18
Sun, Aug
17 Artikel Baru

KETIKA lemah mereka merapatkan diri kepada PAS untuk berpaut 'minta nyawa'.

Setelah merasa kuat, sikap mereka terhadap PAS sangat luar biasa seolah-olah PAS tiada sebarang jasa.

Mereka itu antaranya ialah Umno dan PKR. DAP juga pernah hampir nak bertanding PRU13 pakai lambang bulan.

Dr AzmanKita yakin walau bagaimanapun diperlakukan, PAS akan terus kuat. Kekuatan PAS kerana dua tonggak. Yang pertama kerana Islam teras perjuangan. Yang kedua kekuatan akar umbi kita. PAS mempunyai 7,000 cawangan seluruh negara dan 195 kawasan daripada keseluruhan 222 kawasan parlimen di seluruh negara.

Hanya Umno satu-satunya parti mempunyai kawasan (bahagian) melebihi jumlah yang dimiliki oleh PAS. Bezanya Umno kuat dengan senjata 3M iaitu money, machinery dan media.

PAS ada money walau tak sebanyak Umno dan Umno tak pernah hulur money kepada PAS. Machinery bagi Umno ialah segala kekuatan jentera kerajaan. Bagi PAS pula kita ada jentera petugas di segenap peringkat akar umbi yang sangat komited. Media bagi Umno ialah segala macam media arus perdana yang dioperasikan dengan dana yang melimpah termasuk wang rakyat demi menjayakan perang media Umno. Walau media PAS tak setanding dengan Umno, kita mampu fight di medan ini.

Tapi kita memiliki kekuatan yang tak dimiliki oleh mana-mana parti politik lain. Kekuatan Islam sebagai teras perjuangan! Dengan Islam, cahaya perjuangan PAS tak akan mampu dipadamkan. Kerana cahaya Islam dari Allah. Mana mungkin manusia mampu memadamkan cahaya Allah.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
9 September 2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017                   

DISEBARKAN satu tulisan melarang mandi pada tiga waktu tertentu. Kononnya mandi selepas Asar, selepas Maghrib dan selepas Isyak akan menyebabkan penyakit tertentu. Mungkin ianya pengalaman yang berlaku kepada sesetengah orang, tetapi secara umumnya larangan tersebut tidak tepat dari sudut kesihatan.

drsuhazeli1Berikut adalah ulasan saya berkaitan dengan larangan mandi ini.

30 minit setelah solat Asar

Darah badan kita senantiasa panas dengan julat suhu 36.5 hingga 37.5 celcius, sesuai dengan spesies manusia sejenis mamalia yang berdarah panas. Jika kita mandi sekalipun, darah kita tidak akan berubah samaada sejuk atau terlalu panas. Keseimbangan akan tetap terjamin. Mandi tidak pada ketika ini dibolehkan dan tiada kesan kesihatan. Penat dan lelah secara lumrahnya boleh berlaku setelah kita bekerja sepanjang hari, tiada kaitan pun dengan mandi.

Setelah Maghrib

Jantung manusia bekerja sepanjang waktu, tidak mengenal penat dan lelah. Bagi orang yang normal degupannya berdetak antara 60-110 kali seminit. Tiada istilah jantung lemah kecuali orang yang diserang penyakit jantung lemah. Tiada kajian pun mengaitkan mandi selepas Maghrib atau mandi malam menyebabkan paru-paru berair. Mitos mandi malam penyebab paru-paru berair ini selalu disebarkan dalam masyarakat kita. Zaman dahulu, orang tua-tua melarang mandi malam kerana kesusahan untuk ke perigi yang berada di luar rumah. Elektrik pun tiada dan gelap malam yang menyusahkan untuk bergerak. Sekarang zaman sudah berubah.

