TERSEBAR info mengenai satu program khusus untuk meraikan artis dari Thailand termasuk artis gay yang disebarkan melalui program "KISSING KRIST & SIGNTO 1st Fan Meeting". Dinyatakan dalam info tersebut bahawa program berkenaan dijangka akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2018 bertempat di National Museum Auditorium Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Muzium Malaysia telah menafikan program tersebut. Ketegasan yang telah ditunjukkan oleh Jabatan Muzium Malaysia dalam hal ini perlu dipuji dan seharusnya dicontohi oleh semua pihak sama ada peringkat kerajaan dan juga masyarakat umum agar menyatakan pendirian jelas dalam berhadapan dengan gerakan songsang supaya ia tidak dapat berkembang dan bertapak di negara ini.

Sekiranya program sebegini disokong oleh mana-mana pihak, maka amat malanglah bagi negara Malaysia apatah lagi Malaysia merupakan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Ia berikutan program tersebut jelas bertentangan dengan prinsip agama dan nilai budaya masyarakat di negara ini. Sama ada program ini tertutup atau terbuka, sekiranya dilaksanakan ia pasti mencalar dan merobek maruah negara dengan kelakuan yang terkutuk.

Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang. Sudah tentu ada pihak yang berurusan menjemput artis tersebut kerana tular melalui video pendek artis dari Thailand tersebut akan tiba bertemu peminat pada 20 Oktober 2018 terdekat ini. Gerakan songsang ini mula miliki kekuatan sehingga berani muncul dengan lebih terbuka terutama pasca PRU-14 dengan pelbagai isu yang menjadi polemik berterusan. Inilah bahana apabila kuasa politik yang dimiliki tidak mampu menjadi sebenar-benar pelindung kepada agama. Ingatlah pesanan Imam al-Ghazali mengenai peranan kuasa politik iaitu:

الملك والدين توأمان فالدين أصل والسلطان حارس، وما لا أصل له فمهدوم وما لا حارس له فضائع

“Pemerintahan dan agama adalah dua perkara yang berkembar. Agama adalah asas dan pemerintahan adalah pengawalnya. Sesuatu yang tiada asas maka akan hancur dan sesuatu yang tiada pengawal maka akan lenyap.”

Menjadi kewajipan ke atas pemerintah dan ummah untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Jangan kerana telah didoktrin dengan racun Liberalisme, maka wujudnya tanggapan bahawa adanya dosa dan mungkar peribadi yang mesti diraikan sekalipun ia adalah hubungan songsang yang jelas kemungkarannya. Jika perkara ini tidak dibanteras dengan serius, kita bimbang malapetaka dan bala Allah S.W.T akan turun bertalu-talu kerana pengabaian kita terhadap tanggungjawab amar makruf nahi mungkar.

Sayyidina Huzaifah al-Yaman meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasullah S.A.W ada bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ، أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ، ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلا يَسْتَجِيبُ لَكُمْ

"(Maksudnya) Dan demi jiwaku di bawah kekuasaan-Nya, sama ada kamu melakukan suruhan perkara makruf dan mencegah kemungkaran atau Allah akan mengutuskan azab dari-Nya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa pada-Nya namun Dia tidak perkenankan.”

[Riwayat al-Tirmizi]

Seluruh rakyat mesti bangkit bagi memberikan tekanan kepada mana-mana penganjur yang berani melakukan program yang tidak bertamadun dan mempromosikan kemungkaran secara terbuka. Kekuatan yang muncul daripada kesatuan ummah pasti mampu menggerunkan gerakan songsang tersebut yang dilihat semakin berleluasa dan bermaharajalela pada hari ini.

Lantaran itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada Jabatan Muzium Malaysia yang telah mengeluarkan kenyataan media berhubung ketegasan pihaknya daripada berkompromi dalam mana-mana isu yang melanggar nilai dan norma masyarakat serta telah menafikan program songsang tersebut yang bakal diadakan di National Museum Auditorium Kuala Lumpur sebagaimana yang tular di media sosial.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

6 Safar 1440 / 15 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 15/10/2018

 

MESYUARAT penyelarasan bantuan Musim Sejuk Syria lepas, Muhaimin Muhamed menyatakan kita akan ke Hatay, salah satu daerah di sempadan negeri Antakya, TurkI.

Mengikut maklumat yang kita perolehi dari rakan NGO di sana, Hatay adalah daerah paling hampir dengan sempadan Turki-Syria dan pelarian Syria paling ramai mengungsi di sana. Sebagai pengarah misi bantuan, beliau menganggarkan RM300,000 perlu dikutip bagi membantu pelarian Syria yang akan menghadapi musim sejuk pada tahun ini.

