PERJANJIAN ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ yang pernah dimeterai pihak tertentu bersama PAS dahulu hanyalah untuk memperalat parti Islam ini bagi memenuhi agenda mereka, demikian bidas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kerana itu tegasnya, tidak mungkin PAS boleh bersetuju untuk mereka menentang Islam yang dibawa sedangkan penubuhan parti itu sejak tahun 1951 adalah semata-mata untuk Islam.

“Penurunan PAS dalam kancah politik tanah air tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mempertahankan hasrat Islam yang ia mendaulatkan Islam menerusi perbahasan matang dan sejahtera di Dewan Rakyat. Kita juga melihat bertapa kesannya ‘bi iznillah’.

“Bagaimana tahun 2016 yang lalu, dengan tema Budaya Politik Matang Sejahtera, kita berjaya mengemukakan suatu wacana politik sihat yang memikat parti politik yang bersaing di pentas pilihan raya yang sama setiap penggal,” ujarnya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Menurutnya, Majlis Syura Ulamak PAS selepas Muktamar PAS tahun lalu telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Maksud itu jelas beliau, telah dinyatakan juga pada muktamar tersebut bahawa PAS ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan yang menyusahkan rakyat.

Malah PAS katanya, sejak Pilihan Raya Umum Pertama tahun 1955 telah bersendirian menentang parti-parti politik termasuk Umno yang juga dianggotai umat Melayu-Islam kerana berbeza pendekatan.

Namun terangnya, walaupun saling berbeza, berlawan, berbalah dan bertengkar, tetapi PAS menjaga batas dan sedia menarik ‘brake’ jika terlanjur supaya tidak merosakkan keharmonian masyarakat dan persaudaraan.

Beliau bersandarkan kalimah “akh-kha hum” (saudara mereka) pada ayat 73 surah al-A’raaf yang diajar Allah melalui kisah kaum ‘Ad dan Tsamud yang diutuskan kepada Nabi Hud dan Nabi Soleh.
 
“Majlis Syura Ulamak PAS telah pun mendepani prinsip dan dasar yang jelas dalam hubungan antara PAS dengan pihak-pihak lain dengan membawa agenda tarbiyah, dakwah, siyasah oleh kepimpinan PAS.

“Kita juga dapati dengan izin Allah, apa yang selama berdekad-dekad dianggap musuh politik nombor wahid PAS selama kini, mereka sudah bersedia memahami kita seperti sebuah parti politik Islam, memahami maksud surah al-Anfal yang kita baca awal-awal tadi,” terangnya menyatakan PAS menyambut kerjasama berkenaan berpandukan ayat 2 surah al-Ma’idah.
 
Menurut Tuan Guru, dengan hidayah Allah, Usul RUU355 dapat dibentangkan dan Yang di-Pertua Dewan yang mengakui faham isi kandungan, tujuan serta huraian itu telah menangguhkan sidang tanpa perbahasan menggunakan kuasa ada padanya supaya lebih difahami dan memberikan masa.

Bahkan jelas beliau, sikap PAS itu bersesuaian dengan manhaj Muwajahah Silmiyah yang diamalkan PAS sejak sekian lama sebagai pendekatan siyasah syar’iyyah.

“PAS telah mengingatkan semua wakil rakyat yang saya tegaskan, jangan permain-mainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengangkat sumpah jawatan akan memelihara agama Islam sebagai agama negara.

“Mendaulatkan Islam sebagai agama negara menjadi cita-cita setiap warga Islam Malaysia, dan PAS akan terus membawa obor mendaulatkan Islam di negara ini dalam kerangka perlembagaan Persekutuan sedia ada,” ujarnya sambil mengimbas kembali detik-detik sejarah 6 April itu kepada para perwakilan.

