PADA kesempatan ini pihak kami merakamkan sekalung tahniah buat warga OKU di negara ini berikutan pelantikan 10 ahli jawatankuasa bagi menduduki Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya bagi sesi 2017-2019 yang seharusnya memartabatkan lagi warga OKU di negara ini.

Dalam pada itu, cukup kami berasa bangga dengan Anugerah Sukan Negara bagi 2016 yang dirangkul oleh atlet para, Abdul Latif Romly, sekaligus memenangi gelaran Olahragawan Kebangsaan. Sekalung tahniah kami ucapkan atas kemenangan yang diraih.

Kedua-dua peristiwa di atas wajar diambil tahu oleh setiap ahli masyarakat terutamanya dari kalangan pimpinan bagi memastikan usaha negara meletakkan hak-hak warga OKU pada tahap yang lebih baik dan menyeluruh mampu kita capai.

Biarpun kita telah punyai perundangan dan komitmen yang lebih baik dalam membangunkan warga OKU yang diunjurkan 4.5 juta di negara ini, ia masih berhadapan dengan pelbagai halangan terutamanya sikap masyarakat dan persekitaran.

Menyedari hal inilah pihak kami seberapa daya akan terus memperkasa gerak kerja dalam isu-isu masyarakat, khususnya berkaitan dengan orang kurang upaya melalui pelbagai aktiviti dan program.

Dengan kekuatan jentera seluruh negara, kami giat menjalankan program kesedaran berkaitan potensi dan keperluan OKU selain menyokong Gagasan OKU Muqarabun yang dijalankan oleh kumpulan-kumpulan NGO OKU.

Adalah besar harapan kami agar sikap kecaknaan dan keprihatinan kepada potensi dan keperluan OKU ini disebarluas oleh penggerak-penggerak masyarakat terutama mereka dari kalangan pimpinan masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

Dr Rosni Adam ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pusat, Parti Islam Se-Malaysia.

UCAPTAMA Ketua Pemuda  Dewan Pemuda Pas Malaysia Muktamar Tahunan DPPM Kali Ke-58 1438H / 2017M
 
1. MUQADDIMAH
 
1.1. Tahmid & Aluan

Yang Berbahagia Tuan Pengerusi Tetap; Yang Dihormati Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS selaku Perasmi Muktamar DPPM Kali Ke-58; Yang Dihormati Seluruh Ahli Majlis Syura Ulama dan Pimpinan PAS Pusat; Yang Dikasihi Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda DPPM; Yang Berusaha Setiausaha DPPM merangkap Pengarah Panitia Muktamar; Ahli – Ahli Jawatankuasa Harian DPPM; Ahli – Ahli Jawatankuasa Kerja dan Pengarah Jabatan DPPM; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Kawasan dan Ahli Jawatankuasa; Pimpinan dan rakan – rakan DHPP; Para Dif Kehormat dan Tetamu Jemputan; Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dikasihi sekalian.
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan penuh rasa ukhuwwah ingin mengucapkan Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua para perwakilan, pemerhati dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Tahunan DPPM kali ke-58 yang bertandang di Negeri Kedah Darul Aman, negeri Jelapang Padi.
 
Cedok air dengan baldi, Cedok nasi dengan senduk; Baik dibawa resmi padi, Semakin berisi semakin ia tunduk.
 
Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Pemuda PAS, merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, di atas kejayaan membentangkan RUU Persendirian bagi meminda Akta 355 pada 6 April 2017 di Dewan Rakyat. Sesungguhnya langkah penuh tertib yang diambil menyerlahkan kesungguhan PAS dalam membawa Obor Mendaulatkan Islam dengan penuh berhikmah, dan wajar diteladani oleh kami Pemuda PAS untuk menjadi benteng dalam memelihara kesucian agama Islam.

1.2. Tema Muktamar
 
Firman Allah SWT:

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam”.
 
Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
 
Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.
 
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  
 
(Fussilat: 33-36)
 
Tema “MARA MENUJU CITA” diangkat dalam Muktamar Tahunan DPPM Kali Ke-58 ini bagi menegaskan betapa pentingnya Pemuda PAS terus mara menerajui agenda Penyelesaian Islam, dengan melebarkan Khidmat Bakti dan menjayakan misi Perpaduan Ummah, sebagaimana yang sering diungkapkan di dalam lagu rasmi PAS, iaitu;
 
Bergeraklah ke gerbang jasa, Kalah menang bukan alasannya; Sucikanlah niat dihati, Hingga nyata benarnya janji Rabbi.
 
Di samping itu, pemilihan logo Muktamar DPPM kali ke-58 yang berbentuk ‘Padi’ adalah simbolik kepada kegigihan dan keazaman yang tinggi di sebalik jelapang padi yang membuahkan hasil, agar setiap Pemuda PAS meningkatkan iltizam untuk terus menabur bakti demi mencapai cita-cita dan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

2. BERGERAKLAH KE GERBANG JASA  
 
Firman Allah SWT:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali-Imran: 104)
 
2.1. Tuntutan Amal Islami dan Amal Jamaie merupakan kerja-kerja kebaikan dan taqwa yang paling penting, dan sangat diperlukan di masa kini. Malah, ia merupakan teras kepada usaha yang diambil oleh PAS, sebagaimana yang terkandung di dalam bahagian Muqaddimah1 kepada Perlembagaan PAS.  
 
