KEMENTERIAN Kewangan telah membuat keputusan untuk membuka semula tender terbuka di peringkat antarabangsa bagi kerja-kerja bawah tanah MRT2 yang belum disiapkan.

Keputusan tersebut didedahkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan bertarikh 7 Oktober 2018 (Ahad) yang lalu. Semua kerja bawah tanah telah ditamatkan ekoran kegagalan untuk mencapai persetujuan dan penyelesaian kos antara Kerajaan Persekutuan dan MMC-Gamuda.

Terdahulu, pihak Kementerian Kewangan telah menerima tawaran daripada MMC-Gamuda untuk mengurangkan kos kerja-kerja pembinaan MRT2 atas tanah daripada kos asal bernilai RM22.64 bilion kepada RM17.42 bilion.

Pengurangan sebanyak RM5.22 bilion atau 23% berjaya dicapai setelah merasionalisasi skop kerja dan menukar model kerja daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada turnkey contract tunggal.

Menurut jawapan balas daripada pihak MMC-Gamuda, pihaknya telah menawarkan pengurangan sebanyak RM2.3 bilion atau 24% bagi kerja-kerja pembinaan MRT2 bawah tanah. Perbincangan awal telah dilakukan dengan Kementerian Kewangan sejak dua bulan lalu.

Namun, Kementerian Kewangan hanya bersetuju dengan tawaran pembinaan kerja-kerja atas tanah dan sistem sahaja. Kerja-kerja bawah tanah yang telah disiapkan menjangkau 40%, manakala baki yang masih belum diselesaikan adalah bernilai RM 9.6 bilion lagi.

Akibat daripada penamatan kontrak kerja-kerja bawah tanah ini, seramai lebih 20,000 tenaga kerja daripada 600 syarikat pembekalan di Malaysia telah kehilangan kerja. Kira-kira 60% daripada 3,000 pekerja tersebut adalah kakitangan bumiputera MMC-Gamuda sendiri.

Sementara itu, pihak MMC-Gamuda juga turut akan terdedah dengan tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak disebabkan oleh penamatan kontrak yang bukan kerana kesalahan mereka sendiri.

Pihak MMC-Gamuda juga layak untuk menuntut sejumlah pampasan yang wajar daripada Kementerian Kewangan merangkumi pampasan penamatan kerja-kerja yang telah disiapkan, kos-kos pembinaan, pra tempahan input-input pembinaan, penyelenggaraan pembinaan dan beberapa fi yang lain.

MRT2 adalah projek strategik pengangkutan rel awam di kawasan berkepadatan tinggi di Lembah Klang yang menghubungkan jajaran Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya. Projek ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Februari 2014 dan MRT Corporation yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan dilantik sebagai pemilik dan pengurus.

Jemaah Menteri juga bersetuju untuk melantik MMC-Gamuda sebagai project delivery partner (PDP) untuk melaksanakan projek ini dengan jumlah keseluruhan kos bernilai RM56.39 bilion. – HARAKAHDAILY 9/10/2018

SEJAK 2011 saya telah bangun bangkit memperjuangkan nasib para tentera wira negara. Esok perjuangan ini akan diteruskan oleh tuan/puan para tentera wira negara yang budiman.

Kepada para tentera wira negara, yang akan mengundi esok, anda mempunyai suara, dan hak untuk diberi perhatian.

Pilihan raya ini bukan hendak tukar kerajaan, tetapi jadikan ia sebagai satu signal kepada kerajaan PH yang tidak menunaikan janji mereka melalui manifesto.

Selamat mengundi.
Berani tuntut hak!
Undilah PAS untuk semak dan imbang berkesan.

Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar
Calon PAS PRK Parlimen Port Dickson
8 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 8/10/2018

ISLAM liberal seakan-akan diwarnai semula era Malaysia Baharu sekarang. Kalau sebelum ini isu itu tenggelam timbul. Namun sekarang berbeza.

Bukan sekadar pejuang Islam liberal meratibnya, sebalik menteri pun seperti seronok bercakap jalur kerangka Islam liberal.

Terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mujahid Yusof dikatakan mahu hakim syarie agar tidak takut bersuara dan tidak mengikut telunjuk “golongan yang membawa idea-idea ekstrem”.

Menurutnya juga kerajaan baharu tidak sekali-kali menutup pintu untuk mengajak golongan LGBT kembali ke pangkal jalan.

Dr Mujahid mungkin antara menteri PH yang popular sekarang. Boleh mengatasi populariti Tun Dr Mahathir Mohamad atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Popularitinya sebaris dengan Dr Maszlee Malik. Mungkin berada di nombor wahid. Kenyataan demi kenyataan memperlihatkan wewenangnya apabila bercakap isu Islam.

Lebih pelik apabila hujahnya mudah berubah. “Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam apabila penguatkuasa agama mendapat laporan mengenai khalwat”.

Kenyataan itu mengundang kemarahan ummah. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan Dr Mujahid tidak faham perlembagaan.

Namun selepas dikecam kiri dan kanan, menteri itu cuba memperbetulkan dengan menganggap media salah lapor.

Bagi membela diri katanya, ‘apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu tertutup adalah bukan urusan kerajaan’.

Nampaknya 2 x 5 atau 5 x 2. Tidak jauh berbeza dengan kenyataan awal. Maknanya laporan awal media membawa roh sama seperti dihasrat Dr Mujahid.

Asal usul fahaman liberal

Ada sarjana menyifatkan idea-idea seumpama itu menggalakkan pembukaan pintu ijtihad seluas-luasnya. Matlamatnya bagi menolak pemikiran yang telah menjadi ijmak dan amalan di Malaysia.

Dalam bahasa mudah meminggirkan pemikiran tradisional yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini sejak dahulu.

Malah Islam liberal dianggap ideologi yang semakin berkembang dalam masyarakat Islam sekarang. Gerakan Islam Liberal berpangkal lanskap renaissance di Barat dicetus John Locke, Jean-Jacques Rousseau dan Adam Smith.

Barat berjaya membentuk kehidupan masyarakat barat dengan idea-idea pemebebasan, sekular dan individualistik.

Maka umat Islam juga diheret supaya mengikut acuan tersebut.

Seorang profesor di Pulau Pinang pula menyifatkan pemikiran Islam liberal tidak salah kalau diterjemahkan kepada kehidupan di barat.

“Islam liberal dimaksudkan amalan Islam secara sederhana dalam kelompok masyarakat barat. Umat Islam hanya minoriti.

“Pemikiran liberal boleh menyelamatkan keadaan apabila ia bukan ditonjolkan secara ekstrem.

“Kita perlu bersederhana dalam kehidupan ketika berada dalam linkungan masyarakat barat. Namun ia berbeza pula apabila berada dalam kelompok majoriti Islam,” ujarnya.

Namun apa pun rumusan banyak seminar menuntut institusi agama perlu memantau pertubuhan condong kepada Islam liberal.

Kata mereka ia sebagai langkah pencegahan supaya faham Islam Liberal dapat dibendung dan dikawal.

Namun rumusan itu seperti kontradik dengan Dr Mujahid. Luahnya beliau berdepan pelbagai cabaran untuk mengubah imej jabatan agama. - HARAKAHDAILY 8/10/2018

TADI saya membaca tulisan Penulis Kanan Sinar Harian, Wan Haron Wan Hassan yang menganggap PAS telah berubah wajah kerana "bersekongkol dengan Umno" dan "bekerjasama dengan Umno".

Walaupun penulis kanan, tetapi penulisan itu ternyata buta sejarah. Bahawa PAS sejak awal 1970-an lagi telah membahaskan hukum kerjasama dengan Umno dari sudut pandangan syariat. Ada tiga kertas telah merekodkan pembentukan pendirian PAS dalam soal ini.

I)     Masalah Kerajaan Campuran Perikatan-PAS di Malaysia Barat 1972 yang disusun oleh Ust Abu Bakar Hamzah, Setiausaha Agung PAS;

II)     Penjelasan Terhadap Beberapa Pertanyaan Tentang Kerajaan Campuran; dan

III)     Pendapat dan Pandangan Ulamak-ulamak PAS Dalam Perjumpaannya.

