DI antara sikap Saidina Umar al-Khattab yang menjadi perhatian adalah keteguhan beliau berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Beliau sangat tegas terhadap para pimpinan umat Islam ketika beliau bertugas sebagai Khalifah.

Berikut merupakan petikan khutbah Umar R.A kepada rakyat jelata;

يَأَيُّهَا النَّاسُ ، إِنِّي وَاللَّهِ مَا أُرْسِلُ إِلَيْكُمْ عُمَّالا لِيَضْرِبُوا أَبْشَارَكُمْ ، وَلا لِيَأْخُذُوا أَمْوَالَكُمْ ، وَلَكِنِّي أُرْسِلُهُمْ إِلَيْكُمْ لِيُعَلِّمُوكُمْ دِينَكُمْ وَسُنَّتَكُمْ ، فَمَنْ فُعِلَ بِهِ شَيْءٌ سِوَى ذَلِكَ فَلْيَرْفَعْهُ إِلَيَّ ، فَوَالَّذِي نَفْسُ عُمَرَ بِيَدِهِ لأُقِصَّنَّهُ مِنْهُ ، فَوَثَبَ عَمْرُو بْنُ الْعَاصِ ، فَقَالَ : يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ أَرَأَيْتُكَ إِنْ كَانَ رَجُلٌ مِنْ أُمَرَاءِ الْمُسْلِمِينَ عَلَى رَعِيَّةٍ ، فَأَدَّبَ بَعْضَ رَعِيَّتِهِ إِنَّكَ لَتُقِصَّهُ مِنْهُ ؟ قَالَ : إِي وَالَّذِي نَفْسُ عُمَرَ بِيَدِهِ ، إِذًا لأُقِصَّنَّهُ مِنْهُ ، وَكَيْفَ لا أُقِصَّهُ مِنْهُ ، وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقِصُّ مِنْ نَفْسِهِ

 

"Wahai sekalian manusia, ketahuilah sesungguhnya aku, -demi Allah- tidak mengutuskan pegawaiku kepada kalian agar mereka memukul tubuh badan kalian, tidak juga untuk mengambil harta benda kalian. Akan tetapi aku mengirim mereka kepada kalian agar diajarkan agama kalian dan sunnah Nabi S.A.W Maka barang siapa diperlakukan oleh pegawaiku dengan tindakan yang tidak aku perintahkan, maka hendaklah dia melaporkan aduan tersebut kepadaku”.

Demi Allah yang menggenggam jiwaku, apabila perkara tersebut terjadi, aku akan melaksanakan qisas terhadapnya.

Lalu Amru bin al-Aas membalas ucapan Umar R.A dengan berkata;

“Wahai Amirul Mukminin, bagaimana pandanganmu jika ada seorang pemimpin muslim melakukan pelanggaran terhadap rakyat sedangkan dia juga pernah berjasa mendidik rakyatnya dengan baik, apakah engkau akan tetap mengqisasnya?”

Jawab Umar R.A ;

 

“Demi Zat yang menggenggam jiwa Umar R.A, apabila keadaan itu berlaku, aku benar-benar akan melaksanakan qisas. Bagaimana aku tidak melaksanakan qisas terhadapnya sedangkan aku telah melihat Rasulullah S.A.W sendiri mengqisas diri Baginda sendiri?”

(Rujuk Tarikh at-Tobari)

Daripada petikan ucapan tersebut, dapat kita fahami bahawa;

  •      Pemimpin bertugas mendidik pengikut perihal agama dan sunnah Nabi S.A.W
  •      Pemimpin tidak sepatutnya menganiaya dan menekan orang bawahan.
  •      Pemimpin tidak boleh merampas harta rakyat sesuka hati mereka.
  •      Pemimpin yang seleweng layak diqisas. Jika tidak di dunia, kita akan mendakwa mereka di akhirat kelak.
  •      Pemimpin mesti adil. Tidak mengenakan pelbagai peraturan hanya kepada orang bawahan sedangkan dirinya terlepas dari peraturan tersebut.

Peribadi seperti inilah yang telah dimuliakan Allah dengan pembukaan Baitul Maqdis.

Bahkan keadilan Umar R.A menjadikan beliau dihormati kawan dan lawan.

Sungguh kita hari ini perlu meneliti sejarah kegemilangan Islam.

SOFIA ALWANI

17 Julai 2018 -HARAKAHDAILY 18/7/2018

MELAKA adalah Kerajaan Islam pertama di Nusantara yang dapat melaksanakan Undang-undang Syariat secara tersusun apabila usaha-usaha untuk melakukan kodifikasi Undang-undang Islam bermula pada zaman Sultan Mohammad Shah (1284-1341M). Walaupun Kerajaan Islam telah wujud di Perlak sejak 840M, dan Marco Polo mencatatkan mengenai pelaksanaan Syariat di sana ketika kunjungannya pada 1292M, namun tidak ada bukti mengenai kewujudan undang-undang yang dikodifikasikan. Demikian juga halnya di Samudera-Pasai dan Melaka pada peringkat awal, di mana semua bentuk pelaksanaan Syariat adalah berdasarkan Kitab-kitab Fiqh Mazhab yang dibawa dari Arab atau Parsi, dan dilaksanakan mengikut interpretasi para ulamak semasa. Inilah bentuk pelaksanaan Syariat pada peringkat terawal di Nusantara. Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M dikatakan bukti artifak terawal dalam pengkodifikasian Undang-undang Islam di rantau ini.

Mendepani sistem pentadbiran yang lebih cekap dan tersusun, dengan bantuan para ulamak, Sultan Muhammad Shah telah memulakan usaha untuk mewujudkan kod undang-undang yang tersusun bagi Negeri Melaka dan jajahannya, sehingga akhirnya berjaya melahirkan dua teks undang-undang, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang disiapkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1343-1373). Dengan wujudnya teks undang-undang yang berasaskan Syariat ini, Kerajaan Melaka telah mewujudkan pula jawatan pentadbiran pengadilan agama iaitu Qadhi yang dimulakan dengan pelantikan Maulana Syed Yusof Abdul Aziz, yang lebih terkenal dengan panggilan sebagai Qadhi Yusof pada zaman Sultan Muzaffar Shah ini. Walaupun tidak banyak dicatatkan mengenai peristiwa pelaksanaan syariat seperti di Samudera-Pasai, tetapi kewujudan kod undang-undang ini cukup untuk membuktikan berlakunya pelaksanaan Syariat di Melaka.

Rujukan Syariat di Melaka peringkat permulaan

Pada generasi pertama umat Islam di Nusantara, pelaksanaan Syariat hanya berlaku dalam hukum individu dan keluarga, di mana di perkampungan Islam seperti "Ta-shih" yang dilaporkan oleh pencatat China, para ulamak dijadikan rujukan mengenai Syariat. Peringkat kedua baharulah diwujudkan pemimpin rujukan seperti Imam atau Kadhi untuk mengendalikan pelaksanaan Syariat mengikut aliran Mazhab Fiqh yang masih baru berkembang ketika itu. Apabila wujudnya Kerajaan Islam di Perlak pada 840M, baharulah pelaksanaan Syariat mulai tersusun dengan adanya jawatan Qadhi, Sheikhul Islam dan Mufti, tetapi kod undang-undang belum ada. Sistem pengadilan atau Mahkamah Syariah telah wujud, di mana para ulamak berpandukan kepada Kitab-kitab Fiqh Mazhab yang sedang berkembang di Asia Barat kala itu. Hal inilah yang dimulakan di Melaka setelah Islamnya Parameswara sekitar 1267M. Ulamak yang diketuai oleh Makhdum Syed Abdul Aziz bukan sahaja mengajarkan ilmu agama, tetapi menjadi rujukan pelaksanaan Syariat.

