SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan dan pemusnahan hutan dalam usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di negeri ini.
 
Tumpuan utama yang perlu diberikan ialah punca kawasan tadahan air yang terancam akibat aktiviti tersebut. Kalau beri tong kepada pengguna atau menukar paip lama kepada yang baru pun tidak ada gunanya jika paip akan terus kering kerana sumber air iaitu hutan di negeri ini terus dimusnahkan.
 
SAM kesal kerana kerajaan Kedah masih tidak memberi perhatian serius berhubung isu pembalakan dan aktiviti pemusnahan hutan di negeri ini sehingga masalah bekalan air semakin meruncing dihadapi para pengguna.
 
Tinjauan SAM mendapati selain masalah bekalan air paip yang berlaku di kebanyakan daerah di negeri ini, sumber air semulajadi dari sungai-sungai dan bukit bukau juga telah tercemar dengan serius akibat aktiviti pembalakan dan kerja-kerja mengorek pasir yang tidak terkawal.
 
Paras air di dua empangan utama iaitu Pedu dan Muda amat membimbangkan kerana hutan di kawasan Ulu Muda yang menjadi tempat tadahan air telah terancam akibat aktiviti pembalakan.
 
SAM menganggarkan majoriti daripada pengguna air yang menghadapi masalah ini terdiri dari mereka yang tinggal di luar bandar manakala yang lainnya adalah penghuni taman perumahan dan rumah pangsa di kawasan bandar.
 
Daerah yang paling teruk mengalami masalah bekalan air di negeri ini ialah Padang Terap, Pendang, Kubang Pasu, Kulim, Baling, Sik, Pokok Sena dan Kuala Muda. Turut terjejas akibat masalah kekurangan bekalan air di negeri ini ialah para pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan luar MADA.
 
Sehubungan itu SAM berharap kerajaan Kedah merancang dan mengambil tindakan lebih berkesan untuk jangka masa panjang bukan sekadar langkah sementara bagaikan melepas batuk di tangga di mana masalah ini berulang lagi pada masa depan.
 
SAM bimbang dan percaya jika punca masalah tersebut gagal ditangani oleh kerajaan Kedah, dua tiga tahun mendatang negeri jelapang padi ini akan ketandusan sumber sekaligus memberi kesan yang lebih buruk ke atas kehidupan seluruh rakyatnya. – HARAKAHDAILY 15/6/2017

Balak Kedah 2

PORN Star IG sudahpun diklasifikasikan sebagai ancaman terkini teknologi laman sosial terhadap kesihatan sosial anak-anak remaja kita, khususnya perempuan. Fenomena tidak bermoral ini sedang berleluasa di Instagram (IG), di mana sekumpulan anak-anak muda akan mewujudkan dan menyertai kumpulan Direct Messenger (DM) di IG. Seterusnya, mereka akan saling mempamer serta masing-masing menyebarkan gambar yang tidak senonoh sebagai tatapan dan perkongsian kepada rakan-rakan yang lain.

Kami, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) cukup sedih dengan perkara ini. Lagi menyedihkan apabila salah laku daripada segi agama dan sosial amnya, dianggap sebagai sumber kemegahan bagi anak-anak gadis tersebut, apatah lagi sekiranya gambar lucah si gadis menjadi tular dan disukai ramai, maka si pelaku di dalam gambar tersebut akan dilabelkan sebagai 'Porn Star IG'.

Segelintir anak-anak gadis berkenaan melakukan aktiviti tidak bermoral itu dek kerana ketandusan kewangan, ataupun dihadiahi pelbagai kesenangan oleh lelaki-lelaki yang mengambil kesempatan terhadap kepolosan mereka. Sebagai habuannya, anak-anak gadis itu akan diberikan telefon bimbit beserta simkad secara percuma, top-up, mahupun wang oleh lelaki yang berminat terhadap mereka. Yang lebih malang, terdapat anak gadis yang melakukannya sebagai aktiviti suka-suka sahaja.Tidak cukup dengan itu, sebagai akibat pertukaran gambar bogel semasa berkenalan di IG, gambar-gambar berkenaan akan dijadikan sebagai 'modal' oleh lelaki-lekaki yang bernafsu serakah bagi mengugut mangsa-mangsa mereka. Dengan ancaman sekiranya anak gadis berkenaan tidak mahu dijadikan 'boneka seks', maka gambar yang memalukan itu akan 'dikirimkan' kepada ibu bapa si gadis ataupun ditularkan ke laman media sosial yang lain.

