21
Sun, Jul
19 Artikel Baru

AGAK mengejutkan bila membaca hasil kajian terbaru Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Eksekutif IDEAS merangkap Felo Pelawat Kanan ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapore, bertajuk “Parti Pribumi Bersatu Malaysia In Johor: New Party, Big Responsibility”.
 
Antara dapatan utama hasil kajian setebal 49 muka Wan Saiful yang baru sahaja diterbitkan di dalam siri penerbitan ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapore, bertajuk Trends in Southeast Asia (2018: No. 2) ini adalah membabitkan penerimaan masyarakat Melayu Johor terhadap DAP, iaitu:
(1) 62 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat Pakatan Harapan (PH) adalah dikuasai oleh DAP.
(2) 71 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.
 
Lebih memberikan tamparan kepada DAP, sebuah parti sekular, adalah dapatan hasil kajian ini mengenai penolakan masyarakat Melayu Johor terhadap pendekatan sekular dalam politik, iaitu:
(1) 90 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat peningkatan keagamaan adalah bagus.
(2) 84 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat lebih ramai orang Islam perlu berada di dalam kerajaan.
(3) 81 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat agama seseorang calon (pilihan raya) adalah penting.
 
Lebih jauh daripada itu adalah dapatan hasil kajian ini yang mendapati bahawa masyarakat Melayu Johor bukan sahaja sangat tidak menyenangi DAP, malah PAN dan PPBM juga, iaitu:
(1) 85 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi DAP.
(2) 69 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi PAN.
(3) 60 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi PPBM
 
Lebih menarik ialah kesimpulan hasil kajian ini, iaitu bahawa:
(1) Para pemimpin PPBM berpendapat bahawa kelangsungan jangka panjang PPBM bergantung kepada kemampuan PPBM untuk memenangi sekurang-kurangnya sebuah negeri, khususnya Johor.
(2) Pengundi sasaran utama PPBM, iaitu masyarakat Melayu Johor, bagaimanapun belum lagi menyertai mereka (“not yet jumping onto their bandwagon”), kerana kebimbangan utama mereka mengenai DAP, dan ketakutan ini tergambar di dalam maklum-balas perlahan terhadap gerakan menambah keahlian PPBM (mengikut data yang diberikan oleh Setiausaha PPBM Johor, Osman Sapian, kepada Wan Saiful, setakat 8 Julai 2017, PPBM mempunyai kira-kira 7,000 ahli yang telah disahkan).
 
Paling menarik adalah kesimpulan hasil kajian ini bahawa penentu terpenting adalah di dalam agihan kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Harapan kerana, kata Wan Saiful, jika PPBM hanya mendapat kerusi-kerusi majoriti tinggi Melayu (“the high-Malay seats”) dan kurang kerusi-kerusi campuran (“the mixed seats”), maka sangat tidak mungkin untuk PPBM mencapai matlamat mereka untuk menguasai Johor (“it will be highly unlikely they will achieve their ambition of capturing the state”). Ini kerana, kata beliau, tidak mudah untuk memikirkan satu senario di mana undi Melayu akan berayun begitu besar (“it is not easy to imagine a scenario where the Malay votes would swing to a significant enough extent”). 
 
Sementara agihan kerusi Dewan Undangan Negeri antara parti-parti dalam PH masih belum dimuktamadkan, berdasarkan kepada agihan kerusi Parlimen yang diumumkan di dalam Konvensyen PH baru-baru ini yang menyaksikan PPBM hanya diberikan 10 kerusi berbanding 8 PKR, 5 DAP dan 2 PAN, maka jelaslah bahawa matlamat PPBM untuk menguasai Johor kelihatan seperti sudah terkubur. Ini kerana, seperti didedahkan oleh Pengerusi PPBM Johor, Datuk Dr Shahruddin Salleh, dan Setiausaha PPBM Johor, Osman Sapian, strategi PPBM Johor adalah untuk bertanding antara 20 ke 22 kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen yang ada di Johor (bagi membolehkan PPBM turut menguasai kerusi-kerusi campuran). 
 
