21
Tue, May
32 Artikel Baru

PAS yakin kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap rakyat di negara ini sekarang akan naik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan BN terpaksa menaikkan kadar GST bagi menampung hasil kerajaan.

Katanya, jangkaan itu dapat dilihat berdasar kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membayangkan kenaikan tersebut.

“Sebelum ini perdana menteri menyebut kerajaan India mengenakan GST sehingga lebih 20 peratus,” katanya ceramah mega Bangkit Pertahan Parlimen Machang di Kampung Tualang Kudong, Labok malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Mohd Nassurudin Daud, Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Nazman Che Iberahim, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat, Adun Kemuning, Ustaz Mohd Roseli Ismail, Ketua Penerangan PAS Machang, Ir Arifahmin Abdul Rahman dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdul Razak Abas.

Orang ramai memenuhi sekitar tempat berlangsung ceramah bersebelah Pasti Kampung Tualang Kudong.

Sempena program itu turut diadakan gimik penyerahan bendera PAS oleh pemuda PAS yang menyertai konvoi bermotosikal.

Ketika merasmikan mesyuarat Agung Tahunan MIC di Kuala Lumpur tahun lepas perdana menteri dilapor berkata, kerajaan India mengenakan GST sebanyak 28 peratus.

"Tolong ingat itu. Kita di Malaysia baru kena 6 peratus pun dan riuh-rendah bising, marah kerajaan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain malam tadi diadakan pelancaran serentak Bilik Gerakan PAS di 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Kehadiran ramai petugas PAS di setiap kawasan parlimen menggambarkan semangat tinggi mereka bagi menghadapi PRU 14 tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 18/1/2018

KUALA LUMPUR: Satu lagi himpunan mega gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), parti-parti politik berteraskan Islam dan Melayu, serta individu prihatin masalah umat Melayu-Islam akan diadakan selepas pasca jelajah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di seluruh negara.
 
Penolong Sekretariat UMMAH, Kamaruzaman Mohamad berkata, himpunan tersebut diadakan sebagai susulan maklum balas yang baik hasil daripada Konvensyen Kebangkitan Ummah yang diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini Sabtu lalu.
 
"Hasil himpunan Konvensyen Kebangkitan Ummah itu kita terus mendapat sambutan daripada NGO-NGO di peringkat negeri-negeri. Maka kita memutuskan untuk melaksanakan mengadakan satu lagi himpunan besar yang namanya belum lagi diputuskan.
 
"Insya-Allah, himpunan ini akan diadakan pada bulan Mac yang matlamatnya menggabungkan seluruh umat Islam di seluruh Malaysia dan insya-Allah ia akan diadakan di Kuala Lumpur," katanya selepas sidang media Pasca Konvenysen Kebangkitan Ummah di pejabat NGO Muafakat semalam.
 
Tambah beliau lagi, kehadiran kali ini adalah terbuka kepada seluruh umat Islam-Melayu tidak kira parti politik, NGO dan sebagainya bagi menyatakan kebersamaan untuk menunjukkan solidariti umat Islam di  Malaysia. - HARAKAHDAILY 18/1/2018

RAJA-Raja Melayu dalam wasiat yang disampaikan pada 1957 mahukan Tanah Simpanan Melayu berada pada nisbah sehingga 50% di tangan orang Melayu yang merupakan rakyat asal bagi negara ini.

Namun, menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun lalu, sehingga 2016, Tanah Rizab Melayu (TRM) berjumlah sekitar 4 juta hektar (2013 : 4.1 juta hektar atau 31.19%). Setelah 60 tahun negara ini merdeka pun, wasiat Raja-raja Melayu masih belum berjaya ditunaikan.

