23
Tue, Jul
31 Artikel Baru

TEMERLOH: Jentera Pemuda PAS di seluruh peringkat diseru dan digesa untuk memperkemaskan diri dan organisasi dalam mempertahankan kemenangan serta menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan menjelma tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khiril Nizam Khairuddin menegaskan demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh di PASTI Assyakirin, Taman Tualang Indah, di sini kelmarin.

Beliau telah menggariskan tiga asas generasi acuan Al-Quran sepertimana Nabi Muhammad membentuk para Sahabat yang mampu mengusai dunia dan menegakkan khilafah umat Islam.

Generasi ini ujar beliau, didasari keyakinan sepenuhnya kepada iradah (ketentuan) Allah bahawa Islam akan menang dan berkuasa, serta wala’ dan tsiqoh kepada dasar, kepimpinan dan keputusan jemaah.

Selain mereka itu katanya, sentiasa beriltizam untuk memperbaiki diri bagi menguatkan jentera dan organisasi jemaah.

“Generasi Jilul Quranul Fareq (Generasi Al-Quran yang unggul) ini sangat penting dalam menjana kemenangan PAS. Pemuda PAS wajib mencontohi dan berusaha untuk menjadi seperti generasi acuan tarbiyah Nabi ini.

"Kerana Pemuda PAS adalah back benches utama kepada kepimpinan dan pergerakan parti,” ujar beliau di hadapan para perwakilan dan kepimpinan Pemuda PAS Temerloh.

Beliau juga sempat menukilkan wasiat mantan Timbalan Presiden PAS, Allahyarham Profesor Zulkifli Muhammad yang menyatakan perjuangan PAS akan terus releven jika penggeraknya ada tiga perkara iaitu keikhlasan, kesungguhan dan perpaduan.

Beliau turut menyeru agar Pemuda PAS Temerloh berusaha semaksimum mungkin dalam mempertahankan kemenangan Parlimen Temerloh selaku kemenangan tunggal Parlimen bagi PAS Pahang.

Maka tegas Ir Khairil, tugas berat ini perlu dijalankan dengan penuh disiplin dan didikasi bagi mendapatkan rahmat dan pertolongan daripada Allah.-HARAKAHDAILY 13/2/2018

AGAK hangat juga nampaknya reaksi penyokong PAS dan penyokong PAN ke atas tindakan Pengerusi PAN Kelantan, Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, memanggil PAS dengan gelaran "PIGS" (PAS IKATAN Gagasan Sejahtera) dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Pasir Mas pada 10 Februari 2018.
 
Turut mengulas mengenai tindakan memanggil PAS dengan gelaran "PIGS" ini ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi, yang menulis di dalam Facebook beliau pada 12 Februari 2018 satu komentar yang mewajarkan tindakan ini di atas alasan bahawa pemimpin PAS juga memanggil parti itu dengan gelaran PAN.
 
Tulis Ustaz Zolkharnain, di bawah “PIGS dan PAN”:
“1. Sebaik saja Amanah tertubuh, setahu aku, tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang menyebut Amanah. Semuanya menyebut PAN. Pengikut mereka juga begitu.”
“7. Jadi, orang PAS tak perlulah kecil hati sangat apabila disebut "PIGS" untuk merujuk kepada PAS - Ikatan - Gagasan Sejahtera. Lagi pun gabungan "PIGS" memang wujud pun.”
“8. Kalau kalimat itu bermaksud babi-babi sekali pun, binatang itu juga makhluk Tuhan. Ia cuma haram dimakan, tapi tak haram disebut dan dipegang.”
 
Pada hemat saya, tindakan Pengerusi PAN Kelantan memanggil PAS dengan gelaran PIGS dan tindakan Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN mempertahankannya adalah manifestasi kepada kecelaruan hala tuju serta kelemahan organisasi dan disiplin parti yang terdapat di dalam PAN walaupun PAN sudah mencapai usia dua tahun.
 
