PORT DICKSON: Pertembungan laungan ‘Allahu akbar’ dengan ‘hidup rakyat’ bergema di luar pekarangan pusat mengundi I Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa.

Penyokong PAS dan Pakatan Harapan (PH) mengibarkan bendera tanda sokongan kepada calon masing-masing.

Laungan ‘Allahu akbar’ dan ‘hidup rakyat’ semakin hangat apabila calon PAS, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan calon PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertembung ketika melawat pusat mengundi, di sini.

Suasana harmoni ditunjukkan kedua-dua belah pihak tanpa sebarang provokasi yang berlaku.

Dalam masa yang sama, calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan turut hadir ke tempat mengundi. – HARAKAHDAILY 13/10/2018

c5

c6

c4

PADA siri ketiga ini, kita akan menyenaraikan beberapa manifestasi daripada pengertian wala' yang telah diperbahaskan pada siri-siri yang lalu.

Taat sepenuh rela hati 

Manifestasi ini boleh dikatakan fundamental dalam konsep wala'. Bukan sekadar taat terhadap segala arahan jemaah, tetapi taat dengan rela hati, tidak atas dasar terpaksa.

Mentaati perkara yang memang selari dengan pandangan kita adalah sesuatu yang mudah. Tetapi mentaati perkara yang tidak selari itu sukar. Lebih sukar daripada itu, memujuk hati agar menerima keputusan jemaah tanpa sebarang rasa tidak berpuas hati.

Wala' yang hakiki memerlukan anggota jemaah berusaha memadamkan segala rasa tidak senang dengan keputusan dan arahan jemaah, menukar rasa terkilan kepada rasa tenteram. Keputusan yang dibuat oleh kepimpinan jemaah adalah keputusan kita bersama. Mahu tidak mahu, perlu didukung sepenuh hati.

Manifestasi ini adalah paduan antara konsep taat dan thiqah. Mengambil masa lama untuk memujuk hati adalah lebih baik dari akur dalam keadaan makan hati.

Kemuka pandangan dan buah fikiran  

Wala' mendorong anggota untuk sentiasa memikirkan mengenai jemaah. Dengan sentiasa berfikir dan berbincang, pelbagai idea akan muncul bagi memperkasakan jemaah.

Orang yang wala' tidak akan teragak-agak mengemukakan sebarang idea yang baik untuk jemaah. Walaupun mereka hanya pengikut bawahan, ia tidak sekali-kali bermaksud mereka kurang cerdas berbanding pemimpin atasan. Boleh jadi mereka nampak sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran pemimpin.

Walaupun pimpinan telah dilantik, tetapi tidak bermakna tugas merencana dan membangunkan jemaah terpundak di atas bahu mereka sahaja. Tidak menjadi masalah bagi ahli untuk sama-sama memikirkan kepentingan jemaah pada apa jua isu. Cuma, mereka perlu mengemukakannya idea tersebut kepada pimpinan yang berkaitan kerana kuasa melaksanakan terletak di tangan mereka.

Anggota jemaah terdiri dari berbagai latar belakang pendidikan dan profesion. Kepelbagaian ini adalah rahmat yang tuhan berikan kepada jemaah Islam. Walau bagaimanapun, jawatan kepimpinan dalam jemaah adalah terhad dan tidak mampu dijawat oleh semua golongan. Justeru memikirkan mengenai hala tuju jemaah dan mengemukakan idea dan buah fikiran adalah tanggungjawab semua anggota di sepanjang masa, bukan ketika mereka berjawatan sahaja.

Berinisiatif tinggi 

Sebagaimana yang dinyatakan pada siri terdahulu, makna wala' adalah lebih luas daripada taat. Kewujudan taat terikat dengan ketetapan dan arahan. Tanpa arahan tiadalah taat. Sebaliknya wala' tidak terikat dengan perkara sedemikian.

Dengan erti kata lain, walaupun tanpa arahan dan garis panduan, seorang yang berwala' akan tetap mengerjakan sesuatu perkara jika dirasakannya baik untuk jemaah dan tidak bercanggah dengan dasar, matlamat dan strategi semasa jemaah.

