23
Thu, May
34 Artikel Baru

PADA Isnin 18 Mac 2019, jam 12 tengah hari, bertempat di Pejabat YB Menteri Kesihatan, Jalan Cenderasari, sekumpulan wakil NGO telah bertemu dengan Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bertujuan menyerahkan petisyen.

Petisyen tersebut merupakan sebahagian daripada kempen #WajibVaksin yang menyokong usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mewajibkan vaksin yang terkandung dalam Program Imunisasi Kebangsaan kepada seluruh kanak-kanak warganegara Malaysia.

Petisyen yang dianjurkan oleh Persatuan Pembanteras Mitos Perubatan Malaysia (Medical Mythbusters Malaysia) berlangsung sejak 25 Februari 2019 lalu, dan berjaya memperolehi sejumlah 119,932 tandatangan.

Sebanyak 15 pertubuhan dan persatuan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai bidang, khususnya kesihatan dan kebajikan kanak-kanak, turut menzahirkan sokongan ke atas petisyen ini.

15 NGO tersebut adalah:
1. Persatuan Pembanteras Mitos Perubatan Malaysia (Medical Mythbusters Malaysia, M3)
2. ASEAN Commission For the Promotion and Protection of the Right of Women and Children
3. Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia
4. Public Health Malaysia
5. Delegation Of Nurses
6. The Dressar & Co
7. Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)
8. IKRAM Health
9. Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik)
10. Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA)
11. Malaysian Male Nurses (MMN)
12. Islamic Medical Association Malaysia (IMAM)
13. Malaysian Integrated Medical Professionals Association (MIMPA)
14. Medical Tweet Malaysia (MedTweetMY)
15. Immunise4Life

Salinan petisyen tersebut telah diterima secara langsung oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau juga menyatakan iltizam dan komitmen ke arah mewujudkan vaksin mandatori, dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk sokongan rakyat yang disampaikan melalui petisyen ini. – HARAKAHDAILY 19/3/2019

WAN Saiful Wan Jan sound DAP kerana tuduhan liar terhadap PAS. Katanya, dia berasal dari PAS dan faham cara kerja PAS. Jadi tidak betul jika mahu menyalahkan PAS. Bukan semua perkara yang tidak benar dibuat oleh PAS.

Pertamanya terima kasih atas kritikan Wan Saiful dari Bersatu terhadap DAP. Ianya sangat berani kerana menyanggahi DAP, taiko dalam PH. Nak harapkan Pan tegur DAP? Masak dululah telur tu. Keduanya, memang PAS tak sempurna, jadi pasti ada cacatnya. Bukan sahaja PAS, tapi juga parti lain. Tapi dalam banyak-banyak parti itu, PAS yang paling baik. PAS Perasan? Tak, PAS tak perasan sebab nak tuduh PAS punyalah lama dan panjang episodnya, alih-alih tak pernah betul. Tapi parti lain, tak tuduh lagi, kadang-kadang tu dah mengaku.

Ketiganya, teguran Wan Saiful kepada DAP ini tak banyak beza dengan kisah rasulullah yang difitnah macam-macam, tetapi akhirnya, golongan musyrikin menafikan tuduhan dan fitnah-fitnah itu kerana tahu siapa baginda. Begitulah PAS, difitnah macamana pun, orang tetap tak percaya, sebab PAS baik. Tapi janganlah baca ini macam tuduh PH tu musyrikin pulak. DAP yang kafir jer kalau betulpun musyrik. Yang lain tu penyokong setia DAP jer.

Dalam seminggu ini setelah disindir dan diasak oleh wanita dalam PH, Mujahid nampaknya bertindak agak rasional. Sesuatu yang sudah lama tiada dalam dirinya. Beliau disinggung oleh Lathefa Koya selepas pertemuannya dengan Zakir Naik, suruh Mujahid masuk PAS semula. Dia juga disindir Marina Mahathir atas isu perhimpunan wanita yang disertai juga puak LGBT.