2.2. Tugas yang amat berat ini hendaklah digerakkan secara kolektif (Jamaie) dan berkualiti (Itqan), terbina di atas perancangan yang sempurna sehingga membuahkan hasil dan mencapai matlamatnya. Justeru antara elemen penting yang perlu diberi penekanan oleh Pemuda PAS sebagai Abna’ul Harakah adalah:
 
i. Organisasi Tersusun Rapi – Sistem urus tadbir organisasi perlu terus diperkemaskan supaya lebih efisyen. Selain sistem KPI dan Scorecard yang semakin diamalkan di peringkat DPP Kawasan, beberapa aspek pengurusan organisasi wajar diberi nilai tambah, antaranya dalam aspek daftar keahlian, pengurusan sumber manusia, kualiti mesyuarat, aturan kerja (SOP), manual serahan tugas dan sebagainya.   
 
Begitulah juga dalam aspek pengurusan kewangan, yang menuntut kepada pencarian dana dan infaq secara mampan, seterusnya disalurkan dengan cermat bagi menjayakan program yang berimpak tinggi.
 
ii. Khidmat Bakti Disanjungi – Menyarung baju Amal merupakan suatu penghormatan kepada Pemuda PAS. Selain khidmat kebajikan dan kemasyarakatan, fungsi AMAL kini diperluas sebagai pasukan penyelamat dan perubatan, dan semakin diiktiraf oleh pihak kerajaan dan masyarakat awam. Pemuda PAS juga mestilah menjadikan aktiviti kebajikan sebagai jambatan untuk menyantuni rakyat marhaen, golongan gelandangan dan peneroka Felda, agar khidmat bakti dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
                                                          
iii. Pendidikan Dilestari – Sekalung penghargaan kepada para guru PASTI yang gigih melahirkan tunas perjuangan dengan penuh dedikasi. Selain pemantapan silibus dan kualiti pengajaran, kebajikan guru dan keselesaan premis PASTI perlu terus diberi perhatian kita bersama. Di samping itu, tahniah diucapkan kepada penggerak SRITI yang berjaya melepasi sasaran penubuhan 50 buah SRITI baru pada tahun 2017. Perjalanan SRITI yang masih jauh ini pastinya menuntut pengorbanan dan sokongan semua pihak, khususnya dalam aspek dana, waqaf, prasarana, silibus, serta kebajikan guru dan murid.
 
iv. Anak Muda Disantuni – Pemuda PAS perlu terjun ke lapangan untuk kita santuni generasi muda negara. Lajnah Penerangan, Dakwah, Perpaduan Nasional, Alam Sekitar, JPro dan terutamanya DACS2 perlu terus kreatif dalam meneroka dimensi baru untuk ‘bergelumang’ dalam ruang sosial dan minat anak muda dengan membawa mesej Islam, seterusnya diterjemahkan dalam bentuk sokongan undi kepada PAS.   
 
3. KALAH MENANG BUKAN ALASANNYA
 
Firman Allah SWT:

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya” (Al-Anfal: 60)
 
3.1. Para Pemuda PAS perlu diingatkan betapa pentingnya kebergantungan kepada Allah dan meyakini bahawa kemenangan hanya datang dengan pertolongan Allah3, sebagaimana yang diungkapkan di dalam Al-Quran dengan menggunakan beberapa istilah seperti Al-Falah, Al-Fawz, An-Nasr dan Al-Fath. Antara agenda yang perlu diberi fokus oleh Pemuda PAS sebagai Ansorullah adalah:
 
i. Tarbiah Didahulukan - Pentarbiahan kepada pimpinan dan ahli adalah elemen asasi. Pemuda PAS perlu meneruskan kelangsungan program tarbiyah seperti Usrah, Tamrin, Liqa Fikri, dan Ijtima’ Tarbawi di semua peringkat, seterusnya memberi nilai tambah dalam aspek silibus, kompetensi nuqaba’, dan sistem pemantauan.  
                                                          
Selain itu, proses pembentukan fikrah perlu berjalan secara sistematik bagi melahirkan pewaris kepimpinan di kalangan anak-anak ahli PAS (PROTAPAS), remaja (AKAR) dan mahasiswa (JIK), melalui modul yang telah disusun oleh para murabbi terdahulu.
 
ii. Kompetensi Ditingkatkan – Daya kepimpinan menjadi penentu jatuh bangun sesebuah organisasi. Potensi yang tinggi di kalangan ulama’ pelapis dan professional muda perlu digilap melalui ketinggian idealisma, pencapaian akademik dan profesionalisma, seterusnya menjadi barisan hadapan dalam usaha mempersada idea Kerajaan Teknokrat4 yang digagaskan oleh Presiden PAS.
 
iii. Kemenangan Islam Diutamakan – Dalam tempoh kritikal menjelang PRU14, seluruh Pemuda PAS perlu memastikan jentera pilihanraya Pemuda (JPRU, JPRD, JPRK) telah beroperasi sepenuhnya, lengkap dengan data culaan, analisa pengundi, buku isu dan plan tindakan yang dipantau oleh pihak Negeri dan Pusat.  
 
Kita berkeyakinan dengan berkat usaha dan pertolongan Allah, Pemuda PAS mampu merealisasikan hasrat Presiden PAS untuk memenangi minima 40 kerusi Parlimen dan mentadbir 5 buah negeri; dengan komitmen Pemuda PAS untuk meletakkan lebih ramai calon muda dan  menguasai 60% undi anak muda di setiap kerusi yang ditandingi.  
 
