17
Wed, Jul
47 Artikel Baru

KUALA NERUS: Slot santai bersama Ustaz Azhar Idrus dan Zul Handy Black dibawah kendalian Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman menarik perhatian pengunjung Fastaqim 2.0 dengan pengisian santai tetap berimpak.
 
Turut bersama dalam slot tersebut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menerapkan beberapa perkara utama antaranya keperluan istiqamah yang mesti ada diri seorang Muslim.
 
Ustaz Azhar juga turut berkongsi beberapa dalil dan kisah berkaitan golongan istiqamah sebagai nilai tambah memahami pengertian istiqamah yang dimaksudkan.
 
Fastaqim 2.0 telah menyusun beberapa aktiviti bermula seawal jam 3 petang bahkan gerai-gerai jualan telah mula beroperasi sekali gus memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan dengan kedatangan pengunjung seluruh negara.
 
Panggilan 'Big Bos' yang cukup dikenali kepada Ust Azhar oleh masyarakat Terengganu berjaya membina gelombang luar biasa bagi memeriahkan Fastaqim petang tadi. - HARAKAHDAILY 29/9/2017

KUALA NERUS: Sambutan Fastaqim 2.0 luar biasa dengan pemilihan lokasi cantik sesuai untuk santai keluarga pada hujung minggu terutama bagi pengunjung yang pertama kali sampai ke Terengganu.
 
Peluang mendengar pengisian dari Ustaz Azhar Idrus serta hiburan santai dari Abang Zul Handy Black memberikan satu pendekatan berbeza bukan sahaja berhibur, tetapi diselitkan dengan peringatan muhasabah bersama pengunjung yang hadir.
 
Pengalaman tersebut dikongsikan oleh salah seorang pengunjung Fastaqim 2.0 dari Melaka dikenali dengan panggilan Asyraf Khair 37, bersama keluarganya.
 
Katanya, PAS mempunyai kelebihan tersendiri dengan pengorbanan penggerak dari pelbagai lapisan umur melalui posisi yang masing-masing tanpa mengira penat dan lelah.
 
"Saya yakin PAS boleh memerintah negara dengan jika diberikan mandat dalam pilihan raya akan datang bahkan kekuatan PAS miliki adalah ahli yang komited serta tetap bersama kepimpinan.
 
"Beberapa himpunan anjuran PAS menunjukkan hasil luar biasa untuk rakyat menilai kekuatan PAS sebenar," katanya. - HARAKAHDAILY 29/9/2017

TERENGGANU menggamit kehadiran ratusan ribu pengunjung dalam suasana pra tengkujuh yang resah gelisah. Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat. Dalam dua pilihan raya umum, PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959 dan 1999, manakala dalam pilihan raya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah. (Foto fb Fastaqim 2.0)

drriduanTerengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, di mana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam.

Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, penubuhan cawangan PAS menjadi pantas berkembang, paralel dengan kegiatan jihad ta'lim. Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang Kachong pada tahun 1928.

Negeri yang subur dengan jihad ta'lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam. Terengganu juga disorot oleh majalah Asiaweek sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk di luar musim pilihan raya.

Dengan latarbelakang sosiopolitik dan bermuarakan sejarah perjuangan Islam di Terengganu inilah maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihan raya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli, Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.

Terengganu dalam dekad 1980-an ,digegar dengan "fenomena Haji Hadi" yang menyaksikan simbahan semangat kebangkitan Islam yang luar biasa. Kuliah Masjid Rusila menggamit puluhan ribu pendengar terutama anak-anak muda peserta kebangkitan Islam. Bagi mengekang pengaruh PAS di Terengganu dalam dasawarsa 80-an, rejim Umno BN telah mengenakan tangkapan ISA kepada tokoh-tokoh PAS di negeri ini termasuk Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Omar Khalid, Ustaz Stimat Jusuh. Kezaliman BN di Terengganu yang tak mampu dilupakan, antaranya perobohan Institut Berakan, perobohan Masjid Bujal, Kemaman, rampasan tanah-tanah rakyat pasca 2004.

