ANGIN Subuh meniup sepoi bahasa. Hujan lebat yang membasahi bumi Jelapang Padi malam tadi saksi keghairahan pejuang agama Allah membukti tekad Istiqamah dijalan-Nya.

Malam tadi usai Maghrib dan Isyak, kemudi parti Islam ini telah bertemu muka dengan segenap kepimpinan pelbagai peringkat bagi memberi pencerahan dan amanat sebelum berlangsungnya Perasmian Muktamar Penuh PAS Pusat ke-63 di Kompleks PAS Kedah.

Murabbi Ummah itu tiada istilah rehat dalam kamus juangnya, apatah lagi ketika wadah perjuangan Islam ini dihenyak, difitnah kiri dan kanan oleh mulut 'capoi' bekas-bekas rakan sejawat, musuh Islam dan liberalis, sosialis dan segala isme yang songsang yang tidak mahu Islam meneraju negara.

Tatkala negara hari ini dalam ketempangan amat parah, Murabbi Ummah, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini datang dengan penyelesaian tuntas bersandar Islam dengan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Budaya dan pendekatan bukan menghentam, bukan sekadar membidas, tetapi memberi solusi ampuh demi melihat Islam meneraju negara yang dicintai ini.

Muktamar PAS ke-63 sekali lagi bakal menyaksikan parti Islam ini memilih sekali lagi teraju kepimpinan malah inilah garaban barisan pejuang hadapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Maka banyak mata memerhati dan terus memerhati tingkah, keputusan dan segala yang berlaku di muktamar ini.

Bukan itu sahaja, kedengarannya parti memerintah juga menjadikan muktamar ini sebagai benchmark kepada mereka dalam menentukan bila titik tarikh membubar Parlimen.

Angin dan gendang pilihan raya kedengaran cukup kuat bertiup, bercerana dalam dua tiga bulan ini.

Pagi ini Murabbi Ummah akan membaris amanat dalam Ucapan Dasarnya untuk dihayati, dihadam para pejuang Islam dalam mengatur strategi membuka langkah menuju cita.

Usai ucapan dasar pastinya majlis perasmian muktamar penuh akan disusuli pemilihan dan esok pula akan ada perbahasan ucapan dasar para perwakilan.

Pastinya antara isu yang bakal menjadi tumpuan khusus pemerhati serta media adalah usul mengkaji atau memutus hubungan Tahaluf Siyasi dengan PKR.

Apatah lagi dua dewan telah memutuskan usul bercerai dengan PKR jalan terbaik berdepan PRU14.

Apapun muktamar ini Pasti menatijahkan satu gerakan dan dimensi baharu kepada PAS merencana jalan dakwah dan siasah disemat Tarbiyah untuk para amilin, penyokong dan kepimpinan melebar sayap perjuangan membawa panji kemenangan Islam. – HARAKAHDAILY 29/4/2017

Penulis adalah Ketua Pengarang Harakah

HUJAN lebat yang turun membasahi bumi Alor Setar malam tadi telah merubah kawasan persekitaran Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar menjadi 'jelapang padi'. Bumi yang becak hanya perkara enteng sahaja yang perlu dihadapi oleh perwakilan dan pemerhati yang akan memenuhi pekarangan kompleks yang menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Ke-63 pada pagi ini bagi mengikuti acara perasmian dan pembentangan ucapan dasar oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden.

Sebelum subuh lagi saya telah keluar dari teratak penginapan Krew Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dengan hajat untuk bersama menunaikan solat subuh berjamaah di Masjid Kompleks PAS Kedah. Di samping itu datang awal perlu bagi mengelakkan kesesakan.

Walau ada yang kata 'Muktamar PAS tak ada class', tapi saya yakin mereka yang datang lewat akan terpaksa parking kenderaan dan menapak dalam jarak yang jauh. Biarlah kita kekal dengan 'class' kita yang tersendiri.

Menarik juga pagi ini sebagaimana yang diumumkan oleh Datuk Setiausaha Agung PAS bahawa pimpinan PKR masih berada dalam senarai tetamu jemputan walaupun usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR telah diluluskan oleh Muktamar Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Bagaimana menggambarkan PAS sangat matang dalam menguruskan soal tahaluf siyasi dengan rakan yang satu ini. Selagi Majlis Syura Ulamak belum membuat keputusan dan ketetapan, secara rasminya PAS masih bertahaluf dengan PKR!

