MEMANG patut disebut 'anak butir tahik' DAP ini. DAP mempamerkan peranannya mengepalai kempen menolak RUU355 memperkasa mahkamah syariah. Mereka yang paling ke hadapan. Sama ada di dalam Parlimen atau di luar Parlimen.

Habis institusi masyarakat Cina dihasutnya hingga ia menjadi aliran popular di kalangan kaum Cina yang menyusahkan semua parti politik berteraskan masyarakat Cina. Aliran yang dimainkan dengan segala propaganda dalam media berbahasa Cina.

Asalnya perjuangan mahu reformasi negara, hapuskan rasuah, keadilan, bersih, cekap. Itu semua perjuangan PAS juga. Setuju!

Tapi apabila kaum Cina bangkit mahu buat perubahan, disuntik propaganda yang rosak, prejudis kepada Islam, bencikan hak kepentingan orang Melayu yang dijamin perlembagaan, mempertikai bidang kuasa Raja Raja Melayu.

Ia aliran yang tidak sihat mendorong hubungan kurang harmoni antara kaum dan agama. Angkara DAP.

Dari segi yang lain, DAP bertanggungjawab mencetus kesedaran baru di kalangan orang Islam bahawa negara ini Agama Persekutuannya Islam, YDP Agongnya Ketua Negara dan Ketua agama Islam, Sultan di negeri-negeri Ketua bagi Agama Islam, Rukun Negara meletakkan Ketuhanan (Kepercayaan Kepada Tuhan) di kedudukan pertama.

Ia menimbulkan self realization (kesedaran diri) majoriti umat Islam bahawa negara ini 64 peratus rakyatnya beragama Islam, manakala kaum Cina cuma sekitar 20 peratus pelbagai agama.

Kita sangat tahu umumnya kaum Cina melalui persatuan persatuan-persatuan kaum yang sangat berpengaruh sangat menghargai kepentingan hubungan yang harmoni dan hidup aman damai supaya makmur, boleh berniaga dan kaya serta hidup sejahtera dan gembira.

Tiba masa menolak politik kerosakan yang dibawa DAP.

Tiba masa umat Islam beri isyarat tsunami Islam. Tolak yang tunduk kepada kemahuan DAP.

Tanah air ini bukan DAP yang punya. Ia akan dipertahankan sebagai tanah tumpah darah kesemua rakyat Malaysia yang faham benar sejarah negara ini.

AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
13hb April 2017 – HARAKAHDAILY 13/4/2017

SELURUH Rakyat Malaysia tahu dendangan fitnah UG yang sudah hampir mencecah sedekad terhadap PAS. Ada yang terjun dari Bahtera PAS ke dalam lautan luas yang dipenuhi jerung kerana racun bayangan fatamorgana UG PAS-Umno ini.

Hari ini, racun bayangan fatamorgana ini sudahpun merebak luas ke dalam salur darah segelintir pemimpin rakan tahaluf siyasi PAS sehingga ada yang hilang kawalan dan sanggup menyerang Nakhoda dan Bahtera PAS dengan pelbagai rekayasa bahawa PAS sedang bersandiwara dan berdrama dengan musuh politiknya Umno.

Tidak disangka-sangka, selepas fitnah 90 mukasurat terhadap Tan Sri Khalid, PAS pula difitnah dengan tuduhan menerima dedak 90 juta dari Umno. Dedak yang kononnya dari dana 1MDB, yang kononnya digunapakai oleh Umno untuk menundukkan pemimpin PAS Pusat khususnya Nakhoda Bahtera agar sedia bersandiwara dan berdrama dengan Umno melalui pindaan ke atas Akta 355 tempohari.

Kepada mereka yang kecewa selepas RUU 355 berjaya dibentang Tuan Guru Presiden PAS tempohari sehingga tiba-tiba mahu mendedahkan rekayasa 90 juta itu, PAS sangat-sangat meraikan pendedahan itu.

