22
Mon, Apr
21 Artikel Baru

SAYA tertarik untuk mengulas kenyataan Lim Kit Siang yang menyebut DAP mesra Islam Moderate. Sebenarnya tiada takrifan Islam itu dibahagikan kepada Moderate, Konservatif, Ortodoks atau apa jua kelas sekalipun.

Pembahagian takrifan sebegitu hanya untuk mengelirukan serta memecah-belahkan umat Islam. Ajaran Islam yang sebenar ialah seperti apa yang tertulis di dalam al-Quran dan Hadis, Qias, Ijtihad dan Ijmak para ulamak yang disepakati. Tidak pernah tertulis di dalam al-Quran mahupun Hadis atau dalam mana-mana kitab ulamak agung seperti Imam Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi bahawa Islam itu dibahagikan kepada Moderate, Konservatif atau mana-mana bahagian seperti yang digambarkan oleh Lim Kit Siang.

Pandangan sebegitu adalah karut dan menyalahi ajaran Islam itu sendiri. Maka jelas sebenarnya apa yang diperkatakan oleh Lim Kit Siang adalah orang Islam yang boleh mengikut telunjuk DAP serta agendanya. PAS berpengalaman dalam bekerjasama dengan DAP, setiap kali bekerjasama maka akhirnya DAP akan keluar dari kerjasama tersebut. Daripada pengalaman tersebut, apa yang PAS dapati ialah DAP adalah rakan yang tidak boleh dipercayai sama sekali.

Bermula dengan Barisan Alternatif di zaman Almarhum Ustaz Dato’ Fadhil Noor, akhirnya DAP yang keluar dari Barisan Alternatif pada 21hb September 2001. Ditubuhkan pula Pakatan Rakyat pada 1hb April 2008, akhirnya pada 16 Jun 2015, Lim Guang Eng sendiri mengisytiharkan Pakatan Rakyat dibubarkan dan keluar dari Pakatan Rakyat. Mengapa terjadi begitu? Kerana PAS tidak mampu ditundukkan DAP dan bersetuju dengan agendanya seperti DAP memaksa PAS melupakan agenda Negara Islam dan Hudud yang diperjuangkan PAS sejak penubuhannya.

Dengan parti mana sekalipun PAS berkerjasama, PAS tetap berpegang teguh kepada prinsip dan dasar parti. Islam tetap menjadi agenda utama serta dasar parti di samping memperkasakan Perlembagaan dan Undang–undang, menjaga kedudukan serta kedaulatan Raja-raja Melayu, memelihara hak dan keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera di samping menjaga hak kaum, bangsa dan agama lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Undang-undang.

Oleh kerana PAS tidak mampu ditundukkan DAP serta cukup mustahil untuk DAP berkerjasama dengan Umno, DAP terpaksa mencari jalan lain untuk mendapat sokongan orang Melayu beragama Islam. Maka setelah keluar beberapa pimpinan PAS yang kalah pemilihan ketika Muktamar PAS ke-61 lalu menubuhkan PAN, DAP berjaya menjadikan PAN parti yang membawa agenda Islam yang mengikut acuan DAP.

PAN boleh bekerjasama dengan DAP di dalam Pakatan Harapan kerana hakikatnya PAN mengikut telunjuk DAP. Isu Sarawak Report sebagai contoh, PAN lebih kuat teriaknya dari DAP walau Husam sendiri belum tampil ke SPRM bersama salinan bukti akaun Affin Bank PAS yang didakwanya dahulu. PAN juga senada dengan DAP dalam isu ICERD, Pilihanraya Tempatan atau PBT dan lantikan ahli DAP sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM adalah contoh jelas Islam Moderate acuan DAP.

Seperti kata Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9hb Ogos 2014 ketika temu ramah bersama Astro Awani, walaupun Pakatan Rakyat “KO“, PAS tetap utuh. Jelasnya Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Nik Abdul Aziz kekal istiqamah bersama PAS hingga ke akhir hayat. Begitu juga Almarhum Ustaz Dato’ Fadhil Noor, kekal istiqamah bersama PAS hingga ke akhir hayat walau DAP keluar daripada Barisan Alternatif.