Cukuplah untuk saya gambarkan di sini, andai ditakdirkan pindaan Akta 355 diluluskan di Parlimen5, dan PAS berjaya mentadbir minima 5 buah negeri pada PRU14. Kita sebenarnya mempunyai kuasa untuk meminda enakmen undang-undang Syariah di peringkat negeri, di samping mensejahterakan rakyat dengan pelbagai dasar Sosio-Ekonomi Berkebajikan menurut acuan Islam. Ini pastinya memberi kita peluang untuk menyerlahkan keindahan Islam yang belum pernah dilihat di bumi Malaysia yang bertuah ini, insyaAllah.  
 
Saya lontarkan pengharapan ini kepada seluruh Ketua Pemuda Negeri dengan satu persoalan, “Adakah negeri aku termasuk di dalam lima buah negeri yang bertuah itu?”
 
Kita meletakkan keyakinan bahawa negeri tuan rumah, Kedah Darul Aman, pastinya termasuk di dalam negeri bertuah itu, dan insyaAllah akan kembali ditadbir oleh PAS dalam PRU14 ini.
 
4. SUCIKANLAH NIAT DI HATI
 
Firman Allah SWT:

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas." (Al-Kahfi: 28)
 
4.1. Berpegang dengan aqidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam6. Malah, Islam meletakkan aqidah sebagai asas perjuangan dan menjadi pembeza dengan perjuangan berdasarkan ideologi ciptaan manusia, mahupun perjuangan di atas sentimen isu. Justeru antara perkara yang perlu diberi penumpuan oleh Pemuda PAS dalam aspek teras ini adalah:
 
i. Dasar & Kepimpinan Dirahmati – Telah nyata termaktub dalam Perlembagaan PAS bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qiyas. Inilah dasar yang wajib dipertahankan seluruh Pemuda PAS, seterusnya dipersadakan melalui pembudayaan ilmu di kalangan pimpinan dan ahli.
 
Di kesempatan ini, ingin saya sebutkan bersempena dengan Agenda Pemilihan dalam Muktamar kita pada tahun ini. Saya berkeyakinan tinggi dengan kebijaksanaan para perwakilan untuk melantik pemimpin yang terbaik di kalangan kita, khususnya di kalangan mereka yang memiliki kekuatan Aqidah, Ilmu, Akhlaq dan Pengaruh untuk mengemudi bahtera Pemuda PAS.  
 
Inilah keunikan kaedah Syura yang diamalkan kita, dan Syura inilah yang akan melindungi dasar dan kepimpinan PAS.    
 
ii. Perpaduan Ummah Dijadikan Misi – Usaha untuk menyatukan umat manusia mahupun umat Islam keseluruhannya adalah suatu yang amat sukar. Namun Islam menyeru umatnya agar bersatu dan hidup bersaudara di atas dasar Tauhid yang mulia8, sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)
 
Paksi perpaduan yang diperjuangkan PAS adalah Islam, bukan kebangsaan. Islam yang dipegang mesti bebas diamalkan, kuasa kepimpinan Islam dipertahankan, dan kewujudan masyarakat majmuk perlu dimanfaatkan. Negara dan umat Islam perlu diselamatkan daripada Bahaya Yang Dirasai dan Bahaya Menanti, melalui pendekatan dialog, muzakarah dan persetujuan untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama.  
 
Justeru saya menyeru agar PRU14 ini dijadikan medan kepada Pemuda PAS untuk Melebarkan Muafakat dan berperanan sebagai Duta Perpaduan Ummah, dengan membawa mesej “Islam Didahulukan, Kita Bersamanya”. Himpunan 355 menjadi contoh bahawa agenda besar ini mampu dijayakan9, apabila semua pihak yang cintakan Islam dapat duduk bersama tanpa mengira fahaman politik, demi menjayakan cita-cita dan matlamat yang sama.
 
Firman Allah SWT:

“Dan manusia itu pada asalnya hanya satu ummah, lalu mereka berselisihan; dan kalau tiadalah perkataan dari Tuhanmu, nescaya diputuskan perkara dalam hal yang mereka perselisihkan.” (Yunus: 19)
 
5. HINGGA NYATA BENARNYA JANJI RABBI
 
Firman Allah SWT:

“Dan (ada lagi) kurniaan lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang beriman.” (As-Saf: 13)
 
5.1. Al-Quds & Keamanan Dunia  
 
Pembebasan bumi Al-Quds adalah perjuangan yang tidak bernoktah. Justeru segala saluran diplomasi dan misi kemanusiaan akan terus dimanfaatkan oleh Pemuda PAS ke arah kemenangan dan pembebasan bumi Palestin yang tercinta (#WaQudsah), di samping penyelesaian krisis Syria dan Bumi Arab.
 
Pemuda PAS juga berperanan untuk mewujudkan keamanan serantau, khususnya dalam kemelut di Rohingya dan pertindihan tuntutan laut China Selatan, dengan menjalin kerjasama dengan gerakan pemuda Islam di negara ASEAN dan menghalang campurtangan asing yang ingin merosakkan kesejahteraan ummat di rumpun ini.
 
5.2. Mempersada Wawasan Induk Negara Sejahtera
 
Pemuda PAS berperanan besar bagi merealisasikan aspirasi yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (#WINS), melalui anjakan budaya politik negara yang lebih matang dan sejahtera (#BPMS). Agenda mencorak kemenangan yang boleh dibahagikan kepada aspek penambahbaikan dan penyusunan-semula ini, pastinya menuntut kepada komitmen dan kepakaran di kalangan ulama’ pelapis dan profesional muda, mengikut acuan (Sibghah) yang telah ditetapkan oleh Islam.  
 
Dalam hal ini, Kelantan wajar dijadikan model dalam pelaksanaan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, dengan pelbagai program yang membawa kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat dan anak muda.
 