Seperti diketahui, Fasal 2.3 Perlembagaan PAN menyebutkan bahawa “cogan kata PAN” adalah “AMANAH, PROGRESIF, PEDULI”:
 
Seperti diketahui, Fasal 3 Perlembagaan PAN menggariskan bahawa “dasar dan tujuan PAN” adalah untuk:
(1) Memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan. 
(2) Mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmatan Li Al-‘Aalameen).
(3) Melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik (good governance) selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, kompetensi dan ketelusan.
(4) Mendukung pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan prinsip demokrasi di dalam kerangka Perlembagaan Malaysia.
(5) Menggembleng seluruh segmen masyarakat dalam wadah perjuangan politik inklusif, merentasi jurang kaum, budaya dan kepercayaan agama.
(6) Menghormati dan meluhuri Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta mempertahankan kebebasan asasi dan kedaulatan undang-undang.
 
Terlalu sukar untuk tindakan Pengerusi PAN Kelantan memanggil PAS dengan gelaran PIGS dan tindakan Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN mempertahankannya disifatkan sebagai selari dengan “cogan kata PAN” serta “dasar dan tujuan PAN”.
 
Ini kerana di dalam al-Qur’an yang menjadi sumber utama ajaran Islam sendiri tercatat jelas larangan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk (Surah al-Hujurat: 11) dan kecelakaan besar bagi mereka yang suka mencaci dan mengeji (Surah al-Humazah: 1).
 
Apatah lagi bila Penasihat Umum PAN, Ustaz Ahmad Awang sendiri, telah, di dalam kenyataan media rasmi beliau pada 2 April 2017, memberikan arahan rasmi: 
“Saya menasihatkan ahli PAN di semua peringkat agar sentiasa bersabar dalam menghadapi pelbagai tohmahan dan karenah pihak tertentu dalam menangani perbezaan pendapat dan pendekatan politik semasa. Biarlah apa orang lain nak kata, namun kita tetap dengan pendekatan dan manhaj yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sesuai dengan perintah Allah seperti firman-Nya dalam surah Al-Imran ayat 159.”
 
Lebih jelas lagi adalah arahan rasmi Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir, di dalam program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2017 yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam pada 5 Februari 2017 yang berbunyi:
“Maka saya mengarahkan hari ini kepada semua ahli dan penyokong PAN agar menghentikan segala kata-kata kesat terhadap parti lawan kita termasuk PAS. Ini arahan rasmi daripada parti. Jika anda berada dalam grup Whatsapp yang menggunakan kata-kata menghina dan kesat, keluar segera dari grup itu.”
 
Soalnya sekarang ialah kenapakah Pengerusi PAN Kelantan dan Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN berani mencabar arahan rasmi Penasihat Umum PANdan arahan rasmi Setiausaha Agung PAN?
 
Tidakkah ini semua adalah manifestasi jelas kepada kecelaruan hala tuju serta kelemahan organisasi dan ketiadaan disiplin parti di dalam PAN?
 
Tidak peliklah bila hari ini Ketua Pemuda PAN Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan, menyelar keras Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN dengan menulis di dalam Facebook beliau begini:  
“Takda kelas. Membabi-babikan satu pihak hanya kerana mereka meng-kuali-kan kita. Perlumbaan siapa lebih bangang telah jelas siapa pemenangnya. Tahniah Pak Ustad!” - HARAKAHDAILY 13/2/2018

TERKEJUT juga saya mendengar ucapan Pengerusi PAN Kelantan, Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Pasir Mas malam tadi, 10 Februari 2018, yang memanggil PAS dengan gelaran PIGS (PAS IKATAN Gagasan Sejahtera).
 
Kata Cikgu Wan Abdul Rahim: “Kita akan mengalahkan PAS IKATAN Gagasan Sejahtera, PIGS. Ha, PIGS. Ambo tak sebut, ambo eja jah. Sebut bahaya, eja tak apa. PIGS.”
 
Panggilan PAS dengan gelaran PIGS ini turut dibuat oleh penceramah yang berceramah selepas Cikgu Wan Abdul Rahim, iaitu Timbalan Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Sazmi Miah.
 
Pada hemat saya, memanggil PAS dengan gelaran PIGS ini bukanlah satu tindakan yang baik kerana ia boleh meningkatkan lagi suhu politik malah boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat.
 
Jika gelaran sebegini digunakan oleh ahli bawahan maka ini mungkin boleh diterima sesuai dengan taraf mereka sebagai ahli bawahan, tetapi tidak patut jika mereka yang bergelar Pengerusi atau Timbalan Pengerusi Negeri turut berbuat demikian.
 