Bila PPBM hanya diberikan 10 kerusi majoriti tinggi Melayu sahaja, bukannya antara 20 ke 22 kerusi seperti yang dirancang oleh PPBM Johor, di peringkat Parlimen maka agak sukar dibayangkan PPBM akan diberikan kerusi-kerusi campuran di peringkat Dewan Undangan Negeri. Berdasarkan kepada logik Wan Saiful, bila PPBM tidak diberikan kerusi-kerusi campuran, maka sudah tentulah matlamat PPBM untuk menguasai Johor kelihatan seperti sudah terkubur.
 
Bagi saya, hasil kajian Wan Saiful ini menjadi bukti nyata betapa PPBM membuat satu kesilapan yang besar bila ia memilih untuk bersekongkol dengan DAP.
 
Tahniah kepada Umno yang mengikut hasil kajian Wan Saiful ini, masih lagi disukai oleh 67 peratus daripada masyarakat Melayu Johor dan kepada PAS yang mendekati Umno dengan 48 peratus sokongan daripada masyarakat Melayu Johor.
 
Tidak lupa juga, takziah kepada PPBM Johor. - HARAKAHDAILY 11/1/2018

KONVENSYEN Kebangkitan Ummah adalah manifestasi ledakan perasaan yang meletus dalam kalangan umat Melayu Islam khasnya apabilamenyaksikan kepincangan dan kerosakan yang semakin ketara dalam negara.

Konvensyen Kebangkitan Ummah yang dijadualkan pada 13 Januari 2018 di Pusat Islam Kuala Lumpur ini adalah hasil gabungan dan persefahaman 300 NGO Melayu Islam dalam negara untuk berhimpun dan berwacana bagi menggembleng dan menghadam idea serta maklumat yang strategik berdasarkan kajian dan penelitian.

Idea dan maklumat yang bakal dikongsikan dalam konvensyen ini menjadi titik tolak asbab kepada kesedaran dan kecaknaan umat Islam bahawa pada ketika dan saat ini umat adalah berkewajiban untuk bangkit daripada dibuai mimpi khayalan bagi mengorak langkah penyelesaian tuntas dan tegas.

Sebanyak 7 kluster pembentangan dan pendedahan bermaklumat dan berfakta bakal dipersembahkan oleh 7 orang tokoh ilmuan, tokoh negarawan, tokoh agamawan, tokoh ekonomi dan tokoh belia, tokoh perlembagaan dan undang-undang.

Semua kluster yang didedahkan ini mampu membuka mata para peserta konvensyen sekali gus bersama-sama menggerakkan usaha dan tenaga menghasilkan satu keputusan dan hala tuju yang satu dan sama.

Konvensyen ini juga akan memberikan satu isyarat dan sikap berprinsip kepada penggubal dasar negara iaitu pihak kerajaan yang memerintah dan juga kerajaan yang bakal memerintah negara ini pada masa hadapan. Pihak parti-parti juga adalah pihak berkepentingan yang akan dituju oleh Ummah dan gabungan NGO ini apabila resolusi dan hasil keputusan konvensyen ini dimuktamadkan nanti.

Semoga Allah SWT memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan membantu umat-Nya dalam menegakkan Islam dan membawa kesejahteraan kepada negara ini. Insya Allah.

Ustaz Muhammad Najhan Halim
24 Rabiul Akhir 1439 / 11 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 11/1/2018

Penulis ialah Anggota Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

ummah1

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah yang dihadapi oleh nelayan-nelayan pantai Teluk Bahang ketika ini.

Dalam tinjauan yang dibuat selepas menerima aduan dari nelayan terbabit, SAM mendapati keadaan pencemaran sisa konkrit yang berlaku di kawasan pantai dan laut di sini begitu teruk serta membahayakan keselamatan nelayan. Ketulan batu dan cerucuk yang terdapat di kawasan ini boleh mendatangkan kecederaan bukan sahaja kepada nelayan tetapi juga orang awam yang berkunjung ke tempat tersebut.

Longgokan sisa buangan ini di tepi pantai turut menyebabkan perahu dan bot nelayan terdedah kepada ombak kuat dan menjejaskannya ketika berlabuh di kawasan tersebut. Pada 22 Disember 2017 lalu SAM telah menghantar surat kepada pihak kerajaan, jabatan serta agensi yang berkenaan mengenai isu ini tetapi sehingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Antara pihak kerajaan persekutuan dan negeri yang terlibat yang dihubungi SAM ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Exco Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow dan Biro Pengaduan Awam.