Pendedahan oleh salah seorang ahli jawatankuasa Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Pn. Zaharah Sulaiman pada Konvensyen Kebangkitan Ummah baru-baru ini bahawa baki TRM di negara ini semakin susut dan ia berpunca antaranya kerana Kerajaan membiarkan tanah ini dijual kepada bangsa asing untuk pembangunan dan Kerajaan juga tidak memulangkan (atau menggantikan) semula tanah ini, menunjukkan TRM ini sedang diancam ‘kepupusan’Pembangunan adalah keperluan masyarakat pelbagai bangsa dalam negara ini. Namun, ia tidak wajar mengorbankan pemilikan dan hak rakyat asal negara ini yang telah diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu. Menunaikan hak adalah kewajipan pemerintah sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa' ayat 58:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

"Sesunguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah-amanah kepada yang berhak..."

Kerajaan perlu segera bertindak membetulkan kesilapan ini. Amanah ini perlu segera disempurnakan. Kerajaan mesti mengambil tindakan segera yang lebih berkesan, komprehensif dan bersepadu bagi menangani isu penyusutan keluasan dan pembangunan TRM di negara ini.

Saya menggesa Kerajaan agar:

(a) Mengemaskini dan mengiklankan keluasan dan kawasan TRM pada masa ini.

(b) Mengganti semula TRM yang telah dibatalkan kerana apa-apa tujuan sekalipun.

(c) Mengenalpasti dan mengisytiharkan kawasan baru sebagai TRM bagi meningkatkan nisbah TRM.

(d) Menubuhkan sebuah badan atau jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri yang diberikan kuasa undang-undang bagi mentadbir pengurusan dan pembangunan TRM.

(e) Mewujudkan jaringan dan menyediakan inisiatif khas kepada para pemaju Melayu (atau koperasi Melayu, atau dewan perniagaan Melayu dsb) untuk membangunkan TRM sama ada dengan pembangunan fizikal atau bukan fizikal.

Sejahtera Bersama Islam

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis, 18 Januari 2018 | 1 Jumadilawal 1439 – HARAKAHDAILY 18/1/2018

SUKA membaca apabila Tun Mahathir beri amaran kepada PAS, pilih siapa Perdana Menteri pilihan PAS, sama ada beliau atau DS Najib. Inilah masalah Tun, pernah pegang kuasa lama sangat sehingga dia anggap masih lagi Perdana Menteri walau pun beliau sekarang ini sudah menjadi pembangkang. Jangan Tun, bangun pagi-pagi hendak masuk pejabat Perdana Menteri di Putra Jaya sudah lah.

Tun beri amaran kepada PAS, semacam dia berkuasa selama 22 tahun dengan memberi amaran kepada JKK dan Ketua Umno Bahagian sahaja. Beliau silap oranglah hendak memberi amaran kepada PAS. Semasa beliau berkuasa pun PAS lawan, tidak munasabah jika beliau yang tidak ada kuasa PAS  tidak berani lawan.

Siapa PM  pilihan PAS, dua-dua PAS tolak. Tuan Guru Hj Abdul Hadi sewaktu PRU 13 dahulu, apabila ditanya wartawan apabila ada yang bertanya beliau  mengenai calon Perdana  Menteri, maka Tuan Guru menjawab, tidak mengapa biarlah beliau menjadi nelayan saja.
 
Tun yang mempunyai rekod yang semua rakyat tahu, termasuk pemimpin PH yang duduk mengampu dia sekarang. Cuma pakat diam kerana ada agenda peribadi masing-masing, bukan agenda rakyat.

DS Najib pula PAS tolak, kerana meneruskan agenda Tun Mahathir. Bukankah Tun yang bersetuju untuk tendang Tun Abdullah Badwi dan menggantikan DS Najib.  Apa yang dilakukan oleh DS Najib, gurunya ialah Tun Mahathir, selama 22 tahun. Tun  yang tarbiah DS  Najib maka inilah hasilnya. Semoga Allah panjangkan usia Tun, supaya melihat banyak lagi hasil peninggalan beliau. Tun boleh beri beribu alasan, hakikat yang sebenar bukan agenda rakyat tetapi agenda peribadi yang masih tidak puas  untuk diri dan kroni beliau.

