PERGERAKAN lebih sejuta pengguna harian pengangkutan awam darat berisiko terganggu oleh kemungkinan pelbagai polisi baharu ekoran pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD). ‘Politiking’ dan rekod buruknya menerajui Felda Global Ventures Holding Berhad dikhuatiri akan dibawanya dalam menerajui SPAD.

sepatMalah, hasrat Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk mentransformasikan pengangkutan awam juga akan terjejas oleh pelbagai eksperimen bakal dilaksanakan Isa. Maka, impian menyediakan sistem pengangkutan awam berkualiti dan cekap dalam merealisasi hasrat menjadi negara maju akan dipenuhi kacau bilau.

Inisiatif untuk menangani keperluan awam menurut relevansi yang seiring serta memenuhi standard negara maju secara holistik, tentunya sukar menjadi kenyataan. Individu seperti Isa yang terkenal dengan sikap joli dan mengumpul kekayaan hanya akan menjadikan SPAD lubuk mengaut kepentingan. Kroni akan diutamakan, sementara pengguna dan operator terlibat akan menjadi mangsa sasaran.

Sedangkan, pengguna aktif pengangkutan awam darat adalah termasuk golongan pendokong pertumbuhan sosio ekonomi. Malah menyumbang kepada peningkatan taraf hidup, produktiviti, pelaburan dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi ke arah kesejahteraan rakyat. Sehingga kini kami melihat berlaku peningkatan kualiti perkhidmatan dan mengatasi masalah lainnya.

Malangnya, jika berlaku ‘politiking’ yang memberi bebanan kepada pengguna dan operator pengangkutan awam darat, banyak kitaran dan perkaitan akan terjejas semula, bahkan turut mengubah sikap kepenggunaan awam dan landskap sosial. Apakah Perdana Menteri mahu berundur ke belakang semula untuk meyakinkan dan membina kecenderungan awam menggunakan perkhidmatan tersedia?

Penolakan disuarakan Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah dan Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubaharin Ismail serta ramai lagi yang bakal menyusul perlu diberi pertimbangan serius. Hakikatnya, masih ramai individu berkelayakan yang sesuai berada di posisi penting itu.

Perdana Menteri tidak sewajarnya memperjudikan keperluan dan keselesaan jutaan rakyat yang menjadi pengguna harian pengangkutan awam darat serta sasaran capaian negara semata-mata kerana seorang individu berkepentingan. Isa bukan sahaja individu bermasalah, bahkan tarikhnya telah luput yang sewajarnya Isa dimuziumkan atau ‘disimpan’ sahaja dalam lipatan sejarah.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia
21 Jun 2017 | 26 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 21/6/2017

SAYA mewakili PAS Sarawak ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah di atas kejayaan kita semua dalam menjalani ibadah puasa dan juga ibadah-ibadah yang lain di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini.

Hari Raya Idul Fitri merupakan hari kita umat Muslim seluruh dunia menyambut kemenangan setelah kita berjaya mengharungi berbagai cabaran keinginan hawa nafsu kita.

Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan pesanan saya, penuhilah sambutan Hari Raya kali ini dengan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, eratkan ukhuwwah sesama umat Muslim disamping mengajak yang non-Muslim sama-sama dapat merasai kenikmatan dan kesejahteraan bersama Islam.

Elakkan perselisihan faham sesama Muslim dan umat Muslim seharusnya menyambut perayaan ini penuh dengan kekuatan ukhuwwah Islamiyyah, umat Muslim akan mendapatkan kembali kekuatannya bersama dengan keredhaan Allah SWT.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd!

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 21/6/2017

TIMBAL balas dengan apa yang terjadi terhadap Felda sepanjang Tan Sri Mohd Isa Abd Samad menjadi Pengerusi Felda pada 2011-2016 sewajarnya semua hutang yang tidak munasabah atau diragui dalam tempoh ini dilupuskan.

narazaMenurut sumber jumlah keseluruhan peneroka Felda berhutang sebanyak RM5 bilion sehingga akhir 2016 dan Pahang mencatatkan rekod tertinggi RM1 bilion kerana Pahang mempunyai 115 tanah rancangan dan terbesar di Malaysia.

Hutang peneroka menjadi ketara dan tidak diuruskan selian rekod hutang sejak pewujudan Felda Technoplant dan menjadi satu isu besar setelah banyak kepincangan berlaku di zaman Isa Samad menjadi pengerusi Felda.

