DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyahut keputusan pucuk kepimpinan parti yang telah membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual akan berlangsung pada 13 Oktober nanti.

Kami yakin keputusan yang dibuat telah mengambil kira segenap aspek terutama situasi perkembangan semasa politik Malaysia hari ini.

Keputusan PAS untuk bertanding adalah untuk menyuburkan demokrasi dengan memberi pilihan kepada para pengundi tempatan bagi memilih calon dan parti yang paling berkredibiliti bagi mewakili hasrat mereka.

Trend pengundian dalam tiga siri pilihan raya kecil sebelum ini telah memberikan signal positif untuk pembangkang. Secara tidak langsung Pakatan Harapan tidak boleh selesa dengan tindakan mereka yang membelakangi kepentingan rakyat.

DPPM mahu kekuatan pemuda PAS di seluruh negara dikerahkan untuk membantu jentera pilihan raya tempatan. Pemuda PAS juga diingatkan untuk bersiap sedia mendepani cabaran di samping mempamerkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang perjalanan pilihan raya kecil kali ini.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Burok, Terengganu
17 Muharram 1440 | 27 September 2018 – HARAKAHDAILY 27/9/2018

“DAN hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar; dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” (Maksud Ali-Imran: 104)

SyahirSulaimanKeputusan PAS untuk bertanding dalam PRK Port Dickson mengundang pelbagai reaksi, dan dibuat setelah mengambil kira pertimbangan demografi dan demokrasi.

Secara demografi, Port Dickson bukanlah kerusi selamat untuk PAS. Kawasan parlimen ini terdiri daripada 43% pengundi Melayu, 33% pengundi Cina, 22% pengundi India dan 2% lain-lain bangsa, menjadikannya kerusi campuran yang didominasi pengundi bukan Melayu.

Di samping itu, pihak SPR mengumumkan seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK Port Dickson, terdiri daripada 68,486 orang pengundi biasa (90.3%), 7,268 pengundi awal (9.6%) dan 16 orang pengundi luar negara, menjadikannya kerusi parlimen yang mempunyai jumlah undi tentera yang agak signifikan.

Terdapat lima Dun dalam parlimen Port Dickson iaitu Chuah dan Lukut yang merupakan kawasan majoriti pengundi Cina, Sri Tanjung sebagai kerusi campuran dan kawasan perindustrian, serta Bagan Pinang dan Linggi yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu yang turut menempatkan kem tentera dan merupakan kawasan pelancongan.

Rekod pilihan raya menyaksikan kerusi parlimen ini dianggap sebagai kubu kuat BN dan MIC sejak tahun 1970-an, sehinggalah kerusi tersebut ditawan oleh PKR dalam PRU 2008 (majoriti 2,804), dan kekal dimenangi PKR dalam PRU 2013 (majoriti 1,579) dan PRU 2018 (majoriti 17,710) dengan penguasaan 58% undi popular.

Melihat kepada angka-angka ini, cabaran yang menanti PAS bukanlah mudah, namun PAS memilih untuk tidak memberi laluan mudah. Apabila ditanya oleh wartawan tentang potensi PAS dalam PRK ini, Presiden PAS menjawab “Tidak mustahil boleh menang, namun tidak mudah untuk menang”.

Secara demokrasi, keputusan yang diambil oleh PAS adalah untuk menghidupkan proses demokrasi dan berpolitik secara matang di Malaysia. Ianya bagi memberi pilihan kepada rakyat yang mahu menghantar isyarat penolakan terhadap kegagalan kerajaan PH, serta menjadi signal penolakan ‘politik keperibadian’ dengan pelbagai langkah yang tidak berkesudahan.

Menariknya, keputusan PAS untuk bertanding dalam PRK Port Dickson ini menyerlahkan jati diri PAS yang bebas menentukan sikap dan pendirian politik secara tersendiri, dalam konteks hubungan kerjasama politik sesama parti pembangkang seperti Umno dan MIC di atas prinsip Ta’awun Siyasi yang fleksibel dalam perkara kebaikan.

