SETIAP kali cukai kepenggunaan seperti cukai GST atau SST diperkenalkan, ia tidak akan dapat mengelak dari berlaku gelombang kesan rantaian kenaikan harga barang sebagai respon dari setiap sektor perkhidmatan dan perbekalan yang dilanda keresahan risiko kos tambahan yang ditanggung masing-maing di setiap tahap.

Selain dari itu adalah menjadi lumrah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga lebih dari sepatutnya atas apa jua alasan termasuk perubahan dasar cukai.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, KPDNKK dilihat mempunyai banyak kelemahan dalam menguatkuasakan kawalan harga barangan dan perkhidmatan pengguna seperti mana ketika GST mula diperkenalkan.

Saya pernah ingat ada di kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengakui bahawa sistem GST sebenarnya bagus, cekap dan menjadi pilihan di kebanyakan negara maju, namun dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi, ianya tidak sesuai dilaksanakan ketika itu.

Kritikan terhadap GST termasuk juga kadar 6 peratus yang agak tinggi berbanding kadar GST semasa mula diperkenalkan di negara lain.

Jika kita menerima dan mengakui sistem GST ini lebih telus dan cekap dalam mengutip cukai, seperti jawapan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di dalam jawapan di Parlimen minggu pertama sidang Parlimen, cuma oleh kerana kerajaan merasakan sistem SST lebih menguntungkan rakyat disebabkan ia kurang cekap menyebabkan lebih ramai peniaga terlepas dari bayar cukai, maka saya merasa ini perlu dipersoal, Adakah kerajaan merasakan, GST ini perlu dimansuhkan sementara sahaja untuk beberapa tahun ini sementara kos sara hidup akan dapat diturunkan, supaya keadaan akan lebih sesuai untuk melaksanakan GST, atau memang GST ini tidak akan dilaksanakan selamanya iaitu tidak akan kembali diperkenalkan di masa akan datang setelah SST kembali diperkenalkan dan dilaksanakan?

Kerajaan dijangka memperkenalkan kembali SST pada bulan September ini dan memansuhkan GST.

Seperti saya katakan, setiap kali diperkenalkan sistem percukaian yang baru, maka pasaran akan memberikan reaksi kenaikan harga barang. Memang pasaran sentiasa begitu sifatnya.

Jika betullah ada niat di pihak kerajaan pada masa hadapan akan kembali memperkenalkan dan melaksanakan semula GST, rasanya tidak perlu diperkenalkan sistem SST yang diperbaharui.

Lebih baik diteruskan mengenakan GST cuma pada kadar yang lebih rendah dari 6 peratus yang dikenakan sebelum ini dan tambahkan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan GST khususnya yang banyak digunakan kumpulan berpendapatan rendah.

Ini lebih meminimakan impak kenaikan harga barang berbanding pengenalan cukai kepenggunaan baharu atau diperbaharui.

PAS memang tidak bersetuju dengan sebarang jenis cukai kepenggunaan yang mencukai rakyat atas apa yang mereka beli dan dapatkan perkhidmatan seperti GST dan SST.

Keperluan asasi rakyat yang digunakan setiap hari oleh orang kebanyakan hendaknya janganlah dicukai hingga membebankan kos sara hidup harian rakyat.

Sudah tiba masa melihat cukai jenis lain yang tidak menyentuh soal kepenggunaan dan lebih menyasarkan golongan T20 atau M40 sahaja bukannya B40.

PAS mencadangkan agar alternatif cukai yang lebih melibatkan golongan berkemampuan dilihat misalnya Cukai Simpanan Tetap, Cukai Saham, Cukai Warisan dan seumpamanya.

Individu dan syarikat yang banyak menyimpan wang, memiliki keupayaan berjual beli saham dan mereka yang mewarisi harta pusaka dalam jumlah yang besar bukanlah golongan miskin susah. Mereka adalah golongan berada dan berkemampuan.

Sudah pasti dalam memperkenalkan cukai sebegini PAS juga tidak menjangkakan pelaksanaan secara mendadak dan gopoh. Ia mungkin mengambil masa dan memerlukan kajian teliti, dirundingkan serta diseminarkan di kalangan tenaga pakar. Pelaksanaannya memerlukan perincian dan program pendidikan dan penerangan dalam tempoh masa yang munasabah. Mungkin memakan tempoh 10 tahun seperti mana diambil sebelum memperkenalkan GST dahulu.

Jika kerajaan meniadakan kedua-dua cukai, GST dan SST serentak, hasil kerajaan akan berkurangan bernilai RM40-50 billion setahun yang bukan kecil implikasinya kepada belanjawan negara. Jumlah ini agak.

Kita boleh katakan jika kita boleh kawal rasuah, pembaziran maka kita tidak perlukan RM50 billion itu.

Masalahnya ialah untuk membersihkan negara dari gejala rasuah, budaya pembaziran dan pemborosan itu tidak akan berlaku dalam satu hari. Ianya akan memakan masa yang panjang dan memerlukan usaha beterusan.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu. - HARAKAHDAILY 29/7/2018

“BAGI saya penghijrahan bermula dari dalaman, bukan daripada luaran, sebab luaran ini ia tidak akan jadikan pengekalan.