Kemenangan BN dalam Pilihan raya 2013 sangatlah rapuh, dengan kelebihan dua kerusi. Malah banyak Dun yang BN hanya menang di bawah seribu undi serta kekalahan mereka agak menyeluruh di saluran tiga dan saliran empat. PAS Terengganu tanpa lelah terus menggerakkan jentera serta pelbagai program pemerkasaan parti dan usaha menawan hati rakyat. Program skala besar seperti HARAP terus menjelajah setiap daerah dan merengkuh sokongan rakyat pelbagai strata sosial.

Himpunan 200K, FASTAQIM 2.0 adalah usaha menjana semangat para amilin serta memugar energi penyokong PAS yang sudah tidak sabar berpencak di medan Pilihan raya Umum ke-14. Pantai Tok Jembal walau dengan deruan angin keras menampar pipi tetap santun membisikkan, "rakyat tanah berkah Tok Ku Paloh, ayuh kita menangkan perjuangan Islam, kembalikan Syariah Islam, payungi tanah leluhur ini dengan keadilan Islam, mendobrak kezaliman dan kebejatan...tanah Darul Iman ini wajib diselimuti dengan taqwa dan petunjuk dustur Ilahi". - HARAKAHDAILY 29/9/2017

SIAPA yang dapat duit Yayasan Tabung Haji di Parlimen Bukit Gantang. Menurut jawapan Menteri kepada pertanyaan saya  pada 3/8/17 di Parlimen, seramai 750 asnaf di dalam Parlimen Bukit Gantang dengan kos agihan sebanyak RM150,000 telah menerima bantuan tersebut. Wang ini diagihkan ketika Perdana Menteri datang di Taman Mewah dan Masjid Pengkalan Aur di awal Ramadhan yang lalu.

Persoalannya kepada siapa yang diagihkan. Kriteria apa yang dipilih. Saya selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang bersama PAS Kawasan Bukit Gantang telah mengagihkan bantuan kepada Asnaf, OKU, anak yatim seramai 830 orang  tanpa mengira apa ideologi poltik. Wang yang diagihkan daripada duit sendiri dan ahli PAS. Ia menjadi program tahunan saya dan PAS Kawasan.

Saya cuba mendapat maklumat daripada penerima di dalam majlis saya, siapa yang dapat wang yang diberi oleh DS Najib Tun Razak. Daripada seramai  830 penerima, hanya empat orang sahaja yang mengaku mendapat bantuan. Seorangnya daripada Dun Changkat Jering dan tiga daripada Dun Kuala Sepetang. Tidak logik daripada 830 hanya empat orang sahaja yang dapat.

Pada hal penerima bantuan saya sebahagian besar bukan ahli PAS, malahan ada yang penyokong tegar Umno. Saya tidak kisah, tangggungjawab saya mesti membantu mereka yang perlu dibantu. Saya cukup gembira jika pengundi di kawasan saya menerima bantuan  daripada Yayasan Tabung Haji, biarpun mereka ini orang Umno, asalkan mereka susah. Kalau macam ini mana slogan negeri Perak tidak ada yang tertinggal dan tidak ada yang terpinggir. – HARAKAHDAILY 29/9/2017

LAJNAH Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) mendapati bahawa masalah Rumah Mampu Milik (RMM) masih lagi menjadi kebimbangan umum bagi rakyat Malaysia dan menjadi sebahagian daripada tuntutan. Ini berdasarkan kajian umum yang telah dilakukan oleh LEPU bagi memahami situasi permasalahan tersebut.

