PENGANJURAN “All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC)” di Calvari Live Assembly Chinese di Melaka pada pertengahan Jun ini merupakan satu petunjuk amaran dan ancaman terhadap keharmonian agama dan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan bagi negara Malaysia.

Program AMGGRC ini jelas mengandungi unsur doktrin gerakan Kristian untuk menakluk dan membangun Malaysia sebagai pemangkin Kristian dengan menjadikannya sebagai “Revival Catalyst Nations Golden Gate”. Selain turut berbaur hasutan dengan membangkitkan rasa permusuhan agama.

Malah, ia melibatkan kecenderungan kepada agenda dan pembangunan Israel yang dimaklumi adalah negara haram dan negara pengganas dunia, serta langsung tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Program ini juga mengundang tokoh-tokoh yang mendokong tujuan itu.

Selain itu, program ini melibatkan penggunaan, pergerakan, pertemuan dan dana terbuka yang boleh disifatkan mempengaruhi awam. Antaranya upacara doa di Menara Jam Melaka dan melancong ke negeri ini khususnya Muzium Laksamana Cheng Ho dengan pimpinan kerohanian khusus.

Demikian itu, kami melihat bahawa program ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan mencabar dan menentang Perlembagaan Negara serta Yang Di-Pertuan Agong. Juga boleh menimbulkan gugatan atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara khususnya melibatkan sentimen agama.

Sehubungan itu, kami memohon siasatan polis berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas seluruh penganjuran, perancangan dan rangkaiannya termasuk penglibatan tokoh-tokoh terbabit. Seterusnya kami memohon tindakan yang sah berteras undang-undang agar seluruh kegiatan berkaitan dihalang atau disekat atau diharam dari dilangsungkan atau memasuki negara ini.

USTAZ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 5/6/2017

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan terima kasih atas sokongan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin terhadap gesaan DPPM sebelum ini agar Malaysian Arlines (MAS) menghentikan hidangan minuman alkohol dalam semua penerbangannya.

Sekalipun dalam kenyataan itu, Mas Ermieyati menyatakan bahawa perkara tersebut bukan di bawah kuasa kementeriannya bahkan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, namun ia tetap merupakan satu perkembangan yang cukup baik dan positif. Tambahan pula kedudukan beliau sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno yang merupakan salah satu sayap utama di dalam parti yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan Malaysia pada hari ini.

Berasaskan kepada konsep politik dakwah yang terkandung di dalam Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), DPPM memberikan komitmen untuk meneruskan gesaan dan teguran kepada pihak kerajaan untuk perubahan yang positif selari dengan kehendak Islam. Perubahan ini memerlukan sokongan seluruh lapisan masyarakat Muslim khasnya kakitangan MAS yang beragama Islam agar reformasi yang dicita-citakan ini berjaya dilaksanakan.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk seberapa segera melaksanakan perubahan polisi ini bagi memastikan tiada lagi gangguan ke atas penerbangan yang disebabkan oleh penumpang yang mabuk. Apa yang lebih utama daripada itu ialah keberkatan selepas mengharamkan sesuatu yang nyata diharamkan oleh Islam, agama rasmi negara ini.

Ramadan yang mulia ini ialah masa terbaik untuk kerajaan melaksanakan keputusan yang diyakini akan disambut baik oleh sebahagian besar umat Islam yang juga pelanggan MAS di negara ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 5/6/2017

SAYA membaca komen dari Presiden The Malaysian Association of Tour and Travel Agents (Matta), Hamzah Rahmat yang menyifatkan gesaan kami Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) agar minuman alkohol ataupun arak tidak lagi dihidangkan dalam penerbangan MAS sebagai 'ridiculous' (mengarut). Untuk lebih adil, bolehlah pembaca merujuk kepada pautan berikut : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/06/01/alcohol-ban-on-mas-flights-ridiculous-says-matta/

Pertimbangan saudara Hamzah ialah pada kekerapan insiden gangguan penumpang mabuk berlaku selama ini. Selama ini bukanlah selalu insiden itu berlaku dan tidaklah memaksa hidangan arak dihentikan. Menurut laporan FMT di antara hujah Hamzah:

"Unless someone gets drunk and makes a ruckus every time on MAS flights… then we can look at this issue (what PAS has proposed). How many times has this sort of thing happened? It (the call for a ban) is ridiculous.”