"Jadi kebanyakan kawan-kawan saya dia beranggapan bila kita nak berhijrah, kita kena berhijrah dari luaran, maksudnya potong rambut, buang baju-baju perempuan, tetapi bagi saya itu sebenarnya salah.

"Sebenarnya penghijrahan yang bagus, yang hebat yang betul-betul mantap, bila kita mengenali diri kita dan kita mengenali Allah, kita mengenali Islam, dan dikala itulah kekuatan akidah Allah akan campakkan," demikian antara luahan hati Mohd Khariri Mohamad Ramli.

Beliau adalah bekas mak nyah yang telah terjebak selama lebih kurang 15 tahun secara serius, bermula semenjak beliau berumur 18 tahun dan berjaya bebas kira-kira lapan tahun lalu.

Beliau kemudiannya secara beransur-ansur, mula kembali mengerjakan perkara wajib dan solat-solat sunat seperti tahajud, taubat dan mengaji al-Quran bagi menguatkan lagi keazamannya untuk berubah.

Kata beliau, dengan mengamalkan semua perkara ini, beliau dapat merasakan ada kesan positif yang Allah kurniakan kepada beliau seperti ketenangan yang belum pernah didapati beliau sebelum ini.

Dahulu, beliau sanggup mengambil hormon bagi menjadikan tubuh badannya lebih menarik sehingga pada satu masa, beliau tidak nampak apakah cara terbaik untuk beliau berubah, hasil dari tindakan itu.

Semua itu adalah kerana nafsu yang tidak berjaya dikawal, sehinggakan segala amalan baik doa-doa yang pernah diamalkannya dahulu, ditinggalkan beliau, menjadikan beliau lebih jauh terpesong dari jalan Allah.

Dan pada tahun 2011, beliau telah berusaha keras mempersiapkan dalaman dirinya bagi melakukan satu perubahan besar dalam hidupnya iaitu kembali kepada kehidupan normal, sehingga berjaya.

Beliau ditemui dalam satu Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Dewan Auditorium JHEAT di Kompleks Seri Iman, Terengganu.

Seminar selama sehari itu adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu melalui JHEAT.

Guru di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja Uda, Kelang itu juga meminta agar masyarakat sentiasa memberikan dorongan dan kasih sayang kepada mana-mana golongan mak nyah yang ingin berubah kepada kebaikan.

“Bagi saya apa yang utamanya adalah golongan LGBT ini ataupun fenomena ini akan mencetuskan lebih banyak masalah sekiranya kita tidak menangani atau tidak membantu mereka dengan pendekatan yang lebih berhemah dan kasih sayang.

"Sebab apa yang utamanya, bagi saya sebagai seorang yang telah berhijrah, sebagai seorang pendakwah bebas, saya amat intim dengan konsep kasih dan sayang dan saya juga berubah dengan penuh kasih dan sayang, saya juga berubah kerana Allah.

"Kerana itu saya berjaya dalam pengekalan sebagai seorang lelaki, sebagai seorang Muslim sehinggalah ke hari ini dan doakanlah semoga saya kekal berhijrah dan saya juga mengimpikan sebuah rumahtangga sebagaimana lelaki-lelaki di luar sana insyaAllah,” kata beliau lagi.

Kepada golongan mak nyah yang ingin berubah juga beliau menasihatkan agar berubah kerana Allah, bukan kerana populariti dan terus memandang ke hadapan kerana jati diri yang kuat, perlu dalam perubahan ini.

Juga kepada golongan muda yang baru mahu berjinak-jinak untuk menjadi mak nyah beliau merayu agar tidak sekali-kali mencubanya.

Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah. - HARAKAHDAILY 29/7/2018

IMG 20180729 WA0022

RAKYAT dan lain-lain makhluk tukar mandat di Putrajaya dengan harapan ia menyambung rahmat yang Allah limpahkan di alam kita. Masing-masing berbulan madu kerana rejim Najib dan partinya digantikan.

Mandat yang diberi demi menyelamatkan rakyat dan pemastuatin dan generasi akan datang dari pemerintahan tidak bertanggungjawab, bukan untuk memberi laluan selesa pemaju lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyebarkan benihnya.

subkyPM Mahathir menamatkan pentadbiran pertamanya dengan dakwaan membersihkan perangai buruk - liwat - dari kalangan kerajaan. Dia tidak mahu kerajaan yang menggantikan terdiri dari pemaksiat paling terkutuk dalam sejarah manusia.

Sama ada sasarannya menjadi mangsanya atau menerima hukuman seadilnya, adalah isu yang terus didebatkan. Tetapi dakwanya dia mencegah gejala kaum Lut.

Tetapi pentadbiran barunya dalam masa kurang dari 100 hari membenarkan gejala LGBT menuju sasarannya sendiri dan kerajaannya mempertahankan anasir yang dikutuk Allah dan dibenci sekalian makhluk.

Orang beri mandat demi hentikan penyelewangan, basmi rasuah, pulihkan kesejahteraan dan ekonomi negara. Orang tidak yakin pemerintahan boleh menyelamatkan akidah umat, tetapi memberi laluan kepada LGBT menuju sasarannya.

