19
Wed, Jun
15 Artikel Baru

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah atas kejayaan kumpulan nasyid UNIC di atas kejayaan menjuarai pertandingan realiti hiburan GemaGegarVaganza (#GGV) anjuran ASTRO baru-baru ini. Persembahan yang menarik dan kekuatan vokal secara keseluruhannya dilihat telah memberikan kelebihan kepada kumpulan UNIC untuk menjuarai pertandingan ini.

DPPM melihat perkembangan yang baik bagi industri nasyid tanah air melalui program ini apabila artis-artis nasyid dapat diketengahkan ke dalam arus perdana industri hiburan di negara ini. DPPM mengharapkan agar lagu-lagu bermesej kebaikan ini dapat terus dipopularkan di kalangan masyarakat, sesuai dengan mesej dan nasihat yang dibawa melalui karya-karya nasyid ini. DPPM juga tertarik dengan salah satu komen juri jemputan iaitu Datuk Siti Nurhaliza yang menyatakan “Penyanyi nasyid adalah penyanyi terbaik, GGV membuktikan penyanyi nasyid adalah ‘first class’,".

Dalam pada masa yang sama, DPPM juga mengharapkan agar penambahbaikan dapat dibuat oleh penerbit penganjuran program-program hiburan agar dapat menepati sepenuhnya garis panduan hiburan dalam Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak JAKIM (edisi Ke 2 Tahun 2015).

Pihak penerbit juga boleh mencontohi penerbitan program-program hiburan yang telah diadakan di Negeri Kelantan, dengan contoh penganjuran program hiburan yang mengambil kira Enakmen Kawalan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ini bagi mempastikan program-program hiburan ini dapat memberikan impak yang positif dan baik untuk rakyat Malaysia.

DPPM juga terbuka untuk berkongsi pengalaman dalam penganjuran program-program hiburan yang pernah diadakan di Negeri Kelantan sebelum ini kepada pihak penganjur penerbitan rancangan-rancangan hiburan di negara ini.

Pihak DPPM amat mengalu-alukan kerjasama dengan pemain industri hiburan seperti syarikat-syarikat penerbitan rancangan hiburan, produksi TV dan Media Internet, serta pihak artis sendiri demi memartabatkan industri hiburan di Malaysia. DPPM turut positif untuk sama-sama memberikan idea dan cadangan agar program-program hiburan yang disajikan kepada rakyat Malaysia adalah berkualiti, bermesej dan menghiburkan.

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 23/5/2017

PENJELASAN Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad yang menyatakan antara sebab institusi itu belum bertindak terhadap ahli-ahli politik berbanding pegawai-pegawai kerajaan ialah kerana beliau tidak mahu SPRM dijadikan alat dan modal untuk berkempen oleh mana-mana parti adalah sangat dangkal.

Pertama, kenyataan ini menunjukkan SPRM tidak dapat berlaku adil terhadap rakyat Malaysia, malah ia membeza-bezakan antara rakyat Malaysia di mana terhadap hak istimewa yang dikhususkan kepada orang politik, orang kerajaan dan orang awam. Ini tidak boleh berlaku.

Kedua, kenyataan ini juga menunjukkan SPRM tidak bebas.

Sekiranya polis juga mengambil pendirian yang sama, apakah ahli-ahli politik sekarang kini boleh dikira kebal untuk melakukan sebarang jenayah sebab institusi-institusi penguatkuasaan tidak berani mengambil tindakan terhadap mereka semata-mata tidak mahu dituduh sebagai alat politik?

Jika begitu piawainya, bagaimanakah SPRM menentukan bila ia akan menangguhkan tindakannya terhadap ahli-ahli politik sedangkan tiada siapa yang tahu bila PRU akan diadakan? Apakah ia 6 bulan sebelum PRU, 12 bulan sebelum PRU atau ikut suka-suka pesuruhjaya atau ia menurut arahan kerajaan yang berkuasa?

