SEKIRANYA penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, maka pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, namun sekiranya mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan perbuatan mereka itu” (Maksud surah Al-A’raf: 96)

Asas Kenegaraan

Islam telah menggariskan beberapa keutamaan yang perlu diambil oleh mereka yang diberikan kuasa pemerintahan, berpandukan kepada firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hajj, ayat 41 yang bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat (sumbangan harta atau ekonomi), dan mereka melaksanakan amar maaruf (berkebajikan), serta mencegah kemungkaran (melarang daripada melakukan kejahatan), dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Pedoman wahyu ini menunjukkan kepada kita penekanan terhadap lima keutamaan dalam pembinaan sebuah negara sejahtera, iaitu kepatuhan kepada Allah (solat), ekonomi yang adil dan diberkati (zakat), negara berkebajikan (amar maaruf), kehaibatan undang-undang (nahi munkar), serta berwawasan dunia dan akhirat.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK11 di Parlimen, seterusnya mengemukakan beberapa keutamaan dan penekanan yang wajar diambil perhatian, khususnya dalam perkara penting yang selama ini sering dilupakan, atau sebelum ini sengaja dilupakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bajet Keberkatan

Terdahulu, Kerajaan Negeri Kelantan telah membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan “Kemakmuran Negeri, Kesejahteraan Rakyat”, dengan peruntukan berjumlah RM1.09 bilion untuk dibelanjakan secara berhemah pada 29 Oktober 2018.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob telah menggariskan empat teras iaitu Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan dan Kesejahteraan, serta tujuh strategi pelaksanaan meliputi aspek pelaksanaan Syariah, galakan perniagaan dan keusahawanan, pelaburan dan peluang pekerjaan, pembangunan industri hiliran, menaiktaraf infrastruktur, peningkatan kebersihan dan keceriaan, serta penerusan program berkebajikan.

Terbaharu, Kerajaan Negeri Terengganu telah membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan “Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”, dengan peruntukan RM2.015 bilion untuk dibelanjakan secara berimbang pada 25 November 2018.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah menggariskan empat teras iaitu Keberkatan, Kemajuan, Kebajikan dan Kecekapan, serta lapan strategi pelaksanaan meliputi aspek pengukuhan prinsip Islam, pembangunan modal insan, pertumbuhan ekonomi, pemantapan institusi keluarga, masyarakat berkebajikan, peningkatan kecekapan, serta peningkatan integriti dan ketelusan.

Menariknya, Bajet 2019 Negeri Kelantan dan Terengganu meletakkan aspek ‘Keberkatan’ sebagai teras utama pentadbiran kerajaan negeri, disusuli penumpuan terhadap pembangunan ekonomi yang inklusif dan pengukuhan nilai integriti, bagi merealisasikan hasrat menjadi model sebuah pentadbiran yang adil dan berkebajikan.

Dalam hal ini, Kelantan dan Terengganu wajar menjalin kerjasama bagi memanfaatkan kekayaan sumber asli yang berada di perut bumi dua negeri ini, di samping memanfaatkan tenaga pakar dan ilmuan yang lahir dari dua negeri bertuah ini.

Sudah pasti kedua-dua negeri ‘pembangkang’ ini bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan. Namun berkat kesungguhan dan kebijaksanaan, insya-Allah ekonomi negeri Serambi Mekah dan Madinah ini akan terus berkembang dengan penuh keberkatan.

Sampan jangan lama bertambat, nanti hilang segala manfaatnya;
Makan jangan lupakan rahmat, kelak hilang segala berkatnya.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
26 November 2018 – HARAKAHDAILY 26/11/2018

JANGAN batalkan hasrat anda, usah layan pelbagai propaganda. Jangan terpengaruh dengan provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya teruskan semarak himpunan ini sehingga capai impak yang maksima. Ia adalah himpunan aman. Saya ulangi, ia adalah HIMPUNAN AMAN. Justeru itu, sila hadir jangan lari.

