24
Wed, Apr
22 Artikel Baru

1. KERAJAAN Negeri Melaka yang diterajui Umno-BN dilihat hanya bersandiwara dalam mengurus isu-isu berkaitan penternakan babi di negeri itu menyebabkan masalah terus berpanjangan. Hingga kini nampaknya ia sekadar berlegar di atas kertas dan media biarpun telah menjangkau sekitar 40 tahun lamanya tanpa penyelesaian komprehensif dan bersepadu.

2. Bahkan, timbul persoalan dan keraguan yang cukup banyak setelah pelbagai kesan sampingan yang timbul secara nyata. Antaranya pencemaran bau dan air melibatkan Sungai Tuang dan Pantai Teluk Gong akibat dari sisa kumbahan najis babi. Juga mengotorkan persisiran pantai dari Pengkalan Balak ke Kuala Linggi sepanjang 24 kilometer.

3. Ia menyebabkan penduduk sekitar terpaksa menghadapi aroma busuk menusuk hidung itu, kerana tempoh masa teramat lama menyebabkan mereka telah lali dengannya. Ia turut menjejaskan perusahaan lain termasuk sektor pelancongan yang menjadi keutamaan negeri Melaka. Selain menyebabkan aktiviti perikanan dan nelayan langsung tidak relevan di situ.

4. Apatah lagi pihak berautoriti lain turut mengakui, antaranya Jabatan Veterinar Melaka menyatakan, daripada 36 kandang babi yang direkodkan di seluruh negeri itu, hanya 14 kandang mematuhi kriteria penilaian ditetapkan. Pun begitu dilaporkan semua kandang babi tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah dan tidak mengikut prosedur operasi standard sejak sekian lama.

5. Namun, kerajaan tetap juga tidak menangani serta mengambil tindakan sewajarnya walaupun telah meluluskan banyak undang-undang dan perlesenan berhubung perusahaan dan penternakan sejak tahun 1980 lagi. Malah, meluluskan pula peruntukan kewangan RM50 juta bagi tujuan membangunkan Ladang Babi Moden di Paya Mengkuang. atas tanah 50 ekar.

6. Tetapi hingga kini pihak kerajaan belum pernah mengadakan perbincangan dengan para penternak terbabit mengenai pelan yang akan dilaksana pada tahun 2018 di atas tanah seluas 50 ekar itu. Tiba-tiba pada 1 Jun lalu, Ketua Menteri, Dato’ Seri Idris Haron sendiri mengarahkan semua pengusaha kandang babi menandatangani akuan bersumpah untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan.

7. Arahan tersebut sebenarnya membuktikan pihak kerajaan tahu masalah yang berlaku adalah serius, tetapi masih bersikap acuh tidak acuh. Malah, bagai satu gimik dan lakonan yang mungkin dipengaruhi sentimen pilihan raya tidak lama lagi. Juga berbaur ugutan, sedangkan penguatkuasaan tidak berlaku selama ini. Apakah kerana berselindung di sebalik kepentingan tertentu?

8. Kita khuatir peruntukan kewangan turut lesap ke lain dan selepas pilihan raya nanti keadaan akan kekal seperti itu di mana penduduk terus dimainkan janji. Para penternak pula terus berada dalam ketidakpastian dan alam sekitar tetap ternoda dengan impak lebih buruk dan menjijikkan. Ia sekali gus kontradik dengan usaha keindahan, kebersihan dan kecantikan yang diusahakan bagi negeri bersejarah itu.

9. Demikian itu kami menggesa agar kerajaan negeri telus dan jujur dalam menyelesaikan isu berlarutan ini dengan melaksanakan peruntukan sedia ada ke arah kesejahteraan semua pihak. Selain menghindari kemungkinan buruk seperti pencemaran dan penyakit bawaan babi sebagaimana JE di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan suatu masa dahulu.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

NAZMAN CHE IBRAHIM
Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia
5 Jun 2017 | 10 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 5/6/2017

MALAYSIA dikejutkan dengan berita kesedihan dan tragis menyayat hati apabila Kapten Pegawai Laut, mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah meninggal dunia akibat dipukul dan dibuli dengan kejam oleh rakan seuniversitinya.

Kes buli yang menyayat hati sehingga meragut nyawa insan tidak berdosa ini sangat mendukacitakan kita semua. Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), turut sedih dengan perkhabaran ini.