Ketiga-tiga kertas ini adalah perbahasan hukum berdasarkan nas-nas syarak oleh para ulamak PAS tentang kerjasama dengan Umno dan Perikatan. Sepanjang era kepemimpinan Pak Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Mohd Noor, mereka telah mengambil langkah-langkah untuk bekerjasama dengan atas berdasarkan Islam.

Bagi penulis yang pro PH mereka memang membutakan hati dalam soal ini, dan suka membuat fitnah untuk memburukkan PAS. Sedangkan wajah PAS belum berubah selagi ia berpegang dengan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai landasan hukumnya.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources Pusat Penyelidikan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 8/10/2018

SHEIKH Habannakah menyebutkan dalam kitabnya berkaitan kewujudan kemunafikan dalam sektor politik, kerajaan dan pentadbiran. Ia digambarkan sebagai tingkah laku sosial yang bersandarkan kepada tipu daya, pengkhianatan dan kepura-puraan.

Secara zahirnya dilihat mengutamakan kebaikan umum. Diperlihatkan juga dengan pendekatan yang lembut dan berhikmah, mengharapkan perkara-perkara yang baik dan menawarkan pelbagai janji manis tanpa niat untuk melaksanakannya daripada awal.

Machiavelli dan Machiavellianism

Niccolo Machiavelli (3 Mei 1469 - 21 Jun 1527) merupakan seorang ahli falsafah, diplomat dan penulis yang berasal dari Itali semasa Zaman Renaissance. Dia juga merupakan salah seorang pengasas utama sains politik moden.

Istilah 'Machiavellianism' digunakan secara meluas untuk menyifatkan ahli politik yang tidak bermoral sebagaimana yang digambarkan oleh Machiavelli di dalam bukunya yang terkenal iaitu 'The Prince'.

Machiavelli menggambarkan kelakuan tidak bermoral seperti penipuan dan pembunuhan orang yang tidak bersalah adalah taktik biasa dan berkesan dalam berpolitik untuk meraih kekuasaan.

Buku 'The Prince'

Buku 'The Prince' membicarakan berkaitan prinsip atau teori politik yang memberi pengaruh besar kepada pola pemikiran pemimpin dunia. Falsafah politik Machiavelli mula diterima pakai oleh orang ramai apabila ia dilihat realistik.

Walaupun ada yang menyatakan beberapa prinsip yang dikemukakan tidak lagi sesuai diguna pakai dalam konteks negara demokrasi, namun masih ada unsur pemikiran Machiavelli yang masih relevan diamalkan terutamanya berkaitan meraih dan mengekalkan kekuasaan berasaskan dua perkara iaitu nasib (fortune) dan kecerdikan (virtue).

Buku ini terkenal kerana ia mengemukakan cadangan-cadangan yang licik dan realistik bertujuan untuk mengekalkan kuasa. Penguasa dibenarkan memanipulasi, menipu dan mengeksploitasi orang lain asalkan matlamat mereka dapat dicapai.

Machiavellian membentuk cara berfikir pragmatis dan oportunis

Machiavelli telah memperkenalkan konsep 'Matlamat Menghalalkan Cara'.

In the actions of all men, and especially of princes, where there is no court to appeal to, one looks to the end. So let prince win and maintain his state: the means will always be judged honorable, and will be praised by everyone.

Dengan matlamat mengekalkan kuasa pemerintahan dan kemajuan negara, maka, penguasa dibenarkan untuk melakukan apa sahaja cara tanpa mengira benar atau salah untuk mencapai matlamat.

Menurut kaca mata Machiavelli, terdapat beberapa ciri yang perlu diikuti oleh pemimpin untuk memelihara kuasa dan negaranya. Antaranya ialah;

●     Penguasa perlu fleksibel tanpa sempadan akhlak 

Menurut Machiavelli, penguasa yang baik adalah penguasa yang tidak menjadikan moral sebagai penentu untuk bertindak kerana ia akan menghadkan kuasa. Penguasa bebas untuk melaksanaan atau meninggalkan moral bergantung kepada keadaan.