Himpunan ini untuk nyatakan kesatuan ummah. Himpunan untuk mengangkat suara rakyat. Himpunan untuk memperjuangkan kepentingan agama, negara dan rakyat.

nasrudintaKenapa saya sebut anda perlu hadir ? Bukankah JPM telah nyatakan bahawa Kerajaan tidak akan ratifikasi ICERD?

Ya, saya juga ada membaca kenyataan ringkas JPM yang menyebut bahawa kerajaan tidak akan ratifikasi ICERD.

Tapi, tahukah anda?

Bahawa ICERD hanya satu daripada 6 Konvensyen Hak Asasi PBB yang telah diberi komitmen oleh kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar untuk diratifikasi. Di sana masih ada 5 Konvensyen yang menanti detik untuk diratifikasikan oleh kerajaan.

Lima konvensyen yang lain itu ialah ICCPR, CAT, ICPPED, ICESCR, ICRMW.

Tidak sahaja ICERD tetapi juga perjanjian lain turut memberi kesan kepada agama, bangsa dan negara jika kerajaan meratifikasinya. Antaranya ICCPR dan CAT.

Pada 16 Oktober 2018 yang lalu, Ahli Parlimen Batu Kawan (DAP) telah mendesak Kementerian Luar supaya segera meratifikasi ICCPR.

Artikel 18 dari ICCPR menjelaskan mengenai The Right Of Religious Freedom. Suatu yang menuntut hak bebas beragama dan menukar agama.

Demikian juga CAT. Pihak Amnesty dan Suhakam menegaskan hukuman sebat syariah ke atas pesalah lesbian di Terengganu adalah bercanggah dengan Hak Asasi Manusia (HAM) Antarabangsa di bawah CAT.

Sekali gus mendesak Malaysia segera ratifikasikan CAT dan meminda mana-mana peruntukan yang menghalang supaya dapat selarikan dengan ketetapan HAM antarabangsa.

YB Menteri Luar pula pernah menegaskan pada 21 November 2018 di Parlimen, bahawa selain ICERD, kerajaan boleh terlebih dahulu meratifikasi CAT dan ICPPED di samping memberi komitmen untuk ratifikasikan semua (6) perjanjian tersebut.

Menteri Perpaduan a.k.a ‘Menteri Perpecahan Negara’ lebih lantang bersuara mewakili kerajaan untuk ratifikasi kesemua 6 Konvensyen PBB tersebut.

Detik JPM mengeluar kenyataan seringkas itu, hampir tiada dari kalangan mereka bersuara bagi membenarkan kenyataan JPM tersebut.

Semuanya kelu malah ada yang berani menyebut bahawa ia sekadar tangguh sementara setelah melihat kebangkitan rakyat.

Soalnya sampai bila kita sebagai rakyat terus membiarkan manipulasi begini?

Mudahnya, marilah kita sempurnakan kebangkitan ini, merealisasikan sebuah penentangan terhadap kebatilan dan pertualangan terhadap negara.

Menyingkap Apa Yang Tersirat dari Sepucuk Surat.

Nasrudin Hassan
17 Rabi’ul Awwal 1440 | 25 November 2018 – HARAKAHDAILY 26/11/2018

 

MERUJUK kepada dua keratan akhbar yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, berkenaan kenyataan YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkaitan isu hak istimewa Melayu dan hukum berdemonstrasi.

Pihak kami telah meneliti kedua-dua kenyataan tersebut dan menafikan kesahihan dan keabsahan maklumat yang disebarkan itu.

Pihak kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan media berserta tandatangan Presiden PAS (rujuk kenyataan media palsu bertarikh 6 Mac 2015), dan difahamkan keratan akhbar bertarikh 15 September 1985 telah disalah lapor dan dikitar semula oleh pihak tertentu ketika isu ICERD dibahaskan.

Sekian untuk makluman dan penjelasan.

ABDUL MALIK AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS
Bertarikh: 17 Rabiul Awwal 1440 / 25 November 2018 – HARAKAHDAILY 25/11/2018

p2

p1

ATAS tekanan dan desakan rakyat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya membuat keputusan tidak akan meratifikasi ICERD. Untuk itu kita ucapkan terima kasih. Apa guna kita guna acuan Barat yang tidak relevan dengan amalan dan budaya kita di sini.

