23
Thu, May
34 Artikel Baru

FIRMAN Allah yang bermaksud: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat menewaskan golongan yang ramai dengan izin Allah." (Al Baqarah: 249)

Pilihan raya negeri Sarawak (PRN11) menyaksikan PAS Sarawak telah meletakkan calon di 11 kerusi Dun Sarawak. Antara kerusi yang ditandingi PAS adalah N.74 Pujut.

Pengerusi SPR dalam kenyataannya hari ini telah memaklumkan bahawa Pilihan raya Kecil N.74 Pujut telah ditetapkan pada 4 Julai 2017. Ini berikutan kekosongan kerusi Dun Pujut yang telah dikosongkan oleh Dr Ting Tiong Choon (DAP) berikutan isu kerakyatan.

Sekali lagi lensa politik Sarawak tertumpu kepada sama ada PAS akan meletakkan calon atau pun tidak dalam PRK Pujut kali ini.

PAS sebagai sebuah parti politik yang tunjangnya adalah Islam memilih jalan pilihan raya sebagai wadah menyampaikan mesej Islam sebagai rahmat buat sekalian alam. Dakwah, tarbiah dan siasah adalah batu asas dalam harakah ini bergerak. PAS Sarawak telah mengambil peluang sebaiknya dalam PRN yang lepas dalam mengisi ruang kosong dalam masyarakat. Ruang memberi faham Islam sebagai agama yang syumul (menyeluruh) dan saleem (sejahtera) tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

Matlamat jangka panjang PAS Sarawak bukan sekadar undi dan menang dalam pilihan raya. PolitikIslam adalah ingin melihat Islam diletakkan di tempat yang betul dan selayaknya serta Islam yang menawarkan penyelesaian buat masyarakat.

Sudah pasti PRK N.74 Pujut kali ini akan menjadi kayu ukur kepada sokongan pengundi Sarawak amnya dan Malaysia amnya menjelang PRU14 tidak lama lagi.

Muhammad Afiq Mhd Khazar
Ketua Penerangan PAS Sarawak

BERILAH peluang kepada rakyat Malaysia untuk membangunkan Bandar Malaysia. Negara sudah merdeka hampir 60 tahun, mustahil tidak ada kontraktor yang berwibawa untuk membangunkan Bandar Malaysia. Ada hikmah juga selepas pembatalan perjanjian melibatkan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) bagi memiliki 60 peratus pegangan di Bandar Malaysia.

Setelah perjanjian dengan syarikat asal dibatalkan, maka kerajaan pula bersetuju untuk bekerjasama dengan Kumpulan Wanda dari China untuk membangunkan Bandar Malaysia.

Harapan daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia  (PKMM), Datuk Mokhtar Samad yang percaya bahawa kontraktor bumiputera juga layak menjadi pemaju induk jika kena dengan syarat dan proses pemilihan yang telah ditetapkan perlu diambil perhatian oleh DS Najib. Setakat  mana ajaibnya bandar idaman DS Najib Tun Razak sehingga tidak nampak seolah-olah kontraktor tempatan tidak boleh laksanakan.

Kita tidak mahu kontraktor dan syarikat tempatan tidak dapat apa-apa manfaat, bukan sekadar tulang, kuah pun tidak dapat. Apa makna pembangunan, jika kera di hutan disusukan anak dikendong  keciciran.

Trend yang berlaku pada hari ini, negara lebih banyak bergantung kepada pelabur daripada negara China. Ini membuktikan siapa yang ada wang boleh kuasai dunia.  Apa boleh buat negara yang ditadbir pemerintah yang sejak dahulu tidak beringat sewaktu kaya, akhirnya generasi kita terpaksa menanggung beban. Apalah hendak diharapkan sangat untuk meletakkan syarat kepada pelabur bagi menjaga kepentingan rakyat tempatan. Itupun kalau mereka sudi untuk menerima permohonan kita supaya menjaga kepentingan syarikat tempatan. Mereka boleh buat apa sahaja, kerana mereka ada wang.  Mereka tahu kita amat memerlukan mereka, kerana kita tidak ada wang. Akhirnya syarikat tempatan mengemis di negara sendiri.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
22 Sya'ban 1438 / 19 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 19/5/2017

TUN Mahathir sapu keliling. Watak tidak berubah seolah-olah masih berkuasa. Terbaru, Tun kutuk Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam isu tuhan mencarut. Walaupun isu ini sudah dijelaskan oleh almarhum sewaktu beliau hidup. Persoalannya ke mana hulu balang Pan menyepi. Apakah tidak ada perasaan langsung untuk membantah Tun Mahathir mengutuk Almarhum di hadapan mereka? Apakah mereka sudah hilang deria rasa apabila Tun membelasah almarhum. Sedangkan mereka mendakwa, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ikon perjuangan mereka.

