21
Sun, Apr
19 Artikel Baru

LANJUTAN beberapa pendedahan pemalsuan kelayakan akademik yang melibatkan menteri dan wakil rakyat, adalah dicadangkan agar satu siasatan terperinci perlu dilakukan dengan segera.

Sekiranya perkara tersebut melibatkan pemalsuan dokumen, maka ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Oleh itu, beberapa implikasi perundangan akan berlaku dan kemungkinan akan menjejaskan kedudukan politik mereka.

Hal ini adalah suatu yang serius. PAS tidak mempersoalkan taraf kelayakan akademik mana-mana pihak, tetapi tindakan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan hak terhadap sesuatu kepentingan adalah tindakan yang tidak boleh dimaafkan.

Berdasarkan kepada maklumat yang telah ditularkan di media sosial, lebih daripada tiga orang anggota kabinet yang menjadi sasaran warga internet.

Ia telah menjejaskan reputasi seluruh kabinet kerajaan sekiranya tiada tindakan lanjut diambil.

Malah, isu ini turut dilaporkan oleh beberapa media antarabangsa yang berpengaruh seperti Bloomberg dan Business Insider Singapore.

Oleh itu, PAS mendesak agar satu siasatan terperinci perlu dilakukan dengan segera. Sekiranya melibatkan pemalsuan dokumen, maka perkara ini perlu diadili dengan sewajarnya.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
6 Jamadil Akhir 1440 | 11 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 11/2/2019

SEJAK calon DAP gagal merampas kerusi P.78 Cameron Highland dalam Pilihan Raya Kecil yang dilangsungkan pada 26 Januari lalu, banyak sekali perbincangan yang timbul mengenai kemampuan Pakatan Harapan untuk meyakinkan pengundi Melayu supaya mengundinya.

Antara yang membuat analisa mengenai perkara ini adalah strategis DAP yang juga Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, dalam tulisan beliau pada 7 Februari yang menyebut bahawa undi Melayu boleh diperolehi jika Pakatan Harapan mengambil langkah-langkah tertentu.

Saya terkejut melihat begitu mudah sekali Dr Ong menganggap bahawa undi Melayu akan diperolehi jika Pakatan Harapan memastikan bahawa dasar-dasar pro-rakyat yang ia telah atau akan laksanakan turun ke bawah kerana majoriti golongan B40 adalah pengundi Melayu.

Antara dasar-dasar pro-rakyat Pakatan Harapan yang Dr Ong berikan sebagai contoh adalah sumbangan I-Suri kepada suri rumah - suri rumah miskin, pas pengangkutan awam My100 dan My50 serta skim insurans kesihatan MySalam kepada golongan B40.

Pelik bila Dr Ong, yang mempunyai ijazah PhD dari Duke University dan yang terlibat merangka Manifesto Pakatan Harapan, boleh berfikiran simplistik tanpa menyelami psikik sebenar pengundi Melayu dan boleh melupakan kandungan Manifesto Pakatan Harapan.

Jika diteliti kepada kandungan Manifesto Pakatan Harapan, isu yang menyentuh pengundi Melayu terdapat dalam dua daripada 60 janji, iaitu Janji 11 (Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya) dan Janji 30 (Memajukan ekonomi Bumiputera).

Dalam Janji 11 disebutkan “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tanah-tanah rezab Melayu dilindungi dan semua tanah rezab Melayu yang telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau lebih tinggi”.

Turut disebutkan dalam Janji 11 adalah janji bahawa “Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy out) agar peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat”.

Dalam Janji 30 pula disebutkan “Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera agar akan wujud sebuah bangsa yang boleh berdikari dan bersaing secara sihat di serata dunia”.

Secara lebih spesifik lagi, Janji 11 menyebut: “Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya. Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara terbuka.”

Begitu juga dengan Janji 30 yang menyebut: “Untuk memastikan iltizam kerajaan yang berterusan dalam membantu warga Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini agar ia menjadi penanda aras yang tepat dalam usaha mencapai matlamat peningkatan ekuiti Melayu dalam pasaran. Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam setiap Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan.”

