20
Tue, Aug
30 Artikel Baru

KETIKA Abdullah Ibnu Ummu Maktum seorang sahabat yang buta mendapat pengesahan dari baginda Rasul Allah SAW betapa beliau perlu mengutamakan solat Jemaah sebaik mendengar azan, apakah yang dilakukan oleh para sahabat R.A secara bersama? Hal inilah yang akan saya ketengahkan dalam penulisan ini bagaimana Islam telah sempurna mengenengahkan prinsip-prinsip dalam proses pengupayaan OKU.

Sahabat baginda Rasul Allah SAW amat memahami akan permintaan Abdullah Ibnu Ummu Maktum untuk keringanan dari solat Jemaah. Jarak rumah Abdullah Ummu Maktum dan gangguan perjalanan telah menyulitkan Abdullah Ibnu Ummu Maktum untuk berulang alik, solat Jemaah di masjid.

Para sahabat sebaik mengetahui tuntutan solat berjemaah yang tetap dipertanggungjawabkan kepada seorang yang buta, lalu mereka mengusahakan suatu yang akan memudahkan Abdullah ibnu Ummu Maktum. Dibuatkan satu ikatan tali yang boleh dijadikan panduan oleh Abdullah Ibnu Ummu Maktum dari rumahnya hingga ke masjid.

Apa yang dilakukan oleh para sahabat itulah dikenali sebagai sistem sokongan pada hari ini. Prinsip asasnya ialah Islam tetap tidak mengasingkan golongan manusia meskipun ia seorang OKU.

Bagi memastikan pembentukan masyarakat inklusif ini berlaku dan tiadanya pengasingan golongan tertentu, Islam memberi ajar betapa sistem sokongan itu suatu keperluan yang tidak boleh dikompromi.

Apa yang telah saya kemukakan di atas hanyalah sebahagian kecil contoh yang ditunjukkan oleh Baginda Rasul Allah SAW dan para sahabat dalam kerangka mengupayakan OKU. Apa yang ditunjukkan adalah prinsip-prinsip yang perlu dibina dalam masyarakat  sesuai dengan keperluan dan potensi yang diciptakan Allah SWT.

Jika masyarakat moden hari ini baru sahaja mengiktiraf keberadaan OKU itu dari sudut hak dan keperluan, Islam telah terlebih awal mengiktiraf apa yang diperakui dunia hari ini. Justeru, bila prinsip-prinsip masyarakat iklusif ini diperjuang dan diketengahkan oleh golongan-golongan tertentu, seharusnya ia telah menjadi keutamaan kepada setiap umat Islam.

Mempersiapkan sistem sokongan dalam masyarakat bagi manfaat setiap segmen masyarakat adalah amal-amal yang tercetus daripada pelbagai nilai-nilai kesejahteraan dan berkebajikan yang sangat ditekankan di dalam Islam. Dengan kesediaan masyarakat mengadakan sistem sokongan yang sesuai, ia akan mampu melahirkan suasana saling pergantungan antara individu-individu dalam masyarakat.

Demikianlah Islam tidak hanya meletakkan OKU itu sebagai subjek-subjek kebajikan atau subsidi yang hanya ada pada hari-hari tertentu. Begitu pula Islam tidak hanya meraikan OKU itu pada sambutan-sambutan khusus agar dikatakan tiadanya pengasingan dan peminggiran.

Nilai-nilai kesejahteraan inilah yang menjadikan Islam sangat mudah diterima oleh golongan dhaif dan kumpulan mustada’fin sewaktu perkembangan awalnya di kota Mekah. Bahkan golongan inilah yang diberi jolokan “As-Sabiqun” yang diberi keutamaan sebagai golongan yang dekat kepada Allah yang digelar kelompok “Muqarabun”.

Nah para pembaca sekalian, seharusnya bagi setiap umat Islam telah ada suatu rasa kebertanggungjawaban bagi memastikan setiap individu di keliling kita tidak akan terasa terpinggir. Penilaian kita sebagai umat Islam kepada golongan OKU yang zahirnya dilihat lemah dan tidak berupaya haruslah disesuaikan dengan ketetapan yang telah digariskan di dalam Islam.