     Penguasa perlu belajar untuk menjadi jahat 

Bagi Machiavelli, penguasa perlu memiliki sifat penjenayah (criminal virtue). Tidak mengapa bertindak ganas, kejam dan jahat asalkan dapat memelihara kuasa dan kestabilan masyarakat tetapi ia perlu berpada-pada.

Antaranya disarankan untuk bertindak kejam terhadap musuh politik dan berbuat baik kepada orang bawahan agar tidak berlaku pemberontakan ke atasnya.

Sekiranya ada kerja kotor yang terpaksa dibuat untuk mengekalkan kuasa dan negara, pemimpin perlu mengarahkan orang lain sebagai kambing hitam untuk melaksanakannya tanpa melibatkan pemimpin secara langsung.

     Penguasa perlu memilih menjadi yang ditakuti bukan dikasihi 

Menurut Machiavelli, sekiranya seorang penguasa perlu memilih sama ada untuk disayangi atau ditakuti, maka pilihlah untuk ditakuti kerana keselamatan dan kuasa akan lebih terjamin dalam keadaan tersebut. Sekiranya dikasihi, dibimbangi pemimpin akan dipergunakan rakyat disamping kononnya ditakuti bukan bererti dibenci.

     Penguasa perlu bijak memanipulasi emosi dan sentimen orang bawahan 

Bagi Machiavelli, menipu tidak mengapa asalkan dapat mengekalkan kekuasaan dan keamanan negara yang jauh lebih bernilai. Dia sedar bahawa penguasa yang jujur dan amanah tidak akan mampu bertahan lama walaupun rakyat mencintainya.

Contohnya, penguasa perlu menaburkan pelbagai janji demi meraih sokongan walaupun dilihat tidak realistik. Sekiranya tidak mampu dilaksanakan, cukup sekadar memanipulasi keadaan serta meneruskan lakonan dan kepura-puraan.

Walaupun kelihatan jahat, inilah realiti politik dan masih ramai yang terpedaya.

     Penguasa perlu bijak memainkan watak 

Machiavelli berpendapat bahawa seorang penguasa haruslah menguasai watak manusia (man) dan binatang (beast) kerana terdapat dua bentuk pertempuran iaitu dengan undang-undang (law) dan juga dengan paksaan (force).

Watak kemanusiaan semata-mata tidak cukup untuk mengekalkan kekuasaan. Maka, seorang penguasa perlu memainkan watak binatang melalui penguasaan watak singa dan musang sekali gus.

Singa berkebolehan menakutkan serigala, namun begitu, ia kerap kali juga tidak menyedari perangkap yang ada. Manakala musang, ia berkebolehan untuk menghadapi perangkap tetapi tidak dapat membela diri daripada serigala.

Dengan menjadi singa dan musang, penguasa kuat untuk menghadapi musuh serta dalam masa yang sama mampu menghadapi perangkap.

Perumpamaan tersebut mengajar penguasa agar menggunakan cara-cara yang licik dan tidak berperikemanusiaan demi menjaga kekuasaannya.

     Penguasa perlu mengeksploitasi pekerja dengan kebodohan 

Bagi Machiavelli, untuk beroleh kejayaan, seorang pemimpin perlu dikelilingi oleh Menteri-menteri yang berkemampuan dan setia. Pemimpin yang cermat seharusnya tidak mudah memberi kepercayaan dan menyingkirkan Menteri yang berkepentingan dan menggugat kedudukannya.

Amalan Machiavelli ternyata bercanggah dengan Islam 

Amalan pragmatis Machiavelli tidak mengatakan bahawa dia adalah ateis. Dia tidak mempersoalkan kewujudan Tuhan, tetapi dia mengenepikan fungsi agama dalam kehidupan masyarakat dan politik.

Agama hanya dianggap sebagai instrumen atau alat yang digunakan untuk meraih dan mengekalkan kekuasaan yang boleh diguna pakai atau ditinggalkan.

Konsep 'Matlamat Menghalalkan Cara' yang diperkenalkan oleh Machiavelli ini ternyata bercanggah dengan Islam kerana Islam menetapkan syarat bahawa matlamat dan cara kedua-duanya akan diterima sekiranya selari dengan syariat agama.