Ibu mana yang tidak terguris mengetahui anaknya didera sehingga maut. Begitulah kami DMPM merasai kesedihan yang dialami. Kami dengan setulus hati mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa.

Kami berharap tindakan tegas diambil kepada mereka yang terlibat. Berdasarkan insiden-insiden penderaan yang semakin membimbangkan saban hari, sudah tiba masanya pihak kerajaan mengambil langkah serius menangani isu ini.

Usah dibiarkan ia terus berleluasa sehingga menyeksa insan yang tidak bersalah. Ikutilah jalan penyelesaian yang dianjurkan dalam Islam. Hayatilah didikan Islam yang boleh diaplikasikan kepada semua golongan. Nescaya keindahan dan kesyumulannya mampu mewajahkan solusi terbaik.

“Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, jika ada orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia”. (Surah Fushilat: 34)

Di bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita tingkatkan amalan dan berazam untuk menjadi muslim yang terbaik, iaitu bukan sahaja menahan lapar dan dahaga bahkan menghayati Ramadhan dengan penuh penghayatan.

Moga-moga, kemuliaan bulan suci terus terjaga. Kami mendoakan kebaikan mengiringi kita semua. “Ya Allah tidak ada kemudahan, melainkan yang Engkau jadikan mudah. Dan Engkau jadikan kesedihan menjadi mudah jika Engkau kehendaki”. (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Ramadhan Kareem.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
05 Jun 2017 | 10 Ramadhan 1438 - HARAKAHDAILY 5/6/2017

PENGANJURAN “All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC)” di Melaka pada 15 – 18 Jun depan jelas merupakan usaha terancang pihak tertentu bagi melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan ketika sama membawa agenda dan kempen menyokong Israel di negara ini.

Berdiri atas aktiviti keagamaan, program yang bertemakan “Nations of the Golden Gate Aligning With Jerusalem’s Jubilee” itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 kejayaan regim Israel merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 Hari yang berlaku tahun 1967 dahulu.

Malah, program juga dianjurkan dengan kerjasama Jerusalem House of Prayer for All Nations (JHOPFAN); sebuah pertubuhan berpangkalan di Israel dan merupakan organisasi yang giat berkempen menyokong Israel di seluruh dunia. Sekali gus mengesahkan hubungan penganjuran dengan pihak negara haram itu.

Pihak penganjur AMGGRC turut menyatakan bahawa pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah adalah kerana negara ini merupakan ‘pemangkin kebangkitan’ bagi Asia Tenggara, Asia Pasifik dan negara-negara dalam segmen Golden Gate yang menggerakkan agenda Evangelis Kristian dan Hari Kemerdekaan Israel.

Kami mengakui hak kebebasan beragama penganut Kristian sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan, tetapi demi keharmonian, keselamatan dan kedaulatan, maka pihak berkuasa mesti menyiasat agenda serta semua pihak yang berada dalam rangkaian penganjuran tersebut.

Kami menentang keras sebarang usaha mana-mana pihak cuba untuk membawa masuk agenda penubuhan negara Israel dan pelampau Kristian ke dalam negara ini. PAS kekal bersolidariti bersama rakyat Palestin yang sejak sekian lama dizalimi regim Yahudi-Zionis.

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 5/6/2017

SEPERTI dijangka, hari ini saya telah menerima satu notis tuntutan dari peguam bela Naib Presiden AMANAH merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, iaitu Awi & Co, sebuah syarikat guaman milik Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi, dan anak beliau yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Notis tuntutan ini menyebut bahawa artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP” mengandungi beberapa kenyataan berunsur fitnah, iaitu:

“Saya waktu itu cukup terkejut bagaimana peruntukan-peruntukan yang mengiktiraf ketidakpercayaan agama serta mengiktiraf orientasi dan identiti seks songsang ini boleh wujud di dalam Rang Undang-Undang yang dirangka oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr Mujahid, yang waktu itu merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.”

“Bagaimanapun, setelah ini berlaku, tambahan pula setelah Dr Mujahid sendiri bertindak keluar dari PAS bersama-sama rakan-rakan sefikrah beliau untuk menubuhkan parti baru bernama AMANAH yang menunjukkan keintiman luar biasa pula dengan parti sekular tegar, DAP, maka tidaklah pelik bila beliau memerli saya mengenai buku Hannah ini.”