Menterinya adalah melaksanakan dasarnya. Dasarnya tentulah diluluskan oleh kabinetnya dan disahkan oleh parti gabungannya. Orang berbulan madu atas berakhirnya satu rejim yang zalim tetapi kini seolah-olah lepas dari mulut harimau masuk ke mulut buaya.

Nabi Lut tidak terlibat perangai kaumnya. Baginda dan puterinya saja benci atas kejadian itu. Bahkan isterinya bersama kaumnya. Kejadian itu melibatkan orang kafir sepenuhnya. Baginda cuba cegah tidak sekadar dalam hati, tapi dengan lidah dan tangan.

Allah kirim malaikat utama tidak sekadar membinasakan kaumnya, bahkan menterbaliknya wilayah menjadi Laut Mati di Jordan, supaya jadi pengajaran kepada manusia sehingga kiamat. Umat Islam Malaysia, kerajaannya dan menteri mesti mengambil iktibar dari ajaran itu.

Penyakit kaum Lut itu bukan terjadi serenak dengan tiba-tiba. Ia bermula dari seorang dua. Tetapi ia berkembang hingga Nabi Lut dan puterinya saja yang Allah pelihara. Penyakit jahiliah yang bermula di Norway, Sweden yang cepat merebak ke Eropah, Amerika dan lain-lain itu sudah tiba ke Malaysia. Jangan tunggu malaikat datang lagi untuk menghapuskannya.

Tanggungjawab umat, kerajaannya dan menterinya mencegahnya sejak ia bertunas. Barat tidak dapat berbuat apa-apa, bukan kerana mereka suka, tetapi mereka tidak mampu cegah. Bila ia tidak dapat dicegah, maka mereka halalkan.

Kita jangan sekadar menyatakan ia haram, tetapi mesti bertindak. Tidak boleh dengan tangan, dengan lidah. Tidak boleh dengan lidah, benci ia dalam hati. Ini adalah selemah-lemah iman. Selemah iman itu adalah di sisi tidak beriman.

Umno/BN tahu rasuah itu haram. Ia biarkan ketika seorang dua menteri melakukannya. Sesudah ia jadi penyakit baru hendak dicegah. Yang mencegahnya ada kuman itu. Tidak lagi dapat dicegah bila ia jadi watak kerajaan. Seolah-olah malaikat datang pada 9 Mei lalu membinasakan rejim itu.

Kerana ia diganti oleh sistem yang sama, wabak LGBT yang menunggu lama, masuk ke saraf kerajaan baru, nampaknya benci Mahathir atas gejala itu tidak sama dengan bencinya dengan hujung pentadbiran pertamanya dulu.

Dia pertahan kerajaannya akan selamatkan Islam dengan kembali kepada al-Quran. Tetapi saranannya seolah-olah selari dengan Islam yang Kassim Ahmad fahami. Mereka kata LGBT itu haram. Membiarkannya seperti membenarkan sawa naik katil dan mula membelitnya.

Kerajaan/menteri berkeras. Sewajarnya mereka dikaunseling. – HARAKAHDAILY 29/7/2018

TADI saya buat tinjauan ke Lagun Kuala Ibai dan Pantai Batu Buruk. Alhamdulillah, keadaan kebersihan lebih baik sejak Kempen Terengganu Bersih digerakkan bersama rakyat walau masih ada pihak tidak bertanggungjawab meninggalkan sisa makanan, gelas dan pinggan polisterin, plastik merata rata.

Sekalung terima kasih dan tahniah serta doa kesejahteraan kepada semua yang berbudi dan berbakti. Dan tanpa putus asa serta doa berterusan agar yang masih mengamalkan budaya pengotor agar berubah sikap.

Sekali lagi bagi pihak Parlimen Kuala Terengganu dan rakyatnya, kami pohon di semua tempat anjurkan kempen dan kesedaran kebersihan di semua peringkat masing-masing.

Pasar-pasar, pasar malam, masjid dan surau, hentian bas dan teksi serta semua tempat awam, JKK masing-masing, tolong masukkan dalam kalendar program berkait kebersihan dan keceriaan premis bawah jagaan masing-masing.

Agensi kerajaan dan swasta diminta turut terlibat aktif menjayakannya. Semoga ia jadi dorongan dan budaya kepada seluruh rakyat dan pengunjung, pelancong akan merasa segan untuk membuat kotor dan hormat kepada kita.

Jadikan Kuala Terengganu bersih, ceria, selamat dan sejahtera untuk semua.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
28 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 28/7/2018

MEMBACA kenyataan sesetengah pemimpin Umno yang kelihatan begitu sombong dan berlagak sekali dengan PAS, sukalah diingatkan bahawa:

Pertama: Umno tidak akan menang di 36 kerusi Parlimen jika PAS menjalinkan persefahaman politik dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak bertanding secara tiga penjuru dalam PRU14, di mana:

1.     Umno, melalui calonnya, Datuk Zahidi Zainul Abidin (yang memperolehi 15032 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 6436 undi di kerusi P.001 Padang Besar jika PH (yang memperolehi 13594 undi) dan PAS (yang memperolehi 7874 undi) bergabung.