Menurut Auni Abdullah, Kitab-kitab Fiqh Berbahasa Arab telah mulai masuk ke Nusantara dengan dibawa oleh para ulamak dan pendakwah, kemudian menjadi rujukan pelaksanaan Syariat. Pada peringkat awal ini, beberapa Kitab Fiqh Syafie seperti Takhlis al-Minhaj, iaitu ringkasan Kitab Minhaj at-Talibin karya Imam Nawawi (m. 1277M), al-Muharrar oleh Imam ar-Rafie (m. 1226M) dan al-Ghayah wal Taqrib oleh Qadhi Abu Syujak (m. 1197M) dikatakan telah digunakan sebagai sumber rujukan Hukum Syariat di Melaka. Maulana Abu Bakar sendiri disebutkan mengajar kitab, Dur al-Maznum di Melaka, iaitu karangan Abu Ishak dari Makkah dan diterjemah oleh Makhdum Patakan di Pasai atas perintah Sultan Mansor Shah (1373-1446M). Pada abad ke-15M, baharulah Kitab-kitab Mazhab Syafie seperti al-Mahalli karya Jalaluddin al-Mahalli (m. 1460M), Fath al-Qarib karya Ibnu Qassim al-Ghazzi (m. 1513M), Tuhfat al-Muhtaj karya Ibnu Hajar al-Haitami (m. 1566M), Fath al-Wahhab karya Zakariya al-Ansori (m. 1520M), Nihayat al-Muhtaj karya Imam ar-Ramli (m. 1569M) dan Mughni al-Muhtaj karya Khatib Syarbini (m. 1570M) tersebar dan menjadi rujukan di Nusantara, khususnya di Melaka.

Pelaksanaan Syariat: Pengaruh Islam dalam Undang-undang

Setelah beberapa ketika Melaka bergantung kepada penafsiran para ulamak semasa dalam melaksanakan syariat dan hanya merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang ada, maka pada zaman Sultan Muhammad Shah, mulai digubal undang-undang berasaskan Hukum Islam di Melaka. Dua teks undang-undang yang berjaya disiapkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah ini ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Menurut Azni dan Liaw Yock Fang bahawa Hukum Kanun Melaka yang mempunyai 44 fasal, mengandungi enam bahagian utama iaitu, i) Hukum Melaka, ii) Hukum laut, iii) Hukum perkahwinan, iv) Hukum berniaga, v) Undang-undang negeri dan vi) Undang-undang Johor. Menurut Azni, Hukum Kanun Melaka telah memperlihatkan dengan jelas penerapan Hukum Islam ke atas hukum adat, dan sangat dipengaruhi oleh karya-karya Fiqh Qadhi Abu Sujak dan Ibnu Qassim al-Ghazzi.

Dalam Hukum Kanun Melaka, undang-undang keluarga Islam tercatat pada fasal 25-28 berkaitan hukum perkahwinan dan perceraian mengikut Mazhab Syafie. Liaw Yock Fang mengatakan ia ditulis oleh Sheikh Abdul Ghoyu menurut versi Jakarta. Fasal 30-42 pula adalah Undang-undang Sivil Islam berkait dengan hukum perniagaan. Dalam bab jenayah, Hukum Kanun Melaka menyenaraikan kesalahan zina, liwat, rogol (fasal 40 dan 43) membunuh (fasal 5, 8, 18, 36 dan 43), mencuri dan merompak (fasal 11), murtad dan minum arak (fasal 36 dan 42), sebagai perbuatan jenayah di Melaka, selain beberapa kesalahan lain. Ini menunjukkan Hukum Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir telah dilaksanakan di Melaka.

Struktur pentadbiran Syariat di Melaka

Di dalam Undang-undang Laut Melaka, pada bahagian permulaan (preamble) disebutkan, "Ya Ghafur ar-Rahim, Yang Amat Mengampuni lagi Mengasihani dengan berkat agama kekasih-Nya Muhammad S.A.W dan rahmat Allah akan sekalian umatnya yang membawa iman dan mengerjakan Syariatnya, minta tolong kepada sekalian Sahabatnya ke hadrat Allah Taala memberi syafaat akan segala umatnya, takut akan amar-Nya dan Nahyu-Nya, maka memohonkan ampun, Allah Rabbi al-'Arsyi al-Karim. Preamble ini sangat jelas menunjukkan tujuan penggubalan undang-undang di Melaka adalah untuk melaksanakan Syariat Islam dengan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Proses pelaksanaan Syariat ini tidak terhenti dengan penggubalan kod undang-undang semata-mata, tetapi turut melibatkan kewujudan struktur pentadbiran Pengadilan Islam di Melaka.

Dalam Hukum Kanun Melaka, disebutkan bahawa semua undang-undang adalah berada di bawah kekuasaan Sultan Melaka, di mana semua hukuman bunuh diputuskan oleh Sultan sebagai kuasa kehakiman tertinggi. Ada pun Bendahara adalah menjadi Ketua Hakim bagai semua perbicaraan di Mahkamah Melaka, dengan Qadhi adalah Hakim Syarie yang melaksana tugas-tugas Kehakiman Islam di bawah Bendahara. Dicatatkan oleh Tun Seri Lanang, bahawa dua Qadhi yang terkenal berkhidmat sejak zaman Sultan Muzaffar Shah ialah Qadhi Yusof dan anaknya, Qadhi Munawar Shah. Pada zaman Sultan Mahmud Shah dan Sultan Ahmad Shah, dipercayai jawatan Qadhi dipegang oleh Maulana Sadar Jahan yang dilaporkan menjadi penasihat utama Sultan.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
3 Zulkaedah 1439 / 16 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 18/7/2018

SINAR HARIAN: Untuk soalan pertama YB, kita lihat kepada PRU yang lalu, sesetengah pihak menganggap kemenangan besar PAS di Terengganu dan Kelantan pada PRU lalu disebabkan oleh faktor Tsunami rakyat. Jadi bukannya kerana faktor kekuatan PAS sendiri. Jadi apa komen YB?

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI: Bismillahirrahmanirrahim, asssalamualaikum W.B.T kepada seluruh pelayar-pelayar Sinar Live. Yang pertamanya saya ucap terima kasih kepada Sinar Harian yang memberikan ruang dan peluang sekali lagi kepada saya untuk ada dalam program yang diaturkan ini sebagaimana tajuk yang disebutkan tadi.

Walaupun PRU yang ke-14 sudah dua bulan berlalu, tapi kita lihat bahang dia masih panas. Dan kita tahu semua Parlimen baru sahaja memulakan sidang semalam setelah selesai daripada angkat sumpah. Dan persoalan yang ditimbulkan tadi berkait dengan keputusan PRU lepas yang diperolehi oleh PAS.

Ada yang kata bukan kerana kekuatan PAS, tapi kerana Tsunami rakyat. Pada pandangan saya, kita perlu menganalisa keputusan PRU yang lepas dengan analisa yang menyeluruh. Sudah tentu di antara faktor yang memberikan natijah kepada PRU yang lepas adalah kerana Tsunami rakyat ataupun kebangkitan rakyat yang telah merubah satu sejarah politik dalam negara kita yang tidak pernah berlaku sejak daripada kemerdekaan lagi.

Adapun bagi PAS, saya percaya bahawa di antara aspek yang penting yang perlu kita lihat dalam kerangka politik di dalam negara kita ialah sistem pilihan raya itu sendiri. Di mana ia berkehendakkan kepada kekuatan jentera parti khususnya di peringkat grass root. Kerana sistem pilihan raya kita berbeza dengan sistem pilihan raya di tempat-tempat ataupun di negara-negara yang lain.

Jadi, saya tidak menolak salah satu faktor keputusan PRU lepas ialah kerana keputusan rakyat yang kita lihat sebagaimana disebutkan tadi sebagai satu Tsunami. Tapi dalam masa yang sama, PAS memperolehi satu jumlah kerusi Parlimen yang sangat baik, dalam keadaan bersendirian berbanding dengan Barisan Nasional dan juga PH. Bersendirian di sini ialah dengan Gagasan yang tersendiri iaitu Gagasan Sejahtera.