Maka penyertaan PAS dalam PRK Port Dickson ini jelas menunjukkan jati diri dan konsistensi PAS di atas prinsip kebenaran, serta menyerlahkan kesungguhan PAS menghidupkan proses demokrasi ke arah budaya politik berprinsip, matang dan sejahtera (BPMS) dalam negara.

Inilah mesej besar yang dibawa oleh PAS, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam Al-Quran supaya perlu ada suatu golongan (ummah) yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh segala yang baik serta melarang segala yang mungkar, dan inilah sifat golongan yang berjaya di sisi Tuhan.

Di atas jati diri ini, Port Dickson kami datang!

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
27 September 2018 – HARAKAHDAILY 27/9/2018

IMPIAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohammad mungkin tidak akan kesampaian, walaupun Langkah PD telah disusun.

Tidak mustahil, walaupun Parlimen Port Dickson (PD) dirasakan selamat buat Anwar dan PKR, namun Parlimen PD juga boleh menjadi penamat jalan kepada team Anwar dalam memastikan Presiden PKR itu tidak ke Dewan Rakyat, seterusnya diangkat sebagai PM.

Ingat, dendam Mahathir terhadap Anwar bukan mudah untuk dipadam begitu sahaja dengan kerjasama di bawah Pakatan Harapan (PH). Mahathir tidak pernah senang dengan kehadiran Anwar dalam kerjasama PH.

Apatah lagi adegan lompat melompat MP Umno telah pun bermula, dimulakan anak didik Tun Daim Zainuddin iaitu Dato’ Seri Mustapa Mohamed selaku MP Jeli, dikuti Dato’ Seri Anifah Aman sejurus selepas Tok Pa membuka jalan.

Dijangkakan ada antara 16 orang lagi akan menyeberang, maka dapat dilihat andai kemasukan MP Umno ini sebagai satu usaha mengukuh kedudukan Bersatu dalam PH, dan usaha menghalang cita-cita Anwar.

Umum mengetahui dendam kesumat Mahathir ke atas Anwar, namun ramai pimpinan Umno yang pro Mahathir tahu kenapa Mahathir cukup berdendam dengan Anwar khasnya dalam episod pemecatan tahun 1998 yang akhirnya menghadiahkan adegan usung tilam, pemenjaraan Anwar dan berlakunya reformasi oleh pemimpin muda yang pro-Anwar.

Ketika itu, hayat politik Anwar diselamatkan PAS di bawah pimpinan Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor, walau pada awalnya ditentang hebat oleh Mohamad Sabu yang kerap menggelarkan Anwar dengan gelaran sangat sinikal.

Kes Sodomi 1 dan kemudian Sodomi 2, umum tahu penglibatan Mahathir dalam mempastikan Anwar terpenjara, dan bagaimana Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dijadikan ayam tambatan bagi mengendali kes itu atas nasihat Mahathir agar Anwar disumbat semula ke tirai besi.

Apapun berlaku sama ada benar atau salah (Anwar), yang pasti umum tahu pembabitan secara terselindung Mahathir, dan kemudiannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan Mahathir, walau kemudiannya Mahathir mula menyerang Najib angkara mencantas hayat politik anaknya, Dato’ Seri Mukhriz.

Dendam kesumat ini tak terhenti setakat adegan Sodomi 2 melibatkan Saiful Bukhari Azlan, dan peguam yang menjadi pendakwaraya ketika itu adalah Shafee. Anwar tersumbat ke penjara selepas bicara kes Sodomi 2.

Dalam percubaan berikutnya adegan filem berdurasi 20 minit China Doll, Anwar sekali lagi diaibkan dan se-Malaya adegan selingkuh ini yang kemudian menjadi viral.

Keresahan Mahathir berdepan Anwar dapat dilihat apatah lagi sebaik Mahathir menguasai kerajaan, dia menafikan pula soal perjanjian dua tahun selaku PM.

