19
Fri, Jul
25 Artikel Baru

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia tertarik dengan kempen yang tular di media sosial, terutama di kalangan anak-anak muda yang menggunakan hashtag 'UndiRosak' kerana tidak berpuas hati dengan tawaran yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia sekiranya PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sesungguhnya kami di IKATAN dan PAS menerusi Gagasan Sejahtera amat faham dengan manifestasi kekecewaan golongan muda yang memulakan kempen ini apabila Malaysia yang kita sayangi ini akan kembali ke zaman pemerintahan kuku besi Tun Dr Mahathir sekiranya PH menang pilihan raya nanti.

Atas dasar itulah, Gagasan Sejahtera membuka satu lembaran baru dalam dunia politik negara, di mana anak-anak muda tidak terikat untuk memilih PH atau BN.

Gagasan Sejahtera merupakan wadah baru untuk anak-anak muda untuk memilih IKATAN, sebuah parti yang membawa aspirasi bangsa Malaysia, bekerjasama dengan parti PAS, sebuah parti dominan di Malaysia yang membawa konsep Islam mensejahterakan umat manusia, tanpa mengira agama dan bangsa.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyokong kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menghuraikan bahawa Islam meletakkan politik sebahagian daripada agama dan adalah menjadi kewajipan umatnya mengundi.

Undi kalian adalah tanggungjawab seorang rakyat untuk menghidupkan proses demokrasi di Malaysia. Setiap undi dari anak-anak muda ini amat bernilai harganya.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru dan menggesa anak-anak muda yang kecewa dengan senario politik hari ini untuk bersama-sama kami di IKATAN dan mengundi calon-calon Gagasan Sejahtera pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Ayuh bersama kami! Undi Gagasan
Sekian.

Shahir Adnan adalah Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera merangkap Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia

HARAKAHDAILY 30/1/2018

KUALA LUMPUR: Ucapan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak di Kelantan semasa lawatan seharinya ke negeri itu kelmarin merupakan catatan sejarah yang memalukan, demikian ditegaskan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari hari ini.

Dakwaannya bahawa Kelantan tidak akan dapat membayar gaji kakitangannya tanpa bantuan Kerajaan Pusat menunjukkan Najib gagal memahami konsep federalisme yang telah termaktub di dalam Perlembagaan.

"Ia bagaikan seakan mengulangi cerita '7 Janji' yang dilontarkan beliau juga di Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

"Adalah perlu untuk difahami bahawa kerajaan negeri dan pusat mempunyai bidang kuasa masing masing mengikut jadualnya yang tersendiri.

"Kerajaan Pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri," kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 30/1/2018

(Ikuti kritikan ditujahkan beliau yang disiarkan penuh dalam Harakah cetak Bil.2320 edisi Jumaat ini nanti)

KEPUTUSAN panel Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandi yang dikeluarkan pada hari ini amat menyedihkan. Mereka meminggirkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang terdahulu dalam kes Subashini lwn Sarawanan. Hasilnya pemelukan Agama Islam anak-anak yang masing-masing sekarang berumur 20, 19 dan 8 tahun oleh si bapa yang memeluk Islam telah dibatalkan oleh mahkamah tertinggi negara ini.
 
Saya percaya keputusan tersebut tidak memberi kesan kepada anak yang sudah dewasa. Pilihan sekarang di tangan mereka sama ada mahu kekal atau tukar. Anak yang berumur 8 tahun sekarang apa agamanya?
 
Implikasi keputusan tersebut juga menyebabkan pada hadapan kita terdapat dua versi interpretasi terhadap Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama bagi anak di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya. 
 
Bermaksud apabila mana di hadapkan dengan kes-kes yang sama, hakim-hakim dalam negara ini bebas mengikut mana-mana versi tersebut sehinggalah apabila mana kerajaan memuktamadkan versi yang dipilih oleh kerajaan ke dalam akta. Sehingga ke hari ini kerajaan belum memuktamadkannya. Cubaan terakhir adalah pada cadangan terhadap Akta 164 yang telah ditarik balik semasa sidang Parlimen yang lepas.
 
Mengikut laporan media Kerajaan Barisan Nasional sedia memasukkan peruntukan tersebut ke dalam Akta 164. Iaitu selepas mereka memenangi semula pilihanraya ke-14. Sedangkan mereka tahu majoriti umat Islam tidak bersetuju dengan cadangan yang bercanggah dengan pandangan jumhur ulama itu.
 