Musim sejuk di Negara Mediterranean tersebut akan bermula Disember dan berakhir sehingga Mac setiap tahun. Di sinilah mereka akan mengalami kesejukan melampau dan terdapat di antara mereka yang meninggal dunia setiap tahun akibat daripada tidak tahan suhu sejuk.

Justeru setiap kali rombongan kita ke sana, mereka tertunggu-tunggu selimut tebal, alat pemanas bilik dan bekalan makanan. Bantuan yang kita berikan setiap tahun sejak 2013 lagi sebenarnya jauh daripada mencukupi. Liputan sumbangan hanya sebahagian kecil sahaja dari jumlah pelarian yang berjuta-juta itu. Namun itulah kemampuan kita setakat ini demi membantu sahabat seakidah kita di sana.

UNHCR menganggarkan 1.5 juta daripada 3.4 juta keseluruhan pelarian pelarian Syria berada di Hatay, Gaziantep, Kilis, Şanlıurfa dan Mardin. Semuanya adalah daerah sempadan Turki-Syria. Kota Istanbul sendiri, sebuah kota sejarah yang padat seramai 14.6 juta penduduk, juga turut didiami oleh pelarian dari Syria seramai 537,829 orang sejak tujuh tahun krisis perang berlaku di Syria.

Mereka akan berada di negara sempadan secara berselerak, walaupun pihak berwajib seperti UNHCR membina khemah-khemah penginapan. Terkini 227,947 pelarian Syria menghuni khemah-khemah yang disediakan oleh pihak berwajib Turki seperti Disaster and Emergency Management Authority (AFAD). Selebihnya mereka menghuni di rumah-rumah buatan sendiri dan ada terdapat di antara mereka menjadi anak angkat penduduk setempat.

Keadaan ini akan lebih memilukan apabila tiba musim sejuk. Bahkan penduduk setempat juga tidak tahan dengan paras kesejukan yang melampau. Persiapan menghadapi musim sejuk ini penting bagi penduduk tempatan apatah lagi para pelarian Syria yang serba kekurangan.

Rombongan kita yang dijadualkan tiba di Hatay pada 20 Oktober ini akan terus menyampaikan dana sumbangan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Dana #WinterAidSyria ini telah pun kita lancarkan sejak awal Ogos lepas.

Dana ini masih memerlukan santunan dan layanan daripada semua pihak bagi membantu mereka. Kepada rakan-rakan yang ingin terus menyumbang sama, berkongsi pahala bolehlah transfer ke akaun: 
Maybank Islamic: Iman Care Consultant
No: 563064143672
Label: WinterAidSyria - HARAKAHDAILY 15/10/2018

EDISI khas buat amilin PAS PRK Port Dickson. Dalam ribuan komen selepas PRK Port Dickson saya tertarik dengan satu komen tetapi di wall seorang sahabat saya, tulisnya:

"Selagi pembawaan Islam itu cara PAS, Islam itu tidak akan menang selamanya, jangan mimpilah."

Dia tak bagi tahu pula cara mana, cara BN ke, cara PH ke, cara Jamaah Tabligh ke atau apa caranya sebagai contoh untuk kita ikuti supaya Islam itu cepat menang. Dia hanya mengatakan Islam itu tidak menang kerana PAS kalah, walaupun dia agak kontra namun mungkin juga dalam pemikirannya hanya PAS bawa Islam sebab itu dia anggap Islam itu kalah bila kalahnya PAS.

Dia pun tak kata Islam menang bila PH menang. Mungkin juga dia anggap PH itu bukan parti yang perjuangkan Islam sebab itu dia tetap kata Islam kalah walaupun PH menang dan dia pun tidak pula isytiharkan bahawa kemenangan PH di Port Dickson adalah kemenangan Islam. Yang dikatanya Islam itu kalah kerana PAS kalah, mungkin juga dia anggap hanya PAS parti yang memperjuangkan Islam.

Mungkin juga dia hanya anggap kemenangan itu hanya kepada keputusan pilihan raya sahaja. Tapi bagi kami sebagai ahli PAS istilah kemenangan atau kekalahan bukan kerana keputusan pilihan raya semata-mata, tetapi sebagaimana firman Allah S.W.T:

لَكِنِ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا

بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ وَأُولَئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ وَأُولَئِكَ

هُمُ الْمُفْلِحُونَ (٨٨) أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ

تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٨٩)

"Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan; dan mereka itulah (pula) orang-orang yang beruntung. Allah telah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.”

(at-Taubah: 88-89)

Ahli PAS korbankan masa, tenaga dan hartanya sekadar mampu untuk bantu perjuangan PAS yang membawa cita-cita Islam. Muslimin atau muslimat, tua dan muda malahan yang miskin dan uzur bertongkat pun turut datang membantu demi memburu kemenangan yang dijanjikan Allah S.W.T.