Yang Istiqamah Itu Indah, Moga Allah Pelihara Kita Hingga Ke Akhir Hayat.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 9/2/2019

SAYA merujuk kepada perkembangan terkini kes saman Sarawak Report yang telah difailkan oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang terhadap Editornya, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London (The High Court of Justice, Queen’s Bench Division) pada 21 April 2017.

Setelah mendapat penjelasan lanjut dan terperinci serta meneliti kronologi perjalanan kes ini, PAS menghormati dan menyambut baik serta menyokong penuh langkah penyelesaian di luar mahkamah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, iaitu YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sebagai plaintif, dan Clare Rewcastle Brown, sebagai defendan, pada 1 Februari 2019.

Persetujuan melibatkan kedua-dua pihak plaintif dan defendan itu adalah di mana plaintif bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutannya (claim) terhadap defendan dan defendan bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutan balasnya  (counterclaim) terhadap plaintif. Di samping itu tidak ada perintah mengenai kos (no order as to costs).

PAS percaya serta yakin langkah yang diambil oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dalam hal ini adalah setelah mengambil kira kepentingan PAS serta ahli-ahli PAS secara keseluruhannya dari semua aspek.

PAS juga percaya persetujuan penyelesaian di luar mahkamah secara tidak meneruskan tindakan ini sedikit pun tidak tergolong kepada pengakuan (admission) terhadap isu dan perkara yang berbangkit dalam kes ini mahupun tohmahan-tohmahan (accusations) lain yang berkaitan yang dibangkitkan dari semasa ke semasa.

Justeru itu, PAS menyeru kepada ahli-ahlinya supaya terus istiqamah dengan memberikan sepenuh wala’ dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan serta sentiasa berfikir dan bertindak secara berhati-hati agar tidak terjebak ke dalam ‘perangkap musuh’ yang sentiasa menanti.

PAS menyerahkan kepada Allah SWT di atas segala perkara dengan keyakinan bahawa Dia akan membantu serta memberi petunjuk kepada hamba-Nya yang beriman, bersabar dan dizalimi di samping membantu mereka yang berjuang di jalan yang lurus.

DATO TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
9 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 9/2/2019

LAPORAN Polis oleh PAN ke atas Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek adalah langkah terdesak parti itu menutup kelemahan mereka dalam urus tadbir Kerajaan Negeri. Bahkan ia juga untuk menghalang lebih banyak tindakan mereka memproksikan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik kepartian terbongkar.

Sikap ini juga bermakna cuba menutup kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti, serta paling nyata adalah ikrar untuk membebaskan institusi rakyat dari pengaruh atau campur tangan politik hanyalah janji kosong. Sedangkan PAS selaku parti bukan kerajaan hanya bertindak bagi tujuan hisbah atau semak dan imbang.

Reaksi umpama takutkan bayang-bayang sendiri ini sebenarnya menimbulkan syak dan sangsi bahawa pihak PAN juga menyembunyikan kepincangan dan bimbang hakikatnya dari diketahui rakyat. Malang, mereka yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan tidak berani untuk terbuka menjelaskan perkara sebenar atau membetulkan keterlanjuran.

Sebaliknya, menidakkan perkara sebenar dari menjadi maklumat kepada rakyat menggunakan kekuasaan dan penguat kuasa. Jika perkara yang dinyatakan Ustaz Kamarudin adalah dakwaan, tuduhan atau fitnah, mengapa pihak tersebut yang sedang berkuasa takut untuk turun bertemu rakyat datang dan menyelesaikan isu berbangkit?

Biarpun pihak kerajaan mahupun PAN cuba menafikan, pihak rakyat yang mengalami sendiri perkara tersebut di peringkat akar umbi negeri sedang merasainya. Amalan, tradisi atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang telah mapan sekalian lama sedang diusik oleh tangan-tangan politik. Jangan bodohkan rakyat di era kecelikan politik terbuka kini.

Secara tidak langsung, tindakan pihak kerajaan itulah bersifat mempolitikkan masjid kariah yang merupakan institusi rakyat dan tunjang kekuatan umat Islam di negeri. Bahkan layak dikatakan ia datang dari pengaruh kepartian politik itu sendiri biarpun kalian nafikan. Lebih malang jika mengikut telunjuk parti bukan Islam.