Sebagai sebuah parti politik dan jemaah Islam yang komited dalam memerangi rasuah 25 jam sehari, PAS berharap pendedahan yang dijanjikan pada hari ini dapat merangkumi 4 aspek di bawah, antaranya ialah:

1. Pendedahan nama 2 pihak yang dituduh.

2. Bukti transaksi aliran dana di antara penyumbang dana 1MDB itu termasuk transaksi aliran dana di antara 2 individu itu.

3. Bukti dana 90 juta itu betul-betul dari dana 1MDB.

4. Bukti dana 90 juta dari 1MDB itu telah mempengaruhi keputusan pemimpin PAS Pusat berkenaan RUU355. Kerana tuduhan pemimpin yang berkenaan melalui dedak 90 juta itu dibuat atas rasa tidak puas hatinya beliau terhadap sesi pembentangan RUU355 tempohari.

Empat aspek inilah yang wajib dibentang pemimpin yang berkenaan tengahari ini. Buktikan bahawa beliau dan rakan-rakan beliau tidak diracuni bayangan fatamorgana UG PAS- Umno yang pernah menjangkiti bekas kelasi bahtera PAS satu ketika dahulu. – HARAKAHDAILY 13/4/2017

DESAKAN oleh beberapa pihak mahu memperkenalkan pendidikan seks disekolah harus diteliti dengan halusi.

Rasional pendidikan seks dalam sistem pendidikan nasional  kerana meningkatnya pelbagai kes sumbang mahram dan juga penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak, tidak harus menyebabkan pendidikan seks diperkenal dengan cara dan pendekatan yang tidak sesuai dengan agama.

Pendidikan Islam yang berteraskan kepada hukum dan panduan pergaulan serta hubungan antara lelaki dan wanita dalam Islam, termasuk hukum mahram dalam sistem kekeluargaan Islam, sepatutnya menjadi teras kepada pendidikan berkaitan dengan isu tesebut.

Kami tidak percaya bahawa cara pendidikan sekular barat yang sangat liberal dalam hal gaya hidup seks akan berkesan dalam membendung gejala salah laku seks dalam masyarakat terutama dikalangan generasi muda.

Pendidikan liberal Barat berorientasikan kebebasan yang lebih menekankan "seks selamat" (safe sex) bukan hubungan yang berdasarkan hukum agama yang menjaga adab dan hubungan yang sah mengikut syariat Islam.

Dengan hanya memberi fokus kepada soal hubungan yang selamat dari sudut fizikal tidak akan mengekang budaya hidup seks liar sebagai suatu gejala yang semakin merebak dalam masyarakat.

Meningkatnya kes buang anak dan salah laku seks harus dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh. Sistem sosial, kehilangan nilai moral, pengaruh media sosial, pornografi dan budaya hidup liar adalah penyumbang kepada gejala berkaitan. Ia bukan hanya berkaitan kerana tidak ada pendidikan seks atau undang-undang yang lebih tegas.

Kurikulum kini Pendidikan Reproduktif dan Sains Kesihatan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 1989 untuk sekolah menengah dan 1994 untuk sekolah rendah perlu diperkukuhkan dengan menekankan soal hukum agama.

Budaya hidup masa kini yang mendedahkan kanak-kanak kepada jenayah seks berlaku dalam pergaulan tanpa kawalan bukan sahaja oleh ibu bapa malah masyarakat keseluruhannya.

Pemikiran dan gaya hidup liberal yang semakin menguasai masyarakat menambah lagi kecenderungan kanak-kanak diperangkap menjadi mangsa kepada pelbagai gejala dan jenayah seks.

Mapim mengesa pihak kerajaan menggujudkan panel penggubal pendidikan sosial dan kesihatan bersama pakar pendidikan Islam supaya pendekatan sepadu antara ilmu pengetahuan sains kesihatan dan nilai serta hukum agama dapat diterapkan dikalangan kanak-kanak dan anak remaja dibangku sekolah lagi.

