SEPERTI dijangka, hari ini saya telah menerima satu notis tuntutan dari peguam bela Naib Presiden AMANAH merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, iaitu Awi & Co, sebuah syarikat guaman milik Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi, dan anak beliau yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Notis tuntutan ini menyebut bahawa artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP” mengandungi beberapa kenyataan berunsur fitnah, iaitu:

“Saya waktu itu cukup terkejut bagaimana peruntukan-peruntukan yang mengiktiraf ketidakpercayaan agama serta mengiktiraf orientasi dan identiti seks songsang ini boleh wujud di dalam Rang Undang-Undang yang dirangka oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr Mujahid, yang waktu itu merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.”

“Bagaimanapun, setelah ini berlaku, tambahan pula setelah Dr Mujahid sendiri bertindak keluar dari PAS bersama-sama rakan-rakan sefikrah beliau untuk menubuhkan parti baru bernama AMANAH yang menunjukkan keintiman luar biasa pula dengan parti sekular tegar, DAP, maka tidaklah pelik bila beliau memerli saya mengenai buku Hannah ini.”

“Bila cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh Karpal Singh ini diutarakan semula oleh Dr Mujahid maka terbuktilah bahawa Dr Mujahid, dan seterusnya AMANAH, adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP.”

Notis tuntutan ini juga menyebut bahawa artikel Facebook saya ini mengakibatkan reputasi, karier dan nama baik Dr Mujahid telah tercemar, terjejas dan tercedera di mata rakyat negara ini sama ada di dalam dan/atau luar negara yang mendapat akses secara langsung dan tidak langsung kepada artikel tersebut.
Ekoran itu, saya diarahkan oleh Dr Mujahid supaya membuat permohonan maaf tidak bersyarat kepada beliau dalam tempoh tujuh hari dari notis ini dan jika saya gagal membuat permohonan maaf tidak bersyarat ini peguam bela beliau tidak akan teragak-agak untuk meneruskan prosiding undang-undang tanpa merujuk kepada saya semula.

Sebagai maklum balas, sukalah saya tegaskan kepada Dr Mujahid bahawa saya tidak sama sekali akan membuat sebarang permohonan maaf kepada beliau. Sebaliknya, saya tegas berpendirian bahawa apa yang saya nyatakan dalam artikel Facebook saya ini adalah tidak mengandungi sebarang fitnah.
Perlu dinyatakan bahawa kritikan saya terhadap kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi yang dirangka oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara, yang Dr Mujahid pengerusikan adalah kritikan sama yang telah saya buat di dalam artikel Facebook saya pada 21 Jun 2014.

Kritikan ini saya asaskan kepada Seksyen 4(1) Rang Undang-Undang ini yang mendefinisikan “kepercayaan” sebagai apa-apa kepercayaan agama atau falsafah dan satu rujukan kepada kepercayaan merangkumi satu rujukan kepada ketidakpercayaan dan yang mendefinisikan “agama” sebagai apa-apa agama dan merangkumi apa-apa kepercayaan atau ketidakpercayaan agama.

Ia juga saya asaskan kepada Seksyen 6(1) Rang Undang-Undang ini yang memperuntukkan bahawa Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas agama dan Seksyen 7(1)(ii) yang memperuntukkan bahawa Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas jantina, termasuk orientasi dan identiti seks.

Dr Mujahid sedia maklum mengenai kewujudan kritikan ini sejak 21 Jun 2014 lagi kerana pada pukul 9:29 malam hari sama saya telah men”tag” akaun Facebook beliau dengan menulis “Minta komen Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa” yang ditambah dengan satu “tag” lagi pada pukul 10:49 malam hari sama dengan menulis “Mana Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ni, kurang gentleman nampaknya Datuk kita ni sebab tak sudi berwacana dengan orang seperti saya”.

Jika benar kritikan saya terhadap kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi ini adalah berunsur fitnah, mengapa Dr Mujahid tidak pernah mempertikaikannya waktu ia mula ditimbulkan pada 21 Jun 2014 sedangkan saya sendiri memberi ruang dan menjemput beliau mengulasnya?

Kenyataan saya bahawa Dr Mujahid adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP kerana beliau mengutarakan semula cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, juga bukanlah berunsur fitnah.