Tindakan rasional beliau ialah kembali mengangkat Zakir Naik, walaupun dimarahi segelintir individu dalam PH. Mujahid juga telah memaklumkan akan memberikan lebih perlindungan kepada isteri yang ditinggalkan suami tanpa nafkah. Undang-undang hadanah yang bakal diperkenalkan, boleh menyita harta suami jika membiarkan anak dan isteri setelah bercerai. Apa yang baik, mesti kita sokong.

Tapi Mujahid kembali pening setelah menghantar satu kiriman ayat al-Quran di page beliau dengan diterjemahkan dengan perkataan lain. Setelah didesak, baharulah ianya ditukar. Pening layan Mujahid ni, orang dalam PH tak tahulah macamana.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada beberapa minggu lalu, menafikan dan menyindir DS Najib atas isu penjualan aset kerajaan Hotel Royale milik Bousted kepada Royal Hotel Ltd yang disenaraikan di Singapura. Kemudian ternyata DS Najib berkata benar. Mat Sabu dikatakan tidak tahu proses jual beli.

Kita mengenali Mat Sabu memang bukan seorang dari bidang ekonomi. Itu pasti. Dan sekarang ini ada satu lagi kepastian yang PAS boleh jamin ia betul iaitu Mat Sabu ialah seorang pembohong. Dia berbohong pasal penjualan ini, dia berbohong ketika berkempen, dia juga berbohong kata PAS terima duit dari Umno dan dia juga berbohong yang 'seekor' ahli PAS sudah disita hartanya bagi tujuan siasatan rasuah. Harap itu bukan satu taqiyyah.

PKR Perak dalam sidang akhbar mereka bagi menafikan ada gerakan mahu menukar MB Perak secara tiba-tiba bagaikan orang sawan, meminta PAS dan Umno membahagikan kerusi dahulu di Perak sebelum bercakap pasal kerjasama keduanya di Perak.

Tan Kar Hing bertanya, sekarang siapa tolong siapa Umno tolong PAS atau PAS tolong Umno apabila dia memberikan contoh kerusi Selinsing yang majoritinya hanya 97. Soalan yang bodoh, hanya datang dari orang yang bodoh. Jawapannya PAS dan Umno tolong rakyat Malaysia dari kejahatan, penipuan, kerakusan PH. Noktah.

Mohd Nasir Abdullah
Doha, Qatar
19 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 19/3/2019

NEW Zealand sentiasa sebelum ini kami anggap sebagai sebuah negara yang selamat dan tidak ada ancaman yang luar biasa terhadap keselamatan anak-anak kami.

Sehinggalah bila berlaku kejadian mengejutkan tembakan yang dilakukan di masjid oleh seorang lelaki berasal dari Australia pada waktu umat Islam mahu menunaikan ibadah Solat Jumaat.

Ia merupakan suatu perlakuan terrorisma dan jenayah yang terkutuk yang langsung tidak berperikemanusiaan dan kami seperti masyarakat antarabangsa mengutuknya sekeras-kerasnya.

Apa yang berlaku adalah berpunca daripada agenda pihak tertentu yang mengapi-apikan kebencian secara tidak rasional terhadap Islam sedangkan Islam sangat menganjurkan perdamaian dan mengecam kezaliman dan keganasan.

Realiti yang berlaku adalah umat Islamlah mangsa yang telah dan sedang mengalami kezaliman serta keganasan yang berterusan di seluruh dunia melalui siri-siri peperangan, pencerobohan dan penjajahan yang tidak berasaskan prinsip keadilan yang betul.

Kami mengalu-alukan dan memuji kenyataan Perdana Menteri New Zealand yang mahu menanggung kos pengebumian dan memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa adalah tindakan yang patut diambil oleh kerajaan yang bertanggungjawab. Ia menunjukkan kenyataan oleh seorang Senator dari Australia, Senator Fraser Anning bukanlah mewakili rumpun Australasia yang kami yakin masih rasional dan tidak sewenangnya menyalahkan imigran Muslim sebagai punca keganasan. Tindakan seorang pemuda melontar telur busuk kepada Senator berkenaan menunjukkan kenyataan Senator berkenaan juga tidak diterima di Australia.