Kalau Barat perjuangkan hak LGBT sedang ia asing dan terkutuk pada amalan kita, apa guna kita terima. Begitu juga jika Barat mempromosi kebebasan beragama sehingga memberi kebebasan kepada rakyat keluar masuk agama dan malah boleh memilih tidak beragama, patutkah ia kita contohi?

Demikianlah juga dengan ICERD. Benar ia kelihatan mahu menghapuskan sebarang bentuk kezaliman berpunca dari diskriminasi kaum, soalnya apakah kita mengamalkan diskriminasi kaum di sini atau menerima aparteid?

Diskriminasi kaum yang zalim memang kita tentang tetapi jika ada mana-mana pihak melihat hak istimewa orang Melayu Bumiputera, institusi Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, semua ini sebagai satu bentuk diskriminasi lalu ICERD perlu untuk menanganinya maka inilah yang kita tentang.

Malaysia perlu diukur dan difahami dari sejarah dan ikatan sosial kontraknya yang tidak boleh dipadam dengan ICERD.

Kita lega bila ada pemimpin dalam kerajaan yang akui ICERD tiada keperluan di sini. Akan tetapi yang mengecewakan apabila ada segelintir pimpinan khasnya dari PAN yang bersungguh mahukan ICERD ini seiring dengan kemahuan DAP.

Salah seorang Menterinya menyebut:

"Tapi mengapa kita memilih untuk menjadi liar seolah dunia akan kiamat jika kita menerimanya? Mengapa hilang rasional kita sedangkan ini peluang menegaskan keunggulan Islam menentang penindasan kaum?"

Sikap dan pendirian seperti inilah yang memecah dan memporak-perandakan kesatuan ummah.

Usaha umat Melayu Islam menentang ICERD diumpamakannya sebagai tindakan liar.

Sikap beginilah dijulang dan disenangi oleh puak DAP. Mereka menyuntik agenda 'Malaysian Malaysia', umat Melayu tentang tetapi ada pimpinan Melayu khasnya dari PAN tolong promosi dan perjuangkan.

Malu kita punya Menteri seumpama ini. Jangan kerana mengejar habuan, pangkat dan kedudukan, kelambu sendiri dibakar. - HARAKAHDAILY 25/11/2018

 

ASSALAMMUALAIKUM W.B.T,

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dimaklumkan telah berlangsung suatu Sidang Meja Bulat anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di peringkat Negeri Johor Darul Takzim pada 16 Rabiul Awal 1440H bersamaan 24hb November 2018, Sabtu, jam 8.30 malam hingga jam 11.00 malam, yang telah mencatat sejarah dengan berjaya mengumpulkan pelbagai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan serta parti-parti politik yang berasaskan Islam dan Melayu di dalam Negeri Johor, bertempat di Dewan Langkasuka 1 dan 2, Hotel Seri Malaysia, Larkin, Johor Bahru.

Hampir 50 orang wakil-wakil dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan parti politik telah hadir ke Sidang Meja Bulat tersebut, di samping penyataan komitmen dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan parti politik Islam dan Melayu yang tidak dapat hadir bersama.

Ketika sidang berlangsung, perbincangan secara matang, membina, positif dan dalam nada kesepakatan telah dapat dilaksanakan. Kesepakatan di dalam isu-isu yang berkaitan mempertahankan dan memperkasakan agenda Islam dan Melayu telah dapat dicapai.

Jawatankuasa UMMAH Johor Darul Takzim juga telah berjaya ditubuhkan dengan menggabungkan barisan pimpinan dari kalangan pelbagai pertubuhan.

Melalui Sidang Meja Bulat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Johor Darul Takzim, semua wakil bersetuju dengan resolusi-resolusi yang berikut:

●     Perpaduan umat Islam dan Melayu di dalam negara akan memberikan keuntungan kepada seluruh rakyat. Justeru itu, berdasarkan suasana terkini, sudah sampai masanya umat Islam dan Melayu negara ini bersatu di atas asas taqwa dalam mempertahankan kedaulatan Islam, bangsa dan negara.