Ini kerana sehingga kini Dr Mujahid tidak pernah menafikan ketepatan laporan portal berita The Malaysian Insight pada 24 Mei di bawah tajuk berbunyi “Hapuskan Parti Politik Berasaskan Kaum Dan Agama”. Selain tertera di dalam tajuknya, intipati apa yang saya nyatakan juga terkandung di dalam laporannya yang menyebut beliau mencadangkan bahawa satu perkara yang Pakatan Harapan perlu lakukan jika pakatan pembangkang memenangi Kerajaan Persekutuan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ialah untuk memastikan tiada lagi parti politik yang berasaskan kaum dan agama.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, yang juga merupakan anak lelaki Karpal Singh, iaitu Ramkarpal Singh, di dalam kenyataan media beliau bertajuk “Fully Agree With AMANAH Vice-President Dr Mujahid Yusof Rawa’s Proposal That The Time Has Come For Malaysia To Do Away With Race- And Religion-Based Politics” pada 25 Mei, yang menyokong cadangan Dr Mujahid ini juga memetik perkara sama mengenai cadangan ini iaitu, “to do away with race- and religion-based politics” (menghapuskan parti politik yang berasaskan kaum dan agama), dan ini juga tidak pernah dinafikan oleh Dr Mujahid.

Hakikat bahawa cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama ini pernah diutarakan oleh Karpal Singh juga turut saya buktikan di dalam artikel Facebook saya ini dengan memuatkan transkripsi rakaman sidang media beliau pada 5 November 2013 yang berbunyi “The government cannot allow associations which operate on racial lines, which operate on religious lines.” dan yang berbunyi “Operating along religious, racial lines, is a very dangerous thing in a multi-racial and a multi-religious society like ours. I think the time has come perhaps for all racial (and religious) parties to be deregistered, that will include unfortunately even PAS.

Ramkarpal Singh, di dalam kenyataan media beliau, pun mengesahkan ketepatan kenyataan saya ini dengan menyebut bahawa cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama ini juga pernah diutarakan oleh Karpal Singh dengan menyebut “Such a proposal was also mooted by the late Karpal Singh in November, 2013 who suggested that such racial and raced based parties were a setback to the country’s unity and that the way forward was for multiracial parties to form the future of the country (The Star Online, 6.11.2013).”

Jadi di manakah letaknya unsur fitnah di dalam artikel Facebook saya ini?

Seperti yang saya tulis di dalam satu lagi artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Lambang Hipokrasi Pemimpin AMANAH” pada 31 Mei, tindakan Dr Mujahid mengambil tindakan undang-undang terhadap saya ini memberikan imej yang sangat buruk terhadap AMANAH. Ia menggambarkan bahawa AMANAH adalah sebuah parti “jumud” yang tiada kemampuan untuk berdialog seperti yang sering diwarwarkan dan bukannya sebuah parti “progresif” seperti yang terpamer di dalam cogan katanya. Ia juga menggambarkan bahawa ayat-ayat muluk yang terdapat di dalam Perlembagaan AMANAH mengenai “negara dan masyarakat madani”, “pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan demokrasi” dan “kebebasan-kebebasan asasi” hanyalah sekadar hiasan untuk mengelabukan mata semata-mata.

Jika istilah “kuda tunggangan” yang menimbulkan masalah kepada Dr Mujahid, apa sangatlah istilah itu berbanding istilah-istilah yang jauh lebih teruk yang lebih dahulu digunakan oleh para pemimpin dan penyokong AMANAH untuk mengecam saya ekoran tindakan saya membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh.

Tulisan Dr Mujahid bertajuk “Disiplin Ilmu Bukan Sentimen Murahan” pada 30 Mei pun menggunakan istilah-istilah yang teruk juga untuk mengecam saya, termasuk dengan menyifatkan saya sebagai “gila”, “jahil”, “bodoh” (‘cerdik’) dan “penulis upahan”.

Apapun, seperti pernah saya tegaskan sebelum ini, saya sentiasa bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang dari Dr Mujahid. Tindakan undang-undang ini, bagi saya, sangat penting kerana ia adalah lambang kepada kehipokrasian pemimpin AMANAH.

