GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) yang terdiri daripada 300 NGO yang mewakili suara majoriti rakyat di negara ini terutama orang Melayu Islam ingin menegaskan perkara-perkara berikut:-

1. Semua tindakan dan keputusan kerajaan mestilah bertunjangkan kepada asas perlembagaan negara tanpa menjejaskan mana-mana fasa didalam perlembagaan. Ini demi untuk menjaga perpaduan kaum dan hubungan antara agama kekal harmoni dan sejahtera

2. Keabsahan ugama islam dan hak istimewa orang Melayu mesti tidak digugat sama sekali kerana itu adalah jaminan didalam pembentukan negara Malaysia dan merupakan elemen didalam tujuh wasiat Raja-raja Melayu. Ini termasuk tanah rezab Melayu, bantuan pelajaran dan pekerjaan disektor awam

3. Isu UEC mesti ditolak sama sekali kerana ia bukan saja bertentangan dengan dasar pendidikan negara malah akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih ketara

4. Kementerian Pendidikan mesti tegas untuk tidak memberikan sebarang peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), kerana ia tidak termasuk di bawah kurikulum dan sistem pendidikan kebangsaan, serta tiada asas di sisi Perlembagaan. Peruntukan kewangan itu seharusnya dimanfaatkan untuk kegunaan yang lebih meluas kepada rakyat, dengan meneruskan program MyBrain untuk mahasiswa pasca-ijazah melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Juga wajar digunakan untuk peruntukan sekolah-sekolah agama, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.

5. Semua urusan dan kenyataan resmi oleh pihak kerajaan mestilah menggunakan bahasa kebangsaan dan UMMAH mendesak kerajaan mengambil langkah yang lebih serius dalam memperkasakan bahasa kebangsaan ini

6. Gerakan atau mana-mana pertubuhan yang membawa agenda liberalism, evangelism dan humanism yang berlandaskan nilai barat mesti dikekang. Kebebasan bukan bererti tanpa had tetapi sebaliknya mesti mengikut lunas-lunas agama dan budaya negara.

7. Tindakan mesti diambil ke atas mana-mana pihak yang menghina dan memperlekehkan Institusi Raja apatah lagi suara-mana yang mahu menghapuskannya.

8. UMMAH menuntut kerajaan memberikan ruang kepada UMMAH untuk berbincang dan meneliti sebarang polisi dan akta-akta baru yang hendak dikemukakan ke parlimen seperti Akta Harmoni Nasional, Akta Kebencian Agama dan Kaum serta Akta Anti-Diskriminasi Kaum dan lain-lain.

UMMAH ingin menegaskan bahawa himpunan ini adalah sebagai isyarat kepada rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan. UMMAH menuntut kerajaan segera membaiki segala kepincangan yang berlaku dan tidak menolak kemungkinan bahawa Himpunan yang lebih besar akan diadakan jika tidak ada apa-apa tindakan pembaikan dari pihak kerajaan.

Aminuddin Yahaya
Ketua Sekretariat UMMAH
28 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 28/7/2018

Himpunan: Kebangkitan rakyat terhadap kerajaan PH

TADI saya buat tinjauan ke Lagun Kuala Ibai dan Pantai Batu Buruk. Alhamdulillah, keadaan kebersihan lebih baik sejak Kempen Terengganu Bersih digerakkan bersama rakyat walau masih ada pihak tidak bertanggungjawab meninggalkan sisa makanan, gelas dan pinggan polisterin, plastik merata rata.

Sekalung terima kasih dan tahniah serta doa kesejahteraan kepada semua yang berbudi dan berbakti. Dan tanpa putus asa serta doa berterusan agar yang masih mengamalkan budaya pengotor agar berubah sikap.

Sekali lagi bagi pihak Parlimen Kuala Terengganu dan rakyatnya, kami pohon di semua tempat anjurkan kempen dan kesedaran kebersihan di semua peringkat masing-masing.

Pasar-pasar, pasar malam, masjid dan surau, hentian bas dan teksi serta semua tempat awam, JKK masing-masing, tolong masukkan dalam kalendar program berkait kebersihan dan keceriaan premis bawah jagaan masing-masing.

Agensi kerajaan dan swasta diminta turut terlibat aktif menjayakannya. Semoga ia jadi dorongan dan budaya kepada seluruh rakyat dan pengunjung, pelancong akan merasa segan untuk membuat kotor dan hormat kepada kita.

Jadikan Kuala Terengganu bersih, ceria, selamat dan sejahtera untuk semua.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
28 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 28/7/2018

PENDAHULUAN

PRK Sungai Kandis muncul ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang sibuk membahagi-bahagikan jawatan politik dalam kerajaan kepada pendukung parti-parti komponen. Ada yang dapat semua yang dihajati. Ada yang dapat sebahagian besar. Ada yang dapat sebahagian kecil. Dan ada yang tak dapat apa-apa bahagian yang mereka hajatkan, kecil atau besar.