Dalam pada itu, saya tidaklah menyangkal apabila ada yang berpendapat suasana itu sangat asing pada hari ini. Individu-individu OKU lebih dilihat dari sudut pandang kecacatan yang ada sekaligus menjadikan ia dilihat lemah dan tidak berupaya.

Bahkan itulah hakikat yang berlaku hari ini. Golongan OKU lebih terserlah sebagai penerima bantuan dan hanya menjadi subjek kebajikan. Inilah antara cabaran yang perlu didepani oleh komuniti OKU bahkan ia menjadi halangan yang perlu dihapuskan oleh masyarakat secara bersama dan kolektif.

Bagi menjayakan ketetapan dari nilai-nilai kesejahteraan dan berkebajikan di dalam Islam inilah suatu anjakan yang lebih menyeluruh diperlukan. Islam perlu dibawa ke tengah-tengah masyarakat bersama-sama nilai kesejagatan dan berkebajikan yang telah tersedia ada. Islam tidak boleh diberikan dari sudut juzuk-juzuk yang tertentu sahaja hinggakan Islam tidak dirasai sebagai suatu penyelesaian kepada keseluruhan persoalan kehidupan. – HARAKAHDAILY 8/7/2017

PAS hari ini telah mengadakan Sidang Meja Bulat 1MDB dengan pihak pengurusan 1MDB yang diketuai oleh Presidennya, Arul Kanda bersama-sama tokoh-tokoh akademik dan ekonomi dalam negara.

Langkah yang diambil ini selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh PAS, berasaskan kepada Politik Bertunjangkan Prinsip dan Politik Kebenaran Bukan Persepsi.

Tantawi1PAS mendengar laporan dan penerangan dari pihak yang terlibat dan menerima pandangan dari pakar sebelum membuat sesuatu keputusan, ini adalah penting supaya keputusan yang diambil adalah matang, rasional dan tepat serta jauh daripada terpengaruh dengan permainan media dan ‘political game’ pihak berkepentingan.

YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Pakar Ekonomi dan juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berpandangan bahawa kesilapan pengurusan 1MDB bermula bila mempunyai modal yang kecil tetapi berbelanja dan memiliki hutang yang besar sehinggakan pendapatan yang ada untuk membayar faedah yang tinggi. Beliau juga tidak percaya dengan hasrat ‘baik’ DOJ mengenakan saman sivil yang disifatkan mempunyai kepentingan politik tertentu bukannya dapat memberi faedah kepada rakyat di negara ini.

Justeru itu, PAS telah membuat beberapa pendirian supaya isu 1MDB diselesaikan dan rakyat tidak dibebankan sebagaimana berikut:

Pertama: Memandangkan Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka PAS berpendirian bahawa Menteri Kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa. Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal.  

Kedua: PAS mencadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetus kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda Kandasamy diterima masuk dan membuat Pelan Rasionalisasi terhadap 1MDB.

~ Cadangan ini telah pun dibawa oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada 13 Oktober 2015, antara yang paling awal mencetuskan idea supaya RCI diwujudkan dalam isu 1MDB.

~ PAC tidak boleh menyelesaikan masalah, justeru ia hanya satu badan yang dianggotai oleh lapan ahli parlimen BN dan lima daripada pembangkang, dan hanya mempunyai bidang kuasa menyiasat.

~ dengan penuh hormat kepada agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia, SPRM, Polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Audit Negara, PAS melihat bahawa perlunya RCI ditubuhkan juga dan ini sahaja jalan keluar yang ada bagi mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Ketiga: PAS mengharapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB, kerana kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kos faedah yang dikenakan adalah sangat besar, sebanyak RM1.9 bilion setahun. Kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar interest bertambah.