5.3. Agenda Anak Muda Sejahtera
 
Pemuda PAS selayaknya menginsafi kewajipan melaksanakan tuntutan pembinaan negara (nation building) yang lebih sejahtera. Secara ringkasnya, Malaysia kini berhadapan dengan empat krisis utama, iaitu:
 
i. Krisis Keyakinan / Gejala Rasuah - Beberapa kes rasuah berprofil tinggi sedang disiasat oleh SPRM, melibatkan nilai rasuah mencecah ratusan juta ringgit. Ditambah pula dengan kegagalan Kerajaan menangani skandal korporat seperti 1MDB, FGV, MARA dan Tabung Haji, menyebabkan jurang defisit keyakinan semakin melebar di kalangan rakyat.

ii. Kelembapan Ekonomi / Kos Sara Hidup - Rakyat berhadapan dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar, kesan kenaikan inflasi dan cukai yang perlu dibayar. Subsidi minyak dan keperluan asas lain telah mula dihapuskan, menjadikan rakyat lali dengan turun naik harga di pasaran, ditambah pula dengan mahalnya harga kereta dan rumah untuk dimiliki.
 
iii. Gejala Sosial / Kualiti Pendidikan - Statistik berkenaan gejala sosial di kalangan belia negara amat membimbangkan, khususnya dalam kes penyalahgunaan dadah, buang bayi, disiplin pelajar, di samping kes perceraian dan bunuh diri yang kian meningkat. Manakala pencapaian pelajar sekolah dan graduan IPTA tidak menunjukkan peningkatan yang diidamkan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.
 
iv. Ancaman Kedaulatan / Amerika vs China – Semakin banyak projek mega dan strategik diserahkan kepada syarikat China, mendedahkan Malaysia kepada risiko pertembungan geopolitik di antara China dan Amerika pasca-Trump yang telah menarik diri daripada TPPA.
 
Justeru, sebagai kerangka asas terhadap penyelesaian krisis yang melanda negara, beberapa langkah Islah berikut wajar diambil, termasuklah Pembaharuan Perlembagaan dengan agenda pemerkasaan Islam Agama Rasmi Persekutuan, di samping Kebebasan Institusi, Pembaharuan Ekonomi, Pembaharuan Pilihan Raya, Perpaduan Nasional, dan Hubungan Antarabangsa.
 
Di samping itu, sebagai menyahut hasrat anak muda Malaysia yang mendambakan sebuah kehidupan yang lebih sejahtera, Pemuda PAS meletakkan 7 Agenda Anak Muda Sejahtera berikut sebagai asas pembentukan tawaran Manifesto PAS yang akan dilancarkan menjelang PRU14, iaitu:
 
i. Pendapatan Boleh Guna – Memberi Lebih Ringgit Kepada Poket Anda ii. Keupayaan Sara Hidup – Membebaskan Anda Daripada Kesempitan Hidup iii. Pendidikan Berkebajikan – Meningkatkan Kualiti Hidup Melalui Pendidikan Insani iv. Keusahawanan Belia – Membantu Membina Kerjaya Dan Pendapatan Sendiri v. Rumah Mampu Milik – Memiliki Rumah Idaman Sebagai Tempat Berteduh vi. Capaian Pengangkutan – Mobiliti Dalam Dunia Serba Pantas vii. Kesejahteraan Hidup – Menjamin Kesihatan Dan Keselamatan Yang Tersayang

6. PENUTUP
 
Firman Allah SWT:

“Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita; dan benarlah Allah dan Rasul-Nya; dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.” (Al-Ahzab: 22)
 
6.1. Marilah kita mengambil iktibar daripada ketinggian iman dan keyakinan Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya, ketika berhadapan dengan ketumbukan musuh di medan Ahzab, sedang kita juga boleh diibaratkan sedang berhadapan dengan pakatan Ahzab Moden yang bergabung bagi mengekang kemaraan Islam pada hari ini.
 
6.2. Justeru, bertitik tolak di atas tema “Mara Menuju Cita”, marilah kita Terus Beristiqamah untuk memperkukuhkan Kebergantungan kepada Allah SWT, Memantapkan Tarbiyah Kepimpinan dan Ahli, Merapatkan Saf dan Aturan Organisasi, di samping terus meneraju Agenda Penyelesaian Islam dengan melebarkan Khidmat Bakti dan Perpaduan Ummah.
 
6.3. Di penghujung kesempatan ini, ingin saya merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh saf kepimpinan DPPM (#TeamPemuda), yang banyak bersabar dengan karenah saya dalam membantu saya mengemudi sayap penting Jamaah ini, sepanjang dua tahun yang cukup indah dan penuh ukhuwwah.  
 
6.4. Juga sekalung tahniah dan terima kasih kepada jawatankuasa panitia Muktamar, tuan rumah DPPN Kedah, para bentara dan anggota AMAL, penaja budiman serta semua pihak yang menjayakan Muktamar DPPM kali ke-58 ini. Semoga Allah SWT membalas budi baik kalian.  
 
6.5. Akhir kalam, marilah kita meletakkan keyakinan bahawa, “Fajar Islam pasti akan menyinsing pada esok hari, dan sinarannya akan dinikmati oleh semua insan yang ingin menikmatinya”.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Pemuda  
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/4/2017

DAPATAN daripada kaji selidik 10,523 pengundi mengenai kebolehpindahan undi antara parti pembangkang yang dilakukan oleh Invoke Centre for Policy Initiatives (I-CPI) tidak perlu dipandang serius oleh rakyat.