“Bila cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh Karpal Singh ini diutarakan semula oleh Dr Mujahid maka terbuktilah bahawa Dr Mujahid, dan seterusnya AMANAH, adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP.”

Notis tuntutan ini juga menyebut bahawa artikel Facebook saya ini mengakibatkan reputasi, karier dan nama baik Dr Mujahid telah tercemar, terjejas dan tercedera di mata rakyat negara ini sama ada di dalam dan/atau luar negara yang mendapat akses secara langsung dan tidak langsung kepada artikel tersebut.
Ekoran itu, saya diarahkan oleh Dr Mujahid supaya membuat permohonan maaf tidak bersyarat kepada beliau dalam tempoh tujuh hari dari notis ini dan jika saya gagal membuat permohonan maaf tidak bersyarat ini peguam bela beliau tidak akan teragak-agak untuk meneruskan prosiding undang-undang tanpa merujuk kepada saya semula.

Sebagai maklum balas, sukalah saya tegaskan kepada Dr Mujahid bahawa saya tidak sama sekali akan membuat sebarang permohonan maaf kepada beliau. Sebaliknya, saya tegas berpendirian bahawa apa yang saya nyatakan dalam artikel Facebook saya ini adalah tidak mengandungi sebarang fitnah.
Perlu dinyatakan bahawa kritikan saya terhadap kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi yang dirangka oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara, yang Dr Mujahid pengerusikan adalah kritikan sama yang telah saya buat di dalam artikel Facebook saya pada 21 Jun 2014.

Kritikan ini saya asaskan kepada Seksyen 4(1) Rang Undang-Undang ini yang mendefinisikan “kepercayaan” sebagai apa-apa kepercayaan agama atau falsafah dan satu rujukan kepada kepercayaan merangkumi satu rujukan kepada ketidakpercayaan dan yang mendefinisikan “agama” sebagai apa-apa agama dan merangkumi apa-apa kepercayaan atau ketidakpercayaan agama.

Ia juga saya asaskan kepada Seksyen 6(1) Rang Undang-Undang ini yang memperuntukkan bahawa Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas agama dan Seksyen 7(1)(ii) yang memperuntukkan bahawa Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas jantina, termasuk orientasi dan identiti seks.

Dr Mujahid sedia maklum mengenai kewujudan kritikan ini sejak 21 Jun 2014 lagi kerana pada pukul 9:29 malam hari sama saya telah men”tag” akaun Facebook beliau dengan menulis “Minta komen Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa” yang ditambah dengan satu “tag” lagi pada pukul 10:49 malam hari sama dengan menulis “Mana Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ni, kurang gentleman nampaknya Datuk kita ni sebab tak sudi berwacana dengan orang seperti saya”.

Jika benar kritikan saya terhadap kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi ini adalah berunsur fitnah, mengapa Dr Mujahid tidak pernah mempertikaikannya waktu ia mula ditimbulkan pada 21 Jun 2014 sedangkan saya sendiri memberi ruang dan menjemput beliau mengulasnya?

Kenyataan saya bahawa Dr Mujahid adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP kerana beliau mengutarakan semula cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, juga bukanlah berunsur fitnah.

Ini kerana sehingga kini Dr Mujahid tidak pernah menafikan ketepatan laporan portal berita The Malaysian Insight pada 24 Mei di bawah tajuk berbunyi “Hapuskan Parti Politik Berasaskan Kaum Dan Agama”. Selain tertera di dalam tajuknya, intipati apa yang saya nyatakan juga terkandung di dalam laporannya yang menyebut beliau mencadangkan bahawa satu perkara yang Pakatan Harapan perlu lakukan jika pakatan pembangkang memenangi Kerajaan Persekutuan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ialah untuk memastikan tiada lagi parti politik yang berasaskan kaum dan agama.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, yang juga merupakan anak lelaki Karpal Singh, iaitu Ramkarpal Singh, di dalam kenyataan media beliau bertajuk “Fully Agree With AMANAH Vice-President Dr Mujahid Yusof Rawa’s Proposal That The Time Has Come For Malaysia To Do Away With Race- And Religion-Based Politics” pada 25 Mei, yang menyokong cadangan Dr Mujahid ini juga memetik perkara sama mengenai cadangan ini iaitu, “to do away with race- and religion-based politics” (menghapuskan parti politik yang berasaskan kaum dan agama), dan ini juga tidak pernah dinafikan oleh Dr Mujahid.