Selepas Isyak

Jika jantung kita terhenti, pengsanlah kita atau tanda kematian. Tidak sesekali jantung kita akan istirehat atau berhenti melakukan tugasnya mengepam darah ke seluruh tubuh. Mandi selepas Isyak tidak mendatangkan mudarat kepada badan ataupun jantung berair. Malah mandi di awal pagi bukannya teknik untuk cas semula jantung. Allah jadikan jantung kita sesuatu yang unik, tidak perlu dicas atau diletakkan bateri kecuali penyakit tertentu seperti rithma jantung tidak menentu (cardiac arrytmia) yang memerlukan pacemaker.

Semoga dengan penjelasan ini boleh menghilangkan kerunsingan anda untuk terus membersihkan badan, seterusnya melakukan ibadah dengan sempurna.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
KLIA   
9.9.2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017

MENYAHUT kesediaan PAS Kedah ke arah kembali mentadbir kerajaan negeri, dengan ini diisytiharkan bahawa kami sayap Pemuda PAS telah bersiap di semua 36 Dun dan 15 Parlimen seluruh negeri ini bagi menghadapi PRU14. Selain sebagai jentera kerja, para Pemuda juga antara ramai yang tersenarai sebagai calon, sekali gus membayangkan kalangan Pemuda akan membarisi teraju pemerintahan.

salimkedahBerdasarkan kesedaran yang berlaku, kami yakin rakyat negeri Kedah sedang menanti untuk memberikan semula mandat kepada PAS, di mana keberanian untuk berubah itu telah pun ditunjukkan pada PRU12 tahun 2008 terdahulu. Pencapaian sepenggal pentadbiran PAS dalam memacu negeri Jelapang Padi ini dapat dinilai banding dengan pemerintahan Umno-BN selama 53 tahun sebelumnya.  

Paling penting, pastinya rakyat mendapat pengalaman berguna sepanjang lebih empat tahun BN mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri Kedah sejak PRU13 tahun 2013 lalu. Ternyata sepanjang tempoh ini, undi rakyat telah dipersiakan dengan porak peranda politik yang dilakukan para pemimpin BN Kedah. Sesama mereka sibuk berebut jawatan hingga berlaku pertukaran Menteri Besar dan penyingkiran.

Natijahnya, Kedah kosong dari pencapaian memberangsangkan dalam banyak segi. Hanya gah dengan tindakan kosmetik dan jangka pendek yang dilihat lebih bermotif meraih sokongan. Malah, segala janji ditabur dalam Manifesto BN PRU13, tidak juga tertunai hingga kini. Begitu juga Enam Projek Ikonik yang pernah dikemukakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, seakan kekal menjadi mimpi.

Kalangan pemimpin Umno-BN yang sedang mengisi kerusi pentadbiran kerajaan negeri ketika ini pula, ternyata tandus wawasan untuk memacu masa depan Kedah. Sudahlah begitu, ada antara mereka merupakan pemimpin yang korup dan terkait dengan skandal penyelewengan lampau. Sudah tentu, tanggungjawab pemerintahan tidak sewajarnya diserahkan kepada mereka yang curang dan tiada integriti.  

Rakyat selaku pengundi juga perlu waspada agar tidak terpedaya untuk bereksperimen memberi undi kepada parti-parti Pakatan Harapan (PH). Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menunjukkan taring sebenarnya, serta bukti dominasi DAP ke atas PH. Ia membenarkan sama sekali kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi PH bererti memberi undi kepada DAP.

Kit Siang telah menggesa supaya PH tidak mensia-siakan potensi di Kedah dengan meletakkan parti yang tidak berpeluang menang tanpa menyebut parti dimaksudkannya. Beliau juga menamakan empat Dun iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Jitra sebagai kubu kuat BN yang perlu dimenangi PH. Serta Kit Siang mahu kerusi Dun Gurun dan Kulim diberikan kepada DAP.

Malah, beliau menekankan PH harus menunjukkan perpaduan lebih kukuh dan mantap. Semua katanya itu jika dirangkumkan, dapat difahami betapa ia berupa terma ‘perintah atau arahan’. Kit Siang telah membayangkan antara PAN, PPBM dan PKR; terdapat parti yang tidak berpeluang bertanding di Kedah. Ketika sama, beliau menyimpangkan fokus palsu dengan ‘Misi Mustahil’ di empat Dun tersebut.