Hajat ini sebelum PRU ke-14 selalu diistilahkan sebagai 'dedak'.

Pada ketika yang sama, Menteri-menteri yang baru dilantik masih lagi dalam keadaan 'in the making of' atau 'under construction'. Iaitu masing-masing sedang kelihatan seperti terkial-kial dalam proses mencongak apakah peranan yang perlu mereka mainkan sebagai Menteri. Beberapa idea dan ulasan 'bertaraf Menteri' di Parlimen dan sidang media masih lagi kaku, 'flip flop' dan terlalu bersifat 'political acrobatic'.

Tuntutan melaksanakan Manifesto 100 hari

Tidak cukup dengan itu, PH sedang lebat dihujani dengan tuntunan-tuntutan agar segera melaksanakan janji-janji dalam manifesto mereka, terutamanya kategori Janji 100 hari sebaik saja mengambil alih pentadbiran negara. Kepimpinan PH sedang jenuh ber'silat', ber'tae kwan do' dan ber'kungfu' bagi menangkis tuntutan-tuntutan tersebut dengan pelbagai alasan seperti era Datuk Ahmad Maslan masih di tampuk kuasa.

Dalam keadaan segenting ini, PRK Sungai Kandis terpaksa dilangsungkan. Ia berikutan kematian Adun PKR, al-Marhum Mohd Shuhaimi. Seorang tokoh berpengaruh yang dikatakan sebahagian daripada 'inner circle' YB Azmin Ali dalam mengemudikan pengaruh politik PKR di Selangor.

Kepentingan PRK Sungai Kandis bagi pengkaji politik 

Walaupun keputusan PRK Dun Sungai Kandis nanti tidak mampu memberikan perubahan yang signifikan kepada Kerajaan Negeri Selangor. Namun, ia tetap signifikan sebagai PRK pertama setelah selesainya PRU ke-14.

PRK Dun Sungai Kandis pada 4 Ogos ini akan menunjukkan beberapa perkara.

Antaranya, adakah rakyat masih dalam 'mood' gembira yang amat sangat dengan Kerajaan PH? Ataupun rakyat sudah mula 'menilai' kembali sokongan mereka kepada PH?

Atau adakah rakyat sudah 'tidak peduli' lagi dengan politik PH? PH dan Umno sama saja pada mereka. Bezanya, satu pihak sedang menjadi kerajaan. Satu pihak lagi adalah pembangkang. Semua janji manis, akhirnya dicapati. Rakyat juga yang terpedaya.

Kenapa PAS tidak bertanding?

PAS tidak bertanding dalam PRK ini. Walaupun banyak pihak menjangka PH akan berdepan dengan PAS.

Ramai pimpinan PH melempiaskan kekecewaan mereka dengan langkah PAS tidak bertanding. Mereka sangat ingin menumbangkan PAS. Bila PAS tidak bertanding, tiada PAS untuk ditumbangkan dalam PRK ini, bagi menunjukkan sokongan mutlak rakyat hanya kepada PH.

Lebih menarik lagi, Umno yang beria benar mahu bertanding sebagai pembangkang di peringkat negeri dan Pusat dalam PRK ini. Umno mula berbincang dengan PAS tentang strategi satu lawan satu. Langkah ini disindir oleh Tun Mahathir dengan mengatakan PAS adalah 'adik-beradik' Umno.

Hantu UG dihidupkan semula

Kemudian sindiran tersebut telah disambut oleh cybertrooper PH dengan penuh bersemangat, menyatakan itu adalah pengesahan UG PAS dan Umno, yang sejak sekian lama, dinafikan oleh PAS.

UG apakah lagi maksud mereka. Entahlah?

Umno bukan Kerajaan Pusat, PAS pun bukan. Campur PAS dan Umno pun belum boleh membentuk kerajaan kerana PH menang 2/3 Parlimen.

Walaupun dah menang majoriti 2/3 di Parlimen, PH masih takutkan bayangan hantu UG ciptaan mereka.

Kenapakah hantu UG dihidupkan kembali?

Rupanya PH masih bimbang dengan faktor sokongan Melayu kepada mereka. PAS dan Umno didapati masih mendapat kepercayaan besar di kalangan majoriti umat Melayu Islam di Malaysia.

Isunya ialah Umno digambarkan seperti 'kapal yang karam' oleh kepimpinan mereka sendiri. Kapal yang karam di lautan dalam mungkin hanya akan berjaya ditemui dan diangkat semula selepas beratus tahun. Besar kemungkinan, hanya sebagai bahan sejarah yang sangat bernilai. Tidak lebih daripada itu.

Oleh itu, PH ingin PAS agar terus menjauhi Umno agar tidak terpalit dengan hantu UG. Ini tentulah akan memudahkan PH mendekati saki baki Umno yang sedang terkapai-kapai agar berpaut kepada bot-bot penyelamat Bersatu atau PKR.

Ini adalah strategi yang licik.