Saya tertanya, berapakah bilangan insiden yang diperlukan untuk MAS boleh membuat pertimbangan untuk menghentikan hidangan arak? Atau kita mahu menunggu sehingga sebuah kapal terbang jatuh menjunam di hadapan mata akibat penumpang mabuk barulah mahu sedar keperluan menghentikan hidangan arak?

Semalam, hampir serentak dengan kenyataan Presiden Matta ini, dilaporkan pula berita bagaimana sebuah mahkamah di London diberitahu mengenai kejadian seorang penumpang mabuk dalam pesawat Malaysia Airlines pada Januari lalu, yang berang selepas anak kapal membuat keputusan menghentikan minuman keras untuknya. Penumpang tersebut, Maxine Williams telah mabuk selama 10 jam dalam penerbangan ke London itu telah melemparkan kata-kata bersifat perkauman, dan bertindak cuba menyerang pramugari Malaysia Airlines, Teoh Ming Lee, sambil menggunakan kata-kata makian dan mencarut.

Menurut akhbar harian Britain, The Sun, Williams menjerit: “I hate your f***ing country” (Saya benci negara kamu) dan “You Malaysian pig!” (Babi kau orang Malaysia), sebelum kapten mengumumkan tindakan keselamatan. Williams kemudian diikat dengan pelekat tebal. Wanita itu didapati bersalah, dan bakal menanti hukuman di mahkamah lain. Laporan tersebut boleh diakses di pautan: https://www.thesun.co.uk/news/3702847/drunk-passenger-bound-with-gaffer-tape-after-racist-attack-on-stewardess-on-malaysia-airlines-flight-to-heathrow/

Wujudkah kajian terhadap hubung kait di antara permintaan pelanggan untuk minuman alkohol dan jumlah keuntungan MAS yang berjaya dijana setiap tahun? Atau sebenarnya ramai penumpang yang menyampah dengan bau alkohol tetapi terpaksa menahan hidung dan bersabar untuk sampai ke destinasi?

Sudah sampai masanya untuk kakitangan MAS bangun serentak mendesak pengurusan tertinggi termasuklah pihak kerajaan membuat keputusan drastik berhubung hidangan minuman alkohol ini. Pemikiran 'menanti insiden terlebih dahulu' ini ialah satu pemikiran yang bahaya, apatah lagi larangan arak ini ialah satu perintah yang jelas di dalam al-Quran. – HARAKAHDAILY 3/6/2017

Titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di majlis berbuka puasa bersama rakyat dan majlis perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie pada 2 Jun 2017 / 7 Ramadhan 1438H (Jumaat).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, pada petang ini Beta dapat bersama-sama rakyat Beta di Majlis Berbuka Puasa bagi tahun 1438 Hijrah serta perasmian masjid di Temasya Glenmarie, daerah Petaling.

Beta berharap dengan majlis yang dianjurkan setiap tahun ini akan berupaya meningkatkan kesedaran dikalangan umat Islam tentang betapa pentingnya tali persaudaraan diantara kita dan seterusnya menambahkan rasa kecintaan kita terhadap masjid yang menjadi lambang dan keagungan Agama Islam.

Beta difahamkan pembinaan masjid ini adalah hasil daripada sumbangan waqaf daripada beberapa syarikat termasuk Perbadanan Waqaf Selangor dan juga orang ramai.  Beta amat terharu dengan kerjasama daripada pihak-pihak yang berkenaan sehingga terbinanya masjid yang indah ini.  Ini telah membuktikan bahawa dengan semangat kerjasama dan toleransi antara satu sama lain, kejayaan yang cemerlang akan kita capai.  Beta berkenan semangat kerjasama ini dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam untuk terus membangunkan dan memajukan lagi syiar Islam di Negeri Selangor ini.

