NABI S.A.W mengisytiharkan perang terhadap Bani Nadhir selepas perancangan jahat mereka terbongkar. Muhammad bin Maslamah diutuskan untuk menyampaikan amaran tersebut dan ianya amat ditakuti oleh mereka.

Akan tetapi muncul Abdullah bin Ubai bin Salul menghasut mereka untuk melawan Nabi. Allah merakamkan ucapan Abdullah Ubai di dalam Surah al-Hasyr ayat 11:

"Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang Munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang Kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa pun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta."

Teramatlah pelik, apabila orang Islam begitu komited berjanji membantu musuh? Bahkan Abdullah Ubai menjanjikan bantuan daripada Bani Quraizah dan sekutu-sekutu daripada Bani Ghatafan.

Di atas janji-janji manis ini, Bani Nadhir kembali bersemangat melawan. Kata mereka "Kami tidak akan keluar dari kampung ini, buatlah apa yang mahu!".

Lantas umat Islam mengepung perkampungan Bani Nadhir beberapa hari hingga menimbulkan kegerunan dan ketakutan lalu mereka bersedia meletakkan senjata. Dalam masa mereka dikepung, nyata tiada langsung bantuan yang tiba daripada mana-mana pihak pun sebagaimana yang dijanjikan oleh Abdullah Ubai. Bani Nadhir hanya bersendiri menghadapi umat Islam. Allah merakamkan dalam ayat 16 Surah al-Hasyr:

"(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!""

Kebergantungan orang beriman adalah bersama Allah, Rasul dan sesama orang beriman. Apabila dijanjikan pertolongan selain dari itu, hendaklah dengan ketelitian dan berjaga-jaga.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
09 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 9/8/2018

KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Haron telah menjelaskan pada 7 Mac 2018 bahawa kapal layar mewah The Equanimity didakwa milik peribadi taikun Jho Low dan tiada kaitan dengan siasatan 1MDB.

nasrudinKenyataan KPN adalah respons terhadap tindakan melucut hak sivil yang dilakukan oleh DOJ Amerika Syarikat terhadap Jho Low. mahkamah di Indonesia juga telah mengarahkan agar The Equanimity yang berada di Bali dipulangkan kepada pemilik sebenar kerana telah disita secara salah.

Walau bagaimanapun, YAB Perdana Menteri bercanggah pendapat dan menganggap kapal tersebut dibeli dengan menggunakan duit 1MDB. Lebih pelik lagi, Menteri Kewangan pula merancang untuk menjual The Equanimity pada harga tertinggi sehingga AS$250 juta (RM1 bilion).

Mengapa tiba-tiba semalam peguam 1MDB pula berkata kerajaan akan menanggung kira-kira RM3 juta sebulan untuk menyelenggara kapal tersebut?

Tentu sahaja wang rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan untuk menyelenggara kapal mewah The Equanimity. Walhal, kapal tersebut belum diketahui siapa pemilik sebenarnya dan akan ambil masa enam bulan untuk menentukan kepemilikannya.

Bukankah kerajaan PH selama ini sangat prihatin terhadap isu 1MDB kerana kononnya telah mengorbankan dana kerajaan yang juga merupakan wang rakyat. Jadi, mengapa sekarang perlu libatkan wang rakyat untuk menanggung kos penyelenggaraan kapal?

Lebih baik duit tersebut digunakan untuk membiayai elaun sara hidup nelayan dan peneroka Felda.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
28 Zulkaedah 1439 | 9 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 9/8/2018

SAYA bangun mencelah ucapan Datuk Haji Ahmad Maslan (BN - Pontian) pagi tadi ketika beliau berucap membahaskan RUU Cukai Perkhidmatan. Saya bangkitkan berhubung cukai input GST yang sepatutnya dikembalikan kepada para peniaga, yang dikatakan berjumlah RM9-10 billion (Menteri Kewangan di dalam ucapannya petang ini menyatakan jumlahnya ialah RM17 billion).