SAM kesal walau pun masalah ini sudah berlarutan sejak lebih 7 tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan tegas yang diambil ke atas pihak yang mencetuskan masalah tersebut. SAM bimbang jika keadaan ini dibiarkan bukan sahaja alam sekitar kawasan berkenaan akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah perkara yang tidak diingini yang melibatkan keselamatan nelayan tempatan juga mungkin berlaku.

Justeru itu SAM berharap pihak kerajaan menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang didapati melanggar akta serta peraturan-peraturan yang terkandung dibawahnya demi menyelesaikan masalah ini.

SAM, JARING dan nelayan-nelayan pantai yang terlibat akan terus menyuarakan bantahan dan melancarkan kempen tandatangan jika masalah ini masih berlaku dan gagal diatasi oleh pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 10/1/2018

UMNO Kelantan dah hilang kewarasan, terpaksa guna pula Pengetua dan Guru Besar di Kelantan ikrar sokong Umno di dalam PRU 14.  Siapa yang buat program ini, sah kurang cerdik dan makan dedak Umno sehingga tidak boleh bernyawa. Masyarakat akan ingat  terutama warga pendidik  walaupun dia dah pencen, hatta sehingga dia mati pun orang akan ingat kerja pembodek Umno. Apabila cucu dia besar esok pun orang akan ingat kelaku tok dia yang menjadi pembodek Umno peringkat internasional.

Hendak bodek Umno, sehingga sanggup pergunakan dan paksa guru besar dan pengetua untuk ikrar sokong Umno di Kelantan. Perlakukan kepada pengetua sekolah, macam wali mujbir. Dia ingat Pengetua atau Guru Besar sekolah bodoh dan boleh dicucuk hidung. Pepatah ada menyebut “kamu boleh paksa kuda pergi minum air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air”.

Saya masih ingat ketika pilihan raya kecil di Kelantan, guru-guru yang berada di dalam daerah mengundi dipaksa setiap malam melaporkan diri ke bilik gerakan Umno. Guru yang ada jati diri tidak akan tunduk dengan arahan tidak cerdik ini.  Malahan menimbulkan kemarahan kepada Umno.

Punah habis  negara dan pendidikan kalau dipegang oleh otak semacam ini. Manusia seperti ini cukup lemah di dalam pengurusan dan disiplin kerja. Naik pangkat bukan kerana merit, tetapi kerana bodek. Saya harapkan perbanyakkan lagi program seperti ini supaya warga pendidik  lagi meluat dan benci kepada Umno dan pemimpin Umno. Spesies semacam ini tidak banyak dah di kalangan penjawat awam. – HARAKAHDAILY 10/1/2018

SEMALAM timbul satu dakwaan baru mengenai penjualan tanah Felda di Jalan Semarak oleh laman The Mole yang mendakwa bahawa penjualan tanah itu dipersetujui kesemua ahli lembaga pengarah Felda yang lembaga pengarah FIC dalam tiga perjumpaan sekitar 2014 dan 2015.

titmDakwaan ini amat berbeza dengan laporan Berita Harian bulan lalu yang mendakwa ahli lembaga pengarah Felda tidak mengetahui mengenai perjanjian itu yang dibuat pada Jun 2014 sehinggalah diberitahu pada September pada tahun yang sama.

Sumber The Mole menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah Felda ketika itu, Datuk Dr. Omar Salim, Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Datuk Norzirah Bahari, Datuk Mohd. Suhaili Said, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, Datuk Abu Bakar Harun, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, Datuk Mohd. Isa Abu Kasim, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah dan Shamsudin Othman – telah diberitahu mengenai penjualan itu pada hari yang sama dan mereka memberikan kelulusan semula pada 3 Jun 2015.

Menurut The Mole, perjanjian antara FIC dan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) memang didraf sebegitu rupa di mana FIC akan diberi jaminan pulangan minimum sebanyak RM500 juta atau 10% daripada kos kasar pembangunan, berdasarkan mana yang lebih tinggi.

Sejak laporan Berita Harian, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad telah memberikan bayangan bahawa seolah-olah seluruh ahli lembaga pengarah telah ditipu sehingga tanah Felda kehilangan kepada tangan SPSB manakala The Mole mendakwa perjanjian itu mendapat kelulusan lembaga pengarah Felda dan FIC.

