26
Fri, Apr
8 Artikel Baru

HAMPIR sebulan kita berpuasa Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan latihan bagi mendidik nafsu kita. Jika sebelum ini kita banyak melakukan dosa sama ada kecil atau besar, kehadiran Ramadhan sebagai penghapus dosa-dosa dengan peluang keampunan dari Rabbul Jalil. Berdoalah, beristghfarlah demi meraih taqwa.

Tarikh hari-hari bulan Ramadhan juga boleh menjadi tarikh-tarikh keramat kepada perokok. Kita boleh menahan nafsu rokok dengan tidak menghisapnya pada siang hari sudah menjadi satu kejayaan hidup. Teruskan dengan mengekalkan momentum tidak merokok ini pada malam hari, seterusnya berhenti terus dari kancah ketagihan nikotin itu. Saya ucapkan syabas kepada anda yang sudah mengambil langkah bijak ini.

rokokDari sudut kesihatan dan perubatan, terlalu banyak manfaatnya? Berikut beberapa manfaat kesihatan yang boleh diambil perhatian bersama.

1. Manfaat terbaik dari berhenti merokok adalah pencegahan kedut kulit. Tentunya berhenti merokok tidak serta merta menghentikan semua keriput kerana hal ini merupakan bagian alami dari penuaan. Namun, merokok dapat mempercepat perkembangan keriput dan memperdalam keriput yang sudah ada. Hal ini terjadi kerana dua faktor: Yang pertama disebabkan oleh bahan kimia dalam rokok yang mempengaruhi kekenyalan kulit Anda. Yang kedua adalah bahwa gerakan yang berulang semasa merokok menciptakan kedutan di sekitar mulut dan hidung.

2. Masalah yang paling lazim dari merokok adalah menghitamnya bibir. Panas rokok yang menempel langsung pada bibir jadi alasan utama penyebab bibir hitam para perokok. Selain itu, berkurangnya pengaliran darah pada kulit bibir juga menjadi faktor pendukung terjadinya bibir hitam. Dengan tidak merokok tentunya kesempatan untuk mendapat bibir merah secara alami akan menjadi kenyataan.

3. Bintik hitam pada wajah yang sering kali disebut sebagai “age spot” sering kali terjadi kerana paparan sinar matahari langsung. Namun, kajian menunjukkan bahawa orang yang merokok lebih rentan terhadap jenis kerosakan ini daripada mereka yang tidak merokok. Itu karena zat kimia dalam rokok mengubah kulit anda, sehingga tidak sihat dan sulit memerangi masalah ini. Anda dapat menutupi bintik-bintik penuaan dengan make-up, tetapi anda akan merasa jauh lebih sihat jika anda tidak menambah faktor penuaan awal dengan merokok.

4. Dalam memproses 1 batang rokok, tubuh manusia menggunakan 35 mg vitamin C. Vitamin C adalah vitamin tidak stabil dan mudah terurai. Vitamin ini tidak dapat diproduksi sendiri oleh tubuh, tetapi majoriti diperolehi dari pemakanan. Salah satu fungsi vitamin C adalah mempertahankan mutu dan keutuhan jalinan serat kolagen kulit. Kolagen adalah serat-serat protein kulit yang menentukan tampilan kulit mulus, kencang dan awet muda. Berkurangnya vitamin C, membuat jalinan-jalinan serat kolagen terburai sehingga membuat gambaran kerutan pramatang di beberapa tempat khas seperti di sudut mata dan di sekitar mulut.

5. Kajian menunjukkan bahawa merokok adalah risiko kepada beberapa jenis kanser. Apabila sebut kanser semua akan mengelabah takut, dan sememangya ia telah dibuktikan secara kajian saintifik. Ditambah lagi, kanser juga dapat menyebabkan kematian. Justeru, bertindak sekarang dengan berhenti merokok bermula Ramadhan. Berhenti bermakna anda sudah lepas dari risiko tersebut.