Namun PAS masih berterusan mendekati Umno secara penuh berhemah melalui strategi Budaya Berpolitik Matang dan Sejahtera. Bahkan dalam PRK ini, PAS bertindak lebih jauh sehingga memberi ruang kepada Umno untuk berhadapan dengan PH secara langsung, tanpa perlu bimbang terpaksa berhadapan juga dengan PAS secara serentak.

Demokrasi pasca PRU ke-14

Politik pasca PRU ke-14, tidak sama lagi seperti dahulu. Strategi politik yang masih di takuk lama, akan mengurangkan relevansi sesebuah parti politik daripada arus Malaysia Baru.

Tapi PH dalam PRK ini masih berkempen dengan modal lama seperti yang dirumuskan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) kelmarin,

“Jelas bahawa faktor Tun Dr Mahathir Mohamad, faktor menolak BN, manifesto untuk menghapuskan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan kemampuan Pakatan Harapan mentadbir kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Selangor, telah berjaya menarik sokongan pengundi Dun khususnya undi orang Melayu".

Apa pun strategi PH, ia masih berupaya membuahkan hasil kerana pertandingan adalah di 'kawasan putih' bagi mereka.

Isu-isu Melayu dan Islam

Isu-isu berkaitan Melayu dan Islam, dijangka akan mula mendapat pertimbangan semula pengundi-pengundi di Dun Sungai Kandis.

Isu-isu ini sebelum ini, ditenggelamkan oleh kemarahan rakyat kepada DS Najib dan BN dalam PRU ke-14 baru-baru ini.

Penutup

Kepada pengundi Dun Sungai Kandis, anda adalah tumpuan utama 4 Ogos nanti. Isyarat pengundian anda akan dikaji dengan mendalam oleh para penganalisa politik.

Sama ada anda memberikan undi yang lebih besar untuk PH. Atau mengecilkan sokongan kepada mereka. Atau mengecilkan jumlah keluar mengundi. Atau tidak mengendahkan hari pengundian. Semuanya adalah signifikan dalam memahami mood terbaru rakyat di kawasan putih PH.

Ya, jika Umno menang. Ia adalah sangat luar biasa. Tapi ia bukanlah mustahil. Sama seperti luar biasanya PH menumbangkan Umno dalam PRU ke-14.

PAS pula pada kali ini, mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon. Dan selamat mengundi kepada pengundi Dun Sungai Kandis. 

ZAKARIA ISMAIL
27 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 27/7/2018

PERKEMBANGAN pemikiran Liberal di Indonesia telah berlangsung agak maju kira-kira 30 tahun lebih awal berbanding Malaysia. Untuk mengamati apa yang sedang berlaku di Malaysia, maka eloklah diteliti sejarah Liberalisasi di Indonesia sebagai cermin realiti.

Sungguhpun ia merupakan topik pemikiran, tetapi amat berkait rapat dengan politik. Seharusnya ahli-ahli politik Muslim mengambil berat hal ini, kerana pemikiranlah yang membentuk jelmaan corak politik di hadapan mata kita.

Orde Baharu

Projek Liberalisasi bermula dengan pengisytiharan Orde Baharu bawaan Soeharto yang menukar kutub Indonesia dari blok Russia kepada blok Barat. Sudah pasti pemikiran Barat yang menawarkan cara faham Liberalisme turut diimport masuk melalui pelbagai saluran. Politikus dan Liberalis bergabung tenaga menjayakan 3 fasa Liberalisasi Indonesia.

Fasa kemunculan

Nurcholis Madjid atau panggilan mesranya sebagai Cak Nur merupakan nama yang tidak asing dalam perbincangan topik Liberal khususnya di Indonesia. Beliau yang pada asalnya dikatakan sebagai pro Islam, tiba-tiba berubah menjadi Liberal setelah diundang oleh Council for Leaders and Specialist (CLS) ke Amerika. Pegawai kedutaan Amerika di Jakarta menyatakan, biar beliau diperlihatkan sendiri apa yang dibencinya selama ini.

Cak Nur menanam benih Liberal dengan pertikaian-pertikaian kontroversinya terhadap pegangan Islam masyarakat. Bermula dengan pidatonya pada 1970, beliau mengemukakan idea-idea Liberal. Penegasannya jelas. Islam yes, partai Islam no! Bukan sekadar itu, beliau mendakwa kononnya idea Sekular merupakan unsur yang secocok dengan konsep Syahadah.

Fasa kaderisasi

Fasa ini merupakan fasa yang paling penting dan berpengaruh dalam perkembangan Islam Liberal di Indonesia. Soeharto mengangkat tokoh-tokoh Liberal untuk menjawat posisi-posisi penting dalam pendidikan. Soeharto melantik Mukti Ali sebagai Menteri Agama yang mempunyai akses dengan sektor pendidikan. Beliau yang merupakan graduan al-Azhar dan mendapat pendidikan pasca sarjana di Universiti Mcgill Kanada mendukung idea modenisasi ilmu (baca Liberalisme).