Malahan, menurut hasil statistik pada tahun 2007 melalui kajian Dr Khaidzir Ismail dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), daripada 887 orang gadis remaja, hanya 1 orang sahaja daripada hasil penyelidikan beliau yang tidak pernah melakukan hubungan seks. Tahun 2007, kita sedia maklum bahawa pada ketika itu medium sosial tidak lagi begitu berkembang sepertimana pada hari ini. Lalu, bagaimana agaknya dengan nasib anak-anak gadis pada masa sekarang dengan kewujudan pelbagai laman sosial dan penularan 'trending' Porn Star IG yang semakin mendapat tempat di kalangan remaja yang tidak diawasi.

Justeru, sebagai langkah pencegahan di seawal usia anak-anak lagi, ibu bapa hendaklah menghadkan dan mengawasi penggunaan internet dan juga gajet oleh anak-anak sebelum mereka mencapai usia yang dianggap sudah boleh membezakan buruk atau positifnya sesuatu tindakan. Selain itu, pantaulah kelakuan anak-anak ketika berada di dalam mahupun luar rumah. Allah S.W.T berpesan kepada hambaNya supaya menjauhi zina melalui surah Al-Israa’, ayat 23 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk".

Kita tidak mahu anak-anak yang sudah ditatang seperti minyak yang penuh melewati usia remajanya dengan terjebak ke lembah zina. Anak-anak merupakan pewaris bangsa dalam memperjuangkan agama. Mereka adalah aset masa depan negara, maka didiklah mereka mengikut acuan Islam.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
19 Ramadan 1438 | 14 Jun 2017

GAGAH mara menyemai bakti, penuh daya setulus hati, hikmat setia luhur berbudi, demi negara yang dicintai – Lagu Semai Bakti FELDA

FELDA Legasi Tun Razak.

FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, pastinya tidak dapat dipisahkan daripada jasa besar Almarhum Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kedua.

Penubuhan FELDA di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (1956) pada 1 Julai 1956 merupakan cetusan idea Tun Razak yang bertujuan untuk mengatasi masalah kemiskinan masyarakat luar bandar dan meningkatkan taraf hidup golongan peneroka. Kesungguhan Tun Razak terpancar dengan kesanggupannya berhujan dan berpanas, merentas kampung dan desa bagi memastikan pembangunan yang dirancang berjalan lancar, di samping mendengar sendiri rintihan peneroka dan masyarakat luar bandar.

Selepas kemerdekaan negara pada 1957, FELDA diletakkan di bawah kepimpinan seorang Menteri Persekutuan dan Pengerusi yang dilantik. Tun Razak sendiri merupakan Menteri kedua yang menerajui FELDA dalam tempoh 1959 – 1970, diikuti Tun Ghafar Baba dalam tempoh 1970 – 1972. Menariknya, FELDA pernah diterajui seorang Menteri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semasa berada di dalam Kerajaan Campuran, iaitu pada tahun 1973 – 1977.

Tan Sri Datuk Mohamad Asri Muda yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah berjaya membawa perubahan besar di dalam FELDA. Antaranya dengan menerapkan etika kerja Islam di dalam pentadbiran FELDA, di samping menyuntik budaya hidup Islam di tanah rancangan FELDA, melalui pengimarahan masjid dan surau dengan aktiviti agama dan keilmuan, dan pemberian lebih banyak biasiswa kepada anak peneroka untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

FGV Liabiliti Najib Razak.

Bermula April 2004, FELDA diletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri ke-enam.

Pada 2007, FELDA telah memperbadankan FGV Holdings Sdn Bhd (kini FGV Holdings Berhad) untuk beroperasi sebagai entiti komersial bagi pelaburan  antarabangsa, perniagaan sawit huluan dan hiliran dan juga perniagaan agro yang lain. Bagi menampung perkembangannya, FGV telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012, dan dilantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi sehingga kini.

FGV yang diapungkan pada tahun 2012 dijulang sebagai penyenaraian IPO kedua terbesar di dunia selepas Facebook, dan dilaungkan sebagai penjamin masa depan peneroka. Namun ianya bukan sahaja gagal memberi pulangan lumayan kepada peneroka FELDA sebagai ‘pemilik’ utama, malah FGV terus dilanda kontroversi khususnya yang melibatkan Pengerusi dan mantan CEO yang pertama.

Dalam perkembangan terbaru, Lembaga Pengarah FGV yang dipengerusikan Tan Sri Isa telah menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan, mulai 6 Jun 2017. Kontroversi terbaru ini bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan perniagaan FGV, malah terus memberi tekanan kepada harga saham FGV yang diniagakan di bawah paras RM1.80 sesaham, jauh daripada harga IPO pada kadar RM4.55 sesaham.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap FELDA, Datuk Seri Najib telah menggariskan tiga langkah untuk menyelesaikan kemelut FGV, dan mahu ianya selesai sebelum Hari Raya. Ternyata selepas skandal 1MDB, kini FGV pula menjadi liabiliti kepada Datuk Seri Najib, bukannya legasi sebagaimana yang diwariskan oleh Tun Razak.

