PADA hari ini, Dewan Rakyat akan kembali bersidang untuk Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Parlimen ke-14. Tahniah diucapkan kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bakal kembali ke Parlimen setelah memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang berlangsung baru-baru ini.

Kita akur dengan keputusan rakyat di Port Dickson dan berterima kasih kepada pengundi yang telah memberi undi yang kedua terbesar kepada PAS walaupun dalam keadaan berdepan lawan yang mempunyai nama yang lebih besar dan gah.

Walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan, pihak lawan sudah pun mendapat ruang untuk masuk berkempen ke dalam kem tentera. Ternyata, di Port Dickson, kalah adalah biasa untuk PAS, jika menang, itu luar biasa.

Bagi warga Port Dickson, kesungguhan dan komitmen petugas-petugas sukarelawan PAS yang berkempen di medan yang sukar ini adalah sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan orang biasa.

Bendera, bunting, poster calon PAS kelihatan sangat menyerlah di Port Dickson. Tahniah diucapkan kepada semua yang telah berkorban wang, material, tenaga, idea dan masa.

Siapa yang tidak teruja jika bakal wakil rakyatnya bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri? Yang tidak teruja barang kali yang bakal melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, kita mengharapkan dengan adanya Dato’ Seri Anwar di Parlimen, beliau akan mempertahankan janji manifesto PH yang dirangka oleh partinya dan komponen PH yang lain dan menunaikan janji sebelum PRU14.

Kita tidak mahu melihat Dato’ Seri Anwar mengulang kata-kata Perdana Menteri sekarang yang dengan mudah beralasan bahawa manifesto itu dibuat tanpa menjangkakan PH akan menang.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
15 Oktober 2018/ 6 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 15/10/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) meminta Menteri Kewangan untuk membentangkan satu kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan Kerajaan Persekutuan sebelum pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November ini.

Kertas putih tersebut sangat penting untuk menyelaras kedudukan kewangan negara ekoran terdapat beberapa kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Menteri Kewangan dalam satu kenyataan kelmarin (13 Oktober) memberitahu kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional telah meninggalkan akaun wang tunai berjumlah RM450 juta pada 30 April 2018.

Beliau turut mendakwa akaun hasil disatukan telah susut mendadak sebanyak 96% daripada jumlah asal iaitu RM11.86 bilion pada akhir 2017.

Penyusutan perbelanjaan mendadak perlu diperincikan supaya rakyat mengetahui apakah objek perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018.

Sementara itu, Menteri Pertahanan juga telah membuat satu kenyataan mengenai hutang Kerajaan Persekutuan dalam satu program di Universiti Malaya kelmarin (Sabtu, 13 Oktober).

Beliau mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.

Kerajaan Persekutuan dikatakan telah menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece.

Kenyataan Menteri Pertahanan tersebut amat serius. Walhal, jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017.

Jawapan yang diberikan selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia.

Sekiranya, nilai sebenar hutang Kerajaan Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah palsu.

Oleh itu, bagi menangani kecelaruan ini, Menteri Kewangan mesti mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan-kenyataan pemimpin negara dimanipulasi.

Ia bukan perkara yang remeh sebaliknya boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.
6 Safar 1440 | 15 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 15/10/2018

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson telah berakhir jam 5.30 petang 13 Oktober setelah semua pusat mengundi ditutup.

Walaupun keputusan tidak memihak kepada PAS, tetapi Allah S.W.T menjadi saksi segala kesungguhan, pengorbanan, dan jerih-perit yang telah diusahakan oleh jentera parti daripada segenap pelosok negeri.

Bermula hari penamaan calon sehingga hari pengundian, kita melihat kesungguhan para jentera yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Semuanya hadir dengan satu matlamat untuk memenangkan PAS pada PRK kali ini.

Justeru, saya mewakili seluruh Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih serta segulung penghargaan khusus buat seluruh jentera PAS yang telah bertungkus-lumus berkempen, meraih undi, ziarah rumah ke rumah, menggantung bunting, banner, billboard, juga tak lupa buat mereka yang bekerja secara belakang tabir mereka cipta poster, kempen melalui media sosial dan segala bentuk gerak kerja yang dilakukan.