Muktamar Tahunan PAS Ke-63 yang akan membuka tirainya pada pagi ini juga merupakan muktamar terakhir sebelum PRU 14. Kepimpinan PAS Pusat yang akan dipilih oleh perwakilan dalam proses pengundian pada petang ini ialah 'Kabinet Perang' untuk menuju medan jihad PRU14. Walau sudah dekat dengan PRU, PAS sentiasa tenang melangkah tanpa rasa gusar akan berlaku perpecahan lantaran proses pemilihan yang berlangsung. Inilah uniknya PAS.

Kedah negeri yang dianugerahkan Allah dengan muka bumi yang subur. Kehijauan sawah padi nun jauh mata memandang sangat mendamaikan pandangan. Sememangnya warna hijau itu damai dan menyegarkan...

Dr Azman Ibrahim
Kompleks PAS Kedah
29 April 2017 - HARAKAHDAILY 29/4/2017

KOTA Sarang Semut yang menempatkan Kompleks PAS Kedah menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negara sejak Rabu lepas. Muktamar PAS kali ini dilihat boleh menjadi petunjuk aras menzahirkan kekuatan pembangkang.

Segmen politik pembangkang lebih terarah kepada PAS kerana faktor usia yang kini melewati 66 tahun. Jatuh bangun dan perjuangan  di dada demokrasi paling banyak ditimba PAS berbanding parti pembangkang lain.

Paling muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hadir bagi mewarnai lagi politik tanah air di gelanggang pembangkang. Biar pun parti itu dipimpin tokoh negarawan, namun kali mereka tidak memiliki sebarang kekuatan jentera kerajaan, media dan wang ringgit.

Dari aspek usia Tun Dr Mahathir Mohamad berada di senarai paling atas kelompok pembangkang.  Namun sebahagian besar usia bekas perdana menteri itu dihabis ketika bersama Umno dan Barisan Nasional (BN).

Biarpun parti baharu muncul seumpama cendawan tumbuh selepas hujan, namun mereka belum diuji dengan mehnah dan perjuangan.

Pemimpin PAS yang datang silih berganti berdepan dengan pelbagai ujian dan halangan. Pada zaman awalnya tok-tok guru dari institusi pondok ditahan di bawah ISA kerana bersama dengan perjuangan PAS.

Bagi ahli PAS yang berkhidmat sebagai guru, kisah ditukar di sana sini sudah menjadi asam garam. Ditukar mengajar di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bukan lagi perkara asing.

Berbanding dengan penjawat awam lain, guru paling ramai yang menjadi mangsa percaturan kerajaan Umno dan BN. Berbeza bagi guru yang mendokong Umno, mudah diberi kenaikan pangkat dan kedudukan.

Kerajaan negeri pun didera

Begitu juga bagi segmen lebih besar lagi sebuah kerajaan negeri. Kelantan yang ditadbir PAS dua sesi bermula 1959 berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran.

Deraan daripada mendapat peruntukan kewangan bagi membangunkan negeri sudah menjadi alah bisa tegal biasa. Pernah kerajaan PAS ketika di bawah Datuk Mohd Asri terpaksa mendapatkan pinjaman dari bank luar bagi membiayai program pembangunan untuk rakyat.

Malah peruntukan bagi membina jambatan menyeberangi Sungai Kelantan di Kota Bharu yang sudah dilulus dikatakan dihantar ke negeri lain selepas kerajaan Perikatan kecundang pada pilihan raya umum (PRU) 1959.

Begitu juga ketika di awal pentadbiran Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, peruntukan projek bekalan air Kelantan Utara (Baku) sebanyak RM60 juta yang sudah dilulus ditarik balik.  

Kerajaan PAS di Kelantan juga terpaksa mendapat pinjaman bank bagi meningkatkan projek bekalan air bersih untuk rakyat.

Inilah susur galur dan liku-laku perjuangan yang terpaksa dilalui PAS kerana berjuang atas nama Islam. Berbeza dengan PKR di Selangor yang mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 ketika negeri itu sudah jauh maju.

Begitu DAP di Pulau Pinang, pembangunannya sudah tepu sehingga orang Melayu terpaksa berhijrah ke Seberang Perai, Seberang Jaya atau Kepala Batas.

Maka tidak hairanlah muktamar PAS kali ke-63 bermula esok berupaya menarik perhatian banyak pihak. Kisah hubungan ‘cinta’ antara PAS dan PKR antara babak-babak yang  pastinya menarik perhatian ramai.

Biar pun muktamar penuh akan berlangsung esok, namun PKR dan DAP kelihatan agak gelisah. Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail khabarnya sudah meminta Exco PAS dan pemegang jawatan politik di Selangor melepas jawatan.