Pada semua strategi diatur itu, beliau meletakkan jaminan menambah sekurang-kurangnya dua kerusi bagi DAP, sekali gus menjadi langkah melebarkan pengaruh di negeri ini. Inilah liciknya DAP yang tentunya juga akan menggunakan seluruh kekayaan dimiliki parti itu untuk memastikan rakan PH dipengaruhi mereka. Rakyat negeri Kedah perlu hindari diri agar tidak terjebak ke kancah dicaturkan ini.

Mendirikan semula ‘Kedah Sejahtera’, kami akan mengangkat gagasan untuk memberdayakan Kedah menjadi Hub Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan, serta Hub Halal di rantau ini. Ia akan ditampilkan sebagai satu bentuk sumbangan penting Kedah kepada negara. Signifikan kepada gagasan ini adalah atas kompetensi, wibawa serta pengalaman dimiliki oleh rata-rata Pemuda PAS Kedah.

Malah, ketiga-tiga perkara ini adalah asas kepada sektor lain yang sentiasa berkembang sama ada pengurusan, pembangunan, ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya. Kerana kami melihat, Kedah mempunyai akar sejarah, prasarana yang banyak serta tenaga ramai dan berkemampuan untuk menjana Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan ke satu mercu terunggul bagi rantau ini.

Kami mahu kelak ianya akan mengenalkan Kedah dengan julukan ‘Serambi Al-Azhar’ di mana seluruh institusi berkaitan yang ada dalam negeri ini akan disatu dan disepadukan; dari pengasuhan bayi hingga pengajian tertinggi. Begitu juga Pembangunan Insan, mensasarkan Kedah khususnya dan negara amnya kepada pengurangan sebanyak mungkin penjara sedia ada.

Bermakna, menjadi tempat terpenting dalam pemulihan masalah-masalah sosial yang teruk melanda dewasa ini. Manakala sumber utama bagi Hub Halal, akan didukung oleh pelbagai aktiviti berkaitannya daripada daya berdikari para penduduk negeri ini dengan bantuan aktif agensi-agensi kerajaan. Ia bukan sahaja mewujudkan pasaran murah, tetapi juga pendapatan buat kebanyakan penduduk.

Dengan segala sumber dimiliki, di samping faktor lain; antaranya laluan kereta api, serta berjiran dengan Pulau Pinang yang ada pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa, hub halal sememangnya berpotensi di Kedah. Ditambah pula dekat dengan Thailand yang terkehadapan dalam sektor pertanian. Hanya perlu diperkasakan lagi dengan latihan kemahiran dan inovasi kepada mereka yang terlibat.

Hasrat dalam mengutarakan gagasan ini akan kami bawa sebagai satu suara dari kalangan wakil Pemuda yang berada dalam kepimpinan kerajaan, seterusnya didukung pelaksanaannya juga oleh Pemuda. Kami kini bersedia memikulnya dan menyeru rakyat negeri Kedah untuk bersama agar impian ini tercapai dan legasi Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dihebatkan lagi.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ SALIM MAHMOOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
9 September 2017 | 18 Zulhijjah 1438 - HARAKAHDAILY 9/9/2017                      

MERUJUK kepada penghinaan pemimpin DAP Ronnie Liu kepada kuliah pagi Jumaat Tuan Guru Presiden PAS, elok juga budak-budak kita buat ziarah kasih sayang kepada Ronnie Liu.

Dr Azman2Mula-mula bagi nasihat bahawa tindakan menghina agama orang lain adalah amat bahaya dalam sebuah masyarakat berbilang agama di Malaysia. Lepas tu kalau tak makan nasihat, bagilah teguran. Tak makan teguran bagilah amaran. Kalau amaran pun tak dipedulikan, ada peruntukan undang-undang yang boleh diambil terhadap warga seperti Ronnie.