Saya yakin Tun akan serang lagi PAS kerana beliau gagal tundukkan PAS. Lagi kuat Tun serang,lagi bersemangat ahli PAS untuk bekerja melawan PH dan BN. PAS bersedia dengan apa tuduhan dan serangan, biar rakyat menjadi hakim. Rakyat yang rasional akan menilai segala tuduhan Tun.

Tindakan Tun menyerang PAS sebenarnya memberi kredit kepada umno dan untuk memenangkan umno di dalam PRU akan datang.  Tidak mustahil pun, kerana Tun hanya marah kepada DS Najib, bukan kepada umno. Sejarah Tun keluar masuk Umno seperti iklan chipsmore, kejap ada, kejap tiada. PAS sahaja yang mampu melawan Umno kerana memiliki  kekuatan organisasi dan boleh menyantuni pengundi Melayu di luar bandar. Tanpa sokongan undi Melayu di negara ini maka tidak ada siapa yang boleh memerintah. DAP tidak bergantung kepada undi Melayu, kerana mereka bertanding di kawasan bandar. DAP hanya nasi tambah untuk menjadi king maker di dalam PH sahaja. – HARAKAHDAILY 17/1/2018

ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah, sepanjang 27 tahun PAS mentadbir Negeri Kelantan dengan amanah dan adil berdasarkan slogan Membangun Bersama Islam. PAS berjaya mencapai kejayaan demi kejayaan sebagaimana yang dijelaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam program amanat YAB Menteri Besar Kelantan 2018. Antara kejayaannya:

1. Peningkatan pungutan hasil sebanyak RM566.52 juta berbanding RM497.20 juta pada tahun 2016

2. Penjimatan perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.9 juta berbanding tahun 2016

3. Anggaran lebihan atau surplus Kerajaan Negeri 2017 adalah sebanyak RM38.76 juta berbanding defisit pada tahun 2016 sebanyak RM33.47 juta.

4. Tahun 2017 merupakan pencapaian kewangan terbaik dalam tempoh 26 tahun

5. Hasil daripada proses pendaftaran tanah meningkat kepada RM44 juta atau 58% melebihi anggaran RM28 juta.

6. Agensi Kerajaan Negeri Kelantan merupakan salah satu jabatan yang terbaik dalam aspek pengurusan kewangan di Malaysia

7. 12 jabatan serta agensi negeri mendapat penarafan 5 bintang oleh Jabatan Audit Negara tahun 2016.

8. Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berada di kedudukan teratas dengan markah 99% dan Pejabat Perbendaharaan Negeri sebanyak 98.61%

9. Perbendaharaan Negeri Kelantan mendapat penarafan cemerlang lima bintang anugerah khas keselamatan perlindungan tahun 2016 dalam audit yang dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia.

10. Sehingga kini Pegawai Kerajaan Negeri Kelantan adalah bersih dan bebas daripada tuduhan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Inilah yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang mentadbir negeri berasaskan taqwa, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-A'raf 96:

ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض

Maksudnya: Sekiranya penduduk sebuah negeri beriman dan bertaqwa nescaya Kami buka keberkatan rezeki dari langit dan bumi kepada mereka.

PAS sangat yakin bahawa dengan menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran negara insya Allah semua masalah negara dapat ditangani dengan baik dan berkat. Jom bersama PAS bina negara dengan Islam. – HARAKAHDAILY 18/1/2018

SEMUA maklum bahawa amalan demokrasi negara kita sejak awal, dimana Perdana Menteri akan dilantik dari kalangan parti yang menang pilihanraya dan membentuk kerajaan memerintah.

Bahasa mudahnya, sesiapa pun yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri, mestilah terlebih dahulu memenangi pilihanraya dan parti yang diwakilinya membentuk kerajaan.