Prinsip yang diketengahkan oleh Machiavelli juga dilihat sangat mirip dengan ciri-ciri dan perilaku golongan munafiq sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran.

Amalan Machiavelli perlu dijauhi dan ditentang 

Konsep dosa (punishment) dan pahala (reward) perlu difahami dengan baik oleh ahli politik untuk mengelakkan daripada terjebak dengan amalan Machiavelli.

Neraca timbangan nas perlulah digunakan untuk memahami batas kebenaran dan kebatilan supaya terselamat daripada fitnah dan kekeliruan terutamanya dalam arena politik.

Keadaan ini bukanlah tertumpu hanya kepada golongan yang memerintah dunia atau negara. Bahkan, ia berkait rapat juga dengan kepimpinan di setiap peringkat termasuk mereka yang mendakwa membawa Islam.

Peringatan ini juga perlu diambil perhatian oleh rakyat, ahli atau orang bawahan agar berhati-hati dan tidak bersikap simplistik dalam memilih dan mentaati kepimpinan.

Teruslah berpegang teguh dengan ajaran Nabi S.A.W walaupun ketika ramai manusia yang melihat agama sudah tidak relevan untuk diamalkan sepenuhnya sekiranya mahu hidup senang di dunia.

Nabi S.A.W bersabda:

يَأْتِى عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

“Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.”

[HR. Tirmidzi]

AISHAH ADILAH
8 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 8/10/2018

FB IMG 1538999440951

DARIPADA kebanyakkan menteri, Dr Mujahid antara menteri yang populis. Populis kerana empat isu besar. Pertama, Hifz al-Din bermaksud semua agama; kedua, berkenaan LGBT; ketiga, sanggahan beliau terhadap Dr Zakir Naik; dan keempat, isu tak perlu ganggu privasi jika khalwat dan minum arak. Betul atau tidak isu ini, itu tidak penting. Selagi tiada sebarang penafian beliau, maka ia terpakai dan dianggap benar. Jika tidak benar, kita minta supaya Dr Mujahid saman mereka yang berani merosakkan reputasi beliau.

Dari kebanyakkan menteri, Menteri Agama Dr Mujahid yang menjadi fokus media. Bagi saya, fokus ini bukan kerana Dr Mujahid adalah menteri yang paling bijak dari semua menteri yang lain walaupun beliau boleh dianggap bijak kerana memiliki ijazah doktor falsafah, tetapi halnya ialah kerana beliau merupakan seorang Menteri Agama.

Jika bukan Dr Mujahid, siapa pun yang menjadi menteri agama dalam Malaysia Baru ini, sudah pasti menjadi tumpuan kerana dari sebelum Dr Mujahid naik menjadi menteri lagi, tuntutan demi tuntutan terhadap isu-isu sensitiviti agama pernah disentuh oleh golongan liberal ini.

Mari kita lihat secara ringkas mengenai tuntutan mereka sebelum ini. Tuntutan-tuntutan tersebut seperti ingin menyamaratakan agama melalui konsep pluralisme agama, seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam, orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada asal agama mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang, sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah civil dan tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

Selain itu, pada tahun 2013 NGO-NGO liberal feminis melalui gabungan NGO yang diberi nama COMANGO menuntut antaranya kebebasan untuk murtad, menghalalkan seks songsang dan hapuskan hukuman jenayah syariah. Melalui G25 pula ialah menuntut hukuman kepada jenayah khalwat dimansuhkan. Perjuangan mereka nampak sama.

Saya yakin Dr Mujahid bukan sengaja untuk populiskan dirinya, tetapi beliau terperangkap. Terperangkap dalam keadaan ‘sedar’. Kenapa saya berkata sedemikian. Sebabnya dari sebelum PRU-14 lagi golongan yang menentang pelaksanaan Islam di Malaysia ini telah berpencak. Mereka secara jelas menyokong PH kerana menganggap PH boleh merealisasikan hasrat mereka. Namun, orang PH yang faham agama sendiri tak kisah. Dalam ruang yang agak terbatas, mereka berani keluarkan kenyataan yang bukan-bukan mengenai Islam. PAS antara parti yang menentang kuat golongan liberal ini.