Namun katanya, mesti diingat bahawa ia bukan satu anugerah, malah bersifat mehnah ujian Allah SWT dan amanah dipertanggungjawab ke atas pundak PAS setelah sanggup merentasi gelombang politik tanah air untuk menyampaikan dakwah pada masyarakat Malaysia yang disayangi. – HARAKAHDAILY 2/5/2017

MUKTAMAR PAS Pusat kali ke-63 telah melabuhkan tirainya dengan perwakilan daripada seluruh negara telah memilih kepimpinan PAS bagi sesi 2017-2019. Muktamar yang mendapat liputan luas media ini berlangsung dalam suasana penuh bersemangat dan paling ramai dihadiri oleh para pemerhati. Muktamar ini juga mendapat sorotan meluas kerana perwakilan memilih kepimpinan PAS untuk sesi 2017-2019. PAS dilabel sebagai parti lebai kampungan dan kami tidak pernah berkecil hati dengan gelaran tersebut malah merasa bangga menggalang gelaran "lebai " kerana kelompok inilah yang paling merakyat dalam hirarki sosial orang Melayu.

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia ialah satu-satunya anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlibat secara aktif dalam PAS diperingkat nasional. "Anak butir" tok guru ini mendapat pendidikan tinggi di Deoband India, seterusnya ke Universiti al Azhar Mesir. Beliau terlibat secara aktif sejak pulang ke tanah air dengan pemuda PAS di Pengkalan Chepa dan juga Dewan Pemuda PAS Kelantan. Penulis prolifik ini juga menggerakkan institusi pendidikan Islam seperti Maahad Tahfiz Nikmatillah Kelantan dan Maahad an Nur Terengganu.

Dr Fadzli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam bidang undang-undang Perlembagaan. Dr Khairuddin at-Takiri pula bekas pensyarah UKM yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.

Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales, UK. Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah pula merupakan anak kepada tokoh ilmuwan Kedah. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang daripada UKM, dan MA dalam Undang-Undang Perbandingan di UIAM. Manakala, mantan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah ini berdoktorat Pengajian Islam di UKM. Haji Razman Zakaria, bekas Penolong Kanan Pengarah Kastam Selangor yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) UKM dan Ijzaah Sarjana dalam bidang pentadbiran Awam daripada UM.

Ustaz Sallehen Mukhyi, mantan Exco kerajaan Selangor adalah tokoh gerakan mahasiswa di zaman mudanya. Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan dan UM. Ustaz Dato' Nasaruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan. Tokoh agama ini juga adalah pemimpin pemuda di zamannya.

Dr Rosni Adam pengamal perubatan muslimah bergraduan daripada Universiti Malaya. Anak Johor ini mantan aktivitis pelajar di zaman kampus seterusnya terjun aktif bersama Dewan Muslimat. Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia. Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania, mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania. Mantan Exco Selangor yang juga kini Adun Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Beliau juga merupakan pengasas kepada Kompleks Pendidikan An-Nur di Kuantan, Pahang. Muhtar Suhaili As-Sarawaki merupakan anak Sarawak yang bertugas sebagai Jurutera Kanan di sebuah Syarikat Minyak dan Gas Antarabangsa dan berpengalaman bertugas di beberapa tempat dalam dan luar negara. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatroniks dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Master Teknologi Petroleum dari Curtin University Australia.

Ustaz Misbah Munir Masduki, mantan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan juga aktivis Yayasan Amal Malaysia merupakan lulusan Universiti Malaya untuk Ijazah Pertama. Mendapat MA (Sains Politik) daripada UKM. Calon PhD ini juga ialah Mudir Pusat Dakwah Serantau yang aktif mencetak kader-kader dakwah. Dr Azman Ibrahim, anak muda kelahiran Besut Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya. Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad Iraq, seterusnya berkhidmat dengan Hospital kerajaan sebelum mempunyai Kliniknya sendiri di Kubang Kerian Kelantan.

Dr Najihatussalehah Ahmad, merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat yang aktif. Beliau bergraduat daripada Universiti Malaya dalam bidang Perubatan dan aktif dengan gerakan Mahasiswa Islam semenjak di alam kampus. Kamaruzaman Mohamad,mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah penggerak utama bantahan awam di negara ini. Beliau memiliki ijazah Sains Pendidikan daripada kampus UPM serta Ijazah Sarjana daripada Universiti yang sama dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat. Usahawan berjaya ini juga adalah calon PhD di sebuah universiti tempatan.