Tidak kurang juga ada yang bercuti tanpa gaji, mengambil cuti serta-merta hanya untuk turut serta dalam misi memenangkan PAS di PRK P.132 ini.

Terima kasih yang tidak terhingga daripada kami, sesungguhnya hanya Allah S.W.T selayaknya memberikan balasan setimpal dengan segala kerja buat kalian.

Di samping itu, pihak kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan baik daripada sekecil-kecil nilai hingga sebesar-besar nilai. Sumbangan kalian sungguh bermakna di saat-saat genting sebegini.

Percaya dan yakinlah bahawa kemenangan PAS ini bukan sekadar untuk dibanggakan, tetapi perjuangan untuk memenangkan PAS ini lebih kepada sebagai manifestasi tertegaknya Islam di bumi Malaysia melalui jalan demokrasi.

Akhir kalam, terus beristiqamah dalam jalan perjuangan ini yang semestinya susah dan panjang. Dengan izin Allah, suatu hari nanti pasti Islam akan tertegak dengan menjadi rahmat kepada seluruh penduduknya.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 15/10/2018

DARI Kristianisasi kepada Sekularisasi 

Awal era Kolonialisme, Barat mula menyedari bahawa Islam tidak dapat dihapuskan melalui senjata dan peperangan fizikal. Bahkan semakin kuat Islam diserang, semakin kuat roh jihad membara dalam diri umat Islam. Oleh itu, mereka mengambil langkah alternatif dengan melancarkan perang dalam bentuk pemikiran.

Selepas gagal mempromosikan agama lain kepada orang Islam melalui gerakan Kristianisasi dan sebagainya, Barat beralih kepada serangan dengan senjata Sekularisme. Pemikiran Sekular ini seiring dengan era enlightenment kurun ke-18 di Barat yang juga menolak sistem teokrasi gereja, ditandai dengan kejatuhan monarki-monarki melalui revolusi rakyat hingga tertegak sistem republik.

Sains dijadikan senjata 

Era tersebut juga disebut sebagai era modenisasi, di mana berlaku revolusi pertanian dan revolusi industri. Keghairahan memajukan industri inilah yang mendorong kepada gerakan penjajahan/kolonialisasi.

Tonggak kepada era ini adalah sains. Sains digunakan untuk membangunkan sesuatu sektor. Kebenaran dibuktikan melalui kaedah sains. Meletakkan logik akal pada tahap tertinggi.

Ketaksuban terhadap sains inilah yang menyebabkan manusia mula meninggalkan agama. Ini kerana teori agama tidak boleh dibuktikan melalui kaedah sains malah banyak yang bertentangan dengan agama. Dari Protestan membentuk Sekularisme, lalu secara tidak langsung membawa kepada free thinker atau atheis.

Senjata makan tuan 

Namun setelah lama sains dibangunkan, saintis dan ahli akademik mula menyedari bahawa banyak persoalan mengenai dunia tidak mampu dijawab oleh sains dan logik akal. Ada perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia.

Namun apabila mereka mengkaji tentang Islam, mereka menjumpai jawapan yang dicari! Apabila mereka terus menggali khazanah Islam, mereka dapati bahawa penemuan sains di era moden telah dinyatakan sejak zaman wahyu lagi!

Ideologi Sekular dan atheis semakin terhakis di kalangan sarjana Barat. Seorang saintis popular dan berpengaruh zaman kini daripada US, Michio Kaku pernah mengeluarkan kenyataan yang agak paradoks dengan akidah dunia sains:

"Dengan aturan sistem alam yang sangat teliti dan kompleks ini, kalaulah ia dicipta oleh tuhan, tentunya tuhan ini sangat genius!"

Fenomena ini menjadi sebab ramai para saintis memeluk Islam. Islam di barat dan negara maju berkembang pesat sekarang, sehingga dianggarkan Islam bakal menjadi agama dengan penganut teramai di Eropah dalam tempoh kurang 20 tahun lagi!

Tajdid senjata; kemunculan post-truth 

Sudah tentu fenomena ini membimbangkan musuh Islam. Pakar geo-politik Barat sudah membuat konsensus sejak dulu, sekiranya mahu menjayakan agenda globalisasi, Islam tidak boleh dibiarkan berkembang. Ia mesti dihapuskan.