Kami juga percaya bahawa pendidikan kepada ibu bapa untuk menangani gejala jenayah seks yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa, perlu dilaksanakan secara konsisten.

Kami percaya jika pendidikan Islam disepadukan dengan pendidikan sosial dan kesihatan,  isu gejala salah laku seks ke atas kanak-kanak ini dapat diatasi dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 12/4/2017

GEGAK-gempita jadinya penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyebut dalam nada yang agak keras di dalam ucapan beliau di Rusila, Marang, pada 10 April 2017 mengenai kedudukan DAP sebagai pewaris perjuangan PAP.

Bagaimanapun, bagi mereka yang betul-betul mengkaji dan memahami sejarah politik Malaysia sejak tahun 1960-an, termasuk detik waktu Singapura menyertai Malaysia dari 16 September 1963 ke 9 Ogos 1965, ucapan ini tidak mengandungi sebarang kontroversi kerana ia adalah satu hakikat.

Ayat “The DAP is committed to the struggle for a free, democratic socialist Malaysian Malaysia” dan ayat “DAP adalah komited kepada perjuangan untuk sebuah negara Malaysia untuk rakyat Malaysia yang bebas dan demokratik sosial” jelas terpampang di dalam laman web rasmi DAP.

Perjuangan Malaysian Malaysia bermula dari inisiatif PAP mengumpulkan empat parti lain, iaitu United Democratic Party (UDP) dan People’s Progressive Party (PPP) dari Semenanjung Malaysia serta Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Machinda dari Sarawak pada 9 Mei 1965.

Para pemimpin keempat-empat parti ini, dengan diketuai oleh PAP, di dalam perjumpaan mereka di Sri Temasek, Singapura, telah mengeluarkan deklarasi bersama atas nama Malaysian Solidarity Convention (MSC) bagi meminta sokongan rakyat ke atas perjuangan Malaysian Malaysia.

Peri pentingnya konsep Malaysian Malaysia kepada perjuangan PAP dan empat parti rakannya ini boleh dilihat melalui sebutan “Malaysian Malaysia” sebanyak 15 kali di dalam deklarasi bersama yang menyeru rakyat menghadiri konvensyen di Teater Nasional, Singapura, pada 6 Jun 1965.

Terang deklarasi bersama ini, “A Malaysian Malaysia means that the nation and the state is not identified with the supremacy, well-being and the interests of any one particular community or race”, yang membawa makna bahawa tiada kaum mempunyai kelebihan berbanding kaum lain.

Di dalam pengenalannya, deklarasi bersama ini menyebut betapa kesedaran untuk menghasilkannya wujud ekoran kesedaran para pemimpin keempat-empat parti ini mengenai ancaman pihak luar kepada Malaysia dan petanda masalah ekoran pertelingkahan dalaman.

Kebetulannya, Yang di-Pertuan Agong di dalam titah ucapan sewaktu merasmikan pembukaan sidang Parlimen pada 26 Mei 1965, turut menyebut mengenai ancaman pihak luar kepada Malaysia di samping “ancaman dari dalam negeri” yang bertujuan hendak menimbulkan kekacauan.

Lee Kuan Yew, yang seolah-olah termakan cili, sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada 27 Mei 1965, mempersoalkan kewajaran Baginda memperkatakan mengenai “ancaman dari dalam negeri” tanpa menyebut identiti sebenar pihak yang menjadi ancaman ini.

Sambil mempertahankan diri beliau dan pemimpin MSC lain dari serangan yang dibuat di dalam media massa ke atas konsep Malaysian Malaysia, Lee Kuan Yew mempertegaskan sambil menjelaskan dengan panjang lebar konsep ini di dalam ucapan beliau di Parlimen pada hari itu.