Ustaz Abdullah Hussin, ahli legislatif daripada Johor ini merupakan tokoh pendidikan Islam di negeri tembuni UMNO ditanam. Mendapat pendidikan di Universiti al Azhar Mesir, pulang ke tanahair menjadi pengasas pusat pendidikan Islam.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UITM, calon doktorat universiti tempatan dan johan Pidato kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM di zaman kampus.

Dato Nik Amar Nik Abdullah, bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi Kelantan. Anak tokoh PAS, Ustaz Nik Abdullah Arshad, beliau mempunyai M (Phil) daripada Universiti Birmingham UK. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM. Dato' Iskandar A Samad adalah alumni MCKK serta belajar dalam bidang senibina daripada Universiti Humberside UK. Exco kerajaan Selangor ini terasuh cermat dengan sistem tajnid PAS.

Timbalan Presiden pula adalah mantan pensyarah kanan UITM. Beliau mendapat memperoleh Sarjana dalambidang Dakwah dan Kepimpinan daripada UKM, sebelum menyambung ijazah PhD beliau dipanggil bertanding di DUN Jengka. Dato Tuan Ibrahim menjadi Adun Jengka pada tahun 1999 sehingga 2004.

Ayah Chik Tuan Guru Presiden ialah ilmuwan yang diiktiraf dunia Islam yang telah mengarang hampir 100 buah buku. Naib Ketua Kesatuan ulama Dunia ini memperolehi kesarjanaan daripada Asia Barat, Madinah dan Mesir. Dr Shamsuri Mokhtar setiausaha politik Presiden ialah pakar aero angkasa Malaysia mendapat doktorat daripada Universiti Leeds UK.

Kabinet kepimpinan baru PAS Pusat yang dipilih oleh perwakilan di Kompleks PAS Kedah ini adalah gambaran masa depan PAS, mereka akan merencanakan rentak dan orientasi perjuangan Islam dengan dipandu oleh Majlis Syura Ulama. PAS adalah pemain utama politik negara ini dengan menelusi sejarah panjang 66 tahun meredah belantara perjuangan. Berdepan dengan kelompok sekular pragmatis, kelompok sosialis, liberal demokrat dan juga pembenci-pembenci yang tidak akan berhenti menghadang perjalanan panjang ini. Ayuh mara mencapai cita, sejahtera bersama Islam! – HARAKAHDAILY 2/5/2017

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, pendakwah dan Perunding Motivasi)

ANGGOTA Jabatan Amal Malaysia sebenarnya lebih suka dikenali sebagai "Semut Merah" dari jolokan atau panggilan "Tentera Merah". Semut merah melambangkan AMAL sebagai pekerja Jemaah Islam atau amilin. Sifat semut ini lebih dekat dengan amilin AMAL kerana sikap dan keperibadian anggota AMAL itu sendiri.

Semut adalah antara haiwan yang namanya Allah sebut di dalam al-Quran. Begitu mulianya nama semut, walaupun hanya dua ayat sahaja disebut, namun dari seratus empat belas surah dicatat di dalam al-Quran satu surah yang diberi nama sebagai nama surah semut (An-Naml), iaitu surah yang ke-27 dalam urutan mushhaf.

Pola kehidupan semut ini sangat dekat dengan AMAL kerana sifat semut sangat rajin dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan malah kuat bekerja dan mencari inisiatif sendiri untuk melaksanakan kerja mereka asalkan tujuan mereka tercapai. Begitu juga dengan anggota AMAL, mereka dikenali sebagai amilin yang sentiasa patuh arahan dan sangat komited dalam melaksanakan tugas mereka.

Muktamar kali ini telah menyingkap sikap sebenar mereka, malah ramai di kalangan muktamirin mengakui akan perkara tersebut. Mereka anggota AMAL ini sebenarnya hadir dengan kenderaan dan duit sendiri, ada yang berkereta, ada yang berkongsi van malah ramai juga yang bermotosikal, hanya kerana tertanam tanggungjawab dalam diri mereka menyahut seruan tugasan yang pastinya hanya menjanjikan panas terik dan hujan lebat. Inilah sikap mereka yang tidak ada di dalam parti lain sehingga sahabat-sahabat lama merindui suasana itu.