2.     Umno, melalui calonnya, Dato' Seri Dr Shahidan Kassim (yang memperolehi 16547 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 6506 undi di kerusi P.003 Arau jika PH (yang memperolehi 11691 undi) dan PAS (yang memperolehi 11362 undi) bergabung.

3.     Umno, melalui calonnya, Dato' Seri Mahdzir Khalid (yang memperolehi 16384 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 6155 undi di kerusi P.007 Padang Terap jika PH (yang memperolehi 7254 undi) dan PAS (yang memperolehi 15285 undi) bergabung.

4.     Umno, melalui calonnya, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim (yang memperolehi 38557 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 13398 undi di kerusi P.016 Baling jika PH (yang memperolehi 14472 undi) dan PAS (yang memperolehi 37483 undi) bergabung.

5.     Umno, melalui calonnya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa (yang memperolehi 25467 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 2173 undi di kerusi P.026 Ketereh jika PH (yang memperolehi 6799 undi) dan PAS (yang memperolehi 20841 undi) bergabung.

6.     Umno, melalui calonnya, Dato' Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (yang memperolehi 28152 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 1818 undi di kerusi P.027 Tanah Merah jika PH (yang memperolehi 4747 undi) dan PAS (yang memperolehi 25223 undi) bergabung.

7.     Umno, melalui calonnya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (yang memperolehi 26076 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 2871 undi di kerusi P.029 Machang jika PH (yang memperolehi 5695 undi) dan PAS (yang memperolehi 23252 undi) bergabung.

8.     Umno, melalui calonnya, Tengku Razaleigh Hamzah (yang memperolehi 19426 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 1084 undi di kerusi P.032 Gua Musang jika PH (yang memperolehi 4997 undi) dan PAS (yang memperolehi 15513 undi) bergabung.


9.     Umno, melalui calonnya, Dato' Seri Haji Idris Jusoh (yang memperolehi 34335 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 2265 undi di kerusi P.033 Besut jika PH (yang memperolehi 6864 undi) dan PAS (yang memperolehi 29736 undi) bergabung. 

10.     Umno, melalui calonnya, Dato' Rosol Wahid (yang memperolehi 30925 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 496 undi di kerusi P.038 Hulu Terengganu jika PH (yang memperolehi 3364 undi) dan PAS (yang memperolehi 28057 undi) bergabung.

11.     Umno, melalui calonnya, Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican (yang memperolehi 22459 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 7384 undi di kerusi P.041 Kepala Batas jika PH (yang memperolehi 17723 undi) dan PAS (yang memperolehi 12120 undi) bergabung.

12.     Umno, melalui calonnya, Datuk Haji Shabudin Yahaya (yang memperolehi 18547 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 14810 undi di kerusi P.042 Tasek Gelugor jika PH (yang memperolehi 18466 undi) dan PAS (yang memperolehi 14891 undi) bergabung.

13.     Umno, melalui calonnya, Dato' Hasbullah Osman (yang memperolehi 13243 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 825 undi di kerusi P.054 Gerik jika PH (yang memperolehi 6353 undi) dan PAS (yang memperolehi 7715 undi) bergabung.

14.     Umno, melalui calonnya, Dato' Seri Hamzah Zainudin (yang memperolehi 18184 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 3252 undi di kerusi P.056 Larut jika PH (yang memperolehi 7738 undi) dan PAS (yang memperolehi 13698 undi) bergabung.

15.     Umno, melalui calonnya, Dato' Dr Haji Noor Azmi Ghazali (yang memperolehi 17220 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 12815 undi di kerusi P.058 Bagan Serai jika PH (yang memperolehi 12987 undi) dan PAS (yang memperolehi 17048 undi) bergabung.

16.     Umno, melalui calonnya, Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (yang memperolehi 22450 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 11963 undi di kerusi P.059 Bukit Gantang jika PH (yang memperolehi 18361 undi) dan PAS (yang memperolehi 16052 undi) bergabung.

17.     Umno, melalui calonnya, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (yang memperolehi 10491 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 4299 undi di kerusi P.061 Padang Rengas jika PH (yang memperolehi 7943 undi) dan PAS (yang memperolehi 6847 undi) bergabung.

18.     Umno, melalui calonnya, Datin Mastura Mohd Yazid (yang memperolehi 12102 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 5852 undi di kerusi P.067 Kuala Kangsar jika PH (yang memperolehi 11371 undi) dan PAS (yang memperolehi 6583 undi) bergabung.

19.     Umno, melalui calonnya, Dato' Mohd Nizar Haji Zakaria (yang memperolehi 14035 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 920 undi di kerusi P.069 Parit jika PH (yang memperolehi 7240 undi) dan PAS (yang memperolehi 7715 undi) bergabung.

20.     Umno, melalui calonnya, Dato' Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman (yang memperolehi 20003 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 3439 undi di kerusi P.073 Pasir Salak jika PH (yang memperolehi 12291 undi) dan PAS (yang memperolehi 11151 undi) bergabung.

