HIMPUNAN Fastaqim 2.0 yang bakal diadakan di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada 29-30 September 2017 nanti, adalah satu himpunan yang mesti disertai oleh anda semua yang cintakan Islam bagi membuktikan sokongan anda kepada PAS, dan juga sebagai bukti bahawa PAS tidak sekadar menempel dalam arena politik tanah air, tetapi PAS adalah pemain utama yang digeruni dan dicemburui lawan.

mohd norSetelah kejayaan menghimpunkan kira-kira seratus ribu peserta pada Fastaqim 1.0 di Kota Bharu dahulu, PAS terus diasak, dipujuk, didendami, difitnah dan tidak kurang dilabel sebagai pengacau oleh musuh-musuh PAS yang gagal memperdayakan PAS sebagaimana mereka memperdayakan pihak lain bagi menjadi kuda tunggangan mereka. PAS tetap istiqamah dalam memperjuangkan Islam sebagai agenda utama, sama ada dibenci atau dipuji.

Kini setelah sekian lama rakyat berada di dalam kekeliruan akibat tindakan sesetengah manusia yang suka memfitnah, dengan mencari jalan yang salah bagi mengejar kemenangan, rakyat mula dapat melihat kebenaran Islam yang PAS bawakan dengan satu persatu pakaian kepalsuan musuh PAS dilondeh Allah.

Dengan kehadiran anda semua ke himpunan ini, PAS insya Allah akan berganding bahu bersama-sama anda dalam membentuk Gelombang Hijau di negeri Terengganu ini. PAS dengan bantuan anda akan berusaha mengubah lanskap politik Terengganu yang sedang dimusnahkan oleh Umno dan konco-konconya. Bukti-bukti nyata seperti projek di Kenyir, Monsun Cup, Taman Ilmu, Jertih Souq, LPT2 yang menggunakan wang rakyat Terengganu dan banyak lagi, seharusnya sudah mencukupi bagi rakyat mengubah tampuk pemerintahan Terengganu dan memberi kepercayaan kepada PAS pula.

PAS Terengganu mensasarkan kehadiran seramai 60,000 orang penyokong PAS dari Terengganu sebagai tuan rumah bagi mencapai jumlah kehadiran seramai 200,000 orang. Ayuh kita hadir beramai-ramai ke Himpunan Fastaqim 2.0, pastikan anda salah seorang daripada 200,000 itu.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
17 Zulhijjah 1438 / 8 September 2017 - HARAKAHDAILY 8/9/2017

fastaqim20

KEKEJAMAN tentera Myanmar yang sedang melakukan penghapusan etnik dengan menyeksa serta membunuh seramai mungkin masyarakat Islam Rohingya berterusan sehingga kini. Etnik Muslim Rohingya terus dizalimi bahkan mereka telah dinafikan hak kewarganegaraan serta mereka dianggap sebagai penceroboh sedangkan mereka telah menetap di situ berabad lamanya.

DDrMahfodzKewajipan mempertahankan saudara-saudara kita di sana adalah wajib dan terpundak di bahu kita semua tanpa mengira jenama politik. ASEAN, OIC dan PBB mesti bertegas dan melakukan sesuatu khasnya dalam sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan berlangsung pada pertengahan September ini di New York.

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh umat Islam untuk membantu melalui apa jua saluran yang mampu. Para Khatib hendaklah mengajak umat Islam agar mendoakan saudara kita di sana pada setiap kali khutbah jumaat. Solat hajat dan qunut nazilah wajib dilaksanakan di semua peringkat dalam usaha kita menentang sebarang kekejaman yang telah dilakukan. Hal ini juga selari dengan seruan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang menyeru agar para khatib membaca khutbah khas sebagai solidariti kepada umat Islam Rohingya.