Hutang pembangunan asal kebanyakannya sudah dijelaskan oleh peneroka Felda melalui mekanisma potongan mengikut pendapatan hasil setiap bulan. Bila peneroka memasuki era tanam semula kali pertama dan pengurusan operasi ladang mereka diuruskan oleh Technoplant, maka bermula  peneroka tidak lagi dibekalkan penyataan hutang terperincil.

Rata-rata peneroka berhutang sekitar RM40,000 hingga RM150,000 di seluruh negara. Hanya segelintir sahaja yang tidak berhutang dari jumlah 112,635 peneroka. Janji Pengerusi Felda sebelum ini memberi keyakinan menyelesaikan isu ini hanya tinggal janji.

Oleh itu, sewajarnya hutang ini dilupuskan kerana berlaku kesamaran dan tidak dibentang secara terperincil dengan persetujuan bersama antara Felda dan peneroka.

Jika benar peneroka berhutang sedemikian memang menjadi kewajipan melunaskannya walaupun sebahagian peneroka asal sudah meninggal dunia.

Waris generasi kedua dan semua pertubuhan berkaitan perlu membawa isu ini dan bersama mencari penyelesaian terbaik, kaedah menang-menang mestilah dijadikan ukuran penyelesaian agar tidak merumitkan lagi antara Felda dan peneroka terutamanya lot peneroka yang diuruskan oleh generasi selepas kematian ibu bapa mereka.

Naraza Muda
Aktivis Membela Peneroka Felda (AMPF)
21 Jun 2017 | 26 Ramadhan 1438 - HARAKAHDAILY 21/6/2017

ALLAHU Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas limpah dan rahmatnya mengurniakan Ramadhan kepada kita.

Di ketika ini, ditemukan pula dengan  Syawal 1438H.

Sesungguhnya hari ini merupakan hari kemenangan buat umat Islam setelah sebulan berpuasa.

Eidul fitri juga merupakan hari di mana umat Islam kembali kepada fitrah. Ia merupakan rahmat Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Akhir kalam, Salam Eidul Fitri dari kami Dewan Muslimat PAS Malaysia, mohon maaf dipinta atas segala kekurangan. Semoga amalan di bulan Ramadhan diterima oleh Allah dan teruskan semangat beribadat dan amalan baik di hari-hari seterusnya.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
26 Ramadhan 1438 H
21 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 21/6/2017

FIRMAN Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan kasih sayang dan rahmatNyalah kita masih diberikan kesempatan untuk merebut ganjaran pahala berlipat ganda di 10 malam terakhir bulan Ramadhan Al Mubarak pada tahun ini.

Ramadhan 1438H kini semakin meninggalkan kita semua dengan pelbagai emosi samada ianya ditangisi ataupun dihiasi dengan riang ria sambutan Aidilfitri. Sebagai orang yang telah bertahun-tahun memasuki Ramadhan dan masih lagi diberikan kesempatan untuk berada di dalam Madrasah Ramadhan kali ini maka sudah sewajarnyalah kita sebagai seorang muslim dan mukmin dapat memahami dan menghayati konsep suruhan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Penghujung kepada suruhan ini adalah harapan supaya manusia yang berpuasa Ramadhan akan menjadi insan yang bertaqwa.

Taqwa berasal dari kata waqa, yaqi dan wiqayah yang berarti takut, menjaga, memelihara dan melindungi. Maka taqwa dapat diistilahkan sebagai sikap memelihara keimanan yang membentengi manusia daripada hal-hal yang menakutkan dan mengkhuatirkan. Oleh kerana itu, orang yang bertaqwa adalah orang yang takut kepada Allah SWT berdasarkan kesedaran untuk mengerjakan segala suruhan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya kerana takut terjerumus ke dalam perbuatan dosa.

Taqwa juga bermaksud seseorang yang selalu beringat dan waspada terhadap sesuatu perkara di dalam rangka untuk memelihara dirinya dari noda dan dosa, selalu berusaha untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang baik dan benar, pantang berbuat salah dan melakukan kejahatan kepada orang lain, diri sendiri dan persekitarannya. Dengan kepelbagaian maksud yang terkandung di dalam taqwa, maka kedudukannya adalah sangat penting di dalam Agama Islam dan kehidupan manusia kerana taqwa adalah asas ukuran pekerjaan seorang muslim. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu”.

Sesungguhnya inilah matlamat daripada berpuasa iaitu membina insan bertaqwa kerana orang yang bertaqwa sahaja akan tunduk kepada Allah SWT dan berpegang teguh dengan Al-Quran yang akan menunjuk manusia jalan hidayah dan kebenaran. Ketaqwaan kepada Allah SWT dapat dilahirkan melalui keimanan yang kuat dan amalan yang ikhlas kepada Allah SWT.