Ekoran timbul dakwaan berbeza, PAS menuntut Tan Sri Shahrir tampil untuk mendedahkan perjanjian antara FIC dan SPSB untuk tatapan umum.

PAS berpendapat mustahil bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa berani melakukan transaksi ini tanpa pengetahuan PM. PAS turut menuntut agar Perdana Menteri tampil memberitahu rakyat apakah beliau tahu mengenai perjanjian ini jauh lebih awal? Jika ya, maka segala aksi memanggil audit dan siasatan hanyalah wayang agar peneroka Felda dapat ditipu kononnya tanah Felda itu masih dapat diselamatkan untuk BN melepasi PRU14 sedangkan perjanjian itu satu urus niaga yang sah yang tidak dapat dilakukan apa-apa lagi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
11 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 11/1/2018

SERONOK juga melihat cara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) memfaraidkan sesama mereka 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS sewaktu PAS bersama di dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dahulu.
 
Paling menyedihkan tentulah PAN yang para pemimpinnya sebelum ini berdegar-degar melaungkan ke seluruh negara kononnya PAN akan mengambil-alih tempat PAS di dalam Pakatan Rakyat dahulu dengan menandingi kerusi-kerusi yang PAS tandingi.
 
Walhasilnya, daripada 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS yang PAS tandingi dahulu, PAN hanya diberikan 25 kerusi sahaja (38 peratus), berbanding 35 yang diberikan kepada PPBM, 4 kepada PKR dan 1 kepada DAP.
 
Markah 38peratus yang diperolehi oleh PAN ini adalah bukti nyata kegagalan awal PAN di dalam misi yang dilaung-laungkannya untuk kononnya menggantikan peranan PAS di dalam PH dengan konsep Islam Rahmatan lil Alaminnya.
 
Agihan kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia ini menunjukkan betapa PAN diperbudak-budakkan oleh rakan-rakannya dalam PH sehingga menyebabkan pemimpin PAN meluahkan kekesalan mengenai mereka terpaksa berkorban.
 
Keluhan Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan, di dalam portal berita Free Malaysia Today, mencerminkannya: “Hanya PAN yang sanggup berkorban untuk gabungan pembangkang tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan sendiri.”
 
Kata Aminolhuda mengenai agihan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, “Kita (PAN) korbankan satu-satunya kerusi Parlimen yang ada di Wilayah Persekutuan untuk PPBM walaupun PKR ada lebih daripada 1 kerusi Parlimen di sana.”
 
Begitu juga dengan agihan kerusi Parlimen di Johor dalam mana Aminolhuda berkata: “Di Johor, DAP ambil alih Parlimen Ayer Hitam daripada PAN hanya kerana DAP perlu bertanding 1 kerusi lebih daripada jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA.”
 
Turut dibangkitkan oleh Aminolhuda adalah pengorbanan PAN “yang ke depan membentuk PH”, “menjadi tonggak PH di Johor”, “isytihar Johor negeri barisan depan PAN” tetapi terpaksa menyerahkan Johor kepada PPBM.
 
Begitu juga dengan pendedahan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, di dalam portal berita The Malaysian Insight, bahawa Konvensyen Pakatan Harapan hampir sahaja tidak mampu dilangsungkan bila timbul kebuntuan di dalam agihan kerusi tersebut.
 
Kata Khalid, kebuntuan yang berlaku ekoran ketegasan semua parti mempertahankan kerusi masing-masing ini hanya berjaya dipecahkan sekali gus membolehkan konvensyen itu dilangsungkan setelah PAN setuju menyerahkan kerusi Titiwangsa kepada PPBM.
 
Kesemua ini mendedahkan mengenai ketidaktegasan para pemimpin PAN memperjuangkan kepentingan mereka sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai bagaimana konsep Islam Rahmatan lil 'Alamin dapat diperjuangkan oleh PAN.
 
Paling ketara memperbudak-budakkan PAN ialah PPBM yang membolot kedua-dua kerusi PAN di Wilayah Persekutuan dan kedua-dua kerusi PAN di Perlis sehingga PAN langsung tidak memperolehi sebarang kerusi di dua negeri ini.
 