Keempat: PAS mengharapkan tidak banyak campurtangan politik yang mengganggu Pelan Rasionalisasi yang telah pun dikemukakan. Kita mahu isu ini diselesaikan dengan rakyat tidak dibebankan. Selain itu, sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, kita tidak mahu isu 1MDB membuka jalan bagi mengundang campurtangan asing dan kita mahu diselesaikan segera di peringkat dalaman negara. Bebaskan institusi kehakiman dan penguatkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan kepada pihak yang terlibat.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

BUDAYA Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) secara umumnya digagaskan oleh Presiden PAS pada tahun 2015. Tetapi kriteria-kriteria BPMS sebenarnya telah dicanangkan lebih awal daripada itu. Fasa pertama dalam mendefinisikan BPMS telahpun selesai. Kini sedang memasuki fasa kedua iaitu merakyatkan BPMS.

Tetapi masih ada yang belum memahami BPMS secara yang digariskan. Kebanyakan lebih terpengaruh dengan persepsi yang sengaja dicipta oleh media. Lebih melabelkan BPMS secara simplistik tanpa mengambil kira konsep sebagaimana yang diceduk dari al-Quran dan Sunnah.

Persepsi paling popular dilabelkan terhadap BPMS adalah PAS mahu berbaik dengan Umno. Kononnya PAS sudah tidak menganggap Umno sebagai musuh politik. PAS dan Umno sudah tiada beza. PAS dan Umno bakal bersatu!

Persepsi ini paling cepat membentuk di minda pemerhati politik yang berakal pendek. Ini kerana ia dimainkan oleh media pro PH dan Umno sendiri. PH mahu menggambarkan PAS mahu bergabung dengan Umno, supaya dapat menjustifikasikan kenapa mereka melawan PAS sekarang. Umno pula memang suka kalau PAS bergabung dengan mereka, kerana mahu menumpang sokongan PAS.

BPMS antara PAS-Umno

Kini timbul dua isu yang membelenggu sebahagian pihak. Pertamanya berkaitan aplikasi BPMS dalam hubungan PAS dan Umno. Sebenarnya bukan bermaksud mahu bergabung, tetapi lebih kepada merubah pendekatan PAS dalam menghadapi Umno.

Kalau dulu kita mengambil sikap menganggap Umno dan seluruh ahlinya umpama najis, tapi kini kita mendidik ahli PAS terutama supaya melihat ahli Umno sebagai mad'u.

Bukankah ini ajaran al-Quran yang menyebut tentang cara Nabi Musa menghadap Firaun yang Mahazalim?

Kalau dulu kita menolak semua dari Umno, sehingga popular khatimah 'segala yang baik dari Allah yang buruk dari Umno', kini kita melihat perkara ini secara lebih rasional. Kalau benar ada yang baik daripada Umno, kita sokong dan bantu dalam bab tersebut. Titik yang salah kita tetap lawan.

Bukankah ini yang diajar al-Quran untuk bertolong menolong dalam perkara baik dan taqwa?

Kalau dulu segala tuduhan pada Umno kita percaya terus walau tanpa bukti, dan kadang-kadang kita mencipta tuduhan palsu, tetapi kini kita mengutamakan fakta dan kebenarannya. Supaya tidak menjadi penyambung lidah syaitan.

Bukankah al-Quran mengajar supaya berlaku adil walaupun mereka sudah memiliki rekod jenayah?

Untung rugi BPMS

Perkara kedua yang menjadi pertelingkahan adalah tanggapan kononnya BPMS tidak sesuai untuk masa depan politik PAS. Kata mereka, walaupun BPMS secara prinsipnya baik, tetapi secara politik ia merugikan. Ini kerana mereka menganggap BPMS menyebabkan PAS ditohmah bergabung dengan Umno. Dan tohmahan ini telah menyebabkan PAS hilang sokongan.

Mereka lebih selesa dengan sikap dahulu. Lawan cacang dengan Umno. Kebanyakan pandangan ini datang dari mereka yang sudah terbiasa berperang dengan Umno. Sangat janggal kalau tak kutuk Umno sehari. Rasa berdosa kalau dekati orang Umno. Macam PAS dah lari dari landasan perjuangan Islam.

Dakwaan PAS hilang sokongan adalah bercanggah dari realiti. Mengikut fakta yang ada, sokongan terhadap PAS meningkat drastik sejak mendingin dengan PR, dan terus meningkat apabila mempopularkan BPMS.