Sesungguhnya kezaliman tidak akan berpanjangan dan akan tiba suatu masa hari kehancuran musuh umat Islam. Allah berfirman:

وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِين

Maksudnya: "Dan hari-hari (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah ingin memberi bukti kebenaran kepada orang beriman dan menjadikan di antara kamu sebagai syuhada’. Allah tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim”.(Aali-Imran:140)

USTAZ DATUK DR. MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
17 Zulhijjah 1438H / 8 September 2017 – HARAKAHDAILY 8/9/2017

BERPUSU ramai para pemilik kenderaan ke stesen minyak apabila tular info kenaikan harga petrol dan diesel, telah menjadi fenomena terbaharu dapat dilihat di negara ini pada setiap Rabu malam. Walaupun tidak mencecah 10 sen perliter, bahkan kurang RM4 bagi isian penuh tangki kenderaan, tetapi ia petunjuk betapa rakyat sebagai pengguna merasa begitu terkesan oleh kenaikan tersebut.

Malangnya, bukan sahaja dasar subsidi dan rasionalisasi yang diadakan tidak membantu, bahkan rakyat bagai diejek dan dipermain dengan saranan penjimatan minyak oleh kalangan Menteri secara tidak masuk akal lagi menyenakkan mental. Lebih membebankan adalah kesan berantai akibat dari kenaikan itu yang meningkatkan harga pelbagai barangan penggunaan harian rakyat.

Keadaan bertambah sukar buat kehidupan rakyat terutama berpendapatan sederhana dan rendah, apatah lagi yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang terutama di luar bandar. Ditimpa pula oleh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadikan golongan tersebut semakin tidak merasai nikmat dan kemewahan pelbagai yang ada dalam negara ini.

Kuasa beli mereka semakin berkurangan akibat penyusutan ketara pendapatan diterima, sekali gus turut memberi kesan kepada penjaja, peniaga atau peruncit kecil. Ini termasuk ke atas jualan di tapak secara kelompok seperti pasar tani, pasar harian dan pasar malam. Sebaliknya, rakyat menjadi cenderung ke pasar raya besar atas tawaran harga yang lebih murah dan menjimatkan.

Situasi tersebut bukan sahaja menjadi persaingan yang tidak seimbang dalam perniagaan, malah menjadikan lebih ramai rakyat berada dalam status miskin dan perlu dibantu. Natijahnya, mentaliti rakyat lebih tertumpu bekerja mencari pendapatan, tanpa punya kualiti hidup dan mengabaikan banyak perkara. Ia turut mendatangkan impak sosial kepada kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Tekanan hidup ini telah menyumbang pelbagai gejala negatif dalam kalangan rakyat yang akibatnya berbalik kepada pihak kerajaan. Kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk pengurusan dalam sesuatu perkara kerana ketidakpedulian awam seperti kebersihan, kesihatan dan jenayah. Malah ditunjukkan dengan pertambahan bilangan penerima zakat, bantuan kebajikan dan BR1M.

Lebih mengecewakan rakyat, aspek penguatkuasaan terhadap kesan berantai kenaikan harga barangan hanya sekadar hiasan dan ugutan olok-olok di media serta bermusim. Kerajaan tidak pernah jujur dan serius menanganinya, selain dilihat buntu dan tepu untuk mengutarakan penyelesaian. Sedangkan, soal kesejahteraan rakyat adalah amanah paling utama buat pemimpin untuk mewujudkannya.

Malaysia antara negara dilimpahi banyak hasil bumi terutama petroleum, selain kaya dengan sumber galian dan alam. Namun, sekian lama ia mengisi tembolok elitis dari kalangan ahli politik, keluarga dan kroni. Rakyat pula menjadi sasaran diperah keringat dan pemilikannya di mana menurut kajian umum, seperempat pendapatan mereka adalah untuk membayar pelbagai jenis cukai dalam negara ini.

Kerana itulah PAS menyeru untuk kembali kepada Islam yang menyeluruh dalam menangani segala kebejatan berlaku ini. Antaranya Islam mengajar integriti pengurusan harta kekayaan negara termasuk pengagihan seimbang kepada rakyat dengan tidak berlegar dalam kalangan tertentu, selain memperkasakan zakat. Juga PAS konsisten mendesak GST dihapuskan dan diganti oleh percukaian korporat.