Namun begitu, bagi menjamin mangsa diberi keadilan sewajarnya, kami menuntut semua pengganas dibawa ke muka keadilan dan diberi hukuman yang setimpal.

Pengganas yang membunuh orang awam tanpa mengira orang-orang tua dan kanak-kanak tanpa perikemanusiaan ini tidak sewajarnya dibenarkan hidup dalam masyarakat. Mereka sepatutnya dihukum mati setelah diadili sebagai mengembalikan keadilan kepada mangsa dan keselamatan orang awam.

“Islam Memimpin”

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Parlimen Kuala Terengganu (P036)
17 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 17/3/2019

●     WALAUPUN agak dangkal dan bersifat escapism, tetapi dakwaan bahawa pembunuh di dua masjid New Zealand memiliki masalah mental ada munasabahnya. Kegilaan tersebut didorong daripada propaganda musuh Islam sekian lama yang menanam kebencian terhadap Islam melalui agenda Islamophobia. Justeru itu, Islamphobic boleh dianggap sebagai orang gila.

●     Medan propaganda Islamophobia tidak terhad hanya di dalam media arus perdana ataupun portal-portal berita sahaja. Malah ia turut melibatkan filem, lagu, klip video, permainan video dan juga sukan. Bahkan medan-medan lain ini lebih kuat mempengaruhi generasi baharu kerana filem, lagu, game dan sukan adalah sebahagian dari trend masa kini. Budaya hedonisme menyebabkan ia telah sebati dengan generasi muda.

●     Tampak jelas melalui paparan live feed yang dimuat naik di akaun media sosial pembunuh tersebut, beliau dipengaruhi permainan tembak menembak seperti PUBG dan Counter-Strike. Posisi kamera yang diletakkan sama dengan paparan daripada permainan popular anak muda sekarang.

●     Sebelum dunia memasuki abad ke-21 lagi, filem dan game telah menjadi medium penyebaran doktrin Islamophobia secara halus. Contohnya permainan Red Alert, memaparkan negara-negara umat Islam seperti Iraq, Syria, dan Iran sebagai pengganas di samping memposisikan US, Britain dan blok Barat sebagai hero dan penyelamat. Filem juga serupa. Seringkali menjadikan Damsyik, Baghdad, Afghanistan serta Pakistan sebagai sarang pengganas.

●     Gambaran songsang terhadap Islam ini akan membangkitkan kebencian terhadap umat Islam, lalu mendorong masyarakat bertindak ganas terhadap umat Islam atas nama memerangi keganasan. Pelaku akan merasakan mereka seolah hero kerana membantu menghapuskan 'pengganas', tanpa menyedari tindakan mereka itulah yang ganas. Bukankah ini satu kegilaan?

●     Modus operandi ini pernah digunakan oleh US dengan pementasan drama 11 September 2001. Kejadian yang terlalu dramatik untuk dipercayai itu digunakan bagi menuding jari terhadap Islam. Dengan pantas ia mendorong kepada kemarahan masyarakat dunia sehingga dengan mudah mendapat sokongan massa dalam menghalalkan tindakan balas menyerang Afghanistan.

Alasannya untuk memburu Osama ben Laden, tetapi disebaliknya mereka cuba menguasai negara Asia Tengah itu bagi meluaskan hegemoni. Kematian orang tidak bersalah jauh lebih ramai daripada bilangan suspek buruan. Tetapi negara pengganas nombor 1 dunia itu tetap dianggap sebagai penjaga keamanan. Tidakkah ini juga satu kegilaan?

