapai. Membuktikan terdapat penyokong PAS dan Umno yang tidak mahu mengundi parti yang tidak disokongnya. 

Tetapi jika disoroti lebih terperinci, penolakan terhadap Umno lebih besar daripada PAS. Boleh dibandingkan melalui laporan keputusan PRK antara Sungai Kandis dan Seri Setia.

●     Tanpa menafikan kekuatan Umno yang masih mengungguli carta parti paling tinggi jumlah kerusi di Malaysia iaitu 54, dan kekuatan akar umbi teramai mencecah 3 juta orang, namun angka tersebut masih belum cukup untuk mencapai tampuk kekuasaan. Masalah berlaku apabila bagasi korupsi yang mereka bawa sejak memerintah negara ini sudah terlalu berat dan tidak dapat diterima lagi hatta oleh orang Islam dan Melayu yang turut menolak DAP.

Formula reformasi

●     Bagi memastikan sokongan Islam Melayu mencapai tahap maksimum, Umno perlu membuang wajah lama mereka. Turunkan mereka yang banyak terpalit dengan salah laku, naikkan muka baru yang lebih bersih dan berintegriti. Mereka perlu lakukan bukan sahaja di peringkat nasional, malah hingga ke akar cawangan. 

Pandangan peribadi saya, perkara tersebut adalah sukar untuk direalisasikan. Perlukan masa yang panjang, bermula dari memberikan kesedaran kepada semua anggota untuk berubah. Kembalikan semangat perjuangan asli yang tidak bertunjangkan matlamat materialistik.

●     Saya faham kritikan ini sangat sukar untuk ditelan oleh orang Umno. Tapi untuk kekal relevan, mereka harus terhenti dari lamunan dan menerima kenyataan. Banyak perkara mereka perlu perbaiki. Saya amat menyokong tindakan KJ yang berani mengkritik kemungkaran Umno terang-terangan.

●     Mungkin ada di kalangan orang PAS juga turut tidak senang dengan tulisan mengkritik Umno ini. Bagi mereka ia boleh merencatkan usaha merapatkan jurang antara kita. Namun perlu disedari bahawa dalam Umno sendiri ramai yang sedang memberontak mahukan perubahan. Pemuda Umno terutamanya sedar kesilapan kepimpinan mereka selama ini, dan mungkin sudah wujud usaha reform dari dalam sekarang.

Sekiranya KJ dan beberapa pimpinan Umno boleh mengkritik parti mereka secara profesional dan terbuka, mengapa pula kita yang tidak Umno perlu lebih apologetik? Kritikan ini adalah kritikan membina, bukan kritikan meruntuh. Kritikan ini adalah satu bentuk sokongan kepada anggota Umno yang sedang menjalankan proses reformasi.

Imej PAS sebagai modal

●     Di samping itu, fenomena semasa memperlihatkan orang Islam Melayu lebih selesa melihat perpaduan ini dipimpin oleh PAS. Prestasi PRK dan himpunan semalam adalah petunjuk yang baik untuk memahami fenomena ini. Oleh itu, saya fikirkan sudah tiba masanya untuk Umno memberikan laluan kepada PAS untuk berada di hadapan memimpin kerjasama ini. Biar orang nampak PAS lebih dominan dan independent tanpa dipengaruhi bagasi-bagasi Umno.

●     Mungkin faktor penolakan Umno adalah sejarah lalu kepimpinan mereka yang membuatkan orang masih fobia. Apabila mereka memerintah, mereka terlalu angkuh sehingga setiap yang tidak setuju akan dikerat dan disekat dari berbagai sudut. Bukan sahaja orang PAS, malah non-partisan hatta ahli Umno sendiri yang cuba menentang kemungkaran mereka akan dianiayai.

●    Berbeza dengan PAS, apabila berkuasa mereka menunjukkan contoh politik kasih sayang dan BPMS. Anda boleh lihat sendiri bagaimana hubungan kepimpinan PAS dan Umno di Terengganu kini. Persidangan DUN berlangsung dalam suasana penuh mahabbah dan gurauan, sehingga boleh turun untuk main bowling bersama. Suasana yang jauh berbeza di bawah kepimpinan negeri sebelum ini. Tidak berlaku pecat memecat atau hukum-menghukum sebagaimana yang PH lakukan hari ini.