Bagaimana pula dengan PRU akan datang yang dijadualkan pada tahun 2023? Bila SPRM akan berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik bermula? Apakah tahun 2022?

Datuk Dzulkifli perlu faham bahawa SPRM akan dituduh bermain politik dan menjadi alat politik kerana ia dilihat tidak mampu bertindak adil. Para pegawai kerajaan turut terasa kerana mereka yang terlibat dengan kes 1MDB dan SRC International yang dibongkar jauh sebelum PRU diadakan masih belum diheret ke mahkamah.

PAS menggesa SPRM meneruskan kerja tanpa sebarang pengecualian. Sesiapa sahja yang terlibat dengan rasuah perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Rakyat boleh bersetuju jika SPRM hanya berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik ketika waktu kempen pilihan raya, dan bukannya tetiba diumumkan tindakan terhadap ahli-ahli politik ditangguh kerana PRU dah semakin dekat sedangkan mungkin PM sendiri pun tidak pasti bila PRU akan diadakan.

Namun begitu, PAS merakamkan penghargaan dan tahniah kepada SPRM yang bertindak tegas terhadap jenayah rasuah setakat ini. Imej SPRM sedang meningkat. Oleh itu, jangan biarkan usaha yang baik ini dicemari dengan tindakan berat sebelah seperti memberikan hak istimewa kepada ahli-ahli politik menjelang PRU.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
23 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 23/5/2017

MAPIM kesal terhadap kenyataan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, bahawa proses pemindaan undang-undang yang berkaitan Hak Intelek akan terus dilanjutkan walaupun TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik) kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila Amerika Syarikat (AS) keluar dari perjanjian tersebut.

Dakwaan bahawa pindaan undang-undang diperlukan bukan sahaja atas nama mematuhi syarat TPPA, tetapi atas nama keperluan semasa, namun, semua tahu bahawa desakan awal untuk meminda klausa Hak Intelek adalah datang daripada tekanan AS itu sendiri.

Tidak munasabah pindaan hendak diteruskan, pada hal dalam perundingan perjanjian tersebut, Malaysia dan beberapa negara lain berusaha menghalang industri ubatan dari dikuasai oleh AS .

Dengan pindaan yang akan diperkenalkan berkaitan dengan isu Hak Intelek, ia akan menjejaskan akses rakyat untuk mendapat ubat generik.  Malaysia akan mendedahkan rakyatnya kepada eskploitasi syarikat gergasi Farmasi dari AS. Anehnya kesihatan rakyat Malaysia sanggup diperjudikan oleh MITI sendiri apabila ubatan untuk merawat pelbagai penyakit dikuasai oleh syarikat gergasi dari AS sendiri.

Ini jelas suatu petanda bahawa kerajaan Malaysia masih tidak mengendah teguran pelbagai pihak selama ini bahawa liberalisasi perdagangan dalam TPPA dengan segala implikasi yang bakal membebankan,  bakal menjerat negara ini melalui klausa-klausa yang mengikat .

Keputusan MITI untuk meneruskan penyertaan dalam TPPA sukar diterima, dalam keadaan status perjanjian itu tidak menentu dan ekonomi dunia tidak jelas, akibat hegemoni AS dan kuasa besar negara yang lain.

Setelah AS keluar daripada TPP kami tidak nampak perjanjian itu releven dan berdaya maju. AS mempunyai agenda untuk mendominasi ekonomi dunia. Presiden Donald Trump melihat TPPA tidak menyakinkan bahawa AS akan mencapai hasrat tersebut. Beliau mahu Amerika menjadi nombor 1, namun, apa yang dimeterai di TPPA dilihatnya tidak cukup menjamin kedudukan AS. Sebab itu AS keluar.

Jika ekonomi AS yang berkali ganda besar dari Malaysia melihat ada lagi kepentingannya tidak terjamin, kenapa pula Malaysia tidak nampak risiko menyertai TPPA.  