Lee Kuan Yew juga mengemukakan cadangan supaya usul terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dipinda dengan menambah ungkapan lain, iaitu menyesali bahawa titah ucapan Baginda tidak meyakinkan negara bahawa Malaysia akan membangun ke arah Malaysian Malaysia.

Setelah berbahas panjang, termasuk mendengar penjelasan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, usul Lee Kuan Yew ditolak setelah ia hanya mendapat sokongan 14 Ahli Parlimen berbanding bangkangan 108 Ahli Parlimen lain dalam pengundian yang dibuat pada 3 Jun 1965.

Dalam pada itu, Lee Kuan Yew, dalam satu lagi ucapannya di Singapura pada 30 Mei 1965, sekali lagi menekankan betapa Singapura tidak pernah bersetuju dengan pemerintahan Melayu apabila ia menyertai Malaysia sambil menegaskan cakap-cakap mengenainya adalah cakap-cakap bodoh.

Beliau juga menyebut betapa isu Malaysian Malaysia perlu diputuskan sekarang, tanpa perlu menunggu lima atau 10 tahun lagi, kerana jika mereka tidak mahu maka ia akan menjadikannya lebih mudah untuk pihak yang mahukannya membuat rancangan-rancangan alternatif lain.

Kata beliau, salah satu rancangan ini adalah untuk menggabungkan semua negeri yang bersetuju dengan konsep Malaysian Malaysia, di mana beliau menyebut tiga negeri, iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak, sambil menambah Melaka dan Pulau Pinang sebagai mungkin turut berminat.

Seterusnya, di dalam konvensyen MSC pada 6 Jun 1965, Lee Kuan Yew telah memberi ucapan yang berapi-api dengan di antara lainnya mengingatkan mereka mengenai slogan yang beliau berikan dan yang mereka setujui, iaitu Malaysian Malaysia, dan betapa mereka akan menang.

Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah di sebaliknya, di mana Singapura akhirnya terkeluar dari Malaysia setelah Parlimen meluluskan “The Constitution And Malaysia (Singapore Amendment) Bill” yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tengku Abdul Rahman Putra, pada 9 Ogos 1965.

Apa yang berlaku selepas itu tercatat kemas di dalam lipatan sejarah, di antaranya ialah di dalam Laporan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dibentangkan oleh Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin, kepada Persidangan Kebangsaan pertama DAP di Setapak pada 17 Mac 1968.

Di dalam laporan ini, Dr Chen Man Hin, yang sekarang merupakan Penasihat Seumur Hidup DAP, menyebut mengenai bagaimana tenaga Malaysian Malaysia tidak mati apabila Singapura terkeluar, di mana peranan dimainkan PAP terus diambil-alih oleh satu PAP yang berasaskan Malaysia.

Kata Dr Chen Man Hin, PAP Malaysia ini dibatalkan pendaftarannya pada 9 September 1965 menyebabkan para pemimpinnya mendaftarkan sebuah parti baru bernama DAP yang diluluskan pendaftarannya pada 19 Mac 1966, maka bermulalah perjuangan Malaysian Malaysia DAP. – HARAKAHDAILY 12/4/2017

SUDAH banyak kali rasanya kenyataan Tuan Guru Presiden PAS berkenaan sikap PAS yang menolak Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Yang terbaru adalah perumpamaan dua ekor biawak iaitu salah satu darinya jauh lebih banyak penyakitnya kerana dijadikan 'pusat pengumpulan sampah' dari Umno dan PAS.

Tetapi Rafizi PKR sehingga ke saat ini masih tetap dengan sangkaan buruknya dalam soal Kerajaan Perpaduan PAS-Umno. Rakyat boleh saksikan sendiri kenyataan fitnahnya berkenaan drama dan sandiwara yang kononnya sedang berlaku di antara PAS dan Umno, di antara Najib dan Tuan Guru Presiden PAS ketika sesi pembentangan RUU 355 tempohari, walaupun kerjasama yang terjalin hanya berlaku di atas isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam semata-mata.