Begitu juga Lim Guan Eng tiba-tiba bermadah tidak ada orang bukan Melayu yang mahukan jawatan Perdana Menteri. Beliau merujuk usul muktamar Dewan Ulama PAS yang mencadangkan jawatan perdana menteri disandang orang Melayu beragama Islam.

Guan Eng seolah-olah lupa kenyataan lampau DAP dan pemimpin bukan Melayu lain. Mereka memasuki kerana mahukan kuasa.

Apa pun muktamar PAS tetap menjadi segmen penting yang perlu diikuti rakyat Malaysia. Biarpun nampak PAS seperti bersendirian, kelibatnya seumpama Hang Tuah.

Tuahlah membunuh Jebat yang derhaka. Tunggulah episodnya sehingga 1 Mei ini. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

PAS sebagai sebuah bahtera besar yang belayar di lautan luas, memang lumrah bila ada ketikanya dilanda badai. PAS jangan dibuat bandingan dengan jemaah kecil yang lain. Mereka hanya ibarat perahu kolek yang belayar dalam kolam. Tak ada pengalaman dipukul badai. Tapi andainya perahu kolek ini tersesat masuk ke lautan luas, bahaya bakal menjelma. Tak mustahil perahu kolek akan bertukar menjadi kapal selam mini!

Lumrah di lautan, selepas badai melanda, laut akan tenang setenang-tenangnya. Ketika itu pelayaran bahtera akan menjadi lancar dan bahtera mampu ke depan dengan lebih laju. Anak-anak kapal yang terbaring dalam kabin dek kerana mabuk laut boleh kembali keluar dari kabin untuk meneruskan kerja masing-masing. Tinggalkan yang mabuk dan tak sabar lalu terjun ke laut sebelum ini. Adanya mereka menganggu keharmonian pelayaran. Jenis tak sabar dan merasakan pelayaran lambat sampai ke destinasi, biarkan mereka terjun naik kapal lain. Itu pun kalau nasib baik tak lemas ditelan ombak.

Perjalanan kita masih jauh dan penuh pancaroba. Adalah lumrah bila menempuh perjalanan panjang secara berjamaah, akan ada perbezaan pandangan dan pendapat antara ahli pelayaran. Ini adalah fitrah kerana air hujan yang sama turun dari langit lalu membasahi bumi tetapi menumbuhkan tanaman dengan pelbagai bentuk dan menghasilkan buah yang pelbagai rasa.

Mereka yang mengharapkan manusia semua sama tanpa sebarang perbezaan bagaikan mereka yang menyangka, lantaran kerana hujan yang sama menyirami bumi maka sepatutnya ia hanya menumbukan pohon-pohon yang sama sahaja!

Bukan semua perkara yang diputuskan oleh Nakhoda sepanjang pelayaran ini bersesuaian dengan kehendak kita. Tetapi Nakhoda wajib ditaati selagi dia tidak bertindak menenggelamkan bahtera atau melencong arah pelayaran lari dari kompas yang ditetapkan oleh perlembagaan. Ahli pelayaran terbuka untuk memberikan pendapat tetapi bukanlah akhlak yang baik andai sepanjang masa kita sentiasa berbantah tak berkesudahan melawan Nakhoda.

Kalau perlukan air, jangan tebuk bahtera untuk mendapatkan air secara mudah. Naiklah ke atas dan dapatkan sumber air dari tempat yang sepatutnya. Walau sedikit lambat dan perlu sedikit usaha, yang utama fikirkan keselamatan sahabat-sahabat sepelayaran kita. Jangan pentingkan diri sendiri sehingga membahayakan orang lain.

Kita juga jangan fikir nak buat macam-macam bentuk perahu-perahu kecil yang lain dengan mengopek lalu mengambil kayu dan papan dari bahtera sedia ada sehingga akhirnya struktur bahtera ini menjadi lemah. Kalau nak bina juga perahu-perahu kecil lain sebagai sokongan, dapatkan bahan binaan dari sumber lain. Selepas itu kita bersama mengukuhkan armada pelayaran ini.