Malangnya, janji-janji ini langsung tidak dipetik oleh Dr Ong dalam tulisan beliau itu, malah ia juga tidak disebut oleh Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam Ucapan Belanjawan 2019 yang beliau bentangkan pada 2 November 2018.

Apa agaknya yang dimaksudkan dengan “agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam” seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan? Apakah ia hanya sekadar dasar-dasar pro-rakyat membabitkan golongan B40 seperti yang disebutkan oleh Dr Ong?

Mengapa pula prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam ini, khasnya kedudukan ekonomi Melayu serta jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera, tidak dibentangkan dalam Ucapan Belanjawan 2019 seperti yang dijanjikan?

Saya telah menyemak Ucapan Belanjawan 2019 setebal 78 muka surat yang dibentangkan oleh Lim untuk mencari jika wujud di mana-mana pembentangan mengenai perkara ini, malangnya apa yang ada hanyalah 3 fokus membabitkan 12 strategi ini sahaja:

Strategi 1:     Memperkukuh Pengurusan Fiskal
Strategi 2:     Menstruktur Semula dan Merasionalisasi Hutang Kerajaan
Strategi 3:     Meningkat Hasil Kerajaan
Strategi 4:     Menjamin Kebajikan dan Kualiti Hidup
Strategi 5:     Meningkat Peluang Pekerjaan dan Kebolehpasaran
Strategi 6:     Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan dan Perlindungan Kebajikan Sosial
Strategi 7:     Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna
Strategi 8:     Pendidikan bagi Masa Hadapan Yang Lebih Baik
Strategi 9:     Mencetuskan Kuasa Ekonomi Baharu
Strategi 10:     Merebut Peluang Dalam Menghadapi Cabaran Global
Strategi 11:     Mendefinisi Semula Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan
Strategi 12:     Memastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Saksama Dan Mampan

Perkara-perkara beginilah, dari sudut ekonominya, yang sangat perlu diambil berat dan diberikan penekanan oleh Pakatan Harapan dalam usahanya untuk meyakinkan pengundi Melayu supaya mengundinya, khususnya dalam Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih pada 2 Mac ini.

Jika tiada penegasan-penegasan tertentu dari Pakatan Harapan mengenai perkara-perkara begini, dan jika hanya strategi Dr Ong diguna pakai, maka tidak mustahil pengundi Melayu Semenyih, seperti pengundi Melayu Cameron Highland, akan turut menolak Pakatan Harapan. - HARAKAHDAILY 11/2/2019

DAHULU ketika menjadi pembangkang, habis semua dibangkang. Tidak cukup siang, malam pun jadi. Tidak cukup di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, di jalanan berdemo pun jadi asal boleh bangkang. Tidak cukup dengan playkad, tidur di jalanan malah berarak sehingga tidak cukup jalan.

Namun setelah menjadi Kerajaan, mentaliti masih tidak berubah dan perubahan yang dijanjikan hanya angan-angan tahi ayam. AES dahulu menjadi kempen kuat Pakatan Harapan, dari Rafizi Ramli, Lim Guang Eng, Mahfuz Omar dan ramai lagi pimpinan PH menentang kuat pelaksanaan AES.

Katanya projek kroni, untungkan kroni, tidak masuk akal dilaksanakan dan berbagai lagi alasan. Sekarang tiba-tiba AES mematuhi Maqasid Syariah, perlu dilaksanakan dan berbagai lagi alasan diberi. PH hanya pandai menutur berbagai janji namun hakikatnya seperti budak kencing berlari.

Amacam boss, pampers pakai tak?

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 11/2/2019

 

YA. Sijil bukanlah syarat untuk menjadi pemimpin. Tetapi syarat utama adalah berilmu. Memiliki daya intelektualiti tinggi.

