21
Sun, Jul
19 Artikel Baru

KERAJAAN Zionis Israel sekali lagi menunjukkan sikap biadap dan tidak bertamadun mereka apabila menahan dua tokoh utama Al-Quds dan Masjidil Aqsa semalam. Sheikh Dr Kamal Khateeb adalah Timbalan Pengerusi Gerakan Islam Baitulmaqdis dan Sheikh Dr Najeh Daod Ahmad Bkirat adalah Pengarah Harta Wakaf dan Akademi Warisan Masjidil Aqsa.

Kedua-dua mereka telah mengesahkan kehadiran mereka sebagai peserta kepada Persidangan Meja Bulat MyAQSA yang akan bermula pada hari Jumaat (26 Januari) ini di Putrajaya.

Dilaporkan bahawa tentera zionis Israel telah menyiasat dan menggeledah rumah mereka selama lebih dua jam di Baitulmaqdis semalam. Seterusnya mereka telah dikenakan tahanan rumah selama sebulan. Secara khusus mereka telah dilarang untuk hadir ke Persidangan Meja Bulat MyAQSA kerana bagi Zionis Israel program tersebut adalah satu bentuk ancaman kepada mereka.

norazmanSebagai penganjur kepada Persidangan Meja Bulat MyAQSA sempena Festival MyAQSA yang akan berlangsung di Putrajaya pada 26-28 Januari 2018 ini, kami mengutuk keras dan mengecam kebiadaban dan kezaliman berterusan yang ditunjukkan oleh tentera Zionis Israel ini. Tindakan menghalang delegasi persidangan mejabulat MyAQSA untuk hadir adalah bertentangan dengan hak asasi manusia. Seluruh dunia wajar mengutuk dan mengecam tindakan biadap yang tidak bertamadun ini.

Maka dengan ini kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit menzahirkan bantahan mereka terhadap kezaliman berterusan tentera Zionis Israel ini.

Marilah sama-sama menunjukkan solidariti kita kepada perjuangan pembebasan Baitulmaqdis dengan hadir beramai-ramai ke Himpunan Munajat Aqsaku yang akan berlangsung pada hari Sabtu 27hb Januari di Dataran Putrajaya, Putrajaya.

DR NOORAZMAN MOHD SAMSUDDIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan MyAQSA
24 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 24/1/2018

aqsa

KUALA LUMPUR: Pertukaran atau peralihan kuasa pemerintahan sebuah negara bukanlah suatu yang pelik dan merosakkan rakyat, demikian tegas Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Katanya, Umno-BN takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sudah lama berkuasa dan tidak dapat membayangkan jika kekuasaan mereka tidak lagi dapat diteruskan.
 
Hakikatnya ujar beliau, jika Umno-BN memerintah lebih lama, maka lagi parah kehidupan rakyat dan semakin banyak tanah negara serta hasil bumi akan tergadai kepada orang luar.
 
"Rakyat merempat di bumi sendiri, oleh kerana harga barang keperluan yang semakin mencekik kehidupan. Hak untuk menukar kerajaan adalah dijamin oleh Perlembagaan Malaysia," katanya.
 
Beliau menegaskan, rakyat berhak mendapat kerajaan yang berkebajikan dan menjaga kepentingan semua golongan.
 
Menurutnya, pertukaran kerajaan dan perubahan pemerintahan bagi negara-negara maju adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi.
 
"Bagi rakyat sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang dinamik, kestabilan politik dan keberdayaan ekonomi yang lestari adalah terletak kepada pemimpin yang amanah dan berintegriti tinggi," katanya. 
 
Beliau menyeru rakyat mencari solusi terhadap masalah tekanan kos sara hidup pada masa sekarang ditambah dengan bebanan hutang negara yang semakin meningkat.
 
Justeru katanya, antara solusi boleh dibuat oleh rakyat ialah dengan menukar kepada kerajaan yang dapat diharapkan untuk mengatasi kemelut ini.
 
"Dalam Islam, kepimpinan adalah amanah besar yang dihitung terus oleh Allah S.W.T. Tugas berat pemimpin adalah menunaikan tanggungjawab ini secara sempurna seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan ditunjuk teladan oleh Rasulullah S.A.W, tegasnya. - HARAKAHDAILY 24/1/2018

HARI ini ada orang menuduh PAS sebagai pemecah belah parti pembangkang. Sebelumnya dituduh PAS tungkat Umno, PAS hendak UG dengan Umno, PAS dapat RM90 juta, PAS parti pengacau. Macam-macam lagi tuduhan terhadap PAS yang dihamburkan oleh pemimpin mereka dan ditulis oleh cyber trooper mereka. Itu petanda alamatu kubra pilihan raya sudah dekat. PAS terus mara atas landasan perjuangan.