Seharusnya kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan lindungan-Nya Negeri Selangor ini terus kekal aman dan makmur sebagai mana yang kita nikmati sekarang ini. Oleh itu, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi ini, janganlah disia-siakan dengan anasir-anasir negatif yang boleh membawa kepada ketidakselesaan dan perpecahan. Sebaliknya kita harus sentiasa berusaha dan berazam untuk terus mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini. Kita harus sedar dan mengambil iktibar bahawa pada masa sekarang ini di beberapa negara Islam di luar sana yang bergaduh sesama sendiri dan telah hilang nikmat keamanan.

Beta ingin mengingatkan rakyat dan masyarakat di segenap lapisan agar sentiasa berwaspada, berhati-hati dan peka terhadap kemunculan gejala yang tidak sihat yang cuba dicetuskan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba untuk mengubah landskap kehidupan rakyat yang harmoni dan aman damai di negeri ini.  Penyebaran ajaran sesat dan fahaman yang jauh menyimpang dari ajaran agama Islam yang sebenar akan mengelirukan rakyat dan boleh membawa keadaan huru-hara jika tidak dibendung.  Beta difahamkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, terdapat lima belas (15) kumpulan ajaran agama sesat yang masih aktif di Negeri Selangor ini yang perlu diambil tindakan dengan serius oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).  Beta menitahkan supaya imam-imam, ahli jawatankuasa masjid serta masyarakat hendaklah juga bertanggungjawab melaporkan kepada pihak yang berwajib sekiranya mendapati ada aktiviti dan ajaran yang meragukan di tempat mereka.  Janganlah hanya mengharapkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sahaja untuk membendung ajaran sesat ini.

Beta juga berkenan supaya golongan Imam, Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid serta Ahli-Ahli Ilmuwan Agama Islam supaya terus memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada rakyat jelata, terutama golongan muda tentang ajaran Islam yang sebenarnya serta kepentingan memelihara ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah agar umat Islam di Negeri Selangor ini sentiasa berada di landasan yang benar dan tidak terjerumus ke lembah kesesatan atau terlibat dengan keganasan yang ekstrimis seperti ISIS dan Daeish.  Beta berkenan supaya segala jenis pendekatan digunakan untuk tujuan pendidikan ini, termasuk penggunaan media elektronik atau media cetak dan ianya hendaklah merangkumi seluruh peringkat umur dan latar belakang rakyat.

Masjid merupakan lambang keagungan Islam dan sebagai tempat suci yang menghubungkan antara hamba dan penciptaNya.  Masjid juga berperanan sebagai salah satu tempat untuk menyatu-padukan umat Islam.  Oleh yang demikian Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid hendaklah sentiasa dapat bekerja dengan penuh dedikasi, jujur dan ikhlas serta memastikan bahawa semua peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor ini agar sentiasa dipatuhi.  Setiap penceramah atau pensyarah dari luar hendaklah dirujuk kepada pihak JAIS bagi memastikan bahawa mereka ini benar-benar layak serta mengamalkan amalan yang selari dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah.  

Beta sangat dukacita dengan peristiwa yang berlaku baru-baru ini di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, di mana Ahli Parlimen Kawasan Subang, Sivarasa telah berucap di dalam Dewan Solat masjid tersebut, sedangkan Beta telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang yang bukan beragama Islam.  Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap di dalam masjid adalah kerana Beta tidak mahu ianya menjadi punca kepada perpecahan umat Islam. Namun teguran Beta nampaknya tidak diendahkan dan Beta ingin menegaskan – Ahli Parlimen Subang Sivarasa, ʺYou have crossed the line!ʺ Jikalau Ahli Parlimen Subang itu hendak berucap lapan jam atau sepuluh jam di luar dari kawasan masjid, Beta tidak menghalangnya, itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar ataupun tidak, tetapi jangan samasekali berucap di dalam masjid dan di dalam kawasan masjid.  

Nazir masjid, Imam dan Ahli Jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titah Beta dan tidak membenarkan sama sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik.  Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak.  