Lebih jelas lagi ialah bila kedua-dua kerusi yang PAN tandingi di dalam Pilihan Raya Kecil pada 18 Jun 2016 dahulu dan yang telah PAN jagai sejak detik itu, iaitu kerusi-kerusi P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar, pun turut dirampas oleh PPBM.
 
Ketamakan PPBM ini terserlah di dalam kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kepada portal berita MalaysiaKini bahawa PPBM meminta diperuntukkan bilangan kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung Malaysia, malah asalnya meminta sebanyak 80 kerusi.
 
Turut memperbudak-budakkan PAN ialah DAP yang, mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight, menyerahkan kerusi-kerusi P135 Alor Gajah dan P165 Tanjong Piai kepada PPBM hanya untuk mendapatkan kerusi P148 Ayer Hitam milik PAN.
 
Jika betul DAP menghormati PAN dan konsep Islam Rahmatan lil 'Alaminnya, mengapa tidak diberikan sahaja mana-mana kerusi milik DAP kepada PAN, bukan kepada PPBM, sebagai tukaran kepada kerusi P148 Ayer Hitam milik PAN itu?
 
Tidak hairanlah bila Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan, Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi, Timbalan Pengerusi PAN Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed, dan lain-lain lagi membangkitkan layanan teruk terhadap PAN ini secara terbuka.
 
Semoga layanan teruk terhadap PAN dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini mampu menyedarkan sebahagian pendokong PAN betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui PH.
 
 
Markah Prestasi PAN Ganti PAS Mengikut Negeri
 
Markah penuh ialah 38 peratus (25 daripada 65)
 
Perlis (0 peratus): 0 daripada 3
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 3 daripada 3 kerusi di Perlis, iaitu P1 Padang Besar, P2 Kangar dan P3 Arau.
 
Dalam PRU 14, 2 daripada kerusi PAS ini diserahkan kepada PPBM, iaitu P1 Padang Besar dan P3 Arau, meninggalkan PAN dengan 0 kerusi.
 
Wilayah Persekutuan (0 peratus): 0 daripada 2
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 2 daripada 12 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, iaitu P119 Titiwangsa dan P125 Putrajaya.
 
Dalam PRU 14, kedua-dua kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, meninggalkan PAN dengan 0 kerusi.
 
Melaka (0 peratus): 0 daripada 1
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 1 daripada 6 kerusi di Melaka, iaitu P134 Masjid Tanah. 
 
Dalam PRU 14, kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM. 
 
PAN bagaimanapun diberikan kerusi P139 Jasin milik PKR dalam PRU 14.
 
Pahang (17 peratus): 1 daripada 6
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 6 daripada 14 kerusi di Pahang, iaitu P79 Lipis, P81 Jerantut, P86 Maran, P87 Kuala Krau, P88 Temerloh dan P91 Rompin.
 
Dalam PRU 14, 4 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P79 Lipis, P81 Jerantut, P86 Maran dan P87 Kuala Krau, manakala 1 lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P91 Rompin, meninggalkan PAN dengan 1 kerusi, iaitu P88 Temerloh.
 
Johor (25 peratus): 2 daripada 8
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 8 daripada 23 kerusi di Johor, iaitu P143 Pagoh, P147 Parit Sulong, P148 Ayer Hitam, P151 Simpang Renggam, P154 Mersing, P155 Tenggara, P156 Kota Tinggi dan P161 Pulai.
 
Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P143 Pagoh, P151 Simpang Renggam, P154 Mersing, P155 Tenggara dan P156 Kota Tinggi, manakala 1 lagi diagihkan kepada DAP, iaitu P148 Ayer Hitam, meninggalkan PAN dengan 2 kerusi, iaitu P147 Parit Sulong dan P161 Pulai.
 
Kedah (38 peratus): 3 daripada 8
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 8 daripada 14 kerusi di Kedah, iaitu P5 Jerlun, P6 Kubang Pasu, P7 Padang Terap, P8 Pokok Sena, P11 Pendang, P12 Jerai, P13 Sik dan P16 Baling.
 
Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diserahkan kepada PPBM, iaitu P5 Jerlun, P6 Kubang Pasu, P11 Pendang, P12 Jerai dan P16 Baling, meninggalkan PAN dengan 3 kerusi, iaitu P7 Padang Terap, P8 Pokok Sena dan P13 Sik.  
 