Muktamar Tahunan PAS Ke-63 adalah muktamar pasca badai yang melanda pada tahun 2015. Sebagai salah seorang ahli pelayaran ini, saya menitis air mata kesyukuran melihat ketenangan yang dianugerahkan Allah akhirnya kepada perjalanan bahtera besar ini. Alangkah besar anugerah Allah yang memilih kita untuk terus istiqamah berada di sini. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

HUJAN mencurah lebat dengan jutaan kubik air menampar-nampar Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut pada malam Taklimat Presiden PAS. Negeri yang  sarat dengan sejarah PAS itu ialah antara negeri yang disasarkan oleh PAS untuk dimenangi dalam PRU ke-14. Negeri jelapang padi ini yang sarat dengan jajaran sekolah agama rakyat ini membekalkan pendukung PAS yang kental serta tahan uji.

Seorang mantan MB Kedah daripada BN pernah menyebut tentang korelasi antara "padi, pondok dan PAS" dan beliau merujuk kepada fenomena kekuatan PAS di negeri jelapang padi ini. Tuan Guru Othman al Yunusi telah menubuhkan PAS pada 6 September 1952 di Madrasah an Nahdah Bukit Besar, dengan dukungan agamawan dan para asatizah. Semenjak awal PAS berkubu di pondok dan Sekolah Agama Rakyat di seluruh negeri Kedah. Cawangan pertama PAS di Kedah ialah di Bukit Besar, manakala tokoh muda PAS seperti Ustaz Amaluddin Darus telah berusaha untuk mengembangkan PAS di negeri Kelantan. Almarhum Ustaz Amaluddin juga telah menemui guru-guru pondok di Kelantan untuk menerangkan nuansa perjuangan PAS sehingga Kelantan menjadi pangkalan kuasa kepada PAS semenjak dekad 1950-an.

Berbeda dengan Terengganu atau pun Kelantan, Kedah agak unik dengan pengaruh PAS berkubu kuat di kawasan agrarian, di mana institusi pondok dan sekolah agama rakyat berfungsi untuk mencerdaskan rakyat. Manakala di Terengganu dan Kelantan pula, semakin terperusuk jauh di pedalaman maka UMNO semakin bertakhta merantai fikiran dan akal budi rakyat.

Negeri yang pernah berdaulat Raja Merong Mahawangsa ini juga tak lekang dengan sejarah pertembungan, pembantaian, serta melahirkan ramai tokoh-tokoh pimpinan pelbagai parti politik. Pada tahun 1955 telah berlangsung Rundingan Baling antara pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan pimpinan PKM. Namun pemberontakan Bintang Tiga gagal untuk ditamatkan dengan perjanjian tersebut.

Pada tahun 1974 berlaku bantahan awam di Baling Kedah akibat kegelisahan sosioekonomi rakyat jembel dan mahasiswa. Peristiwa yang memicu kebangkitan gerakan mahasiswa ini berakhir dengan tangkapan ISA besar-besaran kepada pimpinan pelajar di seluruh negara. Pada tahun 1980 pula, rejim BN telah menahan pimpinan pemuda di Kedah akibat demonstrasi padi. Antara yang ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arsyad, Ustaz Othman Marzuki, Haji Rafie, Haji Salahudin Mansor dan lain-lain tokoh pemuda.

Kedah memahat sejarah dengan  pembunuhan aktivis PAS, Ustaz Othman Talib pada tahun 1985 di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap dalam Pilihanraya Kecil. Pada 19 November 1985 Tragedi Memali telah mencuri lensa berita dalam dan luar negara. 14 orang ahli-ahli PAS telah dibunuh termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud dalam peristiwa berdarah yang kekal menjadi bagasi sejarah kepada rejim Dr Mahathir.

PAS kedah terus bangkit mempersada perjuangan, menyemarakkan jihad ta'lim seperti suburnya jaringan sekolah rendah SRIDU. Pimpinan PAS Kedah iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang terinspirasi dengan kompleks Jamiat Islami di Pakistan maka lahirlah Muassasah Darul Ulum di Pokok Sena. Kolej Islam Darul Ulum adalah lambang kesungguhan Perhubungan PAS Kedah untuk mencetak generasi kepimpinan dan keseriusan membina perkaderan.

Usaha membina Muassasah Darul Ulum dibayar dengan harga yang sangat mahal termasuk dengan tangkapan ISA yang dikenali sebagai Operasi Kenari pada tahun 1988. Aktivis PAS Kedah terus bangkit melebarkan pengaruh perjuangan Islam , sehinggalah pada tahun 2008, PAS Kedah telah berjaya merengkuh kekuasaan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato Seri Azizan Razak telah dilantik sebagai MB Kedah yang kesepuluh. Almarhum dalam tempoh sepenggal pemerintahan telah berjaya melakarkan pelbagai kejayaan yang sangat manis. Antaranya pemerkasaan pendidikan tinggi, pengupayaan ekonomi walaupun negeri ini terhad dengan sumber khazanah.
 