Masalah Yang Tidak Berkesudahan

MazliZ2Hasil semakan literatur, Malaysia umumnya masih memerlukan 653,000 buah RMM di antara tahun 2016 – 2020, sebagaimana yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11). Ini bersamaaan 130,000 buah RMM perlu dibina setahun. Walau bagaimana pun bekalan RMM adalah tidak memenuhi permintaan pasaran Malaysia. Berdasarkan kajian Khazanah Research Institute (KRI), purata hanya 60,000 buah setahun RMM yang dilancarkan untuk jualan untuk lima tahun kebelakang ini. Hanya hampir 20% daripada bekalan rumah dipasaran adalah dalam kategori RMM.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan inisiatif-inisiatif tertentu seperti PR1MA, PPA1M dan My Beautiful Home, ianya masih gagal menyelesaikan masalah RMM. Hasil kajian pemerhatian LEPU mendapati punca utama adalah masalah mendapatkan pembiayaan. Berdasarkan laporan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda), 70% pembeli gagal memperolehi pembiayaan bank. Ini disokong oleh data kajian juga oleh KRI bahawa nisbah harga rumah kepada purata pendapatan isi rumah Malaysia adalah 4.4 kali, berbanding 3 kali yang ditetapkan oleh United Nations Centre for Human Settlement (UNCHS). Ini bermakna purata harga rumah di Malaysia adalah amat tidak mampu milik.

Kerajaan perlu melakukan transformasi drastik bagi menyelesaikan permasalahan ini. Sektor perumahan adalah amat penting, bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan sosial rakyat malah pertumbuhan sektor perumahan mampu memberi kesan pekali yang tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Jesteru, LEPU merasakan satu alternatif yang tuntas perlu bagi membantu rakyat memiliki rumah. PAS telah pun mengesyorkan alternatif yang mantap bagi menyelesaikan masalah ini melalui inisiatif Dokumen Hijau (DH) yang mana antara komponen pentingnya adalah RMM. Konsep yang PAS utarakan adalah melalui pembiayaan Kaedah Sukuk Al Ijarah, yang mampu menyekesaikan isu RMM.

Kaedah Sukuk Al-Ijarah Melalui Perkongsian

Kaedah ini adalah mampu bagi menyelesaikan masalah orang ramai dalam mendapatkan pembiayaan. Kaedah ini secara asasnya menekankan kepada skim pemilikan secara berperingkat yang boleh diuruskan oleh pihak lantikan kerajaan mahupun pihak bank komersil. Pembeli rumah pertama membeli rumah tersebut secara berperingkat mengikut kemampuannya melalui pembelian sukuk. Sementara beliau mencapai pemilikan 100%, hak milik rumah dikongsi dengan pembeli lain daripada kalangan pelabur samada secara individu ataupun organisasi. Pemilik perlu membayar sewa rumah tersebut kepada pelabur berdasarkan kadar sewaan pasaran mengikut peratus pemilikan masing-masing. Sebagai contoh, jika pemilik mampu memiliki hanya 20% daripada nilai rumah tersebut, kadar sewaan yang dibayar kepada para pelabur ialah 80% daripada kadar pasaran. Kadar pemilikan bergantung kepada nilai sukuk yang diterbitkan oleh pihak bank berkenaan. Contohnya sebuah rumah berharga RM500,000 mungkin boleh dipecahkan kepada 10 sukuk setiap satunya bernilai RM50,000. Baki 9 Sukuk lagi ditawarkan kepada mana-mana pelabur.

Pemilik berkenaan digalakkan untuk menambah pemilikannya dengan membeli sukuk daripada mana-mana pelabur pada harga pasaran yang ditentukan pihak bank. Para pelabur hendaklah melepaskan sukuknya apabila pembeli telah bersedia untuk menambah kadar pemilikannya melalui kontrak yang patuh syariah. Melalui kaedah Sukuk Al Ijarah ini, semua pihak termasuk Pembeli, Pelabur, Bank, Pemaju dan pihak kerajaan sendiri mendapat manfaatnya. Pihak bank juga dapat jaminan bayaran kerana sebahagian besar daripada pembayaran Pihak Pembeli tidak perlu memiliki tabungan kewangan yang besar untuk membeli rumah mengikut kemampuan masing-masing. Pihak Pelabur pula mempunyai banyak peluang pelaburan dengan kos pelaburan yang rendah. Pihak bank mendapat manfaat dari segi risiko pinjaman yang rendahrumah tersebut adalah oleh para pelabur yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik.