Ini kerana diketahui ramai bahawa I-CPI adalah milik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keneutralan kaji selidik tersebut.

Sebagai pemimpin tinggi PKR, tentu akan ada tuduhan bahawa dapatan kaji selidik tersebut berpotensi digunakan bagi melonjakkan imej PKR sebagai peneraju utama Pakatan Harapan (PH)

Tuduhan ini tidak boleh dipandang remeh kerana PKR didapati paling diterima oleh pengundi parti komponen PH lain, iaitu 87.2% pengundi DAP, 80.4% pengundi Amanah dan 80.3% pengundi PPBM.

Ini berbanding PPBM yang hanya diterima oleh 61.4% pengundi DAP, 66.3% pengundi PKR dan 78.0% pengundi Amanah.

Amanah hanya diterima oleh 61.0% pengundi PKR, 65.5% pengundi DAP dan 68.2% pengundi PPBM manakala DAP pula hanya diterima oleh 69.8% pengundi PPBM, 81.7% pengundi PKR dan 85.1% pengundi Amanah.

Berdasarkan dapatan kaji selidik ini, maka Amanah kelihatan paling menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi tetapi tidak mendapat balasan sama dari ketiga-tiga parti komponen lain, khususnya PKR.

Masalah kelihatan berlaku di dalam hubungan antara PKR dan Amanah apabila hanya 61.0% pengundi PKR sahaja menerima Amanah berbanding 80.4% pengundi Amanah yang menerima PKR.

Begitu juga dengan hubungan antara PKR dan PPBM yang turut tidak seimbang apabila hanya 66.3% sahaja pengundi PKR menerima PPBM berbanding 80.3% pengundi PPBM yang menerima PKR.

Hubungan antara DAP dan Amanah juga kelihatan tidak seimbang bila hanya 65.5% pengundi DAP sahaja menerima Amanah berbanding 81.5% pengundi Amanah yang menerima DAP.

Begitu juga dengan hubungan antara DAP dan PPBM yang kelihatan tidak seimbang bila hanya 61.4% pengundi DAP sahaja menerima PPBM berbanding 69.8% pengundi PPBM yang menerima DAP.

Kesemua ini mendedahkan ketidakikhlasan antara sesama parti komponen PH, khususnya DAP terhadap PPBM dan Amanah serta PKR terhadap Amanah dan PPBM.

Oleh itu, dalam pada ia menunjukkan penerimaan semua komponen PH terhadap PKR, dapatan kajiselidik ini juga menunjukkan belang sebenar bukan sahaja PKR tetapi juga DAP terhadap parti-parti rakan mereka.

Ia menjadi petanda awal betapa parti-parti komponen PH ini, khususnya PKR dan DAP, mempunyai kecenderungan untuk mensabotaj antara satu sama lain demi kelangsungan politik sendiri.

Amanah dan PPBM seharusnya memikirkan semula tahap komitmen mereka terhadap DAP dan PKR apabila dapatan kaji selidik ini menunjukkan kedua-dua parti ini tidak ikhlas terhadap mereka.

Umumnya, dapatan kaji selidik ini bahawa BN mendahului atau PAS tercorot tidak menjanjikan apa-apa apabila jumlah responden yang tidak memberitahu parti yang mereka akan undi adalah terlalu tinggi, iaitu 35%.

Sekali lagi, dapatan kajiselidik ini mungkin sahaja akan ditafsirkan sebagai satu perang psikologi bagi melekakan BN atau bagi melemahkan semangat PAS. – HARAKAHDAILY 26/4/2017

Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia

TULISAN Ketua Eksekutif, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, bertajuk “PAS Has Always Been Conservative” (“PAS Adalah Selamanya Konservatif”) di dalam The Star pada 25 April 2017 adalah dipenuhi dengan tohmahan.

Sesuai dengan nama kolum beliau di dalam akhbar tersebut, iaitu “Thinking Liberally” (“Berfikir Secara Liberal), jelas bahawa matlamat tulisan beliau adalah untuk memaparkan PAS sebagai sebuah parti yang ditubuhkan bagi memperkukuhkan kedudukan Umno.

Fakta ini terlihat melalui kenyataan beliau bahawa Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-3 yang melahirkan PAS di Seberang Perai, Pulau Pinang, pada 24 November 1951 adalah berasal daripada strategi politik Umno (“has its origin in Umno’s political strategy”).

Kata Wan Saiful, Umno di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar merasa bimbang dengan kehilangan sokongan daripada golongan Melayu Islam yang konservatif menyebabkan Umno cuba memposisikan semula dirinya bagi memastikan sokongan mereka kekal.

Ini, kata Wan Saiful lagi, Umno lakukan dengan matlamat untuk mengumpulkan golongan ulamak Islam yang konservatif (di dalam satu wadah) bagi membincangkan langkah-langkah yang mereka perlu ambil menuju ke arah kemerdekaan, di bawah lambang Umno.

Hakikat bahawa Presiden pertama PAS, Haji Ahmad Fuad, adalah Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama UMNO, digunakan bagi mengaitkan PAS dengan strategi politik Umno, begitu juga ucapan sulung Haji Ahmad Fuad yang didakwa menyeru umat Melayu bersatu.

Dakwa Wan Saiful, ucapan bertajuk “Kita Laksana Sampah, Kerana Tidak Bersatu” ini menyeru semua Melayu bersatu di bawah satu lambang, di mana golongan lebih konservatif berada di dalam PAS, tetapi akhirnya semuanya masih di bawah payung besar Umno.