Kami teramat kesal kerana sejak berdirinya kerajaan baharu ini di Seri Negeri, segala perkara berkaitan kepentingan Islam dan Melayu dilihat sedang dikurang atau dilemahkan. Sebaliknya, kerajaan ini secara megah mengangkat dan mengiktiraf agenda perkauman seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang jelas untuk kaum tertentu.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka - HARAKAHDAILY 9/2/2019 

IMG 20190209 WA0005

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menempelak tindakan Kementerian Kewangan yang menyalurkan dana berjumlah RM2 juta kepada Kolej Universiti Selatan, baru-baru ini.

nasrudintaSebelum ini, sejumlah peruntukan juga telah disalurkan kepada Kolej Universiti New Era. Semua dana tersebut bukan dari Kementerian Pendidikan, sebaliknya adalah dana khas daripada Kementerian Kewangan.

Beberapa gambar telah tular di media sosial. Antaranya, gambar Ahli Parlimen Iskandar Puteri, YB Lim Kit Siang memegang ‘mock cheque’ yang berjumlah RM2 juta daripada Kementerian Kewangan.

Difahamkan Lim Kit Siang sendiri telah menyampaikan cek berkenaan kepada pihak kolej. Adakah Lim Kit Siang mewakili anaknya, Menteri Kewangan dalam program tersebut?

Tiada peruntukan khas untuk Kolej Universiti sepertimana Sekolah Menengah Persendirian Cina dalam Belanjawan 2019.

Kementerian Kewangan tidak wajar untuk menggunakan dana khas sewenang-wenangnya untuk kolej universiti yang ternyata lebih moden dan canggih sehingga menafikan peruntukan kepada pihak yang lebih memerlukan.

Apakah justifikasi Menteri Kewangan kali ini untuk menyalurkan dana tersebut?

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
03 Jamadil Akhir 1440 | 08 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 8/2/2019

BILA diteliti kembali keputusan PRU14 maka dapatlah disimpulkan bahawa DAP sudah berjaya mencapai impiannya untuk menguasai negeri-negeri dalam PRU14.

Kejayaan besar pertama DAP adalah mengetuai Pakatan Harapan mengekalkan penguasaannya dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Ini tercapai melalui kejayaan DAP menjadi parti komponen Pakatan Harapan yang memegang kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bila ia memiliki lebih separuh daripada 37 kerusi Pakatan Harapan, iaitu 19 kerusi, berbanding hanya 14 kerusi milik PKR, 2 kerusi milik PAN dan 2 kerusi milik Bersatu.

19 Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dari DAP ini adalah:

1.     Phee Boon Poh dari N7 Sungai Puyu
2.     Soon Lip Chee dari N8 Bagan Jermal
3.     Satees Muniandy dari N9 Bagan Dalam
4.     Heng Lee Lee dari N13 Berapit
5.     Chong Eng dari N15 Padang Lalang
6.     Ramasamy Palanisamy dari N16 Perai
7.     H'ng Mooi Lye dari N19 Jawi
8.     Zairil Khir Johari dari N22 Tanjong Bunga
9.     Lim Guan Eng dari N23 Air Putih
10.     Chris Lee Chun Kit dari N25 Pulau Tikus
11.     Chow Kon Yeow dari N26 Padang Kota
12.     Daniel Gooi Zi Sen dari N27 Pengkalan Kota
13.     Teh Lai Heng dari N28 Komtar
14.     Jagdeep Singh Deo dari N29 Datok Keramat
15.     Lim Siew Khim dari N30 Sungai Pinang
16.     Ong Ah Teong dari N31 Batu Lancang
17.     Syerleena Abdul Rashid dari N32 Seri Delima
18.     Joseph Ng Soon Siang dari N33 Air Itam
19.     Yeoh Soon Hin dari N34 Paya Terubong

Lanjutan daripada kejayaan DAP di Pulau Pinang ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dari DAP, iaitu Chow Kon Yeow, telah dilantik sebagai Ketua Menteri.