Perak (43 peratus): 3 daripada 7
      
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 24 kerusi di Perak, iaitu P54 Gerik, P55 Lenggong, P56 Larut, P57 Parit Buntar, P59 Bukit Gantang, P67 Kuala Kangsar dan P69 Parit.
 
Dalam PRU 14, 4 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P54 Gerik, P55 Lenggong, P56 Larut dan P67 Kuala Kangsar, meninggalkan PAN dengan 3 kerusi, iaitu P57 Parit Buntar, P59 Bukit Gantang dan P69 Parit.
 
PAN juga diberikan kerusi P74 Lumut milik PKR dalam PRU 14.
 
Terengganu (43 peratus): 3 daripada 7
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 8 kerusi di Terengganu, iaitu P33 Besut, P34 Setiu, P35 Kuala Nerus, P36 Kuala Terengganu, P37 Marang, P38 Hulu Terengganu dan P39 Dungun.
 
Dalam PRU 14, 3 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P33 Besut, P34 Setiu dan P38 Hulu Terengganu, manakala 1 lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P39 Dungun, meninggalkan PAN dengan 3 kerusi, iaitu P35 Kuala Nerus, P36 Kuala Terengganu dan P37 Marang.      
 
Kelantan (45 peratus): 5 daripada 11
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 11 daripada 14 kerusi di Kelantan, iaitu P19 Tumpat, P20 Pengkalan Chepa, P21 Kota Bharu, P22 Pasir Mas, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian, P25 Bachok, P28 Pasir Puteh, P30 Jeli, P31 Kuala Krai dan P32 Gua Musang.
 
Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P19 Tumpat, P25 Bachok, P28 Pasir Puteh, P30 Jeli dan P32 Gua Musang, manakala 1 lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P22 Pasir Mas, meninggalkan PAN dengan 5 kerusi, iaitu P20 Pengkalan Chepa, P21 Kota Bharu, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian dan P31 Kuala Krai.      
 
Pulau Pinang (50 peratus): 1 daripada 2
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 2 daripada 13 kerusi di Pulau Pinang, iaitu P41 Kepala Batas dan P42 Tasek Gelugor.
 
Dalam PRU 14, 1 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P42 Tasek Gelugor, meninggalkan PAN dengan 1 kerusi, iaitu P41 Kepala Batas.
 
Negeri  Sembilan (67 peratus): 2 daripada 3
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 3 daripada 8 kerusi di Negeri Sembilan, iaitu P126 Jelebu, P127 Jempol dan P133 Tampin.
 
Dalam PRU 14, 1 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P127 Jempol, meninggalkan PAN dengan 2 kerusi, iaitu P126 Jelebu dan P133 Tampin.
 
Selangor (71 peratus): 5 daripada 7
 
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 22 kerusi di Selangor, iaitu P93 Sungai Besar, P95 Tanjong Karang, P96 Kuala Selangor, P101 Hulu Langat, P108 Shah Alam, P111 Kota Raja dan P113 Sepang.
 
Dalam PRU 14, 2 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, iaitu P93 Sungai Besar dan P95 Tanjong Karang, meninggalkan PAN dengan 5 kerusi, iaitu P96 Kuala Selangor, P101 Hulu Langat, P108 Shah Alam, P111 Kota Raja dan P113 Sepang. HARAKAHDAILY 10/1/2018

BEBERAPA hari lalu aktiviti ziarah orang susah dan ziarah orang sakit. Berbangkit pula isu Cikgu Azizan tampar murid dan usaha sesetengah pihak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Cikgu Azizan. Keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan selepas timbalan pendakwa raya, Hazeelya Muhammad, memberitahu pihak pendakwaan menerima arahan daripada Peguam Negara supaya tuduhan terbabit ditarik balik. Kes ini kemudiannya menyepi tanpa sesiapa dapat menafikan kesan psikologi kepada guru-guru untuk mengambil tindakan disiplin kepada murid-murid bermasalah.

