ISU yang dibangkitkan oleh penternak ikan sangkar di Pulau Ketam semasa penyerahan memorandum oleh Pengerusi Komuniti Keselamatan Dan Pembangunan Pulau Ketam, Chia Mong Chun kepada Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai berkenaan dengan kadar TOL dikenakan kepada penternak oleh Kerajaan Negeri seperti yang dilaporkan The Star Online pada 23 Jun 2017 adalah tuduhan tidak berasas.

Berdasarkan laporan tersebut, penternak ikan sangkar Pulau Ketam dikatakan telah dibebankan dengan kadar TOL tinggi pada kadar RM2 sekaki persegi di mana dengan caj pada kadar tersebut penternak perlu membayar di antara RM60,000 hingga RM100,000 setahun.
 
SANGKARUntuk makluman, jumlah sebenar kadar bayaran TOL dipersetujui Kerajaan Negeri hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi setahun di mana kadar tersebut dipersetujui dan disahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 15/2016 pada 27 April 2016 berbanding dengan kadar nilaian diberikan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4 semeter persegi setahun.

Kadar bayaran TOL kepada pengusaha ikan dalam sangkar (SKL) ditetapkan Kerajaan Negeri antara terendah jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.

Sebagai contoh, Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi.

Anggaran keluasan setiap pengusaha di kawasan penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Ketam adalah maksima 20,000 meter persegi manakala keluasan minima pula sekitar 500 meter persegi.

Berdasarkan kepada pengiraan dengan keluasan maksima 20,000 meter persegi untuk kadar bayaran TOL sebanyak RM0.40 semeter persegi adalah berjumlah RM8,000 setahun.

Manakala jika mengambil kira keseluruhan caj-caj sedia ada dikenakan oleh Jabatan Perikanan Selangor untuk tempoh setahun adalah lebih kurang RM9,070 dan caj tersebut tidak termasuk caj levi pekerja asing ditetapkan Kerajaan Pusat.

Kadar caj sedia ada ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Selangor adalah seperti berikut:-

a. Lesen Sistem Kultur Laut (SKL) pada kadar RM10.00 setahun bagi setiap sistem kultur yang meliputi permukaan air seluas 200 meter persegi atau kurang dan bagi setiap tambahan kawasan permukaan air seluas 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, suatu fi sebanyak RM5.00 setahun; dan

b. Lesen Bot Sistem Kultur Laut pada kadar maksimum RM70.00 per bot setahun mengikut kategori bot (kuasa kuda).

Atas dasar keperihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu semua golongan petani, penternak dan juga nelayan termasuk penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan kesemua para penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam dalam masa terdekat.

Ia bagi memberikan penerangan dan menjelaskan perkara sebenar serta tepat berhubung dengan isu kadar bayaran TOL dan dalam masa sama mendengar sendiri keluhan dan masalah yang mereka hadapi.

Diharapkan agar para penternak ikan dalam sangkar dapat merujuk kepada pihak yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas agar tidak timbul salah faham dan sebagainya.

ZAIDY ABD TALIB ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor.

SUSULAN keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melonggarkan syarat kelayakan Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41, PAS menggesa kerajaan supaya membatalkan keputusan berkenaan.

Isu ini perlu dilihat secara objektif. Malaysia memerlukan modal insan dalam institusi perubatan negara bagi menampung modal insan dalam kelestarian pembangunan menghadapi cabaran mendatang. Dalam masa yang sama, isu lambakan doktor pelatih seperti yang dibangkitkan sebelum ini juga wajar diberi perhatian segera oleh pihak bertanggungjawab.

Kita menerima jumlah graduan perubatan yang tinggi saban tahun. Pada 2015, jumlah graduan perubatan mencecah 4,140 orang dengan hanya kira-kira 20 peratus di kalangan graduan mengambil masa lebih 2 tahun untuk diserap ke 44 buah hospital yang menyediakan penempatan doktor pelatih.