Tuhan nyatakan syarat ini dalam dua kisah:

(1)     Pelantikan Talut sebagai Raja: 

قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ

"Nabi mereka berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi Raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan"."

[al-Baqarah: 247]

(2)     Pelantikan Nabi Yusof sebagai Menteri Kewangan:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

"Yusof berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi berilmu"."

[Yusuf:55]

Sijil adalah tanda pengiktirafan keilmuan seseorang. Namun tidak berguna sijil bergulung-gulung tetapi tidak memimpin berasaskan intelektualiti dan manhaj ilmu, sebaliknya mengikut budaya Populisme dan dipengaruhi Materialisme.

Kecacatan pemerintahan negara, kepimpinan masyarakat malah turut melanda jemaah Islam hari ini akibat dari pemilihan pemimpin yang tidak bercirikan konsep Qiyadah Mufakkirah (pemimpin pemikir). Pemimpin dipilih lebih kepada personaliti menarik pada pandangan awam, pandai berpidato dan memanipulasi sentimen. Kejahilan awam terhadap tanggungjawab memilih pemimpin turut menyumbang kepada kemunculan pemimpin Ruwaibidhoh. Sehinggakan penipu dan pengkhianat pun boleh diangkat sebagai pemimpin.

Maka lahirlah kerosakan terhadap organisasi yang dipimpin. Sesat lagi menyesatkan.

Pilihlah pemimpin sebaiknya. Utamakan orang berilmu, tolak penipu!

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 10/2/2019

TERBUKTI kerajaan PH kini sedang menghadapi defisit kepercayaan (trust deficit) rakyat yang serius disebabkan oleh isu-isu berikut:

a. Isu sijil pengajian palsu. Sebelum menjadi Kerajaan, DAP mendesak ahli kabinet meletakkan jawatan kerana dipercayai ahli-ahli kabinet tersebut memiliki sijil palsu. Namun begitu, setelah menjadi kerajaan, parti tersebut diam seribu bahasa apabila timbalan menteri PH dikatakan memiliki sijil palsu malah dikatakan masih ramai pemimpin dari parti tersebut membuat perkara yang sama.

b. Berkenaan isu AES. Kerajaan dilihat terus menerus melakukan pusingan ‘U-turn’. Sebelum ini, pelaksaan AES ditentang habis-habisan oleh pemimpin Pakatan Harapan yang menyifatkan pelaksanaan AES suatu tindakan kejam. Walau bagaimanapun, kini isu pelaksanaan AES dikatakan bertepatan dengan Maqasid Syariah.

Di mana kredibiliti pemimpin PH? Sijil pengajian yang palsu serta kenyataan yang sentiasa berlaku pusingan-U? Isu PTPTN, isu penghapusan tol serta isu lantikan ahli politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) membuktikan segala janji kerajaan kepada rakyat sudah hilang kredibilitinya.

Saya berharap agar kredibiliti pentadbiran negara dapat diatasi. Selagi mana kemelut kepimpinan tidak dapat diselesaikan selagi itulah semakin terhakis ‘trust deficit’ rakyat terhadap kerajaan yang sehingga kini semakin membarah.

”Islam Memimpin”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu
11 Februari 2019 | 6 Jamadilakhir 1440 – HARAKAHDAILY 11/2/2019

PERTIKAIAN terbuka oleh Pengerusi PAN Taiping, Mohd Saad Ismail terhadap Pegawai Tadbir Agama Daerah Taiping berkaitan keputusan pelantikan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid adalah tidak matang, melulu dan semberono. Bahkan tindakan beliau selaku Ahli Majlis Perbandaran Taiping sangat tidak profesional kerana menyerang melalui media sosial Facebook.

Sikap umpama lelaki belum baligh itu jelas tidak menghormati penjawat awam dan juga institusi diwakili iaitu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Malah boleh dianggap menderhaka terhadap Tuanku Sultan Perak yang telah memberi perkenan. Selain juga dilihat satu cubaan campur tangan politik yang tidak sepatutnya mengusik urus tadbir atau mengaibkan kredibiliti institusi berkenaan.

