20
Sat, Jul
26 Artikel Baru

KUALA TERENGGANU: Ahli dan penyokong PAS lebih cerdik dan tidak mudah terpengaruh dengan idea karut yang berkempen bagi merosakkan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak berkata kempen undi rosak itu perkara baharu dan belum tentu kesannya.
 
Namun, katanya pengundi muda yang ramai hari ini masing-masing berpendidikan serta tahu baik buruk kesan dari kempen tersebut.
 
Beliau turut menyifatkan kempen undi rosak itu sebagai idea karut yang bakal merugikan masa depan generasi muda dan negara.
 
"Kempen (undi rosak) itu pun baru dan kita tidak tahu lagi kesannya kepada para pengundi. Tapi saya rasa, anak-anak muda sekarang sudah berpendidikan dan saya rasa mereka tidak terpengaruh dengan idea-idea yang karut sedemikian.
 
"Pengundi PAS lagi cerdik sebab selalu dengan ceramah dan penerangan dari pimpinan PAS. Saya serulah kepada pengundi-pengundi muda supaya berfikir secara matang, waras bahawa kita merosakkan undi itu tidak memberikan untung kepada sesiapa. 
 
"Malah, merugikan kita dan merosakkan masa depan kita sendiri, tegasnya kapada media selepas menghadiri Mesyuarat Lajnah Politik PAS Terengganu di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Jalan Sultan Omar, di sini, semalam. 
 
Justeru, katanya pilihan terbaik yang ada di hadapan rakyat sebagai pengundi bagi memilih parti pada PRU14 adalah PAS dan Gagasan Rakyat.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal mendakwa golongan profesional yang istiqamah menyertai PAS bukan kerana habuan kebendaan.
 
"Apa yang ada pada hari ini dan yang terbaik ialah PAS. Sebab PAS yang terbaik yang saya pilih PAS dan kita orang profesional ini main politik bukan untuk cari kepentingan.
 
"Profesion kita selama ini pun padan (cukup) doh. Tapi kita nak membantu rakyat dan membina masa depan anak muda kita, negeri dan negara tercinta ini. 
 
"Kita ada anak, ada generasi kita dan kita tidak mahulah mereka ini hidup dalam keadaan yang menderita suatu masa kelak akibat dari kesilapan yang dibuat pada hari ini," jelasnya merujuk kepada kempen undi rosak tersebut. 
 
Dr Alias menggesa kepada pengundi yang hilang keyakinan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan agar memilih PAS kelak.
 
Katanya, PAS akan bertanding seberapa banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU14. - HARAKAHDAILY 1/2/2018

KUALA LUMPUR: Kes Indira Gandhi yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan jelas membuktikan bahawa undang-undang di negara tidak menjaga dan melindungi kepentingan golongan Muallaf sepenuhnya.

"Kes ini harus dilihat sebagai kayu ukur sejauh mana kedudukan sebenar undang-undang di negara kita ini berkaitan dengan hak dan kepentingan golongan saudara baru Muslim (muallaf).

“Walaupun kita rasa sedih dengan keputusan tersebut, tetapi inilah realiti sebenar undang-undang di negara kita yang walaupun meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, tetapi hak-hak berkaitan saudara baru Muslim masih tidak terbela,” demikian kata Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor.

Menurutnya, undang-undang yang ada sekarang jelas tidak selari dengan kehendak syarak di mana sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam, anak-anaknya yang di bawah umur secara otomatik dianggap beragama Islam.

Salkukhairi yang juga seorang peguam berkata, peruntukan undang-undang sebegini jika dikekalkan boleh menjadikan golongan bukan Islam yang berminat terhadap agama Islam berasa takut dan bimbang untuk memeluk Islam.

Ini kerana jelasnya, mereka bimbang akan kehilangan anak-anak dan keluarga andai memeluk Islam terutamanya sekiranya pasangan mereka enggan memeluk Islam.

“Tidak mustahil mungkin ada segelintir saudara baru yang sanggup kembali kepada agama asal mereka kerana merasa tertekan dengan peruntukan undang-undang sebegini.