Wala' mengajar anggota jemaah bersikap pro-aktif. Sikap menunggu arahan baru bertindak ibarat pahat dengan penukul. Anggota jemaah bukan robot yang bekerja mengikut aturan yang diprogram semata-mata. Mereka dikurniakan akal dan kesedaran sebagai seorang manusia, justeru ia perlu digunakan bagi memberi khidmat terbaik kepada jemaah.

Perlu jua disedari proses membuat arahan dan menggubal ketetapan tidaklah mudah. Ia terikat dengan korum, masa dan justifikasi. Pemimpin dan pembuat dasar bagi jemaah mungkin tidak sempat untuk melihat segala yang berlaku di berbagai peringkat. Justeru jika anggota jemaah hanya menunggu arahan untuk bertindak, nescaya jemaah ini akan sentiasa ketinggalan dalam mendepani cabaran semasa yang sangat ligat.

Tidak menyekutukan Allah pada nawaitu 

Perkara ini sudah tidak perlu dibincang panjang lagi. Sekiranya seseorang memiliki wala' dengan erti kata sayang dan setia, maka tidak akan timbul lagi masalah ikhlas. Wala' tidak akan sekali-kali wujud tanpa keikhlasan.

Keikhlasan seorang pewala' bukan sahaja berniat semata-mata kerana Allah, tetapi juga membuang segala niat lain daripadanya. Tidak menyekutukan Allah dengan niat sampingan.

Dr Fathi Yakan menulis dalam bukunya Golongan Yang Tercicir, bahawa salah satu sebab digugurkan oleh Allah daripada perjuangan ini adalah kerana menyekutukan Allah dalam niat. Contohnya mereka yang melakukan berceramah dengan niat untuk mencari keredhaan Allah, tetapi dalam masa yang sama turut menyelitkan niat untuk membina pengaruh dirinya dalam jemaah.

Mengutamakan jemaah dalam segala-gala 

Antara manifestasi wala' bagi seorang anggota jemaah adalah meletakkan jemaah ini adalah segala-galanya bagi mereka. Segala yang dilakukan adalah untuk jemaah ini tanpa kompromi, sehingga sanggup mengorbankan kepentingan peribadi sekiranya bertembung dengan tuntutan jemaah.

Contohnya mereka yang mendapat tawaran bekerja di negeri lain dengan gaji dan pangkat yang lebih lumayan. Namun jika diterima, beliau terpaksa melepaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan di negeri yang sedang didiami, dan boleh menyebabkan jemaah di negeri, kawasan atau cawangan tersebut terbengkalai.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Harun Taib pernah mengorbankan kembara ilmu mereka untuk menyambung pengajian di peringkat PhD di al-Azhar, kerana mendapat panggilan daripada jemaah untuk pulang memberi khidmat. Walau bagaimanapun, hasil pengorbanan mereka telah melahirkan ramai ilmuwan Islam pemegang PhD.

Kasih sesama orang beriman 

Salah satu antara tiga pihak yang perlu kita memberi wala' selain Allah dan Rasul adalah sesama orang beriman. Kasih yang diberi sesama orang beriman di dalan jemaah yang sama adalah lebih tinggi dari mereka yang tidak ada ikatan dalam jemaah. Mengutamakan mereka dalam segala hal mengatasi orang lain termasuk keluarga sendiri.

Hargai sesama anggota jemaah walaupun mereka hanyalah ahli biasa tanpa jawatan. Jangan terlalu meraikan orang di luar jemaah sehingga ahli sendiri dipinggirkan. Ingat bagaimana Allah menegur Nabi S.A.W apabila Baginda terlalu obses melayan Musyrikin sehingga menarik muka masam terhadap Abdullah Ummi Maktum.

Jadikan sesama jemaah teman rapat dan orang kepercayaan. Jangan sesekali mengambil orang luar yang tidak ada kena-mengena sehingga membelakangkan sesama sendiri. Apatah lagi berpakat dengan orang luar bagi menyerang sahabat sesama jemaah. Seburuk-buruk orang jemaah ini, setidaknya mereka mendukung perjuangan yang sama. Sedangkan orang luar yang dianggap bagus, boleh jadi mereka membawa agenda tertentu yang berlainan dari perjuangan kita.