Bila Dr Mujahid memilih mahkamah sebagai forum untuk berwacana dengan saya, maka kita jumpa sajalah di mahkamah. Tiada sekelumit pun rasa takut di dalam hati saya untuk berhadapan dengan beliau di mahkamah. - HARAKAHDAILY 5/6/2017

PERTUBUHAN Pendokong dan Pencinta Ulamak@GENG USTAZ membantah sekeras-kerasnya penganjuran "Nations of the Golden Gate aligning with Jerusalem’s Jubilee”, yang diadakan selama 4 hari dari 15 ke 18 Jun, di Gereja Calvary Life Assembly (Chinese) di Melaka.

Jerusalem Jubilee ini ialah sambutan kejayaan Rejim Israel merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 hari 1967 sempena tahun ke-50. Hari sambutan ini juga diangkat sebagai Hari Kebangsaan Israel dan Kristian Evangelis.

Kekhuatiran selama ini yang pernah difikirkan dan dilintas dalam fikiran umat Islam negara ini iaitu adakah Malaysia sedang menjadi sasaran agenda Kristianisasi antarabangsa sudah menampakkan jelas jawapannya.  

Sememangnya terdapat di sana satu usaha dan propaganda halus yang sedang berjalan oleh beberapa pihak dalam negara ini bersama dengan pihak antarabangsa untuk membawa agenda Kristianisasi ke dalam masyarakat dan negara yang majoritinya adalah umat Islam.

Sekiranya agenda ini benar, ia sudah bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan negara Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan bahawa adalah melanggari undang-undang sekiranya terdapat usaha mengembang iktikad dan agama selain Islam kepada orang Islam.

Maka dengan ini, GENG USTAZ mendesak pihak Kerajaan Negeri Melaka dan pihak berwajib agar melakukan tindakan sewajarnya dengan menyiasat, menyekat, dan membatalkan sekiranya benar terdapatnya penganjuran ini. Dan memberi amaran kepada pihak berkenaan dan pihak luar negara ini agar menghormati undang-undang dan perlembagaan Malaysia yang bertujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dan agama negara ini iaitu Islam.

USTAZ NORAZLI MUSA
Presiden GENG USTAZ
5 Jun 2017 | 10 Ramadhan 1438H – HARAKAHDAILY 5/6/2017

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan terima kasih atas sokongan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin terhadap gesaan DPPM sebelum ini agar Malaysian Arlines (MAS) menghentikan hidangan minuman alkohol dalam semua penerbangannya.

Sekalipun dalam kenyataan itu, Mas Ermieyati menyatakan bahawa perkara tersebut bukan di bawah kuasa kementeriannya bahkan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, namun ia tetap merupakan satu perkembangan yang cukup baik dan positif. Tambahan pula kedudukan beliau sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno yang merupakan salah satu sayap utama di dalam parti yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan Malaysia pada hari ini.

Berasaskan kepada konsep politik dakwah yang terkandung di dalam Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), DPPM memberikan komitmen untuk meneruskan gesaan dan teguran kepada pihak kerajaan untuk perubahan yang positif selari dengan kehendak Islam. Perubahan ini memerlukan sokongan seluruh lapisan masyarakat Muslim khasnya kakitangan MAS yang beragama Islam agar reformasi yang dicita-citakan ini berjaya dilaksanakan.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk seberapa segera melaksanakan perubahan polisi ini bagi memastikan tiada lagi gangguan ke atas penerbangan yang disebabkan oleh penumpang yang mabuk. Apa yang lebih utama daripada itu ialah keberkatan selepas mengharamkan sesuatu yang nyata diharamkan oleh Islam, agama rasmi negara ini.

Ramadan yang mulia ini ialah masa terbaik untuk kerajaan melaksanakan keputusan yang diyakini akan disambut baik oleh sebahagian besar umat Islam yang juga pelanggan MAS di negara ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 5/6/2017

SAYA membaca komen dari Presiden The Malaysian Association of Tour and Travel Agents (Matta), Hamzah Rahmat yang menyifatkan gesaan kami Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) agar minuman alkohol ataupun arak tidak lagi dihidangkan dalam penerbangan MAS sebagai 'ridiculous' (mengarut). Untuk lebih adil, bolehlah pembaca merujuk kepada pautan berikut : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/06/01/alcohol-ban-on-mas-flights-ridiculous-says-matta/

Pertimbangan saudara Hamzah ialah pada kekerapan insiden gangguan penumpang mabuk berlaku selama ini. Selama ini bukanlah selalu insiden itu berlaku dan tidaklah memaksa hidangan arak dihentikan. Menurut laporan FMT di antara hujah Hamzah:

"Unless someone gets drunk and makes a ruckus every time on MAS flights… then we can look at this issue (what PAS has proposed). How many times has this sort of thing happened? It (the call for a ban) is ridiculous.”