“Akhirnya, dakwah Islam tidak dapat berkembang, bahkan boleh menyebabkan fitnah pula kepada Islam. Ini yang kita bimbang” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menyeru semua pemimpin-pemimpin Islam di negara ini bersatu untuk memperjuangkan hak saudara-saudara Muslim tanpa mengambil kira parti politik.

“Pemimpin Islam perlu bersatu dalam isu ini. Cukup-cukuplah berpolitik. Kita boleh berbeza pendapat dalam politik kepartian, tetapi apabila melibatkan isu orang Islam dan agama Islam, kita perlu bersatu.

"Supaya satu undang-undang yang betul-betul melindungi hak dan kepentingan orang Islam termasuklah golongan saudara baru Muslim dapat digubal di Parlimen dan dilaksanakan segera di negara kita” ujar beliau.- HARAKAHDAILY 1/2/2018

DEWAN PEMUDA PAS Malaysia menyokong kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa kempen boikot pilihan raya bercanggah dengan Islam.
 
Ada beberapa situasi boikot ini yang perlu dilihat.
 
1. Pengundi boikot Pilihan Raya Umum (PRU)
2. Pengundi boikot Pilihan Raya Kecil (PRK)
3. Parti-parti bertanding boikot PRU
4. Parti-parti bertanding boikot PRK
 
Tindakan pengundi atau parti-parti bertanding memboikot PRK tidak memberikan impak dari segi perubahan kepada organisasi kerajaan, tetapi ianya memberikan satu signal kepada Kerajaan yang memerintah mengenai bantahan awam.
 
Manakala tindakan pengundi atau parti-parti bertanding memboikot PRU pula sememangnya memberikan signal kepada kerajaan mengenai bantahan awam. Tetapi mudaratnya lebih besar kerana membiarkan parti yang memerintah menang tanpa bertanding jika tiada parti yang lain yang masuk bertanding. Parti yang memerintah juga boleh kekal memerintah jika pengundi memboikot pilihan raya kerana parti pembangkang yang bertanding tidak cukup undi untuk menewaskan parti yang memerintah.
 
Situasi PRU dan PRK adalah berbeza kerana PRU adalah peluang untuk kita tukar kerajaan manakala PRK hanyalah peluang menukar seorang wakil rakyat sahaja.
 
Mereka-mereka yang begitu teruja berkempen untuk meminta pengundi memboikot PRU-14 harus melihat lebih jauh supaya mereka tidak mengadaikan negara ini dengan mengekalkan BN melainkan mereka adalah ejen-ejen yang dibayar oleh BN untuk memujuk pengundi Pembangkang tidak keluar mengundi.
 
Malah ada yang lebih teruk lagi mengerakkan kempen untuk membuat undi rosak. Ini juga satu penganiayaan dan kerugian kepada diri pengundi dan dana awam yang digunakan untuk melaksanakan pilihan raya. Pengundi yang hadir semata-mata untuk membuat undi rosak membazirkan masa dan tenaga mereka kerana perlu datang ke tempat pembuangan undi dan berbaris hanya untuk membuat undi rosak.
 
Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL), Abd Malek Husin dalam tulisannya berkongsi sejarah pemboikotan pilihanraya oleh pengundi di beberapa negara Afrika seperti berikut:
 
Ghana (1992): hanya 28.1 peratus keluar mengundi
Zambia (1996): hanya 58.4 peratus keluar mengundi
Mali (1997): hanya 21.6 peratus keluar mengundi
Gambia (2002): hanya 56.4 peratus keluar mengundi
 
Para pemboikot pilihan raya di Afrika ini adalah mereka yang membenci parti pemerintah, namun tindakan memboikot mereka itu akhirnya hanya mengekalkan parti yang memerintah kerana parti pembangkang kalah teruk disebabkan undi sedikit.
 
Peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi sebenarnya memberikan bantuan kepada parti pembangkang untuk lebih berjaya menguasai lebih banyak kerusi di Parlimen. Malek Husin juga berkongsi Sejarah PRU di Malaysia dari tahun 1959 hingga 2013 yang menunjukkan undi kepada BN merosot bila peratusan keluar mengundi meningkat:
 
1959Keluar mengundi 71.85 peratus; undi Perikatan 51.77 peratus
1969Keluar mengundi 73.39 peratus; undi Perikatan 49.89 peratus
2008Keluar mengundi 74.72 peratus; undi BN 51.39 peratus
2013Keluar mengundi 84.84 peratus; undi BN 47.38 peratus
 
Mereka-mereka yang berkempen memboikot pilihan raya juga ada yang memainkan sentimen agar pengundi memboikot pilihan raya bukan sahaja kerana membenci BN, tapi kerana mereka juga tidak suka melihat Pembangkang menggantikan BN.
 
Blok pembangkang kini adalah dua kumpulan, satu Gagasan Sejahtera dan satu lagi Pakatan Harapan. Pengundi sebenarnya mempunyai pilihan lain selain BN dan sewajarnya kempen boikot pilihan raya, khususnya kalangan anak muda tidak berlaku.
 
Kempen boikot PRU-14 di Malaysia ini banyak terpengaruh dengan agenda Golongan Putih (Golput) di Indonesia yang telah wujud sejak 1971. Golput di Indonesia adalah kumpulan haluan kiri yang masih aktif mengadakan kempen "BoikotPRU".
 
Namun hingga ke hari ini kempen-kempen Golput gagal kerana mereka tidak menyelesaikan masalah pengundi di Indonesia yang mahukan perubahan. Empat Presiden Indonesia berjaya 'digulingkan' tapi bukan melalui pemboikotan pilihan raya oleh pengundi.
 
1966: Sukarno dipaksa meletak jawatan tanpa pertumpahan darah oleh tentera Indonesia.
 
1998Soeharto dipaksa meletak jawatan selepas rakyat Indonesia mengadakan demontrasi besar-besar sehingga menawan Parlimen Negara itu.
 
1999BJ Habibie pula disingkirkan melalui Undian tidak percaya oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR)
 
2001Abdurrahman Wahid juga disingkirkan oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR)
 
Pilihan Raya Indonesia pada 2004 membuktikan bahawa pilihan raya juga adalah satu cara terbaik menyingkirkan pemimpin penuh skandal, Megawati Sukarnoputri yang akhirnya dapat ditewaskan oleh Susilo Bambang Yudhoyono.
 
Pemuda PAS mengajak rakyat untuk membuat perubahan bukan dengan menyertai kempen boikot PRU-14 yang meniru cara kumpulan Golput yang gagal mencipta perubahan. Lakukanlah perubahan itu dengan turun mengundi beramai-ramai.
 
PAS sedar bahawa rakyat kini muak dengan politik janji-janji palsu BN serta politik fitnah dan temberang PH. Namun rakyat punyai pilihan ketiga iaitu Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai PAS yang mempunyai rekod bersih dalam melahirkan wakil-wakil rakyat yang amanah serta bebas rasuah.
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
1 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 1/2/2018

KETIKA merasmikan jambatan yang menghubungkan Tendong dengan Pendek, Salor 15 tahun lepas diumumkan projek lembangan Sungai Kelantan.

Malah mereka yang datang ke program tersebut dapat melihat lakaran projek yang diedarkan. Disebut akan dibina empangan bagi menakung air di kawasan hulu Kelantan.

Janji itu disebut Perdana Menteri ketika itu di hadapan lebih 15,000 rakyat Kelantan, lapor sebuah akhbar. Rakyat hadir pada perasmian jambatan berharga RM166.3 juta yang disempurnakan Sultan Kelantan.

Siapa perdana menteri ketika itu. Oghe Kito masih ingat, tidak lain lagi iaitu Dr Mahathir Mohamad (Tun).

Kata perdana menteri tahkala itu, rakyat Kelantan perlu menoleh ke belakang bagi menilai semula mandat yang diberi kepada PAS.

Kalau kita tidak berhati-hati dan memilih kerajaan yang tidak mampu, mustahil (janji-janji) hendak dilaksanakan, katanya.

Hari ini selepas 15 tahun berlalu, Oghe Kito puas intai di mana projek tersebut. Dari Gua Musang ke Tumpat, tidak pula ditemui bayangnya.
Siapa yang tidak tunai janji, Umno atau PAS. Tokoh yang dianggap negarawan itu hari ini mengimpikan lagi menduduki kerusi perdana menteri.