●     Kerana itulah sebelum ini kita begitu menentang pembikinan filem yang memaparkan umat Islam sebagai pengganas. Walaupun tidak dinafikan memang ada sesetengah umat Islam yang menjadi pengganas naif mengenai konsep jihad, tetapi melakonkan perkara tersebut tanpa penerangan yang jelas mengenai konsep jihad yang sebenar hanya akan membentuk persepsi yang prejudis terhadap ajaran Islam secara keseluruhan.

●     Berhadapan dengan situasi yang tidak menguntungkan Islam ini, penggiat seni, hiburan dan sukan di kalangan umat Islam perlu mengambil langkah pro-aktif dalam membantu dakwah menyebarkan Islam yang sebenar kepada orang awam terutama generasi muda. Menggunakan platform seni, hiburan dan sukan sebagai wadah menentang Islamophobia boleh dikira sebagai satu bentuk jihad kontemporari yang dituntut agama.

●     Walau bagaimanapun, strategi yang tersusun perlulah dirangka supaya jihad ini benar-benar berkesan bagi membanteras Islamophobia di samping tidak menjejaskan kualiti bahan yang ditawarkan. Menubuhkan organisasi yang mengumpulkan penggiat seni, hiburan dan sukan yang memiliki kesedaran Islam mungkin langkah pertama yang patut diambil.

●     Selain itu, penggiat seni, hiburan dan sukan perlu juga membantu perjuangan Islam dalam menawarkan bahan yang sederhana dan tidak keterlaluan. Tekuni doktrin hedonisme agar kita tidak menjadi penyumbang kepada agenda musuh Islam melalaikan umat ini daripada kebenaran.

●     Mungkin cadangan ini agak idealistik, tetapi ia bukanlah suatu perkara yang mustahil. Mungkin perlu ada agamawan yang khusus membimbing penggiat bidang-bidang popular ini. Sebagaimana sektor korporat dan perbankan yang sudah mewujudkan posisi penasihat syariah, sudah sampai masanya sektor kesenian, hiburan dan sukan melakukan langkah yang sama.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 17/3/2019

 

ASSALAMUALAIKUM W.B.T dan salam sejahtera

Seluruh rakyat Malaysia bersedih di atas tragedi yang menimpa penduduk Pasir Gudang, Johor di atas tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak yang berkenaan.

Pencemaran Sungai Kim Kim yang disebabkan oleh pembuangan bahan kimia toksik ke dalam sungai telah menyebabkan 3555 orang menjadi mangsa yang perlu dirujuk ke pusat rawatan.

Di kesempatan ini MPROS ingin berkongsi dan menerangkan tentang bahaya dan kesan bahan toksik kepada manusia serta mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil oleh masyarakat dan kerajaan.

(A)     Kesan bahan toksik berbahaya kepada masyarakat

Pihak berkuasa telah mengenalpasti beberapa bahan kimia yang terdapat di dalam Sungai Kim Kim yang tercemar. Berikut adalah kesan terhadap masyarakat yang terdedah. Diantaranya:

• Acrylonotrile -     amat bahaya dan beracun jika melebihi takat yang dibenarkan. Boleh menyebabkan kanser paru-paru serta kecatatan bayi dalam kandungan jika terdedah secara berterusan

• Metana -     Berbahaya tetapi hanya sedikit toksik. Menyebabkan mangsa terasa sesak nafas tanpa amaran

• Hydrogen cloride -     Berbahaya dan bertoksik. Boleh menyebabkan mangsa rasa pedih pada mata dan terbakar pada dada apabila terhidu

• Acrolein -     Berbahaya dan bertoksik. Boleh menyebabkan kematian jika melebihi 10ppm. Boleh menjadi agen kanser.

• Benzene -     Berbahaya dan bertoksik - Agen utama kepada kanser leukimia jika pendedahan melampau melebihi 50ppm.

• Toluene -     Berbahaya dan bertoksik. Berisiko pada bayi

• Xylene -     Berbahaya dan bertoksik. Boleh meracuni paru-paru dan organ penafasan

• Limonene -     Kurang bahaya. Boleh memberi kesan kepada hidupan dalam air.

