SUNGGUH geli hati pula melihat gelagat Anwar yang bagaikan cacing kepanasan pada musim cuaca panas terik ini.

Bersungguh dia menyerang PAS khususnya Tuan Guru Presiden.

Siap mengaitkan pula dengan jubah dan serban yang dipakai oleh Tuan Guru.

Dia menggambarkan seolah-olah Tuan Guru Presiden PAS hanya berperwatakan sahaja seperti orang alim tetapi berbohong, berpolitik matlamat menghalalkan cara, berkawan dengan pencuri duit rakyat.

Oleh kerana Anwar insan soleh yang tidak pernah berbohong, kita tanyakan soalan berikut kepadanya:

1) Mengapa Anwar begitu melenting sedangkan Tuan Guru Presiden PAS tidak ada sebut pun nama siapa yang terbabit dalam komplot "undi tidak percaya" terhadap PM Tun Mahathir?
Cepat betul terasa kepedasan cili ya.

2) Benarkah Anwar tidak pernah berbohong?
Rakyat tidak lupa dengan pidato berapi Anwar suatu ketika dahulu yang masih boleh ditonton di Youtube.

"Saudara, saya ulang.
Hari ini kalau pilihan raya kita menang, bagi saya 24 jam.
Bukan 20 hari, bukan 2 minggu.
24 jam, saya umum harga minyak turun serta-merta."

Kerajaan PH sudah berkuasa, di mana janji manismu ini?

3) Adakah Anwar tidak pernah mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara?

Sudah lupa ke alkisah Langkah Kajang yang kejang tu?

Bukankah pada awalnya Anwar bersungguh menafikan sebarang usaha untuk menurunkan Tan Sri Khalid daripada jawatan MB Selangor.

Tiba-tiba, Adun Kajang letak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Namun, hajatnya itu tidak kesampaian dek kerana disabitkan kesalahan oleh Mahkamah atas tuduhan Liwat 2.0.

Bukan ke dalam Alkisah Langkah Kajang itu, anak didik kesayangan Anwar iaitu Rafizi dan Saifuddin Nasution siap buat roadshow bersama Dokumen 91 mukasurat memfitnah Tan Sri Khalid.

Pada akhirnya, PKR sendiri yang memohon maaf atas kesilapan itu kepada Tan Sri Khalid di mahkamah yang turut dihadiri Anwar.

Kiranya Anwar pun terlibatlah dengan komplot memfitnah Tan Sri Khalid.

4) Hina sangatkah apabila Tuan Guru Presiden PAS berkawan dengan Najib?

Adakah ikatan Muslim seakidah, sebangsa Melayu perlu diputuskan sedangkan kes Najib belum pun diputuskan oleh mahkamah?

5) Wahai Anwar, di manakah bukti tuduhan fitnah RM90 juta yang diterima oleh PAS?

Oleh kerana Anwar tidak habis-habis lagi menjaja modal fitnah ini di dalam ceramahnya maka amatlah wajar SPRM memanggil Anwar kerana pastinya dia mempunyai berkotak-kotak bukti atas dakwaannya itu.

Seandainya Anwar tidak dapat jadi PM nanti, bolehlah dia dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana Anwar lebih hebat dalam hal ehwal penyiasatan, kan?

6) Adakah Anwar tidak pernah menyelesaikan saman di luar mahkamah?

Anwar berlagak baik kononnya dia tidak mahu saman Presiden PAS kerana pernah bersahabat baik dahulu.

Katanya lagi prinsipnya "membujur lalu, melintang patah".

Dia kata tidak mahu jadi seperti PAS yang menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

Fakta menunjukkan hakikatnya Anwar sendiri sudah banyak kali menyelesaikan kes di luar mahkamah.

a) 24 Mei 2012: Kes saman Anwar terhadap Dr Wee Ka Siong diselesaikan di luar mahkamah apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan terma penyelesaian adalah rahsia

b) 16 Januari 2013: Kes saman fitnah Anwar terhadap Khairy Jamaluddin diselesaikan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi penyelesaian di luar mahkamah.

c) 14 Ogos 2015: Anwar menjadi orang tengah bagi penyelesaian luar mahkamah dalam kes Tan Sri Khalid saman Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkenaan dokumen fitnah Langkah Kajang

Jadi, mengapa pula Anwar sibuk mahu mempertikaikan tindakan Tuan Guru Presiden PAS mengambil penyelesaian luar mahkamah dengan terma rahsia dalam kes saman Sarawak Report?

7) Soalan cepumas terakhir kepada Anwar ialah rakyat ingin tahu adakah dalam kes Liwat 1.0 dahulu, adakah ianya benar-benar fitnah atau Tun Dr Mahathir yang berbohong?

Oh, boleh pula ya Anwar berkawan dengan pembohong sekarang. - HARAKAHDAILY 26/2/2019

Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Parlimen PAS.