Apakah perbuatan tersebut diserlahkan atas keangkuhan sekelumit kuasa yang sedang dipegang atau ia sebenarnya mewakili pihak berkepentingan lain bersama agenda dan motif politik mereka? Kami mengingatkan supaya jangan sesekali ada cubaan untuk mencemarkan institusi mulia ini dari kepentingan sempit yang tidak meninggikan Islam dan memajukan umatnya.

Kami juga mengingatkan agar tidak berlaku sebarang kongkongan politik terhadap institusi umat Islam ini. Kami menggesa Mohd Saad tampil memohon maaf kepada pihak berkenaan tanpa melanjutkan perbuatan yang boleh mengundang sensasi dan kontroversi serta ketidakharmonian. Keutuhan dan maruah institusi Islam adalah tanggungjawab bersama.

Kami juga menyeru seluruh umat Islam di negeri Darul Ridzuan ini menerima dengan hati terbuka serta lapang dada pelantikan baharu Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid sebagaimana diumumkan JAIPk. Bersama kita mengimarahkan usaha-usaha memperkasakan agenda umat Islam menerusi institusi ini dan mendukung saf baharu yang menerajui pengurusan masjid bagi sesi ini.

"Islam Memimpin"

HAJI ALIAS AHMAD 
Yang DiPertua
PAS Kawasan Taiping - HARAKAHDAILY 11/2/2019

CERITA dedah aurat oleh seorang artis wanita baru-baru ini, agak menggemparkan. Dimaklumi rakyat Malaysia memang suka membawang melibatkan banyak perkara. Paling disukai apabila melibatkan perilaku artis. Artis itu kemudian mempertahankan dirinya. Alasannya itu tidaklah dilihat benar dari segi agama. Maka yang marah, akan bantah. Yang minat, akan pasrah.
 
Walaupun diugut ramai peminat untuk tidak lagi menonton hasil seni beliau yang kita terjemahkan sebagai mengurangkan populariti dan juga bayaran yang boleh istilahkan sebagai dedak, beliau tetap dengan keputusannya. Dia tetap dedah walaupun kurang dedak. Tetapi agak membimbangkan ialah dedak akhirat orang yang mengutuk beliau akan berkurang walau artis itu yang mendedahkan auratnya. Semoga Allah memberikan hidayah kepada semua untuk kembali kepada kehendak Allah.
 
Ada pula golongan yang sanggup menipu penampilan mereka dalam usaha bagi mereka mencari pendapatan iaitu dedak yang banyak. Mereka tanpa segan menjalankan operasi mereka tanpa takut dosa dan pahala. Mereka bergerak serata tempat bagi mengelakkan penipuan mereka didedah orang yang mungkin mengenali atau menghidu modus operandi mereka.
 
Hangat juga baru-baru ini berkaitan dengan kisah pembesar negara yang tidak mempunyai kelulusan yang sepatutnya. Mulanya nama pusat pengajian dikelirukan. Kemudiannya dinafikan dan diperbetulkan. Tetapi apabila nama baharu pusat pengajian itu didedahkan, timbul pula keliru lain yang menyebabkan kepala yang tidak gatal digaru-garu. Datang pula ketua beliau dengan mudah menjawab, asal tidak merogol dan membaham rasuah, tiada masalah. Dedak yang besar, tetap dia makan, walau diragui.
 
Sebelum ini, kumpulan mereka suka mendedahkan kelaku jahat pembangkang sekarang. Memang munasabah kerana kerajaan yang dahulu pun, tidak kurang hebat menipu. Ini semua kerana berebut dedak. Bukannya sedikit dedak yang mahu direbut, dan sepatutnyalah semua pihak pakat dedah mendedah sebab mahu rebut dedak itu. Tiada ubah perangai dendam ini dengan binatang buas di rimba. Bila ada kuasa, baham yang lain, bila tidak kuasa dibaham oleh yang lain.
 