(B)     Langkah-langkah yang perlu diambil:

(i)     Masyarakat

Antara langkah-langkah yang perlu diambil oleh penduduk yang terdedah kepada bahan toksik tercemar ini ialah:

a)     Keluar daripada kawasan yang tercemar sehingga diberitahu selamat

b)     Kurangkan aktiviti luar dan terbuka

c)     Tutup semua tingkap dan pintu rumah dan bangunan

d)     Sentiasa bersihkan diri seperti mandi, membasuh muka, memakai topeng yang sesuai

(ii)     Kerajaan

Bagi mengelakkan perkara ini terus berulang dan tidak terkawal, MPROS mencadangkan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan seperti berikut:

>    Mengkaji semula denda yang dikenakan kepada pesalah sebanyak RM500,000.

>     Menyediakan SOP dan panduan sebenar kepada masyarakat

>     Menutup kilang-kilang haram dan mengenakan tindakan tegas kepada pihak yang bersalah

>    Mempertimbangkan melakukan pembenihan hujan di kawasan yang terdedah

>    Mengisytiharkan darurat jika perlu

Oleh itu, MPROS berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan dalam menangani masalah yang sedang berlaku ini.

MPROS juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa-mangsa di Pasir Gudang.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah S.W.T agar segala urusan dipermudahkan dan tidak menjadi lebih parah.

Sekian terima kasih,

"Melangkah Bersama"

RAZAK HALIM 
Presiden MProS
Pertubuhan Kebajikan Muslim Profesional Sejahtera Malaysia (MPROS) - HARAKAHDAILY 18/3/2019

 

●     SERAMAI lapan MP, Adun dan Senator di Sabah secara rasminya diterima sebagai ahli Bersatu setelah mereka mengisytiharkan keluar dari Umno. Kemasukkan mereka ini dalam Bersatu, akan membuka jalan kesenangan bagi kedua-dua pihak dari Semenanjung dan juga Sabah. Bersatu Semenanjung akan mudah mencari ahli dan kawasan baharu, hasil bantuan lapan orang ini. Dan mereka juga pastilah akan mendapat tempat utama organisasi parti nanti. Plot cerita yang sangat mudah dibaca. Bukan susah sangat nak tinggal kawan masa susah. Walau bagaimanapun sehingga kini, PH mengambil ketetapan untuk menyokong kepimpinan Warisan di Sabah.

Salah seorang daripada lapan individu yang keluar Umno itu ialah Ronald Kiandee Ahli Parlimen Beluran yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Ketika perbicaraan saman malu antara Anwar Ibrahim dan Anifah Aman pada 15 September 2014, Ronald memberitahu mahkamah yang beliau telah ditawarkan sebanyak RM5 juta untuk menukar parti mengikut Anwar dalam rancangan 16 September dahulu. Namun beliau dengan tegas menolak. Ronald dilaporkan berkata beliau tidak akan lompat parti, biar apapun yang ditawarkan. Begitu tegas prinsip beliau dahulu. Namun kini, dari berharga RM5 juta, dia dijual lelong, tanpa tanda harga, masuk pula ke kem yang ada Anwar di dalamnya.

●     Ronald juga adalah Ketua PAC Parlimen yang secara prinsipnya telah dipersetujui oleh kerajaan PH untuk jawatan itu diserahkan kepada pembangkang. Maka apabila beliau telah masuk kerajaan, Nurul Izzah dan Hannah Yeoh, dikhabarkan meminta jawatan itu dilepaskan oleh Ronald bagi ia dikalungkan pula kepada ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Desakan ini adalah kerana kenyataan Tun Mahathir terdahulu yang berkata langkah menyerahkan jawatan itu kepada pembangkang bukan peraturan negara, ia hanyalah persetujuan dari semua parti pemerintah, bukan membabitkan Perlembagaan.