Maka dewasa ini sarjana sains sosial mendapati terdapat gerakan baru pada era post-modernisme ini, yang dilabelkan sebagai post-truth. Post truth secara literalnya bermaksud selepas kebenaran, atau dengan erti kata lain, zaman kebenaran sudah pun berlalu. Kebenaran sudah mati.

Zaman kebenaran merujuk kepada zaman keagungan sains. Post-truth secara mudahnya adalah ideologi menolak fakta dan teori sains dalam menentukan kebenaran, sebaliknya memahami kebenaran mengikut pertimbangan emosi dan relatif pandangan masing-masing atau persepsi.

Post-truth tidak mempercayai kebenaran adalah satu perkara yang mutlak sebaliknya relatif. Jika dulu semua percaya bahawa bumi itu sfera berasaskan teori graviti, ilmu fizik, navigasi, geografi. Malah al-Quran sendiri memberi isyarat tentangnya. Malangnya hari ini muncul gerakan flat-earth (bumi datar) dengan argumen-argumen yang tidak berlandaskan kaedah sains yang betul. Namun mereka mempertahankannya atas dasar kebebasan berpendapat.

Trump dan seni penipuan

Dari segi politik, ia lebih merujuk kepada pentadbiran US era Trump walaupun Presiden terdahulu turut menggunakan pendekatan sama. Dikatakan Trump sebagai penipu tetapi penipuannya mendapat sokongan majoriti kerana pandai bermain emosi dan persepsi. Post-truth jadi kempen memburukkan Trump, padahal Nixon, Reagen, Bush, Obama semua lebih teruk dari beliau.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, gerakan ini wujud bagi menghalang Islam yang semakin berkembang melalui sains. Agendanya adalah politik. Jadi mekanisme penyebaran ideologi ini juga melalui politikus demokrasi. Dibantu dengan gerakan perjuangan kebebasan hak asasi manusia dan Liberal, ia bergerak agak laju.

Manipulasi akal melalui LGBT

Post-truth ditentang hebat oleh saintis dan ahli akademik yang jujur tanpa mengira kepercayaan agama. Selain polemik flat earth sebagai contoh pertembungan antara sains dan post-truth, antara isu sensasi lain adalah perjuangan LGBT. Jumhur saintis bersetuju bahawa gejala LGBT adalah abnormal dan penyakit bagi manusia yang perlu dirawat.

Tetapi pejuang LGBT mengatakan ia adalah perkara normal dengan argumen-argumen bodoh seperti wanita terperangkap dalam tubuh lelaki, jantina tidak ditentukan melalui alat kelamin dan sebagainya. Apabila cuba diperdebatkan, mereka menggunakan hujah hak kebebasan memilih, hak berpendapat dan nilai demokrasi.

Manipulasi emosi melalui manifesto palsu 

Selain manipulasi akal, post-truth turut memanipulasi emosi. Mereka menggunakan berbagai elemen seperti simpati, marah, benci, sedih dan sebagainya supaya kebenaran dibutakan dan masyarakat memilih mengikut dorongan emosi. Dengan berbekalkan kepakaran lakonan, cinematografi, fotografi dan efek musik, penipuan dicipta dengan sangat sukses sehingga mengalpakan manusia untuk duduk berfikir sejenak dengan akal yang waras.

Masyarakat lebih suka debat daripada forum. Kerana debat memainkan elemen provokasi, tegas, pedas dan lancang. Sedangkan forum menumpukan isi dan kupasan. Pemenang debat dinilai dari sudut dominasi majlis, sedangkan forum diadakan bukan untuk cari pemenang tetapi lebih kepada pencerahan.

Ceramah sudah tidak diminati. Tetapi video klip, filem pendek, dan lakonan lebih mendapat tempat. Faktor ketampanan dan kejelitaan juga dijadikan kayu ukur sokongan. Persetankan idea. Kencing pun tidak apa, asalkan mampu mengkhayalkan massa dengan seni penipuan.