Kejayaan besar kedua DAP adalah mengetuai Pakatan Harapan merampas penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Ini tercapai melalui kejayaan DAP menjadi parti komponen Pakatan Harapan yang memegang kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Perak bila ia memiliki lebih separuh daripada 29 kerusi Pakatan Harapan, iaitu 18 kerusi, berbanding hanya 6 kerusi milik PAN, 4 kerusi milik PKR dan 1 kerusi milik Bersatu.

18 Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari DAP ini adalah:

1.     Leow Thye Yih dari N17 Pokok Assam
2.     Nga Kor Ming dari N18 Aulong
3.     Loh Sze Yee dari N22 Jalong
4.     Jenny Choy Tsi Jen dari N25 Canning
5.     Dr Abdul Aziz Bari dari N26 Tebing Tinggi
6.     Howard Lee Chuan How dari N27 Pasir Pinji
7.     Ong Boon Piow dari N28 Bercham
8.     Dr Ko Chung Sen dari N29 Kepayang
9.     Sivasubramaniam Athinarayanan dari N30 Buntong
10.     Cheah Pou Hian dari N31 Jelapang
11.     Chaw Kam Foon dari N32 Menglembu
12.     Paul Yong Choo Kiong dari N33 Tronoh
13.     Wong May Ing dari N37 Pantai Remis
14.     Teoh Yee Chern dari N38 Astaka
15.     Leong Cheok Keng dari N41 Malim Nawar
16.     Chong Zhemin dari N42 Keranji
17.     Terence Naidu Raja @ Raja Naidu dari N55 Pasir Bedamar
18.     Sivanesan Achalingam dari N57 Sungkai

Soal mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari Bersatu, iaitu Ahmad Faizal Dato’ Azumu, dan bukannya Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari DAP, telah dilantik sebagai Menteri Besar adalah satu soal yang lain.

Kejayaan besar ketiga DAP adalah mengetuai Pakatan Harapan merampas penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan. Ini tercapai melalui kejayaan DAP menjadi parti komponen Pakatan Harapan yang memegang kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan bila ia memiliki lebih separuh daripada 20 kerusi Pakatan Harapan, iaitu 11 kerusi, berbanding hanya 6 kerusi milik PKR dan 3 kerusi milik PAN.

11 Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dari DAP ini adalah:

1.     Anthony Loke Siew Fook dari N1 Chennah
2.     Teo Kok Seong dari N8 Bahau
3.     Arul Kumar Jambunathan dari N10 Nilai
4.     Chew Seh Yong dari N11 Lobak
5.     Ng Chin Tsai dari N12 Temiang
6.     Nicole Tan Lee Koon dari N21 Bukit Kepayang
7.     Mary Josephine Prittam Singh dari N22 Rahang
8.     Yap Yew Weng dari N23 Mambau
9.     Gunasekaren Palasamy dari N24 Seremban Jaya
10.     Choo Ken Hwa dari N30 Lukut
11.     Veerapan Superamaniam dari N36 Repah

Soal mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dari PKR, iaitu Aminuddin Harun, dan bukannya Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dari DAP, telah dilantik sebagai Menteri Besar adalah satu soal yang lain.

Kejayaan besar keempat DAP adalah mengetuai Pakatan Harapan merampas penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri Melaka. Ini tercapai melalui kejayaan DAP menjadi parti komponen Pakatan Harapan yang memegang kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Melaka bila ia memiliki lebih separuh daripada 15 kerusi Pakatan Harapan, iaitu 8 kerusi, berbanding hanya 3 kerusi milik PKR, 2 kerusi milik PAN dan 2 kerusi milik Bersatu.

8 Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dari DAP ini adalah:

1.     Saminathan Ganesan dari N7 Gadek
2.     Norhizam Hassan Baktee dari N15 Pengkalan Batu
3.     Kerk Chee Yee dari N16 Ayer Keroh
4.     Seah Shoo Chin dari N19 Kesidang
5.     Low Chee Leong dari N20 Kota Laksamana
6.     Damian Yeo Shen Li dari N21 Duyong
7.     Tey Kok Kiew dari N22 Bandar Hilir
8.     Dr Wong Fort Pin dari N24 Bemban

Soal mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dari PAN, iaitu Haji Adly Zahari, dan bukannya Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dari DAP, telah dilantik sebagai Ketua Menteri adalah satu soal yang lain.