Formula PM Baru Untuk FGV

Jika Datuk Seri Najib menggariskan tiga langkah penyelesaian kemelut FGV ini, penulis berpendapat, sebarang usaha pemulihan akan menemui jalan buntu tanpa perubahan struktural di peringkat tertinggi pengurusan dan urustadbir FGV.

Reformasi struktural yang dimaksudkan ini melibatkan dua langkah strategik yang perlu diambil oleh FGV dalam masa terdekat, dan boleh disimpulkan dengan formula ‘PM Baru’ iaitu Pengerusi dan Mandat Pelaburan yang baharu;

1. P: Pengerusi Baru – Melihat kepada kemelut berpanjangan FGV sejak Tan Sri Isa dilantik oleh PM pada 2011, adalah disarankan agar pelantikan Pengerusi GLC seumpama FGV ini dipilih di kalangan professional dan teknokrat berpengalaman.

Ramai lagi tokoh berkelayakan di luar sana, yang memiliki kemahiran industri dan rekod urustadbir korporat yang cemerlang, dan mampu membawa FGV dan apa jua GLC ke peringkat yang lebih gemilang. Ini sangat penting bagi memulihkan semangat pasukan kerja di kalangan pegawai dan kakitangan FGV untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

2. M: Mandat Pelaburan Baru – Merujuk kepada Laporan Tahunan 2016, FGV telah menggariskan 5 tindakan strategik bagi mencapai 6 sasaran yang terkandung di dalam Plan Strategik 2020 (SP2020). Ia merupakan satu perancangan yang sangat komprehensif, dan perlu diberikan nafas baru bagi memastikan aspek pelaksanaannya tidak tergendala.

Ini wajar disokong oleh tahap profesionalisma dan disiplin yang tinggi dalam merangka Strategi Pelaburan, Peningkatan Nilai, Pengurusan Risiko, dan Pematuhan Peraturan, di samping Ikrar Integriti Korporat dan pelbagai Inisiatif Tadbir Urus FGV yang telah digariskan di dalam Laporan Tahunan 2012 - 2016.

Justeru, penulis berpendapat apa yang sangat diperlukan oleh FGV pada hari ini adalah Pengerusi dan Mandat (PM) yang baru, bagi memastikan FELDA dapat mengembalikan tujuan asalnya yang digariskan oleh Tun Abdul Razak.

Inilah legasi besar PM Malaysia kedua, dan wajar dikenang seluruh generasi FELDA sebagaimana yang sering dilaungkan bersama, “Bakti diberi penuh setia, dengan rahmat yang Maha Esa, erat sepakat bina FELDA, seiring haluan ke puncak jaya!” – HARAKAHDAILY 14/6/2017

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM

JAWAPAN sambil lewa Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu kegiatan perjudian di Pulau Pinang ini menunjukkan beliau cuba 'cuci tangan' seolah-olah tidak berkait langsung dengan kuasa kerajaan negeri.

Sikap jengkel itu sebenarnya cuba menyembunyikan perolehan mewah yang diraih dari bertambahnya kegiatan tersebut. Ini sebagaimana banyaknya kegiatan itu berselindung di premis perniagaan di negeri ini.

Apakah sinikal Guan Eng kepada PAS sebenarnya untuk menutup kesungguhan beliau 'memayungi' aktiviti yang menyumbang kepada hasil negeri di bawah tadbirnya? Beliau seakan melindungi kegusaran dari isu yang dibangkitkan itu.

Kegiatan perjudian di Pulau Pinang sebenarnya menunjukkan ikatan atau persekongkolan DAP dan BN. Kerajaan DAP Pulau Pinang menyediakan premis untuk 'menyempurnakan' lesen judi yang diberi Kerajaan Persekutuan hingga kegiatan dapat dijalankan.

Hakikatnya tidak perlu menuding jari kepada pihak polis untuk melakukan penguatkuasaan. Kerana fakta yang berlaku, tangkapan dan rampasan dibuat oleh pihak polis menunjukkan peningkatan semasa ia di bawah pentadbiran Guan Eng.

Statistik peningkatan tersebut bukan sahaja kerana keberkesanan penguatkuasaan dilakukan polis, tetapi sememangnya telah bercambah kegiatan judi di negeri ini. Walhal kerajaan negeri boleh mencegah dengan tidak membenarkan premis digunakan untuk kegiatan tersebut.