Mukti Ali sangat terpengaruh dengan kaedah berfikir Mcgill yang dakwanya lebih rasional dan holistik. Beliau menggantikan orang-orang bawahannya dengan yang sealiran dengannya. Lalu Mukti Ali bergabung tenaga dengan Harun Nasution dengan melantiknya sebagai Rektor Institut Agama Islam Negeri (IAIN).

Lantas mereka mengubah silibus-silibus agama yang dianggap sebagai ketinggalan zaman dan sempit. Harun Nasution mahu merubah silibus kepada karektor pemikiran Muktazilah yang secocok dengan aspirasi Liberal.

Dari kedudukan mereka di Pusat-pusat Pengajian Tinggi, membolehkan mereka menjalinkan akses kaderisasi untuk melahirkan pelapis-pelapis berfahaman Liberal. Tapaknya telah dimulakan oleh Cak Nur sejak 1970 ketika menjawat sebagai Ketua Umum Pengurus Besar Himpunan Mahasiswa Islam. Pengaruh besar itu dilangsungkan dari generasi ke generasi.

Walaupun mereka cuba ditentang oleh agamawan yang lebih senior, tetapi itu semua sudah terlambat dan tidak berhasil seperti yang diinginkan kerana mereka mempunyai kuasa.

Fasa reformasi

Sejak bermulanya Orde Baharu, mereka telah mula melontarkan idea-idea Liberal. Namun menjelang 2001, mereka dilihat lebih berani dan vokal dalam melontarkan idea-idea Liberal ke khalayak umum.

Jaringan Islam Liberal (JIL) dibangunkan oleh Ulil Absar Abdalla melalui forum internet, dilihat amat berkesan untuk mendapatkan pengikut. Mereka memanfaatkan segala ruang media untuk menyebarkan idea Liberal. Isu klasik yang dikemukakan tidak lain, berlegar sekitar isu keabsahan al-Quran, Syariat Islam, tudung, nikah silang agama, hak untuk murtad dan sebagainya. Buku kontroversi yang bertajuk Fikih Lintas Agama memuatkan doktrin Pluralisme yang melengkapkan idea Liberal dukungan mereka.

Antara strategi Liberalis

Dari pengamatan sejarah Liberalisasi Indonesia, kita boleh merumuskan beberapa strategi Liberalis dalam mendoktrin minda masyarakat dengan ajaran sesat mereka. Antaranya:

●     Bergabung dengan politikus untuk memperolehi posisi penting yang membolehkan mereka meletak tapak pemikiran Liberal dalam silibus pengajian.

●     Berani melontarkan pandangan-pandangan yang kontroversi. Mereka tidak kisah dikecam, kerana mereka tahu lambat laun orang akan lali lalu menerima idea-idea sesat mereka. Tidak hairanlah jika kita dapati mereka tidak serik-serik memprovok.

●     Liberalis menarik golongan mahasiswa dengan pendekatan yang segar dengan budaya kajian, wacana dan diskusi. Bagi mereka mahasiswa adalah generasi pelapis yang bakal menduduki posisi-posisi strategik. Di samping itu, darah muda mahasiswa amat bermanfaat untuk nekad melontarkan suara-suara yang vokal bagi pihak Liberalis.

●     Mereka proaktif memanfaatkan media yang ada untuk menyebarkan doktrin Liberal. Ia amat fleksibel dan efektif. Di samping itu, mereka giat menulis makalah dan buku sebagai perantara dengan masyarakat.

Malaysia Baharu yang mencabar

Selepas PRU14, kita dapati idea-idea Liberal semakin giat dipentaskan. Pemenang-pemenang pilihan raya yang kini menjadi pemerintah mengisytiharkan slogan Malaysia Baharu dan Orde Baharu dengan penuh bangga. Seakan mengulangi sejarah Indonesia. Jika dahulu idea-idea Liberal dikemukakan secara runcit-runcitan. Namun kini, dalam kalangan penguasa sendiri yang menjadi provokator kepada idea-idea Liberal. Selepas satu, satu.

Normalisasi gejala songsang LGBT, definisi agama diambil dari doktrin Pluralisme, Maqasid diertikan sesuai dengan kehendak Liberal dan entah apa lagi yang mahu dimuntahkan selepas ini. Demikian merupakan senario yang telah berlaku ke atas Indonesia puluhan tahun yang lepas. Kini mereka telah mempunyai kuasa untuk dikuatkuasakan ke atas umat Islam. Kita wajib runsing dengan ancaman jangka masa panjang ini.

Perkara yang perlu dipelihara

Dr Ugi Suharto menyatakan bahawa umat Islam di Malaysia beruntung, kerana Islam diletakkan sebagai agama rasmi negara, tidak seperti di Indonesia dengan pancasilanya. Ini membolehkan Islam di Malaysia dibela melalui undang-undang serta boleh membendung penyebaran ajaran sesat serta dakyah agama lain dari disebarkan di khalayak ramai

Ditambah lagi dengan YDP Agong sebagai ketua agama Islam yang dianggap sebagai benteng akhir dalam mempertahankan Islam. Walaupun ramai yang mempertikaikan keseriusan memartabatkan Islam sebagai agama rasmi dan fungsi institusi Istana untuk mempertahankan Islam, namun secara realitinya itulah kelebihan yang kita boleh manfaatkan.