Menteri-menteri sebelum ini tak banyak beri muka kepada mereka. Menteri sekarang agak berbeza. Sehingga sekarang masih belum jelas pendirian menteri-menteri dalam Malaysia Baru ini kerana tidak ada sebarang sanggahan secara jelas terhadap tuntutan mereka.

Mengenai LGBT baru-baru ini, setelah Tun Dr Mahathir keluarkan kenyataan tidak ada tempat LGBT di Malaysia, barulah menteri-menteri lain menyahut dengan pandangan negatif terhadap LGBT. Bab khalwat ini pula berbeza, dalam duk tunggu komen menteri agama, Tun pula tiba-tiba menyokong kenyataan tidak patut pecah pintu rumah orang malam-malam kerana itu bukan cara Islam. Malangnya ada mufti pula yang agak positif dengan kenyataan ini. Sekarang masyarakat pening tak tahu nak ikut yang mana. Habis caca merba pelaksanaan syariat Islam hari ini.

Jika hari ini Dr Mujahid menafikan isu tak perlu ketuk pintu malam-malam cegah khalwat pun, kita belum tahu hati sebenar Dr Mujahid. Apa sebenarnya yang ingin diperjuangkan beliau melalui Rahmatan Lil ‘Alamin ini. Apakah tujuan beliau membuat kenyataan demi kenyataan yang nampaknya banyak memberi peluang kepada golongan yang banyak mempertikaikan institusi Islam sebelum ini seperti isu Dr Zakir Naik.

Mungkin dari awal beliau telah menyedari bahawa dirinya terperangkap dengan golongan liberal ini dan terperangkap dengan kenyataan awal beliau sendiri bahawa maksud rahmatan itu ialah semua kaum dapat merasai keadilan dan kebajikan Islam. Sehingga golongan liberal mempergunakan ayat beliau sendiri untuk diiktiraf di Malaysia.

Namun, beliau ter'miss' bahawa rahmatan itu sebenarnya bermaksud dakwah Islam dengan kasih sayang iaitu semua golongan dapat merasai kenikmatan Islam dengan dakwah itu. Rahmat Islam akan dapat kepada bukan Islam jika mereka memeluk Islam. Bagi saya itulah Dr Mujahid sekarang, kita tak pasti sama ada beliau sudah sedar atau tidak sedar yang dirinya kini terperangkap dan diperangkap oleh golongan liberalisme.

Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi,
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam,
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia – HARAKAHDAILY 8/10/2018

MUTAKHIR ini banyak musibah berupa bencana melanda umat manusia seluruh dunia. Lalu topik bala menjadi hangat diperkatakan, mengaitkan fenomena yang berlaku adalah bala dari tuhan.

Dalam masa sama, polemik pencegahan maksiat menjadi perbualan hangat di Malaysia ekoran kenyataan prejudis seorang Pak Menteri. Akibat kenyataan yang berautoriti itu, iklim politik dan agama Malaysia berkocak hebat.

Bagaikan dirancang, kedua isu hangat ini sebenarnya saling berkait. Bala' dan maksiat adalah dua perkara yang beriringan. Beberapa perkara yang perlu difahami berkenaan perkara ini adalah:

Bala' tidak semestinya kemurkaan Allah 

Bahasa Arab disebut bala' بلاء dan ibtila' إبتلاء. Ia adalah perkataan umum dengan maksud ujian.

Tidak semestinya bala' menjadi perkara yang negatif dan memaksudkan kemurkaan dan hukuman tuhan. Bala' juga boleh menjadi perkara positif seperti ujian bagi meningkatkan iman manusia. Menurut hadis, para Nabi merupakan orang paling teruk menerima bala':

أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاءً ؟ قَالَ : الأَنْبِيَاءُ , ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ

"Nabi ditanya manusia manakah paling teruk menerima bala'? Jawab baginda, para Nabi kemudian mereka yang mencontohi jalannya."