Para graduan ini merangkumi graduan perubatan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-Level di sekolah antarabangsa perlu mendapatkan tempat di hospital tertentu bagi menjalani latihan siswazah selama 2 tahun dan khidmat wajib juga selama 2 tahun di Kementerian Kesihatan, sebelum dianugerahkan Sijil Pengamal Perubatan.

Tidak sesekali dinafikan kita wajar memastikan keseimbangan "demand-supply" serta para graduan tersebut perlu diberi tempat bagi menjalani latihan siswazah sebagai langkah awal profesion kedoktoran di negara ini. Namun, kelonggaran syarat kelayakan BM tidak seharusnya dijadikan "korban" oleh pihak kementerian.

Respons balas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 2 Julai yang lalu memproklamir bahawa kelonggaran itu "memudahkan pelantikan terutamanya bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab".

Sebaliknya pula PAS berpendirian KKM seharusnya menilai opsyen-opsyen lain bagi memastikan para graduan yang tidak menduduki SPM atas pelbagai sebab itu supaya mereka diberi ruang dan kemudahan untuk menjalani peperiksaan SPM sebagai calon persendirian.

"Kelonggaran" syarat kelayakan itu dibimbangi akan menyebabkan sikap "bermudah-mudah" dan "menghakis" kepentingan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi Persekutuan pada masa akan datang. Ini juga tidak boleh dipandang enteng oleh KKM.

Justeru, PAS memandang serius isu ini dan mengharapkan agar pihak bertanggungjawab membatalkan keputusan tersebut dengan buat kajian baru yang mendalam dan mencapai suatu keputusan yang lebih strategik dalam menangani hal ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 4/7/2017

KEADAAN ekonomi yang belum stabil menuntut pihak kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) memantau sepenuhnya pelaksanaan dasar liberalisasi kadar premium motor komprehensif. Kerajaan perlu membantu memandu kebijaksanaan rakyat selaku pengguna dengan melaksanakan suatu mekanisme kawalan dan pantauan minima terhadap penanggung insuran dan pengendali takaful.

Hal ini bertujuan agar tidak wujud saling berpakat untuk menaikkan kadar premium insuran bagi meraih keuntungan hingga menindas pengguna. Di samping itu turut membantu awam mendapat maklumat lengkap sebelum memilih suatu produk insuran yang ditawarkan. Selain memastikan penanggung insuran dan pengendali takaful bertanggungjawab menyediakan perlindungan sebenar.

Persetujuan harga bersama yang diperolehi mesti dipastikan jaminannya oleh kerajaan agar hak dan manfaat kedua pihak berlaku secara ‘menang-menang’ dan saksama. Kerana, berkuatkuasa 1 Julai 2017, tarif motor berdasarkan harga yang ditetapkan, tidak lagi digunakan di mana harga produk insuran motor akan ditentukan oleh penanggung insuran dan pengendali takaful.

Ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan pemilik kenderaan sama ada liberalisasi ini akan benar-benar menguntungkan pengguna seperti yang dicanang atau sebaliknya. Pengguna perlu diberi jaminan oleh kerajaan pelaksanaan dasar itu tidak membebankan mereka yang mungkin terpaksa menanggung kenaikan kadar premium disebalik bebanan sedia ada ekoran pelbagai kenaikan dalam sektor perkhidmatan dan barangan.

Khususnya pasca pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pengguna terutama golongan berpendapatan rendah dan memiliki kenderaan berusia pastinya begitu terbeban dengan kenaikan kadar premium insuran. Ini kerana, harga produk insuran akan ditentu berdasarkan profil risiko pengguna yang berbeza. Selain faktor rutin sebelum ini, beberapa faktor baharu akan menjadi pertimbangan.

Antaranya ialah ciri-ciri keselamatan dalam kenderaan, tempoh kenderaan berada di jalan raya, lokasi geografi kenderaan dan kesalahan lalu lintas pernah dialami. Oleh itu, peranan kerajaan tetap perlu wujud agar keseimbangan dan tujuan perlindungan yang menjadi keutamaan tidak diabaikan di sebalik perubahan dasar dilaksanakan ini.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
4 Julai 2017 | 10 Syawal 1438 – HARAKAHDAILY 4/7/2017

BADAN Perhubungan PAS Negeri Sarawak ingin merakamkan ucapan takziah atas pemergian Datuk Haji Daud bin Abd Rahman, Mantan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islami).

