PAS berpandangan pemilihan Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YDP) pagi ini tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 4(1) yang mensyaratkan pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat "dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum hari mesyuarat".

Hal ini kerana kenyataan media oleh beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Menteri-menteri menunjukkan pada 2hb Julai iaitu 14 hari sebelum sidang hari ini tiada keputusan lagi di pihak Kerajaan PH untuk menamakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Pada 6hb Julai 2018, Rais Yatim menyatakan kesediaan untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 8 hb Julai pula, Malaysiakini melaporkan bahawa Saifuddin Abdullah selaku Setiausaha Sekretariat PH menyatakan cadangan YDP baru sahaja disenarai pendek dan setiap parti komponen PH telah mencadangkan calon masing-masing.

Pada 10hb Julai pula Wan Azizah dalam Malaysiakini menyatakan bahawa semalam pemimpin PH telah memuktamadkan satu nama bagi jawatan tersebut.

Pada 11hb Julai pula NSTP melaporkan ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, menolak tawaran jawatan Speaker Dewan Rakyat dan turut memaklumkan perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ia menunjukkan bahawa cadangan Yang di-Pertua Dewan belum dimuktamadkan oleh PH pada 11hb Julai.

Walaupun Setiausaha Dewan Rakyat ketika berucap menyebut bahawa cadangan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dihantar secara bertulis pada 2hb Julai 2018, namun ia tidak disokong oleh fakta-fakta kenyataan Menteri-menteri dalam isu terbabit.

PAS menegaskan bahawa peraturan mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipatuhi apatah lagi melibatkan pemilihan YDP kerana ia melibatkan keabsahan sidang Dewan Rakyat untuk seterusnya.

PH perlu menonjolkan contoh permulaan yang baik di awal sidang Dewan Rakyat sebagai memenuhi tuntutan mereka selama menjadi pembangkang sebelum ini agar kerajaan mengikut segala peraturan mesyuarat.

Berdasarkan asas ini ahli-ahli Parlimen PAS mengambil tindakan keluar daripada Dewan Rakyat pada awal sesi pemilihan YDP sebagai tanda protes dan seterusnya mengadakan sidang media menjelaskan sikap PAS dalam isu tersebut.

Sekian

DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 16hb Julai 2018- HARAKAHDAILY 16/7/2018

ASSALAMUALAIKUM W.B.T,

Sukacita dimaklumkan bahawa matahari akan Istiwa’ atau berada tepat di atas Kaabah pada 16 Julai 2018 jam 05:28 petang waktu Malaysia. Sehubungan itu, masyarakat Islam di Malaysia berpeluang melakukan semakan arah kiblat bagi mana-mana ruang solat yang didirikan. Berikut adalah tatacara semakan kiblat pada tarikh tersebut:

●     Pastikan masa yang tertera pada jam adalah tepat mengikut waktu SIRIM. Sila hubungi 1051 untuk mendapatkan waktu sebenar.

●     Perhatikan objek tegak seperti tiang, tingkap ataupun pintu rumah yang disinari cahaya matahari.

●     Perhatikan bayang objek tegak yang terhasil pada jam 05:28 petang.

●     Buat unjuran garisan bayang objek tegak tersebut menghala ke arah matahari.

●     Garisan tersebut menunjukkan arah kiblat yang sebenar.

istiwa 01

Sekian dimaklumkan, wassalam.

Disediakan oleh:
Bahagian Falak,
JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR

(Rujukan daripada Web Jabatan Mufti Selangor) - HARAKAHDAILY 16/7/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sabah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Sabah menyediakan peruntukan kewangan tetap kepada madrasah-madrasah tahfiz dan pondok-pondok agama. Ini kerana buat masa ini saya kira hampir semua Pusat Pendidikan seumpama ini mencari dana sendiri untuk menampung perbelanjaan dan kos pengurusan mereka.

PAS Sabah berpandangan madrasah tahfiz dan pondok seumpama ini telah terbukti melahirkan ilmuan dan penghafal al-Quran. Di Pusat Pendidikan seumpama ini jugalah akan melahirkan golongan ilmuan Ahli Sunnah Waljamaah yang berkualiti. Ini kerana kaedah pengajaran yang digunakan adalah dengan berguru secara berdepan dan meneliti kitab pengajian secara khusus setiap muka surat.