Kita orang Islam jangan terpengaruh dengan provokasi. Kekadang bangsa lain terlupa bahawa Melayu Islam adalah majoriti dan teras politik Malaysia. Dapat sedikit kuasa mereka dah angkuh dan merendahkan orang Melayu Islam. Lebih kesian bila ada Melayu Islam yang merelakan diri jadi khadam mereka.

Jangan balas dengan hina agama lain. Islam tak ajar begitu. Perlakuan Ronnie tak mewakili agama yang dia anuti. Saya tahu agama Ronnie pun tak mengajar penganutnya menghina agama lain. Perlakuan Ronnie adalah bukti beliau jahil dengan agamanya sendiri. Ada hati nak campur hal agama orang lain.

Juga jangan hina orang Cina kerana semua bangsa adalah makhluk ciptaan Allah. Walau menangis air mata darah sekalipun, tak ada orang yang boleh ubah bangsa mereka sebagaimana mereka dilahirkan. Betapa ramai lagi orang Cina dan bangsa lain yang tulus dan baik. Islam tak mengajar kita tangkap borong semua orang.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
9 September 2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017

PAS telah bersetuju menerima sistem demokrasi berparlimen menerusi pilihan raya sebagai salah satu uslubud-da’wah berdasarkan manhaj al-Qur‘an dan Sunnah yang menjadi dasar perjalanan parti sejak tahun 1951 hingga kini. Sehubungan itu, bagi mendepani PRU14, kami Pemuda PAS telah meletakkan objektif untuk menguasai sekurang-kurangnya 60 peratus undi orang muda di setiap Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh PAS.

khalil2Kami akan memikul tugas untuk menggerakkan anak-anak muda di setiap Dun dan Parlimen bagi melakukan perubahan kepada negara mengikut tema ke arah mendaulatkan Islam dalam kerangka Perlembagaan sedia ada. Maka sebagai sayap kanan parti, insya-Allah kami sedang menggerakkan seluruh jentera Pemuda bagi menghadapi PRU14 yang akan tiba pada bila-bila masa; tidak tahun ini, pastinya tahun hadapan.

Demi sesungguhnya, kita kini sedang menanti untuk memuktamadkan percaturan politik murahan mereka yang menentang Islam. Medan PRU14 ini pastinya cukup hebat sehinggakan ada yang menjangkakan pertembungan dua kelompok besar iaitu satu kelompok mahu memartabatkan Islam, dan sekelompok lagi tidak mahu Islam dimartabatkan. Inilah lanskap politik sedang berada di hadapan rakyat dan penentuannya sangat dekat.

Ingin ditegaskan, bahawa kami berdiri teguh sepenuhnya di belakang saf pimpinan bagi melaksanakan agenda mempersadakan Islam sebagai Agama Negara dengan pendekatan ‘Matang dan Sejahtera’ yang diambil oleh PAS sekarang ini. Melaksanakan "ta‘awun ‘ala al-birr wa al-taqwa" dan tidak "ta‘awun ‘ala al-ismi wal-‘udwaan", adalah pendekatan terbaik yang mengikut manhaj al-Qur‘an dan al-Sunnah.

Kami mengambil ‘queue’ daripada barisan kepimpinan ulama untuk meniupkan semboyan ke medan tempur. Sehingga kini arah tuju PAS dalam PRU14 adalah berdiri sendiri bersama dengan parti-parti politik dan NGOs dalam wadah sebagai Blok Politik Ketiga bernama ‘Gagasan Sejahtera’. Blok ini akan berhadapan Blok Pertama; Umno dengan Barisan Nasional (BN) dan Blok Kedua; DAP serta sekutu Pakatan Harapan (PH).

Jangan menganggap ketidakupayaan PAS memerintah seluruh negara sejak 1955 hingga kini menerusi sistem pilihan raya sebagai tanda kami di landasan yang silap. Sebaliknya kami yakin dan akan terus istiqamah di jalan ini. Demi sesungguhnya, kami berjuang dengan ingatan bahawa Allah SWT tidak bertanya mengenai hasil dakwah diperolehi, tetapi kami akan dipersoalkan perkara yang diusahakan sepanjang usia diberikan.