Bingkas dengan telahan awal Mahathir itu, Anwar dan kumpulan pro-nya dalam PKR kini sedang berusaha memastikan calon MP PD itu jadi PM.

Antara yang kuat membedal Mahathir ketika ini termasuk ayam tambatan Anwar, Rafizi Ramli dan Abdullah Sani, tidak kurang Fuziah Salleh.

Di pihak pro Mahathir dalam PKR yang diketuai Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin kini sedang giat mempertahan Azmin yang diketahui anak kesayangan Mahathir yang berperanan di sisi Anwar sejak dahulu lagi.

Dalam perang antara Mahathir dan Anwar, Azmin dan Rafizi masing-masing sedang menghunus propaganda antara satu sama lain, menjadikan PKR semakin berpecah.

Maka Anwar perlu sahaja beringat bahawa yang menjadi PM hari ini adalah Mahathir, insan yang menyumbatnya ke penjara dalam Sodomi 1 dan terkait dalam Sodomi 2, tidak mustahil kerusi anganan Anwar di PD boleh terlepas dengan permainan Mahathir yang kini menguasai sepenuhnya kerajaan.

Dendam dan kesumat Mahathir tidak boleh diselindung, sinikalnya dalam banyak hal terhadap Anwar tidak boleh dinafikan, malah kini pelbagai rancangan sedang hangat dijalankan olehnya termasuk adegan lompat melompat MP Umno yang sedang berjalan.

Seperkara lagi, ketika hangat isu ini berjalan, peguam tersohor, Muhammad Shafee tiba-tiba ditahan pula kerana tuduhan terlibat skandal pengubahan wang haram.

Muhammad Shafee dalam responsnya tidak menjangkakan bahawa dirinya akan didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM9.5 juta, lima tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua transaksi RM9.5 juta itu mempunyai resit yang dikeluarkan oleh firmanya terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak sebagai yuran guaman.

“Saya langsung tidak menjangkakan pertuduhan terhadap saya, ini kerana saya hanya terima bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, baru-baru ini selepas selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.

Tambahnya, sebagai peguam adalah tidak wajar untuknya mempersoalkan daripada mana sumber kewangan yang dibayar oleh Najib itu diperoleh.

“Takkan saya nak tanya perdana menteri (Najib) daripada mana sumber wang berkenaan,” katanya.

Muhammad Shafee turut menyifatkan bahawa tuduhan yang dikemukakan kepadanya itu adalah bermotifkan politik malahan tidak berasas serta karut.

Membaca kenyataan Shafie, pastinya pemerhati politik dapat menangkap makna sebenar babak politik ketika ini, dan apakah sekali lagi Mahathir memasang jerat untuk menghalang Anwar? Umum tahu jasa Shafee dalam pengendalian Sodomi 2, apatah lagi kelibat Tan Sri Gani Patail pula seolah-olah kurang berkesan dalam babak-babak sebegini.

Anwar sebenarnya meniti jalan sukar, dalaman parti sendiri sudah mula berpecah belah, yang jelas berpaling tadah sudah mula kelihatan, yang setia pun silap-silap bila berdepan "jawatan dan pangkat, laba kemenangan" bisa tersungkur.

Melihat situasi ini, Anwar barangkali tidak mudah ke posisi nombor satu, kecuali adanya usaha membina koalisi lain bukan bersama kumpulan yang dilihat bertentangan aspirasinya.

Adegan semakin menarik, menjelang penamaan calon PRK Parlimen PD, apa sahaja boleh berlaku, sama ada episod malang 98 boleh berulang ke atas Anwar, atau kes lain pula akan dihadapkan ke atasnya.

Apa yang jelas, persefahaman longgar PH membentuk kerajaan pusat dalam PRU14 lalu memungkinkan pelbagai situasi. Langkah PD mungkin tidak sama seperti Langkah Kajang, kerana bila-bila masa sahaja Mahathir boleh memasang perangkap menghalang laluan itu. – HARAKAHDAILY 27/9/2018

PRK Port Dickson (PD) ini satu pembaziran. Ia tidak harus diadakan semata-mata untuk memenuhi agenda peribadi seseorang pemimpin.