●     Kemelut yang berlaku berkaitan dengan isu ICERD telah menyedarkan kita bahawa terdapat beberapa konvensyen antarabangsa yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara. Terdapat usaha-usaha untuk meratifikasikan konvensyen tersebut tanpa dibahas di Parlimen. Maka, sidang ini menekankan bahawa mana-mana parti yang memerintah negara ini supaya menjunjung Perlembagaan Negara dengan menolak sebarang usaha yang bercanggah dengan Perlembagaan.

●     Walaupun kenyataan palsu yang dibuat oleh Waytha Moorthy terhadap Melayu dan Islam dan penganutnya di Malaysia dibuat sepuluh tahun lalu, ianya tetap suatu kesalahan yang merosakkan sehingga kini. Sidang merasakan tindakan memberi
peluang kedua kepadanya oleh YAB Perdana Menteri tidak boleh diterima:

i.     Beliau perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam dan Melayu di negara ini di atas keceluparan beliau.

ii.     Menyatakan secara bertulis kepada pihak-pihak yang beliau telah sebarkan fitnah terhadap negara, bahawa beliau telah melakukan kesalahan memfitnah dan semuanya adalah salah serta bohong dan tidak bertanggungjawab.

iii.     Sidang juga mendesak agar beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Perpaduan dan diambil tindakan sewajarnya.

●     Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berhubung dengan ICERD tidak memberi apa-apa merit. Sedangkan Akujanji Manifesto daripada kerajaan tidak ditepati dan penuh penipuan, ini kan pula kenyataan sebegitu yang terlalu umum. Sidang merasakan Parlimenlah yang perlu menyatakan sokongan dan pendirian untuk tidak meratifikasikan ICERD.

●     Sidang bersetuju akan melaksanakan suatu Konvensyen Ummah peringkat Negeri Johor dalam jangka masa yang terdekat.

●     Program-program akan diatur bagi melahirkan ikatan ukhuwah ummah yang cukup kuat dari sudut pemikiran dan tindakan, demi untuk kepentingan umat Islam dan Melayu di negara ini, dengan sebahagian pengkhususan isu setempat di peringkat Negeri Johor. Program-program akan merangkumi pelbagai aspek seperti memperkasakan ummah dari sudut ekonomi, politik, kebajikan, pendidikan dan lain-lain.

Yang menjalankan amanah,

DR MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Johor Darul Takzim - HARAKAHDAILY 25/11/2018

PAS adalah sebahagian daripada sejarah pembinaan negara Malaysia, sama ada sebelum atau selepas kemerdekaan. Sama seperti Umno. Bezanya, masing-masing berjalan dalam arah masing-masing. Samanya, masing-masing telah meninggalkan kesan tapak kaki masing-masing dalam sejarah. Ia takkan terpadam.

Hari ini, sama ada PAS atau Umno, jatuh bangun masing-masing adalah bersambungan daripada sejarah lama sehingga 70 tahun yang lalu. Jika mereka menang, sejarah perjuangan mereka menjadi sebahagian daripada sebab kemenangan itu. Jika mereka kalah, maka begitulah, sejarah mereka adalah menjadi sebahagian daripada sebab kekalahan itu.

Jikalah ahli PAS atau Umno hari ini bekerja dan berjuang untuk masa depan negara tanpa mengenali sejarah awal perjuangan masing-masing, maka ia menjadi amat cacat. Perjuangan menjadi putus. Perjuangan yang putus akan hanyut dan gagal menuju destinasi sebenar. Ia seperti sebuah perjuangan yang baru bermula.

Itu mudah sahaja difahami. Anda tidak mungkin menjadi pejuang Islam sejati sehinggalah anda mengikat perjuangan anda sekukuhnya dengan perjuangan awal yang dimulai oleh RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam, para sahabatnya dan para pejuang Islam sepanjang zaman. Rantaian perjuangan tidak boleh putus sama sekali. Jika tidak, perjuangan pasti menjadi lemah atau terus sahaja terpesong.