Di samping itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar di sini. Dalam konteks Negeri Sabah, pusat pengajian madrasah dan pondok ini banyak membantu masyarakat Islam bagi menghantar anak-anak mereka ke aliran agama. Ini secara tidak langsung telah membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk membina sekolah-sekolah agama.

Saya yakin Kerajaan Sabah yang baharu akan lebih terbuka terhadap isu ini. Pusat pengajian seumpama ini harus diperkasakan. Kerajaan hendaklah mencari jalan supaya pusat pengajian seumpama ini terus mendapat pembelaan dan bantuan. Kerajaan mesti membantu supaya pusat-pusat pengajian ini lebih berdaya saing.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah
16 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 16/7/2018

PERDAGANGAN telah menjadi nadi yang mewujudkan kemakmuran ekonomi kepada Kerajaan Melaka. Dengan kedudukan Melaka yang menguasai seluruh kawasan laluan perdagangan di Selat Melaka, selain menjadi kuasa politik, ia telah menjadi kuasa ekonomi terbesar di Nusantara. Para pedagang dari seluruh dunia, termasuk Arab, Parsi, India, China dan Alam Melayu telah mengunjungi Melaka, dan menjadikannya sebagai pusat pertukaran barang-barang dagangan. Kewujudan pelabuhan entreport ini telah membolehkan Melaka mengatasi Samudera-Pasai dari segi penguasaan ke atas Selat Melaka, dan mengatasi Majapahit dari segi pengaruh politik, khususnya pada abad ke-15M. Dengan kekuatan politik itu pula, Melaka dapat menguasai Selat Melaka sepenuhnya apabila Jambi menjadi wilayah taklukannya, sedangkan penguasaan ke atas Kepulauan Riau-Lingga yang lebih awal menjadikan semua laluan perdagangan ke Barat dari Timur dan sebaliknya dikuasai oleh Melaka.

Kekukuhan Melaka dalam penguasaan ke atas laluan-laluan perdagangan utama ini telah menjadikan Melaka sebagai perhatian kuasa-kuasa politik dunia. Seperti mana Daulah Abbasiyah Kaherah dan Daulah Othmaniyah yang membina hubungan rapat dengan Melaka untuk pengukuhan politik Islam dan dakwah, Dinasti Ming juga berbuat demikian untuk kepentingan mereka di Nusantara. Selepas kejatuhan Granada pada 1492M, Negara-negara Kristian Khatolik di Eropah turut menjadikan Melaka sebagai sasaran mereka dalam rangka menghancurkan Islam. Gerakan untuk menguasai pusat perdagangan di Melaka yang dibuat oleh Portugis telah membawa kepada penjajahan pada 1511M. Sedangkan, di pihak Islam, kemajuan perdagangan ini dimanfaatkan untuk mengembangkan dakwah Islam di seluruh Kepulauan Melayu sehingga rantau ini bertukar menjadi Wilayah Islam.

Pelabuhan Melaka: Menghubung Timur dan Barat

Kedudukan strategik Melaka yang menguasai laluan perdagangan tersibuk di dunia, iaitu Selat Melaka telah menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan tersibuk dan terpenting di dunia dewasa itu. Selat Melaka yang sempit, dalam dan keadaan politik yang aman menjadi nadi ekonomi dunia, kerana ia terletak di antara dua pusat tamadun manusia - China di Timur dan India di Barat. Dari India pula, dunia dihubungkan dengan Arab dan Eropah melalui Makkah dan Aden. Kerana itu juga, Nusantara turut dikunjungi oleh para pedagang dari Arab sejak abad ke-6 Masehi. Kewujudan perkampungan Arab yang disebut dalam catatan China sebagai "Ta-shih" di Utara Sumatera membuktikan hubungan ini. Apabila Melaka bangkit sebagai pusat perdagangan, para pedagang Islam dari Arab, Parsi dan India turut berdagang di Melaka. Di sini, mereka telah berdagang dengan para pedagang dari seluruh dunia. Nusantara sendiri terkenal kerana hasil rempah ratusnya, selain pelbagai hasil tanaman yang disebut dalam catatan China, India dan Arab.