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia
8 September 2017 | 17 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 8/9/2017

KEJOHANAN sukan yang diadakan sememangnya mampu menjadi titik perpaduan yang sangat penting buat rakyat sesebuah negara. Dalam apa sahaja acara sukan, rakyat akan bersatu padu dalam menyokong Pasukan negara, sebagai salah satu bukti kecintaaan dan kesetiaan seorang rakyat kepada tanah airnya.

Khairi02Rakyat boleh berbeza pandangan dalam sesuatu isu yang dihadapi negara. Namun, kita seharusnya tetap bersama bersatu hati menyokong atlit negara yang bersaing dengan pasukan lawan ketika sesuatu acara sukan yang dipertandingkan.

Kecintaan kepada tanah air ini merupakan sebenarnya fitrah nanusia. Nabi SAW ketika peristiwa Hijrah, tetap mempunyai perasaan cinta dan sayang kepada tanah lahirnya iaitu Mekah Al Mukarramah. Baginda tetap berasa sedih untuk meninggalkan bumi Mekah, bumi Baginda SAW dilahirkan dan dibesarkan.

Walaupun terpaksa berhijrah ke Madinah demi tuntutan agama, di hati baginda tetap mempunyai kecintaan kepada Mekah dan Nabi bertekad untuk kembali semula ke tanahairnya dan membukanya (futuhat) dengan kemurniaan Sistem Kenegaraan Islam.

Islam memandang agenda Perpaduan Nasional ini sangat penting dalam pembangunan negara. Sewaktu Nabi Muhammad SAW membangunkan negara Madinah, Rasullullah SAW telah mengambil pendekatan perpaduan di kalangan kabilah yang berada di Madinah serta kehadiran para sahabat dari Mekah di dalam penstrukturan Sistem Pentadbiran Negara melalui Piagam Madinah.

Nabi SAW mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, mendapatkan komitmen perpaduan kaum Aus dan Khazraj, kabilah-kabilah kecil yang telah lama menetap di Madinah serta orang Yahudi Madinah untuk sama-sama berganding bahu membangun dan mempertahankan bumi Madinah. Inilah contoh perpaduan nasional yang ditunjukkan secara praktikal oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Dengan kejayaan sebagai juara dan penganjuran yang gemilang dalam Sukan SEA KL 2017 ini, kita perlu mengambil peluang untuk memperkuatkan perpaduan & Integrasi Nasional di kalangan rakyat, tanpa mengira perbezaan pandangan atau latarbelakang yang ada di kalangan kita dalam apa jua isu. Bukankah kita telah bersama membina negara ini sejak sekian lama?

Kita seharusnya cuba untuk mengenepikan seketika perbezaan kita dalam banyak perkara kita mengurus negara ini, dan mengucapkan tahniah kepada atlit dan pasukan Malaysia yang telah menjuarai Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tempohari. Tidak dilupakan, kita juga harus terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlit paralimpik Malaysia dalam Sukan Paralimpik ASEAN yang akan berlangsung pertengahan bulan ini.

DPPM juga mengharapkan usaha untuk mempastikan aktiviti sukan yang dianjurkan di negara ini selari dengan kehendak syariat dapat diteruskan dan dimantapkan.
 
Penyediaan ruang solat yang selesa bagi atlit dan penonton, penekanan kepada menutup aurat bagi yang muslim serta atlit dan pegawai sukan yang menunjukkan akhlak yang baik dalam permainan diharap dapat menjemput keredhaan Allah SWT kepada semua dan mempertingkatkan imej Malaysia di mata dunia.

Saya juga mengambil kesempatan ini mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, PDRM, Sukarelawan KL2017 serta semua pihak yang telah berjaya memberikan kejayaan sebagai juara keseluruhan dan penganjuran KL2017 yang penuh gemilang.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bangga kerana menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dunia bahawa kita adalah sebuah negara bersatu hati dan mampu hidup dengan harmoni dalam kepelbagaian kaum.