Beta memberi kuasa kepada Nazir, Imam dan Ahli-ahli jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid.  Maka gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya.  Jikalau ada di antara Nazir, Imam atau Ahli Jawatankuasa Masjid yang hendak aktif berpolitik di masjid, Beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi Nazir, Imam atau Ahli Jawatankuasa Masjid dan serahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain.  Beta tidak teragak-agak untuk menitahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya menamatkan perkhidmatan Nazir, Imam dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.  Di dalam kes masjid An-Nur Kampung Melayu Subang ini, Beta mahu supaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat perkara ini dengan terperinci dan sekiranya didapati ada bukti yang Ahli Jawatankuasa Masjid ini melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas bulan Ramadhan.

Selain daripada itu, Beta juga menitahkan supaya Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid sentiasa mengambil berat tentang kebersihan masjid terutama di Dewan Solat, Tempat Wuduk dan juga Tandas-tandas.  Kebersihan setiap kawasan di masjid ini hendaklah terus diselenggara dan dipelihara pada setiap waktu.  Ini semua adalah bagi menarik lebih ramai jemaah datang ke masjid untuk beribadat dan dapat merasakan keselesaan serta dapat beribadat dengan lebih khusyuk.

Di kesempatan ini, Beta ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh rakyat Beta yang beragama Islam.  Di hari yang mulia dan bulan yang baik ini, Beta berkenan supaya Orang-Orang Melayu merenung dan memikirkan dengan sedalam-dalamnya untuk bersatu-padu mempertahankan agama Islam dan kedudukan Orang-Orang Melayu di tanah air tempat tumpah darah kita yang di kasihi ini.  Janganlah saling fitnah-memfitnah dan mengadu-domba antara satu sama lain, terutamanya di musim menjelang Pilihanraya Umum yang akan tiba tidak lama lagi.  Sesungguhnya Bulan Ramadhan adalah masa yang sesuai untuk kita melakukan ibadat dan kebaikan bagi memperoleh keberkatan daripada Allah Subahanahu Wata‘ala.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, Beta mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada Syarikat I & P Group, DRB Hicom Berhad, UDA Holdings Berhad, Khidmat Amal Jariah daripada semua Perunding-perunding profesional yang memberi khidmat percuma dan Wakaf persendirian daripada Ahli-ahli Kariah setempat serta sumbangan orang ramai melalui Tabung Wakaf Khas yang telah mewakafkan dana mereka ke jalan yang diredhai Allah ini.  Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Waqaf Selangor melalui sumbangan Fi Sabilillah Tabung Wakaf Am menyelaraskan pembinaan masjid ini sehingga siap.

Tidak lupa juga Beta mengucapkan penghargaan kepada Permodalan Nasional Berhad kerana menunaikan Zakat Perniagaan berjumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh Tujuh Juta (RM27 Juta) kepada Lembaga Zakat Selangor.

Sebagai mengakhiri titah ucapan Beta ini, marilah kita sama-sama memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga kita semua sentiasa mendapat pertolongan dan berada di dalam pemeliharaan serta barakah Allah yang berterusan. Semoga negeri ini terus berada di dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana, huru-hara dan perkara yang tidak diingini.

Maka dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Masjid ini dengan nama MASJID AN NUR, TEMASYA GLENMARIE

Sekian,
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah
Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

PADA 11 Mac 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes membabitkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pendedahan jumlah bayaran berkenaan dibuat selepas persetujuan oleh Jabatan Peguam Negara dan Shafee.

Ketika itu dan sehingga kini, rakyat sudah tertanya-tanya mungkinkah bayaran kepada Shafee sebegitu murah?

Kerana itu, dakwaan terbaru bahawa terdapat transaksi dana RM9.5 juta daripada syarikat SRC International disalur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada akaun peribadinya ke dalam akaun peribadi Shafee sangat menarik perhatian rakyat dan menular dengan mudah.

Sekiranya perkara ini dibiarkan, PAS bimbang tuduhan ini akan menjadi semakin tular dan benar di minda rakyat, kerana penjelasan bahawa Shafee hanya dibayar RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes Anwar sememangnya susah diterima rakyat.