Guan Eng tidak perlu angkuh menyelar pihak lain untuk belajar mengenai pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Apakah penyelewengan dan skandal yang sedang meliputi pentadbirannya satu perkara untuk dibanggakan beliau?

Guan Eng juga perlu sedar diri dan beliau tidak mungkin dapat menutup kenyataan bahawa kerajaan negeri pernah berjanji untuk menangani kegiatan judi dalam mengekang masalah sosial yang semakin berleluasa di Pulau Pinang.

Mengapakah pengakuan yang pernah dilafaz dulu kini sudah dilupakan? Apakah ertinya ini kalau bukan ia satu pembohongan, atau Guan Eng telah nyanyuk? Insya-Allah kami akan kemukakan dokumen pendedahan berkaitan sikit masa lagi.

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
14 Jun 2017 | 19 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 14/6/2017

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) memandang serius mengenai hakisan pantai yang berlaku di kawasan pesisir pantai Tanjung Bungah.  Kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera menyiasat punca hakisan di sini.
 
Dalam tinjauan yang dibuat SAM, kami mendapati keadaan  hakisan pantai di sini adalah semakin ketara.  Penduduk di sini menyatakan bahawa masalah ini telah berlaku sejak tahun 2016 lagi dan mengadu bahawa pihak JPS tidak mengambil tindakan berkesan bagi menangani masalah yang berlaku walaupun aduan telah dibuat oleh penduduk di kawasan berkenaan.
 
Di samping aduan penduduk, Nelayan Tanjung Tokong dalam halaman Facebook kumpulan ini juga telah menyuarakan kerisauan nelayan-nelayan Tanjung Bungah dengan kejadian hakisan pantai yang bertambah teruk di kawasan mereka.
 
SAM khuatir jika masalah ini tidak ditangani segera, besar berkemungkinan masalah hakisan ini semakin sukar ditangani sekiranya kawasan tersebut sentiasa terdedah kepada tiupan angin kencang dan damparan ombak yang semakin besar.
 
Sekiranya situasi ini dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan yang sewajarnya untuk mengekang masalah hakisan, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi kualiti hidup komuniti dan nelayan setempat. Kesan hakisan ini bukan sahaja memusnahkan harta benda dan kawasan kediaman malah turut mengancam nyawa penduduk yang mendiami kawasan pesisir pantai.
 
Sehubungan itu, SAM menyeru agar pihak Kerajaan Negeri serta JPS memandang serius dan mengambil tindakan segera bagi menyiasat dan menyelesaikan masalah hakisan pantai di Tanjung Bungah. -  HARAKAHDAILY 14/2017

KAWAN-KAWAN yang biasa merantau ke negara lain, cuba bagi info, negara mana lagi selain Malaysia yang main mercun masa sambut hari raya.

Kalau di Iraq tak ada mercun sama sekali. Kami dah muak dengan bunyi bom dan peluru berpandu. Setakat bunyi mercun orang Iraq tak pandang. Kelepeh je...

Orang zaman dulu tak ada banyak hiburan buat menghilangkan sunyi. Boleh main bedil buluh dan bedil kopi, kira OK laa. Tapi zaman sekarang masih ramai lagi yang minat letupan.

Sukar juga nak dihuraikan dari segi psikologi kenapa segelintir manusia minat kepada bunyi letupan sehingga sanggup mengorbankan jari tangan sendiri dan beraya di hospital. Dalam masa yang sama sebahagian lagi manusia terpaksa lari meninggalkan tanah air untuk menyelamatkan diri dari letupan.

DRAzmanYang pasti di Malaysia tak lagi ada kilang mercun. Saya masih ingat bagaimana kemusnahan dahsyat yang berlaku semasa kebakaran sebuah kilang mercun dan bunga api di Sungai Buloh dulu.

Bila tak ada kilang di Malaysia, maknanya ia dibawa masuk dari luar. Walau sempadan kita dijaga berlapis-lapis oleh pelbagai agensi penguatkuasaan, barang larangan ini masih boleh lepas masuk.

Saya sangat-sangat berharap bahawa dakwaan liar yang mengatakan, mercun yang dirampas akhirnya dijual semula oleh kakitangan agensi penguatkuasaan undang-undang kepada orang ramai adalah palsu sama sekali.

Yang jadi mangsa mercun bukan hanya budak-budak malah bapak budak-budak pun turut terlibat sama. Tak perlulah nak tunjuk kreativiti buat mercun. Sifat belerang, isilah dalam apa pun, cucuh api maka meletuplah ia. Tak ada apa-apa yang pelik dan ajaib pun.                       