Isunya ialah, sepatutnya para peniaga ini mendapat semula wang hasil tuntutan cukai GST yang dibayar oleh mereka seperti yang dijanjikan oleh kerajaan lalu sewaktu GST mula diperkenalkan. Jika diikutkan janji pada masa itu ialah 'dalam masa 14 hari'.

Hari ini, ada tuntutan dua tahun lepas masih belum diperolehi menyebabkan aliran modal para peniaga terganggu. Soalan saya ialah, kenapakah ia berlaku?

Jawapan YB Pontian ialah, terdapatnya beberapa isu yang perlu dikaji oleh Jabatan Kastam sebelum mengembalikan wang tersebut. Sama ada jawapan ini boleh diterima atau tidak, ia boleh dibahaskan di ruang yang lain.

Soalnya pada hari ini, wang itu perlu dikembalikan kepada rakyat. PAS daripada dulu lagi menolak pelaksanaan GST tidak memikul beban yang terpaksa dipikul oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang telah menyokong pelaksanaan GST.

Walau apapun yang berlaku, tuntutan ini wajib dikembalikan kepada rakyat.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
8 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 8/8/2018

JIKA nak tarbiyyah dan bimbing mereka, kerajaan mesti sediakan pusat pemulihan dan tenaga pembimbing agar mereka insaf dan kembali kepada kehidupan yang normal dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Bukan iktiraf mereka, bukan membela hak mereka untuk bebas melakukan apa sahaja aktiviti mereka, mereka ada hak sebagai rakyat Malaysia tetapi hak kerajaan ialah menghalang mereka dari melakukan aktiviti tidak sihat.

Sekiranya mereka diiktiraf dan bebas melakukan apa sahaja aktiviti mereka maka mereka akan merasakan mereka benar dan terlindung akibatnya akan lahir pula generasi baru di kalangan mereka.

Menteri Agama kena sedar bahawa dia bertanggungjawab terhadap perkara ini di dunia dan akhirat, jangan kerana undi dan nak sokongan semua pihak sehingga berikan ruang kepada golongan ini untuk berbuat apa sahaja.

Gunakan kuasa sebagai kerajaan untuk pulihkan mereka, sayangi dan perjuangkan hak mereka bukan dengan memberikan kebebasan tapi kembalikan mereka ke jalan Allah S.W.T.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR - HARAKAHDAILY 8/8/2018

 

UMAT Islam kena bersatu. Jika kita berpecah, kita tak ke mana walau 65 peratus rakyat negara ini orang Islam.

Pilihan Raya PBT yang akan bermula dengan Kuala Lumpur akan bakal menyaksikan bilangan pemilih di ibu kota, Ibu Negara Malaysia yang bilangan bukan Islam lebih ramai memilih sendiri siapa mereka mahu untuk uruskan Kuala Lumpur.

Isu penyusunan semula masyarakat antara tumpuan utama Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan 1970 yang mengenal pasti punca ketegangan kaum yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 adalah ketidakseimbangan antara kaum yang wujud dalam pelbagai faktor misalnya pegangan ekonomi, kependudukan bandar dan luar bandar. Ia masih gagal hari ini dan telah diganti dengan pelbagai dasar afirmatif lain setelah itu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat agak berat mulut untuk memperjuangkan dasar afirmatif yang membantu memperbaiki kedudukan orang Melayu, Islam sebaliknya bersikap longgar dalam isu teras seperti bahasa, dasar pendidikan, kedudukan agama, kuota Bumiputera.

Bandaraya-bandaraya utama di negara ini didiami majoritinya bukan Melayu. Ia menjadi kubu kuat parti seperti DAP yang semua sudah maklum sikapnya terhadap kedudukan Islam dan Melayu.

Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu menyaksikan antara lain kedudukan susunan Ahli Majlis Bandaraya seperti di Taiping, Perak sepenuhnya dikuasai bukan Islam.