Sekiranya kerajaan bersedia untuk mengatasi masalah pemilikan rumah melalui cadangan di atas, maka beberapa akta khususnya yang berkaitan dengan bilangan pemilik di dalam Kanun Tanah Negara perlu dibuat beberapa pindaan kecil. Kaedah di atas adalah langkah penyelesaian praktikal jangka masa pendek bagi mengatasi masalah pemilikan rumah pertama oleh rakyat.

Jesteru LEPU mencadangkan supaya kerajaan menimbang dan meneliti altrnatif DH ini bagi membantu rakyat memiliki rumah. Kepentingan rakyat adalah keutamaan yang mana secara tidak langsung juga membantu pertumbuhan ekonomi.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU)
8 Muharram 1439H/29 September 2017 – HARAKAHDAILY 29/9/2017

KUALA NERUS: Fastaqim 2.0 yang beroperasi di Pantai Tok Jembal selama dua hari bermula 29 hingga 30 berkonsepkan santai dan kekeluargaan.
 
Pengarah program, Ustaz Satiful Bahri Mamat, berkata program ini dijangka mencapai sasaran 200,000 kehadiran.
 
Bagaimanapun katanya, matlamat program untuk memantapkan perjuangan dan membangkitkan mood rakyat untuk menghadapi PRU14 tetap menjadi sasaran utama program.
 
Beliau melahirkan rasa syukur memandangkan sambutan orang ramai di hari pertama program di luar jangkaan.
 
“Alhamdulillah kita bersyukur dengan kehadiran ini dan kita berharap moga cuaca akan kekal baik sebegini,” ujarnya.
 
Tambahnya, keseluruhan kawasan seluas 50 ekar dimanfaatkan sepenuhnya untuk penganjuran tersebut.
 
Sambungnya, dengan keluasan itu  semua kelengkapan diisi pelbagai kemudahan untuk kemudahan untuk orang ramai.
 
Katanya, selain pentas utama, turut ditempatkan khemah urusetia, petugas, gerai jualan.
 
Selain itu, menurutnya tempat solat dan tandas awam juga disediakan untuk kemudahan.
 
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjakeras menjayakan program berkenaan.
 
“Terima kasih pada PAS Terengganu, khususnya Kuala Nerus.
 
“Juga saya ucapkan terima kasih pada semua PAS kawasan di seluruh negara, muslimat dan Pemuda, Amerah, Jabatan Amal, Nisa’ dan semua yang terlibat menjayakan program ini.
 
“Kerjasama erat antara parti peringkat negeri, kawasan dan pimpinan seluruh negara untuk menjayakan himpunan ini cukup bermakna," ujarnya terharu. - HARAKAHDAILY 29/9/2017
 

"Aku lebih berhak meraikan Musa berbanding kamu puak-puak Yahudi" - (riwayat Bukhari)
 
Itulah reaksi Nabi apabila mendengar dakwaan Yahudi, bahawa mereka merayakan tanggal 10 Muharram kerana memperingati tarikh peristiwa terbelahnya laut yang menyelamatkan Nabi Musa dan melenyapkan Firaun.
 
Sempena memperingati peristiwa agung tersebut, marilah kita kembali membelek al-Quran mengenai makna sebenar istiqamah.
 
 
Jangan Ikut Semberono
 
Ketika Nabi Musa dan Nabi Harun mengadu kepada Allah mengenai kezaliman Firaun, seterusnya mendoakan kehancuran kerajaan Firaun, Allah membalas:
 
 قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
"Sesungguhnya telah diterima doa kamu berdua, maka istiqamahlah. Dan jangan kamu ikut jalan golongan yang tidak mengetahui" (Yunus 89)
 
Berdasarkan ayat ini, dijelaskan bahawa:
 
• Istiqamahnya Nabi Musa bersama teman setianya iaitu Nabi Harun. Keakraban yang tulen kerana perjuangan Islam. Bukan atas kepentingan yang lain.
 