Kata Wan Saiful lagi, konservatisme Melayu kemudiannya menjadi makin kuat. Bila Haji Ahmad Fuad cuba mengubah PAS menjadi kurang perkauman dengan membawa PAS mendekati IMP, parti bukan perkauman milik Datuk Onn Jaafar, beliau ditolak oleh PAS.

Simpul Wan Saiful, perpaduan Melayu adalah asas penubuhan PAS dan inilah yang berlaku di dalam PAS yang kini kembali kepada bentuk asalnya sebagai sebuah parti konservatif Melayu yang memperjuangkan perpaduan Melayu seperti kehendak Datuk Onn Jaafar.

Kebanyakan dakwaan Wan Saiful di dalam tulisan ini sebenarnya adalah dakwaan palsu yang tidak disertakan sebarang bukti konkrit, apatah lagi rujukan kepada dokumen-dokumen rasmi era awal penubuhan PAS, sekali gus adalah berupa satu pemesongan fakta sejarah.

Tulisan sebegini jelas mahu memalitkan PAS dengan imej sebagai kuda tunggangan Umno dan melegitimasikan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan, termasuk Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, bahawa undian untuk PAS adalah menyamai undian untuk Umno.

Benar, Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Pertama di Muar, Johor, pada 21 dan 22 Februari 1950 berpunca daripada keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 16 Januari 1950 melangsungkannya, ekoran desakan pelbagai pihak mengenai isu-isu agama.

Benar Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Pertama ini turut dihadiri oleh wakil Umno Bahagian, dirasmikan pembukaannya oleh Pengerusi Tetap Umno, Syed Abdul Kadir Mohammed, dan dirasmikan penutupannya oleh Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar.

Benar, Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23 Ogos 1951 berpunca daripada keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 30 Jun 1951 melangsungkannya, ekoran desakan Bahagian Agama Umno.

Benar, Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2 ini turut dihadiri oleh wakil Umno Bahagian, dan dirasmikan pembukaannya oleh Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar, tetapi Datuk Onn Jaafar sudah tidak lagi bergelar Presiden Umno mulai dari 26 Ogos 1951.

Tercatat dalam lipatan sejarah Umno bahawa Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno apabila cadangan untuk membuka keahlian Umno kepada golongan bukan Melayu ditolak dan bahawa Tengku Abdul Rahman Putra dipilih menggantikan beliau.

Tercatat dalam lipatan sejarah Umno bahawa Presiden pertama PAS, Haji Ahmad Fuad, adalah pencabar Tengku Abdul Rahman Putra dalam pemilihan jawatan Presiden Umno dan bahawa Haji Ahmad Fuad mengumumkan keluar dari Umno pada 2 Disember 1951.

Benar, usul menubuhkan “Persatuan Ulama' Se-Malaya” yang diluluskan oleh Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2, dan yang membawa kepada kelahiran PAS, dikemukakan oleh Ahmad Fuad Hasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno.

Bagaimanapun, Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-2 ini juga memutuskan bahawa persatuan ini tidak akan terikat dengan Umno, perjumpaan penubuhannya tidak akan dianjurkan oleh Umno dan perbelanjaan baginya akan ditanggung oleh pesertanya.

Disebabkan ketidakterikatan “Persatuan Ulama' Se-Malaya” dengan Umno-lah maka kehadiran wakil Umno Bahagian di dalam Perjumpaan Alim Ulama' Se-Malaya Kali Ke-3 di Seberang Perai, Pulau Pinang, pada 24 November 1951 tidak seramai sebelumnya.

Dakwaan Wan Saiful bahawa penubuhan PAS adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Umno ternyata jauh tersasar kerana di dalam perjumpaan penubuhan PAS ini sendiri terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa PAS bukanlah alat Umno.

Pertamanya, nama “Persatuan Ulama' Se-Malaya” itu sendiri diubah oleh para perwakilan menjadi “Persatuan Islam Se-Malaya” sekali gus membuka penyertaan PAS kepada massa berbanding hasrat awal penganjur untuk membukanya hanya kepada ulama' sahaja.

Keduanya, unsur politik juga dimasukkan pada tujuan utama PAS menjadi “mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan agama Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi”.

Sepanjang kajian saya, tidak wujud ucapan Haji Ahmad Fuad selaku Presiden PAS yang menyeru semua Melayu bersatu di bawah satu lambang, di mana golongan lebih konservatif berada di dalam PAS, tetapi akhirnya semuanya masih di bawah payung besar Umno.

Tidak munasabah untuk Haji Ahmad Fuad membuat seruan begitu dalam keadaan mentor beliau, Datuk Onn Jaafar, sudah tidak lagi bergelar Presiden Umno dan beliau sendiri dikalahkan oleh Tengku Abdul Rahman Putra dalam pemilihan jawatan Presiden Umno.

Dakwaan Wan Saiful bahawa perpaduan Melayu, yang dikaitkan dengan Umno, adalah asas penubuhan PAS juga tersasar kerana jelas bahawa Perlembagaan pertama PAS yang diluluskan oleh para perwakilan menyebut mengenai “perikatan persaudaraan Islam”.

Wan Saiful juga terang-terang berbohong apabila menyebut bahawa sebab Haji Ahmad Fuad ditolak oleh PAS adalah kerana cubaan beliau mengubah PAS menjadi kurang perkauman dengan membawa PAS mendekati IMP, parti bukan perkauman milik Datuk Onn Jaafar.

Muktamar Khas PAS di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 26 September 1953 menolak cadangan supaya PAS meneruskan penyertaan di dalam Persidangan Kebangsaan (National Conference) yang diasosiasi dengan Datuk Onn Jaafar bukan kerana isu perkauman.

