LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS) ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas terhadap Kerajaan Negeri Terengganu khususnya terhadap Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak kerana sedia melaksanakan larangan penggunaan beg plastik bermula tahun depan di negeri itu.

Keputusan yang diambil kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS sangat-sangat dialukan kerana sehingga hari ini pencemaran sisa plastik di seluruh dunia sangat membimbangkan.

Dianggarkan terdapat hampir 300 juta tan sisa plastik yang terdapat di seluruh dunia di mana 8 hingga 9 juta tan sisa plastik sudah bertebaran di lautan sehingga menyebabkan hampir 100,000 hidupan marin yang mati setiap tahun serta hampir 1 juta burung laut yang mati akibat terdedah kepada sisa ini di lautan.

Langkah bijak yang diambil kerajaan negeri juga sudah pasti akan membantu usaha pemuliharaan dan pembiakan penyu di Negeri itu kerana sisa plastik adalah salah satu sebab utama yang menyebabkan kematian ribuan binatang itu setiap tahun di seluruh dunia.

Tidak ketinggalan juga, larangan penggunaan plastik akan dapat melindungi ancaman sisa itu terhadap hasil pendapatan nelayan di negeri itu.

Semoga keputusan ini dapat juga membantu usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam menguruskan sisa domestik dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kos pengurusan sampah di peringkat negeri. Dan langkah penjimatan itu akhirnya dapat disalurkan kembali kepada rakyat.

Tahniah Kerajaan Negeri dan Rakyat Terengganu.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS)
1 November 2018 – HARAKAHDAILY 1/11/2018

PADA pagi tadi berlangsungnya sesi penyerahan memorandum oleh Gerakan Pembela UMMAH berkenaan Bantahan Ratifikasi International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Rombongan UMMAH yang menggabungkan 300 NGO ini telah disambut oleh Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama sekalian Ahli Parlimen PAS.

Isu ICERD ini menjadi kian hangat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Waytha Moorthy mengumumkan bahawa Kerajaan PH akan meratifikasi ICERD pada suku pertama awal tahun hadapan. Pengumuman ini mendapat bantahan dan kecaman banyak pihak.
Kemudian, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri,YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bangkit mempertahankan pendirian Kerajaan PH ini sambil menuduh pihak yang membantah keputusan tersebut sebagai golongan yang tidak bertanggungjawab.

PAS sememangnya mempunyai pendirian yang tegas menolak ratifikasi ICERD ini kerana ia secara terang lagi nyata akan menyentuh dan mengganggu-gugat kedudukan orang Melayu-Islam dan Bumiputera di negara ini.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut:
"153. (1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri"
Kedudukan istimewa ini antaranya merangkumi tanah Rizab Melayu, kuota perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan dan permit perniagaan.

ICERD adalah konvensyen antarabangsa yang akan mengubah struktur dan acuan negara kita seandainya kerajaan menandatangani dan meratifikasinya.
Atas alasan dan motif apa Kerajaan PH mahu meratifikasi ICERD ini?
Mengapa PH mahu membuka pintu yang sudah lama berkunci dan merungkai ikatan yang sudah tersimpul kemas sejak kita merdeka pada tahun 1957 dahulu?
Adakah semangat Malaysia Baru mahu mengubah segala-galanya?
Apakah masa hadapan intipati utama kontrak sosial seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan ini;
a) Perkara 153 (berkenaan kedudukan Istimewa Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak)
b) Perkara 160 (berhubung takrif Melayu dan ikatannya dengan Islam)
c) Perkara 89 (mengenai tanah rizab Melayu di bawah Enakmen-Enakmen di peringkat Negeri-negeri).

Takrif diskriminasi kaum di bawah ICERD adalah amat luas sepertimana yang terkandung dalam Artikel 1 iaitu;
"1. In this Convention, the term "racial discrimination" shall mean any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life."