6. Anda mungkin pernah mendengar bahawa minum teh, kopi atau soda dapat menyebabkan gigi menguning. Nah, rokok juga menimbulkan risiko yang sama. Nikotin memberikan untuk gigi menguning dan juga bau nafas busuk. Untungnya, para ahli mengatakan bahawa setelah Ramadhan kali ini anda berhenti merokok, resiko bau mulut dan gigi kusam juga akan ikut berkurang.

7. Semoga puasa yang kita jalani ini boleh membuang segala toksid yang terdapat dalam badan kita. Terutamanya kepada perokok. Adalah satu langkah bijak jika anda terus istiqamah bebas dari asap rokok. Ini kerana, badan anda semakin segar dan bertenaga. Bahan kimia dan racun yang masuk melalui rokok sudah sudah berkurangan apabila anda bebas dari asap rokok. Racun seperti karbon monoksida adalah penyebab utama salur darah anda tersumbat yang boleh menyebabkan strok, serangan sakit jantung dan pelbagai lagi. Jika berhenti, semua risiko ini akan hilang. Tetapkan niat dan terus istiqamah untuk bebas dari cengkaman rokok di bulan mulia ini.

8. Ingin saya kongsi tips kekal cantik pada kali ini. Tips yang paling utama adalah bebaskan diri anda dari rokok. Kepada perokok tegar, azam sekarang dan hentikan terus. Kepada individu yang hidup bersama perokok, hindarkan diri anda seboleh mungkin dari terhidu asap rokok. Ini kerana, racun karbon monoksida yang terdapat dalam asap rokok akan berpadu dengan sel darah anda sehingga menyebabkan sel kekurangan oksigen. Ini akan mengakibatkan kulit anda akan nampak pucat, berkedut dan tidak cantik. Justeru marilah bermula nafas baru pada Ramadhan kali ini dengan berhenti merokok, supaya anda akan kelihatan semakin handsome dan ramai teruja kerana kulit semakin cantik.

9. Ramadhan yang kita sambut saban tahun ini sebenarnya menjadi satu titik azam untuk terus berhenti dari merokok. Banyak nikmatnya jika anda terus bebas dari merokok. Antaranya, kepala anda tidak berserabut dengan uban atau risiko semakin botak. Saudara, akibat dari saluran darah tersumbat dek bahan kimia yang disedut melalui rokok, pertumbuhan sel-sel badan kita akan terbantut. Kulit semakin kendur, bulu roma termasuk rambut kepala semakin menua dan gugur lebih awal. Inilah punca kepada rambut cepat beruban atau gugur. Justeru elakkan kesemua itu dengan berhenti merokok. Anda mampu merubahnya.

10. Mahukah anda bebas dari hodoh jerawat? Nah! Petuanya adalah berhenti merokok dari sekarang. Ini kerana, perokok cenderung berjerawat di seluruh wajah. Puncanya, disebabkan pelbagai racun dan nikotin yang terkandung dalam rokok. Asap rokok juga merosak kekenyalan kulit muka. Akhirmya, Jerawat akan melata dan penyumbatan liang roma di celah ketiak, bawah payudara, dan leher akan muncul. Justeru, berhentilah dari merokok tarikh Ramadhan kali ini.

11. Bermula sekarang, jika anda berhenti merokok, anda akan merasai kelainan dalam diri anda sendiri. Dalam tempoh seawal 20 minit, suhu badan. Tekanan darah dan nadi kembali kepada normal, tidak resah gelisah seperti biasa. Jika diteruskan bebas dari asap rokok melebihi 8 jam, paras bahan kimia nikoton badan akan hilang lebih dari 90%. Amat menakjubkan sekali. Bayangkan jika ianya berterusan anda bebas dari asap rokok, pelbagai nikmat kesihatan yang akan diperolehi termasuk risiko kanser, risiko serangan jantung, risiko kencing manis, darah tinggi dan pelbagai lagi.