PAS Sarawak mendoakan semoga Allah ampuni dan rahmati Allahyarham serta ditempatkan bersama orang soleh. PAS Sarawak mendoakan semoga Allah permudahkan segala urusan keluarga Allahyarham dan diberi kesabaran.

Kematian adalah pengakhiran kepada kehidupan manusia. Ia merupakan peringatan terbaik buat kita yang masih hidup agar sentiasa melakukan amal soleh serta menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 3/7/2017

Daud

DEWAN Pemuda PAS Negeri P. Pinang ingin merujuk kepada respon balas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Asrol Sani Abdul Razak terhadap kenyataan Pesuruhjaya PAS P. Pinang Ust Fauzi Mohd Yusoff semasa ditemu bual pihak media kelmarin ketika Rumah Terbuka Aidilfitri PAS P. Pinang di Markaz PAS Pongsu Seribu.

Di dalam temu bual tersebut, Pesuruhjaya PAS P. Pinang menyatakan bahawa PAS P. Pinang sedang mengkaji kerusi-kerusi yang ada di P. Pinang termasuk kerusi yang pernah ditandingi PKR untuk diletakkan calon PAS dalam pilihan raya umum akan datang. Mengkaji kerusi-kerusi pilihan raya adalah suatu perkara biasa dalam amalan parti-parti politik yang bergerak dengan proses demokrasi.

Perlu dinyatakan bahawa bukan sahaja kerusi yang pernah ditandingi PKR yang sedang dikaji, bahkan keseluruhan kerusi yang ada di P. Pinang termasuk yang pernah ditandingi oleh DAP & BN juga termasuk di dalam kajian dan penelitian PAS, berdasarkan perubahan landskap semasa politik nasional dan politik negeri P. Pinang.

Oleh itu, adalah terlalu dangkal dan sangat emosional kesimpulan yang dibuat bahawa PAS menjadi talian hayat kepada BN hanya dengan kenyataan mahu mengkaji kerusi-kerusi pilihan raya untuk PAS meletakkan calon, seolah-olah menunjukkan bahawa PKR merasa sangat tergugat sekiranya PAS turut bertanding di kerusi yang ditandingi PKR sebelum ini.

Kenyataan AMK ini juga menampakkan seperti berlakunya gelombang penolakan pengundi Melayu Islam terhadap DAP dan sekutunya termasuk PKR lebih-lebih lagi dengan lambakan isu-isu agama, isu fatwa, isu tanah dan lain-lain isu yang merugikan Melayu Islam di P. Pinang.

Seandainya PAS di P. Pinang dituduh menjadi talian hayat kepada BN, bagaimana pula halnya dengan PKR di Kelantan yang jelas bersama dengan PAN dan DAP berusaha siang malam untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS? Adakah PKR juga boleh dianggap menjadi talian hayat BN?

Daripada sibuk menuding jari kepada orang lain, lebih baik AMK P. Pinang fokus untuk bersuara bertindak mempertahankan Melayu dan membela Islam di P. Pinang. Usah panik dengan PAS!

AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 4/7/2017

PERCAMBAHAN premis perjudian dan arak telah menjadi sebahagian pemandangan utama di Pulau Pinang. Ia berkembang subur di bawah Kerajaan DAP hingga diumpamakan ‘bagai cendawan selepas hujan’. Malah, kewujudan premis berkenaan didapati seiring dengan pembangunan yang semakin rancak di seluruh negeri itu.

Judi dan arak jugalah punca pertembungan panas antara PAS dengan DAP hingga membawa kepada pemecatan wakil PAS, Iszuree Ibrahim selaku Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Malah, berentetan hingga mengundang banyak tindakan angkuh DAP dalam Pakatan Rakyat yang berakhir putusnya hubungan bersama PAS.