Bukankah anda perhatikan, ramai mana kumpulan Islam yang sesat? Mengapa? Ya, kerana mereka memesongkan sejarah dan isi asal agama dan perjuangan baginda al Rasul.

Begitulah juga semua perjuangan, apa pun nama, matlamat dan isinya. Semuanya berakar dan bertunjang dengan sejarah masing-masing. Kerana itulah, sejarah adalah mendarah daging dalam kehidupan umat manusia. Ia mencetus mukjizat dan kekuasaan di dalam diri dan umat. Manakala haiwan binatang pula, mereka hidup tanpa sejarah. Hidup mereka adalah hidup tanpa perjuangan dan tamadun. Itu bukan cara hidup manusia.

Justeru PAS dan Umno terlalu berhak untuk menoleh ke belakang, melihat dan memperbaharui kekuatan mereka dengan sejarah awal mereka. Mereka berkongsi banyak perkara yang tidak dikongsi oleh parti-parti politik lain baru yang sedang bersaing dan bersabung di pentas politik negara hari ini. Ya, masing-masing dengan sejarah masing-masing.

Begitulah juga secara umum kita sebagai rakyat Malaysia. Kita ada sejarah kita. Belajar sejarah kita dulu sedalamnya sebelum belajar 'sejarah Taiwan'. Umat Islam ada sejarah mereka. Belajar sejarah tamadun Islam dulu sebelum belajar sejarah tamadun barat.

Jika anda menoleh kepada sejarah anda semasa di alam remaja dahulu, ia bukanlah untuk anda kembali hidup di zaman itu. Ia adalah untuk anda membetulkan kembali binaan susuk tubuh dan jati diri agar anda menjadi lebih anda, lebih sihat dan gagah untuk mendepani hari-hari mendatang.

Sejenak. Adakah anda fikir bahawa generasi DAP hari ini telah melupai atau mengubah haluan perjuangan yang dibina oleh generasi awal mereka dulu? Tidakkan? Kejayaan mereka hari ini, sejarah perjuangan mereka adalah sebahagian daripada faktor kejayaan itu.

Matlamat mereka tak berubah. Sekarang masa untuk mereka mencapai dan mengaut apa yang mereka impikan untuk Malaysia sejak lama. DAP sedang memahat sejarah Malaysia baru dengan tangan mereka. Itu kejayaan mereka. Maka menjadi hak merekalah untuk membina Malaysia semahu mereka.

Merempuh ganas bahtera DAP adalah salah. Ia adalah khianat terhadap perjanjian kita sebagai warganegara yang mesti hidup aman sentosa dan menghormati keluhuran undang-undang. Tetapi memintas bahtera DAP adalah persaingan yang benar. Siapa mendahului, dia adalah pemandu negara. Ya, selepas 60 tahun, Umno-BN dipintas DAP-PH. Apa nak dikata?

Apabila sebahagian ahli PAS meminggirkan sejarah perjuangan sendiri, mereka karam, terhumban dari bahtera besar dan terpaksa berakit dan menumpang di bahtera lain yang sedang bersaing. Mereka menikmati kejuaraan bersama enam bulan yang lepas, tetapi sejarah mereka putus dan terpaksa memulakannya semula. Tragisnya, mereka terpaksa menumpang di dek kapal besar lain untuk tidak tenggelam. Apapun, mereka bertawa riang walaupun tanpa sejarah lama perjuangan.

Bagaimana kekaraman mereka bermula? Ya, secara mudahnya, mereka berkata, kita berjuang berpuluh tahun menentang Umno. Maka matlamat kita akan tercapai dengan menumbangkan Umno. Itulah kata-kata mereka yang berulang-ulang. Ia menjadi motivasi dan azimat perjuangan.

Mereka lupa dan lalai dengan kelalaian yang amat dahsyat. Benarkah PAS ditubuhkan dengan matlamat menumbangkan Umno? Jika begitu, alangkah remehnya matlamat PAS! Jika tidak begitu, maka alangkah remehnya mereka yang memahaminya begitu.