Walaupun Menteri PH memberi alasan kononnya Malaysia boleh membuat pengecualian “reservation” terhadap perkara-perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan, tetapi hakikatnya hal ini tidak mungkin dapat dilakukan, kerana perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah menyentuh objektif dan intipati tujuan ICERD itu sendiri.
Artikel 20 ICERD melarang sebarang pengecualian ataupun “reservation” yang bercanggah dengan objektif dan tujuan ICERD;

"2. A reservation incompatible with the object and purpose of this Convention shall not be permitted, nor shall a reservation the effect of which would inhibit the operation of any of the bodies established by this Convention be allowed.
A reservation shall be considered incompatible or inhibitive if at least two thirds of the States Parties to this Convention object to it."

ICERD ini amat berbahaya kerana ia bukan sahaja menyentuh mengenai masa depan orang Melayu tetapi ianya turut mengancam kedudukan Islam yang ada terkandung dalam Enakmen Syariah di setiap negeri.
Hal ini kerana Artikel 5d(iv), (vi) dan (vii) ICERD melarang sebarang bentuk diskriminasi untuk kebebasan berkahwin silang agama dan bangsa, kebebasan untuk keluar agama, dan hak terhadap perwarisan harta.
Bukankah perkara ini akan membuka jalan untuk pihak tertentu menuntut hak murtad, hak Muslim berkahwin dengan bukan Islam tanpa menukar agama, dan hak samarata dalam pembahagian harta pusaka?
Adakah Menteri Agama kita sudah terlupa bahawa Perkara 160 Perlembagaan sudah menetapkan bahawa Melayu itu menganut agama Islam;
“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;

Justeru, rakyat Malaysia khususnya ummat Islam berhak menuntut Kerajaan PH memberikan penjelasan sebenar berkenaan isu ini.

Perkara sebegini besar perlu dijadikan agenda perbahasan di Parlimen agar rakyat dapat menilai apa pendirian parti-parti dalam kerajaan iaitu PPBM, PKR, DAP, PAN, dan pro kerajaan iaitu Warisan dan GPS.

Gabungan pembangkang iaitu PAS dan Umno yang mewakili majoriti orang Melayu-Islam sudah pun menyatakan pendirian dengan jelas menolak ICERD ini.

Kerajaan PH juga diingatkan agar tidak melupakan peranan dan fungsi Majlis Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai pelindung dan penaung yang menjaga hak istimewa orang Melayu, Bumiputera dan mempertahankan kedaulatan Islam.

Kita sudah merdeka selama 61 tahun, mengapa pula pasca Malaysia Baru pimpinan PH ini mahu kita tunduk kepada tekanan pihak luar?

Atau sebenarnya ada pihak yang berada di dalam negara ini sendiri yang bersekongkol dengan pihak luar atas nama perjuangan hak asasi manusia.

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dun PAS Pusat
31 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 31/10/2018

KERAJAAN Negeri Kelantan telah menyatakan dengan jelas tunggakan yang masih belum dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM275 juta.

Daripada jumlah ini, sejumlah RM113 juta ialah premium tanah Institut Pendidikan Guru di Pengkalan Chepa, RM144 juta pula ialah premium tanah FELDA, manakala baki RM18 juta ialah hasil tanah Kerajaan Persekutuan.

nasrudinJumlah tunggakan belum dibayar oleh Kerajaan Persekutuan ini tidak termasuk jumlah tunggakan royalti petroleum yang berhak dinikmati oleh rakyat Kelantan.

Isu pengeluaran minyak di negeri Kelantan kekal relevan kerana ia berada pada kedudukan Joint Development Area (JDA). Sekiranya dijumlahkan secara keseluruhan tunggakan royalti minyak Kelantan, ia boleh mencecah puluhan bilion ringgit.

Jumlah pinjaman Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan yang masih belum diselesaikan ialah RM1.42 bilion, manakala jumlah wang pendahuluan yang belum dibayar pula ialah RM364 juta.

Hal ini bermakna, Kerajaan Negeri Kelantan masih mempunyai hak yang lebih besar untuk diminta kepada Kerajaan Persekutuan. Tapi, mengapa Menteri Kewangan dilihat lebih angkuh?

PAS berharap agar Kerajaan Persekutuan mengangkat semangat federalisme, saling hormat menghormati, bantu membantu dalam kalangan negeri-negeri tanpa bersikap prejudis.