Melayu pula didefinisikan oleh Perlembagaan mestilah beragama Islam, menguatkan lagi keterikatan umat Islam di Malaysia dengan pegangan Islam mereka. Ikatan-ikatan itulah yang kini cuba dirungkai oleh golongan Liberal. Serangan ke atas Bangsa Melayu, institusi agama dan institusi Istana giat dilancarkan mutakhir ini.

Beringat

Kini kita perlu waras berfikir. Ahli politik perlu peka mengamati penularan ideologi-ideologi Liberalisme yang sedang menyusur ke tangga kuasa. Agamawan-agamawan pula perlu menyedari bahawa berdepan dengan pertempuran ideologi merupakan kefarduan yang tidak ada kompromi pada hari ini.

Perhatikan literasi media yang dimainkan oleh propagandis-propagandis. Apa-apa yang berkait menjadi sendi kepada survival Islam pasti akan diprejudiskan. Jangan terlepas pandang dengan apa yang sedang disuap di kampus-kampus, kerana di situlah sarangnya bermula.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
27 Julai 2018. - HARAKAHDAILY 27/7/2018 

FB IMG 1532647567849



KEBANGKITAN Brunei sebagai kuasa politik Islam selama dua abad setengah (1425-1598M) telah mulai tercabar dengan kedatangan penjajah-penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda, Amerika Syarikat dan British. Walaupun pada peringkat awal, Brunei berusaha mempertahankan wilayahnya di Visaya dan Luzon, tetapi mereka terpaksa menyerah kalah. Sulu dan Maguindanao walaupun tidak pernah kalah secara peperangan, tetapi melalui pakatan penjajah dalam Piagam Madrid 1885M, mereka mengisytiharkan kepulauan tersebut sebagai milik Sepanyol. Serangan-serangan Sepanyol ke atas Kampung Ayer, pusat pentadbiran Brunei pada 1578-1579M jelas memperlihat usaha Sepanyol untuk menguasai Brunei (baca: seluruh Borneo), tinggal lagi semangat jihad mereka yang menyekat kemaraan musuh. Namun begitu, walaupun Brunei berjaya mempertahankan kerajaannya dari serangan musuh, sejak naiknya Sultan-sultan yang tidak berwibawa pada abad ke-19M, Wilayah-wilayah Brunei, khususnya Sabah dan Sarawak telah secara berperingkat, jatuh ke tangan British.

Kesan daripada kedatangan penjajah ini, terutama Sepanyol dan British, akhirnya Brunei kembali memencil dengan wilayahnya hanya terhad dari Kuala Belait sampai Temburong sahaja, sedangkan Lawas yang berada di tengah-tengah antara dua kawasan itu telah dijual kepada Raja Putih Sarawak. Kerana mahu menyelamatkan wilayah-wilayahnya yang hampir habis dikuasai oleh musuh, Brunei bersetuju menjadi negara lindungan British mulai 1906M, yang secara politiknya, bermakna Brunei juga turut dijajah oleh British. Hasilnya, Residen British lebih berkuasa berbanding Sultan Brunei untuk tempoh dari 1906M hingga 1959M. Berbeza dengan Melaka (1262-1511M) dan Samudera-Pasai (1267-1521M) yang runtuh akibat landaan penjajah, Brunei yang menerima Residen British dapat bertahan sebagai kerajaan yang tidak mempunyai kuasa sehingga ia mencapai kemerdekaan pada 1984M. Kini, Brunei sedang berusaha untuk bangkit semula dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).

Menakluk Borneo: Agenda Sepanyol

Gerakan penjajahan Khatolik adalah bertujuan untuk menghancurkan kuasa politik Islam, sekali gus menghancurkan Islam. Dendam ini membara kononnya kerana Islam pernah menduduki Andalusia (kini Portugal dan Sepanyol) selama lebih 700 tahun. Selepas kejatuhan Constantinople di tangan Daulah Othmaniyah pada 1453M, gereja Khatolik telah menyusun strategi dengan menggabungkan Castilian dan Aragon pada 1469M, kemudian menggerakkan usaha pelayaran untuk mencari India sehingga Christopher Columbus menemui Caribbean pada 1492M, serta bertindak menghancurkan Granada pada 1492M juga. Pada 1494M, Paus Alexander VI telah mengadakan persefahaman untuk menyerahkan kepada Sepanyol penjajahan di sebelah Barat dan kepada Portugal di sebelah Timur. Apabila Bartholomew Diaz tiba di Tanjung Harapan pada 1488M, gerakan untuk menjajah bumi Islam telah bermula. Setelah Portugis menduduki Kalikat pada 1498M, mereka telah menghancurkan Goa pada 1509M, sebelum menjajah Melaka pada 1511M. Susulan itu, Portugis menghancurkan pula Samudera-Pasai pada 1521M dan cuba menduduki Sunda Kelapa (Betawi) pada 1522M. Dalam masa yang sama, Portugis menduduki Pulau Hitu di Ambon (1512M) dan Ternate (1522M), sedangkan pelayar Portugis, Ferdinand Magellan telah tiba di Pulau Cebu setelah mengelilingi dunia dan cuba menguasai Wilayah Brunei itu pada 1521M, tetapi gagal kerana dia berjaya dibunuh.