Dalam masa yang sama kita juga memperoleh sebanyak 90 kerusi Dun, kita berjaya mempertahankan kemenangan di Kelantan dan berjaya kembali memerintah di Terengganu dan berjaya mendapat satu kerusi yang sangat baik di Kedah dan juga di Pahang. Jadi saya percaya bahawa keputusan-keputusan yang diperolehi PAS ini adalah di antara faktornya kerana kekuatan grass root, kekuatan jentera PAS di semua peringkat yang telah membuat kerja-kerja pilihan raya ini lebih awal dari segi culanya, kempennya, dan lain-lain lagi.

Maksud persediaan awal itu YB boleh ulas sikit tak sejak bila kerja-kerja kempen PAS, salah satu contohnya telah dimulakan oleh jentera PAS sendiri? 

Sudah menjadi amalan dalam PAS ini sejurus selepas daripada diadakan PRU ataupun PRK, maka jentera-jentera kita akan terus buat kerja di peringkat masing-masing. Kerja kempen, bertemu dengan pengundi, bertemu dengan badan-badan sama ada NGO ataupun pihak kerajaan untuk kita menyelesaikan masalah rakyat. Dalam masa yang sama melakukan kerja-kerja teknikal dalam pilihan raya seperti mendaftar pengundi, cula pengundi dan lain-lain.

Ok, untuk soalan seterusnya YB mengambil contoh situasi PAS di Selangor, yang mana dilihat gagal menang besar biarpun pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini. Jadi boleh baik YB bagi pandangan sikit tak mengenai, mungkin kegagalan PAS untuk menang di Selangor?

Ok. Tadi saya ada sebut di antara kaedah ataupun cara yang pada pandangan saya untuk menganalisa keputusan PRU lepas ialah kita perlu melihat dengan menyeluruh. Suasana di Pantai Timur berbeza dengan suasana di Pantai Barat dari sudut sosiopolitiknya, dari sudut demografi politiknya.

Contohnya di Pantai Timur majoritinya ialah pengundi Melayu Islam berbeza dengan di Pantai Barat termasuklah Negeri Selangor. Yang mana kerusi-kerusi di Parlimen dan juga kerusi Dun, kita dapati pecahan pengundi-pengundi mengikut bangsa agak berbeza dengan keadaannya di Pantai Timur. Jadi ini memberi kesan. Kerana sebahagian daripada kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS di Selangor dari segi komposisi kaumnya sama ada 60 Melayu, kemudian bakinya Cina dan juga India. Ataupun 70 Melayu, bakinya adalah Cina dan India.

Jadi kita semua mengetahui bahawa fakta PRU yang lepas, antaranya ialah pengundi-pengundi daripada kalangan Cina dan India memberikan undi mereka, boleh dikatakan solid kepada PH.

Jadi ini adalah di antara faktor-faktor yang perlu dilihat. Dan saya menyaksikan sendiri bagaimana jentera-jentera PAS di Selangor, mereka adalah jentera-jentera yang sangat kuat bekerja, daripada peringkat awal lagi. Tetapi apa yang berlaku dalam PRU baru ini agak berbeza dengan PRU-PRU yang lepas. Di mana pengundi-pengundi membuat keputusan berasaskan kepada emosi semata-mata, emosi benci kepada BN, emosi benci kepada Najib, menyebabkan faktor-faktor lain tidak diambil kira. Di antaranya ialah faktor calon-calon yang dikemukakan oleh parti-parti.

Di Selangor sebagai contoh, PAS mengemukakan calon-calon yang saya kira sangat baik, yang menggabungkan di antara tokoh-tokoh ugama, Teknokrat, profesional, dan lain-lain lagi. Tetapi ini semua tidak dilihat kerana faktor yang diambil oleh pengundi tadi adalah emosi marah kepada BN, marah kepada Najib mengatasi perkara-perkara lain yang perlu dilihat dan diberikan perhatian.

Ok, baik, sebagaimana yang YB jelaskan ini mengenai penolakan orang muda terhadap bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib mempengaruhi keputusan pada PRU terutama di Selangor. Jadi kita lihatnya, mungkin PRU14 dianggap sebagai gelombang, bukan daripada pengundi-pengundi muda ataupun pengundi-pengundi yang pertama kali yang nekad untuk mengubah kerajaan. Jadi kita lihat, jadi bagaimana YB melihat sejauh manakah Pemuda PAS memainkan peranan dalam mempengaruhi orang muda untuk menolak Kerajaan Barisan Nasional yang sebelum ini?

Ya. Kita semua menyedari bahawa faktor pengundi muda adalah satu faktor yang sangat penting di dalam menentukan natijah dan keputusan PRU yang lepas, bukan sahaja yang lepas, termasuklah sebelum ini, dan termasuklah pada masa yang akan datang.

Oleh kerana itulah setiap parti memberikan perhatian kepada pengundi-pengundi muda dengan approach yang berbeza di antara satu sama lain. Bagi PAS, kami Dewan Pemuda PAS, kami mempunyai approach dan pendekatan yang tersendiri di dalam kita menarik pengundi-pengundi muda untuk memberikan undi mereka kepada PAS dalam PRU yang lepas.

Antara asas yang kita ambil, anak muda ini sifat semula jadinya semangat yang tinggi. Oleh kerana itulah approach diambil oleh kami dalam Dewan Pemuda di dalam menarik pengundi-pengundi muda ialah approach dengan memberikan maklumat yang betul dan tepat. Kita tidak mengambil approach seperti PH yang memainkan sentimen dan emosi kebencian kepada BN, kebencian kepada Najib. Di atas sentimen itu, maka kita lihat satu gelombang daripada pengundi-pengundi muda walaupun bukan keseluruhan yang telah diberikan undi mereka kepada PH dalam PRU yang lepas.

Jadi itu pendekatan yang kita ambil. Memang ia satu pendekatan yang tidak popular, kerana kita PAS sebagai sebuah parti Islam, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan masyarakat berada di atas landasan yang betul dan tepat, bukan sahaja dengan membangkitkan emosi, dan semangat mereka, marah benci, sehingga menggadaikan maruah dan masa depan negara kita.

Ok, ok YB, di samping apa perbualan kita hari ini, ada persoalan daripada pelayar-pelayar Facebook ya. Daripada Muliadi Abu Bakar, mungkin YB dah ada ulas tadi yang mengenai situasi PAS di Selangor ya, tapi dia bertanyakan mengenai dia mengatakan bahawa PAS telah ditolak di Selangor. Jadi YB komen sikit tak?

Tadi saya telah sebut, apa yang berlaku di Selangor, bukan sahaja di Selangor, bahkan juga di negeri-negeri lain, kita boleh buat satu keputusan PRU yang lepas, pengundi-pengundi membuat keputusan, khususnya anak muda berasaskan kepada emosi, sentimen yang saya sebutkan tadi.

Jadi, saya kira, memanglah kalau diukur dari sudut keputusan pilihan raya, PAS gagal dan saya tak sebut gagallah, saya kata belum menang lagi di Selangor, belum menang lagi di Selangor. Tetapi dari segi pendekatan yang diambil oleh PAS di Selangor dan secara keseluruhannya, saya percaya PAS telah mengambil satu pendekatan yang betul dan tepat berasaskan kepada manifesto yang kita tawarkan kepada rakyat satu manifesto yang meyakinkan, satu manifesto yang melihat ke hadapan.

Yang keduanya ialah PAS masuk dalam PRU yang lepas khususnya di Selangor, kita masuk dengan sebuah parti yang bersih. Kita tak nafikan, kita ada kekurangan. Tapi kalau compare dengan parti-parti yang lain, kita masuk dengan imej yang bersih. Umno dengan sejarahnya yang kita tahu, terpalit dengan rasuah sehingga menjatuhkan Kerajaan BN pimpinan Khir Toyo dulu, kemudian kita lihat juga bagaimana Pakatan Rakyat pada ketika itu yang sanggup melakukan perancangan yang disebut sebagai Langkah Kajang semata-mata untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar di Selangor, walaupun individu itu didapati tidak bersalah di mahkamah.