[HR Tirmizi]

Adakah para Nabi menerima bala' kerana dimurkai tuhan? Hasya Lillah. Tidak sekali! Bahkan bala' itu adalah ujian bagi mengangkat darjat Nabi S.A.W. Justeru perkataan bala harus difahami lebih teliti, jangan difahami mengikut konotasi kefahaman Bahasa Melayu semata-mata terutama dalam memahami bahasa nas.

Bala bencana akibat manusia sendiri 

Walaupun hukum alam boleh menjustifikasikan fenoma bencana yang berlaku, tetapi orang beriman wajib memahami bahawa semua bencana ini adalah akibat salah laku manusia sendiri. Firman Allah S.W.T:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

[ar-Rum: 41]

Jangan cari salah siapa, tapi fikir tuhan mahu ajar apa 

Tidak dinafikan bala' juga terjadi sebagai tanda murka Allah S.W.T. Ini banyak direkodkan dalam al-Quran mengenai kisah kaum-kaum terdahulu. Bagaimana Allah membinasakan kaum Sadum yang melakukan jenayah LGBT, membinasakan kaum Thamud yang ingkar, membinasakan Firaun yang zalim dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Allah S.W.T tidak memberi garis panduan apakah bentuk bala' yang akan menimpa bagi setiap jenayah yang berbeza.

Justeru itu, sebaiknya kita tidak mudah membuat kesimpulan mengatakan bala' itu ini berlaku disebabkan jenayah yang kamu lakukan. Apabila sudah terjadi, bukan masanya lagi mencari salah orang. Tiada guna lagi menyalahkan itu dan ini kerana bala' sudah terjadi. Adalah lebih baik untuk memikirkan apa perlu dibuat ketika bala' terjadi.

Apa yang sebetulnya dari memahami bala' adalah mengajak orang ramai supaya lebih bertaqwa, meninggalkan maksiat dan taatkan Allah. Itu adalah sikap yang lebih mudah dan bersifat serampang dua mata; sekiranya bala' itu adalah hukuman tuhan, maka taqwa adalah cara menghentikan kemurkaan Allah. Dan jika ia adalah ujian mengangkat darjat, maka dengan menambah taqwa akan mengangkat darjat.

Bala' kemurkaan tidak hanya menimpa pelaku mungkar 

Perkara di atas adalah langkah mengubat. Sebagai langkah pencegahan pula, kita seharusnya memastikan maksiat dan kemungkaran tidak berlaku di dalam masyarakat. Kerana ia adalah punca turunnya bala' kemurkaan.

Apabila bala' kemurkaan turun, ia tidak hanya menimpa pelaku mungkar sahaja bahkan ia akan turut mengenai orang lain yang tidak melakukannya. Ini dijelaskan melalui firmanNya:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."

[al-Anfal: 25]

Orang soleh turut ditimpa bala murka 

Nabi S.A.W ketika menceritkan mengenai pecahnya tembok Yakjuj dan Makjuj dan kaitannya dengan kebinasaan kaum Arab, Siti Aisyah bertanya apakah orang Arab akan binasa walaupun terdapat orang soleh, jawab baginda:

نعم إذا كثر الخبث

"Ya, jika keburukan berleluasa."

Soleh adalah orang yang melakukan amal yang mendatangkan kebaikan untuk diri mereka. Hadis di atas bermaksud, sekadar melakukan kebaikan untuk diri sendiri seperti beribadat dan menjaga halal haram individual, tidak mencukupi untuk menyelamatkan diri dari kemurkaan tuhan.

Pencegah kemungkaran menahan bala' tuhan 

Walau bagaimanapun, Allah turut menerangkan bahawa sesuatu bala' kemurkaan tidak akan menimpa di dalam komuniti yang melakukan kemungkaran, sekiranya terdapat pihak yang berusaha mencegahnya. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

"Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman yang berlaku, selagi ada penduduknya yang musleh (membaiki keadaan)."

[Hud: 117]

Selagi terdapat orang yang berusaha menghalang dan mencegah kemungkaran daripada terus berlangsung, maka itu menjadi asbab bala' Allah tidak turun. Jika tidak kerana mereka, sudah lama bala' murka membinasakan mereka. Pelaku maksiat ini sebenarnya terhutang budi dengan pencegah maksiat.