Firman Allah S.W.T:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengajak kepada jalan Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

[al-Kahf: 28]

Amal Fardi dan Ijtimaie 

Wala' kepada Allah dan Rasul menuntut kita untuk melaksanakan segala perintahNya. Bagi mereka yang berada di dalam jemaah Islam, ia tidak bermaksud mereka hanya perlu bekerja dalam perkara yang memberi maslahah kepada jemaah sahaja, atau disebut sebagai amal jamaie.

Mereka juga perlu turut menjalankan tanggungjawab individual yang tidak bersangkutan dengan jemaah seperti ibadat, akhlak dan seumpamanya. Mereka juga bertanggungjawab kepada masyarakat sekeliling. Hak sesama jiran, hak dengan rakan dan kenalan, hak sebagai warganegara, sebagai ahli keluarga dan bermacam lagi.

Ahli jemaah tidak boleh menjadi kera sumbang di dalam masyarakat. Mereka juga perlu terlibat dan memberi sumbangan kepada komuniti setempat yang berbagai latar belakang. Jangan menunggu program jemaah sahaja baru nak turun ke medan.

Semuanya digariskan dalam agama sudah begitu cantik. Walaupun tidak ditugaskan oleh jemaah, ia tetap tanggungjawab seorang Muslim. Tidak bermakna jika menjadi anggota jemaah, segala tanggungjawab lain sudah terlepas.

Mengawasi keselamatan jemaah 

Wala' kepada jemaah turut mendorong seseorang kepada sentiasa peka terhadap penyelewengan dari berbagai segi. Ibarat sayang kedua ibu bapa terhadap anak mereka sehingga sentiasa mengawasi tindak tanduk sang anak, begitulah kasih sayang yang perlu ada pada seorang anggota terhadap jemaah.

Tidak timbul soal menyibuk atau jaga tepi kain orang lain. Jemaah ini milik semua anggotanya. Jemaah ini bakal menjadi hujah kita di hadapan Allah kelak apabila ditanya adakah kamu bersama jemaah Islam di dunia dahulu? Justeru menjaga keselamatan jemaah daripada diserang dari luar atau diselewengkan dari dalam adalah tanggungjawab bersama tidak kira pemimpin mahupun pengikut.

Jangan sampai jemaah ini hilang ciri-ciri Hizbullah dari sudut dasar, matlamat dan wasilahnya sebagaimana yang telah berlaku kepada beberapa jemaah Islam lain serata dunia.

Mempertahankan jemaah 

Wala' dengan erti kata sayang akan menyebabkan kita rasa mahu membela jemaah ini sekiranya dikecam dan diancam atas apa jua isu. Kita akan menjadi benteng utama mempertahankan jemaah ini sekiranya berhadapan dengan pihak luar cuba menjatuhkan jemaah.

Walaupun kita bukan seorang mujahid siber yang dilantik, tetapi wala' mendorong kita supaya membela jemaah apabila dituduh dengan perkara-perkara palsu di alam maya. Walaupun kita bukan anggota keselamatan, tetapi wala' mendorong kita untuk mengambil tindakan sewajarnya jika mana-mana anggota jemaah diancam musuh.

Menegur kesalahan 

Atas sikap mengambil berat terhadap perjalanan jemaah, seseorang yang berwala' tidak akan menunggu lama untuk terus mempersoalkan tindakan yang dilihat menyeleweng dari dasar, matlamat dan strategi jemaah. Jika benar penyelewengan telah berlaku, maka mereka tidak teragak-agak untuk menegur sehingga ia kembali diperbetulkan.

Dalam bab menegur, perlu diingatkan agar teguran di dalam Islam ada cara yang tersendiri mengikut perkara yang ditegur, orang yang ditegur dan situasi teguran. Perlu menggunakan saluran dan peringkat yang sesuai agar ia tidak memberi impak negatif terhadap jemaah.

Menegur tidak sekali-kali bererti membenci, jauh sekali untuk tidak berwala', sebaliknya mengharapkan yang terbaik di samping bimbangkan perkara buruk daripada menimpa jemaah tercinta. Teguran adalah lambang kasih-sayang.

Lihat bagaimana Saidina Umar mendorong umat Islam untuk sentiasa menegurnya, sehingga apabila Saidina Umar meminta dirinya diperbetulkan sekiranya berbuat silap, maka bangkit seorang lelaki berkata sekiranya Umar berbuat kesalahan, beliau akan menegur dengan pedang! Dan Saidina Umar langsung tidak marah bahkan menyatakan kesyukuran!