Semua agama adalah benar 

Gejala post-truth turut menjalar ke dalam komuniti muslim. Autoritian mula bercakap bahasa-bahasa Liberal bagi memasukkan jarum penyimpangan daripada agama. Jika dahulu kita umat Islam diajar untuk mengakui tiada tuhan selain Allah, tetapi hari ini kita diajar untuk mengiktiraf agama lain. Jika dahulu arak ditolak semua agama, malangnya hari ini didoktrinkan bahawa Islam perlu membenarkan arak diminum penganut agama lain.

Alasannya kerana meraikan kebebasan hidup dan berpendapat. Digunakan hujah Islam turut meraikan perbezaan. Fiqh Ikhtilaf dijadikan modal. Sedangkan di dalam Islam, bukan semua khilaf diambil kira. Khilaf antara perkara qat'iy dengan zanniy tidak diterima. Khilaf orang awam dengan mujtahid tidak diterima. Banyak disiplin Fiqh Ikhtilaf yang perlu diperhalusi.

Neo-Teokrasi

Ironinya pendakwah yang menerangkan kebenaran agama dengan hujah ilmiah seperti Dr Zakir Naik disekat pula. Dr Zakir berhujah dengan logik dan ilmu, dan bersedia menerima hujah pihak lain asalkan berpijak atas kaedah ilmu. Dan itulah tugas para Nabi, mengkritik sembahan selain Allah dengan argumen-argumen logik akal.

Kenapa tidak boleh meraikan pandangan Dr Zakir Naik yang lebih menghormati akademik? Kenapa mudah pula hormat pandangan pendukung LGBT yang kata tuhan terhasil dari getaran?

Secara halusnya inilah bibit Neo-Teokrasi. Menggunakan hujah Fiqh Ikhtilaf sebagai cara memposisikan pandangan yang bukan dari fiqh Islam, tetapi dalam masa yang sama menyekat pandangan yang bertunjangkan nas yang asli.

Lebih parah apabila mereka menggunakan autoriti untuk mendiamkan segala pendapat lain, atas dasar taat waliyul amr. Inilah sebetulnya pihak mempergunakan agama. Ulamak suk!

Gerakan Islam turut terkesan 

Neo-Teokrasi turut melanda gerakan Islam. Bagi menghalalkan tindakan sesetengah pihak yang menyeleweng, hujah adab berkhilaf digunakan. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka yang tidak sebulu disekat habis-habisan atas alasan syadid, tidak wala', perosak fikrah dan sebagainya. Diselimutkan dengan terma wala', taat, thiqah dan husnu zhon, hinggakan korupsi yang berlaku turut dipaksa untuk ikut.

Sedangkan ketaatan hanya dituntut dalam perkara kebaikan. Jika kemungkaran berlaku seperti korupsi dan rasuah, kita dituntut untuk mencegah sehabis daya kemampuan. Tidak ada khilaf dalam bab kewajipan nahi mungkar. Membela kemungkaran atas dasar satu jemaah adalah asobiyyah yang ditegah!

Cabaran petanda kemenangan semakin hampir 

Segala masalah yang dibentang bukan bertujuan untuk melunturkan semangat pejuang Islam yang ikhlas. Sebaliknya supaya kita menyedari, bahawa inilah petanda Islam semakin hampir menjulang kemenangan. Sudah menjadi sunnah perjuangan, semakin dekat dengan menang, semakin mencabar ujian yang datang.

Musuh seolah-olah sudah terlalu terdesak mencari senjata menyekat Islam. Kalau dulu mereka cuba merosakkan fitrah beragama yang ada pada diri manusia dengan argumen-argumen Sekularisme, Liberalisme dan Materialisme, sekarang mereka terpaksa merosakkan fitrah berfikir manusia pula dengan post-truth.

Semakin mereka cuba melanggar fitrah, semakin jelas kebejatan mereka pada mata sekalian manusia.

Cari titik persamaan Islam-sains 

Penentangan terhadap kewarasan dan logika sudah tentu mengundang permusuhan daripada para ahli akademik dan sains. Perkara ini perlu dimanfaatkan oleh ilmuwan Islam supaya kerjasama dapat dibentuk dalam menghadapi musuh bersama. Cari titik temu Islam dan sains. Buang persepsi bahawa Islam menentang sains.