Kami pergi dengan semangat perjuangan dan kami kembali dengan kegembiraan, siap buat majlis kesyukuran petugas PRK lagi. Mungkin dia rasa pelik dengan sikap amilin PAS, apa rahsianya ahli PAS sentiasa gembira, meskipun apa jua keputusan pilihan raya? Jawapannya 'sila baca Qur'an'.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur - HARAKAHDAILY 15/10/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) meminta Menteri Kewangan untuk membentangkan satu kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan Kerajaan Persekutuan sebelum pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November ini.

Kertas putih tersebut sangat penting untuk menyelaras kedudukan kewangan negara ekoran terdapat beberapa kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Menteri Kewangan dalam satu kenyataan kelmarin (13 Oktober) memberitahu kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional telah meninggalkan akaun wang tunai berjumlah RM450 juta pada 30 April 2018.

Beliau turut mendakwa akaun hasil disatukan telah susut mendadak sebanyak 96% daripada jumlah asal iaitu RM11.86 bilion pada akhir 2017.

Penyusutan perbelanjaan mendadak perlu diperincikan supaya rakyat mengetahui apakah objek perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018.

Sementara itu, Menteri Pertahanan juga telah membuat satu kenyataan mengenai hutang Kerajaan Persekutuan dalam satu program di Universiti Malaya kelmarin (Sabtu, 13 Oktober).

Beliau mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.

Kerajaan Persekutuan dikatakan telah menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece.

Kenyataan Menteri Pertahanan tersebut amat serius. Walhal, jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017.

Jawapan yang diberikan selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia.

Sekiranya, nilai sebenar hutang Kerajaan Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah palsu.

Oleh itu, bagi menangani kecelaruan ini, Menteri Kewangan mesti mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan-kenyataan pemimpin negara dimanipulasi.

Ia bukan perkara yang remeh sebaliknya boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.
6 Safar 1440 | 15 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 15/10/2018

KEPUTUSAN PRK Port Dickson disambut dengan penuh gembira oleh Pakatan Harapan, bersandarkan angka majoriti 23,560 yang lebih besar berbanding majoriti 17,710 dalam PRU14.

Dalam keadaan peratus keluar mengundi yang lebih rendah iaitu 58.2% berbanding 82.8% dalam PRU14, jumlah undi yang diperolehi PH jatuh 14% daripada 36,225 kepada 31,016 dalam PRK ini, manakala undi yang diterima oleh PAS meningkat 13% daripada 6,594 kepada 7,456.

Jurang majoriti besar ini berlaku kerana terdapat sejumlah besar daripada 18,515 pengundi BN dalam PRU14 tidak keluar mengundi dalam PRK kali ini, seterusnya memberi kelebihan kepada calon PH untuk menang di setiap saluran dan pusat pengundian.

Secara nisbahnya, PH mendapat 71% undi popular dalam PRK ini (PRU14: 59%), manakala PAS meraih 17% undi popular (PRU14: 11%) dan kesemua calon bebas memungut 12% undi popular, dalam keadaan BN yang berada di tempat kedua pada PRU14 yang lalu memperolehi 30% undi popular.

Sekiranya peratusan mengundi dalam PRK ini tidak terjejas dengan ‘kehilangan’ sejumlah pengundi yang agak signifikan dalam PRU14, mandat yang diperolehi oleh DSAI dalam PRK ini juga akan terjejas, dengan anggaran majoriti sekitar 19,000 dan 57% undi popular, malah berkemungkinan untuk kalah di beberapa pusat pengundian majoriti Melayu seperti di Linggi dan Bagan Pinang.

Ini kerana jurang majoriti kemenangan DSAI dalam PRK ini disumbangkan oleh sejumlah besar pengundi ‘bukan-PH’ yang tidak keluar mengundi dalam PRK kali ini, berbeza dengan PAS yang mendapat sedikit lonjakan daripada pengundi ‘bukan-PAS’ berbanding PRU yang lalu.

Justeru hakikat yang perlu diakui oleh PH adalah betapa mandat besar yang memihak kepada DSAI dalam PRK Port Dickson ini umpama bebuih ombak yang kelihatan banyak, tetapi tidak kukuh dan bersifat sementara.

Rakyat dan anak muda pastinya bijak menilai kegagalan PH dalam menunaikan janji manifesto, diikuti pula dengan cadangan cukai baru bagi menampung kelemahan SST, serta pelbagai insiden yang memburukkan imej parti pemerintah seperti pergaduhan sepanjang pemilihan PKR, perebutan pangkat di kalangan pemimpin PAN, lagak samseng wakil rakyat DAP, dan aksi ‘berani’ seorang Menteri PPBM berkongsi gambar tanpa berbaju di dalam media sosial.