Kelebihan musleh berbanding soleh 

Itulah kelebihan musleh berbanding soleh. Orang soleh hanya membawa kebaikan untuk diri mereka. Sebaliknya orang musleh membawa kebaikan untuk seluruh umat.

Orang musleh bukan sekadar mengajak buat baik, tetapi mereka turut mencegah kemungkaran. Ajak buat baik perkara senang, tetapi halang orang buat jahat itu susah. Tetapi tugas nahi mungkar adalah lebih penting dari amat makruf. Mengikut satu kaedah fiqh:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

"Menolak keburukan adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan"

Cegah mungkar tugas semua muslim 

Ketahuilah tugas mencegah kemungkaran adalah fardu ain kepada semua orang beriman, mengikut kemampuan masing-masing. Ini bersandar sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكراً فَلْيغيِّرْهُ بِيَدهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطعْ فبِلِسَانِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبقَلبهِ وَذَلَكَ أَضْعَفُ الإِيمانِ

"Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka dia perlu mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman."

[HR Muslim]

Kewajipan paling utama digalas oleh pemerintah. Mereka bertanggungjawab menghalang kemungkaran berlaku dengan kuasa yang dimiliki. Permit, peraturan dan penguatkuasaan perlu diteliti supaya tidak memungkinkan maksiat daripada berlaku.

Di peringkat kedua pula adalah orang awam normal. Walaupun mereka tidak memiliki kuasa, tetapi mereka juga tetap wajib mencegah dengan bersuara menegur, melapor, membantah dan apa jua ruang yang boleh digunakan selagi tidak melanggar undang-undang. Kelebihan alam siber hari ini sepatutnya digunakan dalam mencegah kemungkaran dengan pencerahan, kecaman, desakan dan mobilisasi massa.

Peringkat paling rendah adalah mereka yang dianggap abnormal (cacat). Bagi mereka yang tidak mampu bersuara langsung walau sekecil ruang, maka sekurang-kurangnya lahirkan kebencian di hati. Jangan sekali-kali redha, jauh sekali tertarik dan tergoda dengannya. Jika tidak, maka periksalah diri, apakah masih punya iman berbaki.

Terima kasih buat pejuang nahi mungkar 

Kesimpulannya, dengan berbagai kemungkaran yang berlaku di segenap ruang dunia hari ini, umat manusia sebenarnya terhutang budi kepada golongan musleh. Kemungkaran ekonomi yang berpaksi sistem ribawi, kemungkaran politik yang menafikan kekuasaan tuhan, kemungkaran undang-undang yang membelakangkan nas, kemungkaran urus tadbir yang penuh dengan korupsi, kemungkaran sosial sehingga menghalalkan LGBT, seks bebas, dadah, arak, ikon lucah, hiburan tanpa batas dan sebagainya. Sebutkan mana tempat yang tidak dilanda kemungkaran ini.

Berterima kasihlah dan hargailah pencegah kemungkaran di sekeliling anda, walau apa jua kekurangan yang mereka miliki. Mereka juga manusia yang sering terkhilaf, namun janganlah dengan sedikit kesalahan mereka kita terus membentuk persepsi negatif sehingga menjatuhkan mereka.

Mesej buat pejuang nahi mungkar

Kepada pejuang Islam yang menggalas peranan nahi mungkar dalam berbagai ruang, teruskan kerja mulia kalian. Bersabarlah dengan dugaan. Usah pedulikan celaan mereka yang mencela, usah risau mereka yang cuba menjatuhkan kalian, kerana kalian adalah golongan Allah (hizbullah).

Asbab bala' Allah tertahan adalah kerana sikap mencegah kemungkaran yang dilakukan secara realiti, bukan sekadar retorik atas nama Menteri penjaga agama semata-mata, bukan juga bergantung kepada nama Kerajaan Islam atau bukan, ataupun jemaah, parti itu dan ini. Bukan kerana teori, tetapi kerana praktik.

Teruskan menentang mencegah kemungkaran walau apapun ancaman yang diterima. Kerana tanpa kalian, dunia ini mungkin sudah lama kiamat.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 8/10/2018

 

More Articles ...