Tumpuan para pedagang di Melaka antara lain disebabkan oleh kekayaan bumi Semenanjung Tanah Melayu dengan emas yang sudah terkenal sejak zaman Ptolemy (150M) lagi. Diberitakan, kedudukan strategik Melaka di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa, dengan selat yang sempit dan kestabilan politik sepanjang selat itu, sejumlah 83 bangsa telah berdagang di Melaka. Bahkan, Melaka telah menjadi pasar raya besar dunia yang memperdagangkan barang dagangan di seluruh dunia. Disebabkan faktor ini, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kerajaan Melaka telah menjadi lingua franca bagi semua pedagang di Melaka pada kala itu. Islam yang mentadbir pula mendapat perhatian Bangsa Melayu sendiri, selain para pedagang. Negara-negara besar seperti China, Majapahit, Siam, India dan Arab pula mewujudkan hubungan diplomatik dengan Melaka demi melindungi kegiatan perdagangan rakyat mereka di sini.

Kedudukan Melaka dalam pemerhatian Barat

Kedudukan Melaka sebagai sebuah pelabuhan dan pusat perdagangan yang unggul bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat Timur, tetapi juga orang-orang Eropah di Barat. Ketika pemikiran Mercantilisme sedang berkembang di Eropah, mereka mula mencari sumber-sumber asli dan berfikir mengenai pasaran. Bangkit bersama fahaman ini ialah Nasionalisme dan Imperialisme, yang kemudiannya dicantumkan dalam agenda 3G (Gospel, Glory and Gold) yang ditaja oleh gereja. Seperti yang diungkap oleh W.G Shallebear mengenai kedudukan Melaka ketika itu, "Maka segala pedagang atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka, terlalu ramai Bandar Melaka ketika itu," maka Melaka menjadi salah satu sasaran Barat dalam melaksanakan agenda mereka. Seorang penulis Portugis yang mengungkapkan mengenai Melaka berkata, "Melaka ialah sebuah pelabuhan yang terkaya sekali dengan ramainya pedagang-pedagang yang berjual beli secara borong dan banyaknya perkhidmatan perkapalan yang datang dari seluruh dunia." 

Daripada anggapan dan pandangan yang begitu kagum dengan keagungan Melaka dalam bidang perdagangan, maka Tome Pires menggambarkan pula kekuatan ekonomi Melaka terhadap dunia dengan menganggap Melaka adalah emporium dunia, di mana apa sahaja barang dagangan yang ada di dunia ini dapat dibeli di Melaka. Walaupun Portugis telah menduduki Tanjung Harapan, Hormuz dan Goa, mereka melihat bahawa untuk menguasai dunia, mereka mesti menguasai Melaka, sama perdagangannya atau politiknya. Seorang pengembara dan penulis Portugis, Duarte Barbosa dalam mengulas mengenai Melaka berkata, "He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice“ (Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia). Hal inilah akhirnya mendorong Portugis menyerang Melaka bagi membolehkan mereka menguasai dunia.

Perdagangan dan dakwah di Melaka

Salah satu sumbangan terbesar aktiviti perdagangan yang berkembang pesat di Melaka ialah berkembangnya dakwah Islamiyah. Sebagaimana peranan Perlak dan Samudera-Pasai sebelumnya, Melaka turut menjadi tumpuan para pedagang yang juga pendakwah dari setiap penjuru dunia. Para pedagang dari Arab, Afrika Utara, Parsi dan India, bahkan China juga telah menggunakan perdagangan sebagai medium dakwah. Pertama, melalui aktiviti perdagangan, mereka menggerakkan serentak kegiatan dakwah, termasuk membawa pendakwah-pendakwah ke Melaka dan negeri-negeri lain. Kedua, para pedagang sendiri menjadi pendakwah bil hal, di mana akhlak mereka semasa berdagang telah menarik orang Melayu kepada Islam. Dan ketiga, kegiatan ekonomi telah digunakan untuk membiayai dakwah, sehingga para pendakwah, ulamak, pelajar agama dan institusi agama termasuk masjid dan Pusat-pusat Pengajian Islam dapat memberi tumpuan kepada kegiatan mereka dengan dibiayai oleh para pedagang.