Menteri MITI dilaporkan berkata Malaysia akan terus terlibat untuk membincangkan TPPA agar diteruskan dan mahu menyertai diskusi lanjut mencari pilihan yang lain. Walaupun beliau memberi jaminan kepentingan rakyat Malaysia akan tetap menjadi keutamaan, namun kami berpendapat, meneruskan penyertaan dalam TPPA itu sendiri adalah satu risiko, yang belum tentu dapat meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan yang lain.

Kenapa MITI  terlalu ghairah untuk terus melanjutkan proses pemindaan perundangan negara pada hal ia satu perkara yang tidak lagi perlu dilakukan atas nama TPPA. Adalah sangat aneh, apabila kerajaan mahu terus meletakkan negara dalam risiko.

Pindaan undang-undang berkaitan dengan IPR (Intelectual Property Rights) akan melibatkan kos kesihatan, yang akan ditanggung oleh rakyat. Ini adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral. Sepatutnya kerajaan sudah dapat melihat kesan negatif yang bakal ditanggung oleh rakyat akibat pindaan undang-undang tersebut.

Kami menuntut:
1.Kerajaan Malaysia keluar serta-merta daripada TPPA dan tidak meneruskan dialog dengan negara-negara yang turut menandatangani perjanjian tersebut.
2.Menghentikan proses meminda undang-undang negara yang telah dimulakan sejak TPPA dimeterai.
3.Menilai semula pembinaan ekonomi negara dengan menumpukan kepada mewujudkan urustadbir ekonomi yang baik dan mapan, mengelakkan pembaziran, melaksanakan pengurusan sumber secara cermat dan berhemat dan sekali gus menyekat dan membasmi korupsi dan salahguna khazanah negara. – HARAKAHDAILY 22/5/2017

RETREAT Lembaga Pengurusan Kecemasan dan Bencana (Khidmat Malaysia) PAS Pusat pada 21 Mei 2017 menggariskan beberapa langkah ke arah menatapkan lagi fungsi Khidmat Malaysia dalam menangani apa jua bentuk bencana yang melanda dalam negara.

Banjir, ribut, tanah runtuh dan air pasang besar antara bencana yang telah ditangani Khidmat Malaysia setakat ini. Yang paling lumrah berlaku ialah bencana banjir.

Sesi baru 2017/2019, Khidmat Malaysia kekal diterajui oleh Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai Ketua Pengarah dengan dibantu oleh Dr Azman Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1, Haji Husin Ismail Timbalan Ketua Pengarah 2, Nazri Mohd Aris yang juga Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia sebagai Timbalan Ketua Pengarah 3 dan Khairul Faizi Ahmad Kamil sebagai Setiausaha.

Khidmat Malaysia semakin matang berperanan setelah diuji dengan pelbagai ujian di medan sebenar antaranya tragedi banjir besar di Kemaman dan Pahang pada 2013.

Pada tahun 2014, diuji pula dengan bencana banjir di Terengganu dan yang paling tragis ‘Bah Kuning’ yang mencatat sejarah pilu terutama bagi penduduk Kelantan pada akhir 2014 dan awal tahun 2015. Manek Urai antara saksi bagaimana kuasa air yang melanda tak kenal sesiapa.

Pengurusan kecemasan dan bencana bukan hanya kerja bermusim kerana datangnya bencana tak kenal waktu dan siapa mangsanya.

Malah sepanjang tahun jentera operasi Khidmat Malaysia dari pelbagai agensi dan Jabatan di dalam PAS seperti Jabatan Amal, Briged Muslimat, Kelab 4×4, Ameerah serta beberapa NGO yang bergerak di bawah payung parti dirancang untuk dipersiapkan dengan pelbagai kursus dan latihan agar selalu berada dalam keadaan siaga bagi turun ke medan operasi bila keadaan memerlukan.

Pada sesi ini juga, dalam rangka untuk memberikan nilai tambah kepada kerja-kerja menangani bencana, Relawan Khidmat akan ditubuhkan.