Keputusan adalah di tangan anda. Ayuh bebaskan diri anda bermula Ramadhan kali ini.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga

KETIKA berucap dalam Majlis Berbuka Puasa di Jitra kelmarin 19 Jun, Perdana Menteri Dato' Seri Najib mendakwa sebab PAS telah meninggalkan pakatan pembangkang ialah kerana dibuli oleh DAP.
Suatu kenyataan yang bunyinya agak lucu dari seorang Presiden Umno yang gagal untuk memahami isu sebenar yang menyebabkan PAS membatalkan tahaluf dengan DAP.

Umum mengetahui PAS adalah sebuah parti yang telah begitu lama berjuang di persada politik tanahair. Kewujudannya telah menjangkau usia 66 tahun. Kematangan dan ketahanan PAS melalui jatuh bangun serta kalah menang dalam perjalanan yang panjang ini usah dipertikaikan lagi.

Malah PAS adalah sebuah parti yang jauh lebih kukuh berbanding parti-parti lain dalam pakatan pembangkang dari segi aspek jentera parti, jumlah cawangan serta keahlian di peringkat akar umbi.
Selama 66 tahun PAS teguh mempertahankan prinsip perjuangan dengan meletakkan Islam sebagai dasar. Ketika berpakat atau berpisah dengan mana-mana parti lain, syarat utama PAS ialah Islam.

Tidak ada kompromi dan tolak ansur dalam mempertahankan prinsip Islam walau dengan siapa sekalipun PAS membuat kerjasama.

DAP bukan setakat tidak mahu melaksanakan Islam malah memusuhi Islam. DAP adalah sebuah parti anti Islam walaupun di dalamnya ada beberapa orang pemimpin Melayu.

Ibarat seorang kawan yang naik satu kereta bermusafir bersama kita, bila masuk waktu solat, kalau pun mereka tak mahu solat, sekurang-kurangnya mereka bersetuju untuk berhenti dan tunggu sehingga kita selesai solat. Bukan kita nak paksa mereka solat. Tapi ternyata DAP bukan setakat tak mahu solat, malah mereka juga menentang keras untuk kita berhenti seketika bagi menunaikan solat. Maka DAP tak layak lagi dibuat kawan.

Orang yang tak faham Sirah Nabi akan mengatakan bahawa Rasulullah dan para Sahabat telah berhijrah meninggalkan Kota Mekah ke Madinah kerana ditindas, dizalimi dan disiksa oleh musyrikin Quraisy. Lalu Rasulullah berhijrah untuk menyelamatkan diri.

Tetapi mereka yang faham akan mengerti bahawa sebab Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah adalah untuk berpindah dari satu tempat dimana Islam tak diizinkan berdiri sebagai satu sistem lengkap lalu berpindah ke satu tempat baru dimana Islam boleh berdiri sebagai sistem lengkap sehingga membentuk dan mentadbir sebuah negara. Pelaksanaan Islam yang menjadi sebab hijrah, bukannya kerana takut dan bukan juga kerana dibuli oleh musyrikin Quraisy.

Mereka yang tak faham akan mengatakan PAS telah meninggalkan pakatan pembangkang kerana dibuli, tapi mereka yang faham akan melihat dengan jelas bahawa halangan dan penentangan DAP terhadap Islam adalah punca PAS meninggalkan rakan tahaluf dalam pakatan pembangkang. Tahaluf bukannya dilaksanakan semata-mata kerana nak menang ke Putrajaya tanpa menghiraukan soal bagaimana dan dimana nanti syariat Allah mengambil peranan dalam mengisi kemenangan.

Kalau DAP menghalang dan menentang syariat Allah, kenapa PAS tak bersama Umno? Sebuah parti orang Melayu beragama Islam!

Jawabnya DAP menentang Islam manakala Umno pula tak bersungguh dan tak serius nak melaksanakan Islam. Islam bagi Umno cuma dizahirkan ketika terdesak dan terhimpit untuk meraih sokongan. Masa senang Umno lupa Islam, bila tersepit Umno ingat Islam. Pemimpin Umno bertakbir dalam Perhimpunan Agong Umno, dalam masa yang sama kerajaan Umno jugalah yang memberi lesen kepada pelbagai maksiat dan judi dihalalkan dalam negara.