Jadi PAS berbeza, walaupun dari segi politiknya ketika itu PAS bersama dengan PR, tetapi dari segi politik yang betul, PAS mengambil sikap membela Tan Sri Khalid. Jadi kita masuk dalam PRU yang lepas khususnya di Selangor, kita masuk dengan imej yang bersih, berbanding dengan parti-parti yang lain.

Dan yang ketiganya ialah kita mengemukakan calon-calon yang berwibawa yang saya sebutkan tadi. Tetapi apa yang kita kemukakan tadi dengan tiga elemen yang saya nyatakan tadi mengatasi sentimen dan emosi pengundi yang telah membuat keputusan untuk menyisihkan Barisan Nasional kerana apa yang ditanam di dalam diri mereka selain daripada PH mesti ditolak. Maka PAS ditolak sekali dalam PRU yang lepas.

Ok, baik. Kita ada soalan ya berkisar lagi kegagalan, bukan kegagalan, mungkin tidak menang lagi PAS di Selangor macam yang YB kata tadi. Ada daripada Muhammad Basri pelayar Facebook kita mengatakan bahawa kegagalan PAS di Selangor disebabkan oleh fitnah Pakatan Harapan. Jadi YB boleh komen sikit tak soalan daripada pelayar kita?

Itu antara malangnya politik demokrasilah secara umumnya yang diamalkan di mana-mana negara, termasuklah di dalam negara kita kerana ia terbuka. Di antara asas kepada demokrasi ini ialah kebebasan. Maka setiap parti bebas untuk menyatakan apa sahaja termasuk untuk menyatakan perkara yang tidak benar, berjanji bohong. Hari ini kita saksikan sendiri banyak janji-janji yang tak dapat ditunaikan oleh Kerajaan PH, membuat fitnah.

Jadi sedikit sebanyak memang ia terpalit kepada PAS sehingga memberikan kesan yang tidak diinginkan dalam PRU yang lepas khususnya dalam konteks di Negeri Selangor. Tetapi saya melihat keputusan PRU yang lepas, dengan penglihatan yang menyeluruh, bukan sahaja dari sudut kerusi-kerusi yang diperolehi. Memang kalau kita saksikan di Selangor, PAS hanya dapat satu kerusi.

Tetapi kalau kita lihat secara keseluruhan di seluruh negara, undi popular yang diperolehi oleh PAS melebihi dua juta. Ini satu pencapaian yang sangat baik jika sekiranya mahu dibandingkan dengan parti-parti politik yang lain. Dan saya turun berjumpa dengan jentera-jentera selepas daripada PRU yang lepas khususnya di Selangor, mereka tidak menunjukkan satu sikap yang lemah untuk bekerja. Mereka menerima keputusan PRU yang lepas sebagai satu keputusan yang diterima dengan qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah yang kami percaya di sana ada hikmah-hikmahnya.

Dan mereka terus bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan PAS dalam PRU yang akan datang.

Ok YB, sebelum kita kepada soalan seterusnya, ada satu lagilah. Mungkin saya boleh bacakan soalan pembaca, banyak ya soalan pembaca hari ini YB. Ok, daripada Johan Wilcap yang bertanyakan, dia kata PAS boleh bekerjasama dengan semua untuk Islam. Kalau begitu, kenapa tak boleh bekerjasama dengan PAN?

PAS mengamalkan politik matang dan sejahtera. Memang itu yang kita perkenalkan kepada rakyat, sebelum daripada PRU. Dan itu apa yang kita akan teruskan sehinggalah sekarang. Jadi dalam konteks sekarang ini, kita boleh bekerjasama dengan mana-mana parti politik. Tadi saudara Johan tanya berkait dengan parti PAN, jadi kita tak bercakap dari sudut parti itu sebagai satu parti yang single, tetapi kita bercakap dari sudut Pakatan itu sendiri.

Di sini di antara apa yang kita lihat suasana politik yang berlaku mutakhir ini, contohnya ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang membela Dr Zakir Naik. Jadi kita PAS kita menyokong sikap yang diambil oleh beliau. Jadi itu di antara keterbukaan yang ditunjukkan oleh kita dalam perkara yang menguntungkan Islam, dalam perkara yang menguntungkan umat Islam, maka kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Jadi bila kita bercakap soal kerjasama, tolong-menolong, bukan sahaja kita menyokong, termasuklah juga kita menegur, kita memberikan pandangan yang baik, dan kritikan yang membina. Contohnya ialah bila kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri yang jaga bahagian ugama yang mewakili parti PAN baru-baru ini, Yang Berhormat Dr Mujahid, yang telah mengulas berkait dengan penjagaan ugama sehingga ditafsirkan yang ugama itu penjagaan ugama-ugama, bukan sahaja ugama Islam.

Jadi sepatutnya beliau yang memegang portfolio menjaga urusan ugama, ugama yang dimaksudkan di situ ialah ugama Islam yang telah diletakkan di dalam Perlembagaan sebagai ugama Persekutuan. Jadi itu tanggungjawabnya. Hifz ad-Din, yang dimaksudkan di situ ialah menjaga ugama Islam. Menjaga di sini dengan menghidupkan Syiar ugama, dalam masa yang sama menjaga juga ialah memelihara daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan ugama Islam itu sendiri.

Jadi di sini bukan bermakna kita tidak sensitif dengan ugama-ugama yang lain. Dalam Perlembagaan telah memberikan hak kepada penganut-penganut ugama lain, mereka bebas untuk beramal. Jadi portfolio Kementerian yang jaga bahagian ugama adalah satu portfolio yang sangat besar dalam negara kita. Kerana Perlembagaan dalam negara itu sendiri meletakkan Islam sebagai ugama Persekutuan yang perlu kita pertahankan.

Jadi di sini bila kita sebut PAS sebagai sebuah parti yang terbuka, kita mengamalkan politik matang dan sejahtera. Matang dan sejahtera di sini bukan sahaja dengan kita menyokong, memuji, tetapi juga kita menegur, menasihat dan memberikan pandangan dan kritikan yang membina.

Ok, baik. Kita ada satu lagi soalan daripada pelayar Facebook, tetapi kita hold dulu. Kita teruskan kepada soalan yang telah kita sediakan kepada YB. Ok, YB soalan yang seterusnya adakah YB setuju dengan pendapat bahawa orang muda lebih condong menyokong Pakatan Harapan pada PRU14 berbanding PAS?

Memang kita lihat dari segi fakta, keputusan PRU yang lepas, sudah tentu yang memainkan peranan yang besar kemenangan PH sehingga berjaya menjatuhkan BN adalah kerana undi pengundi muda yang mewakili satu bahagian yang besar daripada pengundi-pengundi dalam negara kita.

Tetapi kita perlu melihat dengan menyeluruh kerana pengundi-pengundi muda ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Pengundi-pengundi muda, pengundi pertama, pengundi-pengundi muda di kawasan bandar, pengundi-pengundi muda di kawasan pinggir bandar. Pengundi-pengundi muda di kawasan pedalaman, pengundi-pengundi muda di kawasan Felda dan lain-lain lagi.

Jadi nak kata keseluruhan pengundi-pengundi muda memberikan undi kepada PH dan sokongan kepada mereka, yang tidak menyokong PAS, ia agak tidak tepat kerana jawapan ini perlu dijawab secara subjektif. Kalau kita lihat di Kelantan, di Terengganu, di Kedah, kita melihat kemenangan-kemenangan PAS di negeri-negeri ini, antara peranan besarnya ialah pengundi-pengundi muda itu sendiri.