Dalam masa yang sama, Khidmat Malaysia merancang untuk mengadakan kunjungan hormat bagi menjalinkan kolaborasi dan engagement dengan Agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dan pengurusan bencana negara seperti National Disaster Management (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Untuk sesi baru ini juga, Standard Operation Procedure (SOP) Khidmat Malaysia dalam proses untuk diperkemaskan lagi supaya Khidmat Malaysia mampu bertindak di medan bencana dengan kadar yang paling optimum.

DR AZMAN IBRAHIM
Timbalan Ketua Pengarah 1 Khidmat Malaysia

1. DATUK Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sewajarnya meneliti terlebih dahulu kenyataan beliau terutamanya beberapa salah faham dan penyelewengan fakta yang dihamburkan terhadap PAS. Ucapan DSAI yang dibacakan sendiri oleh anak beliau, Nurul Izzah pada Kongres Nasional PKR, 21 Mei 2017 mengatakan:

“They (PAS) did not oppose the GST budget, the rise in fuel and sugar prices and did not participate in the Bersih 5 rally.”

"Mereka (PAS) tidak menolak GST, kenaikan harga minyak dan gula dan tidak terlibat dalam perhimpunan Bersih 5."

2. Malah, dalam beberapa laporan akhbar menunjukkan kenyataan DSAI  bahawa PAS mempunyai aliansi dengan Umno selepas memutuskan tahaluf dengan PKR.

3. Tohmahan tersebut jelas tidak benar dan jauh dari realiti. Isu GST, PAS adalah parti yang konsisten menolak pelaksanaannya. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) pernah mengeluarkan sebuah artikel menjelaskan konsistensi pendirian PAS terhadap GST yang bertajuk "Mengapa PAS menentang GST?" pada 9 Januari 2014.

4. Sebaliknya, persoalan yang sama sepatutnya diajukan kepada DSAI dan PKR, adakah benar mereka menolak secara total pelaksanaan GST? Bagaimana pula dengan kenyataan beliau sendiri yang jelas menyokong dan menyebelahi GST meskipun meletakkan pelbagai syarat dalam pelaksanaannya. Begitu juga kenyataan Nurul Izzah dalam blog beliau pada 29 April 2017 yang menyatakan:

"PH kekal konsisten dengan pendapat kami bahawa GST tidak sepatutnya dilaksanakan secara terburu-buru..."

5. Meletakkan syarat sebelum melaksanakannya bermakna seseorang itu tidak menolak perkara tersebut. Malah, pada Oktober 1992, sewaktu membentang bajet 1993, DSAI turut menegaskan GST perlu dilaksanakan dalam kondisi yang transparent dan efisyen.

6. Beliau turut menyatakan bahawa PAS tidak membantah kenaikan harga minyak dan gula. Barangkali DSAI tidak pernah didedahkan dengan pelbagai kenyataan pimpinan PAS yang menjelaskan pendirian PAS berhubung kedua-dua isu.

7. Begitu juga kenyataan pemimpin PAS yang menolak untuk bergabung dengan Umno. Malangnya, ramai pemimpin parti politik lain yang mengulas seolah-olah mereka mewakili pendirian PAS dan ramai pula yang lebih mempercayai ucapan-ucapan mereka!

8. Kebelakangan ini DSAI dilihat menggunakan nama PAS untuk diburuk-burukkan dengan pelbagai tohmahan. PAS ingin mengingatkan DSAI bahawa PAS kini konsisten dalam setiap tindakan politiknya sesuai dengan konsep BPMS.

9. Ini juga membuktikan PAS semakin menjadi tumpuan lensa politik di Malaysia. Semua pihak mahu melihat PAS jatuh, malangnya dari sehari ke sehari PAS semakin relevan dan konsisten.