Sekiranya didapati berlaku pertembungan antara ajaran Islam dan penemuan sains, ianya mesti tidak lari daripada tiga kemungkinan:

1.     Kesahihan nas memerlukan saringan. Jika tiada masalah dari sudut status, maka

2.     Kefahaman terhadap nas yang perlu diperbetulkan. Jika sudah benar-benar tepat, maka

3.     Penemuan sains itu ada kesilapan. Dan perkara ini biasa. Dunia akademik sudah mencatatkan beberapa penemuan yang sudah diiktiraf sebagai fakta, boleh berubah selepas penemuan terbaru diterokai.

Lahirkan lebih ramai sarjana Islam berkepakaran sains tulen 

Paling baik adalah dengan melahirkan sarjana Islam yang pakar dalam bidang sains tulen. Sarjana Islam yang pakar dalam bidang sains sosial seperti politik, ekonomi, perundangan, sejarah, psikologi, kepimpinan dan pentadbiran mungkin sudah ramai. Tetapi yang pakar dalam bidang sains tulen seperti biologi, geologi, kejuruteraan, astrologi, agri-culture dan perubatan masih di tahap minima.

Mutakhir ini, boleh dikatakan tiada langsung sarjana Islam berkepakaran sains tulen. Apabila timbul masalah hukum dari sudut perubatan sebagai contoh, Mujamma' Fiqh dan Majlis Ifta' terpaksa memanggil doktor perubatan bagi menerangkan gambaran masalah tersebut sebelum membina hukum. Jadi sarjana Islam sekadar mendapat gambaran dari luar dan berdasarkan pemahaman doktor yang tidak memiliki kepakaran agama. Sudah tentu dapatannya berbeza jika sarjana Islam yang menjadi anggota sidang sendiri yang pakar dalam bidang tersebut membentang kajian.

Keadaan ini berbeza di zaman kegemilangan Islam dahulu, di mana sarjana Islam sendiri mahir dalam berbagai ilmu sains, malah menjadi rujukan akademik dunia sehingga ke hari ini.

Terus berjuang

Kesimpulannya, kuatkan semangat, tabahkan hati, teruskan kesungguhan dan sentiasa perbaiki gerak langkah. Sentiasa optimis dengan janji tuhan. Kemenangan sedang menunggu di hadapan.

Kemenangan Islam hanyalah urusan masa. Bila tiba masa yang ditetapkan, tiada siapa mampu menghalang. Tugas kita hanya memenuhi syarat kemenangan.

حتى يأتي الله بأمره...

6 Safar 1440
14 Oktober 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 14/10/2018

 FB IMG 1539527586353

TERLEBIH dahulu diucapkan tahniah kepada calon yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson 2018 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, saya mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRK Port Dickson 2018, Datuk Iskandar Abdul Samad dan timbalan, Ustaz Haji Idris Ahmad yang memandu Jentera Pilihan Raya kali ini; Pengarah Jawatankuasa Operasi PAS PRK Port Dickson 2018, Ustaz Haji Mustaffa Daharun, pimpinan dari Pusat, juga kepada semua petugas dari seluruh negara.

Terima kasih juga buat Jentera Pemuda PAS PRK Port Dickson 2018 yang diketuai oleh Ir. Haji Khairil Nizam Khairudin, dan semua Jentera Dewan Pemuda PAS yang datang dari seluruh Negeri Sembilan dan negeri-negeri bantu dari seluruh negara.

Penghargaan juga diucapkan buat semua pengamal media dari media cetak, media atas talian, stesen televisyen dan radio yang membuat liputan buat parti PAS dan calon kami, Lt. Kol. (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar dalam PRK kali ini.

Selain itu, sekalung penghargaan juga buat rakan kami dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang turut sama membantu dalam usaha memberikan kesedaran buat rakyat terhadap situasi semasa negara.

Tidak dilupakan, salam persahabatan buat Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia / All-Malaysian Indian Progressive Front (IPF) yang telah memberi mesej kesedaran dan kebersamaan dengan PAS bagi sama-sama memperkukuh parti-parti pembangkang di negeri ini. Moga akan bertambah persefahaman antara kedua-dua parti selepas ini.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada calon kita, Lt. Kol. (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar yang sedia menyahut seruan jemaah untuk menjadi calon bagi Parlimen Port Dickson ini.