Justeru tidak ada pilihan lain kecuali kita meramaikan Ahli Parlimen PAS yang sentiasa konsisten dalam isu tersebut. Ahli Parlimen PAS telah berbahas secara terbuka di Parlimen berhadapan dengan semua yang menentang biar pun tinggal beberapa belas ahli Parlimen sahaja di dalam Parlimen.
 
Tentu sahaja dapat dibayang, apabila Ahli Parlimen PAS menguasai majoriti. Tentu sahaja kerajaan dapat memuktamadkan undang-undang yang selaras dengan kehendak agama.
 
Tidak dapat tidak, umat Islam perlu bersatu dalam menunjukkan kesatuan dalam menolak kemunculan semula seksyen 88A dengan mengundi ahli Parlimen yang berfikir mengikut kaca mata Islam.
 
NIK BAHRUM NIK ABDULLAH
Pengerusi 
Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
PAS Negeri Kelantan
HARAKAH 29/01/2018

KES Indera Gandhi a/p Mutho lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan dua lagi, yang diputuskan hari ini, adalah satu lagi episod pertembungan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Penjelasan panjang Mahkamah Persekutuan berkait dengan kesan Perkara 121(1A) menggambarkan betapa konflik yang berlaku adalah satu perkara yang besar, bukan sekadar isu perebutan anak dan seumpamanya.

Saya melihat bahawa keputusan dalam kes ini belum mampu memadamkan konflik yang berlaku, bahkan mungkin akan menambahkan kekusutan kepada masalah yang sedia ada.

Misalnya, pendirian mahkamah yang mengambil tafsiran yang sempit dalam menjelaskan peranan Mahkamah Syariah adalah satu yang ganjil.

Konsep struktur asas Perlembagaan sepatutnya dilihat secara lebih luas dengan mengambilkira aspek sejarah dan unsur tradisi negara. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman, bahkan ia adalah sebahagian dari institusi kehakiman itu sendiri.

Jika ia ditafsirkan sebagai berada di luar institusi kehakiman dan pada kedudukan lebih rendah, maka secara tidak langsung ia adalah satu bentuk diskriminasi terhadap orang Islam yang tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Namun, saya percaya perbahasan ini akan berlanjutan dalam tempoh yang lama. Penyelesaian terbaik ialah dengan menggerakkan usaha untuk mengharmonikan kedua-dua institusi mahkamah ini dengan tersusun dan berperingkat.

Masalah konflik bidang kuasa ini akan reda jika kita mencantumkan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah menjadi satu institusi yang tunggal dengan menjadikan prinsip Islam sebagai rujukan yang utama.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah Undang-undang UTM KL
-HARAKAHDAILY 29/1/2018

KUALA NERUS: PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan fitnah bahawa parti itu akan bergabung dengan Umno-BN sebagaimana yang dilemparkan oleh musuh.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata sikap lunak PAS terhadap Umno itu merupakan satu strategi yang menguntungkan partinya.

Katanya, berdasarkan perkembangan politik semasa PAS telah membawa Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dalam masyarakat.

"PAS tidak akan bergabung dengan Umno, tetapi PAS telah mengubah strategi politiknya daripada suatu ketika dahulu kita (PAS) tegang dengan Umno dan pada hari ini kita lunak dengan ahli-ahli Umno untuk tarik dia.

"Sebab ramai di kalangan orang Umno sendiri yang kecewa dengan Dato Seri Najib (Perdana Menteri) dan kecewa dengan parti Umno," tegasnya.-HARAKAHDAILY 30/1/2018

(Ikuti penerangan lanjut beliau dalam Harakah cetak Bil.2320 edisi Jumaat ini nanti)

"NEGERI defisit macam Kelantan ini pun, kalau tidak ada suntikan daripada Kerajaan Pusat nak bayar gaji pun tak mampu, tak boleh nak bayar gaji," begitulah bunyi ucapan Perdana Menteri di hadapan penjawat awam di Wisma Persekutuan Kota Bharu ketika Dato' Seri Najib melakukan lawatan ke Kelantan kelmarin.

Ucapan seorang pemimpin negara bernada penghinaan kepada kerajaan dan rakyat Kelantan. Mungkin PM terlupa, Malaysia negara yang beliau duduk di kerusi PM termasuklah di dalamnya sebuah negeri negeri bernama Kelantan. 