Walaupun pernah disuarakan PAS bahawa percambahan kegiatan tersebut berpunca dari tunjang kapitalisme yang menjadi dasar dan pendekatan pemerintahan DAP, namun ia pantas ditepis Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Beliau sebaliknya membidas PAS supaya belajar memahami mengenai pentadbiran dan bidang kuasa negeri.

Guan Eng juga menyatakan bahawa lesen berkaitan dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat dan hanya polis boleh mengambil tindakan penguatkuasaan. Beliau seakan cuba melepaskan diri dan membodohkan umum dengan reaksi seperti itu, sedangkan isu pertambahan tersebut langsung tidak dinafikannya.

Guan Eng sebenarnya bukan sahaja dilihat menyembunyikan fakta mengenai lesen premis yang berada dalam kuasa pihaknya, bahkan jelas sekali telah berbohong. Beliau seakan membayangkan bahawa isu judi dan arak di Pulau Pinang bukan disebabkan olehnya. Walhal, pihak beliau telah menjawab soalan berkaitan pada Sidang Dun Pulau Pinang.

Dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dun Ketiga Belas yang bersidang pada 19 Mei 2014, Ahli Exco, Chow Kon Yeow telah menjawab bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan lesen premis setelah pemohon mendapat lesen dari Kementerian Kewangan.

Malah, dalam sidang yang lain, Kon Yeow pernah menjawab soalan bagi pihak Guan Eng bahawa terdapat 130 kasino siber tidak berlesen yang dikenalpasti. Turut dinyatakan adalah tindakan terhadap premis Pusat Hiburan Awam antaranya:
i. Mengeluarkan tawaran kompaun dan mengambil tindakan rampasan;
ii.Mengeluarkan surat amaran kepada pemilik lesen untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT;
iii. Membatalkan lesen premis dan lesen hiburan jika pemilik lesen masih gagal mematuhi syarat-syarat pelesenan;
iv.Menjalankan operasi bersama PDRM dan agensi-agensi berkaitan sekiranya melibatkan aktiviti perjudian dan kesalahan di bawah bidangkuasa jabatan berkenaan;
v.Menyita premis setelah didapati bersalah oleh Mahkamah.
 
Jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri melalui PBT mempunyai kuasa atas premis yang membawa maksud boleh mengadakan sebarang pemberian atau sekatan lesen, selain tindakan penguatkuasaan bersama pasukan polis. Malangnya, enakmen yang digubal tidak dijadikan kawalan, sebaliknya ‘kesempatan’.

Enakmen berkaitan yang diwartakan telah digunakan untuk membanyakkan lagi premis judi dan arak serta pusat maksiat berkaitan. Ini tidak termasuk yang menjalankan aktiviti tanpa lesen yang berselindung disebalik perniagaan tertentu. Malah, berdasarkan ‘tabiat’ yang boleh difahami, tempat seperti ini juga menyembunyikan banyak kegiatan haram lain.

Amat dicurigai di tempat-tempat ini bersarangnya pelacuran, dadah, gangsterisme serta pelbagai jenayah. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi turut melontarkan kenyataan yang mengundang skeptikal bahawa beliau bimbang tauke judi membiayai parti politik di negeri itu.Parti manakah yang kebarangkalian dilihat hampir dengan durjana disebut Zahid itu?

Namun, pemerhatian yang dilakukan mendapati, susulan kenyataan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengenai isu ini pada 10 Jun dan diikuti arahan Zahid untuk polis memerangi kegiatan tersebut, tiba-tiba semua premis tidak berlesen membekukan kegiatan mereka di seluruh negeri itu. Siapakah ‘Abang Besar’ yang berpengaruh mengadakan kawalan serentak atas semua itu? – HARAKAHDAILY 3/7/2017

1. SEHINGGA kini masih berlegar di media massa, persepsi buruk dengan niat jahat yang dimainkan oleh musuh politik untuk menggambarkan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS menyokong bahkan mempertahankan salah urus tadbir 1MDB. Sedangkan umum mengetahui bahawa sudah puluhan tahun, Presiden PAS tegar melawan kezaliman yang zahir atau tersembunyi disebalik wayang kulit yang dipentaskan, tidak kira UMNO-BN atau parti yang sama sifatnya.