Akhir sekali, kami mengucapkan terima kasih kepada 7,456 orang pengundi yang telah memilih PAS dalam PRK kali ini. Ianya merupakan signal yang membangkitkan motivasi buat kami semua untuk terus menyuburkan Islan di Parlimen Port Dickson ini.

Semoga gerak kerja kita sepanjang proses PRK kali ini mendapat perhatian, rahmat dan hidayah daripada Allah SWT.

“Terus Mara”
“Islam Memimpin”

KHAIRUL YAZMAN YAHYA
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan - HARAKAHDAILY 15/10/2018

PAS mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para Pengundi Port Dickson yang telah keluar mengundi khususnya yang memberi undi kepada calon PAS, Lt. Kol. (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar.

PAS turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SPR serta Warga SPR yang telah berjaya mengemudi dan mengendalikan Jentera SPR dengan baik dan mula menampakkan suatu reformasi serta penambahbaikan terhadap pengendalian proses pilihan raya di negara ini.

Atas semangat demokrasi pilihan raya, PAS juga turut sama mengucapkan tahniah kepada calon Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang telah berjaya dalam PRK Port Dickson semalam. 

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 14 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 15/10/2018

JUALAN masakan daging khinzir secara terbuka pada Pesta Tastefully Melaka di dalam dewan tertutup Melaka International Trade Centre (MITC) dilihat seolah-olah bermotif dan disengajakan. Ia seperti mahu mengusik dan mempersenda sensitiviti yang boleh menimbulkan ketidakharmonian akibat rasa kurang senang berkaitan kaum dan agama.

Permohonan maaf dengan alasan terlepas pandang terlalu dangkal dan sukar diterima, seakan ekspo tersebut tiada pendaftaran, pemerhatian, penyeliaan dan penguatkuasaan selama empat hari ia berlangsung. Adakah alasan diberikan itu merupakan satu pengakuan bahawa ianya kecuaian penganjur atau makluman berlakunya pelanggaran peraturan oleh peserta ekspo?

Kejadian seumpama tidak pernah timbul selama ini, tetapi mutakhir sejak ditadbir Kerajaan PH, hubungan antara masyarakat pelbagai bangsa sudah mula dirosakkan. Teraju politik bagaikan kuasa untuk satu-satu pihak menunjukkan keangkuhan, lalu bersikap biadab dengan menjurangkan lagi perbezaan sedia ada, sekali gus menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu Julai lalu juga berlaku kejadian hidangan daging khinzir pada Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong yang turut dihadiri pelbagai kaum. Begitu juga patung besar Jesus The Redeemer Statue sebagai binaan terbuka di Perkampungan Portugis yang dilihat tidak bertujuan amalan keagamaan, tetapi lebih sebagai simbol.

Malah sebelum dari itu, berlaku ketidakpedulian dan keengganan banyak pengusaha hotel di Melaka untuk mengambil dan mematuhi prosedur Sijil Halal JAKIM yang dilihat bagai mencabar kewibawaan pihak berkaitan. Itu tidak termasuk pernah ada cubaan untuk menganjurkan pesta arak mega dan himpunan Evangelis Kristian terbesar di negeri ini sikit masa dahulu.

Sungguh pun keterbukaan terhadap hak anutan dan melaksanakan amalan agama serta budaya kaum perlu diberi, namun ia tidak wajar sama sekali menjejaskan pihak lain pula. Hubungan berpaksi saling hormat, tolak ansur dan memahami wajib terus dipelihara dan disuburkan agar tidak ada yang terasing atau didiskriminasi, apatah lagi dicabuli kesejahteraan hidupnya.

Oleh itu, kami menuntut siasatan terhadap kes ini, seterusnya tindakan tegas sewajarnya ke atas pihak berkaitan, serta langkah-langkah agar ia tidak berulang lagi. Kami juga menasihatkan semua pihak supaya lebih peka dan sensitif terhadap soal agama dan kaum, selain tidak cuba berkelakuan sewenang-wenangnya hingga mencalar dan merenggangkan hubungan.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka - HARAKAHDAILY 14/10/2018

More Articles ...