Hakikat bahawa cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama ini pernah diutarakan oleh Karpal Singh juga turut saya buktikan di dalam artikel Facebook saya ini dengan memuatkan transkripsi rakaman sidang media beliau pada 5 November 2013 yang berbunyi “The government cannot allow associations which operate on racial lines, which operate on religious lines.” dan yang berbunyi “Operating along religious, racial lines, is a very dangerous thing in a multi-racial and a multi-religious society like ours. I think the time has come perhaps for all racial (and religious) parties to be deregistered, that will include unfortunately even PAS.

Ramkarpal Singh, di dalam kenyataan media beliau, pun mengesahkan ketepatan kenyataan saya ini dengan menyebut bahawa cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama ini juga pernah diutarakan oleh Karpal Singh dengan menyebut “Such a proposal was also mooted by the late Karpal Singh in November, 2013 who suggested that such racial and raced based parties were a setback to the country’s unity and that the way forward was for multiracial parties to form the future of the country (The Star Online, 6.11.2013).”

Jadi di manakah letaknya unsur fitnah di dalam artikel Facebook saya ini?

Seperti yang saya tulis di dalam satu lagi artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Lambang Hipokrasi Pemimpin AMANAH” pada 31 Mei, tindakan Dr Mujahid mengambil tindakan undang-undang terhadap saya ini memberikan imej yang sangat buruk terhadap AMANAH. Ia menggambarkan bahawa AMANAH adalah sebuah parti “jumud” yang tiada kemampuan untuk berdialog seperti yang sering diwarwarkan dan bukannya sebuah parti “progresif” seperti yang terpamer di dalam cogan katanya. Ia juga menggambarkan bahawa ayat-ayat muluk yang terdapat di dalam Perlembagaan AMANAH mengenai “negara dan masyarakat madani”, “pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan demokrasi” dan “kebebasan-kebebasan asasi” hanyalah sekadar hiasan untuk mengelabukan mata semata-mata.

Jika istilah “kuda tunggangan” yang menimbulkan masalah kepada Dr Mujahid, apa sangatlah istilah itu berbanding istilah-istilah yang jauh lebih teruk yang lebih dahulu digunakan oleh para pemimpin dan penyokong AMANAH untuk mengecam saya ekoran tindakan saya membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh.

Tulisan Dr Mujahid bertajuk “Disiplin Ilmu Bukan Sentimen Murahan” pada 30 Mei pun menggunakan istilah-istilah yang teruk juga untuk mengecam saya, termasuk dengan menyifatkan saya sebagai “gila”, “jahil”, “bodoh” (‘cerdik’) dan “penulis upahan”.

Apapun, seperti pernah saya tegaskan sebelum ini, saya sentiasa bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang dari Dr Mujahid. Tindakan undang-undang ini, bagi saya, sangat penting kerana ia adalah lambang kepada kehipokrasian pemimpin AMANAH.

Bila Dr Mujahid memilih mahkamah sebagai forum untuk berwacana dengan saya, maka kita jumpa sajalah di mahkamah. Tiada sekelumit pun rasa takut di dalam hati saya untuk berhadapan dengan beliau di mahkamah. - HARAKAHDAILY 5/6/2017

Makluman Media - Isnin 5 Jun 2017

Pihak kami ingin memaklumkan bahawa keadaan kesihatan Tuan Guru adalah semakin baik dan proses pemulihan selepas pembedahan berjalan dengan lancar.

Ketika saya bertemu Tuan Guru malam tadi, sempat juga Tuan Guru mengambil sedikit masa untuk mencatatkan nukilan beliau bagi bacaan awam yang telah dikeluarkan pada hari ini.

Kami dimaklumkan bahawa Tuan Guru dijangka akan keluar dari wad hospital dalam beberapa hari lagi, insya Allah.

Marilah kita terus berdoa agar Tuan Guru kekal bertenaga untuk terus mengemudi Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagaimana yang menjadi harapan ramai pihak.