Kejayaan besar kelima DAP adalah mengetuai Pakatan Harapan merampas penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Ini tercapai melalui kejayaan DAP menjadi parti komponen Pakatan Harapan yang memegang kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Johor bila ia memiliki lebih satu per tiga daripada 36 kerusi Pakatan Harapan, iaitu 14 kerusi, berbanding hanya 9 kerusi milik PAN, 8 kerusi milik Bersatu dan 5 kerusi milik PKR.

14 Ahli Dewan Undangan Negeri Johor dari DAP ini adalah:

1.     Tan Chen Choon dari N2 Jementah
2.     Dr Ramakrishnan Suppiah dari N6 Bekok
3.     Ee Chin Li dari N10 Tangkak
4.     Ng Yak Howe dari N12 Bentayan
5.     Chew Peck Choo dari N19 Yong Peng
6.     Gan Peck Cheng dari N23 Penggaram
7.     Chew Chong Sin dari N28 Mengkibol
8.     Sheikh 'Umar Bagharib Ali dari N30 Paloh
9.     Liow Cai Tung dari N42 Johor Jaya
10.     Andrew Chen Kah Eng dari N45 Stulang
11.     Cheo Yee How dari N46 Perling
12.     Tan Hong Pin dari N48 Skudai
13.     Tee Boon Tsong dari N52 Senai
14.     Yeo Tung Siong dari N55 Pekan Nanas

Soal mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri Johor dari Bersatu, iaitu Osman Sapian, dan bukannya Ahli Dewan Undangan Negeri Johor dari DAP, telah dilantik sebagai Menteri Besar adalah satu soal yang lain.

Kejayaan besar keenam DAP adalah membantu Pakatan Harapan merampas penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri Kedah. Ini tercapai melalui kejayaan DAP menggenapkan bilangan kerusi Pakatan Harapan dalam Dewan Undangan Negeri Kedah menjadi 28 melalui 2 kerusi miliknya selain 8 kerusi milik PKR, 5 kerusi milik Bersatu dan 3 kerusi milik PAN.

2 Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dari DAP ini adalah:

1.     Tan Kok Yew dari N11 Derga
2.     Teh Swee Leong dari N13 Kota Darul Aman

Kejayaan besar ketujuh DAP adalah membantu Pakatan Harapan mengekalkan penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. Ini tercapai melalui kejayaan DAP menjadi parti komponen Pakatan Harapan yang memegang kerusi kedua terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Selangor bila ia memiliki hampir satu per tiga daripada 51 kerusi Pakatan Harapan, iaitu 14 kerusi, berbanding 28 kerusi milik PKR serta hanya 5 kerusi milik PAN dan 4 kerusi milik Bersatu.

14 Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari DAP ini adalah:

1.     Ng Suee Lim dari N4 Sekinchan
2.     Lee Kee Hiong dari N6 Kuala Kubu Baharu
3.     Lai Wai Chong dari N22 Teratai
4.     Edry Faizal Eddy Yusof dari N23 Dusun Tua
5.     Eddie Ng Tien Chee dari N27 Balakong
6.     Ean Yong Hian Wah dari N28 Seri Kembangan
7.     Michelle Ng Mei Sze dari N31 Subang Jaya
8.     Rajiv Rishyakaran dari N34 Bukit Gasing
9.     Lim Yi Wei dari N35 Kampung Tunku
10.     Jamaliah Jamaluddin dari N36 Bandar Utama
11.     Teng Chang Khim dari N45 Bandar Baru Klang
12.     Leong Tuck Chee dari N47 Pandamaran
13.     Ganabatirau Veraman dari N50 Kota Kemuning
14.     Lau Weng San dari N52 Banting

Kejayaan besar kelapan DAP adalah menjadi parti komponen Pakatan Harapan yang memegang kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Pahang, walaupun gagal merampas penguasaan dalam Dewan Undangan Negeri Pahang, bila ia memiliki lebih dua per tiga daripada 9 kerusi Pakatan Harapan, iaitu 7 kerusi, berbanding hanya 2 kerusi milik PKR.