21.     Umno, melalui calonnya, Dato’ Hj Abdul Rahman Mohamad (yang memperolehi 13995 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 102 undi di kerusi P.079 Lipis jika PH (yang memperolehi 7426 undi) dan PAS (yang memperolehi 6671 undi) bergabung.

22.     Umno, melalui calonnya, Dato' Hj Ahmad Nazlan Idris (yang memperolehi 22640 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 4969 undi di kerusi P.081 Jerantut jika PH (yang memperolehi 10877 undi) dan PAS (yang memperolehi 16732 undi) bergabung.

23.     Umno, melalui calonnya, Tuan Mohd Shahar Abdullah (yang memperolehi 19033 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 6034 undi di kerusi P.084 Paya Besar jika PH (yang memperolehi 11776 undi) dan PAS (yang memperolehi 13291 undi) bergabung.

24.     Umno, melalui calonnya, Dato' Sri Dr Hj Ismail Hj Abd Muttalib (yang memperolehi 16064 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 597 undi di kerusi P.086 Maran jika PH (yang memperolehi 4360 undi) dan PAS (yang memperolehi 12301 undi) bergabung.

25.     Umno, melalui calonnya, Dato' Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said (yang memperolehi 18058 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 2195 undi di kerusi P.087 Kuala Krau jika PH (yang memperolehi 5071 undi) dan PAS (yang memperolehi 15182 undi) bergabung.

26.     Umno, melalui calonnya, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob (yang memperolehi 20760 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 5785 undi di kerusi P.090 Bera jika PH (yang memperolehi 18449 undi) dan PAS (yang memperolehi 8096 undi) bergabung.

27.     Umno, melalui calonnya, Dato' Haji Mohd Fasiah Mohd Fakeh (yang memperolehi 12862 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 7626 undi di kerusi P.092 Sabak Bernam jika PH (yang memperolehi 11188 undi) dan PAS (yang memperolehi 9300 undi) bergabung.

28.     Umno, melalui calonnya, Tan Sri Noh Haji Omar (yang memperolehi 17596 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 5306 undi di kerusi P.095 Tanjong Karang jika PH (yang memperolehi 15626 undi) dan PAS (yang memperolehi 7276 undi) bergabung.

29.     Umno, melalui calonnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (yang memperolehi 12148 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 262 undi di kerusi P.125 Putrajaya jika PH (yang memperolehi 8776 undi) dan PAS (yang memperolehi 3634 undi) bergabung.

30.     Umno, melalui calonnya, Dato' Jalaluddin Alias (yang memperolehi 19062 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 833 undi di kerusi P.126 Jelebu jika PH (yang memperolehi 17017 undi) dan PAS (yang memperolehi 2878 undi) bergabung.

31.     Umno, melalui calonnya, Dato' Haji Salim Sharif (yang memperolehi 26819 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 3636 undi di kerusi P.127 Jempol jika PH (yang memperolehi 25188 undi) dan PAS (yang memperolehi 5267 undi) bergabung.

32.     Umno, melalui calonnya, Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (yang memperolehi 36096 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 1664 undi di kerusi P.131 Rembau jika PH (yang memperolehi 31732 undi) dan PAS (yang memperolehi 6028 undi) bergabung.

33.     Umno, melalui calonnya, Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah (yang memperolehi 26560 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 8641 undi di kerusi P.139 Jasin jika PH (yang memperolehi 26341 undi) dan PAS (yang memperolehi 8860 undi) bergabung.

34.     Umno, melalui calonnya, Dato' Dr. Noraini Ahmad (yang memperolehi 24481 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 807 undi di kerusi P.147 Parit Sulong jika PH (yang memperolehi 18140 undi) dan PAS (yang memperolehi 7148 undi) bergabung.

35.     Umno, melalui calonnya, Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan (yang memperolehi 21132 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 3462 undi di kerusi P.164 Pontian jika PH (yang memperolehi 20299 undi) dan PAS (yang memperolehi 4295 undi) bergabung.

36.     Umno, melalui calonnya, Datuk Rozman Isli (yang memperolehi 10164 undi), akan kalah dengan majoriti sebanyak 105 undi di kerusi P.166 Labuan jika PH (yang memperolehi 8714 undi) dan PAS (yang memperolehi 1555 undi) bergabung.

Kedua: Jika atas kekuatan Umno sendiri, Umno hanya akan mampu bertahan di 11 kerusi Parlimen sahaja di Semenanjung Malaysia dalam PRU14, iaitu melalui:

1.     Dato' Sri Mustapa Mohamed di kerusi P.030 Jeli.

2.     Dato' Dr. Shamsul Anuar Nasarah di kerusi P.055 Lenggong.

3.     Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di kerusi P.075 Bagan Datuk.

4.     Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak di kerusi P.085 Pekan.

5.     Dato' Sri Hasan Arifin di kerusi P.091 Rompin.

6.     Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin di kerusi P.134 Masjid Tanah.

7.     Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein di kerusi P.153 Sembrong.