Sejarah sekali lagi tercipta apabila sebaik sahaja kejadian ribut yang melayangkan khemah sebesar dewan jatuh rebah menghempap sekumpulan manusia yang sedang berlindung dari hujan, semut merah AMAL seperti sudah kebiasaanya sangat tangkas membantu dan merawat mangsa yang terhempap khemah dibantu pula pasukan Ameerah yang memberi rawatan kepada mangsa muslimat dibimbing dengan pasukan Papisma dan Medik Amal.

Mereka mengangkat besi runtuhan mengambil risiko memasuki kawasan runtuh dengan harapan tidak ada lagi mangsa di dalamnya. Mereka bertawakal pada Allah tidak hirau mungkin juga akan ada lagi khemah yang bakal menimpa mereka, namun demi memastikan mangsa yang dihempap khemah selamat mereka harungi jua. Ini semangat setiakawan dan persaudaraan yang tersemat dalam diri si semut merah.

Pasukan Medik AMAL antara yang sangat proaktif malah menyusun dan mengendalikan tempat rawatan mangsa dengan sangat efisyen yang diakui sendiri oleh pihak berkuasa seperti pegawai perubatan hospital dan pegawai Bomba yang tiba di situ sejurus menerima panggilan kecemasan. Tahniah buat pasukan Medik & Penyelamat AMAL, Ameerah, Papisma dan semua yang terlibat.

Kerja mereka bagaikan semut yang selalu bergerak sana sini dan tidak kenal lelah. Dalam tugasan semboyan, trafik dan lalulintas tidak akan ditemui seekor semut ini pun yang malas dan berpeluk tubuh malah sukar mereka tidur puas, apalagi dalam waktu yang lama. Begitulah hidup berkelana mereka.

Satu lagi pola kehidupan yang juga dicontoh AMAL, iaitu memperhitungkan segala kemungkinan yang mungkin terjadi pada hari esok, dan melakukan persiapan menghadapinya. Itulah yang Allah sebut dalam dalam surah al-Hasyar ayat 18:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Adapun semut selalu mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi hari esok, begitu juga dengan anggota AMAL yang selalu memikirkan segala kemungkinan yang akan terjadi di masa akan datang. Mereka sentiasa mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai latihan dan persediaan peralatan dalam menghadapi apa jua situasi mendatang.

Sekalung tahniah buat anggota Jabatan Amal Malaysia seluruh negara dan para pimpinan di semua peringkat. Hanya sedikit pesanan saya kepada diri saya dan semua Amilin "janganlah kita yang diberi akal dan iman yang kuat mensia-siakan anugerah Allah ini, marilah kita hargai setiap detik waktu yang dilalui dan setiap kesempatan yang datang kepada kita, apa yang berlalu adalah waktu dan masa, yang pastinya tidak akan kembali, penuhilah ia dengan sebaik-baik amalan".
Wallahualam

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM
MARA MENUJU CITA
BERSIAGA MENUJU FATHU

Shehdi Hazrik Shamsudin
Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor
1 Mei 2017

MUKTAMAR Dewan Pemuda PAS Malaysia serta PAS Pusat baru sahaja melabuhkan tirainya. Ahli PAS seluruh negera merasa nikmat dan keterujaan seakan baru sahaja keluar dari pesta atau temasya yang sarat dengan bicara ilmuwan dan ukhuwah yang luar biasa.

Bagi pemuda PAS, penghormatan dan kepatuhan akan membulat, setelah memperolehi tampuk kepimpinan yang baru bagi menerajui bahtera perjuangan pemuda pada hari ini.

Muktamar kali ini menjadi titik sejarah yang sangat indah. Penglibatan semua ahli pemuda Selangor dalam menjayakan muktamar dapat dikesan. Jabatan Amal Selangor terlibat secara langsung. Kor Medic yang bertugas di sepanjang perkampungan ahli PAS di sana. Ahli-ahli ARC Selangor dengan "team marshal" dan konvoinya menderumkan Kota Sarang Semut demi izzah perjuangan.