Sesungguhnya, Islam adalah asas Integrasi Nasional dan Rahmat kepada seluruh alam.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia,
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dan Hubungan NGO. – HARAKAHDAILY 7/9/2017

KESESATAN daripada putar belit disengajakan aktivis liberal, Siti Kasim perlu segera dibendung dan ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa. Bukan baharu beliau mengutarakan perihal berkaitan Islam secara fakta yang dusta dan rekayasa, malah acapkali mengelirukan, memperlekeh, menghina dan biadap.

fadli shaariKeterlaluannya telah mengundang kontroversi yang boleh menggugat ketenteraman serta salah faham awam dan segala kemungkinan negatif lain. Malah, kebebasannya menjadikan Siti Kasim angkuh dan celupar, selain berani mencabar pelbagai autoriti. Maruah dan kesucian Islam tidak boleh dikompromi kepada sesiapa jua.

Kami yakin, jika sekiranya masalah ini tidak diambil tindakan sewajarnya, ia akan membarah dan menimbulkan kacau bilau kepada pegangan kefahaman dan akidah umat Islam. Pengajaran harus diambil dari negara jiran, Indonesia yang hampir empat dekad pernah dicemari oleh wacana pemikiran sedemikian.

Namun untuk mengubatinya, menempuh cabaran yang amat memeritkan. Bahkan secara tidak langsung, usaha memartabatkan Islam dan menjadikannya naungan rahmat kepada semua pihak selaras ketinggian dalam Perlembagaan Malaysia juga sukar dan akan sering dikontroversikan.

Pihak berkuasa perlu menguatkuasakan tindakan selaras diperuntukan akta atau enakmen tanpa perlu takut kepada kalangan yang mencela. Kerajaan juga digesa menggubal perundang tambahan terutama berkaitan kewenangan golongan ini menyebarkan pemikiran songsang mereka di pelbagai bentuk media.

Kami turut berharap supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak memanggil dan jika perlu ditahan individu-individu seperti ini. Ia bagi tujuan diadakan kaunseling dan bimbingan yang komprehensif supaya golongan ini dapat diperbetulkan hingga insaf bertaubat serta kembali ke pangkal jalan.

JAKIM sebelum ini telah pun bertindak ke atas banyak pihak yang mempelopori ajaran sesat. Maka individu seperti Siti Kasim juga pasti boleh diatasi dengan pencegahan khas sebelum ramai lagi dikelirukan oleh dakyah sesat dicetuskannya hari ini. Kami percaya, Malaysia mempunyai kepakaran yang banyak dalam menguruskan perkara ini.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
8 September 2017 | 17 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 8/9/2017

SUKA hati melihat masing-masing pimpinan tertinggi Pakatan Harapan berebut-rebut, sahut menyahut dalam membalas kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Mohamad Khalil Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa undi PH adalah bererti memberi undi pada DAP.

Pembelaan bersungguh ini menggambarkan bagaimana kebalnya DAP bahkan ia menunjukkan DAP benar-benar berkuasa dan dominan dalam PH. Taatnya parti kompenan PH pada DAP, belum keluar apa-apa arahan sudah bertindak dalam membelanya, sehingga Tun Mahathir sendiri keluarkan kenyataan.

Bijak Tun M mengalih isu "warkah Anwar undang masalah" tenggelam dengan menggulakan parti kompenan. Lupa terus kebiadaban Tun M terhadap Ketua Umum PH itu yang masih beratap "rumah besi" angkara bekas Perdana Menteri yang ke-4 itu.

Lebih menarik pimpinan DAP diam seribu bahasa melihat bagaimana "juak-juak"nya mempertahan partinya. Bukan level Pemuda PH yang menyuarakan kemarahan dan ketidakpuasan hati tapi pimpinan tertinggi PH. "Bisa" juga kenyataan Ketua Pemuda PAS ini.

Di mana salahnya kenyataan Ketua Pemuda PAS itu? Sememangnya DAP adalah sebahagian daripada anggota parti kompenan PH. Sehari-hari pimpinan PH "berwirid" bahawa PAS tongkat Umno, PAS beri nyawa pada Umno padahal sehingga saat ini pun PAS masih bersendirian bahkan menyatakan komitmen akan pertahankan kerusi tradisi yang PAS bertanding sebelum ini berlawan Umno.

Sejak sekian lama DAP amat memusuhi Islam. Agenda Islam yang hendak diperkasakan, akan ada reaksi DAP menentangnya, kini tidak perlu lagi bersusah payah, "sekawan" membelanya. Sah!! DAP pemilik kandangnya.