Kesan daripada peranan para pedagang ini, telah wujud perkampungan-perkampungan Islam di Melaka, sehingga ada orang Islam dari Arab dan India diberikan kedudukan dalam kerajaan, seperti Makhdum Syed Abdul Aziz dari Hijaz dan Tun Ali dari India. Orang-orang tempatan kemudian memeluk Islam dan belajar agama selepas Sultan Melaka memeluk Islam, kesan daripada kekaguman baginda melihat akhlak para pedagang Islam. Keadaan ini membentuk proses untuk meng-Islamkan Melaka. Kemudian, para pedagang di Melaka turut menyebarkan Islam kepada pedagang luar yang berada di Melaka, selain menghantar para pendakwah ke Pulau-pulau Nusantara melalui aktiviti perdagangan. Dari Melaka pedagang dan pendakwah bergerak ke Jawa, Maluku, Sulawesi, Mindanao, Borneo dan lain-lain. Pergerakan para ulamak di Nusantara dalam menjejaki pulau-pulau dibantu sepenuhnya oleh para pedagang yang menumpangkan kapal-kapal dagang mereka sebagai kenderaaan. Berbeza dengan wilayah daratan di Asia Barat, hampir keseluruhan gerakan dakwah di Nusantara berkembang melalui kapal-kapal pedagang. Dalam konteks inilah, kemajuan dan kemakmuran perdagangan di Melaka menjadi pemangkin perkembangan dakwah.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
29 Syawal 1439 / 13 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 16/7/2018

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) mencipta sejarah Malaysia Baru dengan menipu dalam proses pemilihan Speaker Dewan Rakyat.

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat nombor 4 menyebut:

"Aturan memilih Tuan Yang di-Pertua hendaklah seperti yang tersebut di bawah ini:

(1)      Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli Dewan itu atau seorang yang layak dipilih menjadi ahli Dewan itu yang hendak dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua, hendaklah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih, dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat"

Tarikh tutup penamaan calon Speaker ialah pada Isnin, 02 Julai 2018 iaitu 14 hari sebelum 16 Julai 2018 tarikh permulaan sidang.

Umum mengetahui, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hanya disahkan pencalonannya sebagai Speaker oleh Kerajaan pada semalam, 15 Julai 2018. Sebelum pada itu PH mencadangkan nama ahli Parlimen Sungai Petani, Dato' Johari Abdul sebagai calon kemudian ditukar sebab bantahan dalaman.

Jadi, bagaimana SU Dewan Rakyat boleh berkata dia telah menerima surat pencalonan bertarikh 02 Julai 2018? Bukankah itu menipu namanya? - HARAKAHDAILY 16/7/2018

 

KUALA LUMPUR: Tindakan Muslim memuliakan kaum kafir, sebaliknya mengaibkan golongan beriman adalah kejahilan yang menunjukkan ia lupa adanya Allah dan Hari Akhirat.
 
Pendakwah, Ustaz Mat Esa Deraman berkata, Muslim seperti itu telah tertutup sebelah matanya untuk melihat kebaikan orang Islam, sedang satu mata lagi dimilikinya pula juling.
 
"Hingga dia cuma nampak kebaikan orang kafir, lupa keaiban-keaiban yang banyak. Sekiranya orang kafir buat segala kebaikan atas dunia, tetapi syirik kepada Allah, tetap tidak ada nilai sedikit pun di sisi Allah.
 
"Dimuliakan orang kafir, letak di tempat setinggi-tingginya. Kata baik orang kafir yang amanah daripada orang Islam yang korup. Orang Islam nampak aib belaka, tak pandailah, tak tahu mengurus, tak bijak, tak berintegriti," bidasnya sambil menegaskan bahawa hal dunia tidak ada dua pilihan.
 