Lihat jumlah pendaftaran keahlian PAS seluruh negara. Yang keluar masuk PAN tak sampai 100, tapi yang masuk ribu-ribu sebulan. Kalau yang sanggup menjadi ahli pun sudah bertambah ribu setiap bulan, yang minat dan menyokong apatah lagi.

Kajian trend sokongan kaum melayu sebagai kuasa politik teras negara juga semakin meningkat. Terbaru maklumat dari sebuah badan kajian menunjukkan pertambahan sokongan melayu kepada PAS meningkat lagi, walaupun beberapa bulan lalu badan tersebut baru sahaja melaporkan PAS sudah mendahului mana-mana parti yang lain.

Belum lagi diambil kira populariti PAS menerusi undian media sosial. Walaupun ia bukanlah mekanisme yang kuat, tetapi trend yang kita lihat adalah berpihak kepada PAS secara konsisten. Polling di Facebook tak kira yang dibuat oleh page pro BN, PAN, PKR, DAP, PPBM, atau non partisan, menunjukkan keputusan yang sama. PAS mendahului! Setidaknya ia boleh diambil sebagai salah satu petunjuk trend sokongan golongan muda.

Undi teras PAS tidak hilang kerana keahlian semakin bertambah. Undi atas pagar pula semangkin meningkat berasaskan kajian terkini luar dan dalam. Jangan dicampur aduk kajian sokongan keseluruhan kaum, kerana sasaran utama PAS adalah penyokong Islam-melayu.

Perkembangan ini amat menguntungkan PAS terutama di sempadan politik yang didominasi orang Melayu. 3 Negeri melayu teramai seperti Terengganu, Kelantan dan Perlis sudah boleh bersedia untuk meneraju pentadbiran pasca PRU14 nanti.

Hakikatnya, perkara-perkara ini tidak berlaku sebelum BPMS diperkenalkan. Maka secara konsensusnya, BPMS jauh lebih menguntungkan PAS dari persepsi yang dicipta sebahagian pihak.

Baju yang cuba ditanggal

Jika diamati, seolah-olah ada cubaan terancang untuk mengganggu trend sokongan terhadap PAS yang semakin baik ini. Ada pihak sedang merancang untuk memburukkan BPMS, supaya PAS mengkaji balik pendekatan ini. Saraf halus sedang dicipta melalui media, dan dipanjang menerusi ejen-ejen yang tidak bertanggungjawab.

Apa yang dapat dihidu, sebenarnya ia adalah mainan untuk membawa PAS kembali kepada strategi PRU13, iaitu bersama DAP dan sekutu bagi menghadapi PRU14 nanti. Digunakan sentimen PAS mahu bergabung dengan Umno, untuk mencapai matlamat PAS kembali bergabung dengan DAP dan sekutu.

Waspada dengan jarum halus ini. Bina anti-virus secukupnya. Jangan sampai termakan dengan hasutan. Kerana jika kembali bersama DAP, akan mematikan sokongan yang sedang meningkat pada PAS sekarang.

Motif hasutan ini hanya satu, bagi menumpang sokongan PAS untuk memenangkan DAP dan sekutu sahaja!

Jangan masuk lubang sama kali ketiga. - HARAKAHDAILY 6/8/2017

bpms

"ALHAMDULILLAH, Mak Aji saya sudah luluskan untuk cucuk vaksin haji. Paras darah memuaskan pada masa ni. Saya doakan Mak Aji dipermudahkan segala urusan perjalanan, sihat tubuh badan dan dikurniakan haji mabrur," kata-kata akhirku kepada seorang bakal Duyufurrahman di sesi pemeriksaan kesihatan haji. Saya selesa berbahasakan 'Mak Aji' walaupun beliau masih belum menunaikan haji. Rasa lebih mesra dan santun. Beliau adalah pengidap kencing manis kronik. Bacaan awal semasa bertemu saya amat tidak terkawal. Setelah ubat dioptimakan, akhirnya bacaan paras gula amat menakjubkan. Boleh pula beliau kawal pemakanan dan patuhi ubat-ubatan. Semangat membuak-buak untuk menunaikan haji.