Ia dapat diterjemahkan melalui ibadat puasa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Semua orang mengakui bahawa makan, minum, memenuhi keperluan nafsu syahawat di siang hari adalah fitrah tetapi ianya diharamkan di bulan Ramadhan pada sebelah siangnya. Perkara-perkara ini adalah menjadi tujuan bagi kelangsungan hidup manusia dan menjadi matlamat hidup mereka.

Tiba-tiba makan, minum dan memenuhi tuntutan syahwat yang begitu penting bagi maslahat hidup manusia ini tidak diizinkan oleh Allah SWT di siang hari dalam bulan Ramadhan. Padahal ianya adalah halal pada bulan-bulan yang lain. Kesanggupan kita meninggalkan makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah bukti keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT yang tidak dapat dibuktikan dengan amalan yang lain. Kesanggupan kita ini telah menjadikan kita orang yang sanggup mengutamakan perintah Allah SWT mengatasi keperluan hidup kita sendiri. Inilah maksud dan matlamat puasa iaitu melahirkan insan yang bertaqwa yang akan dimuliakan di sisi Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama muhasabah kembali puasa kita sebelum berakhirnya Ramadhan kali ini. Masih belum terlewat untuk kita mengkoreksi dan menampung segala lompang-lompang ibadah puasa kita dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah SWT, bertadarus dan mentadabbur isi kandung Al-Quran, memperbanyakkan sadaqah jariah, memperhebatkan Qiamullail dan iktikaf di masjid/surau di kawasan kita agar kita mampu mencapai taqwa dalam erti kata yang sebenar.

Marilah kita bersama-sama mempastikan bahawa pada tanggal 1 Syawal 1438H nanti kita akan benar-benar mencapai kemenangan menundukkan nafsu dengan terus beristiqamah di dalam ketaatan kepada Allah SWT sehinggalah ke Ramadhan yang akan datang.

Janganlah kita menjadi manusia seperti yang disifatkan oleh Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi iaitu “Kun Rabbaniyyun wa Laa Takun Ramadhaniyyun - Jadilah kalian hamba-hamba Rabb (Allah) yang mengibadahiNya di segala waktu dan janganlah menjadi hamba-hamba Ramadhan yang hanya beribadah di bulan Ramadhan”. Teruskanlah ibadah kita di dalam bulan Syawal dengan berpuasa sunat 6 hari kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringinya dengan puasa enam hari bulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh." (H.R Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa'i dan Ibnu Majah).

Salah satu faedah terpenting daripada pelaksanaan puasa enam hari bulan Syawal ini adalah untuk menutupi kekurangan puasa wajib pada bulan Ramadhan. Sebab puasa yang kita lakukan pada bulan Ramadhan pasti tidak terlepas dari kekurangan atau dosa yang dapat mengurangi keutamaannya. Pada hari kiamat nanti akan diambil pahala puasa sunat tersebut untuk menutupi kekurangan puasa wajib.

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Taqabbalallahu minna wa minkum, Selamat Hari Raya Aidilfitri 1438 Hijrah, Minnal ‘Aidil Wal Faizin, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh Umat Islam di Malaysia dan di Selangor khususnya. Rapatkan silaturrahim, mesrakan ukhuwah, tolak ekstrimis dan keganasan serta tidak berbelanja secara berlebihan.

Semoga anak-anak perantau yang akan pulang berhari raya di kampung dapat merancang perjalanan dengan sebaiknya agar selamat sampai ke destinasi.  Didoakan juga semoga seluruh ibadah kita sepanjang Ramadhan kali ini diterima oleh Allah SWT.  

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd

DATUK DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan , Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor
26 Ramadhan 1438 H bersamaan 21 Jun 2017 M – HARAKAHDAILY 21/6/2017

PENJUALAN arak di kedai runcit dan serbaneka di negeri ini masih memerlukan pemantauan berterusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini selaras dengan keputusan diambil Kerajaan Negeri Melaka yang menguatkuasakan pengharaman penjualannya dua tahun lalu. Iaitu melibatkan kawasan yang taburan populasi penduduknya adalah majoriti Melayu Islam.

Motifnya boleh difahami bertujuan menghindar penjualan arak kepada orang Islam di mana inisiatif tersebut sangat terpuji dan strategik serta boleh dicontohi. Malah, ‘menyelamatkan’ juga rata-rata pekerja Muslim yang bekerja di premis itu daripada bersubahat tanpa rela dan termasuk golongan dilaknat Allah kerana terlibat dalam hal ehwal berkaitan arak.