7 Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dari DAP ini adalah:

1.     Chiong Yoke Kong dari N1 Tanah Rata
2.     Chow Yu Hui dari N7 Tras
3.     Woo Chee Wan dari N30 Mentakab
4.     Lee Chin Chen dari N33 Bilut
5.     Young Syefura Othman dari N34 Ketari
6.     Kamache Doray Rajoo dari N35 Sabai
7.     Leong Yu Man dari N38 Triang

Jika DAP keluar atau terkeluar dari Pakatan Harapan maka Kerajaan Negeri Pakatan Harapan di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kedah akan tumbang, begitulah besarnya kuasa yang dimiliki oleh DAP kini. - HARAKAHDAILY 9/2/2019

LIM Kit Siang (LKS) kebelakangan ini dilihat semakin galak menyerang Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang gara-gara Presiden PAS itu menegaskan bahawa punca PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah kerana DAP memusuhi agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS iaitu untuk memartabatkan syariat dan syiar Islam.

khairuddinattakiriPeliknya, penjelasan seperti itu dan secara terbuka, bukanlah kali pertama dibuat oleh Presiden PAS; sudah dalam banyak siri ceramah dan penulisan beliau, Presiden PAS menyatakan perkara tersebut.

Sebenarnya yang menyebabkan LKS seumpama cacing kepanasan adalah kerana selepas PRU14 dan beberapa siri PRK, orang-orang Melayu-Islam mula menyedari agenda anti-Islam DAP dan semakin membenci DAP.

LKS dan DAP tidak dapat menerima versi Islam yang sebenar yang menekankan pelaksanaan syariat dan menegaskan bahawa politik adalah sebahagian daripada agama. Sebaliknya, LKS dan DAP lebih mesra Islam Moderat sebagaimana dakwaan beliau iaitu satu pemikiran jelmaan pemikiran Islam ala Amerika.

Sebab itulah, apabila Presiden PAS menjelaskan mengenai kepemimpinan Islam dan kepentingan Islam berkuasa justeru mengajak orang-orang Islam mengundi calon beragama Islam yang baik, LKS berterusan menyerang Presiden PAS.

Sedangkan, para ulama dan cendekiawan Islam menjelaskan dan orang-orang Islam memahami bahawa Islam Moderat adalah versi Islam yang mendukung demokrasi total termasuk pluralisme dan hak asasi manusia secara mutlak; menolak konsep Negara Islam dan penguatkuasaan undang-undang syariah; mendukung idea kesamarataan gender; bersetuju bahawa Islam tidak wajar dianggap lebih tinggi berbanding agama-agama lain; dan mempertahakan kebebasan untuk keluar meninggalkan Islam.

Terima kasih saya ucapkan kepada LKS kerana akhirnya mengaku sendiri bahawa beliau memang anti-Islam yang sebenar dan mesra Islam Moderat tajaan Amerika Syarikat.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
8 Februari 2019 | 3 Jamadilakhir 1440 - HARAKAHDAILY 8/2/2019

RIUH seluruh negara apabila PAS menyelesaikan kes saman dengan Sarawak Report (SR) berkenaan fitnah rasuah RM90 juta yang diterima dari Umno melalui beberapa pimpinan dan bekas pimpinan PAS. Masing-masing dari parti politik yang berseteru dengan PAS dengan mudah mengatakan bahawa PAS terbukti bersalah kerana tidak meneruskan saman itu. Mat Sabu cepat respons dengan mengatakan ramai ahli PAS kecewa dan ingin sertai PAN kerana isu ini. Saya kurang pasti, penghijrahan beramai-ramai kali ke berapa ahli PAS ke PAN. Tidak penuh lagikah tangki PAN?

Di pihak PAS pula, mereka mempertahankan tindakan penyelesaian itu atas alasan tiada wang dan PRU telah berlalu. PAS tetap memenangi dua negeri dan hampir merampas Kedah walaupun difitnah sedemikian rupa. Tidaklah terlalu teruk kesan fitnah itu. Jadi buat apa menghabiskan lagi duit. Lebih bagus menumpukan kepada persiapan lain parti. BN ada juga membantu PAS melalui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang secara jelas menafikan beliau memberi wang kepada PAS ketika beliau mengetuai Umno.