Kita tidak  hairan apabila Tun menghentam Tuan Guru Haji Abdul Hadi, mereka bertepuk sorak. Memang itulah perasaan mereka, kerana benci kepada Presiden PAS. Sama seperti Tun Mahathir marah kepada DS Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu, apa sahaja yang berlaku semuanya salah DS Anwar. Sekarang  apa sahaja yang berlaku bertentangan dengan kehendak politik mereka, maka semua angkara PAS dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Tun istiqamah benci dengan PAS sehingga hujung hayat. Kenapa Tun benci sangat dengan PAS? Sebab Tun tidak boleh cucuk hidung pemimpin PAS. Tun Mahathir ingat pemimpin PAS seperti Kadir Jasin yang kenyang makan dedak zaman Tun. Sekarang berlagak tuduh pemimpin PAS makan dedak DS Najib. Nasihat saya supaya Datuk Kadir Jasin ambil cermin suluh muka dulu, sebelum tuduh pemimpin PAS. Cuba periksa dulu harta dan kekayaan yang beliau miliki, adakah  ibu bapanya orang hartawan di Tokai, Kedah. Ataupun beliau  kaya hasil menjadi pengampu Tun Mahathir dan Umno. Sekarang baru belajar marah kepada Umno kerana dedak Umno tidak cukup.

Tun marah kepada PAS kerana dasar Islam yang dibawa oleh PAS tidak boleh diterima oleh beliau. Tun istiqamah menentang pelaksanaan syariat Islam di negara ini. Berilah apa hujah beliau tetap dengan sikap beliau.  Beliau hendak suruh PAS ikut Islam tafsiran beliau. Kalau mufti pun, Tun lawan. Sunnah Nabi pun beliau perli, apalah sangat dengan PAS. Ingatan kepada Tun, PAS melawan Umno kerana dasar. PAS  lawan Umno, bukan kerana tidak dapat dedak. Berbeza dengan Tun, lawan pemimpin Umno kerana dedak tidak cukup. Nanti apabila dapat dedak, maka senyaplah dan kembali ke pangkuan Umno semula.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
21 Syaaban 1438 / 18 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 18/5/2017

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan di Bukit Perangin daerah Kubang Pasu kerana ia mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk-penduduk yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.
 
Selain mencemarkan air sungai kegunaan harian lebih 400 penduduk di sini, para petani yang mengerjakan sawah di kawasan itu juga turut terjejas. Antara kampung yang terlibat dengan masalah ini ialah Kampung Wang Perah, Kampung Bukit dan Kampung Kubang Betong.
 
SAM kesal walaupun kesan buruk ini serius berlaku sejak 2013 lagi dan beberapa kali bantahan telah dibuat oleh penduduk yang terlibat namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi menanganinya.
 
Mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah Mohd Rahim Ramli (laporan Sinar Harian 8 Mei 2017) bahawa kawasan tersebut telah dicabut status daripada Hutan Simpan Kekal (HSK) kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri kira-kira dua tahun lalu, SAM berpendapat alasan itu tidak bermakna masalah yang berlaku boleh diabaikan dan tidak perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri ini.
 
SAM difahamkan masalah di sini telah berlaku sejak 4 tahun yang lalu dan bimbang jika ia dibiarkan berlarutan bukan sahaja alam sekitar akan terancam dengan lebih buruk lagi pada masa akan datang, malah sekitar kawasan ini mungkin ketandusan sumber bekalan air bagi kegunaan penduduk tempatan.
 
Sungai-sungai lain di daerah Kubang Pasu seperti di Binjai, Temin, Hosba dan Malau mungkin akan tercemar dan mengalami masalah mendapan serta sistem saliran menjadi cetek suatu ketika nanti.
 