Bak kata Tok Guru Nik Aziz, Islam berdaulat, Melayu selamat. Melayu berdaulat, belum tentu Melayu dan Islam selamat.

●     Tidak dinafikan PAS masih memiliki serba serbi kelemahan. Ianya lumrah makhluk. Tetapi buat masa ini, PAS adalah parti paling sesuai yang ada. Dengan memegang rekod paling bersih dari segi korupsi, keutuhan berpegang kepada dasar perjuangan dan kekuatan ahli yang taat setia telah teruji dan terbukti. Alangkah baik jika ia dijadikan modal utama bagi menggembeling sokongan maksimum kepada kerjasama ini. Kelebihan yang Umno miliki dari sudut pengalaman mentadbir, jumlah ahli yang ramai dan dana yang besar boleh digunakan bagi menguatkan lagi kerjasama ini.

●    Usah terlalu bimbang mengenai perkongsian kuasa sekiranya menang nanti. PAS mengamalkan prinsip BPMS dan memperkenalkan model Kerajaan Teknokrat. Kepimpinan ditentukan berasaskan intelektualiti, integriti dan kompetensi tanpa mengira latar belakang. Sekiranya anggota Umno memiliki kriteria yang diperlukan bagi sesuatu jawatan, maka tidak menjadi masalah untuk mereka mengelolakannya. 

Salah satu kriteria BPMS adalah politik mengutamakan rakyat. Falsafahnya, jika sesuatu perkara itu baik bagi rakyat, ia akan dilakukan walaupun PAS tidak mendapat apa-apa keuntungan politik. PAS buktikan dalam PRU13 lalu apabila memilih Tan Sri Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai MB, walaupun PAS memiliki jumlah kerusi lebih besar dari PKR. Kerana TSKI telah terbukti mampu memimpin Selangor dengan baik.

●    Sebagai pengakhiran, saya amat mengharapkan kesatuan Islam dan Melayu kembali berlaku. Namun pelaksanaannya haruslah realistik dengan dapatan semasa dan strategik dengan langkah yang tepat. Perbincangan antara pemimpin utama semua pihak haruslah didasari dengan keikhlasan demi agama, negara dan bangsa, bukan untuk kepentingan partisan atau peribadi. Politik adalah wasilah untuk menegakkan Islam, bukan bidang kerjaya bagi mencapai cita-cita peribadi.

1 Rabiul Akhir 1440
9 Disember 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 9/12/2018

 

HIMPUNAN keramat 8 Disember telah melakar sejarah tersendiri.

Kebanjiran peserta, lebih 75 peratus adalah anak muda. Komitmen petugas, lebih 90 peratus terdiri daripada anak muda, khususnya Jabatan Amal yang segak bergaya.

Himpunan yang berlangsung secara aman dan penuh tertib ini mempunyai tujuan tersendiri.

Himpunan ini bukan untuk mencetuskan provokasi, tetapi sebagai tanda solidariti terhadap kerukunan Perlembagaan dan kesyukuran ICERD tidak diratifikasi.

Himpunan ini bukannya untuk menghalau rakan berbangsa India dan Cina, tetapi bagi menzahirkan ketegasan untuk menghormati hak dan keistimewaan yang telah disepakati selama ini.

Himpunan ini juga bukannya untuk menunjukkan kekuatan orang Melayu, tetapi bagi mengingatkan anak bangsa bahawa kesatuan dan kesepakatan adalah tapak untuk terus kukuh berdiri.

Justeru, momentum himpunan ini tidak boleh terhenti di sini.

Himpunan 812 wajar menjadi titik permulaan ke arah perubahan dalam negara yang hakiki. Islam dijulang di tempat tertinggi, setiap bangsa dengan saksama dilindungi, kemajuan ekonomi dipacu bersama untuk dikongsi.

Masih belum terlewat untuk kesilapan lalu diperbaiki.

Perpecahan dan hasad dengki sesama bangsa adalah musuh sebenar yang perlu dijauhi. Rasuah dan korupsi adalah barah busuk yang perlu dibasmi.