• Istiqamah adalah jalan yang diasaskan dengan pasak ilmu. Bukan main ikut-ikutan lantas terperangkap masuk ke jalan golongan yang jahil.
 
• Tidak serik berjuang walaupun melalui masa yang panjang dan tribulasi yang getir. Ibnu Juraij meriwayatkan bahawa Nabi Musa menempuh tempoh 40 tahun sebelum benar-benar melihat kehancuran Firaun yang telah dijanjikan oleh Allah.
 
 
Usah Buat Perkara Yang Islam Tidak Ajar
 
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ
"Maka istiqamahlah kamu (wahai Muhammad) seperti apa yang telah diperintahkan kepadamu, dan juga kepada orang yang telah bertaubat bersamamu. Dan janganlah kamu bersikap melampau"  (Hud 112)
 
• Bukanlah istiqamah dengan mereka-reka jalan lain selain yang telah ditunjukkan oleh Nabi. Jangan pandai-pandai buat perkara yang Islam tidak ajar.
 
• Bersikap santun dengan golongan yang bersungguh dengan Islam. Usah melampau ke atas mereka.
 
 
Tiada Jalan Lain
 
Sama ada sedar atau tidak, setiap rakaat solat kita berdoa agar kekal istiqamah.
 
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
"Tunjukkanlah kami jalan istiqamah" (al-Fatihah 6)
 
Jalan golongan yang istiqamah pula diterangkan di dalam ayat yang lain:
 
وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ
"Barangsiapa yang mentaati Allah & Rasul, maka mereka bersama dengan golongan yang dikurnia nikmat oleh Allah. Di kalangan para Nabi, siddiqin, syuhada' dan salihin" (al-Nisa 69)
 
• Jalan istiqamah mestilah mengikuti para Nabi. Ajaran, prinsip, tawakkal dan cabaran yang telah diteroka oleh mereka, mengajar kita realiti sebenar perjuangan Islam. Kisah-kisah mereka, terakam di dalam al-Quran.
 
• Kemudian jalan para siddiqin. Sinonim dengan Saidina Abu Bakar dan para sahabat. Golongan yang serius dengan Islam. Tidak bertapi-tapi dengan Islam. Genggam erat keazaman bersama Islam walaupun terseksa.
 
• Seterusnya jalan para syuhada'. Mereka yang meletakkan Islam sebagai agenda utama hidup. Sanggup mendahulukan Islam walau tercicir kepentingan-kepentingan yang lain. Hinggalah tergadai nyawa sekalipun. Akhir sekali jalan para salihin.
 
 
Hak Cipta Terpelihara
 
Istilah istiqamah adalah istilah al-Quran. Selain dari jalan yang telah dinyatakan oleh al-Quran, bukanlah jalan istiqamah.
 
Jangan sampai kita tergamak memadankan istilah istiqamah kepada orang yang bukan Islam. Kagum macam mana sekalipun, pujilah dengan pujian yang lain, tapi bukan dengan pujian istiqamah. Berdasarkan al-Quran, syarat utama istiqamah mestilah terlebih dahulu beriman.
 
 
Doa
 
Demikian penerangan ringkas tentang istiqamah berdasarkan al-Quran. Faktor ilmu, pergaulan, jalan yang dipilih merupakan perkara utama dalam menjayakan istiqamah.
 
Cuma jangan kita lupa, semua itu hanya diperolehi dengan belas kasihan dari Allah yang mengurniakan kita hidayah. Justeru, fahamilah betul-betul doa yang kita pohon setiap kali membaca surah al-Fatihah.
 
USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
 

More Articles ...