Negara Malaysia perlu dibangunkan bersama dengan mengutamakan kemaslahatan untuk rakyat. Jauhkan politiking kerana ia akan merencatkan pembangunan, integriti dan ketelusan.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
20 Safar 1440H / 31 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 31/10/2018

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Al-Isra’: 30)

Bajet Terpenting

Bajet 2019, yang akan dibentangkan pada 2 November ini, merupakan bajet terpenting untuk negara dalam tempoh lima tahun ini.

Ini kerana, Bajet 2019 adalah bajet yang pertama kali disediakan sepenuhnya oleh Kerajaan Pakatan Harapan, berbeza dengan Kajian Separuh Penggal RMK11 yang merupakan penerusan kepada dasar dan program yang dimulakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Selain itu, Bajet 2019 perlu dirangka dalam keadaan ekonomi dan kewangan negara yang agak lemah, peninggalan daripada Kerajaan Barisan Nasional terdahulu, di samping tanggungjawab utama kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dan yang terpenting kewajipan untuk menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan.

Justeru secara umumnya, Bajet 2019 dijangka tidak akan mengandungi banyak pemberian dan janji manis untuk menarik sokongan rakyat (goodies budget), manakala kerajaan dijangka akan menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan dan mengoptimakan perbelanjaan (good budget), serta berkemungkinan mengemukakan bajet yang lebih kecil bagi mendepani cabaran ekonomi semasa.

Jangkaan Ahil Ekonomi

Penganalisis ekonomi di Maybank Investment Bank (MIB) menjangkakan Bajet 2019 akan mencatatkan angka defisit sekitar 3.5% kepada KDNK, berbeza dengan angka 2.8% defisit yang diunjurkan dalam Bajet 2018 terdahulu. Ianya disumbangkan oleh pengurangan kutipan cukai kepenggunaan daripada GST kepada SST, di samping konsolidasi perbelanjaan di pihak kerajaan dalam aspek pembatalan projek mega, subsidi minyak, penyusunan hutang dan pemberian tender kerajaan.

Pihak MIB juga menjangkakan insentif Bajet 2019 akan diutamakan kepada sektor rumah mampu milik, industri kecil dan sederhana, serta peningkatan inovasi dan produktiviti, manakala perbelanjaan kerajaan dalam bentuk gaji, bonus dan pemberian akan dikecilkan dalam masa terdekat ini, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan pada kadar 4.8% bagi tahun 2019.

Penganalisis ekonomi di Ambank Investment Bank (AIB) pula menjangkakan defisit yang lebih tinggi, iaitu sekitar 3.7% - 4.6% pada tahun 2019, berdasarkan unjuran hasil yang lebih rendah dan pemotongan perbelanjaan kerajaan sekitar 5%-10%, serta pertumbuhan KDNK 2019 yang dijangka agak perlahan pada kadar 4.5%.

Pihak AIB juga melihat sentimen berhati-hati di kalangan pelabur di Bursa Malaysia, kenaikan kadar inflasi yang ditanggung pengguna, kelemahan nilai Ringgit dan kemungkinan perubahan penarafan kredit Malaysia sebagai perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh pihak Kerajaan.

Ternyata, penyediaan Bajet 2019 adalah sangat rumit dan perlu mengambilkira pelbagai dimensi politik dan sosio-ekonomi, bagi mencapai keutamaan dan penumpuan baharu yang digariskan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK11 baru-baru ini.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM – HARAKAHDAILY 31/101/2018

Penulisan ini mengupas dua aspek berkaitan dengan Bajet 2019. Bahagian pertama membincangkan unjuran intipati utama dan jangkaan ahli ekonomi terhadap Bajet 2019. Bahagian kedua mengupas jangkaan rakyat dan saranan yang perlu diberi perhatian dalam kerangka Bajet 2019.

KERAJAAN perlu menjamin serta memastikan tidak berlaku kenaikan harga dan jualan barangan kepenggunaan lain ekoran harga baharu perkhidmatan Gas Petronas Ke Rumah (GPHD) yang diumumkan semalam. Ini penting berikutan kesan berantai telah menjadi fenomena dan kerajaan terdahulu gagal menanganinya.