InsyaAllah manifestasi wala' akan disambung menerusi perbahasan rukun baiah pada siri akan datang. Selepas itu pergi kepada perbahasan penyakit wala', dan ditutup dengan perbahasan antonim wala'.

3 Safar 1440
12 Oktober 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 12/10/2018

 

HARI Sukan Negara (HSN) kali ke-4 bakal disambut pada 13 Oktober tahun 2018 dengan tema "Jom Turun Padang" harus disambut baik oleh rakyat dengan semangat kesukanan dan muhibbah yang tinggi. DACS Malaysia berharap dengan adanya program sebegini, ia akan merancakkan lagi aktiviti bersukan, beriadah dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, baik bagi mereka yang berusia muda mahu pun tua.

DACS Malaysia berpendapat perpaduan dalam kalangan rakyat harus terus dipupuk tanpa mengira perbezaan keturunan, bangsa dan had umur menerusi sukan dan riadah. Bagi mewujudkan sebuah negara yang mengeluarkan hasil produktiviti yang tinggi, amalan hidup sihat mesti diamalkan oleh setiap rakyat. Keadaan tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas akan memandu pencapaian ekonomi negara menerusi amalan kerja yang produktif.

Teladan Baginda Rasulullah (S.A.W) dalam bidang sukan dan riadah harus dijadikan contoh. Baginda Rasulullah (S.A.W) pernah dicabar bergusti dengan seorang lelaki Yahudi dan akhirnya Baginda Rasulullah (S.A.W) menang serta lelaki Yahudi itu menganut agama Islam kemudiannya. Malah Baginda Rasulullah (S.A.W) menggalakkan umat Islam untuk belajar memanah, berenang dan menunggang kuda. Natijahnya, sukan bukan sahaja menjadikan tubuh badan yang sihat, ia melatih kita untuk mempunyai kemahiran mental yang tinggi dan fokus dalam pekerjaan yang dilakukan selain menjauhi perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti melepak dan minum arak. Baginda Rasulullah (S.A.W) pernah bersabda mafhumnya:

"Mukmin yang kuat lebih disukai Allah dari mukmin yang lemah."

Banyak aktiviti menarik yang akan dianjurkan oleh DACS Malaysia melalui DACS Negeri-negeri seluruh negara sempena Hari Sukan Negara tahun ini seperti perlawanan bola sepak, aerobik Islamik, perlawanan futsal, hiking gunung, fun ride basikal, badminton dan lain-lain lagi. DACS Malaysia berharap rakyat dari segenap lapisan akan dapat menyertai pelbagai program yang diadakan dan menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi. Hal ini kerana perpaduan dalam kalangan rakyat mutakhir ini dilihat semakin rapuh lantaran tindakan, singgungan dan kecaman berunsur politik yang dimuntahkan oleh barisan ahli politik yang tidak matang dan rasional.

DACS Malaysia juga sebelum ini telah mengadakan banyak program yang mengajak rakyat khususnya belia mendekati aktiviti sukan dan kegiatan luar. Kewujudan Alternative Riding Club (ARC), Alternative Cycling Club (ACC), perlumbaan motorsikal di Litar Lumba Rakyat, Alternative Photography Club (APC), DACS Motorsport Club (DMC), Alternative Fishing Club (AFC), Alternative Horse Riding and Archery Club (AHRAC) dan pelbagai lagi aktivti luar anjuran DACS Malaysia harus dimanfaatkan oleh seluruh rakyat.

Akhir kalam, dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, ia dapat menghindarkan diri kita daripada penyakit, merapatkan jalinan ukhuwah antara ahli keluarga dan menghasilkan produktiviti kerja yang baik serta dapat melahirkan budaya kerja yang baik dan cemerlang. Sekali gus ia akan memupuk semangat perpaduan yang tinggi di kalangan rakyat.

"Jom Turun Padang"

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Malaysia.
Dewan Pemuda PAS Malaysia. - HARAKAHDAILY 12/10/2018

IMG 20181012 WA0021

SEMUA doktor setuju bahawa arak itu banyak mudarat berbanding manfaat. Tidak kira sama ada doktor tersebut itu Islam atau sebaliknya. Inilah hikmah Islam mengharamkan terus arak dan mengkategorikannya sebagai bahan yang boleh menghilangkan akal manusia.