Kami yakini, Kedah akan dapat kembali diperintah sebagaimana PAS pernah mendapatnya pada PRU12 dahulu. PAS di Kedah telah bertapak kukuh dengan pengalamannya, serta teruji dengan sejarah perjuangan yang menyemarakkan kebangkitan. Peristiwa Memali, Lubuk Merbau dan rampasan tanah Muassasah Darul Ulum serta tokoh-tokoh pernah dilahirkannya, mengenalkan semangat dan roh yang membara di negeri ini.

Kami dapati, sahabat Pemuda PAS Kedah sedang cukup bersedia menempuh mehnah PRU14 di semua 36 Dun dan 15 Parlimen seluruh negeri ini dalam keadaan jentera yang cukup baik. Malah, mereka bersedia untuk menurunkan BN yang sarat dengan bebanan dan masalah untuk tidak terus diteraju kuasa. Bahkan, kemampuan Pemuda PAS Kedah tentunya mengatasi PH yang masih tidak sepakat dan celaru, serta rela ditentu nasib oleh DAP.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia                        
9 September 2017 | 18 Zulhijjah 1438 - HARAKAHDAILY 9/9/2017

SEJAK beberapa minggu lepas, tidak kurang daripada 164,000 orang Islam Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh bagi menyelamatkan diri mereka daripada kekejaman tentera junta Myanmar yang membakar kediaman dan kampung mereka serta melakukan pembunuhan besar-besaran.

nasrudinOperasi penghapusan etnik Rohingya di Arakan yang semakin meruncing mutakhir ini tidak sedikit pun mendapat simpati dan empati daripada Kerajaan Myanmar.

Bahkan, kerajaan negara itu bersikap sengaja membutakan mata mereka terhadap krisis kemanusiaan ini dan memekakkan telinga mereka terhadap kutukan dan kecaman yang disuarakan oleh komuniti antarabangsa.

PAS percaya bahawa Malaysia, selaku negara anggota ASEAN yang dihormati oleh negara-negara anggota yang lain, boleh dan mesti memainkan peranan yang lebih besar bagi menyelesaikan isu kemanusiaan yang melibatkan umat Islam ini.

PAS menggesa Kerajaan Malaysia agar:

i. Mengadakan satu Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu ini, justeru suatu pelan tindakan yang melibatkan pelbagai pihak dan sudut dapat dilulus dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

ii. Memberikan kata dua kepada Kerajaan Myanmar sama ada segera menamatkan penindasan ke atas Muslim Rohingya atau bersedia untuk menyambut kepulangan rakyat mereka yang kini berada negara ini.

iii. Menganjur Mesyuarat Tergempar negara-negara ummat Islam yang mengambil berat isu Rohingya seperti Turki, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lainnya supaya mewujudkan Pasukan Pengaman dan menghantarnya ke Mynmar.

PAS juga menyeru dan merayu seluruh umat Islam agar sentiasa memohon keselamatan dan kesejahteraan buat masyarakat Rohingya dengan memanjatkan doa Qunut Nazilah khususnya pada hari Jumaat yang mulia ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat / Ahli Parlimen Temerloh
18 Zulhijjah 1438 / 9 September 2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017

KALAH dengan Thailand suatu perkara biasa kepada pasukan sepak takraw negara, namun pernah pada dua tahun lalu regu yang dibarisi Shahir Rosdi, Khairul Zaman Hamid Akhbar, Farhan Adam (Mohd Hanifah Dolah -simpanan) menjadi juara Istaf Super Series 2014 di Melaka menewaskan regu Thailand.

Kemenangan itu nyata menyuntik dan mengembalikan semangat para peminat sepak takraw untuk terus menyokong sukan tradisi ini.