PAS ditubuhkan untuk mencapai matlamat Islam. Matlamat Islam adalah menjadi matlamat PAS. PAS ditubuhkan kerana tuntutan Islam yang menuntut wujudnya sekumpulan daripada umatnya untuk berada di saf utama dan hadapan memperjuangkan Islam dan membentenginya daripada serangan musuh. Islam adalah deen (agama) dan daulah (negara).

Mengalahkan Umno bukanlah matlamat PAS. Umno hanyalah halangan awal perjuangan PAS menuju matlamat. Jika menentang Umno sudah menjadi matlamat perjuangan, maka ia sepertilah memintas basikal lumba lawan dengan menaiki motosikal kawan. Anda memintas, tetapi anda gagal mencapai garis penamat perlumbaan basikal. Matlamat perlumbaan bukan hanya dengan memintas lawan, tetapi sampai ke garis penamatnya yang sebenar.

Sekarang mereka memintas Umno-BN dengan menumpang DAP. Mereka lupa, DAP bukan bermatlamat memintas Umno. Matlamat DAP, para pemimpin dan ahli mereka tidak pernah lupa. Bagi DAP, samalah macam PAS, memintas Umno bukan matlamat. Matlamat DAP adalah memahat sejarah baru Malaysia dengan 'Malaysian Malaysia'.

Sekarang parti serpihan PAS sedang bertenggek di dek kapal PH sambil melaung slogan 'Rahmatan' sambil memakan rambutan. 'Rahmatan wa rambutan'. Ia akan berakhir sia-sia. Ia sejarah perjuangan 'tergesa-gesa' yang berulang-ulang tanpa teladan. Begitulah ujian dan tribulasi perjuangan Islam. Ia penuh hikmat dalam penciptaan Allah terhadap kehidupan manusia di bumi ini. Istiqamah adalah keramat perjuangan.

Inilah realiti sebuah perjuangan yang melupai sejarah asal perjuangan itu. Umno leka. Mereka gagal mengingati sejarah perjuangan asal mereka memerdekakan negara dan membina semula tanah air. Kuasa, wang, kemasyhuran dan mainan-mainan duniawi telah semakin melekakan mereka daripada perjuangan asal orang-orang terdahulu.

Jika ada yang sedar dan insaf, ia terlalu lemah untuk menahan arus kelekaan yang terlalu kuat. Saat ramai tersedar, ia sudah terlambat. DAP dengan pertolongan pendayung-pendayung baru daripada parti serpihan PAS dan rakan-rakan yang lain dalam PH akhirnya memintas Umno-BN.

Mengapa? Sejarah adalah merupakan sebahagian daripada sebab dan faktornya. Sejarah lama Umno yang dilupakan dan juga sejarah kelalaian generasi Umno yang baru.

Apa yang terjadi pada Umno boleh saja terjadi kepada PAS. Tetapi PAS diselamatkan oleh kesedaran. Kealpaan telah tercampak keluar daripada bahteranya lebih awal sebelum PRU14. Bersyukurlah, PAS menang lebih baik dan lebih gagah.

Justeru ketika isu ratifikasi ICERD memanaskan politik negara, jalan paling selamat untuk memahaminya adalah dengan mengikat diri pada talian sejarah pembinaan negara. Ahli PAS dan Umno mesti mengamatinya. Begitulah seluruh rakyat Malaysia. Ingat, jika ada pembina negara, akan adalah juga peruntuhnya. Itu persaingan dalam sunnatuLlah atau hukum alam ciptaan-Nya.

Mari membina negara kita dengan agama Islam yang unggul dan benar. Di situlah tertegaknya kesejahteraan, keadilan dan kejayaan di dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 25/11/2018

KAMI melihat sendiri Palu ranap akibat gempa bumi dan diikuti tsunami. Betapa besarnya kuasa Allah yang menghantarkan air agar manusia mengambil iktibar. Walaupun pelbagai kisah negatif yang dibawa oleh penduduk di Palu sebelum kejadian bencana, namun kami melihat anak bangsa Palu mulai sedar.