Pemimpin Umno bercakap tentang Islam. Mereka jugalah juara penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, kroni, nepotisme, salah tadbir urus, pembaziran harta negara serta kemewahan melampau pemimpin negara.

Islam dalam Umno hanyalah satu biro, bukannya dasar dan matlamat perjuangan.

Memang PAS dan Umno sama-sama orang Melayu, tetapi sangat berbeza kerana Melayu Umno berjuang atas dasar kebangsaan sementara Melayu PAS meletakkan Islam sebagai dasar.

Pemimpin Umno dan PAS sama-sama Islam. Tapi belum ada lagi pemimpin PAS yang ditahan dan dibicarakan kerana rasuah. Pemimpin Umno pula ramai yang merengkok dalam penjara kerana rasuah.

Pemisah antara PAS dan Umno ialah Islam! Terima Islam sebagai dasar perjuangan lalu berkerja untuk melaksanakan Islam, maka kita boleh bersama.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
20 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 20/6/2017

ERAT sekali hubungan Datuk Seri Najib dan Tan Sri Isa Samad. Dalam keadaan Felda berhadapan dengan pelbagai konflik yang memangsakan peneroka sebagai mangsa utama, PM terus mempertahankan Isa Samad dengan pelbagai hujah dan fakta. Fakta-fakta yang dikemukakan kelihatan mengkagumkan di atas kertas, tapi realiti sebenarnya jauh berbeza.

Terus mempertahankan Isa Samad bermakna PM berpuas hati dengan apa yang melanda Felda dan merelakan Felda terus bergolak. Mesej yang jelas bahawa PM akan terus mempertahankan kredibilitinya ketika melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Felda pada tahun 2011 walau berhadapan dengan pelbagai kecaman dari luar.

Akhirnya PM terpaksa mengalah juga. Isa perlu berundur dari Felda. Keluar dari FGV, kini Isa masuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula. Mustahil dengan mudah Isa dikeluarkan dari FGV kalau bukan kerana kegagalan beliau walau didakwa Isa berundur dari FGV secara sukarela.

dr azman1Saya tak percaya proses pengunduran berlaku secara sukarela. Ia hanya kenyataan untuk memelihara air muka.

Apa perlunya diberi jawatan sebagai Pemangku Pengerusi SPAD yang menurut Najib jawatan untuk menghargai pengunduran sukarela Isa dari FGV? Kenapa tak dibersarakan terus?

Memang setiap insan yang pernah disabitkan bersalah berhak diberikan peluang kedua dalam hidup. Tetapi peluang yang diberi perlu berpada-pada. Isa bukan setakat diberikan peluang kedua, malah ketiga dan keempat dan entah berapa peluang lagi.

Imbas kembali, tahun 2005, Isa Samad adalah seorang individu yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah semasa pemilihan parti 2004 lalu digantung keahlian selama 6 tahun oleh Lembaga Disiplin Umno sehingga akhirnya dipendekkan kepada 3 tahun selepas mengemukakan rayuan.

Kesalahan ini menyebabkan beliau kehilangan jawatan Naib Presiden Umno dan kedudukan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dalam kabinet.

Walau beliau mendakwa dirinya tak pernah melakukan kesalahan jenayah serta tak pernah didakwa di mahkamah, hakikatnya rasuah adalah jenayah sama ada didakwa di mahkamah atau tidak. Jenayah yang besar sehingga dirinya kehilangan jawatan besar Naib Presiden Umno dan Menteri Kabinet.

Pilihan raya Kecil Bagan Pinang 2009 adalah proses 'mensucikan' semula Isa Samad apabila beliau dipilih sebagai calon BN dan menang.

Tak sampai 2 tahun kemudiannya, berkuatkuasa pada 1 Januari 2011, Isa Samad dikira telah cukup bersih apabila mengambil alih jawatan Pengerusi Felda dari Tan Sri Yusof Noor.