Kenapa Rafizi masih meragui Tuan Guru Presiden PAS? Malah mahu dihubungkaitkan dengan satu sumbangan dana RM90 juta 1MDB yang kononnya disalurkan daripada Umno kepada PAS.

Yang menjadi humornya adalah sikap terus percayanya dia ke atas posting provokasi Pesuruhjaya PAS Perak berkenaan komposisi kerusi dalam sebuah Kerajaan yang dipanggil Kerajaan Islam Nusantara tetapi sukar untuk menelan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS yang berulang kali menolak cadangan Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Sudah lupakah Rafizi bahawa Kerajaan Perpaduan dengan mana-mana parti tidak boleh berlaku tanpa restu perwakilan PAS, majlis syura serta ajk PAS pusat. Lebih-lebih lagi apabila MSU meletakkan tiga prinsip asas dalam mana-mana jalinan kerjasama dengan pihak ketiga iaitu Islam Memimpin, Islam Untung serta jalinan kerjasama atas dasar Islam semata-mata. Dan Umno tidak terkecuali dari keperluan untuk memenuhi syarat tahaluf siyasi itu.

Yang menariknya, Rafizi juga dilihat seolah-olah tidak suka dengan jalinan kerjasama yang berlaku di antara umat Islam walaupun berbeza fahaman politik. Walaupun kuasa politik Islam semakin jatuh merudum selepas PRU Ke-13 tempohari. Membuka ruang kepada golongan sekular, liberal dan plural untuk lebih berani mengkritik masyarakat Islam dan amalannya, beliau dilihat seolah-olah rela untuk terus bersengkongkol dengan DAP tanpa menghiraukan kesan buruk terhadap kedudukan kuasa politik Islam di negara ini.

Islam perlu dominan kerana Islam adalah penyelamat kepada seluruh alam. Adakah Rafizi tidak suka Islam jadi penyelamat kepada negara dan rakyatnya?

Semoga beliau berfikir dan bertaubat. – HARAKAHDAILY 12/4/2017

MAPIM kesal terhadap editor akhbar Nanyang Siang Pau yang telah menunjukkan sikap yang sangat tidak beretika dan memprovokasi kemarahan masyarakat Islam terhadap isu sokongan kepada pindaan RUU 355.

Dalam perbahasan yang hangat terhadap isu RUU 355, sebarang kenyataan atau komentar serta siaran yang cuba menunjukkan sikap yang menyentuh sensitiviti dan kerukunan beragama, sepatutnya dielakkan.

Adalah amat tidak bijak apabila sikap tidak bersetuju kepada sesuatu isu ditunjukkan dengan cara menghina dan mempersenda institusi Parlimen. Walaupun tidak bersetuju dan mahu menunjukkan protes, media di Malaysia tidak harus meniru cara Barat yang menganggap memperolok-olokkan institusi, individu, agama atau kaum adalah suatu kebebasan media yang mutlak.

Akbar Nanyang sepatutnya sudah cukup matang mengamalkan kewartawanan yang beradab. Nilai dan sikap masyarakat timur yang sepatutnya berteraskan adab dan menjaga maruah pihak lain terutama dalam dunia media semestinya dipelihara dengan baik.

Kami tidak boleh menerima sama sekali kewartawanan yang biadab dan tidak menghormati perbahasan yang matang dan beradab. Apakah pihak editor Nanyang tidak memahami sensitiviti masyarakat beragama di negara ini? Apakah kebebasan mutlak yang menghina individu dan institusi boleh diterima dalam negara yang berbilang agama dan kaum seperti di Malaysia?

Editor akhbar Nanyang harus ingat, negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama yang sangat beragam ini dapat bertahan sebagai sebuah negara yang berdaulat apabila semangat menghormati sesama agama dan kaum masih dapat dikekalkan.