Saya tertanya, berapakah bilangan insiden yang diperlukan untuk MAS boleh membuat pertimbangan untuk menghentikan hidangan arak? Atau kita mahu menunggu sehingga sebuah kapal terbang jatuh menjunam di hadapan mata akibat penumpang mabuk barulah mahu sedar keperluan menghentikan hidangan arak?

Semalam, hampir serentak dengan kenyataan Presiden Matta ini, dilaporkan pula berita bagaimana sebuah mahkamah di London diberitahu mengenai kejadian seorang penumpang mabuk dalam pesawat Malaysia Airlines pada Januari lalu, yang berang selepas anak kapal membuat keputusan menghentikan minuman keras untuknya. Penumpang tersebut, Maxine Williams telah mabuk selama 10 jam dalam penerbangan ke London itu telah melemparkan kata-kata bersifat perkauman, dan bertindak cuba menyerang pramugari Malaysia Airlines, Teoh Ming Lee, sambil menggunakan kata-kata makian dan mencarut.

Menurut akhbar harian Britain, The Sun, Williams menjerit: “I hate your f***ing country” (Saya benci negara kamu) dan “You Malaysian pig!” (Babi kau orang Malaysia), sebelum kapten mengumumkan tindakan keselamatan. Williams kemudian diikat dengan pelekat tebal. Wanita itu didapati bersalah, dan bakal menanti hukuman di mahkamah lain. Laporan tersebut boleh diakses di pautan: https://www.thesun.co.uk/news/3702847/drunk-passenger-bound-with-gaffer-tape-after-racist-attack-on-stewardess-on-malaysia-airlines-flight-to-heathrow/

Wujudkah kajian terhadap hubung kait di antara permintaan pelanggan untuk minuman alkohol dan jumlah keuntungan MAS yang berjaya dijana setiap tahun? Atau sebenarnya ramai penumpang yang menyampah dengan bau alkohol tetapi terpaksa menahan hidung dan bersabar untuk sampai ke destinasi?

Sudah sampai masanya untuk kakitangan MAS bangun serentak mendesak pengurusan tertinggi termasuklah pihak kerajaan membuat keputusan drastik berhubung hidangan minuman alkohol ini. Pemikiran 'menanti insiden terlebih dahulu' ini ialah satu pemikiran yang bahaya, apatah lagi larangan arak ini ialah satu perintah yang jelas di dalam al-Quran. – HARAKAHDAILY 3/6/2017

PENGANJURAN “All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC)” di Calvari Live Assembly Chinese di Melaka pada pertengahan Jun ini merupakan satu petunjuk amaran dan ancaman terhadap keharmonian agama dan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan bagi negara Malaysia.

Program AMGGRC ini jelas mengandungi unsur doktrin gerakan Kristian untuk menakluk dan membangun Malaysia sebagai pemangkin Kristian dengan menjadikannya sebagai “Revival Catalyst Nations Golden Gate”. Selain turut berbaur hasutan dengan membangkitkan rasa permusuhan agama.

Malah, ia melibatkan kecenderungan kepada agenda dan pembangunan Israel yang dimaklumi adalah negara haram dan negara pengganas dunia, serta langsung tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Program ini juga mengundang tokoh-tokoh yang mendokong tujuan itu.

Selain itu, program ini melibatkan penggunaan, pergerakan, pertemuan dan dana terbuka yang boleh disifatkan mempengaruhi awam. Antaranya upacara doa di Menara Jam Melaka dan melancong ke negeri ini khususnya Muzium Laksamana Cheng Ho dengan pimpinan kerohanian khusus.