Apatah lagi kerana penggunaan gelaran PIGS ini adalah sesuatu yang tidak tepat kerana Gagasan Sejahtera sebenarnya bukan sahaja dianggotai oleh PAS dan IKATAN tetapi oleh parti lain seperti BERJASA. - HARAKAHDAILY 11/2/2018

MARANG: Para pengundi yang berada di luar negara disyorkan pulang ke kampung dan mengundi secara ‘manual’ serta tidak perlu mengundi melalui pos.
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ia kerana sistem pengundian tersebut tidak adil dan tidak selamat.
 
Beliau berkata, pengalaman pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) membuktikan undi secara pos, tidak menyebelahi PAS.
 
“Sememangnya ada sistem dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan mereka untuk undi pos di ‘safara’ ataupun kedutaan (luar) negara masing-masing,
 
“Tetapi yang menjadi masalahnya undi pos ini memakan masa hanya tiga hari sahaja untuk diproses dan dibawa balik ke tempat di mana mereka mengundi di seluruh negara,” jelasnya kelmarin.
 
Menurutnya, untuk undi tentera yang mengundi di kem pun PAS hanya mendapat sekitar dalam lima hingga 10 peratus sahaja undi.
 
Tetapi katanya, bagi undi pos tentera atau polis yang tiada di tempat mereka bertugas, biasanya PAS tidak mendapat undi yang banyak dan pernah tidak mendapat apa-apa.
 
“Suatu perkara yang tidak munasabah, jadi maknanya undi ini tidak sampai tapi dia diundi oleh pihak yang lain.
 
“Begitu juga apabila kita berada di luar negara, apabila kita mengundi di luar, adakah kita yakin undi ni akan sampai?
 
“Contohnya kita duduk di Pendang, Kuala Lumpur, di Johor ataupun di Perak undi kita yang sampai dan saya bimbang yang sampai adalah undi yang lain,” soalnya lagi.
 
Justeru itu, Adun Alor Limbat itu mengesyorkan supaya para pengundi yang berada di luar negara agar pulang untuk mengundi.
 
Katanya, ia lebih selamat walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.
 
“Mestilah berkorban untuk balik mengundi, dan kali ini adalah PRU yang sangat penting untuk negara kita khususnya PAS.
 
“Jadi ini kebimbangan saya dan sebab itulah penyokong PAS mesti balik walau dengan apa cara dan berapa nilai sekalipun.
 
"Serta di mana (mereka) berada (sekali pun) harus pulang dan tidak mengundi sebagai pengundi pos,” serunya. -HARAKAHDAILY 10/2/2018

SEPANGGAR: Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu menyeru penonjolan ikon-ikon Muslimat untuk memberikan satu keyakinan dan pengaruh khususnya kepada pengundi-pengundi wanita muda di Sabah.

Jelasnya, menerusi cara demikian dapat menarik mereka untuk menyokong dan mengundi PAS kelak.

Katanya, keseluruhan petugas Muslimat PAS di negeri Sabah adalah dalam kalangan muslimat muda berumur 40 tahun ke bawah dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Petugas-petugas ini menurutnya, subur dengan idea-idea segar, tenaga yang kuat dan akses kepada maklumat dengan mudah dan cepat.

"Secara tidak langsung, dengan adanya ikon-ikon muslimat ini, ia dapat mencantas pandangan masyarakat kepada muslimat PAS yang dikatakan kurang memberikan fungsi kepada jentera parti.

“Sudah tiba masanya untuk Muslimat menonjolkan diri. Cukuplah dengan stigma ‘belakang tabir’ yang sudah menjadi kebiasaan buat Muslimat PAS.

"Muslimat perlu diberi peluang untuk mengembangkan bakat yang ada dalam diri mereka selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar PAS.

"Jangan hanya sekadar memberikan tugasan pendaftaran, penerbitan dan menguruskan makanan kepada Muslimat,” tegas beliau.

Perkara itu dilontarkannya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar Kali Ke-6 di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, di sini petang kelmarin.