Rakyat yang baru beberapa bulan lalu keluar mengundi kini terpaksa keluar lagi setelah calon yang mereka menangkan letak jawatan untuk memberi laluan pada Presiden partinya.

Namun pilihan raya 'paksa' ini tidak wajar diboikot atau diberikan kemenangan percuma pada pencetusnya. Rakyat walau terpaksa namun perlu diberi pilihan.

Memandangkan Umno dari blok pembangkang tidak masuk bertanding maka PAS terpanggil memikul tanggungjawab untuk memberikan pilihan pada rakyat di PD.

Sukar untuk menang di kerusi kubu kuat PH ini namun sebagaimana ditegaskan Tuan Guru Presiden PAS ia tidak mustahil.

Oleh itu ayuh seluruh penyokong dan ahli PAS serta rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan, kita berkampung di PD dan beri saingan hebat pada calon PH dalam pilihan raya yang dipaksa ini.

Jumpa anda di PD. - HARAKAHDAILY 27/9/2018

 

KERAJAAN Negeri Kelantan sentiasa memberi komitmen dan perhatian bagi menjaga kelestarian hutan dan alam sekitar dalam Negeri Kelantan. Di bawah Seksyen 10 (1)(e) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, Hutan Tadahan Air (HTA) merupakan salah satu daripada kelas fungsi bagi Hutan Simpan Kekal (HSK) di bawah kelas Hutan Perlindungan. Maka, sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah mewartakan kawasan seluas 35 898 hektar sebagai Hutan Tadahan Air iaitu meliputi 5.85 peratus daripada 613 275 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal.

Hari ini Kerajaan Negeri memperkasakan komitmen ini dengan meluluskan pewartaan kawasan Hutan Tadahan Air baharu meliputi kawasan seluas 92 697 hektar yang melibatkan 70 kompatmen dalam 11 kawasan jajahan hutan dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan. Ini menjadikan keseluruhan Hutan Tadahan Air yang diwartakan adalah seluas 128 595 hektar iaitu 20.97 peratus daripada keseluruhan Hutan Simpan Kekal.

Hutan Tadahan Air ini adalah sangat penting kepada alam sekitar yang mana ia berfungsi sebagai:-

●     Bagi melindungi kawasan Hutan Simpan Kekal yang mempunyai ciri-ciri kawasan tadahan bagi tujuan menjamin sumber air secara berkekalan.

●     Bertindak sebagai kawasan konservasi kepelbagaian biologi hutan.

●     Sebagai kawasan penyelidikan dan pembelajaran dalam aspek pemeliharaan dan perlindungan kawasan Hutan Simpan Kekal untuk tadahan air.

●     Untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat umum mengenai peranan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dalam pemeliharaan dan perlindungan kawasan tadahan air.

Langkah pewartaan yang diambil oleh Kerajaan Negeri ini adalah bagi memastikan hutan dalam Negeri Kelantan sentiasa terpelihara bagi mencapai kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan dunia sejagat serta memenuhi tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.

YAB USTAZ DATO' AHMAD YAKOB
(Dato' Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan - HARAKAHDAILY 27/9/2018

 

PAS sudah menyatakan kesediaannya untuk meletakkan calon di PRK Port Dickson (PD), satu pilihan raya buatan Anwar Ibrahim untuk menjayakan agenda keinginannya dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Apakah semudah itu? PAS sememangnya mengambil kedudukan sebagai parti dan pembangkang yang berprinsip apabila mencabar Anwar, bukan kali pertama, Langkah Kajang sebelum ini digagalkan oleh PAS.

Umno yang terduduk penangan PRU14, terus hilang taring dan masih tercari-cari rentak sebagai pembangkang dalam sejarah negara. Walhalnya PAS memberi laluan kepada Umno di kawasan pengundi Melayu 42.72 peratus dan BN telah bertapak melalui MIC sebelum ini.