Rakyat tidak harus dikecewakan lagi dan hanya mendengar pengumuman rasmi mengenai kenaikan, seterusnya dihimpit bebanan kos sara hidup yang tidak pernah berkesudahan. Sedangkan mereka mengimpikan perubahan kerajaan dengan harapan untuk membela nasib akibat tekanan ekonomi sejak sekian lama.

Pengumuman tersebut juga menjadi satu lagi tamparan untuk PH yang hingga kini tidak mempunyai mekanisme dan penyelesaian komprehensif terhadap usaha berkaitan. Sedangkan, sebelum dan sepanjang kempen PRU14 termasuk janji Manifesto PH banyak memfokus dan menyentuh secara ekstrem soal isu ekonomi.

Menunjukkan bahawa rakyat telah dibohongi dan semua yang diutarakan PH adalah retorik semata-mata. Lebih malang, janji dan harapan kepada rakyat tidak tertunai, sebaliknya PH merombak banyak hal ehwal sosial lainnya. Malah, hingga menggugat keutuhan dan keharmonian asas-asas kaum, negara dan agama.

Malah, menjadi kerajaan juga adalah kesempatan buat pemimpin PH menggunakan kuasa untuk 'mensucikan' diri dari pertuduhan berkaitan, mengukuhkan cengkaman peribadi dan membalas dendam politik. Tiada halatuju dan iltizam untuk membantu rakyat yang dapat dilihat dan dijayakan dengan bersungguh-sungguh.

Sebaliknya, pelbagai alasan pula dikemukakan untuk menyelindungi kegagalan dan kemungkiran janji. Kini poket rakyat pula mungkin dirompak menerusi kenaikan harga barang yang rutinnya terjadi. Oleh itu kami menggesa tindakan yang memihak terhadap hak rakyat selaku pengguna.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 31/10/2018

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggal lah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan” (Al-Isra’: 29)

Harapan Rakyat

Bajet 2019 pastinya dinantikan oleh segenap lapisan rakyat.

syahirTerdapat beberapa kajian yang telah dilakukan pasca PRU14 bagi meninjau kebimbangan yang ada di kalangan rakyat. Kajian persepsi yang dijalankan oleh firma Kajidata dan Merdeka Centre antaranya mendapati, isu ekonomi dan kenaikan kos sara hidup kekal menjadi keutamaan rakyat secara keseluruhannya.

Secara spesifik, hasil tinjauan Kajidata menunjukkan tiga tawaran utama yang menarik minat pengundi terhadap 10 janji Pakatan Harapan adalah menghapuskan GST (33%), mengembalikan semula subsidi minyak petrol (25%), dan menangguhkan bayaran PTPTN sekiranya gaji di bawah RM4,000 sebulan (12%).

Di samping itu, tinjauan yang dibuat oleh pihak iMoney mendapati antara isu ekonomi utama yang membimbangkan rakyat adalah kenaikan kos sara hidup (83%), rumah tidak mampu dimiliki (65%), pengangkutan awam yang tidak efisyen (65%), penjagaan kesihatan yang mahal (52%), dan cukai yang membebankan (42%).

Apabila ditanya apakah yang paling ditunggu di dalam Bajet 2019, responden kajian iMoney mengharapkan untuk mendapatkan pelepasan cukai, rumah mampu milik, dan pemberian subsidi dalam Bajet 2019 ini.

Justeru antara pengumuman yang dinantikan bagi menyelesaikan isu yang melingkari hidup rakyat pada masa kini adalah bantuan sosial dan kebajikan kepada golongan miskin bandar dan luar bandar, suri rumah, mahasiswa, pemandu teksi, petani dan nelayan, serta petunjuk terhadap keinginan kerajaan untuk menghidupkan kembali projek kereta nasional dan kesungguhan untuk memenuhi segala janji manifesto Pakatan Harapan.

Penumpuan Bajet

Cabaran utama penyedian Bajet 2019 adalah untuk menimbang kehendak rakyat dan kemampuan kerajaan dalam mengemukakan belanjawan yang seimbang.

Kerajaan perlu mengutamakan agenda pemulihan negara yang konstruktif, bukannya memilih pendekatan populis untuk menarik sokongan rakyat yang akhirnya boleh membebankan kerajaan.