"Terima kasih doktor. Syukur," sahut beliau ringkas dalam nada sebak. Matanya kelihatan berkaca.

dr suhazeli"Saya akan bekalkan ubat untuk Mak Aji selama 2 bulan." Nasihat ringkas saya. Jemaah haji akan berada di tanah suci paling minimum 40 hari, bermakna ubat-ubatan yang akan dibekalkan paling minima pun sebulan setengah. Mengambil beberapa situasi, kebiasaannya jemaah haji akan hadir semula ke klinik 2 minggu sekembalinya dari tanah suci, tempoh 2 bulan amat sesuai ubat dibekalkan.

Nasihat saya kepada semua jemaah haji yang mempunyai penyakit kronik, sediakan bekalan ubat secukupnya. Jangan kita mengharapkan ubatan anda disediakan oleh Tabung Haji semasa di sana. Memang benar, Tabung Haji bersama dengan KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan, tetapi kemungkinan ubat-ubatan yang didapati di sana tidak bertepatan dengan jenama ubat yang biasa diambil oleh anda.

Sebagai duyufurrahman perkara-perkara berikut boleh diambil kecaknaan.

1) Pastikan betul-betul pihak farmasi membekalkan ubat anda secukupnya. Ini kerana sesetengah ahli farmasi hanya akan keluarkan ubat selama satu bulan sahaja. Ini adalah polisi biasa yang telah dikeluarkan bagi pendispensan ubat-ubat penyakit kronik. Bagi para pesakit biasa, tidak menjadi masalah untuk mengambil ubat mereka sebulan sekali. Namun kepada jemaah haji, mereka perlu memberitahu kepada ahli farmasi supaya bekalan diberikan secukupnya. Paling minimum dua bulan. Tunjukkan buku pemeriksaan haji atau apa-apa dokumen yang membuktikan anda sebagai jemaah haji. Atau, boleh sahaja kembali semula ke bilik doktor untuk mereka memaklumkan kepada ahli farmasi situasi anda.

2) Pastikan juga ubat-ubatan dilabel dengan sempurna bagi mengelakkan kekeliruan. Terdapat jemaah haji yang sudah berumur, sebelum ini hanya mengharapkan anak mereka menguruskan pengambilan ubat. Tanpa mereka sedari dan ketahui jenis ubat dan bila masa untuk dimakan. Kali ini, di tanah suci para jemaah berkenaan harus berdikari. Perlu mengenal ubat yang biasa dimakan. Proses pengenalan ubat ini lebih senang dengan membuat label sesuai. Pihak Tabung Haji menyediakan khidmat kesihatan dan perubatan sepanjang masa. Pegawai yang ditugaskan sepanjang musim haji bersedia untuk membantu memberikan kaunseling kepada anda. Jangan segan silu untuk bertemu mesra dengan mereka.

3) Senarai pertama yang patut diletakkan dalam bagasi anda adalah ubat-ubatan. Pesakit yang perihatin mengenai kesihatan mereka, sudah pasti ingat jenis ubat, bagaimana cara mengambil dan bila masanya. Bagi memudahkan, beli bekas kedap udara dan dilabelkan khas ubat supaya senang dicapai apabila masanya sampai. Bawa jumlah yang secukupnya mengikut jumlah hari yang anda rancang berada di kampung. Jadikan ubat-ubatan ini sama penting dengan kad pengenalan anda. Wajib dibawa ke mana-mana sahaja.

4) Pesakit yang menggunakan insulin, ingat betul-betul tatacara membawa ubat insulin dalam perjalanan ke tanah yang barokah itu. Jangan jadikan alasan susah membawa insulin ini kerana teknologi terkini insulin sudah tersedia-kekal dalam pen. Bukannya lagi dalam botol-botol insulin seperti dahulu kala.

i) Anda boleh membawa pen insulin tersebut tanpa menyimpannya di tempat sejuk. Ia boleh digunakan selama sebulan (30 hari) setelah dimasukkan dalam kelongsong pen insulin. Cuma elakkan ia terdedah secara terus dibawah terik matahari. Selagi berada dalam tas tangan anda, ia selamat digunakan.