8.     Datuk Dr. Haji Abd. Latiff Ahmad di kerusi P.154 Mersing.

9.     Datuk Seri Dr. Adham Baba di kerusi P.155 Tenggara.

10.     Datuk Halimah Mohamed Sadique di kerusi P.156 Kota Tinggi.

11.     Dato' Sri Azalina Othman Said di kerusi P.157 Pengerang.

Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. - HARAKAHDAILY 29/7/2018

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) yang terdiri daripada 300 NGO yang mewakili suara majoriti rakyat di negara ini terutama orang Melayu Islam ingin menegaskan perkara-perkara berikut:-

1. Semua tindakan dan keputusan kerajaan mestilah bertunjangkan kepada asas perlembagaan negara tanpa menjejaskan mana-mana fasa didalam perlembagaan. Ini demi untuk menjaga perpaduan kaum dan hubungan antara agama kekal harmoni dan sejahtera

2. Keabsahan ugama islam dan hak istimewa orang Melayu mesti tidak digugat sama sekali kerana itu adalah jaminan didalam pembentukan negara Malaysia dan merupakan elemen didalam tujuh wasiat Raja-raja Melayu. Ini termasuk tanah rezab Melayu, bantuan pelajaran dan pekerjaan disektor awam

3. Isu UEC mesti ditolak sama sekali kerana ia bukan saja bertentangan dengan dasar pendidikan negara malah akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih ketara

4. Kementerian Pendidikan mesti tegas untuk tidak memberikan sebarang peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), kerana ia tidak termasuk di bawah kurikulum dan sistem pendidikan kebangsaan, serta tiada asas di sisi Perlembagaan. Peruntukan kewangan itu seharusnya dimanfaatkan untuk kegunaan yang lebih meluas kepada rakyat, dengan meneruskan program MyBrain untuk mahasiswa pasca-ijazah melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Juga wajar digunakan untuk peruntukan sekolah-sekolah agama, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.

5. Semua urusan dan kenyataan resmi oleh pihak kerajaan mestilah menggunakan bahasa kebangsaan dan UMMAH mendesak kerajaan mengambil langkah yang lebih serius dalam memperkasakan bahasa kebangsaan ini

6. Gerakan atau mana-mana pertubuhan yang membawa agenda liberalism, evangelism dan humanism yang berlandaskan nilai barat mesti dikekang. Kebebasan bukan bererti tanpa had tetapi sebaliknya mesti mengikut lunas-lunas agama dan budaya negara.

7. Tindakan mesti diambil ke atas mana-mana pihak yang menghina dan memperlekehkan Institusi Raja apatah lagi suara-mana yang mahu menghapuskannya.

8. UMMAH menuntut kerajaan memberikan ruang kepada UMMAH untuk berbincang dan meneliti sebarang polisi dan akta-akta baru yang hendak dikemukakan ke parlimen seperti Akta Harmoni Nasional, Akta Kebencian Agama dan Kaum serta Akta Anti-Diskriminasi Kaum dan lain-lain.

UMMAH ingin menegaskan bahawa himpunan ini adalah sebagai isyarat kepada rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan. UMMAH menuntut kerajaan segera membaiki segala kepincangan yang berlaku dan tidak menolak kemungkinan bahawa Himpunan yang lebih besar akan diadakan jika tidak ada apa-apa tindakan pembaikan dari pihak kerajaan.

Aminuddin Yahaya
Ketua Sekretariat UMMAH
28 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 28/7/2018

Himpunan: Kebangkitan rakyat terhadap kerajaan PH

KEBANGKITAN Brunei sebagai kuasa politik Islam selama dua abad setengah (1425-1598M) telah mulai tercabar dengan kedatangan penjajah-penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda, Amerika Syarikat dan British. Walaupun pada peringkat awal, Brunei berusaha mempertahankan wilayahnya di Visaya dan Luzon, tetapi mereka terpaksa menyerah kalah. Sulu dan Maguindanao walaupun tidak pernah kalah secara peperangan, tetapi melalui pakatan penjajah dalam Piagam Madrid 1885M, mereka mengisytiharkan kepulauan tersebut sebagai milik Sepanyol. Serangan-serangan Sepanyol ke atas Kampung Ayer, pusat pentadbiran Brunei pada 1578-1579M jelas memperlihat usaha Sepanyol untuk menguasai Brunei (baca: seluruh Borneo), tinggal lagi semangat jihad mereka yang menyekat kemaraan musuh. Namun begitu, walaupun Brunei berjaya mempertahankan kerajaannya dari serangan musuh, sejak naiknya Sultan-sultan yang tidak berwibawa pada abad ke-19M, Wilayah-wilayah Brunei, khususnya Sabah dan Sarawak telah secara berperingkat, jatuh ke tangan British.

Kesan daripada kedatangan penjajah ini, terutama Sepanyol dan British, akhirnya Brunei kembali memencil dengan wilayahnya hanya terhad dari Kuala Belait sampai Temburong sahaja, sedangkan Lawas yang berada di tengah-tengah antara dua kawasan itu telah dijual kepada Raja Putih Sarawak. Kerana mahu menyelamatkan wilayah-wilayahnya yang hampir habis dikuasai oleh musuh, Brunei bersetuju menjadi negara lindungan British mulai 1906M, yang secara politiknya, bermakna Brunei juga turut dijajah oleh British. Hasilnya, Residen British lebih berkuasa berbanding Sultan Brunei untuk tempoh dari 1906M hingga 1959M. Berbeza dengan Melaka (1262-1511M) dan Samudera-Pasai (1267-1521M) yang runtuh akibat landaan penjajah, Brunei yang menerima Residen British dapat bertahan sebagai kerajaan yang tidak mempunyai kuasa sehingga ia mencapai kemerdekaan pada 1984M. Kini, Brunei sedang berusaha untuk bangkit semula dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).