Almarhum Mursyidul Am PAS dahulu pernah mendedahkan bahawa BR1M adalah satu jenis dedak yang ditabur oleh pemerintah bagi mendapatkan undi rakyat. Dedak yang ditabur secara teratur dan bersistem itu, tidak lain hanyalah kerana kerajaan yang memerintah ketika itu, mahu terus berada di tampuk pemerintahan. Dedah beliau lagi, ada yang layak, tidak diberi. Rakyat diperlaku seperti ayam yang diberi dedak, untuk disembelih. Sehingga habis umur beliau, begitulah dipaterikan pandangannya itu.
 
Tun Mahathir adalah empunya kepada sindiran dedak ini. Beliau juga tidaklah baik sangat dalam isu berkaitan dengan dedak ini. Jika agak tertekan, beliau akan mula bercakap mendedahkan kejahatan Israel, atau mengutuk bangsa lain untuk kekal dikenang rakyat sebagai wira. Sentiasa loceng agama dan bangsa dibunyikan beliau jika diasak sehingga ke penjuru gelanggang. Dapatlah bernafas kembali beliau.
 
Tun mempunyai keistimewaan meredakan kemarahan orang. Bagi rakyat kebanyakan yang mengenali Tun hanya melalui surat khabar kerajaan, mereka tidak merasa apa-apa kecacatan Tun walaupun didedahkan dengan bermacam-macam riwayat oleh seteru beliau. Mereka diberikan Tun dedak kemajuan negara yang cukup membanggakan. Jadi bagi mereka, asal negara maju, cukup dedak, Tun nak ambil bahagian Tun, ambillah. Begitulah pintarnya Tun berpolitik. Tun juga pandai larikan diri jika ada orangnya membuat onar.
 
Tidak kepada rakyat biasa sahaja, Tun juga memberikan dedak kepada ahli-ahli politik. Dedak kepada ahli politik kawan, itu biasa. Tetapi dedak kepada ahli politik lawan, itu luar biasa. Dan langkah Tun tidak sumbang. Terengganu diberikan dedak royalti walaupun parti Islam yang menguasai. Kelantan masih menunggu, tetapi insyaAllah ada cahayanya. Dedak ini tidak akan ditolak pastinya, kerana ia hak rakyat. Dedak ini bukan sebarang dedak kerana dedak ini juga akan memberikan imbalan yang besar kepada Tun.
 
Jika pelampung PH bocor, maka Tun akan dapat berpaut dengan dedak royalti ini, paling kurang. Jadi bolehlah beliau kembali melaungkan penyatuan Melayu-Islam bersama BN dan parti Islam, meninggalkan rakan pakatan beliau sekarang. Taktik ini tidak perlu didedah beliau, kerana cara memberikan dedak itu sahaja pun, kita sudah nampak bagaimana niatnya. Nanti tenggelamlah parti rakan Tun dan akan terdedah kepada serangan dan tuduhan oleh BN pula, yang menunggu geram untuk mengambil semula dedak mereka yang dipegang PH. Tun pula selamat. Tun juga meletakkan orang beliau percaya untuk jaga dedak royalti ini. Takut orang lain, iaitu khadam DAP khianat, Melayu marah, maka rosaklah rancangannya.
 
Ketika dahulu, parti Islam mempunyai sekumpulan manusia yang dikatakan hebat, cerdik, profesional dan bakal memimpin negara dengan panduan ulamak. Mereka kemudiannya didedahkan dengan segala selok belok tipu daya siasah secara Islam oleh ulamak-ulamak senior sebagai persiapan ke arah itu. Mereka disyaratkan untuk tidak minta atau mengagungkan dedak dunia walau berkuasa dalam perjuangan suci ini, sebaliknya merekalah yang mesti memberi hak dedak kepada rakyat sebagaimana Islam mahukan.
 