Sementara prosesnya, PAS selaku sebuah parti Islam yang akur kepada prinsip-prinsip Rukun Negara, termasuk Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.

a.Maka soal pelantikan Perdana Menteri, sesiapa juga tidak lah wajar mendahului apatah lagi memperkecilkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

b.Ini kerana Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melantik seorang Perdana Menteri.

c.Begitu juga Perkara 43 (2) (a) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

d.Adalah menjadi suatu ketidakwajaran memberikan kata dua kepada Yang di-Pertuan Agong untuk sama ada melantik si polan atau si polan lain menjadi Perdana Menteri.

Pada sudut yang lain pula, sistem pilihanraya negara kita tidak mengamalkan sistem Pilihanraya Presiden mahupun Pilihanraya Perdana Menteri.

Sebaliknya yang bertanding dalam pilihanraya adalah parti-parti politik yang berdaftar dan parti tersebut mengemukakan calon masing-masing untuk dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya.

Justeru itu, fokus PAS adalah memenangi pilihanraya dengan membawa agenda perubahan secara menyeluruh. Bukan sahaja PAS berfikir mengenai siapa Perdana Menteri tetapi juga merencana bagaimana memulihkan sistem pentadbiran negara agar mematuhi kehendak Tuhan Pencipta Alam.

PAS yang dijangka bertanding 130 kerusi ke atas dalam PRU 14 ini sedang menggerakkan kebangkitan Islam dan kesedaran rakyat ke arah membina Negara Sejahtera Bersama Islam.

• Sehubungan dengan itu, PAS telah hasilkan Dokumen Hijau, Wawasan Induk Negara Sejahtera, Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta Manifesto PAS yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

PAS tidak ketinggalan dari tokoh-tokoh yang berkelayakan untuk menjawat anggota kabinet mahupun Perdana Menteri, namun ia bukan keutamaan masa ini untuk di namakan si polan bin si polan.

Keutamaan dan perhatian serius yang diberikan oleh PAS saat ini ialah rencana untuk memenangi pilihanraya dan tokoh-tokoh PAS ini akan dikemukakan sebagai calon pilihanraya bersama manifesto yang akan diumumkan kelak.

PAS juga telah kemukakan jauh lebih awal untuk menghargai kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh negara dalam pembentukan kerajaan apabila konsep Kerajaan Teknorat diutarakan oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS sebelum ini.

Tentu sahaja pemilihan Perdana Menteri yang akan disokong dan diangkat oleh PAS ialah tokoh yang memenuhi piawaian kepimpinan dalam Islam. Antaranya apa yang Allah sebut dalam ayat 26 Surah Al Qasas :

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“Sesungguh sebaik-baik orang yang mahu dibayar gaji untuk menjalankan tugas ialah yang mampu dan jujur”

• Qawiy (قوي) - Mampu

Mampu dari sudut keupayaan fizikal, mental, ilmu dan spiritual. Justeru pemimpin mesti lebih baik dari orang yang dipimpin. Bukan hanya dari sudut keperluan duniawi tetapi juga tuntutan ukhrawi.

~ kita pastinya menolak:

i- pemimpin yang menghina Islam
ii - pemimpin yang menolak sunnah
iii - pemimpin yang mempunyai skandal
iv - pemimpin yang melakukan rasuah
v - pemimpin yang tidak patuh Al Quran
vi - pemimpin yang anti hadith
vii - pemimpin yang amal Islam Liberal
viii - pemimpin yang mengkayakan anak-anaknya sahaja (amalan kronisme)

• Amin (أمين) - Jujur

~ Melaksanakan tugas kepimpinan dengan penuh dedikasi. Membangunkan negara menjadi Baldatun Toiyyibah (sejahtera)dalam masa yang sama mendapatkan keampunan daripada Allah swt. dengan melaksana tuntutan syara’ dalam kepimpinan dan pentadbiran negara. Tidak menyalahguna kuasa dan menyeleweng dari tanggungjawab.

Allah swt sebut dalam Surah Saba’ ayat ke 15.

بلدة طيبة و رب غفور

“Negeri yang Sejahtera dan Tuhan Mengampuni.”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Rabiul Akhir 1439 | 17 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 17/1/2018

 

STATISTIK daripada Jabatan Perangkaan Malaysia telah mencatatkan seramai 3.5 % daripada tenaga buruh di Malaysia tidak berkerja.