Lensa Pegawai Media yang merakam setiap detik perjalanan muktamar. Perwakilan dan pemerhati yang istiqamah hingga hujung. Begitu juga diserikan lagi perbahasan dengan sarat ilmu dan ketegasan oleh Ketua Penerangan DPPNS Al Fadhil Ustaz Sukri Omar melengkapkan kehadiran delegasi Pemuda Selangor ke Muktamar Pusat pada tahun ini.

Ucapan Tuan Guru Presiden dengan temanya "Sejahtera Bersama Islam", tema Dewan Pemuda PAS Malaysia "Mara Menuju Cita" dan tema Dewan Pemuda PAS Selangor "Bersiaga Menuju Fathu" adalah gandingan yang perlu digarapkan oleh seluruh ahli PAS terutamanya Pemuda Selangor. Arahan serta harapan yang telah disampaikan wajib disambut dengan *"muwasofat amilin"* tanpa ada helah dan kerutan dahi yang mendukam.

Pemuda Selangor perlu tampil mengisi ruang kelayakan "nusroh" dari Allah. Nabi SAW pernah bersabda yang menyebabkan sahabat-sahabat berlumba-lumba memenuhi ruang kelayakan itu.

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْاَمِيرُ اَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

"Sesungguhnya akan dibuka Kota Konstantinopel, sebaik-baik pemimpin adalah yang memimpin saat itu, dan sebaik-baik pasukan adalah pasukan perang saat itu"

Sudah barang pasti untuk mengisi ruang kelayakan itu memerlukan saff pemuda yang bersedia dari aspek:
i. Kesatuan fikrah
ii. Ribat jiwa, amal dan ukhuwah
iii. Kompetensi diri
iv. Kukuh "hablullah dan hablunnas"

Para pemuda perlu bersiaga. "Fathu" tidak akan datang menggolek. Nusroh Allah layak hanya bagi mereka yang menepati cirinya. Kerana Allah itu Maha Adil. Justeru ayuh pemuda Selangor, *BERSIAGA MENUJU FATHU*. Agar agenda Islam dapat direalisasikan.

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
4 Syaaban 1438H | 1 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 1/4/2017

AHLI PAS perlu melahirkan kelayakan syakhsiyah menerusi persediaan jati diri dengan ilmu dan akhlak sama ada dari tarbiyah parti atau bersendiri serta mempunyai kemahiran dan alat-alat yang cukup, di samping kewangan mengikut kemampuan.

Perkara itu diutarakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

“Allah tidak memaksa kita, jangan sembunyikan kemampuan. Orang yang mampu RM10, ikhlas RM10 (pasti) diterima Allah. Orang yang mampu RM1 juta, (tapi) beri RM100,000, itu menipu. Ini (kena) faham, Allah mengetahui kemampuan kamu,” ujarnya menterjemah mesej pada ayat 60 surah al-Anfal.

Ayat itu menurutnya, adalah hidayah dan wahyu yang menjadi petunjuk kepada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) khususnya dalam perkara berkait persediaan dan pendekatan politik damai.

Terma persediaan itu diperincikan lagi oleh beliau dengan memetik ayat 249 surah al-Baqarah berhubung kisah pasukan tentera Thalut yang diuji Allah dalam menunjukkan soal kesanggupan dan keyakinan.

Di mana menurut Tuan Guru, para ahli tafsir menyatakan Thalut membuat persediaan 80,000 tentera, tetapi hanya 4,000 mengikut arahan dan ‘golongan sedikit’ ini telah mengalahkan ‘golongan yang banyak’ dengan izin Allah dan Allah bersama golongan sabar.

Turut dipetik beliau adalah ayat 159 surah Ali-‘Imran kisah Perang Uhud yang membawa pengajaran berkait mesyuarat, kelemahan iman dan mengikut dorongan kawan serta kewajipan istiqamah sama ada menang atau kalah.

“Yang kedua politik perdamaian. Senario kejayaan dakwah dan politik daripada sirah nabawiyyah dan zaman Khulafa’, masa damai menyebabkan orang menerima Islam berkali ganda selepas Sulh Hudaibiyah dan selepas pengampunan beramai-ramai Fathu Makkah, berlipat kali ganda. Berbeza dengan masa tegang.