Sebab utama cadangan ini ditolak, dan cadangan menyertai Perhimpunan Kebangsaan (National Convention) anjuran Umno-MCA diterima, adalah kerana penyertaan di dalam Perhimpunan Kebangsaan akan membolehkan kemerdekaan dicapai dengan lebih cepat.

Ini kerana Perhimpunan Kebangsaan mencadangkan supaya pilihan raya sebagai persiapan kemerdekaan dilangsungkan dengan lebih cepat, pada tahun 1954, dua tahun lebih awal berbanding tarikh yang dipersetujui oleh Persidangan Kebangsaan, iaitu tahun 1956.

Begitupun, penyertaan PAS di dalam Perhimpunan Kebangsaan turut berakhir pada 11 Oktober 1953 apabila bantahan dua wakilnya ke atas cadangan untuk memperluaskan hak mengundi mengikut dasar jus soli telah ditolak oleh mesyuarat perhimpunan itu.

Apa yang jelas daripada komentar ringkas saya ini adalah bahawa, berdasarkan penelitian ke atas dokumen-dokumen rasmi era awal penubuhan PAS, tiada catatan rekod yang menunjukkan PAS pernah menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak.

Apatah lagi apabila Perlembagaan PAS dipinda oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-3 di Parit Buntar, Perak, pada 12-14 Ogos 1954 bagi memperuntukkan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitab Allah dan Sunnah Rasul serta Ijma' Ulama'.

Begitu juga dengan pengisian fasal “Tujuan PAS” dengan butiran “menjalankan ikhtiar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam” dan “memperjuangkan cita-cita Islam di dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara”. – HARAKAHDAILY 25/4/2017

KABOTAJ adalah pengangkutan barangan atau penumpang antara dua titik dalam negara yang sama. Asalnya bermula dengan perkapalan, kabotaj kini juga meliputi penerbangan, kereta api dan pengangkutan jalan. Kabotaj adalah "perdagangan atau pelayaran di perairan pantai, atau, hak eksklusif negara untuk menguruskan trafik udara di wilayah itu. Dari segi politik, kabotaj adalah untuk mengawal had perdagangan dengan syarikat tempatan dikenali sebagai perlindungan. Asas bagi peraturan kabotaj termasuk keselamatan negara dan keperluan untuk melindungi keselamatan awam.

Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg setiap barang yang kita import perlu melalui Pelabuhan Klang. Pada masa lalu, mungkin ia boleh diterima kerana terdapat kekurangan volum tetapi sekarang, kami telah mewujudkan perdagangan antarabangsa.

Jadi ia adalah masa untuk menghapuskan kabotaj supaya kapal-kapal dari luar negara boleh datang terus ke Sarawak.

PAS menyokong penuh saranan Ketua Menteri Sarawak agar Sarawak diberi kebebasan untuk mengimpot barangan dari luar tanpa perlu melalui Pelabuhan Klang. Jarak perjalanan dan untuk kapal dagang dari luar berurusan dengan Pelabuhan Klang menyebabkan barang dari China dan Jepun menjadi lebih mahal.

Kos pengangkutan untuk berulang-alik untuk sampai ke pelabuhan yang terdapat di Sarawak menjadi mahal disebabkan terpaksa melalui Pelabuhan Klang.

Dari dulu lagi kita pernah sarankan pemansuhan dasar kabotaj di Sarawak kerana ianya boleh mengurangkan kos harga barangan untuk rakyat Sarawak. Dengan pemansuhan dasar kabotaj ini sekurang-kurangnya harga barangan di Sarawak akan setanding atau kurang dari harga barangan dari Semenanjung Malaysia.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat dan tidak stabil ini maka seharusnya kerajaan persekutuan memansuhkan dasar kabotaj untuk Sarawak dan Sarawak berhak mendapatkan kuasa autonomi bagi memudahkan urusan perdagangan di peringkat antarabangsa.

Mungkin ini adalah salah satu cara untuk mengurangkan beban pengguna yang terpaksa bayar lebih harga barangan dari luar negara. Kita menggesa kerajaan persekutuan dapat menilai sendiri pemintaan kerajaan Sarawak ini kerana ianya melibatkan pengguna serta keperluan rakyat tempatan.

Pemansuhan dasar kabotaj juga boleh merangsangkan lagi pembangunan dan meringankan kos pelan pembangunan infrastruktur asas di negeri ini seperti bahan-bahan binaan yang murah dan pengguna juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga yang berpatutan. Kerajaan juga perlu memantau harga barangan keperluan agar ianya tidak dijual dengan harga yang terlampau tinggi sehingga membebankan pengguna.

Mudah-mudahan hasrat kerajaan dan rakyat Sarawak untuk melihat pemansuhan dasar kabotaj oleh kerajaan persekutuan menjadi kenyataan dan boleh meringankan beban harga kos barangan keperluan asas di Sarawak. Sarawak tidak memerlukan dasar kabotaj kerana ia tidak adil bagi negeri ini. - HARAKAHDAILY 26/4/2017

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak

PANDANGAN umum ada yang melihat PAS itu seperti sebuah masjid, di mana di dalamnya terdapat orang baik-baik sahaja. Namun hakikatnya, mereka yang menganggotai PAS juga adalah manusia biasa dan lumrahnya tidak lari dari kesilapan.

Tetapi individu di dalam PAS yang melakukan kesilapan tidaklah dia diperlakukan seperti ‘putus atau buang saudara’ atau ‘tidak mengaku anak’. Kecuali yang melampau menyelisihi disiplin parti atau terbukti melakukan jenayah.