Menakluk Borneo: Agenda Sepanyol

Gerakan penjajahan Khatolik adalah bertujuan untuk menghancurkan kuasa politik Islam, sekali gus menghancurkan Islam. Dendam ini membara kononnya kerana Islam pernah menduduki Andalusia (kini Portugal dan Sepanyol) selama lebih 700 tahun. Selepas kejatuhan Constantinople di tangan Daulah Othmaniyah pada 1453M, gereja Khatolik telah menyusun strategi dengan menggabungkan Castilian dan Aragon pada 1469M, kemudian menggerakkan usaha pelayaran untuk mencari India sehingga Christopher Columbus menemui Caribbean pada 1492M, serta bertindak menghancurkan Granada pada 1492M juga. Pada 1494M, Paus Alexander VI telah mengadakan persefahaman untuk menyerahkan kepada Sepanyol penjajahan di sebelah Barat dan kepada Portugal di sebelah Timur. Apabila Bartholomew Diaz tiba di Tanjung Harapan pada 1488M, gerakan untuk menjajah bumi Islam telah bermula. Setelah Portugis menduduki Kalikat pada 1498M, mereka telah menghancurkan Goa pada 1509M, sebelum menjajah Melaka pada 1511M. Susulan itu, Portugis menghancurkan pula Samudera-Pasai pada 1521M dan cuba menduduki Sunda Kelapa (Betawi) pada 1522M. Dalam masa yang sama, Portugis menduduki Pulau Hitu di Ambon (1512M) dan Ternate (1522M), sedangkan pelayar Portugis, Ferdinand Magellan telah tiba di Pulau Cebu setelah mengelilingi dunia dan cuba menguasai Wilayah Brunei itu pada 1521M, tetapi gagal kerana dia berjaya dibunuh.

Kegagalan Portugis menguasai Pulau Cebu telah mendorong kedatangan Sepanyol pula, walaupun pada awalnya berlaku pergeseran antara dua bangsa penjajah itu, tetapi pada 1559M, berlaku persefahaman Portugis-Sepanyol yang membolehkan Sepanyol menguasai Visaya dan Luzon. Tentera Sepanyol yang bergerak dari Mexico dengan diketuai oleh Miguel Lopez de Legaspi telah tiba di Pulau Cebu pada 1565M dan akhirnya dapat menjatuhkan Kerajaan Islam Amanillah di Luzon pada 1571M. Kejatuhan Luzon telah mendorong Sepanyol membuat rancangan yang lebih besar iaitu menakluk seluruh Pulau Borneo. Atas tujuan itu, mereka mengkaji kedudukan Brunei sebagai Kerajaan Islam yang menguasai Borneo, Mindanao, Visaya dan Luzon, sehingga Sepanyol menghantar 40 kapal ke Kampung Ayer (Bandar Seri Begawan) pada 1578M bagi memaksa Sultan Saiful Rijal (1530-1581M) menerima paderi Kristian untuk menyebarkan agama itu di Wilayah Brunei, tetapi ditolak oleh Sultan. Sepanyol kemudian menyerang Brunei dan menawan Istana Sultan pada 14 April 1578M. Setelah berundur ke Jerudong, kemudian ke Pulau Raja, Sultan Saiful Rijal bersama Bendahara Sakam untuk mengatur gerakan jihad untuk menyerang Kampung Ayer dan menawannya semula Istana dalam tahun itu juga. Selepas kekalahan Sepanyol ini, pada 4 Mac 1579M Sepanyol menyerang lagi tetapi gagal mengalahkan Brunei, yang menyebabkan seluruh rencana mereka untuk menguasai Borneo turut gagal, sedangkan gerakan mereka untuk menguasai Sulu dan Maguindanao juga gagal.

Gerakan penjajahan: Runtuhnya Empayar Brunei

Kegagalan Sepanyol menjajah Brunei tidak bermakna musuh Islam itu akan berhenti bertindak. Pulau Luzon dan Visaya telah berjaya di-Kristian secara paksa, tetapi mereka tidak dapat menembusi Sulu dan Maguindanao kerana kekentalan semangat jihad Kerajaan Islam di sana. Sepanyol menduduki wilayah yang dinamakan sebagai Tanah Raja Philip II (The Philippines) ini sehingga berlaku Piagam Madrid 1885M dan Perang Filipina-Amerika Syarikat pada 1899M. Di Borneo yang menjadi wilayah asas Brunei, kedudukan Brunei mulai terjejas teruk apabila beberapa kawasan di Kalimantan mula diduduki oleh Belanda mulai abad ke-17M. Raja Sukadana, Penembahan Giri Kesuma telah mengadakan kerjasama dengan Belanda pada 1604M, yang membolehkan Belanda menjelajahi Banjarmasin pada 1606M, diikuti kerjasama dengan Pengeran Adipati Sambas pada 1609M. Selepas kekalahan Banjarmasin di tangan Belanda pada 1612M, rombongan perdagangan Inggeris mulai memasuki Brunei pada tahun itu juga dengan diketuai oleh Hendry Middleton. Kemasukan berperingkat Belanda di Kalimantan ini berkesudahan dengan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824M yang menyebab Kalimantan dianggap secara rasmi adalah milik Belanda kerana berada di Selatan Selat Singapura.