Pemimpin PH yang masih lena dibuai ‘mimpi Putrajaya' seperti YB LKS perlu sedar bahawa sokongan rakyat terhadap PH sentiasa berubah setiap hari, umpama air laut di pantai Port Dickson yang ada pasang dan surutnya.

Terserah kepada pemimpin dan rakyat untuk memerhati dan menilainya.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
15 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 15/10/2018

PADA hari ini, Dewan Rakyat akan kembali bersidang untuk Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama Parlimen ke-14. Tahniah diucapkan kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bakal kembali ke Parlimen setelah memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang berlangsung baru-baru ini.

Kita akur dengan keputusan rakyat di Port Dickson dan berterima kasih kepada pengundi yang telah memberi undi yang kedua terbesar kepada PAS walaupun dalam keadaan berdepan lawan yang mempunyai nama yang lebih besar dan gah.

Walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan, pihak lawan sudah pun mendapat ruang untuk masuk berkempen ke dalam kem tentera. Ternyata, di Port Dickson, kalah adalah biasa untuk PAS, jika menang, itu luar biasa.

Bagi warga Port Dickson, kesungguhan dan komitmen petugas-petugas sukarelawan PAS yang berkempen di medan yang sukar ini adalah sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan orang biasa.

Bendera, bunting, poster calon PAS kelihatan sangat menyerlah di Port Dickson. Tahniah diucapkan kepada semua yang telah berkorban wang, material, tenaga, idea dan masa.

Siapa yang tidak teruja jika bakal wakil rakyatnya bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri? Yang tidak teruja barang kali yang bakal melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, kita mengharapkan dengan adanya Dato’ Seri Anwar di Parlimen, beliau akan mempertahankan janji manifesto PH yang dirangka oleh partinya dan komponen PH yang lain dan menunaikan janji sebelum PRU14.

Kita tidak mahu melihat Dato’ Seri Anwar mengulang kata-kata Perdana Menteri sekarang yang dengan mudah beralasan bahawa manifesto itu dibuat tanpa menjangkakan PH akan menang.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
15 Oktober 2018/ 6 Safar 1440 – HARAKAHDAILY 15/10/2018

TERLEBIH dahulu diucapkan tahniah kepada calon yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson 2018 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, saya mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRK Port Dickson 2018, Datuk Iskandar Abdul Samad dan timbalan, Ustaz Haji Idris Ahmad yang memandu Jentera Pilihan Raya kali ini; Pengarah Jawatankuasa Operasi PAS PRK Port Dickson 2018, Ustaz Haji Mustaffa Daharun, pimpinan dari Pusat, juga kepada semua petugas dari seluruh negara.

Terima kasih juga buat Jentera Pemuda PAS PRK Port Dickson 2018 yang diketuai oleh Ir. Haji Khairil Nizam Khairudin, dan semua Jentera Dewan Pemuda PAS yang datang dari seluruh Negeri Sembilan dan negeri-negeri bantu dari seluruh negara.

Penghargaan juga diucapkan buat semua pengamal media dari media cetak, media atas talian, stesen televisyen dan radio yang membuat liputan buat parti PAS dan calon kami, Lt. Kol. (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar dalam PRK kali ini.

Selain itu, sekalung penghargaan juga buat rakan kami dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang turut sama membantu dalam usaha memberikan kesedaran buat rakyat terhadap situasi semasa negara.

Tidak dilupakan, salam persahabatan buat Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia / All-Malaysian Indian Progressive Front (IPF) yang telah memberi mesej kesedaran dan kebersamaan dengan PAS bagi sama-sama memperkukuh parti-parti pembangkang di negeri ini. Moga akan bertambah persefahaman antara kedua-dua parti selepas ini.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada calon kita, Lt. Kol. (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar yang sedia menyahut seruan jemaah untuk menjadi calon bagi Parlimen Port Dickson ini.

Akhir sekali, kami mengucapkan terima kasih kepada 7,456 orang pengundi yang telah memilih PAS dalam PRK kali ini. Ianya merupakan signal yang membangkitkan motivasi buat kami semua untuk terus menyuburkan Islan di Parlimen Port Dickson ini.

Semoga gerak kerja kita sepanjang proses PRK kali ini mendapat perhatian, rahmat dan hidayah daripada Allah SWT.

“Terus Mara”
“Islam Memimpin”

KHAIRUL YAZMAN YAHYA
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan - HARAKAHDAILY 15/10/2018

More Articles ...