Jika Anwar menang, tragedi atau malapetaka baharu akan terjadi. Bukan pertembungan Mahathir dan Anwar, tetapi Azmin Ali. Sekarang pun Azmin memang menjadi penyokong dan Menteri paling berpengaruh selepas Mahathir.

Dan sudah ada maklumat sulit yang sedang diperkatakan memang ada perjanjian antara Mahathir, Azmin adalah Perdana Menteri selepas Mahathir.

Jika pertembungan ini berlaku, Mahathir akan terus menerajui Malaysia untuk tempoh yang lebih lama atas alasan mengekalkan kestabilan Pakatan Harapan (PH).

Sejarah Langkah Kajang telah mencetuskan pertembungan PKR, DAP dengan Istana Selangor, tidak mustahil krisis ini akan berlaku sekali lagi. PAS menjadi penyelamat waktu itu dengan menamakan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor untuk mengelak krisis perpanjangan.

Jika Anwar menang inilah antara jangkaan yang akan berlaku. Sebab itu PAS dilihat tidak memberi laluan mudah kepada Anwar untuk mengelak krisis besar dan malapetaka politik pertembungan alaf PH ini akan membantutkan perjalanan pentadbiran negara.

Untuk memastikan semua jangkaan ini tersasar, Anwar mesti dihalang menang di PD. Dengan erti kata lain PAS mestilah dimenangkan dalam apa jua sekali pun untuk mengekalkan kestabilan politik di Malaysia.

27 September 2018 - HARAKAHDAILY 27/9/2018

 

SUBUH 25 September saya menerima panggilan telefon daripada isteri beritahu anak Cikgu Puji (pemilik kedai nasi Arab Puji) Iman, telah pergi buat selamanya.

Teresak-esak isteri menangis, arwah Iman, Cikgu Puji, isteri dan anak-anaknya sudah seperti keluarga kami sendiri.

Anak sulung yang menjadi rakan baik arwah Iman bergegas pulang dari KL ke Alor Setar, saya tahu dia pasti balik, mereka cukup rapat.

Belum kering benar air mata mengenang baik jasa Cikgu Puji sekeluarga pada keluarga kami, berita pemergian Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Md Rejab pula menyusul.

Allahuakbar, ingatan beralih kepada arwah Ustaz Md Rejab. Semua kenal dia tegas, bibir sentiasa lontarkan ilmu agama saban hari dan waktu.

Pernah selepas satu kuliah Subuh, arwah ajak saya minum, katanya "ana dapat maklum anta dalam susah, ana nak bantu anta."

Saya luahkan segalanya pada arwah, tenang arwah mendengar dan nasihatkan agar saya tenang dan banyak berdoa.

Bertalu mesej masuk khabarkan pemergian Ust Md Rejab, tak kurang yang ingatkan saya esok (hari ini 26 September, genap 5 tahun pemergian arwah Ust Azizan Abdul Razak). Ada yang minta saya tuliskan sikit mengenai arwah.

Bagaimana saya mahu menulis, saya masih bersedih hilang dua orang yang rapat dalam hidup saya, Iman dan Ust Md Rejab.

Seolah tak tahu apa yang nak saya mulakan. Dengan arwah Ustaz Azizan terlalu banyak kisah.

Orang tahu dia garang, tegas. Siapa tak pernah kena marah dengan Ustaz Azizan bohonglah.

Sebelum dia jadi MB Kedah, saya antara tukang teman arwah selepas Isyak hingga tengah malam di bangunan PAS Kedah di Jalan Kota, Alor Setar.

"Mie hang mai sat, hang ada duit dak, beli sat kat aku.....sat lagi aku ganti balik duit hang"

Pak Chop Husin, Wan, Azri tahulah apa yang selalu Ustaz suruh saya beli.

Bila jumpa sedia maklumlah ustaz dengan uniform rasmi dia, baju pagoda dengan kain pelekat, rambut kembang ke tepi.