Bertolak dari penguasaan Belanda ke atas Kota-kota Kalimantan, krisis politik yang berlaku di Sarawak kerana orang Dayak, Cina dan Bidayuh memberontak terhadap pembesar Brunei. Pengeran Muda Hashim telah meminta bantuan James Brooke pada 1839M untuk menyelesaikannya. Setelah krisis ini tamat, James Brooke mulai berkuasa di kawasan Kuching pada 1841M, tetapi setahun kemudian, dia menguasai Kuching hingga Sungai Samarahan dengan bergelar Rajah Putih Sarawak. Pada 1853M, setelah menyelesai pemberontakan di Saribas, Rajah Brooke menguasai pula wilayah hingga Sungai Rajang, sedangkan mulai 1861M, Rajah Brooke sudah menguasai seluruh Lembah Rajang. Manakala kawasan Lembah Terusan jatuh ke tangan Rajah Putih itu mulai 1883M, sebelum Rajah Charles Brooke membeli Lawas dari Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin pada 1905M. Di Borneo Utara, kawasan Pantai Timur Sabah telah diserahkan kepada Sultan Sulu pada 1658M untuk menyelesaikan satu perang saudara di sana. Pada 1846M, di atas permintaan James Brooke, Brunei menyerahkan Labuan kepada British, diikuti oleh pemajakan tanah Borneo Utara (Barat dan Utara Sabah) kepada konsul Amerika Syarikat pada 1865M. Kemudian semua wilayah itu dijual kepada American Trading Company, sebelum ia dijual lagi kepada Baron Gustavus von Overback, konsul Austria-Hungry di Hong Kong pada 1875M. Setelah bekerjasama dengan keluarga Alfred Dent, pada 1881M, keluarga Dent telah menubuhkan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang menguasai seluruh kawasan Sabah, termasuk kawasan yang telah diserahkan kepada Sulu sebelumnya.

Brunei terjajah

Setelah terlepas semua wilayah jajahannya, bermula dengan terlepasnya Visaya dan Luzon pada 1571M, kemudian secara berperingkat pengaruh Brunei luntur di Kalimantan dengan kemasukan Belanda, akhirnya mulai 1841M, Brunei terlepas pula Sawarak secara berperingkat sehingga 1905M. Wilayah Brunei di Borneo Utara yang disewakan kepada konsul Amerika telah dijual kepada pelbagai pihak sebelum ia menjadi milik Syarikat British pada 1881M. Pada 1885M pula, Piagam Madrid telah mengesahkan Sulu dan Maguindanao yang pernah dinaungi oleh Brunei menjadi milik Sepanyol. Keadaan ini telah menyebabkan Wilayah Brunei mengecil dan kembali ke wilayah asalnya ketika Awang Alak Betatar menubuhkan Kerajaan Brunei dahulu. Penjualan Daerah Lawas kepada Raja Putih Sarawak pada 1905M adalah batu tanda bahawa pengaruh dan kuasa politik Brunei telah lumpuh sama sekali. Brunei sudah tidak mempunyai kekuatan untuk menyekat pengaruh British terutama setelah Negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu hampir semuanya dikuasai British, kecuali Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang dikuasai melalui Perjanjian Bangkok pada 1909M.

Menyedari kemerosotan wilayahnya, Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin (1885-1906M) telah mengambil langkah untuk mengadakan perjanjian di antara Brunei, Rajah Brooke Sarawak, Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan Queen England bagi menghalang rampasan Wilayah Brunei berlaku secara berterusan. Hasilnya, ketiga-tiga negara (Brunei, Borneo Utara dan Sarawak) telah menjadi wilayah perlindungan British. Ketiga-tiga negara ini tidak dibenarkan melebarkan wilayah antara satu sama lain. Kesan daripada perjanjian ini juga, pada 31 Disember 1905 dan 2 Januari 1906, satu perjanjian tambahan dibuat antara Brunei dan British, di mana Brunei dipaksa menerima Residen British mulai 1906. Malcom Stewart Hannibal McAthur dilantik sebagai Residen British yang pertama di Brunei, sekali gus melumpuhkan kuasa Sultan sebagai ketua negara. Sepanjang penjajahan British sehingga 1959M, seramai 21 orang pegawai British memegang jawatan tersebut. Pada 1959M, British memberi hak kepada Sultan Ali Omar Saifuddin III untuk berkerajaan sendiri, tetapi dilantik seorang Pesuruhjaya British, bermula dengan Dennis Charles White. Pada 1 Januari 1984M, baharulah Brunei diberikan kemerdekaan daripada British.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
10 Zulqaedah 1439 / 23 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 27/7/2018

More Articles ...