10. Bagaimana DSAI gagal untuk memperoleh maklumat yang tepat mengenai PAS?  Sama ada bacaan politik beliau terhadap PAS kini tidak menggambarkan realiti yang ada atau pemimpin PKR gagal salurkan maklumat yang tepat kepada beliau dan sekadar menyampaikan persepsi yang diulas dari mulut mereka sendiri.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
23 Mei 2017 / 26 Syaaban 1438 - HARAKAHDAILY 23/5/2017

PAS Pulau Pinang tidak ada kaitan dengan majlis ceramah seperti yang dinyatakan di dalam poster berkenaan.

mohdfauzi1PAS Pulau Pinang juga tidak pernah memberi keizinan kepada mana-mana pimpinan PAS di negeri Pulau Pinang untuk hadir berucap mewakili PAS di dalam majlis ceramah berkenaan.

PAS Pulau Pinang menganggap poster yang diletakkan logo PAS tersebut adalah usaha jahat pihak tertentu untuk memberi imej buruk seolah-olah PAS sudah bersama dengan BN.

PAS Pulau Pinang akan teguh bersama PAS Pusat untuk memperkasa Gagasan Sejahtera sebagai blok politik ketiga untuk mendepani pilihan raya kelak.

Terima kasih.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang

poster

KEPADA ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, sukacita dimaklumkan bahawa saya telah memulakan inisiatif untuk menyediakan satu memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya.

Asas utama yang kami gunakan di dalam memorandum ini adalah bahawa banyak daripada aktiviti atau hal-ehwal DAP yang berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia dan mengenai kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak.

Asas yang kami gunakan di dalam memorandum ini adalah selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) Akta Pertubuhan yang berbunyi: “Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pertubuhan berdaftar dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya dan dalam menjalankan hal-ehwalnya, memastikan bahawa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal itu adalah mengikut, selaras mengikut dan mematuhi, peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan-Perlembagaan Negeri, dan jika ada apa-apa daripada aktiviti-aktiviti atau hal-ehwal mana-mana pertubuhan yang adalah dalam apa cara berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai —
(b) Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia, dengan agama-agama lain diamalkan secara aman dan harmoni; atau
(d) Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak;
seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana Perlembagaan Negeri, Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran pertubuhan itu selepas memberi pertubuhan itu suatu peluang untuk memberi representasi kepadanya.”

Satu lagi peruntukan yang akan kami gunakan adalah Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan yang berbunyi: “Tertakluk kepada seksyen kecil (2), Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah seksyen 7 jika Pendaftar puas hati —
(ii) bahawa pertubuhan itu mungkin digunakan bagi maksud-maksud yang menyalahi undang-undang atau bagi maksud-maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau akhlak di dalam Persekutuan;
(iii) bahawa pertubuhan itu adalah berusaha hendak mencapai tujuan-tujuan lain daripada tujuan-tujuan yang ia didaftarkan;”

Setakat ini sudah lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, termasuk 18 Profesor dan 24 Profesor Madya, yang bersetuju, di atas kapasiti peribadi mereka, untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini.

Ahli-ahli akademik yang bersetuju untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini  adalah termasuk ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan berikut:

• UM - Universiti Malaya, KL
• UKM - Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor
• UPM - Universiti Putra Malaysia, Selangor
• USM - Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
• UTM - Universiti Teknologi Malaysia, Johor
• UMP - Universiti Malaysia Pahang, Pahang
• UIAM - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Selangor
• UUM - Universiti Utara Malaysia, Kedah
• UMS - Universiti Malaysia Sabah, Sabah
• UPSI - Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak
• USIM - Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan
• USAS - Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia, Perak
• UITM - Universiti Teknologi MARA, Selangor
• UMT - Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu
• UTHM - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor
• UniMAP - Universiti Malaysia Perlis, Perlis
• UniSZA - Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu
• UMK - Universiti Malaysia Kelantan, Kelantan
• UNISEL - Universiti Industri Selangor, Selangor
• MMU - Universiti Multimedia, Selangor

Kepada mana-mana ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan yang turut berminat untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya, dengan syarat bahawa anda hendaklah mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD). – HARAKAHDAILY 22/5/2017

More Articles ...