Oleh itu, PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk campurtangan di dalam isu ini demi menjaga nama baik negara kerana PAS percaya PM dan Shafee akan terus membisu terhadap tuduhan yang tular ini.

Perkara ini sangat mudah disiasat kerana ia melibatkan transaksi pada jumlah yang besar iaitu RM9.5 juta antara dua individu. Sekiranya tuduhan itu benar, jawapannya ya, sekiranya tuduhan itu tidak benar, jawapannya tidak.

SPRM boleh berkongsi Kertas Siasatan SPRM ke atas skandal SRC RM42 juta kepada Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk mempercepatkan siasatan.

Sekiranya terdapat transaksi itu, di mana datangnya sumber duit itu dan apakah duit itu telah dibayar cukai?

Selain itu, PAS juga menggesa Peguam Negara membentangkan Kertas Siasatan SPRM ke atas skandal SRC RM42 juta ke dalam akaun PM Najib kepada umum.

PAS yakin dua cadangan di atas pasti dapat membersihkan nama baik PM dan Shafee memandangkan Peguam Negara berkata kertas siasatan itu menunjukkan tiada kes untuk mendakwa PM.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
5 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 5/6/2017

DEWAN Undangan Negeri Kelantan (DUN) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi menentukan keperluan pilihan raya kecil Dun Nenggiri atau sebaliknya.

Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya'kub berkata perbincangan diadakan bagi melihat segenap sudut kemungkinan atau sebaliknya PRK tersebut.

"Ini kerana kebiasaan selepas tiga tahun tarikh pilihan raya umum lepas berlalu, tiada lagi PRK biarpun ada kekosongan berlaku.

"Biar pun semalam ada kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengatakan terpulang kepada Speaker untuk mengadakan PRK di Nenggiri," katanya ketika ditemui di Ketereh, malam tadi.

Sebelum itu beliau menghadiri tadarus al-Quran peringkat parlimen Ketereh di dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Adun Melor, Dr Yusnan Yusof, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat, Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood dan Yang Dipertua Pas Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh.

Khamis lepas Speaker  mengisytiharkan Dun Nenggiri kosong berikutan Adunnya Datuk Mat Yusof Abdul Ghani diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Difahamkan wakil rakyat BN terbabit tidak dapat menjelaskan hutang bank berjumlah jutaan ringgit.

Pengarah SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab sebelum ini dilaporkan berkata PRK tidak semestinya wajib diadakan selepas melebihi tempoh tiga tahun.

Namun katanya apa pun bergantung kepada keputusan Speaker sama ada diadakan PRK atau tidak.

Abdullah juga berkata kerusi Dun Nenggiri tidak lagi diwakili pada persidangan Dun yang dijangka diadakan pada Julai depan. - HARAKAHDAILY 3/6/2017                       

SAYA agak terkejut mendengar berita kematian enam orang pelajar tahfiz dari Madrasah Tahfiz Al-Hashimi, Kg Telekong Kuala Krai akibat kemalangan pagi tadi.

Saya merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa kemalangan sama ada yang telah meninggal dan yang masih lagi dirawat di Hospital.

Saya diberi maklum kesemua mereka dalam perjalanan untuk mengikuti Daurah Al-Quran di Madinah Ramadhan Kota Bharu. Sesungguhnya tidak ada kemuliaan melainkan kemuliaan memertabatkan Al-Quran dalam kehidupan.

Semoga Allah menempatkan mereka semua di Syurga-Nya bersama para syuhada' dan solehin. Mudah-mudahan amalan akhir mereka dalam mempelajari Al-Quran diberi ganjaran yang berlipat ganda khasnya dibulan Ramadhan Al-Mubarak.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
اللهم ارحمهم واسكنهم فسيح جناتك اللهم ابدلهم دارا خيرا من دارهم واهلا خيرا من اهلهم اللهم اغسلهم بالماء والثلج والبرد ونقهم من الخطايا كما ينقى الثوب الابيض من الدنس

USTAZ DATO' AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan – HARAKAHDAILY 2/6/2017TahfizMa

TahfizMa 2

More Articles ...