Paling penting adalah untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan pemuda dan pemudi.

Inilah masanya anak muda wajib mendaftarkan diri sebagai pengundi, melibatkan diri dalam lapangan NGO dan politik, serta cakna berwacana dan berdiskusi.

Himpunan 812 yang didukung ribuan anak muda ini menjadi saksi bahawa negara perlu diurus mengikut cara kita yang tersendiri.

Negara kita, cara kita, setiap tanah ada pewarisnya.

Jika mendongak ke puncak menara, jangan dilupa kukuh tapaknya;
Jika melihat masa depan negara, jangan dilupa pemuda pemudinya.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
9 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 9/12/2018

md2

ALAM siber berdecak hebat dengan suara pro dan kontra akan penganjuran himpunan mega membantah ICERD yang digerakkan kempen ini sejak lebih tiga bulan yang lepas. Tempoh kempen dan mobilisasi untuk menggerak seluruh umat muslim untuk berhimpun dan mempamerkan genderang dan nurani umat Islam selama lebih tiga bulan adalah tempoh yang memadai.

riduan mnorTempoh yang sama digerakan oleh pasukan mobilisasi PAS, sebagaimana terbukti sebelum ini maka 270,000 hingga 300,000 ahli PAS telah berhimpun seperti himpunan H355 di Padang Merbok dan sekitarnya dan FASTAQIM 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu.

Kejayaan himpunan kali ini menatijahkan beberapa perkara dan menjadi bahan bualan peminat-peminat politik tanah air kerana inilah himpunan paling ramai semenjak negara mencapai kemerdekaan. Jauh mengatasi bantahan-bantahan awam sebelum ini termasuk himpunan reformasi 1998, Bersih atau FASTAQIM. Pertama, sebelum terbarainya PR, himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk menyertainya.

PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain. PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat.

PAS bukan hanya hadir meramaikan himpunan tetapi membekalkan petugas keselamatan dan disiplin iaitu anggota Jabatan Amal yang sangat berdisiplin dan mempunyai dedikasi yang tinggi. PAS dengan pasukan khas medik yang bersiaga dengan elemen kecemasan, bahkan dengan ambulansnya sendiri. Ahli-ahli PAS hadir dalam himpunan, disertakan dengan niat untuk menderma pada penganjur bagi menampung kos himpunan.

Kedua, kejayaan himpunan ini juga satu cerminan bahawa kerajaan PH tidak boleh memandang enteng suara dan nurani ummat Islam dimana bangsa Melayu sebagai kaum teras di negara ini. Kerajaan PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti, berwibawa, kurang kompetensi untuk menyemai benih kerukunan negara. Lihatlah pak menteri yang selalu menjadi stok bahan ketawa rakyat di media sosial, ini bukan suatu contoh yang baik bagi masa depan negara.

Himpunan bernuansa penyatuan umat Islam ini berjaya menunjukkan kesepakatan dan diuruskan dengan baik oleh penganjur, bermula dengan solat Zohor berjemaah, peserta-peserta di ketiga titik mula akhirnya bercantum di Dataran Merdeka dan sekitarnya. Himpunan sejuta ummah ini juga menjadi himpunan menampar ego dan maruah PH apabila telah berjaya menarik anak-anak muda untuk bersama bersolidariti atas nama Islam dan mempertahankan kontrak sosial.

Ini kerana PH sentiasa yakin, anak muda adalah segmen besar pengundi yang mengangkat mereka pada 9 Mei yang lepas. Lebih daripada 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latarbelakang. Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan himpunan sejuta ummah ini.

Pemilihan lokasi himpunan ditempat yang bersejarah dan ikonik, di sinilah tempat utama perhimpunan utama negara semenjak mencapai kemerdekaan, merakam sejarah kebangkitan politik termasuk bantahan kaum pelajar pada 1974, reformasi 1998, Bersih dan lain-lain perhimpunan.