Apabila peminum arak mabuk, segala pertimbangan waras akal akan melayang. Aksi dan percakapannya akan tidak releven hatta boleh dikira sebagai tidak valid jika memutuskan sesuatu perkara yang penting.

Pembahagian penyakit dalam dunia perubatan meletakkan peminum arak itu sebagai kategori salah-guna substans (substance abuse), sama kategori dengan penyalahgunaan dadah yang perlu dirawat. Terdapat bidang khusus dalam ilmu perubatan dikhaskan bagi merawat golongan ini. Kemahiran memberi kauseling dan memberikan rawatan sepatutnya perlu dilakukan oleh doktor yang pakar.

Alkohol atau arak, walaupun jumlah yang sedikit, ianya sudah tentu mempunyai kesan negatif kepada tubuh badan manusia. Begitu juga bahan yang terlarang lain seperti dadah, rokok, vape dan sebagainya, boleh merosakkan sel-sel badan manusia.

Amat membimbangkan jika pengambilan bahan terlarang itu dijadikan amalan dalam kehidupan, manusia akan menjadi ketagih (addiction) dan akhirnya berlaku ketergantungan (dependence).

Penyakit ketagih dan ketergantungan inilah yang menjadi masalah dalam kehidupan manusia. Kerajaan Malaysia menghabiskan RM4 bilion setahun untuk merawat ketagih rokok dan kesan penyakit dari merokok. Jika ditambah dengan substans lain lagi, kos ini akan meningkat lagi. Dari mana duit itu? Jika tidak dari semua rakyat yang membayar cukai?

Kenapa manusia mudah terjerumus dalam penyalahgunaan arak ini? Terdapat kajian yang menyatakan salah satu punca kepada manusia mudah terpengaruh untuk terus ketagih arak adalah kemudahcapaian bahan tersebut. Ia mungkin sama ada tiada penguatkuasaan ketat dari pihak berwajib atau terdapat galakan-galakan yang digemburkan.

Oleh itu, menganjurkan satu festival khusus untuk menggalakkan minum arak beramai-ramai juga salah satu faktor pendorong meminum secara berlebihan (binge drinker). Akhirnya kesan-kesan mudarat kesihatan boleh terjadi.

Saya percaya semua ahli perubatan bersetuju bahawa arak mempunyai mudarat yang banyak. Kita sepatutnya bersetuju untuk tidak mengadakan upacara meminum arak secara besar-besaran. Galakan meminum secara sosial ini akan beralih kepada meminum arak secara rutin. Kesannya bukan boleh mencelarukan mental, malah boleh menyebabkan rosak hubungan sosial dalam keluarga.

Bukti-bukti perubatan pun banyak menyenaraikan kesan buruk arak ini. Antaranya peminum arak akan bercakap tidak teratur butirannya, pening kepala dan mata berpinar-pinar, boleh terjadi muntah serta cirit disusuli dengan perut meragam.

Sesetengah keadaan peminum arak akan mengalami kesukaran bernafas, penglihatan kabur dan pendengaran terganggu sehingga menyebabkan badan huyung-hayang. Peringkat yang lebih teruk boleh menyebabkan koma dan mati.

Kisah kematian peminum arak yang diambil secara haram satu ketika dahulu boleh dijadikan iktibar. Keracunan arak jenis methanol ini boleh membawa maut seperti kejadian September lalu yang menyebabkan 37 kematian dan berpuluh orang keracunan.

Kesan mudarat jangka masa panjang pula, peminum arak boleh menyebabkan mengidap penyakit darah tinggi, angin ahmar (stroke), sakit jantung, sakit hati (hepatitis), masalah gastrik dan pelbagai lagi. Penyakit ini adalah hasil undangan arak yang diminum. Semua fakta ini sudah pun diketahui umum, namun nafsu lebih diutamakan bagi para peminum arak.