13.1% daripada statsitik berikut adalah dari kalangan belia yang rata-ratanya adalah graduan.

Angka tenaga buruh dari kalangan anak muda tersebut telah memberi satu justifikasi  bahawa kadar pengangguran di Malaysia kini berada di paras yang tinggi.

Namun ironinya, baru-baru ini kita dikhabarkan menerusi ucapan Perdana Menteri yang mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia mengalami peningkatan iaitu dengan justifikasi KDNK meningkat sebanyak 5.4% pada hujung tahun 2017 berbanding 4.8% pada awal tahun 2017.

Jadi, dengan perkembangan ekonomi yang dikatakan stabil, sepatutnya menatijahkan satu lapangan pekerjaan yang semakin baik. Namun realiti yang dihadapi rakyat khususnya graduan adalah rata-rata daripada mereka dibelenggu dengan masalah tidak mendapat pekerjaan.

Selain itu, perkara lain yang merisaukan juga adalah mengenai kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Trend peratusan pengangguran semakin meningkat daripada 3.2% pada tahun 2015 kepada 3.5% pada tahun 2017.

Menurut Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan 50,000 pembuangan pekerja dijangka berlaku pada 2018. Isu pembuangan pekerja  menjadikan krisis pengangguran ini semakin sukar.

MUHASABAH PUNCA

Ramai yang mengulas mengenai isu pengangguran dan peluang pekerjaan ini dengan melihat daripada perspektif majikan iaitu dengan mengatakan bahawa majikan terpaksa menghadkan bilangan pekerja disebabkan terpaksa menanggung beban kos pengurusan antaranya GST, utiliti dan levi pekerja.

Selain itu, tidak kurang juga yang menyatakan pandangan dengan melihat menerusi lensa pekerja dan graduan yang mengatakan bahawa persaingan yang wujud dalam dunia pekerjaan kini bukan sahaja saingan sesama graduan dan pekerja, tetapi wujudnya saingan baru buat mereka iaitu digitalisasi lebih-lebih lagi dunia kini hampir dengan Revolusi Indutsri.

Hakikatnya, rakyat marhean yang menjadi mangsa kepada krisis yang berlaku. Dalam keadaan tekanan kos sara hidup yang tinggi, rakyat berhadapan dengan risiko pengangguran selain gaji yang tidak mencukupi.

Apa yang boleh dirumuskan mengenai fenomena yang berlaku ini adalah hasil daripada corak ekonomi yang cenderung pada kapitalisme dalam praktis ekonomi di negara kita.

Perkembangan ekonomi yang lebih cenderung kepada keuntungan golongan pelabur sebenarnya membawa kepada kemuncupan pemilikan bagi masyarakat umum sekaligus menjadi pemerkosa terhadap kebajikan mereka.

Seharusnya corak dan etika ekonomi perlu menurut seiring dengan nilai dan prinsip Islam. Sumber ekonomi yang kian terhad perlu diuruskan sebaiknya bagi menghadapi kemahuan manusia yang dinamik.

Islam meletakkan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kemaslahatan ekonomi. Polisi yang tidak popular kepada golongan korporat atau pelabur, terkadang perlu dilaksanakan demi kemaslahatan rakyat secara umum.

Keperluan rakyat secara holistik termasuk peluang pekerjaan sebenarnya dapat terhasil dengan mengatur sumber dan maslahah rakyat dengan betul.

Pekara ini bertepatan dengan konsep Politik Islam dan qawaid fiqhiyyah :

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

"Tindakan Seorang Pemimpin atas rakyat harus bertepatan dengan maslahah"

LONTARAN PRESIDEN PAS

Dalam membahaskan isu pengangguran, sekurang-kurangnya tiga konsep utama telah dilontarkan oleh  Tuan Guru Presiden dalam artikel beliau yang bertajuk Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran. Antara perkara yang ditekankan adalah;

a.Kefahaman rakyat dan juga pimpinan terhadap konsep pendapatan melalui pembahagian rezeki menurut Islam

b.Pembahagian kerja yang wajib disaksamakan

c.Melaksanakan keperluan yang wajib dimajukan tanpa melampau.