Kejadian banjir kilat dan cuaca kering yang berpanjangan boleh berlaku dan mengakibatkan kemusnahan harta benda. Hasil pertanian yang diusahakan oleh penduduk-penduduk di sini seperti dusun buah-buahan, tanaman getah dan padi akan turut terancam dan merosot pengeluarannya sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
 
Justeru SAM berharap kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi yang terlibat mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi membantu penduduk yang terjejas kehidupan mereka akibat aktiviti pembalakan di Bukit Perangin di sini. – HARAKAHDAILY 18/5/2017

SALINAN Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) tidak lagi diberi oleh SPR kepada parti politik sama ada dalam bentuk hard copy atau soft copy sebagaimana amalan sebelum ini.

Serentak dengan itu, Rang Daftar Pemilih Tambahan menyaksikan jumlah kemasukan pengundi pindah masuk yang luar biasa ke beberapa kawasan dan pengundi tegar PAS dipindah keluar.

Langkah tak bagi salinan Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan adalah untuk menyusahkan dan melambatkan kita pembangkang membuat proses semakan dan bantahan supaya kerja jahat Umno/BN buat pemindahan pengundi ini dengan kerjasama SPR berjaya.

Pengundi yang dipindah masuk siap ada surat sumpah menyatakan mereka adalah anak angkat tuan rumah tempat mereka didaftarkan walaupun ramai anak angkat berusia lebih dari ayah dan mak angkat masing-masing! Ada anak angkat yang dah tak ada gigi sementara ayah angkat masih muda.

Di Jabi, kita kesan beberapa orang pengundi tegar kita dalam senarai pindah keluar walau mereka tak pernah memohon.

SPR juga meluluskan pemindahan pengundi walaupun mereka tak menetap di kawasan tersebut dengan alasan mereka ada niat nak menetap di situ. Niat pun kira dah sah.

Ini adalah kerja terdesak Umno. Selamanya Umno adalah Umno! - HARAKAHDAILY 18/5/2017

 

MESYUARAT PAS Pusat yang diadakan pada hari ini memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor bagi membincang pelbagai isu yang melibatkan Kerajaan Negeri Selangor dalam masa terdekat.

PAS akan diwakili oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung.

Tarikh dan waktu akan diputuskan nanti.

Sekian.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
18hb Mei 2017 - HARAKAHDAILY 18/5/2017

PENAHANAN 16 pegawai kanan dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah menunjukkan amalan korupsi dan salahguna kuasa berlaku dalam pasukan keselamatan itu.

Ia 'tragedi' amat menggerunkan apabila pasukan yang dianggap pelindung rakyat dan negara menjadi dalang dan penyangak yang bersekongkol melindungi jenayah. Lebih mencemaskan, ia berlaku atas mereka yang bertugas di Ibu Pejabat utama Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Bermakna bukan sahaja mencalar imej PDRM, tetapi menimbulkan kesangsian terhadap kemungkinan wujud jaringan lebih besar yang terselindung hingga ke negeri dan daerah. Jika benar, bererti masyarakat dan negara sedang berada dalam ancaman menakutkan.

Apatah lagi jenayah dadah adalah 'penjana' kepada pelbagai jenayah lain yang menular menggugat keharmonian dan ketenteraman awam. Maka pelancaran Operasi Kabaddi yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar belum cukup menjamin ia terhenti.

Kemungkinan barah ini telah menjangkiti rangkaian lain dalam pengurusan, siasatan dan penguatkuasaan PDRM adalah potensi yang tidak dapat ditolak lagi. Maka reformasi menyeluruh mesti dilakukan segera untuk mengekang dan menyelamatkannya daripada semakin parah.

Langkah serius melalui penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagaimana terkandung dalam Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2005 dahulu mesti disegerakan.

Selain melibatkan ahli politik, ahli perundangan, ahli akademik dan mereka yang layak serta berkredibiliti dalam suruhanjaya itu nanti, kami syorkan agar para mufti turut menganggotainya agar panduan menurut Islam dapat digariskan juga ke arah melakukan perubahan itu kelak.

Tindakan segera bukan sahaja memastikan supaya 'nasi tidak menjadi bubur', tetapi agar negara tidak ditimpa nasib seperti kata pepatah 'kalah jadi abu, menang jadi arang'.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
16 Mei 2017/19 Sya'ban 1438 – HARAKAHDAILY 17/5/2017

More Articles ...