2.    Bahkan sejarah perlawanan UMNO dan PAS dalam pilihan raya, hanya sekali sahaja PAS tidak menentang UMNO ketika PAS bersama-sama dalam Barisan Nasional (BN), selebihnya 12 kali pilihanraya PAS berlawan di kerusi yang ditandingi UMNO termasuklah PRU14 akan datang. Malahan Tuan Guru Presiden tidak pernah menjadi ahli UMNO, sedangkan sebahagian pimpinan parti pembangkang lain adalah bekas pimpinan dan ahli UMNO.

3.    Suka untuk saya menjelaskan kekeliruan yang dimainkan, agar yang gelap dicerahkan, yang cerah tersebar serata alam.

4.    Sejak isu 1MDB menggegarkan panggung politik tanah air, Tuan Guru Presiden mengikuti secara dekat dan memandang jauh sama ada tersurat atau tersirat di sebalik respons dan tindakan kerajaan atau pembangkang.

5.    Pada 9 Mei 2015, Tuan Guru telah memberi respons dan mendesak kerajaan untuk membentangkan hasil bedah siasatan kepada ahli Parlimen dan menyatakan kekecewaan beliau terhadap tindakan kerajaan yang gagal memulihkan kepercayaan rakyat serta menggesa kerajaan mengemukakan penyelesaian yang berkesan.

“Perdana Menteri sendiri harus menjelaskan kepada semua Ahli Parlimen dan hendaklah membentangkan hasil bedah siasat terperinci terhadap audit kewangan 1MDB. Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi dengan isu 1MDB ini serta terus menanggung beban pelbagai salah urus tadbir kewangan yang pernah berlaku sebelum ini.

Langkah sumbang Tabung Haji dan 1MDB ini bakal mengundang malapetaka besar bagi negara lantaran ketidakpedulian kerajaan terhadap teguran-teguran Jabatan Audit Negara selama ini. Apatah lagi yang terpalit dalam isu ini ialah anak syarikat Tabung Haji di mana selama ini diyakini rakyat jelata untuk tabungan khas mereka. Amat malang andai institusi ini digunakan oleh pihak kerajaan bagi urusan lain yang bukan menjadi tujuan penubuhan Tabung Haji.

Kita juga kecewa apabila kerajaan juga hingga ke hari ini gagal memberi penjelasan meyakinkan berhubung segala isu yang membelengu 1MDB, termasuk penyelesaian segera terhadapnya. Sebaliknya, condong dilihat menyelamatkan kroni sedangkan pada waktu yang sama, rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat dan menderita dengan tindakan baru kerajaan yang mengenakan GST kepada semua lapisan rakyat tidak kira miskin dan kaya.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/167-peringkat-pusat/kolum-pimpinan/presiden/kenyataan-presiden-pas-sesi-2013-2015/4999-jangan-salah-guna-tabungan-rakyat )

6.    Dalam kenyataan lain pada 8 Julai 2015 di Kota Bharu, Tuan Guru mengingatkan supaya isu 1MDB tidak memperjudikan nasib rakyat.

“Kita lihat apa yang akan dibincang nanti, kita tidak mahu ia (1MDB) boleh menyusahkan rakyat, tidak mahu rakyat menjadi beban.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/5190-kita-lihat-apa-akan-dibincang-nanti-presiden-pas)

7.    Tuan Guru Presiden turut menyifatkan beberapa siri korupsi dan salah urus tadbir kewangan negara berlaku akibat menjadikan politik sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan peribadi, kroni atau kumpulan, bukannya menunaikan tanggungjawab dan amanah. Peringatan ini disampaikan dalam ceramah Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK 11) di Tangkak, Johor pada 5 September 2015 dengan menyebut:

“Hanya dengan melaksanakan Islam sahaja akan mampu menyelesaikan segala kemelut yang melanda negara mutakhir ini.  Terjadinya isu kewangan RM2.6 billion, 1MDB, KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan Maika Holdings yang merunsingkan rakyat negara ini adalah natijah apabila politik dianggap sebagai satu peluang dan bukannya amanah.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/6281-apabila-politik-dianggap-peluang-presiden-pas )

8.    Teguran Tuan Guru semakin keras, apabila menyeru seluruh rakyat rehatkan UMNO dalam pilihan raya akan datang bagi menyelesaikan kemelut 1MDB dan krisis negara, hal ini disebut dalam Ceramah Perasmian Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.2) di Pulau Serai, Dungun, Terengganu pada 18 September 2015:
“Beri UMNO berehat, tengok PAS memerintah negara ini macam mana. Dengan tokoh-tokoh politik, ekonomi yang ada macam-macam ini, tengok macam mana kita nak memerintah dengan Islam. Barulah tak timbul kapal terbang hilang, tak timbul 1MDB, tak timbul Perwaja yang kilang besi itu, sedar-sedar besi tak ada, duit pun tak ada juga. Tidak timbul bermacam-macam penyelewengan. Kerana apa? Kerana kita yang berpegang dengan Islam ini ada perhitungan dosa pahala.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/6359-rehatkan-umno-beri-pas-perintah-dengan-islam )

9.    Dalam perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 26 Oktober 2015, Tuan Guru sebagai Ahli Parlimen Marang mengambil peluang untuk mengkritik dan menegur kelemahan tatakelola pentadbiran kewangan negara dan kelemahan undang-undang negara serta penguatkuasaannya dalam menyelesaikan masalah 1MDB yang mengulangi siri-siri kleptokrasi negara.

“Muhasabah sahaja terhadap bajet tidak mencukupi. Kita juga memerlukan pembetulan terhadap kesilapan dan tindakan yang adil terhadap penyelewengan. Sering kali berlakunya kehilangan wang negara dengan berbagai-bagai peristiwa yang ditinggalkan zaman tanpa penyelesaian dan ditutup puncanya di bawah karpet untuk dilupakan sehingga tidak menjadi iktibar.

Undang-undang dan penguatkuasaannya laksana sarang labah-labah yang hanya memerangkap nyamuk dan lalat, meloloskan helang dan jerung yang besar. Peristiwa terkini yang diwar-warkan 1MDB hanyalah mengulangi drama BMF, PERWAJA, KPFZ, Maika Holding dan lain-lain.” (http://m.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/38095-bajet-2016-bertaubat-dan-maaf-tidak-menghukum )  

10.    Kenyataan beliau konsisten sejak dulu lagi, dalam ucapan Perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 pada 7 April 2014 di Dewan Rakyat, beliau menyatakan kelemahan penguatkuasaan undang-undang negara:  

“Kami tidak lupa dengan isu MIF, isu PERWAJA, KWSP, Tabung Haji, Kapal Terbang Skyhawk, kapal selam dan lain-lain lagi. Tidak ada apa-apa tindakan, tindakannya terhadap ikan-ikan bilis yang kecil, yang besar tidak ada tindakan. Yang kena tindakan ialah pegawai-pegawai kerajaan. Orang-orang politik tidak ada tindakan. Menteri tidak ada tindakan. Yang kenanya pegawai-pegawai. Pegawai yang kena.” (Rujuk Hansard Parlimen 7 April 2014, muka surat 38)

11.    Seterusnya kita dapat melihat, Tuan Guru menganalisa sesuatu isu dan krisis yang berlaku dengan mengemukakan penyelesaian kepada punca permasalahan sebenar. Beliau menyarankan pada 4 Mac 2016 supaya kemelut 1MDB diselesaikan dengan kembali kepada Islam dan menukar sistem dan dasar negara, bukan semata-mata menukar individu atau pemimpin semata-mata.