KEPERLUAN YANG WAJIB DIMAJUKAN

Dalam konteks isu pengangguran, isu pokoknya adalah masalah kekurangan peluang pekerjaan.

Selain daripada terlalu fokus kepada kegawatan ekonomi dan revolusi industri, apa yang perlu dilihat adalah adakah segala keperluan rakyat dari sudut survival seperti penyediaan makanan asasi pakaian, kenderaan dan sebagainya telah dikembangkan sebagai peluang pekerjaan kepada mereka?

Saban tahun isu kekurangan sumber makanan berlaku, ini bermakna permintaan begitu banyak lebih dari pengeluaran. Persoalannya mengapa masih lagi tiada peluang pekerjaan? Adakah rakyat tidak mahu bekerja atau ruang belum benar-benar dikembangkan?

Perkara ini sepatutnya membuat kita berfikir semula tentang acuan dan orientasi pendidikan hari ini, adakah pendidikan hari ini menghasilkan tenaga mengikut keperluan industri dan pelabur atau mengikut bidang dan aspek yang diperlukan oleh rakyat?

Dalam data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun 2016, jumlah pelajar Kursus Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan di Universiti Awam adalah seramai 121,354 orang berbanding pelajar Kursus Pertanian dan Veterinar hanya 12,639 orang.

Jumlah graduan jurutera jauh meninggalkan graduan pertanian, mereka ini dilahirkan untuk memenuhi kehendak pemain industri atau keperluan sektor-sektor penting?

Tidak dinafikan, para pemain industri banyak menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat, namun kebergantungan kepada industri semata-mata tanpa perkiraaan yang tepat dan tanpa pemfokusan pada sektor-sektor penting, menjurus kepada krisis dan ketidak seimbangan yang berlaku hari ini.

Hakikatnya pelabur-pelabur ini tidak mampu memberi peluang pekerjaan yang cukup. Akhirnya, graduan menganggur ramai, dalam keadaan keperluan asasi rakyat masih lagi belum mencukupi.

Inilah yang dimaskudkan dengan penghasilan peluang pekerjaan berorentasikan keperluan rakyat. Secara asasinya manusia akan memerlukan beberapa perkara asas bagi kesejahteraan hidup.

Kerajaan juga memerlukan “rezeki” bagi mentadbir rakyat dengan mengambil manfaat daripada hasil bumi. Justeru atas keperluan inilah dikembangkan ilmu dan bakat manusia bagi memenuhi keperluan-keperluan ini.

Antara langkah awal yang boleh diambil adalah dengan pelaksanaan kajian stratergik terhadap keperluan rakyat yang boleh dikembangkan sebagai peluang pekerjaan buat rakyat.

Dari sini pendidikan perlu diarah bagi memenuhi keperluan ini dengan suntikan motivasi bagi mencebur bidang-bidang seperti ini.

Doktrin "mesti aliran sains" mesti dihapuskan, dan penerapan minat pelajar pada "kerja kampung" perlu dipertingkatkan untuk memaju industri asasi.

Selain itu, pemusatan biasiswa dan geran kajian juga boleh difokuskan kepada aspek-aspek keperluan rakyat dalam mengembangkan industri yang tidak akan mati dek keperluan rakyat terhadapnya.

KESTABILAN DALAM PEMBAHAGIAN KERJA

Realiti yang berlaku pada hari ini, banyak syarikat cenderung untuk mengupah buruh asing berbanding buruh tempatan. Kecenderungan ini adalah disebabkan dengan mengupah buruh asing dapat mengurangkan kos operasi mereka dan secara tidak langsung menambah keuntungan.