Dengan etika kewartawanan yang tidak matang dan kebudak-budakkan ini, boleh sahaja merungkaikan benteng keharmonian yang begitu lama dipupuk. Apabila hal ini tidak dihargai akhbar Nanyang harus menilai semula sama ada kehadhirannya di negara ini releven atau sebaliknya.

Perbahasan pindaan RUU 355 telah diangkat pada tahap yang sangat sensitif bukan sahaja antara parti politik malah antara agama dan kaum. Dengan sengaja memaparkan ilustrasi kartun yang menghina Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ia tidak membantu sama sekali untuk rakyat memberi fokus kepada hujah yang "factual" dan berdasarkan ketepatan maklumat yang benar.

Pendekatan Nanyang mempersenda dan menghina secara sengaja, jelas bertujuan memprovokasi kemarahan dan perselisihan bukan sahaja antara penganut agama dan bangsa di negara ini.

Kami menegaskan bahawa jika tindakan tidak diambil terhadap Nanyang berdasarkan Akta Hasutan dan undang-undang penerbitan yang lain, maka pihak berkuasa akan dilihat lemah dan tidak berwibawa. – HARAKAHDAILY 12/4/2017

PULUHAN tahun sudah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjadikan sebuah perkampungan nelayan di tepi Pantai Marang, Terengganu sebagai medan ilmu yang meriah setiap pagi Jumaat.

Malah tak keterlaluan untuk saya katakan bahawa Kuliah Pagi Jumaat di Masjid Rusila adalah Kuliah Pagi Jumaat yang paling berjaya dan paling lama bertahan secara istiqamah di Malaysia.

Pekarangan Masjid Rusila akan berubah menjadi seperti pekan sehari bersaiz besar setiap pagi Jumaat.

Jam 9.00 pagi, Tok Guru akan setia menuruni tangga kayu rumahnya menuju ke Masjid Rusila demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ulama pemimpin ummah.

Rutin ini bermula dari pertengahan tahun 70-an lagi ketika sebahagian besar yang mencerca dan menghina Tok Guru sekarang belum lahir ke dunia.

Saya mula berkesempatan menumpang khazanah ilmu Tok Guru di Masjid Rusila pada akhir 80-an dan 90-an. Sungguh saya rasa sangat bertuah.

Pada tahun 1990, usai kuliah pagi Jumaat suatu hari, saya memberanikan diri memijak anak tangga rumah kayu Tok Guru untuk menziarahi seorang tokoh yang sangat saya kagumi ini.

Ternyata Tok Guru yang tegas di pentas ceramah adalah seorang yang sangat pengasih dan lemah lembut tutur katanya. Tok Guru sendiri yang hidangkan air dan bawa buah rambutan kepada saya walau ketika itu saya hanyalah seorang pelajar tingkatan 5.

Pelbagai kitab ilmu Tok Guru ajar. Dari kitab Mustika Hadis, Aqidah Muslimin, Sirah dan Tafsir. Tafsir al-Quran dah 2 kali khatam Tok Guru mengajar kuliah setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila. Dari zaman tali kaset sehingga zaman CD sampai terkini zaman siaran langsung guna fb.

Betapa luasnya lautan ilmu yang telah Tok Guru curahkan kepada khalayak yang ingin mengambil manfaat. Tapi akhirnya dari sebegitu banyak ilmu dan hikmah yang Tok Guru lantunkan melalui corong pembesar suara Masjid Rusila, kalimah 'tahik' juga yang kamu minat.

Benarlah kata pujangga, seekor lalat yang pergi ke sebuah taman bunga yang indah penuh dengan bunga-bungaan tetap akan mencari najis, sampah sarap atau bangkai untuk ia hinggap. Tetapi seekor lebah akan tetap mencari sekuntum bunga untuk disinggahi dan dihisap madunya walau persekitarannya bukan taman yang indah. - HARAKAHDAILY 12/4/2017

More Articles ...