“Senario perjuangan PAS sejak tahun 50-an, saya menyaksikan betapa Islam dihina, mencerca Islam, menghina Islam. (Kalau) Memerintah Islam (akan jadi) huru-hara, (jika) hudud dilaksanakan banyak orang cacat, kudung, busuk sungai, banyak orang mati.

“Setelah kita mengambil politik perdamaian, bersabar sehingga menyertai Kerajaan 1973, Campuran 1974, BN, dia tendang balik. Tapi kesan perkembangan PAS berjaya meranapkan budaya menghina Islam, tak ada (lagi) kecuali suara terpencil sahaja. Sehingga kita berjaya menembusi orang bukan Islam dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, ini kejayaan BPMS,” ujarnya.
 
Seru beliau, dalam senario perjuangan hari ini, PAS perlu dimantapkan dengan BPMS menerusi pengisytiharan untuk merealisasikan ‘Tahaluf’ (ikatan), ‘Ta'awun’ (kerjasama), ‘Musolahah’ (perdamaian dan hikmah) dan juga ‘Maw'izah hasanah’ (nasihat baik) serta ‘Muwajadalah billati hia ahsan’ (berdebat secara sopan).
 
Tegasnya, politik melawan secara bodoh mestilah ditinggalkan kerana ia bukanlah politik Islam, termasuk juga politik ‘jual ubat di tepi jalan’ yang tidak diiktiraf di Kementerian Kesihatan.

“Ada pengamal media yang melariskan politik ini. Maka pengamal media PAS mesti awas berwaspada, jangan terikut dengan politik yang tidak matang. Betapa Islam menunjukkan hidayah, menangani masyarakat majmuk secara matang dan sejahtera,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2017

SEKITAR jam 5.30 petang, Kompleks PAS Kedah Kota Sarang Semut ditinggalkan dengan seribu makna. Setelah 4 hari berkampung di sini, berakhir sudah Muktamar Tahunan PAS ke-63. Saya melangkah meninggalkan tapak muktamar sambil pegang kemas apa yang diucapkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden dalam ucapan penangguhan beliau sebentar tadi.

"Tahaluf siyasi kita dengan rakan-rakan tahaluf asasnya didasarkan kepada prinsip agree to disagree. Macam mana kita boleh agree bila orang menentang kerja Islam yang kita bawa?" tegas Tuan Guru.

Ertinya tidak ada tolak ansur lagi dengan sesiapa pun dalam perkara yang melibatkan aqidah dan dasar perjuangan. Mereka yang bermati-matian menentang usaha memperkasakan syariat Allah bukanlah orang yang berani kerana benar, tapi orang yang takut kerana salah. Adat orang buat salah, tengok tugu seolah-olah nampak hantu.

Muktamar PAS di Alor Setar tahun ini begitu meriah sekali. Dari awal hari perasmian pada pagi 29 April 2017 sehingga melabuhkan tirainya pada petang 1 Mei 2017, pekarangan Kompleks PAS Kedah sentiasa penuh dengan pengunjung. Sambutan masyarakat sekitar terutama rakyat negeri Kedah sangat luar biasa. Bagaikan ada sinar harapan yang akan menyinari negeri Kedah dengan cahaya hijau dalam PRU14 nanti.

Telah ke serata negara kita bermuktamar. Saya yang masih sangat baru dalam parti menilai bahawa orang Kedah adalah yang terbaik dalam bab memuliakan tetamu.

Husnu dhiafah. Orang Kedah tak miskin budi bahasa, sanggup berpenat lelah menjamu tetamu muktamar yang berjumlah puluhan ribu orang, surau dan masjid dibuka untuk musafir tumpang menginap malah mereka tolong bawa alas tidur, selimut dan bantal kepada kita yang menumpang ditambah pula dengan masyarakat sekitar yang ramah dan cakna. Kita tumpang parking kereta depan rumah, dia suruh masuk bawah garaj terus.

Hebatnya Kedah yang tak dapat dipisahkan dari 3P. Padi, Pondok dan PAS!