Kegagalan Portugis menguasai Pulau Cebu telah mendorong kedatangan Sepanyol pula, walaupun pada awalnya berlaku pergeseran antara dua bangsa penjajah itu, tetapi pada 1559M, berlaku persefahaman Portugis-Sepanyol yang membolehkan Sepanyol menguasai Visaya dan Luzon. Tentera Sepanyol yang bergerak dari Mexico dengan diketuai oleh Miguel Lopez de Legaspi telah tiba di Pulau Cebu pada 1565M dan akhirnya dapat menjatuhkan Kerajaan Islam Amanillah di Luzon pada 1571M. Kejatuhan Luzon telah mendorong Sepanyol membuat rancangan yang lebih besar iaitu menakluk seluruh Pulau Borneo. Atas tujuan itu, mereka mengkaji kedudukan Brunei sebagai Kerajaan Islam yang menguasai Borneo, Mindanao, Visaya dan Luzon, sehingga Sepanyol menghantar 40 kapal ke Kampung Ayer (Bandar Seri Begawan) pada 1578M bagi memaksa Sultan Saiful Rijal (1530-1581M) menerima paderi Kristian untuk menyebarkan agama itu di Wilayah Brunei, tetapi ditolak oleh Sultan. Sepanyol kemudian menyerang Brunei dan menawan Istana Sultan pada 14 April 1578M. Setelah berundur ke Jerudong, kemudian ke Pulau Raja, Sultan Saiful Rijal bersama Bendahara Sakam untuk mengatur gerakan jihad untuk menyerang Kampung Ayer dan menawannya semula Istana dalam tahun itu juga. Selepas kekalahan Sepanyol ini, pada 4 Mac 1579M Sepanyol menyerang lagi tetapi gagal mengalahkan Brunei, yang menyebabkan seluruh rencana mereka untuk menguasai Borneo turut gagal, sedangkan gerakan mereka untuk menguasai Sulu dan Maguindanao juga gagal.

Gerakan penjajahan: Runtuhnya Empayar Brunei

Kegagalan Sepanyol menjajah Brunei tidak bermakna musuh Islam itu akan berhenti bertindak. Pulau Luzon dan Visaya telah berjaya di-Kristian secara paksa, tetapi mereka tidak dapat menembusi Sulu dan Maguindanao kerana kekentalan semangat jihad Kerajaan Islam di sana. Sepanyol menduduki wilayah yang dinamakan sebagai Tanah Raja Philip II (The Philippines) ini sehingga berlaku Piagam Madrid 1885M dan Perang Filipina-Amerika Syarikat pada 1899M. Di Borneo yang menjadi wilayah asas Brunei, kedudukan Brunei mulai terjejas teruk apabila beberapa kawasan di Kalimantan mula diduduki oleh Belanda mulai abad ke-17M. Raja Sukadana, Penembahan Giri Kesuma telah mengadakan kerjasama dengan Belanda pada 1604M, yang membolehkan Belanda menjelajahi Banjarmasin pada 1606M, diikuti kerjasama dengan Pengeran Adipati Sambas pada 1609M. Selepas kekalahan Banjarmasin di tangan Belanda pada 1612M, rombongan perdagangan Inggeris mulai memasuki Brunei pada tahun itu juga dengan diketuai oleh Hendry Middleton. Kemasukan berperingkat Belanda di Kalimantan ini berkesudahan dengan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824M yang menyebab Kalimantan dianggap secara rasmi adalah milik Belanda kerana berada di Selatan Selat Singapura.