Bukan hanya warga Felda yang terkejut, malah ramai rakyat yang tak pernah pegang sabit pengait sawit pun terkejut. Felda dengan aset berbilion ringgit diperjudikan untuk dipengerusikan oleh seorang perasuah. Sama ada dia dah bertaubat atau tidak, itu urusan dia dengan Allah. Selagi hayat masih berbaki, dia berhak diberikan peluang. Tapi bukan peluang yang merisikokan ratusan ribu peneroka dan keluarga peneroka. Merisikokan ratusan ribu hektar tanah Felda. Merisikokan jumlah aset yang begitu besar.

Ternyata telahan kita tak lari jauh. Pelbagai isu yang tak enak mula kedengaran dari Menara  Felda. Pelbagai isu berbangkit peneroka tak diselesaikan. Peneroka adalah kelompok yang paling terkesan dengan kepimpinan Isa Samad. Felda dah jadi satu badan konglomerat yang kelihatan begitu gah dengan imejnya tapi asetnya menyusut dengan lajunya. Berbilion ringgit pelaburan hilang begitu sahaja.

Kegagalan Isa sebagai Pengerusi Felda terbukti bila beliau turun pangkat sebagai Pengerusi FGV walau warga Felda berharap tiada lagi namanya di Felda.

Kini setelah beliau mencetuskan pelbagai drama di FGV, dengan terhormatnya beliau dipersilakan ke SPAD.

Apakah negara kita begitu ketandusan mereka yang mempunyai rekod bersih dan berintegriti untuk mentadbir? Bagaimana moral dan semangat kerja kakitangan SPAD bila mereka perlu bekerja di bawah seorang pengerusi seperti Isa?

Tengoklah lepas ni apa pula yang akan berlaku kepada SPAD! - HARAKAHDAILY 20/6/2017

Penulis ialah AJK Kerja PAS Pusat.                

1. PELANTIKAN Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan bahawa transformasi dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hanyalah satu kepalsuan. Najib ternyata tiada keberanian dan keazaman politik untuk mengenepikan individu-individu bermasalah dari berada dalam struktur pemerintahannya.

2. Bahkan, tindakan tersebut membuktikan kronisme dan nepotisme yang wujud apabila jawatan dan kedudukan menjadi ‘agihan’ dibahagi-bahagi atas kepentingan diri, dan bukannya atas merit keupayaan atau kepakaran dimiliki. Malah, turut membayangkan saling berpakat atau bersekongkol melindungi kecurangan masing-masing. Malang sekali, hak awam telah jadi pertaruhan yang merugikan.

3. Kami khuatir, keberadaan Isa di SPAD hanya akan menimbulkan masalah baharu di entiti itu. Sedang kemelut di Felda mungkin tidak akan selesai kerana FGV ditubuhkan Isa bersama kukunya yang mencengkam. Malah, Isa dilihat telah mencapai misi pertembungan beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad yang dimusuhinya apabila Zakaria turut ‘disingkirkan’ hari ini.
 
4. Walhal, siasatan ke atas Zakaria masih berlangsung dan belum dibuktikan sebarang tuduhan. Namun, episod drama dimainkan Najib seperti lazimnya akan mengkambing-hitamkan atau menjatuhkan pihak yang tidak seia sekata dengannya. Kami bimbang, keadaan menjadi semakin parah dan tidak menuju penyelesaian diharapkan, sedangkan banyak pihak menerima kesannya.

5. Impian membebas dan mengangkat semula hak golongan peneroka Felda juga masih dibayangi kesangsian sekiranya Tan Sri Sulaiman Mahbob yang dilantik selaku Pemangku Pengerusi FGV akan menjadi ‘robot kawalan jauh’. Profesionalisme yang ada padanya hanya akan sia-sia jika pengaruh politik berkepentingan terus campur tangan dalam usaha pemulihan Felda.

6. Menyesali sikap dayus Najib itu, kami menggesa anak muda termasuk seluruh warga Felda agar cermat meneliti lakonan sedang dilayarkan ini dan terus berjuang menuntut hak, serta bersatu menuju perubahan. Hanya pentadbiran Islam menjadi sandaran dan jaminan penyelesaian terhadap semua kemelut yang telah berlarutan sekian lama ini.  