Ok, relatelah dengan soalan kita, soalan daripada pelayar kita YB. Daripada Jeng Abdul Kadir, dia mengatakan.

Siapa nama dia?

Jeng. 

Jeng.

Jeng Abdul Kadir, dia mungkin dia meluahkan pandangan ataupun pendapat dia mengatakan pengundi muda mudah tertipu dengan pembohongan dan persepsi yang tidak ada kebenaran.

Ya, saya bersetuju dengan saudara Jeng, sebagaimana saya sebutkan tadi, memang orang-orang muda ini sifat semulajadi mereka, semangat tinggi, mudah terpengaruh dengan apa-apa maklumat yang mereka terima, ditambah lagi zaman kita sekarang ini, zaman langit terbuka. Maklumat bukan sahaja di dalam TV, di rumah masing-masing, tetapi di tangan masing-masing. Jadi setiap kali mereka menerima Whatsapp, menerima maklumat di dalam Facebook, di dalam Twitter.

Maka mereka barangkali menerimanya terus ataupun menendang terus tanpa memeriksa dan mentasabbutkan terlebih dahulu maklumat-maklumat itu sama ada ianya betul ataupun tidak. Jadi ini satu gaya politik yang berlaku di dalam negara kita yang saya rasa adalah satu tanggungjawab untuk saya menasihati anak-anak muda supaya kita berhati-hati setiap maklumat yang kita terima, kita tak boleh menerimanya terus, kita mestilah melihat check terlebih dahulu adakah ianya betul ataupun tidak.

Oleh kerana itulah PAS sebenarnya konsisten mengamalkan politik dengan memberikan fakta yang betul dan benar. Kerana kita tidak mahu mendidik anak muda kita dengan politik persepsi, politik emosi semata-mata. Jadi kita mahu mendidik anak muda kita dengan politik yang berfakta. Walaupun ia memberikan satu natijah yang mungkin tidak baik kepada PAS. Tetapi untuk jangka masa panjang, ia akan memberikan satu natijah yang baik kepada kita membina generasi yang berinformatif pada masa-masa yang akan datang.

Ok baik YB, maklumat tapisan kepada maklumat-maklumat yang penyebaran-penyebaran maklumat yang tidak tepat ini mungkin menjadi antara cabaranlah kepada PAS sendiri. Untuk mungkin untuk PRU yang akan datang. Mungkin dari segi informasi itu lebih ke hadapan lagi. Jadi boleh YB nyatakan apakah usaha-usaha yang akan Pemuda laksanakan untuk memperkasakan lagi PAS-lah selepas PRU14?

Ya, saya kira ini satu cabaran yang sangat besarlah kepada PAS. Kerana kalau kita lihat kronologi PRU-PRU yang lepas, kalau PRU tahun 2008, ketika itu orang kata maklumatnya melalui SMS. Sebelum itu pun begitu juga. Kalau PRU tahun 2013, di antara yang memainkan peranan besar dari sudut maklumat ialah blog-blog yang ditulis oleh blogger-blogger.

Adapun PRU pada kali ini ramai penganalisa-penganalisa yang menyebut bahawa yang memainkan peranan yang besar ialah media sosial. Iaitu Facebook, Twitter, Whatsapp. Dan kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa yang akan datang. Jadi saya lihat memang ia satu cabaran yang sangat besarlah kepada PAS khususnya Pemuda PAS untuk kita mendepani perubahan-perubahan teknologi maklumat yang kita lihat sedang rancak berlaku ini.

Walaupun begitu, kita merangka dan merancang perancangan-perancangan. Di antaranya ialah kita mewujudkan satu Jabatan di dalam PAS iaitu Jabatan Profesional Muda. Yang mana Jabatan ini di antara peranannya ialah untuk kita melihat ruang-ruang kepada anak muda melalui teknologi maklumat supaya kita boleh mendidik mereka dengan maklumat yang betul dan tepat, berfakta.

Itu yang saya ulang sejak daripada tadi, pendekatan ataupun approach PAS sebagai sebuah parti Islam berbeza dengan parti-parti lain. Kerana kita melihat generasi muda ini adalah satu generasi yang perlu dididik. Walaupun ia memakan masa, walaupun ia satu pendekatan yang tidak popular. Kerana kalau kita nak popular, kita boleh sebut itu ini, janji itu ini, orang muda akan semangat. Orang muda akan terima, akan sokong, akan undi kita. Tetapi apa natijahnya?

Kita lihat, sekarang ini kita sama-sama saksikan bagaimana PH yang menggunakan pendekatan dan approach yang saya sebutkan tadi dengan fitnahnya, dengan janji-janjinya. Sekarang ini kita lihat kalau kita saksikan satu persatu janji PH yang nak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, saya percaya rakyat sekarang ini tertanya-tanya, apakah PH ini akan menunaikan janji, ataupun janji-janji itu adalah janji-janji kosong....

Jadi, itu pendekatan dan approach yang diambil oleh Pemuda. Jadi kita mahu mendidik generasi muda ini dengan politik yang berfakta, politik yang benar, bukan sahaja melihat dari aspek sentimen semangat, menimbulkan persepsi .....

Ok baik, YB, kita ada soalan lagi daripada pelayar-pelayar Facebook kita iaitu daripada Muhammad Basri. Dia mengatakan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengatakan bahawa Manifesto Pakatan Harapan bukanlah sebagai Kitab Suci yang perlu ditunai. Jadi boleh YB bagi pandangan?

Terima kasih Muhammad Basri, satu soalan yang sangat baik, yang semasa. Saya pun ada baca tadi, ada orang hantar Whatsapp kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir menyebut demikian.

Jadi itu sebagai satu pengajaran kepada pengundi-pengundi supaya mereka membuat keputusan bukan berasaskan kepada semangat dengan melihat janji-janji semata-mata. Tetapi perlu melihat dengan menyeluruh. Jadi ini sebenarnya satu proses yang mendidik generasi sekarang ini untuk membuat satu keputusan yang betul dan tepat kepada PRU yang akan datang untuk kita melihat masa depan negara kita.

Dan hari ini saya percaya rakyat ramai yang tertanya-tanya, bagaimana janji-janji PH yang tidak dapat ditunaikan. Dulu kata nak hapuskan PTPTN, sekarang ini kata nak kaji semula. Dulu kata nak hapuskan GST, sejurus sahaja menang, terus nak hapus GST. Sekarang ini hanya diletakkan 0 peratus, tidak dihapuskan terus sahaja. Walaupun ada yang menyebut dalam tempoh Parlimen ini akan dibuat satu usul yang baru, itu kita akan sama-sama lihat dan saksikan.

Contoh-contoh yang lain, kita lihat sekarang ini rakyat merasa bimbang dengan pendekatan dan polisi yang dilakukan oleh Kerajaan PH berkait dengan masa depan Islam sebagai ugama Persekutuan. Begitu juga berkait dengan masa depan Bahasa Melayu kita sebagai bahasa rasmi. Sehingga kenyataan daripada Menteri Kewangan pun boleh dibuat dalam Bahasa Mandarin.

Kita tidak anti Bahasa Mandarin, tetapi kita mahu memastikan bahasa ibunda kita mestilah dimartabatkan. Jadi ini perkara-perkara yang kita dibimbangkan rakyat. Oleh kerana itulah PAS kita berbeza, kita tak menafikan kita ada kelemahan. Contohnya berkait dengan manifesto di Negeri Terengganu.

Sebelum kita rangka manifesto, kita kaji dulu. Adakah apa yang kita tawarkan kepada rakyat ini kita mampu buat ataupun tidak? Saya pernah sebut dalam statement saya sebelum ini bila ada wartawan tanya berkait dengan Manifesto PAS Negeri Terengganu, adakah akan berjaya dibuat dalam tempoh 100 hari? Saya kata kita tidak tertakluk dengan 100 hari, kita bukan macam PH.