Demikian itu, kami melihat bahawa program ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan mencabar dan menentang Perlembagaan Negara serta Yang Di-Pertuan Agong. Juga boleh menimbulkan gugatan atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara khususnya melibatkan sentimen agama.

Sehubungan itu, kami memohon siasatan polis berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas seluruh penganjuran, perancangan dan rangkaiannya termasuk penglibatan tokoh-tokoh terbabit. Seterusnya kami memohon tindakan yang sah berteras undang-undang agar seluruh kegiatan berkaitan dihalang atau disekat atau diharam dari dilangsungkan atau memasuki negara ini.

USTAZ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 5/6/2017

PADA 11 Mac 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes membabitkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pendedahan jumlah bayaran berkenaan dibuat selepas persetujuan oleh Jabatan Peguam Negara dan Shafee.

Ketika itu dan sehingga kini, rakyat sudah tertanya-tanya mungkinkah bayaran kepada Shafee sebegitu murah?

Kerana itu, dakwaan terbaru bahawa terdapat transaksi dana RM9.5 juta daripada syarikat SRC International disalur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada akaun peribadinya ke dalam akaun peribadi Shafee sangat menarik perhatian rakyat dan menular dengan mudah.

Sekiranya perkara ini dibiarkan, PAS bimbang tuduhan ini akan menjadi semakin tular dan benar di minda rakyat, kerana penjelasan bahawa Shafee hanya dibayar RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes Anwar sememangnya susah diterima rakyat.

Oleh itu, PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk campurtangan di dalam isu ini demi menjaga nama baik negara kerana PAS percaya PM dan Shafee akan terus membisu terhadap tuduhan yang tular ini.

Perkara ini sangat mudah disiasat kerana ia melibatkan transaksi pada jumlah yang besar iaitu RM9.5 juta antara dua individu. Sekiranya tuduhan itu benar, jawapannya ya, sekiranya tuduhan itu tidak benar, jawapannya tidak.

SPRM boleh berkongsi Kertas Siasatan SPRM ke atas skandal SRC RM42 juta kepada Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk mempercepatkan siasatan.

Sekiranya terdapat transaksi itu, di mana datangnya sumber duit itu dan apakah duit itu telah dibayar cukai?

Selain itu, PAS juga menggesa Peguam Negara membentangkan Kertas Siasatan SPRM ke atas skandal SRC RM42 juta ke dalam akaun PM Najib kepada umum.

PAS yakin dua cadangan di atas pasti dapat membersihkan nama baik PM dan Shafee memandangkan Peguam Negara berkata kertas siasatan itu menunjukkan tiada kes untuk mendakwa PM.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
5 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 5/6/2017

DEWAN Undangan Negeri Kelantan (DUN) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi menentukan keperluan pilihan raya kecil Dun Nenggiri atau sebaliknya.

Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya'kub berkata perbincangan diadakan bagi melihat segenap sudut kemungkinan atau sebaliknya PRK tersebut.

"Ini kerana kebiasaan selepas tiga tahun tarikh pilihan raya umum lepas berlalu, tiada lagi PRK biarpun ada kekosongan berlaku.

"Biar pun semalam ada kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengatakan terpulang kepada Speaker untuk mengadakan PRK di Nenggiri," katanya ketika ditemui di Ketereh, malam tadi.

Sebelum itu beliau menghadiri tadarus al-Quran peringkat parlimen Ketereh di dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Adun Melor, Dr Yusnan Yusof, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat, Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood dan Yang Dipertua Pas Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh.

Khamis lepas Speaker  mengisytiharkan Dun Nenggiri kosong berikutan Adunnya Datuk Mat Yusof Abdul Ghani diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Difahamkan wakil rakyat BN terbabit tidak dapat menjelaskan hutang bank berjumlah jutaan ringgit.

Pengarah SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab sebelum ini dilaporkan berkata PRK tidak semestinya wajib diadakan selepas melebihi tempoh tiga tahun.

Namun katanya apa pun bergantung kepada keputusan Speaker sama ada diadakan PRK atau tidak.

Abdullah juga berkata kerusi Dun Nenggiri tidak lagi diwakili pada persidangan Dun yang dijangka diadakan pada Julai depan. - HARAKAHDAILY 3/6/2017                       

More Articles ...