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Selangor - HARAKAHDAILY 8/9/2017

ISU Permainan video “Fight of Gods” diilhamkan oleh permainan seperti “Street Fighter” dengan menonjolkan watak “Jesus” dan “Buddha” sebagai karakter utama seperti yang didedahkan dalam media sosial beberapa hari ini adalah sesuatu yang melampau dan menjengkelkan. Pemajunya, Digital Crafter dari Taiwan seakan mahu melaga-lagakan keharmonian agama dengan mencampur adukkan pelbagai dewa dan tuhan pelbagai agama termasuk Islam bagi membangkitkan kemarahan masyarakat.

Bagi penganut agama masing-masing, sudah tentu tidak boleh menerima kenyataan bahawa tuhan agama mereka dipermainkan atau diperlekehkan sedemikian rupa.  Tidak ada penganut agama yang menerima hakikat agama mereka dijadikan permainan video dan tuhan mereka dilakonkan untuk berlawan sama sendiri. Bahkan, Nabi Musa a.s. dan tokoh bersejarah Cina, Guan Gong, juga dimasukkan dalam permainan itu walaupun mereka bukan dikira sebagai Tuhan atau dewa.

Permainan video seperti ini mempunyai sasarannya tersendiri. Selain kanak-kanak, remaja dan belia adalah mangsanya. Tanpa mereka sedari, dalam keseronokan bermain permainan video ini, ia menanam sentimen kebencian terhadap agama dan menghasut agar membenci agama lain. Watak yang ditonjolkan adalah ‘dewa’ atau tuhan agama masing-masing sebagari karakter utama yang mendorong menjadi ikon pujaan kepada penggemarnya, sekaligus merendahkan martabat watak tersebut. Bagi umat Islam, watak seperti Nabi Musa a.s. yang mulia direndahkan menjadi karakter yang boleh diperlekehkan.

Apa untungnya permainan video seperti ini selain merosakkan minda dan pegangan agama seseorang. Seseorang boleh memandang rendah agamanya sendiri dan memandang hina agama lain. Selain budaya negatif seperti keganasan dan kejahatan, ia pasti melalaikan dan membuang masa. Tidak ada pelajaran yang boleh diambil dari permainan video seperti ini.  

Dalam pada kerajaan berusaha menangani pengganas, tanpa sedari keganasan dibenihkan dalam minda kanak-kanak dan remaja melalui permainan-permainan video. Budaya samseng, gangsterisme, kaki buli dan perlakukan jenayah mudah membarah berpunca dari pengaruh media sosial termasuk permainan video.

Malaysia adalah negara yang terkenal dengan negara pelbagai kelompok etnik, budaya dan agama. Perpaduan kaum terhasil dari sikap saling hormat menghormati, faham memahami, serta toleransi agama yang di amalkan. Budaya liar seperti permainan video ini adalah percikan api yang boleh menyemarakkan perpecahan dan pergaduhan kaum. Kita tidak mahu ada pihak yang menjadikan isu ini dengan mengambil kesempatan memusuhi kaum, bangsa atau agama lain.

Sudah ada banyak pihak yang menyatakan kemarahan termasuk dari pelbagai kelompok agama. Saya amat menyanjung tinggi masyarakat yang cepat prihatin dan peka dengan pelbagai situasi semasa sehingga cepat membangkitkan isu ini. Ia membuktikan bahawa masyarakat Malaysia tidak menerima budaya liar dan negatif dari sewenang-wenangnya menular ke dalam negara ini.

Justeru, kerajaan tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak segera mengawalnya dari dibawa masuk ke dalam negara. Jangan biarkan ketenteraman dan keamanan masyarakat dirosakkan oleh elemen negatif walau dalam apa juga bentuk, dari sekecil kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Sempadan negara perlu dijaga sebaik mungkin dan rakyat Malaysia mampu bekerjasama menjadi benteng peneguh akidah, menjaga perpaduan kaum dan keharmonian agama yang selama ini utuh. – HARAKAHDAILY 7/9/2017

Penulis ialah Ahli jawatankuasa PAS Pusat

More Articles ...