"Hang tolong tengok sat Tok Guru Haji Hadi minta aku tulih sikit pasai Penyakit Umat Islam."

"Ada hat tak kena hang habaq aku nak pebetoi"

Waktu mood dia tengah elok siapa pun berani melawak, saya kata amboi takkan saya nak perbetul, saya bukan reti.

Itulah hangpa, mengaji hangpa tak mahu, ilmu bukan nak rugi. Dia mula dah, habis segala zaman dia mengaji naik gerek di Yan sampai masuk Maktab Mahmud dia akan ungkit.

Kadang lajak sampai dia mengaji Mesir, main tenis, kerja KFC di London, sambil belajar anak dok kelitin bawah meja, itu susah aku mengaji, aku dulu ambil Law di University Kentsssss.

Sebutan 'S' Ustaz Azizan selalunya akan lebih.

Sambil ajak duduk di biliknya, ustaz hulur setambun kertas A4.

Kertas putih bergaris biru muda terkandung tulisan tangan ustaz dengan pen dakwat merah.

"Hang tengok sat ayat bagi betul, aku nak minta Azri tolong taip balik Bahasa Arab esok, tak balik dah kita malam ini" - dalam hati saya kata menyesal dah aku malam ini.

Perkara yang sama berlaku lagi hampir setiap kali sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Ustaz Azizan.

Kali ini tidak lagi di Jalan Kota tetapi di rumahnya di Jalan Sultanah.

Uniform masih sama, baju pagoda dengan kain pelekat. Ustaz teliti sepatah demi sepatah ayat ucapan yang saya sediakan.

Jumpa pukul 9 malam keluar rumah dia pukul 2 pagi itu dah biasa.

"Itu esok kita jumpa hang perbetul elok-elok, hang jangan bagi silap, orang nak dengar kita berucap, hang habaq dekat Syahril mai awal, dekat Mie Yahya aku habaq dah dia kena mai awal tengok apa yang patut."

Waktu-waktu macam ini kita jangan jampuk, kalau jampuk nanti ada benda baru Ustaz nak pesan, baik kata 'ya' sahaja.

Ustaz cukup teliti dan cukup kerap bagi kata-kata pesanan.

PAS menang di Kedah 8 Mac 2008, saya mula bertugas 13 Mac.

Selepas sembang itu ini, satu pesan yang saya ingat sampai sekarang dan InsyaAllah sampai bila-bila.

Kata Ustaz, kalau nak kerja, nak bantu dia, nak bantu rakyat kerjalah elok-elok.

Tapi kalau niat nak kerja untuk jadi kaya, kenal tauke-tauke besar, nak makan rasuah, nak khianat amanah dan rakyat baik berhenti hari pertama itu saja.

"Sebab esok aku tak perlu pikiaq dah pasal hang" - tajam buah Ustaz Azizan.

Itu hari pertama kerja. Pesan dan bertanya khabar sepanjang 5 tahun bertugas tak pernah lekang dari mulut Ustaz.

Kebajikannya banyak, tetapi dia memesan keras dari kami hebohkan.

Beristeri dua dan beranak 16, sibuk macam mana sekalipun dia berselang seli harinya antara rumah keduanya tanpa gagal.

Hari cuti kalau nak balik ke Sungai Limau dia tak pernah naik kereta kerajaan, malah pernah dia naik kereta Satria pengawal peribadinya, Syahril. Dia duduk sebelah, Syahril bawa kereta.

Tak pernah ada perbualan untuk kayakan dirinya. Tiap soalan mesti pasal kebajikan rakyat.

Makan Maggi bersama kami bila sampai di rumah sewa di KL itu satu kemestian.

Kadang di KL dia yang masak untuk kami, masak cukup cermat, elok kita tengok saja daripada tolong sebab kalau silap potong tomato atau timun dia ungkit sebulan.

"Bukan laguuu tuuuu, tak boleh buat lagu tuuuu" - ayat wajib Ustaz, punch line-lah kot kalau bahasa anak-anak Gen-y.