Dari satu sudut yang lain, ia sebenarnya menambahkan jumlah pengangguran yang akhirnya membawa impak yang negatif kepada ekonomi negara. Dengan memberi peluang kerja lebih kepada rakyat tempatan, pengaliran duit akan lebih banyak di dalam negara berbanding di luar negara, lantas ia membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Apa yang perlu difikirkan adalah satu permuafakatan di antara majikan dan juga pihak kerajaan perlu dicapai bagi menyelesaikan masalah ini. Ini kerana kondisi ekonomi negara dan rakyat juga bakal memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada para majikan.

Antara cadangan yang boleh diutarakan kepada pihak majikan adalah mengurangkan jumlah buruh asing dan melebihkan rakyat tempatan dalam pemilihan pekerja.

Disamping itu, majikan perlu mengambil kira jumlah gaji yang bersesuaian dengan kos minimum sara hidup rakyat. Ini bagi menjamin produktiviti dan kestabilan pekerja jangka panjang.

Dalam pada itu, kerajaan sebagai penentu dasar, perlu mengambil langkah-langkah yang efektif dan mendasar dalam isu melibatkan pihak majikan.

Beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan yang sebahagiannya telah dilaksanakan di negara lain adalah ;

a.Levi pekerja asing boleh ditingkatkan dengan kadar yang tinggi dan menetapkan had ke atas tenaga pekerja asing oleh industri.

b.Penguatkuasaan perlu diperketatkan dengan menjalankan pemantauan berkala terhadap buruh asing dan mengenakan denda yang tinggi kepada syarikat yang melanggar peraturan.

c.Menetapkan kuota minimum pekerja tempatan dalam syarikat asing yang beroperasi di Malaysia.

d.Menggalakkan dan memberikan insentif kepada pemodal/syarikat untuk mengembangkan industri keperluan asas yang tidak popular.

Hayatilah Firman Allah SWT :

Allah berfirman:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ الزخرف

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” [Surah Az-Zukhruf, Ayat 32]

BUDAYA KRONISME DAN MONOPOLI

Kronisme dalam mengurus tadbir sumber negara juga perlu diminimakan. Kronism ini pada satu perspektif, dilihat baik kerana seolah memberikan kerja kepada syarikat yang dipercayai, akan tetapi ia sebenarnya memberi kesan negative yang besar pada negara.

Ia mampu menghalang syarikat lain yang mempunyai kredibiliti yang lebih baik untuk memperolehi keuntungan.

Lebih memburukkan keadaan, ia boleh  menyebabkan berlakunya monopoli apabila satu syarikat memiliki hampir semua projek kerajaan.

Akhirnya mengakibatkan syarikat-syarikat lain tidak dapat bersaing dan terpaksa gulung tikar. Dalam masa yang sama, meminimakan persaingan dan pilihan yang lebih baik.

Sebab itu, perkara ini dilarang keras didalam Islam. Firman Allah SWT :

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)." [Surah Al-Hashr, Ayat 7]

PENUTUP

Pelenturan semula konsep pendapatan menerusi pembahagian rezeki ini sebenarnya satu wacana baru dalam membina masyarakat kaya yang beriman.

Anjuran yang diletakkan dalam konsep pembahagian pendapatan menerusi pembahagian rezeki ini adalah pengaturan tenaga dan kemampuan masyarakat dengan sebaiknya bagi pembangunan negara di samping melahirkan golongan manusia yang mengetahui cara menggunakan harta dan kewangan dengan sebaiknya sebagai sumber untuk menjalankan urusan seharian.

Tindakan menafkahkan rezeki kepada golongan yang memerlukan juga perlu dibentuk dengan cara menyediakan pekerjaan dengan tujuan agar terbukanya sumber nafkah dan rezeki buat mereka.

Justeru, jika sudut pandang berikut dibentuk dalam ranah budaya dan masyarakat di Malaysia secara praktis khususnya dalam lapangan ekonomi, sudah pasti masalah pengangguran boleh diuruskan dengan baik. – HARAKAHDAILY 17/1/2018

More Articles ...