Presiden PAS ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK11 telah menyarankan agar kerajaan serius dan telus dalam memerangi rasuah, ketirisan dan monopoli dalam negara, yang dilihat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan ekonomi negara dan rakyat.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar peluang pekerjaan diberikan lebih keutamaan kepada anak tempatan, manakala projek mega perlu dinilai bagi membawa pulangan keuntungan dan perkongsian teknologi kepada negara. Kos sara hidup rakyat yang tidak mampu menghadapi tekanan inflasi, hendaklah ditangani bukan sekadar menukar GST kembali semula kepada SST.

Dalam konteks pembangunan wilayah, PAS menyambut baik usaha kerajaan untuk menghidupkan semangat federalisma yang dilemahkan sebelum ini, dan mengharapkan royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu dapat dikembalikan dengan segera.

Malah PAS turut menyarankan agar industri hiliran dapat dibangunkan, di samping ditambah-baik kaedah pemasaran untuk membantu golongan desa meningkatkan tahap ekonomi mereka, melalui bimbingan dan kerjasama semua agensi di peringkat Persekutuan dan negeri.

Peduli Bajet

Mengikuti pembentangan bajet pada setiap tahun merupakan suatu pilihan.

Di hujung pembentangan, ramai yang ingin tahu apakah bentuk bantuan, insentif dan projek yang diumumkan oleh kerajaan. Ramai juga yang ingin tahu apakah pengecualian cukai dan cukai baru yang akan diperkenalkan oleh kerajaan.

Namun ramai juga yang memilih untuk tidak mengambil tahu, mungkin kerana hidupnya sudah cukup selesa, ataupun merasakan bajet yang dibentangkan tidak memberi apa-apa kesan kepada kehidupan mereka.

Sewajarnya rakyat tidak melepaskan peluang setahun sekali ini untuk menilai komitmen dan perancangan kerajaan dalam mengurus kewangan negara, demi kebaikan rakyat, peniaga dan kerajaan secara keseluruhannya.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
31 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 31/10/2018

Penulisan ini mengupas dua aspek berkaitan dengan Bajet 2019. Bahagian pertama membincangkan unjuran intipati utama dan jangkaan ahli ekonomi terhadap Bajet 2019. Bahagian kedua mengupas jangkaan rakyat dan saranan yang perlu diberi perhatian dalam kerangka Bajet 2019.

SAYA bangun bertanya lewat malam tadi di Dewan Rakyat berhubung lantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang baru bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Mengikut komitmen asal Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada 29 Jun 2018, kerajaan melalui Kementerian telah menyerahkan segala urusan berkaitan pelantikan dan penamatan jawatan berkenaan kepada Kerajaan Negeri. Sudah tentu komitmen itu lahir dari kesungguhan untuk memastikan amalan federalisme dihormati tidak seperti apa yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Namun jawapan dari Timbalan Menteri, Sivarasa Rasiah malam tadi cukup mengecewakan. Beliau menyatakan bahawa mesyuarat Kabinet telah memutuskan lantikan tambahan lima lagi anggota MPKK daripada Kerajaan Pusat di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang walaupun makluman rasmi setakat ini sebelum ini kepada Kerajaan Negeri ialah Kerajaan Pusat menyerahkan sepenuhnya kuasa lantikan kepada Kerajaan Negeri.

Apakah tujuan pelantikan ini selain daripada mewujudkan sekali lagi 'kerajaan dalam kerajaan'? Adakah ini merupakan kali terakhir pencerobohan amalan federalisme yang akan dilakukan dalam masa tempoh 5 tahun pentadbiran Pakatan Harapan ini. Saya kira tidak, sudah pasti desakan demi desakan daripada akar umbi mereka di negeri-negeri pembangkang ini akan terus memaksa Kerajaan membuat keputusan bagi memastikan jentera bawahan mereka di kampung-kampung boleh 'cari makan'.

Sekali lagi amalan federalisme dicabul oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Benarlah, some promises can be broken. Atau lebih tepatnya, promises are made to be broken.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
31 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 31/10/2018

More Articles ...