Pilihan Raya PBT bermula di Kuala Lumpur bakal melahirkan Datuk Bandar bukan Melayu, ahli Majlis Bandaraya seperti di Taiping.

Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia yang selama ini menjadi dasar kerajaan menumpukan segala urusan pentadbiran dan pengurusan pelbagai sektor di Kuala Lumpur.

Petroleum yang dikeluarkan hasilnya dari perut bumi Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak, kesemuanya Negeri-negeri Melayu dan Bumiputera yang pada kedudukan negeri termiskin dalam Malaysia, akan tetapi kerajaan yang tetapkan dasar, soal pentadbiran dan pengurusannya di Kuala Lumpur.

Ibu pejabat Petronas di Kuala Lumpur. Tender, persidangan, perundingan pelaburan, exhibition yang utama. Maka semua entiti berkaitan industri petroleum, rangkaian pembekal peralatan, bahan, perkhidmatan, juru perunding, semua buka ibu pejabat sekitar Kuala Lumpur, mendaftar syarikat di sana dan membayar cukai korporat, cukai pendapatan individu jutawan-jutawan taikun industri petroleum, semua dibayar ke akaun hasil di Kuala Lumpur.

Ianya dasar kerajaan. Maka itulah bilangan jutaan rakyat berhijrah dari Terengganu dan Kelantan, Sabah, Sarawak mencari kerja di Kuala Lumpur sehingga semua orang merungut masalah kesesakan di Kuala Lumpur.

Atas faktor kesesakan dari dasar kerajaan inilah pula, kerajaan memutuskan pelaburan beratus billion ringgit Malaysia lagi dalam pelbagai projek mega di Kuala Lumpur dan sekitarnya untuk menangani masalah sistem pengangkutan, MRT, LRT dan pelbagai lagi.

Beratus billion nilai projek wang rakyat ditumpukan di Kuala Lumpur! Kaya raya tauke-tauke di Kuala Lumpur. Punca. Dasar Kerajaan pusatkan di Kuala Lumpur. Begitu juga pentadbiran hasil pertanian. Getah, Sawit.

Pilihan Raya PBT adalah ketidakadilan kepada rakyat luar bandar yang mengizinkan sumber asli bumi mereka diurustadbir di ibu kota sehingga mengkayakan orang bandar sahaja dengan jurang peruntukan pembangunan yang terlalu melampau jauh beza di negeri penyumbang.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM 
Kuala Terengganu - HARAKAHDAILY 9/8/2018

SAMA ada GST atau SST, sifatnya sama sahaja pada sudut implikasi terhadap pengguna akhir iaitu perlu menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dibeli atau dilanggan.

Islam telah menggariskan kaedah yang lebih adil berkenaan pengambilan harta daripada orang lain supaya tidak mengambilnya tanpa hak dan menyerahkannya pula kepada yang tidak berhak.

3. Zakat adalah model terbaik berkenaan perkara ini; bukan sahaja merupakan ibadah bagi umat Islam, bahkan merupakan kaedah pengagihan kekayaan yang saksama dalam kalangan manusia.

Mereka yang dikurniakan Allah dengan lebihan pendapatan diwajibkan mengeluarkan sebahagian harta yang dimiliki kepada golongan yang tidak berkemampuan bagi mencukupkan keperluan asasnya. Mereka yang memberi dan menerima kedua-duanya diberkati Allah.

Sistem percukaian yang mahu dilaksanakan sepatutnya merujuk kaedah ini sebagai dasar yang penting.

Betapa Islam sangat teliti dan berhati-hati tentang permasalahan mengambil harta daripada orang lain, keharusan memungut cukai tidak dibiarkan bebas; sebaliknya diikat dengan syarat-syarat tertentu.

Cukai selain daripada cukai terhadap hasil dan pendapatan hanya wajar dikenakan kepada golongan kaya, pada waktu bertempoh, untuk memenuhi keperluan mendesak yang berkaitan maslahah umum pentadbiran negara dalam keadaan pendapatan negara pula tidak mencukupi.