Betapa banyak yang Kerajaan Pusat kaut hasil dari bumi Kelantan termasuk khazanah gas asli. Saya tahu sebab saya pernah pergi kuliah di Pelantar Muda, sebuah pelantar carigali gas yang terletak dalam perairan Kelantan dengan jarak 170km dari pantai Kelantan. Royalti kepada Kelantan, Kerajaan Pusat tak bayar walau sesen pun! 

Dengan 47 kali sehari kapal terbang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Kota Bharu, saya yakin cukai lapangan terbang yang dikutip adalah yang tertinggi berbanding semua lapangan terbang domestik seluruh negara. Di Kelantan kereta penuh jalan raya. Setakat ini Kerajaan Kelantan tak ada kuasa kutip cukai jalan dan bayaran lesen. Yang kutip rasanya Kerajaan Pusat.

Orang Kelantan suka berniaga. Saya tak ada data berapa banyak GST yang dikutip dari Kelantan. Tapi saya pasti jumlahnya melebihi GST yang dikutip dari Terengganu. Belum lagi dikira cukai pendapatan yang dibayar oleh rakyat Kelantan sama ada yang bekerja di Kelantan atau yang berada di luar Kelantan. Ramai pegawai tinggi kerajaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah orang Kelantan.

Lihatlah di Kelantan tersergam AEON, TESCO, Mydin, KB Mall, The Store, Pantai Timur serta deretan hotel berbintang. Semuanya bayar cukai kepada kerajaan pusat. Hasil gas, cukai lapangan terbang, cukai pendapatan, cukai jalan, bayaran lesen serta banyak lagi Kerajaan Pusat kaut dari Kelantan. Buruk siku Najib mari ungkit balik bila Kerajaan Pusat ada bagi dana kepada negeri.

Rakyat Kelantan rasa terhina dengan ucapan Najib sambil ketawa kecil ini. Najib silap dalam memahami jati diri orang Kelantan. Rakyat Kelantan sangat anti dengan pemimpin yang angkuh dan bercakap besar. Umno Kelantan akan terima tempias dalam PRU 14 hasil dari ucapan Najib ini. Tunggulah...

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
-HARAKAHDAILY 29/1/2018

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini amatlah menyedihkan kerana ia menyediakan ‘precedent’ yang anih dalam isu ini di mana Mahkamah Persekutuan meminggirkan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu di dalam kes Subahsini mlwn Saravanan. Walaupun memang terjadi Mahkamah Persekutuan tidak mengikut prinsip mahkamah yang sama sebelum ini kerana ia tidak mengikat tetapi di dalam kes kepentingan awam seperti ini seharusnya mahkamah konsisten dengan keputusan mereka.

Walau apapun sebagai seorang warganegara kita perlu menerima keputusan ini kerana ia dibuat oleh mahkamah yang kompeten. Masyarakat Islam perlu menunggu kes yang lain untuk berhujah semula bagi mengenepikan penghakiman ini.

Saya mendesak semua kerajaan negeri agar meminda undang-undang tubuh masing masing dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh sebagaimana yang terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Trengganu. Dengan cara itu mahkamah syariah akan dilihat sama taraf (at par) dengan mahkamah sivil. Saya juga mendesak semua undang-undang yang menghadkan mahkamah syariah hanya terhad kepada orang Islam sahaja dipinda dengan memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam hadir sebagai pihak di mahkamah syariah. Dengan cara ini orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di mahkamah syariah.

Begitu juga semua undang-undang mengenai pemelukan Islam perlu dikaji semula khususnya tatacara pemelukan Islam bagi kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak boleh bertutur lagi umpamanya tidaklah perlu mengucapkan syahadah bagi pemelukan Islam, cukuplah sekadar ibubapanya beragama Islam.

Saya juga khuatir penghakiman ini akan dijadikan alasan oleh pihak Kerajaan untuk memperkenalkan semula pindaan seksyen 88A kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang telah ditolak oleh umat Islam arusperdana. Umat Islam perlu menunjukkan kesatuan bagi menolak sebarang usaha memperkenalkan semula seksyen 88A tersebut.


DATO' HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

HARAKAHDAILY 29/1/2018

More Articles ...