Adalah diharapkan fakta di atas tadi bukan semata-mata untuk dibaca tetapi wajib diambil pengajaran oleh kita semua agar menjauhkan diri dari meminum bahan terlarang tersebut. Itulah hikmah besar dalam Islam, arak dan bahan-bahan yang memabukkan diharamkan. Terdapat hukum syariah khusus dikenakan ke atas orang Islam jika sabit kesalahan meminum arak ini. Saya yakin dan percaya bahawa agama lain juga melarang penganutnya meminum arak. – HARAKAHDAILY 12/10/2018

TEGURAN Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) terhadap kerajaan Pakatan Harapan mengesahkan kerajaan PH sudah melampaui kuasa mereka dalam PRK Parlimen Port Dickson.

Antara kegiatan yang dianggap tidak sepatutnya ialah kehadiran dua menteri, jamuan makan malam percuma dan kehadiran isteri calon PH, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri.

Teguran ERC adalah teguran serius dan SPR perlu mengambil tindakan melalui laporan tersebut. Pelanggaran kuasa sudah nampak dilihat jelas di mana-mana. Ia bukan dinilaikan oleh jentera PAS atau calon bebas yang lain, tetapi oleh pihak SPR sendiri.

Dalam hal ini, SPR mesti menjelaskan mengapa tiada tindakan tegas yang dapat dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke hari ini. Teguran itu sepatutnya sudah menjadi sebab untuk calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan tidak layak bertanding kerana terlalu banyak pelanggaran kuasa secara terang-terangan.

Berbanding calon lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan raja di Port Dickson dengan pelbagai kemudahan diberikan termasuk dapat masuk ke kem-kem tentera, memberikan tazkirah di masjid-masjid, menteri mengumumkan projek dan berkempen untuknya, majlis makan malam untuknya dan lain-lain lagi.

Malah, Datuk Seri Anwar juga dapat mengumumkan janji dan sogokannya kepada pengundi PD. Tidak cukup dengan itu, kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut turun berkempen, seperti memberi isyarat ugutan agar pengundi PD mengundi Datuk Seri Anwar.

Umum melihat Datuk Seri Anwar dan jenteranya yang disokong kerajaan berkempen secara berat sebelah siang dan malam. Tanpa segan dan rasa malu, mereka melanggar secara nyata garis panduan Bersih 2.0 dan juga SPR. Bersih 2.0 telah lebih awal menegur PH dalam tigas siri kempen PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong namun pelanggaran kali ini lebih jelas dan terang.

Sepatutnya apabila sudah tiga kali ditegur masih berdegil melakukan kesalahan, ia bukan kesilapan, tetapi adalah suatu kesengajaan. Kesengajaan mereka seperti mencabar undang-undang sedia ada, dan merasakan mereka tidak boleh digugat oleh mana-mana undang-undnag negara.

Kempen secara agresif oleh jentera PH terhadap Datuk Seri Anwar menunjukkan kajian Insittut Darul Ehsan (IDE) tidak diyakini. Walaupun menurut kajian IDE Anwar dijangka menang mudah dengan majoriti besar lebih daripada 75%, tetapi melalui pengamatan ramai melalui kempen PH, Anwar seperti dalam keadaan tertekan dan terdesak. Jika tidak mustahil PH tidak akan mematuhi garis panduan SPR sehingga ERC, Bersih 2.0 dan SPR terpaksa menegur mereka berkali-kali.

Malah, jika kajian IDE diambil kira, Anwar sudah berehat dan kempen secara santai kerana ternyata pesaingnya di PRK PD tidak hebat sepertinya.

Pengundi PD boleh mengambil iktibar dari kesombongan kerajaan PH mematuhi peraturan negara, termasuk kempen bersih dalam PRK. Jika PH terus diberi mandat dengan kemenangan besar, tiada siapa mampu menegur dan menasihati mereka.

Justeru pengundi PD hanya mempunyai satu pilihan iaitu dengan menolak calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengundi calon PAS. Jika pembangkang mempunyai suara di Parlimen, walaupun tidak memiliki majoriti, namun ia mamdai agar dapat memberi semak dan imbang kerajaan.

Paling tidak, pengundi mampu mengurangkan majoriti kemenangan Datuk Seri Anwar sebagaimana yang dibuat oleh pengundi di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia. Ia adalah mesej jelas bahawa rakyat sudah muak dengan politik hipokrit, meneruskan legasi kezaliman dan menindas rakyat serta menyalahgunakan kuasa dan kedudukan demi kepentingan sendiri. – HARAKAHDAILY 12/10/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

BUAT maksiat itu mungkar. Tapi maksiat yang dijadikan pesta besar-besaran adalah kemungkaran yang paling besar. Sengaja nak mengundang bala Allah.