Pada masa sama Kerajaan tetap berkewajipan mengikhtiarkan sumber pendapatan lain dan mestilah tidak boros berbelanja serta mengelak berlaku ketirisan.

Berbeza dengan struktur ekonomi moden, cukai dijadikan penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Jika dibelek khazanah ilmu Islam, selain zakat, adanya cukai seperti kharaj, jizyah dan 'usyur yang menepati syarat-syarat ini, dikutip untuk mencukupkan perbelanjaan negara bagi memenuhi dan menjaga maslahah rakyat.

Persoalannya, GST dan SST yang mahu dimansuhkan atau dilaksanakan ini sebenarnya untuk kepentingan siapa? Kerajaan, korporat atau rakyat?

Jika benar demi rakyat, tidak sepatutnya cukai diganti dengan cukai kerana ia tetap menjadikan rakyat sebagai penanggung beban.

Kerajaan sepatutnya lebih kreatif dan inovatif melakukan 'ijtihad' meneroka pelbagai sumber bagi menambah pendapatan negara; bukannya mengambil jalan mudah dan singkat dengan mengenakan cukai kepenggunaan kepada rakyat.

Bahkan, sebenarnya negara bukannya tidak mempunyai cukup pendapatan, tetapi kerana kelemahan dalam mengurus pendapatan dan perbelanjaan menyebabkan berlaku ketidakcukupan.

Justeru, adalah lebih utama Kerajaan menumpukan usaha kepada perkara-perkara berikut terlebih dahulu tanpa perlu tergesa-gesa melaksanakan cukai kepenggunaan:

pertama, membasmi ketirisan perbelanjaan yang dilaporkan mencecah sehingga 30% daripada dana Kerajaan.

kedua, meningkatkan kecekapan sistem percukaian sedia ada terutamanya menyelesaikan isu mengelak pembayaran cukai. Contohnya, pada 2015 sahaja, seramai 791,239 pembayar cukai pendapatan individu dan 65,545 pembayar cukai pendapatan syarikat tidak menjelaskan cukai pendapatan kepada LHDN melibatkan pembayaran berjumlah RM8.2 bilion.

ketiga, menangani aktiviti penyeludupan yang menyebabkan kerugian. Sebelum ini ada dilaporkan Kerajaan kerugian RM4 bilion dalam bentuk hasil cukai tidak berbayar akibat sindiket rokok seludup, RM540 juta setahun akibat aktiviti penyeludupan minyak masak dan RM200 juta sebulan akibat penyeludupan wang ke sebuah negara jiran.

PAS bukannya anti cukai atau menafikan kepentingan cukai. Cumanya, terlalu jelas bahawa GST 'merompak' terang-terangan dan SST pula 'mencuri' diam-diam duit rakyat. Oleh itu, PAS menolak kedua-dua cukai kepenggunaan ini.

Saya telah berulang kali menegaskan dan menjelaskan berkenaan cadangan cukai alternatif terhadap pemilikan harta orang kaya yang patuh syariah dan adil untuk semua berasaskan model zakat iaitu cukai atas simpanan korporat dan cukai atas pegangan saham sepertimana dikemukakan oleh PAS menerusi Dokumen Hijau.

Simpanan korporat dianggarkan sekitar RM500 bilion. Ia boleh mendatangkan hasil kepada Kerajaan sebanyak RM12.5 bilion sekiranya diambil dengan kadar 2.5% apabila cukup tempoh setahun.

Begitu juga pegangan saham di Bursa Malaysia yang data terakhir menunjukkan bernilai sekitar RM1.9 trilion. Ia berupaya menyumbang sebanyak RM47.5 bilion jika dikenakan cukai dengan kadar 2.5% setahun.

Sebanyak RM60 bilion telah gagal dimanfaatkan untuk kantung Kerajaan kerana kekayaan mereka ini tidak dikenakan cukai. Malangnya, Kerajaan mengenepikan penyelesaian Islam ini dan masih teraba-raba dengan penyelesaian cukai manusia yang tidak pernah adil.