Masjid-masjid darurat dibina ibarat cendawan selepas hujan. Tidak menang tangan Haji Jamuliddin Elias (Pak Jamu), Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia mengatur para penderma untuk membina masjid darurat. Dalam senarai yang beliau kemukakan setakat ini, hampir 200 buah masjid dalam proses pembinaan. Tiga puluh tiga masjid sudah terbina di seluruh Palu, Sigi dan Donggala.

Gempa bumi dan tsunami Sulawesi 2018 adalah berlaku dengan kekuatan 7.4 Magnitude diikuti dengan tsunami yang melanda pantai barat Pulau Sulawesi, Indonesia, bahagian utara pada 28 September 2018 jam 18.02 petang. Pusat gempa berada di 26 km utara Donggala dan 80 km barat laut kota Palu dengan kedalaman 10 km.

Gegaran dan goncangan gempa bumi dirasakan di Kabupaten Donggala, Kota Palu, Kabupaten Parigi Moutong, Kabupaten Sigi, Kabupaten Poso, Kabupaten Tolitoli, Kabupaten Mamuju bahkan hingga Kota Samarinda, Kota Balikpapan, dan Kota Makassar. Gempa tersebut menghasilkan bencana tsunami hingga ketinggian 5 meter di Kota Palu.

Laporan berita mengesahkan seramai 1,234 orang maut akibat gempa dan tsunami tersebut. Manakala 65,733 buah rumah atau bangunan musnah samada ditelan bumi ataupun runtuh. Dianggarkan beratus-ratus ribu mangsa terlibat dalam bencana alam yang terburuk pada dekad ini selepas tsunami di Aceh tahun 2004.

Tumpuan program yang kami lakukan adalah sekitar Kabupaten Palu, Poso dan Donggala. Merawat Palu yang pilu adalah tagline yang kami bawa. Rawatan kesihatan mental anak-anak Palu telah kami bawa bagi mengurangkan stres mereka setelah di pukul bencana.

Selain dari itu, dengan sejumlah derma yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia, kami agihkan kepada pembinaan masjid, kegunaan memasak para mangsa terlibat dan bantuan perubatan. Saya mewakili beberapa NGO seperti Papisma, Warga Cakna, Iman Care, KT Care dan KAMI mengucapkan terima kasih atas semua sumbangan itu. Amanah sumbangan tersebut telah disempurnakan dengan jayanya.

Saya mula memahami kenapa nama Palu diberikan. Topalu’e yang ertinya tanah yang terangkat. Diberitakan dari sejarah bahawa daerah ini awalnya lautan, kemudian terjadi gempa dan pergeseran lempeng (palu koro) sehingga daerah yang tadinya lautan tersebut terangkat dan membentuk daratan lembah yang sekarang menjadi Kota Palu. Sejarah terakhir gegaran gempa yang berlaku di Sulawesi ini sekitar 90-an.

Oleh yang demikian sudah tidak jadi kepelikan bagi kaum yang veteran di sana merasai gegaran. Tetapi bagi golongan muda dan generasi baharu sudah mula lupa bahawa Sulawesi dan Indonesia keseluruhannya terdiri dari lingkaran merapi. Malah generasi muda tidak menyangka boleh berlakunya tsunami.

Sekali Allah beri peringatan kepada warga Sulawesi, boleh dibuat iktibar oleh semua umat bahawa Allah Maha Kuasa segalanya. Manusia adalah makhluk yang tiada daya, hanya kepadaNya kita semua berserah.

Kita mendoakan warga Palu kuat dan warga Palu bangkit dari musibah yang melanda ini. Kita akan terus membantu sekadar mampu untuk menyalurkan bantuan.

Dr Suhazeli Abdullah
Misi Kemanusiaan Palu
24.11.2018
Jalan Anggur Palu – HARAKAHDAILY 24/11/2018

pl1

pl2

More Articles ...