Ia berbeza dengan nasib malang dihadapi Ketua AMK Ampang, Dato’ Adam Rosly. Semua pernah melihat keaktifannya dalam gerakan anak muda PKR dan bersama individu atau pimpinan utama parti itu. Tetapi belum pun beliau disabitkan dengan kesalahan yang didakwa atasnya, mereka itu sudah terpinga-pinga mendakwa tidak mengenalinya.

Terkini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula bermulut serong apabila cuba menoreh imej negatif kepada PAS dengan menyatakan Adam adalah bekas ahli PAS. PAS boleh menerima hakikat sebiji buah buruk dalam setandan pisang, tetapi ternyata tidak pada PKR. Bahkan dengan tempelakan Rafizi itu, seolah-olah PKR meletak Adam seumpama nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.

Adam bagaikan terbuang terus dari PKR yang dilihat cuba berlagak suci. Walhal, PKR itu sebenarnya lebih layak diumpama seperti susu masam dalam belanga berkulat. Malu untuk ditulis semula senarai skandal dan kesipuan yang sudah masyhur dalam pengetahuan umum. Tetapi cukuplah direnung singkap keadaan PKR selepas tragedi ‘Langkah Kajang’ yang akhirnya menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dari PKR sendiri.

Sebelum dijatuhkan, kecemerlangan TSKI mengetuai Kerajaan Negeri Selangor menjadi aset kekuatan Pakatan Rakyat (PR) hingga mengulangi kemenangan jitu pada PRU13. Tetapi mereka merungut kepadanya bahawa TSKI itu dikatakan bakhil, kedekut dan susah memberi wang, sedangkan beliau mempertahankan amanah rakyat hingga rizab negeri juga meningkat di bawahnya.

Seterusnya beliau dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan TSKI berjaya menjawab dengan semua fakta yang sebenar. Sampailah satu ketika, pertuduhan kepadanya dipanaskan lagi hingga membawa beliau dihadapkan ke Majlis Presiden yang diwakili pimpinan-pimpinan tertinggi dari PKR, PAS dan DAP. Namun, beliau menjawab dengan cemerlang dan Majlis Presiden berpuas hati dengan penjelasan padunya.

Namun, secara tiba-tiba berlaku arahan pengosongan kerusi Dun Kajang dan Pilihan Raya Kecil diadakan walaupun tanpa perbincangan dengan pihak PAS yang akhirnya membawa kepada pertukaran MB di mana naiknya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam erti kata lain, TSKI dijatuhkan secara terhormat, malah PAS turut disenteng keluar hasil percaturan jahat DAP hingga kemudiannya melahirkan Pakatan Harapan (PH) terdiri dari DAP, PKR dan PAN.

Tragiknya, imej bersih Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR sebelum itu semakin ternoda dengan pelbagai keraguan dan skandal yang terpalit atas kerajaan dan individu antaranya:
• Rafizi mendakwa pentadbiran Azmin mempunyai skandal rasuah dan seks;
• Kontroversi Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) melibatkan wang lebih RM2 bilion;
• Dakwaan mahu melarikan RM500 juta setahun wang Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS);
• Kemusykilan kerana melibatkan pengendali dari luar Selangor untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE);
• Pemilikan dan kekayaan meragukan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua AMK Ampang, Dato’ Adam Rosly;
• Keraguan kos RM9.8 juta untuk baik pulih Pintu Gerbang Selangor;
• Kalah dalam tuntutan semula bayaran pampasan RM2.7 juta kepada bekas kakitangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

Bermakna, ketika adanya PAS, kerajaan terkawal dari sebarang ketidaktelusan dan penyelewengan. Tetapi kerajaan mula terpalit dengan isu dan skandal berkaitan apabila PKR mula menjauhi PAS. Ketika sama berkoalisi dalam PH yang sememangnya cuba dicengkam oleh DAP dengan watak ‘Abang Besar’nya, ditambah watak rakus PAN terhadap kedudukan. – HARAKAHDAILY 26/4/2017

SEMALAM diumumkan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) berjaya mencapai persetujuan bagi penyelesaian yang melibatkan prosiding timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

Walaupun itu dinamakan "penyelesaian", tapi nampaknya penyelesaian itu langsung tidak menguntungkan 1MDB mahupun Malaysia. IPIC mendapat hampir segala yang dituntutnya pada 2016.

Kementerian Kewangan Malaysia kini terdedah dengan pembayaran hutang beserta faedah sehingga mencecah AS$4.7 bilion termasuk AS$1.2 bilion yang dipinjam kepada 1MDB pada 2015 dan semua tanggungjawab semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok dua bon berjumlah AS$3.5 bilion yang akan matang pada 2022.

1MDB menyebut bahawa pengewangan unit dana pelaburan menjadi satu cabaran besar dalam mematuhi penyelesaian timbang tara antara 1MDB dan IPIC. Sekiranya 1MDB gagal me-tunaikan unit dana pelaburannya, siapa yang bakal membayarnya? Apakah duit akan disedut dari rakyat lagi?

Memandangkan 1MDB menyebut bahawa penyelesaian timbang tara ini merupakan sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, sudah tiba masanya laporan audit 1MDB didedahkan kepada umum bagi rakyat memahami bagaimana pelan rasionalisasi ini akan dijayakan. Sepatutnya tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan daripada laporan 1MDB itu.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
25 April 2017 - HARAKAHDAILY 25/4/2017

More Articles ...