Mereka boleh janji nak buat dalam 100 hari, sekarang ini 100 hari sudah hampir. Tapi banyak lagi yang tidak boleh dilaksanakan. Kita di Terengganu kita akan laksanakan manifesto yang kita tawarkan dalam tempoh mandat yang diberikan oleh rakyat, empat ataupun lima tahun.

Dan sekarang ini kita telah buat satu persatu, step by step, peringkat demi peringkat. Jadi itu perbezaan PAS dengan parti-parti politik yang lain.

Ok, kita ke soalan yang seterusnya ya YB, mungkin soalan ini dah seringkali didengari dan sering ditanyakan mengenai apa hubungan antara PAS dan Umno yang seolah-olah dilihat wujud kerjasama politik antara kedua-dua parti. Dan ia sering dinafikan oleh PAS sendiri, dan Umno pun sering menafikan. Tapi keadaan itu wujud, seolah-olah ada wujudnya kerjasama antara dua parti itu. Apakah yang boleh YB tegaskanlah dalam isu ini?

Saya berpandangan kita perlu keluar daripada kepompong, PAS ini tak boleh bekerjasama dengan Umno. PAS ini tidak boleh duduk semeja dengan Umno, PAS ini tidak boleh bersetuju dengan Umno.

Bagi saya, PAS adalah sebuah parti yang terbuka. Dan Tuan Guru Presiden telah menyebut dalam salah satu statementnya yang menggariskan panduan politik dari sudut hubungan PAS dengan parti-parti politik yang lain. PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik di atas asas Ta’awun. Umno adalah parti politik yang hampir dengan PAS.

Dalam PH pun begitu. Parti PAN adalah satu parti yang ditubuhkan kerana kecewa dengan PAS. Mereka adalah saudara-saudara se-Islam kita. Dalam PKR pun begitu, dalam Bersatu pun begitu. Jadi PAS adalah sebuah parti yang terbuka. Kita boleh bekerjasama dengan semua pihak untuk kepentingan Islam dan kepentingan umat Islam dalam negara kita tanpa mengira parti mana-mana sekalipun.

Oleh kerana itulah dalam konteks hubungan PAS dengan Umno. Bukan sahaja zaman Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dulu, semasa dia dalam Umno. PAS banyak kali bersetuju dengan polisi-polisi, pandangan-pandangan yang dibawa oleh beliau. Antaranya ialah dalam isu-isu antarabangsa. Bila beliau menyatakan sokongan kepada umat Islam di Bosnia. Kita bersetuju dengan dasar dan pendirian yang diambil oleh beliau.

Jadi dalam konteks sekarang ini, Umno adalah pembangkang. Jadi, kita masih lagi terbuka. PAS masih lagi terbuka dan kita lihat apa yang berlaku semalam, sebagai parti-parti yang berada dalam blok pembangkang, kita menyatakan bahawa Umno lebih layak untuk menjadi ketua pembangkang kerana Umno adalah parti yang terbesar daripada kalangan parti-parti pembangkang.

Jadi ini tidak bermakna bila PAS bersetuju demikian, maka PAS bersama-sama dengan Umno. Jadi ada benda yang kita bersama, ada benda yang kita tidak bersetuju. Contohnya ialah kita lihat penyakit besar dalam Umno, rasuah, salah guna kuasa, yang telah ditolak oleh rakyat. Jadi ini semua perlu diubah.

Umno tidak boleh selamat melainkan kembali kepada Islam. Inilah ubat yang sentiasa PAS ulang sejak daripada dulu sampai hari ini. Jadi dalam mendepani cabaran-cabaran politik semasa pada hari ini, saya percaya ahli-ahli Umno tidak dapat tidak mesti bersama-sama dengan PAS. Kerana kita lihat nak harap kepada Umno dan hari ini sudah terjawab bagaimana sikap Umno di Kedah, sikap Umno di Perak, sikap Umno dalam beberapa kerusi Parlimen, tiba-tiba isytihar keluar daripada parti, sedangkan itu mandat yang diberikan oleh rakyat.

Jadi PAS alhamdulillah kita steady. Kita masih lagi steady. Kita mengekalkan kemenangan di Kelantan, kita menang di Terengganu. Dan insyaAllah kita akan mengorak langkah yang lebih kuat untuk mendepani cabaran-cabaran semasa politik dalam negara kita ini.

Ok, baik, YB, masih lagi berkisar mengenai kerjasama, isu kerjasama PAS dengan Umno ini ya. Ada, daripada Peguam Presiden PAS sendiri ada mengesahkan bahawa rakaman audio yang didakwa milik Nik Abduh yang mengaku menerima wang daripada Umno adalah tulen. Jadi apa komen YB mengenai pengesahan daripada Peguam Presiden sendiri?

Saya percaya ini kes berkait dengan mahkamah yang perlu melalui prosedurnya. Jadi saya tidak perlu komenlah di sini. Cuma apa yang saya nak sebutnya ialah kita akan menunggu proses yang berlaku ini daripada semasa ke semasa dan kita akan melihatlah natijahnya nanti, siapa yang benar siapa yang salah.

Ok baik. Mungkin YB boleh simpulkanlah daripada perbualan kita ya pada hari ini. Jadi boleh bagi kesimpulan dari segi hala tuju, apakah hala tuju Pemuda selepas PRU14 dan bagaimana hala tuju untuk menuju ke PRU15 nanti?

Terima kasih. Bagi Dewan Pemuda PAS, kita memerhatikan dengan serius, dengan penuh tekun, dengan penuh berhati-hati suasana politik yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Yang pertamanya Pemuda PAS akan terus wala’ dan setia kepada kepimpinan parti. Apa sahaja hala tuju yang akan dibawa oleh parti, yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak, maka Pemuda PAS akan mendukungnya dengan sekuat-kuatnya untuk memastikan kekuatan parti terus utuh di dalam mendepani cabaran-cabaran yang berlaku ini.

Yang keduanya, Pemuda PAS melihat suasana politik yang berlaku pada hari ini memerlukan kepada perubahan-perubahan dari sudut pendekatan dan strategi. Jadi ini akan kita fikir, akan kita garis, akan kita rancang untuk mendepani cabaran-cabaran ini. Antaranya ialah kita melihat kebarangkalian perubahan sistem pilihan raya untuk PRU yang akan datang khususnya dari sudut had umur, kalau sekarang ini umur 21 tahun, mungkin PRU yang akan datang 18 tahun.

Jadi, di sini kita perlu melihat dengan lebih bersungguh bagaimana untuk kita mendekati bukan sahaja daripada kalangan pengundi-pengundi muda 21 tahun ke atas, tetapi sekarang ini kita akan melebarkan lagi ruang dakwah politik kita dengan remaja dan belia yang perlu diberikan keutamaan.

Yang ketiganya, Pemuda PAS akan terus mengamal dan menyemarakkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Kita akan terus engage dengan setiap lapisan masyarakat, agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO untuk kita melebarkan politik dakwah ini.

Dan yang keempatnya, Pemuda PAS akan terus istiqamah dengan dasar parti, dan akan meluaskan lagi bentuk strategi dan pendekatan bagi kita mendekati pengundi-pengundi dalam ruang-ruang yang begitu luas pada hari ini khususnya media sosial, media baru yang perlu kepada pendekatan-pendekatan baru yang kita lihat ianya adalah satu cabaran kepada kami untuk menunaikan tanggungjawab kepada ......

(Teks transkrip dari temu bual Sinar Harian bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam Siaran Langsung Sinar Harian (Pemuda PAS Pasca PRU14) di Live Facebook Sinar Harian petang tadi yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR) - HARAKAHDAILY 17/7/2018

MUNGKIN ramai yang menyokong Perancis pada final Piala Dunia dua hari lalu. Sama ada sememangnya menyokong daripada awal, ataupun menjadi sebahagian daripada lalang-lalang yang meliuk lentok ditiup angin. Biarkanlah, ianya hanya untuk suka-suka. Tiada satu sen pun yang mereka hulurkan kepada anda, sama ada penyokong asli tegar, mahupun penyokong tiruan selepas mereka menang.