Peserta-peserta bantahan kali ini yang terdiri daripada penyokong PAS, Umno, pelbagai NGO bahkan yang datang tanpa apa-apa tiket persatuan sekali pun telah membanjiri Kuala Lumpur sejak 7 Disember. Mereka datang sejauh Sabah dan Sarawak, juga daripada pedalaman Semenanjung seperti Sik, Baling, Hulu Besut untuk menyatakan sokongan terhadap matlamat himpunan. Mereka menyewa bas, berkonvoi dengan motosikal, berkonvoi kereta bahkan ada yang mengayuh basikal bersimbah keringat untuk menyertai himpunan ini. Dua orang peserta dari Johor telah meninggal dunia akibat terlibat dengan kemalangan motosikal di Seremban.

Himpunan Sejuta Ummah 8 Disember akan dikenang dan melakar sejarah perpaduan umat Islam negara ini. Mereka akan bersatu jika agama Islam dan bangsa diremehkan. Mesejnya jelas, kontrak sosial yang menjadi asas kerukunan bernegara jangan dicabik oleh kelompok minoriti yang sedang kemabukan kuasa. Padahnya tak terjangkau dek fikiran!, hiduplah dengan tenang di tanah leluhur ini, saling menghormati dan jangan melanggar garis sempadan toleransi kaum pribumi.

Tahniah kepada pihak penganjur dan peserta-peserta yang cukup berdisplin, juga anggota Amal dan pihak keselamatan negara yang membantu mengawal himpunan mega ini. – HARAKAHDAILY 9/12/2018

Penulis adalah Pengerusi LESTARI, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

WALAUPUN lebih 7 bulan Kerajaan PH menerajui negara dengan kononnya mahu melaksana agenda perubahan, namun warga Felda terus-menerus dihimpit kedukaan apatah lagi harga sawit dan getah turun mendadak.

Kehidupan mereka bukan lagi kais pagi makan pagi, sebaliknya apa yang mereka usahakan tidak langsung setimpal dengan keringat dan pengorbanan.

3Adapun janji PH sebelum pilihan raya mahu menyelesaikan kemelut yang dihadapi warga Felda hanya tinggal janji, peneroka merempat dibumi sendiri.

Pengurusan Felda di peringkat tertinggi termasuk menteri dan timbalan yang menjaga hal ehwalnya dilihat "kaku" dengan semua yang berlaku depan mata, malah hanya diam membisu.

Sehubungan dengan itu, Kami di pihak NGO Generasi Warisan Kebangsaan telah membincangkan pelbagai idea dan saranan untuk dibawa ke peringkat menteri dan pengurusan Felda.

Satu majlis penyerahan memorandum kepada menteri dan pihak Felda akan diadakan Selasa ini bersamaan 11 Disember di Parlimen pada jam 11.30 pagi. Penyerahan ini akan turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kami amat mengharapkan memorandum ini nanti sedikit sebanyak boleh menjadi salah satu solusi bertindak kepada Felda dalam menyelesaikan kemelut warga Felda. Jangan biar mereka merempat di bumi sendiri.

Memangkin Impian Generasi

USTAZ ROSLAN MD ESA
Presiden NGO GENERASI
9 Disember 2018 – HARAAHDAILY 9/12/2018

PAS menyambut baik keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atas alasan beliau tidak bersetuju untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) manakala Suhakam pula menuntutnya untuk diratifikasikan.

Keputusan Tun Mahathir ini wajar dipuji dan diikuti oleh para pimpinan Pakatan Harapan kerana ia akan mengurangkan mesej tidak konsisten pendirian sebenar kerajaan PH mengenai ICERD. Diharap selepas ini tiada lagi pimpinan PH yang memberikan gambaran berbeza terhadap ICERD; yang menguatkan persepsi bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD hanya bersifat sementara.

Keputusan ini juga tepat selaras dengan kehendak jutaan rakyat Malaysia yang berhimpun di Kuala Lumpur semalam membantah ICERD demi menjaga keharmonian dan hubungan kaum yang baik negara yang telah berlangsung lebih 60 tahun.

Sesungguhnya hanya mereka yang pelampau dan tidak mengerti dan menghormati budaya serta struktur kepelbagaian Malaysia yang akan bersetuju dengan tuntutan ICERD.