Namun, masih terdapat premis yang menjual arak dalam peti sejuk terbuka dan sudah tentulah kerana wujudnya ‘permintaan’. Peniaga sepatutnya mendokong peraturan ditetapkan dan cita-cita murni yang dihasratkan, tetapi pelanggarannya mungkin dipengaruhi faktor keuntungan. Terdapat juga peniaga beralasan bahawa minuman yang dijual itu tidak termasuk dalam kategori arak.

Kami menyedari terdapat kelompangan pada terma undang-undang dalam pengkelasan kategori dan jenis atau definisi arak yang dijual. Ini tanggungjawab Dewan Undangan Negeri Melaka untuk menggubal atau meminda bahagian berkaitan. Tetapi yang penting sekarang adalah semua pihak menjayakan tujuannya, iaitu penjualan arak kepada orang Islam tidak boleh berlaku sama sekali.

Di dalam Islam, arak adalah punca segala maksiat, kerosakan dan kejahatan; betapa ia menerbitkan banyak kesan negatif. Dalam data nasional mahupun antarabangsa terdapat banyak persamaan kes. Sebagai penyebab kematian dan kecederaan; punca penyakit kronik seperti kardiovaskular, kanser mulut, payu dara dan hati; juga kecelaruan mental dan tingkah laku.

Arak juga penyumbang keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak, pencetus pergaduhan; selain kesan mabuk antara penyebab jenayah rogol; dan ketagihan arak dilaporkan lebih sukar diubati berbanding dadah. Maka, jika kita jujur mengakui semua keterangan ini, apakah wajar ia terus dijual semata-mata mengejar keuntungan?

Kami menasihati seluruh rakyat khususnya umat Islam agar tidak mendampingi, bahkan menjauhi arak. Keseronokan dan ketenangan dari arak hanyalah satu kepalsuan yang ianya adalah tipu daya syaitan. Kerajaan juga perlukan keazaman politik yang lebih kuat agar segala perkara berkaitan arak dapat ditangani agar jangan jadi seperti kata pepatah, “Ayam terlepas, tangan berbau tahi”.

USTAZ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka
21 Jun 2017 | 26 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 21/6/2017

BantahArak 4

BantahArak 3

BantahArak 2

KERAJAAN Negeri Selangor melalui Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Puan Haniza Talha telah sejak tahun 2008 membantu untuk menyelesaikan masalah pembinaan Rumah Pangsa Kos Rendah 276 unit di PJS1, Petaling Jaya oleh pemaju Peter's Brickworks Sdn Bhd.

Kerajaan Negeri juga telah mengadakan banyak perbincangan dengan pemaju dan pembeli.

Para pembeli telah mengemukakan tuntutan-tuntutan terhadap pemaju berkaitan kelewatan pembinaan pembangunan tersebut dan pemaju telah mengemukakan cadangan balas mereka.

Kerajaan Negeri pula telah bertindak sebagai fasilitator untuk menyelesaikan pertelingkahan di antara pemaju dan pembeli.

Pada mesyuarat terakhir dengan pemaju pada 13 April 2017, pemaju telah menyatakan pendirian untuk menolak perkara-perkara berikut yang menurut mereka dituntut oleh para pembeli,

1. Bayaran "LAD" sebanyak RM15,000.

2. Pengecualian bayaran faedah dan/atau denda lewat yang dituntut oleh AmBank Berhad.

Oleh yang demikian, mesyuarat tersebut telah meminta pemaju mempertimbangkan agar Rumah Kos Rendah itu diubah kepada Rumah Selangorku dengan keluasan melebihi 650 kaki persegi tanpa sebarang bayaran tambahan.

Pihak MBPJ bersedia memberi kerjasama kepada pemaju untuk mengubah projek ini kepada Rumah Selangorku.

Walau bagaimanapun, ia adalah tertakluk kepada rundingan di antara pemaju dan pembeli.

Adalah tidak adil jika projek perumahan ini dibatalkan dan sekali-gus menghampakan para pembeli rumah yang telah sekian lama menunggu.

Oleh yang demikian, sebarang pembatalan mestilah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Kerajaan Negeri berharap satu penyelesaian yang saksama dapat dicapai.

Kerajaan Negeri telah berusaha hampir 9 tahun untuk memastikan pemaju dan pembeli dapat mencapai persetujuan tersebut.

Dengan itu, Kerajaan Negeri berharap kedua-dua pihak akan terus melakukan rundingan dan bersedia membantu jika diminta.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
20 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 20/6/2017

More Articles ...