Ia menjadi kemenangan bersejarah kerana mereka menundukkan pasukan yang dibarisi suatu masa lalu, nama Adnan Saidin, Norani Adnan, Rehan Mat Din, Ku Halim Ku Musa, Nordin Sabarudin kemudian Zabidi Shariff, Iskandar Arshad menggegar negara dan dunia. Mereka adalah lagenda sepak takraw yang sangat dikenali.

Siapa tak kenal kehebatan Adnan melibas, gulungan Zabidi Sharif, pukulan viper dan stroke Rehan Mat Din dan umpanan bola kedua Ku Halim yang cantik memudahkan Rehan Mat Din melibas deras.

Thailand atau siapa sahaja yang bertemu Malaysia pasti akan ada kegerunan, apatah lagi sistem kiraan mata ketika itu tidak kepada tiap servis atau bola mati adalah mata bagi pasukan.

Pernah permainan berlarutan berjam-jam lamanya hanya menantikan set penentuan, dan balasan servis berulang kali di mata yang sama.

Hari ini kita menyaksikan format mata yang berbeza yang menjadikan permainan tidak lagi panjang tempoh seperti dulu.

Apapun ada kesan positif dan negatif berdepan dengan sistem mata yang dibina sejak beberapa tahun lalu itu.

Persembahan pasukan negara bagaimanapun pada peringkat awal penentuan mata mengikut format baharu sedikit terjejas kerana ketika itu, Thailand mula menguasai kedah sepakan servis kuda di samping tidak dinafikan negara jiran itu memiliki perejam yang sangat berkaliber dan berbakat.

Kini nama Shahir Rosdi menjulang naik, apatah lagi servis kudanya menjadi kegerunan kepada lawan, tidak kira siapa sahaja sama ada di peringkat nasional mahupun internasional.

Tekong utama pasukan Penang Black Panthers ini menjadi antara sebutan tekong terbaik rantau ini apatah lagi banyak melayangkan servis 'ace' ke posisi lima dan tujuh yang sukar diambil lawan.

Aksinya semasa liga Sepak Takraw League (STL) bersama Azlan Ismail menarik perhatian ramai, malah menjadi kegerunan lawan.

Nama beliau dan Khairol Zaman naik tatkala STL memulakan aksinya dua tahun lalu sebagai medan mencungkil bakat pemain takraw negara.

Malah tidak dinafikan aksi mereka di STL menggamit kenangan peminat kepada lagenda seperti Adnan Zaidin, Rehan Mat Din dan Zabidi Shariff.

Bakat mereka teserlah, malah menjadi pemangkin kepada minat anak muda hari ini bermula di bangku sekolah untuk menyertai sukan tradisional ini.

Namun pada Sukan SEA di ibu negara dua minggu lepas, 'servis' Shahir seakan tidak menjadi, ditambah libasan kurang kemas Khairol Zaman menyebabkan Malaysia hanya berada di tempat kedua tewas perlawanan akhir dengan Thailand.

Meskipun merangkul emas dalam Round Robin, namun rata-rata peminat sukan ini agak terkejut dengan prestasi hambar yang ditonjolkan pasukan negara apatah lagi bermain di laman sendiri.

Entah apa yang dihadapi mereka, semestinya pengurus pasukan dapat membuat rumusan dan segala kelemahan bakal menjadi pertimbangan untuk pasukan ini berdepan dengan banyak lagi kejohanan dunia pada tahun ini dan tahun hadapan, sementara menanti Sukan SEA di Manila 2019.

Pada 29 September ini aksi STL akan berjalan semula, maka satu lagi babak menarik akan disaksikan peminat sukan ini.

Namun apakah akan ada lagi jaguh dilahirkan dari program ini, atau akhirnya nanti mereka sekadar menjadi jaguh kampung yang gagal beraksi di pentas antarabangsa.

Apapun harapan rakyat Malaysia pastinya mahu mereka menyerlah, dan sukan ini menjadi penyeri kepada kilauan emas yang akan dikumpul negara di Manila tahun 2019. - HARAKAHDAILY 9/9/2017

More Articles ...