Sebenarnya janji jawatan ketua PAC ini ada dalam Manifesto PH. Mungkin Nurul Izzah itu keliru siapa Tun. Yang dah dijanjikan secara terang nak bagi jawatan PM kat Anwar pun Tun lipat, apa lagi janji yang ini. Duduk dalam pakatan yang sama pun kena kencing juga. Dan, berani ke nak lawan Tun?

●     Pembunuhan orang Islam di New Zealand semalam, masih lagi menjadi kesedihan bagi umat Islam. Dan tanpa disangka, ia turut ditangisi oleh seluruh dunia yang segera mengutuk serangan yang tidak berperikemanusiaan itu. Bukan sahaja negara-negara Islam, malah Donald Trump yang jahat itu pun, turut mengutuknya. Tidak terkecuali juga dalam New Zealand sendiri, apabila seorang remaja 'Eggboy' secara tiba-tiba memecahkan telur ke atas kepala Senator dalam satu sidang akhbar.

Kebencian yang ditaburkan oleh Senator Fraser Anning itu memakan dirinya sendiri. Dia juga buat-buat lupa apabila kehadiran kaumnya, Inggeris di New Zealand 250 tahun dahulu, Orang Asli New Zealand turut dibunuh oleh mereka. Diberitakan juga semalam, sekumpulan Kristian berjaga di luar masjid ketika umat Islam solat. Kerjasama Islam dengan Kristian semakin erat. Kita yakin yang peristiwa ini akan menjadi seperti 9/11 iaitu orang bukan Islam beramai-ramai masuk Islam kerana mendapat maklumat yang salah tentang Islam sebelum ini. Tapi ada sesetengah makhluk, takut dengan kerjasama ke arah kebaikan. Jadi macam anjing bodoh, posmen dia salak, pencuri pun dia salak. Tak tahu beza.

●     Husam Musa semakin kuat mempromosikan ganja sebagai bahan ubatan. Beliau juga mendakwa bahawa satu kesilapan apabila ganja hanya dilihat dari sudut ketagihan, bukannya kebaikan penyembuhan. Dakwa beliau, ganja pernah dijadikan ubat bagi sakit beliau dahulu.

Kita tidak faham kenapa beliau bersungguh benar untuk mempromosikan ganja ini. Hari itu sumbu ajaib, entah apa jadi. Harap remaja yang letak sumbu dalam motor hari itu, masih tak perlu isi minyak, sebab jimat gila. Kemudiannya dia cakap dapat maklumat dari jin. Tak cukup dengan itu, kata dapat info yang PAS terima duit dari Umno melalui akaun Affin Bank. Isu bangunan Wisma Tok Guru di Salor, beliau kalah. Perihal ibu pejabat PAS Pusat dahulu, tak siap-siap lagi. Janji stadium baharu kepada rakyat Kelantan, tak siap-siap. Kambing Jamnapari, mati. Royalti tak dapat-dapat. Banyak lagilah.

Sekali menipu, orang dah tak percaya, apa lagi banyak kali. Tun Mahathir pun tak percayakan Husam. Tak lantik pun dia jadi Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Kelantan. Rakyat Kelantan pun tak yakin, tolak dia dalam PRU. Orang yang dekat dengan dia pun tak percaya, kita nak percaya ke? Harap janganlah cadangan nak menghalalkan ganja ialah untuk melepaskan budak-budak nakal yang ditahan kerana hisap ganja sudahlah. Manalah tahu kan?

MOHD NASIR ABDULLAH
17 Mac 2019
Istanbul, Turki - HARAKAHDAILY 17/3/2019

●     PEMBUNUHAN yang berlaku di New Zealand, bukanlah kali pertama dilakukan ke atas umat Islam, dalam negeri yang aman. Contohnya di Palestin. Pembunuhan seperti ini juga acap kali berlaku di negara-negara Islam yang jatuh akibat perang. Ia dilakukan oleh tentera-tentera kuffar yang beralasankan muslim sebagai pengganas. Diskriminasi agama dan kaum juga kerap berlaku.