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

WAN NORDIN WAN YAACOB
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan
19 Jun 2017 | 24 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 19/6/2017

UNDANG-undang Anti-Evangelicalism perlu diwujudkan ke arah meneguhkan lagi martabat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, selari dengan peruntukan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah, cadangan diutarakan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd Amin itu perlu diberikan penilaian yang serius secara menyeluruh dan pelaksanaan sesegera mungkin, memandangkan isu murtad di kalangan rakyat Malaysia beragama Islam sudah dibangkitkan sejak 2008 lagi

Ini mengambil kira keadaan semasa dari laporan akhbar dan portal atas talian bahawa gerakan evangelical semakin giat di Malaysia, serta dipelopori paderi-paderi Kristian berbangsa Melayu sendiri di mana mereka aktif di negeri Kedah dan juga Johor. Hingga terdapat laporan menyatakan bahawa, mengikut rekod Mahkamah Syariah, seramai 863 kes telah dirujuk kepadanya antara tahun 2000 hingga 2010 bagi tujuan menukar status agama Islam, selain anggaran sesetengah pihak bahawa hampir suku juta umat Islam telah dimurtadkan.

Keadaan ini sangat menggemparkan walau pun Perkara 11(4) jelas menyatakan bahawa agama lain tidak boleh didakyahkan kepada seorang Muslim. Selain, di negeri-negeri juga telah diadakan enakmen untuk mengawal hal ini seperti di Selangor yang wujud Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988. Meskipun Enakmen ini sudah wujud sekian lama, namun ia didapati tidak mencukupi kerana telah gagal menjaga akidah umat Islam dan menyekat gerakan evangelisme yang kian menular di kalangan bangsa Melayu.

Gerakan-gerakan ini tetap menjalankan aktiviti mereka tanpa menghiraukan peruntukan Enakmen ini dan malah, telah mencabar peruntukan Enakmen ini mengenai larangan menggunakan kalimah Allah sepertimana kenyataan-kenyataan dikeluarkan mereka dalam media massa. Seperti yang dilaporkan oleh portal media tertentu, meskipun kononnya mereka takut akan peruntukan undang-undang sedia ada, tetapi masih berani mengharunginya untuk mengembangkan dakyah mereka demi kesetiaan mereka pada ajaran agama mereka.

Kami percaya, bahawa dalam hal ini bukan sahaja Perkara 11(4) malah Perkara 11(5) Perlembagaan juga terpakai kerana ia membenarkan pengecualian terhadap kebebasan agama dalam sebarang perihal menjaga ketenteraman awam. Kami percaya bahawa cadangan Centhra ini adalah terpakai di bawah pengecualian seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 11(5) ini. Justeru, suatu undang-undang Persekutuan adalah diperlukan bagi menterjemahkan maksud sebenar Perlembagaan Persekutuan berhubung pencabulan dakyah ke atas akidah orang Islam.

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengarah
Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
20 Jun 2017 | 25 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 20/6/2017

PELETAKAN jawatan Isa Samad secara sukarela sangat 'mengejutkan'. Bekas Pengerusi FGV ini disifatkan sebagai 'Anak Jantan'  kerana bertindak demikian selepas mengadap Perdana Menteri di Sri Perdana  hari ini.

Memang anak jantan sungguh setelah 'meratah' aset Felda berbilion Ringgit. Merugikan pelabur saham FGV, merampas tanah Felda Plantation, mencipta hutang RM5 bilion dari kalangan peneroka, melenyapkan peruntukan perumahan untuk anak-anak Felda, skandal TRT, skandal Pontian Plantation, skandal IRIS, skandal Grand Plaza Apatments, skandal di Mengatal Sabah, skandal hartanah di Bukit Katil Melaka, skandal PT Eagle High Plantation, skandal ikan sturgeon, skandal menghalau KPF dan lain-lain skandal.