Sewajarnya Suhakam juga perlu menyokong penuh hasrat Perdana Menteri dan rakyat negara ini yang menentang ICERD. Bertindak sebaliknya hanya menimbulkan persepsi bahawa Suhakam telah menjadi alat pihak luar yang lebih memperjuangkan tuntutan pihak luar daripada memahami kepentingan negara.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Ahli Parlimen Kubang Kerian
Timbalan Presiden PAS
9 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 9/12/2018

SEBELUM ini diketahui ada banyak perkara yang pemimpin DAP tidak berpuas hati dengan Tun Dr Mahathir, tetapi pemimpin DAP sekadar menzahirkan ketidakpuasan hati mereka kepada Tun Dr Mahathir melalui pemimpin bawahan mereka sahaja.

Begitu pun, pada 7 Disember 2018, dalam program pertama beliau di Universiti Malaya setelah berpuluh tahun tidak menjejakkan kaki di sana, maestro DAP Lim Kit Siang sendiri secara terbuka menggesa rakyat supaya menekan Tun Dr Mahathir.

Tekanan ini adalah bersabit dengan Laporan Majlis Penasihat Kerajaan yang diserahkan kepada Tun Dr Mahathir pada 7 Ogos 2018 di mana laporan ini tidak didedahkan kepada rakyat sedangkan Lim Kit Siang mahu laporan ini didedahkan.

Dalam laporan dan rakaman portal Free Malaysia Today dan portal Malaysia Kini jelas disebut kata-kata Lim Kit Siang bahawa “the public should put pressure on Mahathir to make the report public” dan “let us put pressure on Mahathir to make it public”.

Laporan portal Free Malaysia Today boleh dibaca bertajuk "Make CEP report public says Kit Siang" manakala rakaman portal Malaysia Kini boleh ditonton pada Youtube bertajuk "Dedahkan laporan CEP kepada umum - Kit Siang"

Kita tertanya-tanya apa motif sebenar Lim Kit Siang membakar rakyat supaya menekan Tun Dr Mahathir bagi mendedahkan Laporan Majlis Penasihat Kerajaan ini sedangkan Tun Dr Mahathir sendiri telah menegaskan laporan ini tidak akan didedahkan.

Penegasan Tun Dr Mahathir ini dibuat pada 27 Ogos 2018 bila beliau berkata: "The Council of Eminent Persons their job is to do the investigation and all that and report to me. Whether I accept the report or not is my business, but the main thing is to feed me with the information that I need in order to make decisions. So it is a government’s business. When we make decisions in government, we don't always publish it.”

Penegasan Tun Dr Mahathir ini boleh ditonton dalam rakaman portal Malaysia Kini bertarikh 27 Ogos 2018 melalui berita bertajuk "PM: CEP's report may not be made public".

Pada hari sama, seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Jomo Kwame Sundaram, sendiri telah menyatakan bahawa laporan ini tidak patut didedahkan kerana “the Council of Eminent Persons never wrote it with the intention of it getting published”, “some of the items are sensitive” dan “there are many things which are delicate”.

Kenyataan Prof Jomo Kwame Sundaram ini boleh ditonton dalam rakaman portal Free Malaysia Today bertarikh 27 Ogos 2018 melalui rakaman Youtube "Laporan kami ada maklumat sensitif, kata ahli CEP".

Bila Prof Jomo Kwame Sundaram berkata laporan ini tidak patut didedahkan, bagaimana pula Lim Kit Siang dalam program beliau di Universiti Malaya pada 7 Disember 2018 itu boleh mendakwa Prof Jomo Kwame Sundaram bersetuju laporan ini didedahkan kepada rakyat sedangkan Prof Jomo Kwame Sundaram ada dalam program itu?

Bila Lim Kit Siang sebagai pemimpin terulung DAP sendiri sudah bersuara secara terbuka menggesa rakyat supaya menekan Tun Dr Mahathir apakah ini bermakna bahawa ini adalah permulaan kepada gerakan untuk menyingkirkan Tun Dr Mahathir?

PEMBACA HARAKAHDAILY - HARAKAHDAILY 9/12/2018

More Articles ...