Namun di sebalik semua itu, saya yakin dan percaya, terutama kepada golongan muda, mereka tidak mengetahui beberapa peristiwa menarik berkenaan pasukan Perancis ketika mereka mempunyai satu pasukan yang kuat, tetapi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia pada tahun 1994 di Amerika. Cerita yang menarik, dengan nama dan watak-watak yang sangat terkenal, terbabit di dalam pertelingkahan itu sehingga mengecewakan seluruh rakyat Perancis dan peminat mereka.

Eric Cantona dan David Ginola, dua watak utama dalam pertelagahan di dalam pasukan kendalian Gerald Houllier itu. Pada ketika itu, Perancis menduduki kumpulan yang dianggap mudah bersama Bulgaria dan juga Israel, sebuah pasukan kerdil dan tidak pernah menang dalam kumpulan itu. Maka dengan keyakinan tinggi, Perancis pasti akan mara ke Piala Dunia. Kisah kekecewaan itu bermula apabila Perancis hanya perlu paling kurang satu seri. Maka pertemuan kedua-duanya itu adalah bertemu Israel dan Bulgaria di Paris.

Secara tiba-tiba, Perancis kalah kepada Israel di Paris. Pasukan yang turut dibintangi Jean Pierre Papin, Didier Dechamps (Pengurus Perancis sekarang), Lilian Thuram, Benard Lama dan ramai lagi, dikutuk oleh peminat mereka sendiri. Mereka sedar, mereka mesti bangkit. Kali ini, Bulgaria bakal menjadi mangsa ledakan kemarahan mereka. Tibalah hari penentuan dengan Bulgaria. Pada minit ke 89, Perancis masih seri dengan 1-1. Bola berada di kaki David Ginola. Di sebalik Ginola boleh melambat-lambatkan permainan, beliau memilih untuk menyilang bola ke arah gol Bulgaria, tanpa ada pemain Perancis. 

Hasilnya, bola itu dirampas oleh pemain Bulgaria dan dalam masa yang singkat, mereka berjaya menyumbat gol kemenangan. Sumpah seranah oleh Houllier tertuju kepada Ginola. Perbalahan dalam pasukan mereka kian membarah. Ginola kemudiannya mendakwa Papin dan Cantona mendapat kedudukan istimewa di sisi Houllier. Walhasilnya, kerana bermusuh, tidak mengendahkan semangat profesional, maka yang kalah dan menanggung malu, bukan sahaja mereka, malah seluruh rakyat dan peminat Perancis.

Bersambung lagi kisah mereka di Euro 96 di England. Masih membenci sesama sendiri, mereka membuatkan kepala jurulatih Aime Jacque pening. Masing-masing mendakwa merekalah bintang bagi pasukan Perancis. Dakwa Cantona, jika dia dipilih, Ginola mesti keluar. Begitu juga sebaliknya di pihak Ginola. Akhirnya kedua-duanya disingkirkan daripada skuad, satu tindakan berani oleh jurulatih bagi menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih parah. Akhirnya dua tahun berselang, Perancis berjaya merangkul kejuaran Piala Dunia buat kali pertamanya. Ini adalah secebis sejarah bola sepak Perancis.

Pada malam Final Piala Dunia yang lalu, di dewan makan tempat saya bekerja, kelihatan satu kelompok kawan Muslim saya daripada Algeria yang memilih duduk di hadapan skrin TV bagi menyaksikan perlawanan itu. Sorakan yang agak kuat daripada mereka, membuatkan saya tersenyum melihat kesungguhan mereka bersorak. Lantas saya hampiri mereka, pasukan manakah yang disokong mereka. Secara jama'ei mereka menjawab Croatia. Kenapa tidak Perancis? Saya sekadar menguji. Mereka benci Perancis. Ini boleh difahami kerana mereka pernah dijajah oleh Perancis. Maka sorakan mereka berterusan apabila Croatia menjaringkan gol. Gembira sungguh mereka. Bagaikan berjaya membedil Perancis apabila Croatia menyumbat gol.

Tetapi di dalam kebencian mereka terhadap Perancis yang kafir itu, mereka sendiri tidaklah mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Mereka ini, ada yang tidak solat, ada yang memakai rantai emas. Tidak kita lupa bagaimana FIS, sebuah Parti Islam di Algeria suatu ketika dahulu pada awal 90-an telah dibunuh beramai-ramai oleh Kerajaan Algeria. Di hadapan mereka kejadian pembunuhan itu berlaku dan mereka, sebahagiannya masih menyalahkan FIS sebagai dalang. Mereka membenci Perancis sebagai penakluk negara mereka, tetapi mereka memilih juga kumpulan yang tidak membawa mereka kepada jalan Allah.

Beginilah di mana-mana sahaja, sikap orang Islam yang keliru dalam mengenali yang mana satukah yang dipanggil Hizbullah. Mereka gagal kerana tidak mahu mengambil al-Quran dan Hadis sebagai panduan hidup. Maka mereka terselamat daripada mulut harimau, dan sedang mara ke arah mulut buaya. Begitu juga dengan sikap cendikiawan-cendikiawan Islam yang bertelagah sesama mereka. Adakalanya, sudah hampir satu pasukan Islam kepada matlamatnya, maka ditarik oleh kumpulan Islam yang lain. Saling tak tumpah seperti yang berlaku kepada Cantona dan Ginola itu. Islam juga yang kalah dan dilihat buruk.

Maka di Malaysia ini juga tidaklah jauh ceritanya dibanding dengan rakyat Algeria itu. Bencinya mereka kepada BN, akhirnya sujud menyembah PH yang lebih teruk. BN memerlukan puluhan tahun untuk menipu, kerana diakui politikus, pada zaman awal kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman tiadalah berbuat onar. Tetapi PH, hanya memerlukan kurang tiga bulan, sudah cukup mengharukan rakyat. Bagaimana benci dan meluatnya rakyat kepada BN dahulu, sekarang pun sudah ada yang kesal dengan pilihan mereka.

Tetapi rakyat masih belum mahu mengubah untuk memilih Parti Islam PAS yang sudah terbukti tiada penyelewengan kerana dahsyatnya fitnah yang disebarkan walaupun sehingga kini, masih belum terbukti. Dan sekarang PAS, walaupun difitnah, telah dan sedang bekerja keras melaksanakan janji-janji manifesto kerana pengkhianat kepada janji adalah munafik. Takutnya PAS kepada Allah, berusaha dengan sedaya mungkin melaksanakannya.

Walaupun buku Manifesto PAS bukannya Kitab Suci, tetapi janji tetap janji, sama ada di mulut atau pada tinggalan dakwat, sama ada kepada Muslim atau Kafir, asalkan janji itu tidak melanggar hak Allah, ia wajib dilaksanakan kerana akan disoal Allah di akhirat nanti. Maka sokong PAS ialah sebagai jalan keluar terbaik daripada penipuan politik di Malaysia. Rakyat mesti berani membuang kedua-dua BN dan PH sebagaimana jurulatih Perancis berkorban mengenepikan Cantona dan Ginola untuk meraih kemenangan yang lebih besar.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
17 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 17/7/2018

PERANAN Malaysia mencorakkan geo-politik baru Asia Tenggara 

Tidaklah keterlaluan untuk dikatakan bahawa perkembangan mutakhir ASEAN dan peranannya dalam mencorakkan rantau Asia Tenggara dan Wilayah Timur dunia umumnya, disumbangkan sedikit sebanyak oleh peranan Malaysia. Peranan Malaysia dalam ASEAN sememangnya penting sejak dari awal penubuhan pertubuhan tersebut, sebagai antara negara yang mengasaskannya. Di dalam ASEAN, Malaysia memainkan peranan aktif di dalam melestarikan kestabilan politik rantau Asia Tenggara ini antaranya dengan menggagaskan perisytiharan ZOPFAN, penyelesaian konflik wilayah bergolak dan menarik Myanmar untuk menganggotai pertubuhan tersebut. Malaysia juga memainkan peranan penting dalam penubuhan Komuniti ASEAN dan memperluaskan peranan ASEAN dengan mencadangkan penubuhan Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) yang membawa kepada penubuhan forum ASEAN Plus 8 dan EAS. Berdasarkan peranan Malaysia dalam isu-isu tersebut, sememangnya pengaruh Malaysia dalam geo-politik baru Asia Tenggara adalah begitu signifikan.