“Bukan nama tokoh pemimpin  tertentu atau menukarnya sahaja silih berganti, adapun acuan, dasar dan konsepnya sama. Penyelesaiannya, ialah kembali kepada Islam yang sempurna, Islam wajib menjadi petunjuk yang diimani dalam semua urusan. Siapa pun yang dipecat atau diganti tanpa Islam dalam dirinya, tetap mengulangi perkara kesalahan yang sama. Dahulunya peristiwa BMF, KWSP, PETRONAS dan lain-lain lagi. Kemudiannya, SRI ISKANDAR, MAIKA, PKFZ dan selain itu. Terkini hangat, isu 1MDB dan seterusnya, lantik siapa sahaja dan melakukan apa sahaja.

Penyelesaiannya juga, pemimpin yang wajib mengubah minda, kefahaman, dasar matlamat dan mencari penasihat yang baik. Rakyat juga hendaklah sedar harga diri dan maruah manusia, yang harganya terlalu mahal, bukan politik pangkat, takhta, wanita dan harta. Atau berdegil sehingga tiba ajalnya tanpa berani membuat perubahan.”( http://m.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/40234-akibat-pisahkan-politik-daripada-agama  )

12.    Tambahan lagi, pada 13 Jun 2016 ketika membalas tohmahan Tun Dr. Mahathir kepada PAS, Tuan Guru menyebut agar diselesaikan masalah negara dengan mengubah perangai dan sikap kerajaan dan pembangkang kerana 1MDB adalah rantaian daripada isu-isu yang melanda sebelum ini lagi dan Tun M juga tidak terlepas.

"Kerana PAS tidak terpengaruh dengan dedaklah maka PAS boleh terus melangsungkan perjuangan. Tiada politik wang, politik BR1M, siapa yang ajar? Kes 1MDB mula dengan apa? KWSP, Perwaja, Tabung Haji, itu adalah rantaian daripada awal. Selagi tak mengubah pendekatan, tak ubah perangai selagi itulah perkara ini akan berlaku," (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/8793-pas-tidak-terpengaruh-dedak-umno )

13.    Malah, Tuan Guru Presiden telah membangkitkan beberapa kali tentang isu 1MDB dalam ucapan perbahasan dan soalan-soalan beliau di Dewan Rakyat. Ini dapat diikuti pada 17 Mei 2016, Soalan No. 137, Tuan Guru mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap cadangan PAC dan Laporan Audit Negara.

“Dato' Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah tindakan Kerajaan terhadap cadangan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bilakah Laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu 1MDB akan didedahkan kepada umum.”

14.    Selain itu, Tuan Guru juga mempersoalkan tentang kertas siasatan SRC pada 14 Mac 2017, Soalan No. 47:

“Dato' Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah alasan Kerajaan tidak membawa kertas siasatan SRC International (SRC) yang telah dikemukakan oleh SPRM ke mahkamah.”

15.    Di samping itu, Soalan Lisan Ahli Parlimen Marang itu juga menyasarkan kepada isu-isu yang berkait dengan 1MDB secara langsung atau tidak langsung seperti kebebasan Jabatan Peguam Negara dalam mendakwa kes rasuah berprofil tinggi (7 Mac 2017, Soalan No. 75), pengisytiharan aset Menteri Kabinet kepada SPRM (21 Mac 2017, Soalan No. 28), usaha kerajaan untuk memastikan SPRM dapat bertindak secara bebas, telus dan professional (24 Oktober 2016, Soalan No. 45), usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan protokol dan keraian yang melibatkan elaun, kos perjalanan luar negara dan penganjuran program para menteri (8 Mac 2017, Soalan. No. 36) dan dana pembiayaan parti politik melalui cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (16 Mei 2016, Soalan No. 50).

16.    Beberapa Soalan Bertulis juga menyentuh isu sama yang berkaitan; jumlah ketirisan dalam agensi kerajaan dan jumlah kes rasuah yang melibatkan pemimpin parti politik, individu berprofil tinggi dan penjawat awam.

17.    Terkini, Tuan Guru mengutus surat terbuka kepada parti politik pada 24 Jun 2017 dengan menasihati supaya tidak mengundang campur tangan asing bagi menyelesaikan masalah dalaman negara.

“Jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.

Apapun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.

Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita.” ( http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/53-presiden/1941-surat-terbuka-kepada-parti-politik-malaysia )

18.    Tambahan lagi, Tuan Guru mengingatkan agar kita mengambil pengajaran atas apa yang berlaku di Asia Barat yang disifatkan musim bunga yang tidak berbuah dan berhati-hati dengan perkembangan terkini di peringkat antarabangsa:

“Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia. Selain itu juga, wajib memahami batas-batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk disemua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara.”

19.    Perkara sama disebut lebih awal dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 9 Mac 2016 di Dewan Rakyat:
“Kita kena sabar membetulkan pemimpin, di mana pendekatan dalam negara sendiri, Arab Spring, apa jadi dengan Arab Spring. Arab Spring menjadi musim bunga yang tidak berbuah. Meletakkan berlaku campur tangan asing yang menghuru-harakan negara. Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar. PAS menyertai arena politik negara sejak sebelum merdeka sehingga hari ini. Parti-parti lain ini banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, tidak ada kerusi langsung, tidak kisah. Apa yang penting ialah jangan mengacau rakyat. Ini yang kita perlu jaga betul-betul.” (Rujuk Hansard Parlimen 9 Mac 2016, muka surat 47)

20.    Dalam keghairahan pelbagai pihak mahu menjatuhkan pemimpin zalim, Tuan Guru Presiden mengajar cara berhikmah dalam Fiqh Taghyir (Fiqh Perubahan) dan Fiqh Amar Maaruf Nahi Mungkar yang diadun dengan Fiqh Siasah. Langkah PAS bukan langkah keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Menjatuhkan kezaliman bukan dengan membina kezaliman yang lain. Langkah PAS menukar kerajaan melalui pilihan raya secara aman, bukan mengundang campur tangan asing atau melalui jalanan. Inilah yang membezakan pendekatan PAS dengan parti-parti yang lain.

21.    Kesimpulannya, jelaslah bahawa pendirian Tuan Guru Presiden sejak dari awal sangat konsisten dalam menyelesaikan masalah 1MDB dengan mendesak hasil bedah siasatan yang telus dilakukan di peringkat dalaman negara tanpa melibatkan campur tangan asing, melakukan reformasi kepada sistem perundangan negara, pengasingan kuasa dan kebebasan kepada Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Polis daripada cengkaman kuasa kabinet.

22.    Laporan Jabatan Audit Negara juga perlu didedahkan dan dibebaskan daripada sekatan Akta Rahsia Rasmi (OSA), bertindak aktif terhadap cadangan yang dikemukakan oleh PAC dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dan membawa kertas siasatan SRC International (SRC) yang dikemukakan oleh SPRM ke mahkamah. Sehinggalah kini, pendirian PAS mendesak kerajaan dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pihak yang terbabit.    

malek23.    Kita sedar dengan tindakan kerajaan meletakkan Laporan Audit 1MDB di bawah OSA dan menangguhkan penubuhan RCI adalah tindakan meragukan semua pihak dan mengundang ketidakyakinan terhadap ketelusan kerajaan dalam menyelesaikan masalah 1MDB. Justeru itu, Tuan Guru Presiden berpendirian, lakukan segera reformasi undang-undang negara dan ketelusan dalam siasatan dan pendakwaan dalam menyelesaikan masalah 1MDB tanpa melibatkan campur tangan kuasa asing. Segala pendirian Tuan Guru Presiden dijelaskan lebih terperinci oleh Timbalan Presiden dan pimpinan-pimpinan PAS.

24.    Kepada musuh politik, sila belajar mengeja dan membaca sebelum mencari di mana perkataan yang menyebut Tuan Guru Presiden PAS menyokong salah urus tadbir 1MDB.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL MALIK AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS
Bertarikh: 9 Syawal 1438H / 3 Julai 2017M - HARAKAHDAILY 3/7/2017

More Articles ...