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Setiausaha Politik Presiden PAS

t2 2

PERTUBUHAN Tautan Rahmat Malaysia (Tautan Rahmat) menyokong penuh laporan polis yang digerakkan Dewan Pemuda PAS Melaka yang diketuai,  Ustaz Ahmad Bilal Rahudin dalam menggesa pihak polis menyiasat penganjuran "Nations of the Golden Gate aligning with Jerusalem’s Jubilee”, yang diadakan selama 4 hari dari 15 ke 18 Jun, di Gereja Calvary Life Assembly (Chinese) di Melaka.

Seperti makluman umum,  penganjuran Jerusalem Jubilee ini ialah sambutan kejayaan Rejim Israel Laknatullah yang merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 hari 1967 sempena tahun ke-50.

Hari sambutan ini juga diangkat sebagai Hari Kebangsaan Israel dan Kristian Evangelis yang menyaksikan titisan darah dan air mata umat Islam bergenangan.

Bagi kami,  penganjuran sambutan ini di Melaka apatah lagi dalam Ramadan sangat mengguris hati dan perasaan Umat Islam malah mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Kami amat bimbang bahawa penganjuran ini sebenarnya adalah agenda jahat Evangelist yang sedang dan telah bertapak di negara ini sejak sekian lama.

Ini juga menandakan bahawa Malaysia sedang berada dalam radar agenda Kristianisasi antarabangsa yang pastinya akan menggunakan segala kecekapan dan kewangan mereka untuk memastikan dakyah mereka menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Apa yang kami lihat, usaha kristianisasi ini satu bentuk penjajahan agama yang sedang berlaku ke atas rakyat Malaysia melalui missionary terancang mereka ini.

Seandainya benar bahawa mereka sudah mula berani menyebar secara terbuka,  kami yakin bahawa ia akan mengundang ketidakharmonian dalam negara apatah lagi Malaysia adalah negara majoritinya umat Islam.

Sememangnya usaha kristianisasi ini bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan negara Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana adalah melanggari undang-undang sekiranya terdapat usaha mengembang iktikad dan agama selain Islam kepada orang Islam.

Kami di Tautan Rahmat menyambut baik tindakan Kerajaan Melaka pimpinan Datuk Seri Idris Haron yang telah mengarahkan pembatalan segera program tersebut.

USTAZ MOHAMAD IBRAHIM
Presiden Tautan Rahmat Malaysia
5 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 5/6/2017

PERTUBUHAN Pendokong dan Pencinta Ulamak@GENG USTAZ membantah sekeras-kerasnya penganjuran "Nations of the Golden Gate aligning with Jerusalem’s Jubilee”, yang diadakan selama 4 hari dari 15 ke 18 Jun, di Gereja Calvary Life Assembly (Chinese) di Melaka.

Jerusalem Jubilee ini ialah sambutan kejayaan Rejim Israel merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 hari 1967 sempena tahun ke-50. Hari sambutan ini juga diangkat sebagai Hari Kebangsaan Israel dan Kristian Evangelis.

Kekhuatiran selama ini yang pernah difikirkan dan dilintas dalam fikiran umat Islam negara ini iaitu adakah Malaysia sedang menjadi sasaran agenda Kristianisasi antarabangsa sudah menampakkan jelas jawapannya.  

Sememangnya terdapat di sana satu usaha dan propaganda halus yang sedang berjalan oleh beberapa pihak dalam negara ini bersama dengan pihak antarabangsa untuk membawa agenda Kristianisasi ke dalam masyarakat dan negara yang majoritinya adalah umat Islam.

Sekiranya agenda ini benar, ia sudah bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan negara Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan bahawa adalah melanggari undang-undang sekiranya terdapat usaha mengembang iktikad dan agama selain Islam kepada orang Islam.

Maka dengan ini, GENG USTAZ mendesak pihak Kerajaan Negeri Melaka dan pihak berwajib agar melakukan tindakan sewajarnya dengan menyiasat, menyekat, dan membatalkan sekiranya benar terdapatnya penganjuran ini. Dan memberi amaran kepada pihak berkenaan dan pihak luar negara ini agar menghormati undang-undang dan perlembagaan Malaysia yang bertujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dan agama negara ini iaitu Islam.

USTAZ NORAZLI MUSA
Presiden GENG USTAZ
5 Jun 2017 | 10 Ramadhan 1438H – HARAKAHDAILY 5/6/2017

More Articles ...