Bila Isa letak jawatan sukerela, Najib masih memerlukan Isa. Tidak seperti orang lain. Letak jawatan kerana skandal melangkah ke penjara, tapi Isa masih dianugerahkan kedudukan sebagai pemangku Pengerusi SPAD, walaupun tidak semewah Felda, SPAD juga lubuk memeras keringat rakyat yang terlibat dengan perkhidmatan kepada rakyat, penguatkuasaan dan sudah tentu ada projek besar akan dicipta nanti. Satu suruhanjaya yang menjanjikan kuasa dan habuan.

Ikatan kukuh Isa dan Najib diterjemahkan dalam tindakan Najib terhadap Isa mutakhir ini sudah cukup buat rakyat Malaysia menilai siapa menjaga siapa? Siapa memerlukan siapa dan sebenarnya di belakang Isa, siapa pula di belakang Najib.

Pun begitu, warga Felda 'lega' seketika. Sudah selesai satu babak pemusnahan kecemelangan Felda dan sekarang babak membaiki kerosakan yang sudah tentu memerlulan Tan Sri Shahrir Samad bergandingan dengan Pemangku Pengerusi FGV Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob untuk mensejahterakan seketika kemelut Felda-FGV.

Apakah Isa boleh cuci tangan atau lepaskan diri dari kerosakan ini? Warga Felda jangan 'mudah lupa' atau mungkin dilupakan skandal terbesar Isa Samad terhadap kita semua. Masih ada Isa selepas Isa yang perlu peneroka Felda lalui. Paling penting sekarang peneroka Felda perlu kembalikan KPF ke dalam Felda agar koperasi terbesar warga Felda ini terus memacu cabaran kecemerlangan sebelum dirosakkan Isa Samad.

Naraza Muda
Aktivis Membela Peneroka Felda (AMPF)
19 Jun 2017

1. MYHACKTHON 3.0 (MH3.0) anjurkan bersama Jabatan Strategi, Institut Polisi Studi (IPS) dan Jabatan Profesional Muda (JPro) telah berjaya mengumpul 85 cadangan manifesto menerusi diskusi berfokus melibatkan 40 pemikir muda yang berkampung di SRITI Bangi pada 17 dan 18 Jun semalam.

2. Bertujuan untuk mengenalpasti kehendak dan keperluan anak muda, para peserta MH3.0 ditugaskan untuk memerah idea bagi menghasilkan cadangan manifesto anak muda, khususnya dalam skop Tujuh Agenda Anak Muda Berkebajikan. Iaitu, pendapatan boleh guna, keupayaan sara hidup, pendidikan berkebajikan, keusahawanan belia, rumah mampu milik, capaian pengangkutan, dan kesejahteraan hidup.

3. Berucap pada majlis perasmian MH3.0, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi melahirkan rasa syukur dan bangga dengan keterlibatan profesional muda PAS dalam proses penyediaan Manifesto Anak Muda Malaysia itu. Katanya, ia sebagai kesinambungan daripada usaha Pemuda PAS menterjemahkan konsep Kerajaan Teknokrat yang digagaskan oleh Presiden PAS.

4. Di dalam ucapannya, beliau mengingatkan para peserta akan kepentingan memahami prinsip dan konsep bernegara yang terkandung di dalam Al-Quran. Juga tuntutan mengutamakan agenda penyelesaian Islam sebagai alternatif kepada kegagalan sistem rekaan manusia. Ujar beliau, ini bertujuan untuk mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan diberkati di dalam negara, khususnya di kalangan generasi muda.

5. Penjenamaan MyHackathon yang telah masuk siri ketiga ini adalah suatu inisiatif JPro dengan konsep pertandingan atau bengkel yang melibatkan peserta daripada pelbagai kepakaran. Mereka berkumpul untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang lazimnya berlangsung tanpa henti selama 24 jam.

6. Program MH3.0 kali ini melibatkan para peserta yang dijemput daripada pelbagai latarbelakang akademik dan kerjaya, antaranya Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Kluster JPro, penyelidik IPS, wakil NGO dalam bidang akademik dan perubatan, serta wakil mahasiswa daripada GAMIS. Segala hasil perbincangan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Manifesto PAS Pusat sebagai persiapan menghadapi PRU14.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia
19 Jun 2017 | 24 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 19/6/2017

More Articles ...