Dalam Islam, membunuh dikira sebagai dosa. Walaupun nama ISIS dinaikkan sebagai salah satu ikon pengganas yang memakai pakaian Islam, namun ia tidak diterima bukan sahaja oleh orang Islam, malah bukan Islam juga kerana mereka mempercayai bahawa Islam tidak mengajar keganasan.

Lebih dari itu juga, orang Islam tidak sesekali dibenarkan menuduh pihak yang melakukan pembunuhan ini sebagai pengganas Kristian, Yahudi dan sebagainya kecuali sesudah dikenal pasti. Apa agaknya yang ada dalam fikiran kita, tuduhan oleh bukan Islam, apabila seorang Islam melakukan hal yang sama di gereja? Mesti perkataan pertama yang keluar ialah pengganas muslim. Kadang-kadang, belum pun pasti pembunuh itu Islam, mereka sudah mengumumkan bahawa pengganas Islam yang terlibat. Kaedah yang sama yang diadaptasikan oleh pimpinan PH terhadap gerakan Islam.

Ternyata benar sekali apabila seorang Adun Mengkibol dari DAP Chew Chong Sin yang bermulut jahat, secara bodoh telah mengaitkan pembunuhan rambang itu sebagai amaran kepada PAS dan Umno untuk tidak menjalinkan kerjasama politik berasaskan agama dan bangsa kerana boleh membawa kesan buruk kepada pendatang. Tetapi manakah suara dia ketika muslim Uighyur dibunuh dan ditindas di China? Bukankah itu juga diskriminasi secara jelas?

Kita sudah sepatutnya tidak boleh menerima permohonan maaf daripada binatang bertopeng manusia begini. Mereka sepatutnya berfikir dahulu sebelum berkata. Mereka bukan baharu di Malaysia untuk menjadi sangat naif dengan sensitiviti rakyat Melayu Islam.

●     Jabatan Amal yang turun membantu kepada pasukan keselamatan dalam kejadian pencemaran gas akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, mendapat perhatian kawan dan lawan. Kita maklum jika kawan memberikan perhatian, maknanya mereka gembira dengan khidmat yang dihulurkan.

Manakala lawan juga sangat gembira dengan berita ini kerana dapatlah sedikit 'rezeki' untuk belasah Jabatan Amal. Maka sambil bersila panggung, mereka duduk di hadapan keyboard secara berjemaah mengutuk bantuan yang diberikan. Rasanya anjing juga tahu dan mengerti untuk berterima kasih kepada orang yang menolong.

Mereka hanya duduk dan kutuk. Kutuk pakaian, kutuk topeng, tapi kumpulan sukarelawan mereka hilang entah ke mana. Sedangkan Jabatan Amal hanya membantu memberikan bantuan luar dan tidak terlibat secara langsung dengan pengendalian sisa bahan kimia itu kerana ianya di bawah pengawasan pihak berwajib. Jelas tindakan memakai topeng adalah langkah keselamatan yang betul.

Tiga wartawan yang membuat liputan dilaporkan telah terhidu bahan beracun. Ada yang berdarah hidung dan muntah-muntah. Pihak keselamatan sudah mengarahkan segala langkah keselamatan mesti diambil oleh semua pihak. Jika hanya duduk, pegang handset, jauh dari kawasan bencana, macam pembenci PAS, memang tak perlu topeng.

Jika perkara bantuan ini hendak dipolitikkan, maka mereka tak ubah seperti tuan mereka iaitu DAP yang gunakan isu perkauman dan agama dalam kejadian pembunuhan umat Islam di New Zealand. Bukan tahu nak bersimpati dengan nyawa orang. Begitulah dasar celaka.

MOHD NASIR ABDULLAH
Bursa, Turki
16 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 16/3/2019

More Articles ...