ii) Jika anda merasakan insulin tidak mencukupi, anda perlu membawanya lebih. Satu kelongsong insulin biasanya mempunyai 300 unit. Kira secukupnya jumlah unit dos insulin yang akan digunakan sepanjang berada di Tanah Suci. Jika anda memerlukan cucuk sebanyak 15 unit, 2 kali sehari, bermakna jumlah sehari adalah 30 dos unit. Justeru satu kelongsong akan habis selama sepuluh hari. Andai sekiranya pihak Tabung Haji memaklumkan tempoh anda berada di sana selama 6 minggu, maka 4 atau 5 kelongsong penuh insulin wajib dibawa. Jangan lupa, jarum cucuk juga perlu dibeli lebih.

iii) Cara membawanya dalam perjalanan juga perlu dengan cermat. Masukkan kelongsong insulin tadi dalam kotak ais yang suhunya sekira-kira 4-8 ⁰C. Kemudian setelah sampai destinasi, alihkan kelongsong insulin tadi ke dalam peti sejuk. Ambil setelah anda memerlukan. Kita memahami sukar untuk mencari kotak ais yang kekal suhu sejuknya sepanjang permusafiran. Paling kurang masukkan juga ke dalam kotak ais tanpa mempedulikan suhu, balut sebaiknya agar tidak mudah terburai. Jangan terlalu rigid dalam isu ini.

Semoga dengan sedikit nasihat ini membolehkan ibadah anda di tanah suci nanti lebih sempurna.

PENDIRIAN kerajaan untuk tidak menghalang cadangan syarikat penerbangan melarang hidangan minuman minuman beralkohol dalam pesawat seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan dalam satu kenyataannnya di Parlimen membuktikan bahawa kerajaan tidak bertegas dalam usaha mengharamkan alkohol dalam pesawat.

Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi alasan bahawa Kementeriannya tiada kuasa untuk mengharamkan hidangan arak dalam syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines serta tidak mempunyai peraturan atau garis panduan mengenai arak dalam penerbangan. Beliau berdalih dengan mendakwa bahawa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAB) yang beroperasi ke pelbagai destinasi seluruh dunia dan membawa pelbagai jenis penumpang perlu memenuhi kehendak pelanggan mereka, khasnya kelas perniagaan dan kelas pertama.

Saya berpendapat, alasan beliau itu sangat lemah dan tidak boleh dijadikan sebab bahawa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan negara. Jika ia sekadar keputusan komersial, dan terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan, maka tugas kerajaan menguatkuasakan larangan tersebut dengan membuat peraturan atau garis panduan mengenai arak dalam penerbangan. Jika ia dijadikan peraturan negara, maka syarikat penerbangan yang beroperasi dalam negara ini perlu mematuhi peraturan tersebut.

Sepatutnya, kerajaan Malaysia menunjukkan contoh teladan terbaik kepada negara-negara lain khususnya dunia Islam bahawa Malaysia tidak sesekali boleh berkompromi dalam isu minuman arak terutama dalam pesawat. Terlebih lagi syarikat penerbangan Malaysia pernah mengalami pengalaman perit kehilangan pesawat MH 370 dan nahas MH17 beberapa tahun lalu. Meskipun tidak boleh dikaitkan antara arak dengan nahas atau kehilangan pesawat, namun bagi umat Islam, kita mengetahui kaitannya adalah dengan keberkatan perjalanan penerbangan yang diredhai oleh Allah SWT.

Bagi saya, kerajaan tidak perlu takut pelanggan akan lari jika tidak mengikut kehendak dan selera mereka kerana pelanggan melihat kepada servis atau pekrhidmatan yang diberikan. Banyak aspek lain boleh dinilai dalam maksud menyediakan perkhidmatan terbaik seperti seperti ketepatan jadual, pengurusan efisyen, layanan mesra, keselesaan, keselamatan, fasiliti dan lain-lain lagi. Tidak semestinya tanpa arak, pelanggan akan kecewa dan mencari syarikat lain. Bahkan, boleh jadi pelanggan akan lebih menyukai syarikat ini kerana aspek keselamatannya terjamin.