Semua tuduhan itu PAS anggap sebagai multivitamin untuk terus bekerja dan memperjuangkan Islam dan menyelamatkan negara. Segala tuduhan ini bukan melemahkan PAS. Mereka hendak mematikan perjuangan PAS insya-Allah tidak mampu, selagi PAS tidak meninggalkan dasar Islam. Motivasi ahli PAS ialah perjuangan di dunia untuk bekalan akhirat. PAS berpolitik bekalan untuk mati bukan bekalan untuk hidup semata-mata.

Pelik yang tuduh itu  baru jadi pembangkang. PAS sudah lama melawan BN, dahulunya Perikatan. Memang belum menang di peringkat negara. Kerana PAS tidak mahu gadai prinsip. Kalau hendak menang cepat, tanpa mengira prinsip Islam, sudah lama PAS menang. Kalau PAS hendak cepat menang mudah ja. Setuju dengan pesta arak, setuju dengan LGBT, setuju dengan puak atheis, setuju dengan golongan anti hadis, setuju dengan orang yang hina hukum Islam setuju dengan program maksiat.

Mereka yang baru lawan Umno kerana, temolok sudah penuh, harta negara habis difaraid di kalangan suku sakat.  Sekarang mengamuk fasal tidak cukup dedak. Bukan kerana dasar. Bukan kerana negara dan rakyat. Semua gara-gara hendak perhatian dan hilang kasih sayang. Nanti apabila dipujuk akan berhentilah menangis. Apabila dedak dan nestum diberi oleh Umno, maka berduyun-duyun sertai Umno kembali, kerana nafas tidak panjang. Kesian. – HARAKAHDAILY 24/1/2018

KITA akan menang semua, dapat kerusi gred A, kata PAN selepas dapat kerusi paling sikit”, inilah tajuk laporan portal berita Malaysia Date Line tulisan Arif Atan pada 7 Januari 2018 bila PAN diumumkan hanya diberikan 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada hari itu. Laporan portal berita ini memetik Presiden PAN, Mohamad Sabu, sebagai berkata beliau “yakin akan memenangi kesemua 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada PAN pada Pilihan Raya Umum ke-14  nanti” selain memetik Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, sebagai berkata “kerusi yang PAN dapat adalah kerusi yang berpotensi tinggi boleh menang”.
 
Alih-alih semalam, 23 Januari 2018, portal berita The Malaysian Insight, dalam laporan yang ditulis oleh Zulkifli Sulong, memetik “sumber PAN” sebagai memaklumkan bahawa “mereka hampir selesai mengkaji kesemua 27 kerusi Parlimen yang akan ditandingi PAN” di mana “daripada 27 kerusi yang diperolehi PAN, mereka meletakkan enam kerusi di gred A, 16 di gred B manakala lima kerusi di gred C dan D”.
 
Ke mana perginya kata-kata Presiden PAN dan Pengarah Komunikasi PAN sebelum ini bahawa PAN yakin akan memenangi kesemua 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepadanya kerana kesemua 27 kerusi Parlimen ini adalah “kerusi gred A”?
 
Kenapa sekarang, setelah dua minggu agihan kerusi ini diumumkan, baru disebut bahawa sebenarnya bukan kesemua 27 kerusi Parlimen PAN ini adalah “kerusi gred A”, tetapi hanya enam kerusi sahaja “kerusi gred A” manakala 21 kerusi lagi “kerusi gred B, C dan D”?
 
Inilah bahananya bila lebih lajak dari laju bila bercakap sehingga belum apa-apa lagi pemimpin tertinggi PAN sudah terpaksa menelan kata-kata sendiri pula.
 
Jangan nanti selepas ini bilangan enam kerusi yang dikategorikan sebagai “kerusi gred A” ini juga akan bertukar menjadi “kerusi gred B, C dan D” sudahlah. - HARAKAHDAILY 24/1/2018

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah berulang kali menggesa supaya penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pengharaman mercun/bunga api sejak lebih 20 tahun tetapi malangnya gesaan ini tidak dipedulikan.

Sementara kita berjuang untuk menguatkuasakan undang-undang, lebih daripada 40,000 orang telah menandatangani petisyen menggesa undang-undang baharu untuk mengharamkan penggunaan bunga api oleh orang awam di United Kingdom (UK). Alasan mereka ialah bunga api menyebabkan “cemas, sedih dan bimbang” kepada “ramai orang dan haiwan”.