Tidak diketahui mulanya mengapa mereka kemudiannya berpaling arah menjadi penentang kepada guru-guru mereka itu. Namun setelah beberapa lama, maka terdedahlah bahawa persiapan mereka untuk mengambil alih parti Islam dari dalam, telah berjalan sejak kira-kira 40 tahun lalu. Rancangan mereka ini dimaklumi oleh pimpinan peringkat atasan, tetapi tidak didedahkan dengan semberono oleh pimpinan yang handal mengatur gerak balas itu. Langkah dibuat secara diam, sambil diletakkan orang terpecaya bersama mereka, mengambil tahu gerak mereka. Akhirnya mereka gagal merampas kuasa setelah dedak yang mereka cuba berikan, tidak dimakan oleh perwakilan. Parti Islam tidak terliur dedak dari manusia.
 
Setelah terdedah ‘aurat’ mereka, maka berbondong-bondonglah keluar parti tanpa dihambat kepada parti yang baharu ditubuhkan, bagi menyerang secara berdepan. Mereka menerima dedak daripada taiko mereka bagi menjalankan kerja-kerja menyerang itu. Sehinggakan warna oren, lambang parti juga diperkenan oleh taiko mereka sebelum diluluskan. Pun begitu, lambang parti mereka dikenal pasti sebagai meniru lambang stesen TV di India setelah didedahkan oleh rakyat. Tapi malu diketepikan kerana dedak.
 
Setelah menang PRU, semakin banyak dedak yang diperolehi. Gembira sungguh mereka. Belum sempat setengah tahun, sudah ada kelihatan di mulut mereka penuh dengan debu-debu dedak. Syukur, rakyat begitu prihatin cepat menghidu dengan dedahan demi dedahan yang mereka sedang membolot dedak, tidak ubah seperti pencuri dedak dahulu. Sekarang mereka terdedah dengan kebencian rakyat yang melihat sendiri mereka membaham dedak, sehinggakan dedak yang sepatutnya dikurnia kepada bangsa teramai di dalam negara juga kelihatan dikecilkan. Diberi kepada puak yang sudah lama mengidam dedak itu dan mengutuk-ngutuk tuan punya dedak. Manakala dedak yang dijanjikan kepada rakyat, tidak pula ditunaikan. Semakin terdedah PH kepada kekalahan. Ah, dedak ini memang menjahanamkan manusia.
 
Oleh itu, tiada gunanya jika ada ahli parti Islam yang secara tiba-tiba mendedahkan kepada umum kononnya apa yang dikatakan sebagai penyelewengan. Mereka mendakwa tidak menerima sebarang dedak daripada sesiapa pun. Golongan sebelumnya juga menafikan menerima dedak. Hatta setelah didedahkan, tetap tidak mengaku walaupun sudah nampak kebenarannya. Mereka kata dedahkan penyelewengan kepada dunia atas nama jemaah, tidak mengambil dedak kerana Allah. Kemudian mereka dakwa rapat dengan ramai pembesar, berjela-jela cerita berkenaan korban mereka dahulu untuk jemaah.
 
Sayangkan Mursyidul Am, tetapi langgar arahan almarhum supaya patuh kepada Presiden. Almarhum Dato’ Harun Taib walaupun tidak bersetuju menerima Abu Urwah ke dalam PAS, beliau tetap tidak mengumumkan perang terbuka. Patuh beliau kepada jemaah. Tiadalah beliau menyohorkan diri beliau yang sudah bergelumang lama dalam jemaah bagi menghapuskan Abu Urwah. Tetapi Abu Urwah, saban waktu mencanangkan kehebatan beliau ditahan ISA kepada umum. Siapakah yang lebih hina daripada Abu Urwah yang datang merayu-rayu ke Manir, mahu masuk PAS atas niat membunuh PAS dari dalam dan membawa bahtera Islam ini kepada jalan menyeleweng atau kumpulan orang yang dituduh sekarang?

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
10 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 10/2/2019

More Articles ...