Larangan minuman beralkohol dalam pesawat adalah satu pendidikan kepada pelanggan bahawa pesawat bukanlah sebuah pusat hiburan atau kelab malam tempat untuk pelanggan melakukan apa sahaja yang dikehendaki. Pesawat adalah sebuah pengangkutan udara yang menumpangkan pelbagai kelompok penumpang dari bayi, kanak-kanak, wanita, lelaki ataupun warga emas. Ia adalah transit sementara untuk mengangkut pelanggan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Oleh itu, keselamatan penumpang dan pesawat adalah perkara utama yang tidak boleh dikompromi.

Lagipun, tiada jaminan minuman beralkohol yang dihidangkan boleh menjamin keselamatan penumpang. Banyak berlaku kes penumpang yang mabuk, mengamuk dan mencederakan atau memudaratkan penumpang lain. Malah, ada pesawat yang tergendala jadual penerbangan, mendarat cemas di lokasi lain yang mengancam penumpang lain.

Justeru, melihat kebaikan dan kelebihan bebas alkohol dalam pesawat, Malaysia pasti menjadi destinasi yang diidamkan dan pesawat-pesawat dari syarikat Malaysia menjadi pilihan utama pelanggan seluruh dunia.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

POLITIK Malaysia kini memasuki fasa ‘political taunting’. Adegan taunting yang paling menarik sekarang ialah permainan saling melondeh antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
 
tunM LDr Mahathir sedang menggunakan taktik memisahkan musuh, satu taktik lapuk yang sering diulang kerana keberkesanannya untuk memecahkan lawan dengan mewujudkan keraguan terhadap kesetiaan TPM terhadap bosnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Taktik ini sangat mujarab sekiranya pihak yang melancarkan serangan itu sudah dapat mengesan sudah ada retakan di dalam pihak musuh.
 
Dr Mahathir sedang memasang pancing untuk kem yang anti-TPM di dalam Umno untuk bertindak.
 
Sekiranya ada pihak di sebelah kem PM yang tidak senang dengan TPM, golongan ini sudah pasti akan termakan pancing yang dipasang Dr Mahathir lalu mengambil kesempatan menggunakan serangan Dr Mahathir untuk menimbulkan keraguan yang lebih mendalam terhadap kesetiaan TPM kepada Najib.
 
Pada ketika ini, TPM perlu bertindak secara berhati-hati, sama ada dari segi lisan, tulisan mahupun tindakan supaya pancing yang dipancing oleh Dr Mahathir tidak mengena. Sebarang kesilapan daripada TPM yang mewujudkan persepsi bahawa serangan Dr Mahathir mempunyai merit akan menyusahkan beliau sendiri.
 
Salah satu cara untuk mengelak pancing Dr Mahathir ialah dengan menyerang Dr Mahathir kembali dari setiap pelosok. Dan itu yang sedang dilakukan TPM sekarang.
 
Serangan balas TPM terhadap Dr Mahathir bukanlah serangan sembrono. Setiap serangannya dialas dengan umpan untuk menimbulkan keraguan para pengundi tegar Umno-BN, terutamanya para pengundi orang Melayu terhadap Dr Mahathir dan Pakatan Harapan.
 
Sebaliknya, serangan TPM terhadap Dr Mahathir telah meletakkan bekas perdana menteri itu dalam keadaan defensif.
 
Pasukan Dr Mahathir terpaksa menjawab soalan mengenai asal-usul keluarganya. Serangan Dr Mahathir terhadap kekayaan TPM pula menimbulkan keraguan terhadap kekayaan anak-anaknya. Kini, TPM menimbulkan isu Memali dan mengumpan Dr Mahathir berlawan di gelanggangnya.
 
Kesilapan terbesar Dr Mahathir di dalam perang persepsi terhadap TPM ialah menimbulkan dakwaan RM230 juta.
 
Dakwaan ini menimbulkan keraguan kepada Dr Mahathir sendiri, mengapa ketika beliau selaku Perdana Menteri tidak mengarahkan siasatan terhadap kekayaan TPM yang ketika itu bersama Pemuda Umno? Bukan itu sejenis salah guna kuasa?
 
TPM pula melakukan kesilapan dengan mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti rakaman seorang bekas pemimpin Umno yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen.
 