Awal pagi tadi, usai solat subuh, ayahanda menelefon bertanya lagu mana keputusan usul putus dengan PKR kelmarin?

Bila saya bagitahu bahawa usul diterima, "Alhamdulillah..." Spontan ayahanda jawab dengan nada lega dan bersemangat.

Ayahanda saya hanya aktivis parti peringkat kampung. Tapi sejak saya belum lahir lagi, dia sudah jadi ahli PAS. Saya tak pasti secara tepat bila ayahanda jadi ahli PAS. Tapi yang jelas dan confirm, dia tak pernah menyertai parti lain kecuali PAS!

Dari segi zahirnya, ayahanda tak dapat apa pun habuan dunia walau begitu lama dalam parti. Sekaki persegi tanah pun ayahanda tak dapat kerana duduk dalam PAS. Apa yang ada sedikit sebanyak adalah rezeki kurnian Allah dengan asbab usaha dan kerja keras dari zaman remaja lagi. Walau begitu, tak pernah ambe dengar walau sepatah sungutan, dia inginkan sesuatu dari PAS. Orang lama kita hanya kenal memberi, memberi dan memberi. Mereka sayangkan perjuangan ini bukan kerana benda. Tapi kerana sayangkan agama Allah.

Kasihnya ayahanda kepada PAS, tiada bait-bait ayat yang sesuai untuk saya susun. Setiap kali berlaku apa-apa isu bila PAS dipermainkan sama ada oleh Umno, DAP dan PKR serta sekutunya, ayahanda selalu bersungut dengan wajah muram dan nada tak puas hati. Betapa dia terlalu sayangkan jemaah ini. Pagi ini bila dengar khabar usul putus dengan PKR telah diluluskan dalam muktamar, nada suara ayahanda berubah ceria.

Berakhirnya muktamar, rasa sayu pula nak tinggalkan Kedah. Insya Allah saya akan datang lagi ke sini walau empat hari di sini tak jumpa air. Kira minum 'ayaq' saja. Sampainya hati orang Kedah...

Dr Azman Ibrahim
1 Mei 2017

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah buat Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta semua Naib Presiden PAS dan semua AJK PAS Pusat sesi 2017/19.

DPPM turut merakamkan ucapan tahniah buat semua Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat serta seluruh AJK yang telah terpilih bagi sesi ini.

Petang tadi merupakan kemuncak Muktamar Tahunan PAS Ke-63. Seluruh perwakilan akan meninggalkan Kompleks PAS Kedah yang telah menabur bakti dalam menyampaikan khidmat bakti buat semua perwakilan berhimpun dan menjayakan mesyuarat. Tahniah seluruh kepimpinan PAS Kedah dan jentera semua peringkat.

Pengarahan jelas Presiden PAS melalui Ucapan Dasar Presiden, "Sejahtera Bersama Islam" dan ucapan penangguhan muktamar perlu dibawa pulang oleh semua jentera parti untuk membawa PAS di persada politik tanah air. Muktamar pada kali ini juga merupakan muktamar persediaan menghadapi PRU 14 selain usaha memperkukuhkan agenda jamaah setiap peringkat.

Muktamar ini menjadi isyarat jelas kekuatan PAS yang bersedia melalui agenda pemilihan walaupun tempoh menghadapi pilihan raya bakal menjelma pada bila-bila masa. PAS dilihat lebih menyerlah setelah berjaya menongkah badai yang melanda pada sesi yang lalu. Keutuhan pemimpin dan ahli PAS akan mengukuhkan keyakinan rakyat sebagai sebuah parti yang stabil dan berkeupayaan menggalas tanggungjawab rakyat memimpin negara ini.

Justeru, semua jentera PAS khususnya anak muda perlu bersedia untuk menyemarakkan gerak kerja pilihan raya dan memperkasakan PAS di semua peringkat. DPPM akan memperturunkan arahan gerak kerja secara menyeluruh untuk diberikan perhatian di peringkat negeri dan kawasan masing-masing dalam kadar segera selepas ini.

Tahniah buat semua. Semoga selamat kembali ke destinasi masing-masing. – HARAKAHDAILY 1/5/2017

More Articles ...