Jelasnya, hal dunia mempunyai banyak pilihan, tetapi pilihan paksa sedemikian sengaja diwujudkan kerana dari awal orang itu telah tidak melihat kebaikan Muslim.
 
Sebaliknya orang seperti itu ujar beliau, perlu disoal balas menyatakan pilihannya antara seorang Muslim yang jujur dengan kalangan kafir dilaknat Allah.
 
Bahkan tegasnya, Rasulullah S.A.W juga mengingatkan peringatan supaya jangan berkawan melainkan dengan orang beriman.
 
"Orang beriman diredai Allah atau kafir yang dilaknat Allah, mana kamu nak jadikan pemimpin? Kena ingat, di Akhirat dan dalam Syurga nanti, yang beri syafaat kepada kita adalah orang beriman.
 
"Orang kafir tidak boleh beri syafaat dan tidak boleh terima syafaat. Sedangkan Nabi kata berkawan pun dengan orang beriman, maka nak angkat orang kafir jadi pemimpin lagilah tidak boleh," jelasnya.
 
Tambah beliau, hanya orang beriman di dalam Syurga tanpa ada daripada kalangan kafir dan jika masih ada Muslim merasa orang kafir itu baik, maka itu penilaian di sisinya, tidak di sisi Allah.
 
Beliau memberi perumpamaan seorang anak yang tidak berbuat baik kepada ibu ayahnya, tetapi sangat baik dengan ramai orang di mana walaupun dinilai baik semua orang, hakikatnya di sisi Allah adalah anak derhaka.
 
Perkara tersebut terangnya, tidak menghairankan kerana ayah Nabi Ibrahim, isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth juga di dalam neraka kerana memilih kekufuran dari keimanan. -HARAKAHDAILY 16/7/2018

MAPPIM bersama gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa dan mendesak Tun Mahathir campur tangan bagi membatalkan pengiktirafan UEC yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Gesaan ini selaras dengan pendirian Tun Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun yang lalu, beliau begitu tegas menolak tuntutan pertubuhan sekolah Cina Dong Zong untuk mengiktiraf UEC.

Maka sangat wajar beliau sebagai Perdana Menteri kali ke-2 yang memimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mestilah menjadi kerajaan yang prihatin mendengar keresahan rakyat yang menolak UEC dalam kerangka Sistem Pendidikan Kebangsaan.

MAPPIM dan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menegaskan bahawa UEC tidak perlu diiktiraf ke dalam kerangka Sistem Pendidikan Negara.

MAPPIM dan Ummah tetap bertegas akan menggerakkan himpunan bantahan besar-besaran kebangkitan rakyat untuk menolak pengiktirafan Menteri Pendidikan terhadap UEC sekiranya beliau gagal membatalkan pengiktiran tersebut dengan meyakinkan dalam masa 7 hari.

Perdana Menteri juga digesa untuk mengambil alih sementara jawatan Menteri Pendidikan kerana Dr Maszlee Malik dilihat tidak konsisten, berdolak-dalik dan berbelit-belit dalam mengeluarkan kenyataan sehingga menyalahkan pula pihak media. Beliau dilihat tidak bersedia dan meyakinkan untuk menerajui Kementerian Pendidikan.

Tindakan beliau telah menjejaskan kredibiliti dan imej Kementerian Pendidikan yang sepatutnya berintegriti tinggi dalam membuat sesuatu kenyataan penting berkaitan polisi pendidikan di negara ini, kerana ia akan memberi implikasi yang besar kepada kerajaan keseluruhanya.

UEC adalah perkara besar yang melibatkan polisi pendidikan masa depan negara, juga melibatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi pendidikan negara selain aspek lain berkaitan UEC yang tidak sepatutnya diiktiraf dalam kerangka Sistem Pendidikan Negara.

Sehingga kini sokongan kepada bantahan UEC terus melonjak, Page Gerakan Pembela Ummah terus meningkat kepada 83 ribu pelawat.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) - HARAKAHDAILY 16/7/2018

More Articles ...