Jika benar, apakah beliau telah mendedahkannya kepada Najib ketika ia berlaku? Jika tidak, ini akan menyebabkan pancing Dr Mahathir akan terkena kerana kesetiaan beliau terhadap Najib akan dipersoalkan meskipun tidak secara zahir.
 
Setakat ini, kelihatan pancing Dr Mahathir tidak mengena. Tiada ahli Umno yang mempersoalkan kesetiaan TPM terhadap Najib, malah serangan Dr Mahathir telah mengukuhkan kesetiaan TPM terhadap Najib.
 
Cuma taktik memisahkan musuh yang dipasang Dr Mahathir ini bagaikan duri lalang. Ia boleh berpanjangan yang amat sangat. Sama ada ia berjaya atau tidak, kita hanya akan tahu selepas PRU14 dan siapa perdana menterinya ketika itu. - HARAKAHDAILY 6/8/2017                     

"KITA terima kasih banyak-banyak. Orang PAS memang pemurah termasuk pemurah untuk derma darah. Hadir buat program kempen derma darah di mana-mana event anjuran PAS memang tak pernah mengecewakan. Kita tak kisah, ke mana dijemput kita pergi sebab kita buat kerja. Bukan kita nak berpolitik dengan darah," komen yang diberikan oleh seorang kakitangan Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu yang hadir menyertai kempen derma darah sempena Karnival Dun Jabi.

"Alhamdulillah... saya tengok semua darah yang didermakan warna merah. Tak ada yang colour hijau," jawab saya sambil bergurau.

Warna darah sama merah adalah bukti bahawa secara fitrahnya kita semua sama. Walau ada perbezaan, manusia tetap mempunyai titik pertemuan dan persamaan. Mungkin kita ada berbeza pendapat, sikap dan pendirian atas sesuatu perkara, tapi kita boleh bersama atas nama Islam. Islam boleh menyatukan kita. Kerana itu PAS mengajak mari bersama kita mencari kesejahteraan bersama Islam.

Karnival Dun Jabi yang berlangsung selama 3 hari 3 malam bermula 2-5 Ogos 2017 disasarkan untuk menjadi medan bertemu mata dan menghubungkan silaturrahim bagi masyarakat Jabi dari segenap lapisan masyarakat.

Kita terjemahkan budaya politik matang dan sejahtera dengan penganjuran satu program kemasyarakatan bersepadu di bawah satu bumbung karnival di mana di sini ada lontaran ilmu dengan Program Bicara Ilmu oleh Kiyai Dr Haji Ahmad Najib Afandi dari Pesantren al-Hikmah Jawa Tengah. Diteruskan lagi dengan program santai tapi sarat dengan ilmu oleh Ustaz Azhar Idrus dalam Program Santai Petang yang menyaksikan Dataran PGU Jabi dipenuhi oleh ribuan pengunjung.

Saya sangat menghargai kerjasama Jabatan Kerajaan seperti JPJ, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah dan SPR yang sudi hadir memberikan khidmat. Juga kepada Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (Papisma).

Pentas Karnival Dun Jabi juga dibuka sebagai medan  pengajian ilmu politik dengan penampilan pimpinan utama parti antaranya Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Haji Hussain Awang dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyampaikan ceramah. Kita sediakan pentas untuk masyarakat mendapat maklumat dan penjelasan langsung dari pimpinan parti dengan harapan ada kekeliruan yang dapat dirungkai.

Tak terkecuali acara kanak-kanak, muslimat, pemuda serta acara santai sukan rakyat. Islam tak melarang kita berhibur.

Lebih 50 gerai jualan dengan pelbagai produk dan barangan disediakan. Peminat seni hiburan Islam juga tak dihampakan.

Saya melihat kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan lapisan masyarakat ke program anjuran PAS adalah signal bahawa tembok yang memisahkan PAS dengan masyarakat sudah semakin menipis. Jurang pemisah sudah semakin mengecil. PAS sudah berjaya membawa budaya politik damai penuh kasih sayang dalam masyarakat walau cuba dibayangi dengan politik persepsi penuh prasangka dari lawan-lawan politik.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah MTD Jabi merangkap AJK PAS Pusat  

jabi1                     jabi2

jabi3

More Articles ...