Itulah ayat hiburan kami ketika itu malah bila kami berjumpa atau berwhatsapp ayat itu masih kami kenang sampai hari ini.

Kalau di KL, dia buat kami macam 'budak-budak'.

Nak menguit (bergerak) sikit pun dia akan tanya. Tambah-tambah kalau kita spray perfume.

Bau saja dia akan tanya, "Aiiii wangi-wangi hangpa nak pi mana?"

Kadang naklah juga merasa beli baju di KL, kalau dia tanya harga kami tak akan bagi tahu harga yang betul.

Kalau sebut harga lebih dari RM25, dia akan kata, "haissssshhhh, mahai, hangpa balik beli di Simpang Empat Kangkong, aku selalu beli situ, Kedai Timor, baju Orlando original 19 ringgit saja"

Rupanya baju itu brand Ormlando, bukan Orlando.

Hidupnya cukup sederhana, ada anaknya tidak ada kerja yang tetap ketika ayah mereka jadi MB.

"Anak aku mesti marah aku, pak dia jadi Menteri Besaq, tapi dia tak dak kerja", kadang Ustaz sebut macam itu.

Saya kata, itu waktu Ustaz masih ada, kalau nanti Ustaz dah tak jadi MB, dah tak ada, dunia akan kata Ustaz tak guna kedudukan, tak ambil kesempatan sumbat anak guna kabel untuk dapat kerja.

Lima tahun terlalu banyak untuk nak diceritakan, 5 Mei 2013, kita tempuh PRU13.

Ustaz agak uzur, tapi masih tetap penuhi jadual undangan apatah lagi itu ketika kempen PRU.

Minggu akhir sebelum PRU, Ustaz banyak jumpa pimpinan PAS secara peribadi, kebanyakan dia ajak saya teman.

Ada juga dia tanya, hangpa semua dah kemas ke barang di pejabat, kalau menang alhamdulillah, kalau kalah pun kita terima, kata Ustaz.

Hari mengundi, Ustaz nampak letih sangat, lepas mengundi saya jumpa Ustaz di Sungai Limau.

Lepas tanya perkembangan suasana tempat mengundi, dia mula berbicara.

Di atas kerusi rotan usang di ruang tamu dia minta saya tolak sikit TV yang diletak atas sebuah kerusi plastik kedai makan.

"Aku letih sangat hari ini Mie, aku nak rehat sat, ada apa lagi dak hari ini, hang ada janji dengan siapa-siapa lagi ke?," kata Ustaz.

Saya tanya Ustaz dah mengundi atau belum, kalau belum jom kita jumpa wartawan sat, ramai nak jumpa Ustaz, kita jumpa di Bukit Besarlah Ustaz, Ustaz mengundi situ boleh terus jumpa wartawan.

Balas Ustaz, depa mahu lagi ke jumpa aku, nak buat apa dah, lepas ini bukan ada sangat dah cerita pasal aku.

Bukan sehari kami dengan Ustaz, itu 'bukan' Ustaz, Ustaz dah tak cengei (garang) Ustaz dah tak melawak macam selalu, itu 'bukan' Ustaz Azizan.

Malam menunggu keputusan Ustaz banyak berhubung melalui handphone, saya kata saya tunggu Ustaz di Batu 9 (Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut).

Hingga jam 12 malam lebih, secara rasminya kami menerima ketentuan bahawa PAS gagal membentuk kerajaan di Kedah.

Saya ditemani rakan, Azamin Amin ketika itu. Dia mungkin tahu mood saya cukup, amat dan sangat tidak elok.

Lebih kurang jam 1 pagi saya ajak Azamin ke rumah Ustaz.

Masuk saja dalam rumah, Ustaz terus sebut, "Mie aku minta maaf kat hangpa, kita kalah, pasal aku hangpa dah tak dak kerja, aku minta maaf Mie"

Saya hanya diam. Ustaz sambung lagi, "Aku sakit sangat malam ini Mie, aku dah tak lama kot, hang dah tak dak kerja, kesian Kat hang, mcm mana hang nak jamu makan anak bini hang lepas ini Mie"

Itulah pertama kali Ustaz sebut dia sakit, payah dia nak serah diri untuk cakap dia sakit.