PAS melalui SUA-nya meminta supaya orang ramai yang ada mempunyai bukti akan salah laku PAS itu untuk segera mengemukakannya segera dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM. SPRM juga kini telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil beberapa orang yang terlibat. Kini, jika ada tuduhan, maka semua pertuduhan itu akan berada di bawah undang-undang Malaysia. Sehingga kini, masih belum kedengaran tuduhan secara jelas yang disebut secara rasmi oleh lawan PAS. Mungkin takut agaknya.

Isu fitnah RM90 juta ini adalah antara yang terpahit bagi PAS dalam menghadapi PRU14 lalu. Saya berani mengatakan bahawa ia adalah penyebab utama yang telah membawa kepada pecahan undi PAS yang banyak terutama di sebelah pantai Barat. Ia kerana berkait dengan BN. Ketika itu BN adalah seperti biawak hidup kepada sesiapa sahaja. Biawak hidup pun tidak sebegitu dahsyat bebannya.

Tindakan pintar PAS menyaman SR sebelum PRU itu, adalah satu tindakan yang melegakan ketegangan pengundi PAS yang mulai meliar dan curiga dengan PAS. Tetapi bagi pengundi atas pagar yang sangat bersemangat mahu menukar Kerajaan BN, mereka merasa sangat kecewa. Lalu undi beralih kepada PH. Syukur PAS mempunyai ramai ahli yang berkeyakinan penuh kepada pimpinan dan sebahagian lagi pengundi atas pagar, tidak mempercayai fitnah itu.

Selesai PRU14, tidak lama, PH pada hari pertama lagi, janji-janji mereka telah pun dimungkiri. Setelah kemudiannya PH mengambil pula Umno sebagai rakan dalam membentuk kerajaan di Kedah, di sebalik kejian mereka terhadap BN, perangai hodoh lain mereka makin menimbun. Akhirnya setelah hilang sabar setelah empat PRK dan menang, PH masih tidak mahu berubah, pada PRK Cameron Highland, rakyat memberikan majoriti yang lebih besar kepada BN. Punca utama sebagaimana yang diketahui ialah rakan kerjasama BN yang lebih dipercayai PAS, sanggup berkerjasama dengan BN. Rakyat makin mempercayai mereka. Tetapi masih tetap ada lagi sedikit keraguan dalam hati rakyat.

Kita menerima berita yang pada mulanya dianggap sebagai tamparan kepada PAS, iaitu penyelesaian saman di luar mahkamah dengan SR itu. Tetapi akhirnya kita dapat membaca bahawa ini adalah kertas litmus bagi menguji adakah isu ini masih diterima rakyat atau tidak. Jika rakyat dapat menerima bahawa isu ini hanya rekaan PH, PAS akan mendapat tambahan markah, iaitu fitnah ini tidak lagi laku dan PAS sudah hampir suci ‘dosa’-nya kerana terpalit dengan tuduhan fitnah itu. Bola sekarang berada di kaki PH. Apa tindakan mereka? Mahu menuduh PAS dalam kempen, mereka tiada bukti. Jika didiamkan, maka betul itu fitnah mereka. Jika dibisingkan juga, PAS akan menyaman mereka. Untuk selamat, PH lebih baik diam.

Jika ujian ini berjaya dilepasi PAS, maka perjalanan kerjasama dengan BN akan menjadi lebih mudah. Sehingga kini, PH cuba mencipta gelombang membantai PAS, tetapi alhamdulillah tiada sambutan. Semenyih yang mempunyai 68 peratus pengundi Melayu-Islam, akan menjadi medan sebenar bagi kepercayaan ini. SPRM juga nanti akan menjadi ‘washing machine’ rasmi kepada PAS dengan melepaskan PAS dalam keadaan bersih walaupun PAS sememangnya sudah bersih. Dulu SPRM semasa di bawah BN. Sekarang tak bersih lagikah di bawah PH? Melayu bersama PAS dan BN dan PAS berjanji mengerahkan 7000 undi mereka kepada BN di Semenyih. Sangat tepat tindakan menarik saman di waktu ini. Duit selamat, nama baik di mata pengundi juga semakin menyerlah.