Bertolak dari penguasaan Belanda ke atas Kota-kota Kalimantan, krisis politik yang berlaku di Sarawak kerana orang Dayak, Cina dan Bidayuh memberontak terhadap pembesar Brunei. Pengeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke pada 1839M untuk menyelesaikannya. Setelah krisis ini tamat, James Brooke mulai berkuasa di kawasan Kuching pada 1841M, tetapi setahun kemudian, dia menguasai Kuching hingga Sungai Samarahan dengan bergelar Rajah Putih Sarawak. Pada 1853M, setelah menyelesai pemberontakan di Saribas, Rajah Brooke menguasai pula wilayah hingga Sungai Rajang, sedangkan mulai 1861M, Rajah Brooke sudah menguasai seluruh Lembah Rajang. Manakala kawasan Lembah Terusan jatuh ke tangan Rajah Putih itu mulai 1883M, sebelum Rajah Charles Brooke membeli Lawas dari Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin pada 1905M. Di Borneo Utara, kawasan Pantai Timur Sabah telah diserahkan kepada Sultan Sulu pada 1658M untuk menyelesaikan satu perang saudara di sana. Pada 1846M, di atas permintaan James Brooke, Brunei menyerahkan Labuan kepada British, diikuti oleh pemajakan tanah Borneo Utara (Barat dan Utara Sabah) kepada konsul Amerika Syarikat pada 1865M. Kemudian semua wilayah itu dijual kepada American Trading Company, sebelum ia dijual lagi kepada Baron Gustavus von Overback, konsul Austria-Hungry di Hong Kong pada 1875M. Setelah bekerjasama dengan keluarga Alfred Dent, pada 1881M, keluarga Dent telah menubuhkan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang menguasai seluruh kawasan Sabah, termasuk kawasan yang telah diserahkan kepada Sulu sebelumnya.

Brunei terjajah

Setelah terlepas semua wilayah jajahannya, bermula dengan terlepasnya Visaya dan Luzon pada 1571M, kemudian secara berperingkat pengaruh Brunei luntur di Kalimantan dengan kemasukan Belanda, akhirnya mulai 1841M, Brunei terlepas pula Sawarak secara berperingkat sehingga 1905M. Wilayah Brunei di Borneo Utara yang disewakan kepada konsul Amerika telah dijual kepada pelbagai pihak sebelum ia menjadi milik Syarikat British pada 1881M. Pada 1885M pula, Piagam Madrid telah mengesahkan Sulu dan Maguindanao yang pernah dinaungi oleh Brunei menjadi milik Sepanyol. Keadaan ini telah menyebabkan Wilayah Brunei mengecil dan kembali ke wilayah asalnya ketika Awang Alak Betatar menubuhkan Kerajaan Brunei dahulu. Penjualan Daerah Lawas kepada Raja Putih Sarawak pada 1905M adalah batu tanda bahawa pengaruh dan kuasa politik Brunei telah lumpuh sama sekali. Brunei sudah tidak mempunyai kekuatan untuk menyekat pengaruh British terutama setelah Negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu hampir semuanya dikuasai British, kecuali Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang dikuasai melalui Perjanjian Bangkok pada 1909M.

Menyedari kemerosotan wilayahnya, Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin (1885-1906M) telah mengambil langkah untuk mengadakan perjanjian di antara Brunei, Rajah Brooke Sarawak, Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan Queen England bagi menghalang rampasan Wilayah Brunei berlaku secara berterusan. Hasilnya, ketiga-tiga negara (Brunei, Borneo Utara dan Sarawak) telah menjadi wilayah perlindungan British. Ketiga-tiga negara ini tidak dibenarkan melebarkan wilayah antara satu sama lain. Kesan daripada perjanjian ini juga, pada 31 Disember 1905 dan 2 Januari 1906, satu perjanjian tambahan dibuat antara Brunei dan British, di mana Brunei dipaksa menerima Residen British mulai 1906. Malcom Stewart Hannibal McAthur dilantik sebagai Residen British yang pertama di Brunei, sekali gus melumpuhkan kuasa Sultan sebagai ketua negara. Sepanjang penjajahan British sehingga 1959M, seramai 21 orang pegawai British memegang jawatan tersebut. Pada 1959M, British memberi hak kepada Sultan Ali Omar Saifuddin III untuk berkerajaan sendiri, tetapi dilantik seorang Pesuruhjaya British, bermula dengan Dennis Charles White. Pada 1 Januari 1984M, baharulah Brunei diberikan kemerdekaan daripada British.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
10 Zulqaedah 1439 / 23 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 27/7/2018

KENYATAAN Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang berjanji menyediakan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan boleh diagak berdasarkan sikap beliau namun ianya sangat dikesali. Dalam jawapan bertulis Parlimen sebelum ini Dr Maszlee menjelaskan SMPC tidak mendapat peruntukan bagi membayar gaji guru kerana institusi itu bukan bertaraf sekolah kerajaan. Tetapi pada hari ini beliau menjelaskan pula untuk menyediakan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Beliau menyatakan peruntukan Kerajaan Harapan kepada SMPC akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan.

Pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terkenal dengan kenyataan kluk klek dan u-turn kerana suka bertukar kenyataan dari sehari ke sehari. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung manifesto yang disifatkannya hanya panduan dan bukan kitab suci, menjadikan keseluruhan janji PH tertakluk kepada kehendak dan selera mereka, bukan lagi keperluan untuk ditunaikan. Selain itu pengumuman Perdana Menteri bahawa projek High Speed Rail (HSR) Singapura-Kuala Lumpur dan MRT3 di Lembah Klang akan dibatalkan tetapi akhirnya kedua-dua projek itu tidak akan dibatalkan tetapi hanya akan dikaji semula. Menteri Pendidikan pula mengumumkan pelajar-pelajar sekolah akan memakai kasut hitam pada awal tahun depan. Akhirnya setelah bantahan dari ibu bapa dan pembekal, pelaksanaannya ditangguh sehingga pertengahan tahun hadapan. Kenyataan Dr Maszlee berkenaan SMPC pula memperlihatkan betapa kelam kabutnya pemerintahan PH. Mereka sekadar bercakap ‘dalam gelap’ tanpa bukti dan fakta kukuh, tetapi apabila menemui perkara realiti, mereka terpaksa menarik balik kenyataan awal.