BAGI orang yang sihat afiat boleh sahaja meneruskan puasa mereka tanpa masalah. Kelihatan penuh bertenaga walaupun perut lapar. Ini kerana tenaga masih lagi boleh diambil dari lemak yang tersimpan dalam tubuh kita.

Namun bagi sesetengah orang, puasanya agak terganggu akibat penyakit yang sedia ada seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung atau sebagainya. Gangguan ini akan mengakibatkan puasanya bertambah letih. Oleh yang demikian apabila tiba keadaan tertentu, beliau diharuskan berbuka puasa.

Masalah lain yang juga boleh mengganggu kelancaran berpuasa adalah kesan daripada berlapar itu sendiri. Terdapat empat masalah perubatan yang biasanya terjadi ke atas orang berpuasa.

1. Kekeringan air / dehidrasi

Oleh kerana puasa itu tidak dibenarkan makan dan minum bermula subuh hingga maghrib, ada di kalangan kita yang akan mengalami tanda-tanda kekeringan air dalam badan. Bibir dan kulit kering, loya berpinar dan kedahagaan sehingga boleh membawa pengsan akibat dari kurangnya air dalam badan. Tanda-tanda ini boleh dielakkan jika kita meminum air secukupnya. Dinasihatkan di malam hari kita meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong. Baharulah badan kita dapat menjaga hidrasi seoptimumnya semasa siang hari. Tiga gelas waktu berbuka, 2 gelas selepas tarawih dan 3 gelas lagi sewaktu bersahur. Pun begitu tiada penetapan khusus waktu mana untuk minum air tersebut. Nak minum setiap jam segelas pun boleh juga.

2. Sembelit

Sembelit juga sering berlaku kerana berpunca dari kekurangan air yang kita minum. Ditambah pula jika kita bekerja di bawah terik matahari. Banyak peluh akan keluar. Mengambil minuman teh dan kopi juga boleh menjadi penyebab kita kencing kerap. Hidrasi badan semakin berkurangan.

Usus akan banyak menyerap air bagi menggantikan peluh tadi, akhirnya konstitusi najis akan keras. Sembelitlah jadinya. Menambah penyeksaan diri sewaktu di bilik air. Bagi pesakit buasir, cukup kesian kelaku mereka semasa istinja.

Tips untuk elakkan sembelit adalah minum air secukupnya. Elakkan kerja-kerja luar di bawah terik matahari. Terpenting, semasa berbuka dan bersahur, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Serat yang terkandung dalam sayur dan buah itu boleh melembutkan najis dalam usus.
.
3. Pening kepala dan stres

Pening 'tekanan' biasanya berpunca dari lapar, kurang waktu rehat, kurang tidur dan penat berfikir semasa kerja. Bagi sesetengah orang penyakit migrain mereka bertambah teruk sewaktu berpuasa. Mungkin tips berikut boleh membantu mengurangkan pening kepala.

i) Kurangkan mengambil makanan yang bergula, bergaram, berlemak serta berkafein.

ii) Tidur sekejap di waktu tengah hari. Rasulullah dan para sahabat membiasakan diri dengan tidur sekejap ini sama ada sebelum zuhur atau selepasnya sekitar 15-30 minit.

iii) Kurangkan stres atau penat bekerja dengan lakukan senaman ringkas di pejabat. Atau menggunakan teknik pernafasan rileksasi. Boleh dapatkan tatacaranya di laman web.

4. Gastrik

Sakit perut sewaktu puasa selalu dijadikan alasan kanak-kanak untuk berbuka puasa. Orang dewasa pun mempunyai masalah sama. Apabila perut kosong, asid dalam perut akan menyebabkan bertindak balas dengan dinding perut. Menyebabkan kita terasa pedih. Orang biasa dapat mengatasi masalah ini dengan senang. Tetapi bagi sesetengah orang yang sensitif, perutnya akan sakit melampau sehingga mengganggu kerja seharian. Sakitnya hilang setelah berbuka puasa.

Kaedah untuk mengatasinya adalah, lewatkan sahur hampir dengan waktu subuh. Dengan harapan makanan akan tersedia lama dalam perut. Bagi melambatkan sedikit proses penghadaman, banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan mengambil makanan terproses seperti sosej, burger dan seumpamanya. Banyakkan minum air atau susu. Elakkan juga makanan yang pedas, berkafein serta bergas.

Semoga bermanfaat

Tulisan ini dipetik daripada laman facebook Fb.com/drsuhazeli

More Articles ...