Beliau menambah, bagi merealisasikan harapan tersebut, sebuah pasukan perlu diwujudkan untuk pembinaan imej dan keyakinan diri, selain pimpinan-pimpinan PAS kawasan perlu memberikan sokongan kepada para ikon ini

Iaitu antaranya terang Norsah, adalah dengan memberikan tugas dan amanah dalam gerak kerja PAS.-HARAKAHDAILY 12/2/2018

BELUM sampai sebulan lalu, DAP, melalui kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, di Pontian pada 12 Januari 2018, dilapor mengesahkan bahawa DAP akan meletakkan calon dari PAN di kerusi P148 Ayer Hitam yang asalnya diperuntukkan untuk DAP.
 
Semalam, 10 Februari 2018, DAP, melalui kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, di Ayer Hitam pula, dilapor mengesahkan bahawa DAP membatalkan keputusan untuk meletakkan calon dari PAN, dan sebaliknya meletakkan calon DAP sendiri, di kerusi ini.
 
Walau apa pun alasan yang diberikan oleh DAP bagi menjustikasikan keputusannya untuk membuat U-turn ini, ia tetap tidak boleh menafikan hakikat bahawa gambaran yang terlihat ialah DAP sangat sukar untuk melepaskan kerusinya kepada pihak lain dan tidak boleh dipegang janjinya.
 
Kasihan kepada PAN, seolah-olah dipermainkan lagi nampaknya. - HARAKAHDAILY 11/2/2018

DALAM ucapan beliau pada Ceramah Perdana Sempena Pelancaran Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bachok di Pejabat PAN Bachok malam tadi, 9 Februari 2018, Naib Presiden PAN, Haji Husam Musa, mengeluarkan ugutan untuk menyiarkan rakaman ucapan sulit seorang pemimpin PAS yang mengakui kononnya “PAS secara senyap telah bekerjasama dengan Umno dan telah menerima wang daripada Umno” menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Kali Ke-14 ini.

Kata Haji Husam: “Saya dulu mengatakan PAS bekerjasama dengan Umno, sekarang nampak PAS nak bertanding sendiri, jadi apakah yang saya katakan dulu salah? Insya Allah, kalau Parlimen dibubarkan, saya yakin akan ada rakaman pengakuan seorang pemimpin PAS dalam sebuah pertemuan sulit bahawa PAS secara senyap telah bekerjasama dengan Umno dan telah menerima wang daripada Umno, termasuk bagi Pilihan Raya Sarawak yang lepas, PAS telah menerima wang daripada Umno, ini ada rakamannya yang saya kira akan tersiar apabila tiba masanya.”

Ugutan Haji Husam ini mengingatkan saya kepada perkara sama yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Presiden Umno waktu itu terhadap Presiden S46 waktu itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, dan rakan kerjasama S46 di dalam Angkatan Perpaduan Ummah waktu itu, iaitu PAS, menjelang PRU Kali Ke-8 pada 21 Oktober 1990.

Ia berlaku bila Tun Dr Mahathir mengumumkan, pada 21 September 1990, bahawa beliau memiliki satu pita rakaman ucapan sulit Tengku Razaleigh, di dalam satu perjumpaan para pemimpin S46 di kediaman Tengku Razaleigh di Kuala Lumpur, yang menyebut rancangan Tengku Razaleigh untuk 'membunuh' PAS, di samping menghidupkan kembali Umno asal, setelah pakatan pembangkang memenangi PRU8.

Tunggu punya tunggu, akhirnya sampai ke sudah pita rakaman ucapan sulit Tengku Razaleigh ini gagal untuk didedahkan oleh Tun Dr Mahathir walaupun setelah beliau dicabar untuk berbuat demikian oleh pelbagai pihak, khususnya oleh Presiden PAS waktu itu, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan oleh Tengku Razaleigh sendiri.

Ugutan sebegini adalah cubaan paling mudah untuk memberikan persepsi negatif terhadap lawan politik kerana ia tidak memerlukan apa-apa pengeluaran modal atau hanya memerlukan pengeluaran modal yang sangat minimal.

Munasabah jika Haji Husam selaku Pengerusi PH Kelantan mengguna pakai taktik sama yang pernah dibuat oleh boss beliau di dalam PH kerana Pengerusi PH ialah Tun Dr Mahathir. - HARAKAHDAILY 10/2/2018

More Articles ...