Jika tiga (3) langkah ini dilaksanakan dan cukai patuh syariah ini diperkenalkan, negara tidak memerlukan pun sama ada GST atau SST. Barulah rakyat pun tidak terbeban.

“Sejahtera Bersama Islam”

Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
8 Ogos 2018 | 26 Zulkaedah 1439 – HARAKAHDAILY 8/8/2018

PENGAKUAN terbaharu Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining perlu dilihat sebagai isyarat kecemasan terhadap hal ehwal kedaulatan dan keselamatan Malaysia. Ia antara petunjuk wujudnya hubungan pihak tertentu di negara ini dengan badan pencatur agenda politik sulit Amerika Syarikat (AS) itu.

Bahkan pengakuan tersebut harus dibaca sebagai ungkapan kegembiraan dan kemenangan pihak tersebut menjayakan misi serta agenda mereka terhadap negara ini. Di mana anasir dalam negara ini juga telah menjadi 'pintu masuk' atau 'tapak' bagi pergerakan yang menjurus kepada campur tangan politik asing itu.

Badan seperti ini memiliki kaitan rapat dengan agensi perisikan, namun mengelola doktrin dan propaganda mereka menerusi pendidikan, latihan dan pendanaan. Paling menjadi sasaran adalah negara yang dilihat berpotensi membangunkan Islam atau pihak pembawa agenda Islam fundamental.

Lantaran itulah seawal 1990-an, pelbagai kemelut hiruk pikul yang menghodohkan wajah Islam dicipta ke mata umat dunia, selain kacau ganggu di negara-negara umat Islam. Islam ditunjukkan sebagai berwatak antagonis, sedang mereka berlagak hero, selain mencipta dan menaja gerakan ekstremis sedunia dengan nama Islam.

Rantau ini, termasuk Malaysia tidak terkecuali khususnya menerusi serangan pemikiran Sekular, Liberal, Plural dan seumpamanya. Juga dengan mencemari dan memperalatkan demokrasi untuk mengaruskan massa secara terancang kepada satu sokongan yang boleh dicengkam mereka.

Natijahnya sedang kita lihat pasca PRU14 apabila ketara sekali unsur gugatan dan ancaman terhadap tonggak-tonggak negara. Apakah rakyat khususnya umat Islam Malaysia masih belum sedar segala cabaran dan petaka halus ini? Kita tanpa sedar menghadapi penjajahan bentuk baharu yang lebih licik untuk menguasai.

Sehubungan itu kami menegaskan bahawa semua hubungan sulit terjalin antara anasir di dalam negara ini dengan pihak tersebut adalah satu kecurangan, bahkan pengkhianatan kepada negara. Kami menggesa pihak tertinggi keselamatan negara segera peka melaksanakan kontigensi sewajarnya.

Usaha pencegahan, semakan, siasatan dan pemantauan wajib dilaksanakan sebersih-bersihnya untuk menanganinya. Kita tidak harus menolak bahawa pihak yang punya hubungan berkaitan kini menerajui puncak kuasa pemerintahan negara. Sesuatu yang amat menggerunkan dan wajar dibimbangi.

Bagi pihak rakyat, kami mahu penjelasan pihak berautoriti terhadap status dan perkembangan semasa perkara ini. Juga dinyatakan langkah susulan bakal diadakan untuk menghadapinya. Segala penafian semata, lebih-lebih lagi dari ahli politik tidak harus dijadikan alasan 'menutup buku' atau diabaikan.

Kami juga menuntut jaminan Kerajaan Persekutuan supaya semua kemungkinan ini jika dibuktikan, mestilah diambil tindakan menurut undang-undang. Sebarang pilih kasih atau menjaga kepentingan pihak tertentu khususnya anggota komponen politik bersama juga adalah jenayah yang wajib dibenteras.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 8/8/2018

More Articles ...