Dalam ketika bising mengenai RM90 juta itu hampir mereda, keluar pula cerita sekumpulan anak muda PAS yang mendakwa beberapa pimpinan PAS menerima wang daripada Umno. Hangat kembali. Husam Musa segera mengongsikan siaran FB salah seorang pemuda PAS yang membuat pengakuan itu. Saya lihat itu hanyalah kemarahan anak muda. Biasalah begitu. Ramai yang kemudiannya mengaitkan kisah RM90 juta dengan kes terima duit Umno yang ternyata dua perkara yang berlainan, cuma keluar pada waktu yang sama. Tetapi saya dapati, ianya kurang mendapat sambutan sebab sehingga kini, pendakwa masih belum membuat laporan polis jika benar-benar rasuah. Beberapa portal yang menyokong PH, sedaya upaya menaikkan cerita ini. Tetapi tidak bersambut.

PH juga curiga. Walaupun mereka mahu menggunakan isu ini, tetapi mereka pastinya tidak berani mendekati Pemuda PAS kerana takut juga mereka jika sekiranya ini hanyalah perbalahan yang dibuat-buat. Takut ketika hebat PH guna modal ini, Pemuda dan pimpinan PAS yang bertelagah itu bersalam dan berpelukan sesama mereka. Mana PH nak letak muka? Salah ambil maklumat, kena saman lagi.  

Jadi isu ini tidak menjadi terlalu kuat bagi PH untuk dimainkan dalam PRK nanti. Melalui sejarah juga, pengkhianatan melalui pendedahan dalaman seperti ini, tidak disukai oleh rakyat Malaysia. Pendedah akan dilihat sebagai orang yang tidak bertanggungjawab. Lihat apa jadi dengan seorang yang bernama Tulang Besi? Apatah lagi reputasi PAS yang kukuh. Malah lawan juga memerhatikan kes ini dari sudut PAS mahu menguji pasaran mereka sahaja.

BN pula sebenarnya telah agak jauh meninggalkan PAS dalam upacara menyucikan diri ini. BN mesti diakui PAS mempunyai gerakan media yang sangat teratur. Ya, mereka memang berpengalaman. PAS mesti mengambil kesempatan apabila kerjasama ini berjalan nanti. DS Najib memainkan peranan yang penting dalam pembentukan semula imej BN. Motto Malu Apa Boss Ku itu telah menjadi ikutan. Sindiran tajam beliau segera mendapat respons menyokong setiap kali dipos dalam FB beliau. Khairy Jamaludin pula sekarang yang tidak keruan setelah beliau sendiri menyindir Najib, tetapi gelombang Najib tetap gagah. BN terus membuktikan bahawa mereka adalah berpengalaman menguruskan kerajaan. Manakala Utusan Malaysia dan Berita Harian juga tidak segan silu menyiarkan berita-berita negatif kepada PH. 

Kini bebanan bagi memusnahkan kerjasama PAS-BN amat berat bagi PH. Rakyat sudah mula suka dan mempercayai kerjasama PAS-BN ini. PH gagal menonjolkan diri mereka sebagai parti pemerintah yang beriwibawa. Mereka hilang segala-galanya. Maruah, pelindung dan sedang menelan kembali kahak jijik BN dahulu satu persatu. Mereka juga dilihat sebagai penyerang kepada institusi agama dan Raja oleh rakyat, suatu yang amat sensitif bagi rakyat Melayu-Islam. Ditambah kisah perkelahian dalaman mereka, ura-ura Azmin anak angkat Tun Dr Siti Hasmah akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dan perebutan kuasa yang lain, saya yakin, rakyat tidak berpaling lagi.

PAS dan BN adalah kerjasama yang sepadan. Apa bezanya PH dan BN versi lama di mata rakyat sekarang? Jika mood rakyat sama seperti PRU14 dahulu, maka PH akan ditolak kerana mereka sekarang sedang memegang watak BN dahulu.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar - HARAKAHDAILY 8/2/2019

More Articles ...