Tahap pelaku maksiat ada 3:

1.     Buat maksiat dan rasa bersalah. Tandanya dalam hati masih ada iman.

2.     Buat maksiat dan tak rasa apa-apa. Ini tahap bahaya.

3.     Buat maksiat dan bangga dengan maksiat.

Arak telah diharamkan oleh Allah lebih 1400 tahun dulu lagi. Ia dipanggil ibu maksiat. Kenapa ibu dan bukan ayah maksiat? Sebab ibu melahirkan anak. Kerana arak akan keluar anak-anak maksiat yang lain. Zina, mengganggu ketenteraman awam, bergaduh dan macam-macam lagi. Juga akan disusuli dengan bahaya kepada orang lain. Lepas kedarah arak, bawa kereta. Hasilnya orang yang tak bersalah jadi korban di jalan raya.

Dalam Bahasa Arab dipanggil khamar. Khamar bermakna yang menutup. Dengan makna bila minum arak, minuman ini akan menutup kewarasan akal manusia. Jadilah ketika itu manusia tak berakal. Sedangkan nilai kita manusia ialah pada akal.

Nak banding tenaga, gajah jauh lebih kuat. Nak banding berani, singa jauh lebih berani. Nak banding ketahanan, unta jauh lebih tahan. Nak banding penglihatan, penglihatan burung helang jauh lebih tajam. Kenapa akal nilai tertinggi manusia anugerah Allah kita nak tutup supaya jadi tak waras?

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu - HARAKAHDAILY 12/10/2018

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah menggesa Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mukriz Mahathir mengambil pendirian tegas ke atas penganjuran pesta arak Oktoberfest dan memohon kerajaan PH menolak sebarang permohonan sekiranya pesta ini ingin diadakan di Kedah agar tidak mengundang kemurkaan tuhan.

Kami bertegas untuk menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk penganjuran pesta arak yang bertentangan dengan nilai budaya rakyat Kedah.

Kami menegaskan pesta seumpama itu adalah suatu budaya yang asing kepada rakyat negeri Kedah. Ia adalah gejala negatif yang bakal menjerumuskan rakyat ke dalam sindrom ketagihan arak. Rakyat Kedah hendaklah dilindungi dari kerosakan besar berpunca dari arak. Negeri Kedah yang dikenali sebagai negeri yang mempunyai nilai-nilai agama dan kesejahteraan sejak dahulu lagi.

Kami sebagai rakyat Kedah memandang serius pesta arak yang sedang dan akan berlangsung ini, Ia merupakan amalan yang dicedok dari budaya barat yang berasal dari Jerman sewaktu meraikan perkahwinan diraja mereka.

Dewan Pemuda Kedah juga menggesa agar Kerajaan Negeri Kedah menyediakan garis panduan penjualan dan penggunaan alkohol dan arak diperketatkan di peringkat PBT dan semakan semula terhadap peruntukan undang-undang sedia ada. Juga perlu dibanyakkan kempen kesedaran bahaya arak dan dipergiatkan kepada segenap lapis masyarakat dengan mengambil iktibar kejadian kematian disebabkan keracunan arak baru-baru ini yang telah membunuh manusia dengan mencatat 40 kes. Perkara ini telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) melalui Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa angka kematian di seluruh negara akibat keracunan arak sehingga 29 September meningkat kepada 40 orang.

Sabda RasululLah SAW bermaksud: "Arak itu adalah sumber segala kejahatan". Hak non-Muslim untuk minum arak tidak dihalang oleh Islam namun menjadikannya sebagai suatu pesta dan menawarkan secara terbuka adalah suatu ancaman kepada umat Islam dan membahayakan masa depan rakyat di negeri ini.

Menjadi harapan besar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah agar Kerajaan Negeri Kedah segera mengambil langkah menghalang sebarang penganjuran pesta arak Oktoberfest tersebut di negeri Jelapang Padi yang tercinta ini.

YB USTAZ MOHD SALIM MAHMOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
Adun Bukit Lada – HARAKAHDAILY 12/10/2018

More Articles ...