Kasihan Oghe Kito melihat lagaknya. Pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti penuh mulut menyifatkan Dr Mahathir antara pemimpin terbaik bagi mereka.

Mereka tidak mahu membelek sejarah. Dek politik emosi dan dendam mereka lupa susur galur sejarah negara.

Oghe Kito tidak mahu mengungkit satu-satu penderaan politik terhadap Kelantan di era itu. Biarlah pemimpin PH sekali sekala belajar sejarah.

Apa pun kalau ditakdir impian mereka menjadi kenyataan, Dr Mahathir akan dicatat pemimpin paling tua di dunia di saat itu.

Rekod pemimpin paling tua sekarang dimenangi Beji Caid Essebsi pengasas Parti Nidaa Tounes di Tunisia. Beliau sekarang berusia 91 tahun. Menang pilihan raya Presiden Tunisia pada 2014.

Mungkinkah negarawan terbabit mahu mencipta rekod baru lagi. Bukan niat Oghe Kito mahu mempersenda sesiapa. Jasa dan ketokohan Dr Mahathir sebagai harimau Asia sedia dimaklumi.
Apa pun selepas 15 tahun projek lembagan Sungai Kelantan tiada bayangnya, tiba-tiba Ahad lalu ia dinukilkan kembali.

Apakah Dato' Sri Najib Razak mahu menjejaki jejak dicipta Dr Mahathir. Oghe Kito berbaik sangka, mungkin tidak.

Cuma rakyat Kelantan bimbang projek yang disebut bernilai RM9.6 bilion mungkinkah sekali lagi diheret pelabur dari Tembok China.

Sedangkan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sudah lama dilulus di kertas tetapi bukan di lapangan.

Oghe Kito yakin rakyat Kelantan kenal antara kaca dan permata.-HARAKAHDAILY 1/2/2018

KOTA BHARU: Tidak berbangkit belanjawan Kelantan defisit sekiranya Kerajaan Pusat tidak menyekat bayaran royalti petroleum yang dianggar RM900 juta setahun.

Presiden R (Royalti) Kelantan, Nazri Deraman berkata, Kelantan mempunyai pendapatan daripada hasil royalti yang dinafikan Kerajaan Pusat.

“Ia adalah bayaran tunai yang dikenali sebagai royalti terhadap pengeluaran petroleum di perairan Kelantan.

“Perkara itu termaktub di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974,” katanya di sini.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak ketika datang ke Kelantan memberitahu negeri itu perlu suntikan kewangan daripada Kerajaan Pusat bagi membayar gaji. HARAKAHDAILY 1/2/2018

LUJNAH Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, mendapati keputusan kes 'unilateral conversion' (Indira Ghadhi a/p Mutho) oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018, membuktikan betapa rumitnya mencari jalan penyelesaian dalam kes seumpama ini dalam waktu yang sama untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.
 
Ini terbukti apabila keputusan kes ini sangat berbeza dengan keputusan kes 'R Subashini' yang juga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007. Ketika itu, mahkamah tertinggi dan terakhir negara membuat keputusan bahawa kes 'unilateral conversion' adalah berada dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.
 
Ini belum mengambil kira bagaimana Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga membuat keputusan yang bertentangan di antara satu sama lain. Jika proses rayuan ini boleh berlanjutan selepas Mahkamah Persekutuan, kita tidak akan terkejut bahawa ia juga boleh membuat keputusan berbeza. Adalah tidak keterlaluan bahawa dengan mengambil kira corak keputusan mahkamah yang kerap berbeza ini, kita boleh menjangkakan jika ada kes seumpama ini pada masa akan datang, keputusan yang berbeza juga boleh berlaku.
 