Saya pegang tangan Ustaz, Saya kata "Jom kita berubat Ustaz, jangan pikiaq pasai Saya, kita pi hospital Ustaz na"

"Tak apa kot", jawab Ustaz buat saya serba salah untuk terus bercakap lagi.

Tak lama saya pun keluar dari rumah Ustaz, rupanya lebih kurang jam 4 pagi Ustaz ke hospital dengan Syahril dan Abang Noh.

Lebih kurang pukul 9 pagi dia panggil Helmi Yahya, Setiausaha Sulit Kanannya, bila Helmi keluar dia minta saya masuk jumpa Ustaz.

Sekali lagi Ustaz minta maaf sebab kami dah hilang kerja, saya kata Ustaz, kita berubat Ustaz dulu. Bab kami, insyaAllah ada rezeki mana-mana nanti.

Dia terbaring sambil jalani dialisis. Ustaz panggil saya rapat badannya. Ustaz peluk saya dan bisik bermacam.

Ustaz mengadu hal, Ustaz berpesan dan menangis.

Basah baju saya dengan air mata Ustaz. Pelukan kami dilerai bila seorang nurse panggil nama Ustaz.

"Datuk Seri, ini anak Datuk ke, Datuk dah nak habis dialisis, nanti Datuk rehat ya"

Dalam nada yang cukup lemah Ustaz masih nak menjawab soalan nurse tadi.

"Ini pegawai saya, depalah yang dok jaga sakit demam saya, dia dah macam anak saya."

Rupanya 6 Mei itulah kesempatan terakhir saya mendengar suara Ustaz Azizan.

Tengaharinya Ustaz diiring keluarga dan Setiausaha Politiknya, Haji Sanusi Md Nor ke Hospital Pulau Pinang.

Malamnya saya sampai dengan Azamin. Suara Ustaz sudah makin lemah.

Sanusi cuba ikhtiar untuk satu rawatan di sebuah klinik swasta pada Ustaz.

Ketika itu dengar suara lemah Ustaz minta makan. Azamin cicah sekeping biskut dengan air Milo pada Ustaz.

Malam semakin lewat, kami tidak lagi dibenarkan teman Ustaz.

Kawalan dan rawatan pada Ustaz makin rapi. Suaranya sudah semakin tenggelam.

Ustaz kadang sedar kadang tidak. Ustaz tidak boleh diganggu.

Selang beberapa hari, saya masuk ke bilik rawatannya, tiba-tiba Ustaz membuka mata.

Amat lemah keadaannya. Kak Faikah ada di sisi Ustaz. Dengan pandangan yang amat lemah, suara antara keluar dan tidak, dari gerak mulut Ustaz tanya kerja apa?

Ya Allah dalam keadaan dia yang sebegitu rupanya Ustaz masih fikir pasal orang lain.

Saya tipu, saya jawab dah dapat kerja, Ustaz jangan bimbang. Nampak Ustaz tenang dan kembali pejam mata.

Mei hingga Ogos kami berkampung dan bergilir menjaga Ustaz di Hospital Pulau Pinang.

September, atas permintaan keluarga, Ustaz dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyyah Alor Setar.

Di sisi ahli keluarga diiringi bacaan Yasin salah seorang sahabat karib sejak zaman sekolahnya, Sheikh Ismail Kamis Ustaz Azizan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 pagi lima tahun yang lalu.

Al-Fatihah, terima kasih Ustaz. Kami rindukan Ustaz. Tenanglah Ustaz di sana, negeri yang kekal abadi.

Catatan oleh Saudara HELMI KHALID (mantan Setiausaha Akhbar Ustaz Azizan Razak) - HARAKAHDAILY 27/9/2018

More Articles ...