Pada masa ini, mereka yang melanggar undang-undang bunga api akan dikenakan denda £5,000 (RM27,125) atau penjara enam bulan di bawah undang-undang UK.

Situasinya begitu berbeza dengan Malaysia. Bunyi mercun dan bunga api masih boleh didengar setiap kali musim perayaan walaupun ia telah diharamkan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (EA 1957) sejak berdekad lalu.

Seksyen 4(2) Akta itu menyatakan bahawa “Sesiapa yang mengeluarkan, memiliki atau mengimport sebarang bahan letupan yang melanggar notis yang dikeluarkan di bawah seksyen ini, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun, atau denda sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.”

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya pindaan dibuat ke atas Akta itu untuk memastikan bahawa mereka yang didapati bersalah mengeluar, memiliki atau mengimport bahan letupan dijatuhkan hukuman penjara mandatori dan merampas kenderaan yang ditemui bersama mercun dan bunga api.

Kami menggesa hukuman maksimum dikenakan ke atas pengimport, peruncit dan sesiapa sahaja yang memiliki atau bermain dengan mercun dan bunga api untuk menunjukkan bahawa Polis Diraja Malaysia dan Kastam benar-benar bertindak tegas. Jika tidak hukuman yang dikenakan itu dilihat sebagai tidak berkesan.

Mercun dan bunga api begitu mudah diperoleh di negara ini memandangkan dilaporkan pada 2016 ia diseludup ke negara ini melalui sempadan negara ini dengan “rasuah di pintu masuk rasmi”. Di samping dijual secara runcit, ia juga boleh dipesan melalui aplikasi mesej yang ditularkan.

Pada 2016, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran keras kepada ibu bapa yang ditangkap membeli atau membenarkan anak-anak mereka bermain dengan mercun akan berdepan hukuman penjara tujuh tahun. Kami ingin mengetahui jika hukuman ini dijalankan dan berapa ramai ibu bapa yang menjalani hukuman penjara pada tahun lepas.

Pelanggaran yang berleluasa EA1957 sejak beberapa dekad lepas menggambarkan kelemahan dalam melaksanakan apa yang sudah pun diluluskan oleh Parlimen. Kami tertanya-tanya bilakah mercun dan bunga api yang diharamkan di bawah EA1957 akan dikuatkuasakan dengan serius bukannya dilihat sebagai menggubal undang-undang dengan pelaksanaan yang tidak bersungguh-sungguh. – HARAKAHDAILY 24/1/2018

PELBAGAI dakwaan penyelewengan dan salah laku pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan dijaja oleh Husam penuh mulut merata-riti. 
 
Tapi faktanya, tak ada seorang pun anggota pentadbiran Kerajaan Kelantan yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah sepanjang tempoh 28 tahun. 
 
Bangunan SPRM Negeri Kelantan saya rasa antara yang terbesar berbanding Ibu Pejabat SPRM di beberapa negeri lain. Tersergam tinggi di Jalan Sultan Yahya Petra. Tak munasabah bangunan yang besar begini hanya kosong tak ada kakitangan bekerja. 
 
Dakwaan penyelewengan yang dijaja Husam, itu dinamakan persepsi. Tiada anggota Kerajaan Kelantan yang didakwa rasuah, ini adalah realiti. 
 
Rakyat boleh menilai antara politik persepsi dan realiti. 
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat -  HARAKAHDAILY 24/1/2018

BANDAR TUN RAZAK: Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang digagaskan PAS merupakan solusi ke arah membina Malaysia lebih baik untuk rakyat.
 
Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam menegaskan perkara itu dalam Sembang Teh Tarik anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Kawasan Bandar Tun Razak di Taman Desa Cheras, di sini kelmarin.
 
Perkara tersebut diperjelaskan lagi oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Kamaruzaman Mohamad bahawa budaya baru politik dibawa PAS itu adalah politik berteras prinsip dan bukannya kepentingan peribadi atau individu.
 
PAS tegasnya, bukan hanya pembangkang semata-mata tetapi membawa jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan dihadapi negara dan rakyat menurut kerangka syarak.
 
Oleh itu serunya, rakyat mesti memilih parti yang benar-benar memperjuangkan rakyat dan negara atau parti sekadar menawar janji manis populis untuk meraih undi dan berkepentingan politik peribadi semata-mata. - HARAKAHDAILY 23/1/2018

More Articles ...