Kerumitan ini boleh difahami apabila kita meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018. Mahkamah tidak menafikan fakta bahawa 'anak-anak tersebut' telah memeluk Islam dan telah didaftarkan. Tetapi mahkamah menggunakan kuasa semulajadinya (inherent power) untuk melakukan 'judicial review' bagi menentukan 'legality' Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pendaftar Muallaf. Usaha untuk membezakan antara fakta pemelukan Islam dan 'legality' Perakuan Memeluk Islam boleh difahami kerana Mahkamah Persekutuan tidak mahu 'terperangkap' ke dalam halangan Artikel 121 (1A) yang menghalang Mahkamah Sivil campur tangan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Perakuan Pemelukan Islam itu tidak sah / batal di sisi undang-undang lantaran 'anak-anak tersebut' tidak melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 96 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004. Lebih menarik, apabila mahkamah menyatakan bahawa Enakmen Negeri Perak tidak memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan sah atau tidaknya keIslaman seseorang.
 
Keputusan sebegini sebenarnya sangat sensitif kepada majoriti umat Islam di negara ini. Ini kerana majoriti ulama Islam berpendapat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam maka agama anak-anak yang masih kecil akan mengikut agama ibu atau ayahnya yang telah memeluk Islam. Malah, sebahagian ulama berpendapat bahawa ini adalah ijmak ulama. Keislaman anak-anak kecil ini, tidak memerlukan mereka untuk melafaz dua kalimah syahadah. Adalah lebih harmoni, jika Mahkamah Sivil yang ingin membuat keputusan berkaitan hukum hakam agama Islam agar merujuk terlebih dahulu pihak berotoriti berkaitan agar tidak menjejaskan pengamalan agama Islam yang merupakan agama Persekutuan.
 
Lompang yang wujud di dalam Enakmen tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan boleh dilihat secara positif sebagai 'wake-up call' kepada pihak terlibat agar memperkemaskan undang-undang syariah berkaitan. Pihak berkuasa agama setiap negeri seharusnya memperkemaskan enakmen masing-masing agar dapat melindungi kepentingan orang-orang Islam dan pada waktu yang sama perlu mengambil kira kepentingan rakyat bukan Islam.
 
LUHAM percaya sudah sampai waktunya agar Mahkamah Syariah juga dibuka kepada rakyat bukan Islam untuk menuntut hak mereka berdasarkan hukum syarak. Undang-undang Islam telah melalui zaman yang cemerlang dan terbukti turut memberi faedah kepada rakyat bukan beragama Islam.
 
Oleh yang demikian, LUHAM menyeru semua pihak yang berkepentingan agar memulakan dengan seberapa segera satu mekanisme sama ada dinamakan sebagai mediasi, timbang tara, mahkamah 'khas' atau apa-apa istilah lain yang lebih tepat yang boleh mengimbangkan antara kepentingan melindungi agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada waktu yang sama lebih berkesan dalam meminimakan kesan perbalahan yang wujud antara pihak terlibat, dan dengan itu diharap dapat menguruskan masyarakat majmuk pelbagai agama dengan lebih harmoni.
 
"Sejahtera Bersama Islam"
 
YB DATO’ DR MOHAMED FADZLI DATO' HJ HASSAN
Pengerusi
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat
1 Februari 2018 | 15 Jamadil Awwal 1439 - HARAKAHDAILY 1/2/2018

AGAMAWAN telah melaksanakan gerakan kesedaran pendidikan seawal 1906 dengan visi perjuangan pan Islamisasi berdasarkan Quran dan Hadis.

Perjuangan gerakan pembaharuan golongan agama makin komprehensif melalui gerakan dakwah di madrasah dan media, malah menyaingi golongan ortodok dan bangsawan.

Mereka memperjuangkan idealisme Melayu yang berakhir 1926 kerana tempias gerakan pembaharuan sosio ekonomi sehingga mencetus kebangkitan gerakan politik bagi mengusir kolonial.

Bertitik tolak sinergi agamawan mencelikkan umat Melayu tentang ilmu, penulis mengemukakan idealisme dalam skop dimensi pendidikan merupakan kegiatan pembentukan dan perkembangan ilmu, kerohanian, kompetensi dan kemahiran manusia sama ada melalui pendidikan formal atau tidak formal.-HARAKAHDAILY 1/2/2018

(Ikuti tulisan penuh tersebut yang disiarkan dalam Harakah cetak keluaran terbaharu Bil.2320 edisi Jumaat dipasaran)

More Articles ...