Malaysia dilihat mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan tersebut disebabkan oleh latar belakang Islam yang menjadi tonggak pembinaan negara. Di dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 3, menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan (Malaysia)”. Kedudukan Islam yang menjadi tonggak Malaysia, membolehkan negara ini melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam ke arah mewujudkan kestabilan dan kemakmuran. Selain daripada itu, Malaysia diketuai oleh seorang Yang DiPertuan Agong, yang juga merupakan Ketua Agama Islam bagi Persekutuan. Dari sejarah pula, Islam yang sampai ke Asia Tenggara termasuk Malaysia adalah berorientasikan sufi sehingga tidak wujudkan konflik yang besar ketika kemasukannya di rantau ini. Kesemua latar belakang tersebut menjadikan Islam boleh diamalkan di Malaysia secara aman dan berkesan. Hasilnya, pendekatan Islam yang dipelopori oleh Malaysia adalah bertolak-ansur dan harmoni, seterusnya mewujudkan kestabilan bukannya hanya di negara ini tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

Selain daripada faktor Islam, Malaysia juga merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan mereka menganut kepelbagaian agama, menjadikan negara ini mempunyai pengalaman yang sangat berharga untuk memelihara kestabilan dan kemakmuran. Kesemua etnik yang membina warga Malaysia ini, memperolehi hak yang saksama malah mereka mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam pembentukan Kerajaan Malaysia. Masyarakat Malaysia boleh juga dianggap sebagai pewaris kepada beberapa peradaban besar Asia seperti Peradaban Melayu-Islam, Peradaban China dan Peradaban India, dengan merujuk kepada tiga etnik terbesar dalam negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Sejak daripada zaman dahulu lagi, ketiga-tiga peradaban ini saling berinteraksi secara harmoni dan wujudnya hubungan diplomatik yang baik. Latar belakang ini menjadikan Malaysia mempunyai pengalaman yang luas untuk mewujudkan kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara, di samping mempunyai keupayaan untuk membina hubungan yang baik dengan Negara China dan India.

Dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN, Malaysia adalah antara negara yang teratas dari sudut kemakmuran ekonomi. Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar Perkapita (KDNK Perkapita), Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura, iaitu sebanyak USD 9623. Malaysia juga mendahului negara-negara anggota lain dari segi keterlibatan dengan industri berat seperti Industri Minyak dan Gas serta Industri Automatif. Kemudahan asas yang dimiliki oleh Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara ini. Dalam konteks global pula, Malaysia juga selalu dilihat sebagai negara yang mempelopori sistem kewangan dan perbankan Islam. Dengan pencapaian-pencapaian tersebut, Malaysia diletakkkan oleh World Economy Forum di tangga ke-25 sebagai negara yang paling kompetitif di dunia. Dalam kalangan Negara-negara ASEAN, Malaysia di tangga kedua selepas Singapura. Oleh sebab itu, berdasarkan pencapaian ini, Malaysia merupakan antara pengaruh penting yang mencorakkan geo-politik Asia Tenggara hari ini. 

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Pusat Penyelidikan PAS - HARAKAHDAILY 18/7/2018

 

TINDAKAN penafian Dr P. Ramasamy (DAP) tidak cukup. Sebaliknya pihak polis perlu mengambil tindakan segera untuk menyiasat penglibatannya dengan kumpulan pemisah Tamil Sri Lanka LTTE.

Bukan hanya PAS, tapi sebanyak 700 pertubuhan bukan kerajaan yang mendesak hal yang sama dan mereka telah membuat laporan kepada pihak polis di Pejabat Polis Dang Wangi, semalam.

nasrudinIni membuktikan ia satu dakwaan yang serius dan rakyat tidak ada kompromi dengan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

PAS tidak menuduh sebaliknya mahukan satu siasatan polis dijalankan. Semalam, tiga perkara yang dikaitkan dengan beliau telah dikemukakan.

Pertama, mengenai gambarnya dalam satu mesyuarat berkaitan LTTE.

Kedua, gambarnya dengan En Vaiko di Pulau Pinang walaupun En Vaiko telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen.

Ketiga, gambarnya dengan Adun Bagan Dalam yang memberi penghormatan kepada gambar Kalashnikov (rifle AK-47).

Justeru itu, PAS menyerahkan isu ini kepada pihak polis untuk melakukan satu siasatan yang menyeluruh.

Isu ini sangat berat kerana beliau merupakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, memegang portfolio penting di sebuah negeri (penjawat awam) dan juga ahli kepada parti politik DAP.

Kebimbangan itu berasas dan serahkan sahaja isu ini kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut. PAS juga mengucapkan terima kasih kepada individu dan kira-kira 700 wakil NGO yang bersolidariti dan telah membuat laporan polis semalam atas isu ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
4 Zulkaedah 1439 | 17 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 17/7/2018

HUBUNGAN ahli politik dengan kumpulan mahupun kegiatan berunsur Ekstremisme atau Radikalisme wajib diberi perhatian serius dan ditangani segera oleh pihak berkuasa. Ianya ancaman paling mudah merosak dan menggugat keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Sama ada terjalin secara langsung mahupun tidak langsung, ianya mesti dicegah dari ledakan potensi dan risiko serta pelbagai kemungkinan negatif. Unsur subversif yang mendoktrin halus, menyalur sumber atau menaja kesiagaan unilateral asing perlu gigih dipatahkan.

Apatah lagi jika sekiranya mengakar dan paling mencemaskan menapak pada 'punca kuasa' yakni menerusi parti politik mahupun pentadbiran kerajaan. Ia akan berselindung dan dilindungi demi kepentingan pihak tertentu untuk mencapai agenda mereka.

Kami percaya pasukan keselamatan negara khususnya Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia mempunyai maklumat terperinci perkembangan ini. Oleh itu kami menuntut langkah bersepadu diambil secara profesional dan matang tanpa ada 'campur tangan' eksekutif.

Dakwaan mengaitkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Ramasamy Palanisamy dengan pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE) Sri Lanka mesti segera disiasat. LTTE hingga kini kekal disenarai sebagai kumpulan pengganas oleh lebih 30 negara.

Kami menggesa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Muhammad Yassin untuk tampil meredakan kebimbangan awam dengan penjelasan yang telus. Jangan hanya kini DAP menjadi sekutu parti kerajaan, maka hal seperti ini didiamkan dari tindakan menurut undang-undang.

Status terkini siasatan pernah dihadapkan terhadap beliau wajar diberi penjelasan. Begitu juga kami menuntut segala kes dalam siasatan polis berhubung kaitan ahli politik dengan kumpulan kongsi gelap dan jenayah lain supaya dibuka dan diteliti semula.

Kami juga menggesa semua kepentingan politik tidak sewenang-wenangnya mempertahankan 'kawan' atau bersikap skeptikal untuk menafikan isu atau membalikkan tuduhan. Pembuktian secara adil perlu menerusi siasatan yang tidak dipengaruhi.

Kerana isu kritikal seperti ini tidak memadai penafian di media, setelah pula ternyata Dr Ramasamy bukan sahaja pernah mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman, malah masih melakukan 'ritual' khas seperti penghormatan kepada gambar raifal Kalashnikov (AK-47).

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI 
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 17/7/2018

More Articles ...