Kerajaan PH dilihat terlalu lunak, berlembut, manja dan mesra dengan kaum lain dan bukan Bangsa Melayu Islam yang lebih majoriti. Jika kehendak segelintir pihak dalam isu Unified Examination Certificate (UEC) Menteri Pendidikan dengan mudah menerima desakan mereka sedangkan ia bukan suatu keperluan bahkan boleh mengancam kedudukan Bahasa Malaysia dan peperiksaan SPM. Tetapi apakan daya, bantahan rakyat tidak dipedulikan kerana mahu meraikan segelintir yang menyokong mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Manakala, dalam isu SMPC pula, kerajaan lembut lidah memberi peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina melalui peruntukan kerajaan, sedangkan banyak lagi sekolah agama, tahfiz, madrasah, pondok dan insititusi agama persendirian tidak pula mahu dibantu.

Alangkah beruntungnya segelintir pihak itu yang semua kehendak dan keperluan mereka dipenuhi oleh kerajaan. Dan alangkah ruginya umat Islam dan Bangsa Melayu kerana kerajaan sendiri tidak pernah memikirkan mahupun menyuarakan mahu memperjuangkan nasib sekolah-sekolah persendirian agama. Bahkan dibiarkan ada suara ‘menyengat’ tanpa tindakan yang mahu sekolah tahfiz pula ditutup.

Sepatutnya kerajaan mengutamakan sekolah kebangsaan milik kerajaan lebih utama daripada SMPC atau mana-mana sekolah persendirian. Banyak lagi sekolah kebangsaan yang masih dhaif, infrastruktur masih ketinggalan, kemudahan guru dan murid yang kurang, guru tidak mencukupi, pelajar miskin, guru yang terbeban dengan pelbagai tanggungjawab, peruntukan yang tidak mencukupi untuk menjalankan pelbagai aktiviti kokurikulum dan seribu satu isu yang belum selesai. Sekolah persendirian bertunjangkan kepada yuran dan keuntungan dan banyaknya yang mampu berdiri sendiri. Jika tidak pengusaha tidak akan mampu menguruskan sekolah milik mereka dan menanggung operasi bulanan. Jika kerajaan mahu membantu SMPC, maka wajib juga kerajaan membantu keseluruhan sekolah agama, tahfiz dan institusi agama milik persendirian tanpa bersikap berat sebelah.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 27/7/2018

ALHAMDULILLAH saya serta rakan-rakan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) hari ini telah menyerahkan satu memorandum khas kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official) berkaitan kempen Mahasiswa Bantah UEC.

Kami memilih Ahli Parlimen Kubang Kerian kerana parti beliau (PAS) konsisten sejak sebelum, semasa dan selepas PRU14 menolak UEC yang menjadi punca kepada krisis polarisasi kaum dalam negara kita.

Berikut merupakan tuntutan GAMIS kepada seluruh ahli Parlimen Malaysia:

1. Ahli Parlimen Malaysia mestilah sebulat suara menolak pengiktirafan UEC ini secara rasmi sama ada di dalam perbahasan sidang Parlimen atau di media sosial kerana ianya jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan Negara 1996.

2. Ahli Parlimen Malaysia mestilah memboikot mana-mana pihak atau NGO yang memberikan tekanan atau paksaan kepada kerajaan untuk mengiktiraf dan melaksanakan sistem pendidikan UEC dalam negara kerana UEC jelas bersifat memelihara kepentingan pihak tertentu sahaja dan mengundang kepada krisis polarisasi kaum.

3. Ahli Parlimen Malaysia mestilah memastikan sistem pendidikan negara diperkasa dan mampu menjadi platform untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti yang direkodkan di dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.

4. Ahli Parlimen Malaysia mestilah menggubal satu undang-undang khas atau meminda undang-undang yang berkaitan agar setiap sekolah di Malaysia sama ada di bawah kerajaan atau persendirian wajib menyediakan kelas pengajian subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia yang setara dengan sukatan pelajaran kurikulum kebangsaan kepada pelajar-pelajar mereka.

5. Ahli Parlimen Malaysia mestilah memastikan sistem UEC dirombak serta dikemaskini supaya selaras dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan agar perpaduan Nasional antara kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diperkasa dari semasa ke semasa khususnya antara kaum Melayu dan Cina.

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia – HARAKAHDAILY 26/7/2018

More Articles ...