Walaupun isu ini sudah hampir sebulan berlalu, tetapi saya rasa masih belum terlambat untuk saya ulas dari perspektif Fekah dan penyelesaian islam justeru perkara paling asas yang menjadi 'blind spot' dalam isu ini ialah masalah remaja sekolah dan tindakan guru adalah responsif kepada masalah disiplin (baca dengan jenayah) murid-murid pada hari ini. Kes curi, pukul, buli, hisap gam dan lain-lain kes jenayah diyakini tidak akan berakhir. Siapa yang nak mendakwa dan menyiasat murid yang ditampar oleh Cikgu Azizan berkenaan dakwaan hisap gam, buli dan lain-lain kesalahan berulang yang dilakukannya? Sebaliknya menyiasat dan menghukum cikgu lebih diminati oleh sistem kehakiman pada hari ini.

Jika undang-undang Islam dilaksanakan di Malaysia maka:

1. Murid yang melakukan kesalahan menghisap gam akan sabit kesalahan dibawah kategori arak dan hukumannya disebat 40 kali sebatan.

Jika murid tersebut di dapati bersalah membuli dan memukul orang lain, maka ia akan dikenakan hukuman qisas dengan dipukul semula (dengan kadar yang sama) oleh mangsa buli. Pelaksanaan boleh dilakukan di dalam perhimpunan dengan disaksikan oleh murid-murid lain sebagai pengajaran untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Hukuman ini berlaku disebabkan had umur tertakluknya seseorang kepada undang-undang Islam (hudud, qisas, takzir dan hisbah) ialah akil dan baligh, bukan umur 18 tahun ke atas sebagaimana undang-undang konvensional.

Tetapi dalam undang-undang hari ini, kes murid sekoleh menengah (tingkatan 5 ke bawah) melakukan kesalah berat seperti di atas, maka mereka hanya dianggap kes juvana dan kerapkali dianggap 'buang kes' sebab kadangkala polis sendiri pun anggap sebagai 'kes kecil'. Jadi yang menanggung beban jenayah ini ialah guru dan murid-murid yang menjadi mangsa mereka.

2. Pendakwa dalam kes pukul menurut Islam ialah si mangsa dan keluarganya, bukan pihak kerajaan atau pihak mahkamah sebagaimana hari ini. Jika keluarga mangsa tidak mahu memanjangkan kes, maka tiada kuasa yang dapat memanjangkannya dan jika si mangsa ingin memanjangkan kes, maka tiada kuasa yang dapat menariknya.

Tetapi dalam konteks undang-undang konvensional, kuasa dakwa dan kuasa tarik kes adalah kuasa pendakwaraya. Oleh itu, apabila pihak peguam negara mengarahkan pihak timbalan pendakwa raya, Hazeelya Muhammad, menarik balik kes, maka kes itu ditarik. sebaliknya jika peguam negara atau pihak pendakwaraya meminta untuk meneruskannya, maka pihak keluarga tidak boleh menghentikannya.

Kes ini bukan hanya kes murid dipukul oleh guru, tetapi bagaimana dengan mangsa buli dan pukul oleh murid yang ditampar oleh guru? Siapa yang mahu mendakwa mereka apabila polis sibuk dengan banyak kes yang lebih besar, pendakwaraya yang banyak kes-kes yang nak didakwa?

Maka masalah buli dan pukul dikalangan pelajar tak akan selesai. Guru takut nak bertindak, murid-murid samseng terus exercise 'kuasa samseng' mereka ke atas pelajar lemah. Dan jika mereka bijak, maka gurulah yang akan dihadapkan ke mahkamah justeru umur atas 18 tahun manakala mereka pula bawah 18 tahun.

Betapa zalimnya undang-undang hari ini apabila kuasa pendakwaan dan kuasa penyiasatan yang diberikan oleh Allah kepada keluarga mangsa bunuh dan mangsa pukul sebagaimana ayat 178 surah Al-Baqarah, ditarik daripada mereka oleh manusia yang bernama kerajaan dan pemerintah. Dalam kes ini mungkin anda tidak melihat kezaliman dengan jelas, tetapi bagaimana kes Altantuya, kes Norita, kes Ahmad Sarbani, kes Datuk Shaharuddin Ibrahim dan lain-lain kes yang melibatkan suspeknya dalam kalangan 'jerung'?

Insya-Allah jika berkesempatan, saya akan post berita-berita berkaitan bagaimana gengster-gengster melatih budak remaja bawah 18 tahun sebagai penjenayah tegar sehingga remaja perempuan seawal umur 15 tahun sudah menjadi pembunuh. – HARAKAHDAILY 10/1/2018

More Articles ...