Muktamar PAS kali ke-63 ini juga adalah lonjakan besar bagi PAS Kedah untuk kembali menawan Wisma Darul Aman dalam PRU ke-14 ini. Pendukung PAS Kedah dengan semangat yang membuncah berjaya menyiapkan prasarana Muktamar, pengorbanan mereka sangat besar sehingga Kompleks PAS Kedah adalah saksi mata kesungguhan tanpa lelah. Jom teman-teman semua, kita gempur dan semarak hijaukan bumi Kedah ini, bumi bersimbah darah syuhada Memali. Kedah adalah milik PAS kali ini!

PERISTIWA tragis yang menimpa kepada adik Mohd Thaqif pelajar Maahad Tahfiz sehingga meninggal dunia perlu diambil iktibar oleh semua orang. Siasatan dan tindakan mesti diambil kepada mereka yang terlibat, bukan diarahkan tutup semua sekolah tahfiz persendirian.

Marah pijat, jangan bakar kelambu. Cadangan menutup semua sekolah tahfiz oleh Zainudin Maidin adalah  cadangan daripada manusia yang habis cerdik. Semua orang kenal Zainudin Maidin, makhluk yang kita kenal dulu, kini selamanya cukup elergik dengan institusi agama.

Sepatutnya kerajaan perlu berterima kasih kepada pihak persendirian yang membantu kerancakan pendidikan di negara ini.

Jika atas alasan kematian Mohd Thaqif maka disuruh tutup, bagaimana pula kejadian buli dan penderaan yang berlaku di sekolah aliran kebangsaan, malahan ada kes kematian di kem PLKN. Kenapa pula tidak ada cadangan supaya tutup sahaja sekolah dan PLKN?.

Antara rekod buli sehingga kematian seperti berlaku di Sekolah Menengah Teknik Cheras pada tahun 1998.  Sekolah Agama Datuk Kelana Petra Ampangan Negeri Sembilan  pada tahun 2004 dan Pelajar Kolej Vokasional Bachok. Kematian peserta PLKN di Kem Pelangi Muazam Shah pada tahun 2013. Ini hanya sekadar contoh.

Janganlah apabila berlaku di sekolah tahfiz, riuh satu dunia. Tapi kamu membisu dan pekak telinga apabila berlaku kepada sekolah aliran kebangsaan bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.   Pemikiran semacam inilah satu ketika dahulu yang menuduh Sekolah Agama Rakyat pusat melatih pengganas sehingga menarik balik bantuan perkapita. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

PADA kesempatan ini pihak kami merakamkan sekalung tahniah buat warga OKU di negara ini berikutan pelantikan 10 ahli jawatankuasa bagi menduduki Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya bagi sesi 2017-2019 yang seharusnya memartabatkan lagi warga OKU di negara ini.

Dalam pada itu, cukup kami berasa bangga dengan Anugerah Sukan Negara bagi 2016 yang dirangkul oleh atlet para, Abdul Latif Romly, sekaligus memenangi gelaran Olahragawan Kebangsaan. Sekalung tahniah kami ucapkan atas kemenangan yang diraih.

Kedua-dua peristiwa di atas wajar diambil tahu oleh setiap ahli masyarakat terutamanya dari kalangan pimpinan bagi memastikan usaha negara meletakkan hak-hak warga OKU pada tahap yang lebih baik dan menyeluruh mampu kita capai.

Biarpun kita telah punyai perundangan dan komitmen yang lebih baik dalam membangunkan warga OKU yang diunjurkan 4.5 juta di negara ini, ia masih berhadapan dengan pelbagai halangan terutamanya sikap masyarakat dan persekitaran.

Menyedari hal inilah pihak kami seberapa daya akan terus memperkasa gerak kerja dalam isu-isu masyarakat, khususnya berkaitan dengan orang kurang upaya melalui pelbagai aktiviti dan program.

Dengan kekuatan jentera seluruh negara, kami giat menjalankan program kesedaran berkaitan potensi dan keperluan OKU selain menyokong Gagasan OKU Muqarabun yang dijalankan oleh kumpulan-kumpulan NGO OKU.

Adalah besar harapan kami agar sikap kecaknaan dan keprihatinan kepada potensi dan keperluan OKU ini disebarluas oleh penggerak-penggerak masyarakat terutama mereka dari kalangan pimpinan masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

Dr Rosni Adam ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pusat, Parti Islam Se-Malaysia.

More Articles ...