SAYA terpanggil untuk menjelaskan kenyataan yang mengelirukan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, tentang penyelesaian luar mahkamah kes melibatkan saman Presiden PAS terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari 2019.

Dengan merujuk kepada Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Master Brown, Perintah tersebut menyatakan seperti berikut:

(1) Pihak Yang Menuntut tidak meneruskan tuntutannya (The Claimant discontinues his claim);

(2) Pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balasnya (The Defendant discontinues her counterclaim);

(3) Tiada perintah mengenai kos-kos (There be no order as to costs).

Berdasarkan kepada Perintah Persetujuan di atas, maka selain daripada kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Dengan kata lain Pihak Yang Menuntut, YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, (dalam pliding mahkamah disebut sebagai ‘Mr. Awang’) tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada pihak defendan untuk penyelesaian kes ini di luar mahkamah.

Perlu dijelaskan juga bahawa PAS lagilah tidak membayar apa-apa bayaran di mana-mana peringkat kes ini kerana PAS bukanlah satu pihak dalam tindakan ini (PAS is not even a party to the suit).

PAS menganggap kenyataan Presiden PKR tersebut adalah langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat dari isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti dalam Pakatan Harapan terhadap Pengerusi mereka, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Dato’ Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 26 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 26/2/2019

MERESPONS isu penghinaan terhadap Islam dan simbolnya yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini, sememangnya amat wajar umat Islam berasa kesal dengan tindakan provokatif pihak tertentu yang dilihat seperti sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam melalui perkataan, perbuatan dan tulisan yang menyucuk sensitiviti.

Apabila umat Islam bangkit bersuara untuk menyatakan pendirian dalam isu berkaitan Islam dan hak bangsa Melayu, tidak patut dikatakan bahawa tindakan tersebut sebagai rasis yang mempergunakan sentimen agama dan perkauman untuk motif politik.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang Sekular sepenuhnya. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 3 Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Perkara 153 meletakkan jaminan untuk hak Bumiputera.

Dalam perbahasan mengenai status Malaysia adakah ia negara Islam atau Sekular, pertikaikan timbul antara golongan Islamis dan golongan Sekular sekitar definisi negara Islam dan negara Sekular serta tafsiran Perkara 3. Pokok pangkalnya bergantung kepada ideologi pihak yang memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Sentimen mempertahankan kedaulatan Islam dan hak Bumiputera boleh dibangkitkan dalam ruang lingkup Perkara 3 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini bukanlah sikap ekstrimis agama atau rasis justeru pihak yang mempersoalkan tindakan inilah yang sebenarnya tidak memahami hak rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam soal pengembangan agama lain kepada orang Islam, Perkara 11 Kurungan 4 memperuntukkan Undang-undang Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dan Undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam.

Dapat difahami di sini bahawa orang Islam bebas dan berhak untuk mengembangkan Islam kepada sesiapa pun yang menjadi rakyat Malaysia tanpa mengira agama manakala agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

Oleh yang demikian usaha yang dilakukan oleh pertubuhan dakwah ataupun individu yang menyampaikan Islam dengan mengambil method perbandingan agama melalui pendekatan dialog intelektual mesti dipertahankan. Sepatutnya tidak timbul kegusaran di kalangan rakyat Malaysia kerana hak berdakwah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Metodologi perbandingan agama secara rasional dan sihat dapat mendekatkan seorang pencari kebenaran kepada jalan kebenaran. Al-Quran mempertahankan hak ini melalui Firman Allah S.W.T:

قُلۡ هَاتُوا۟ بُرۡهَـٰنَكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang yang benar"."

(al-Baqarah: 111)

Perbahasan perbandingan agama tidak semestinya berakhir dengan keganasan atau mencela agama lain tetapi dapat juga ditonjolkan aspek keharmonian.

Sekadar mengambil contoh, sekiranya Islam tidak datang kepada manusia, kewarasan akal lebih mudah menerima logik Yahudi yang memalitkan pelbagai tuduhan rambang kepada Nabi Isa A.S (penganut Kristian memanggil Jesus) yang dilahirkan tanpa bapa. Apa lagi yang boleh dikatakan kepada seorang wanita pria yang mengandung tanpa bersuami?

Namun begitu Nabi Islam yang diakhiri Nabi Muhammad S.A.W yang telah memuliakan dan membela kesucian maruah Sayyidah Maryam A.S dan Nabi Isa A.S, sehingga ada nama surah yang merujuk nama keluarga Sayyidah Maryam A.S (surah Aali 'Imran) dan surah Maryam:

وَإِذۡ قَالَ ٱللَّهُ یَـٰعِیسَى ٱبۡنَ مَرۡیَمَ ءَأَنتَ قُلۡتَ لِلنَّاسِ ٱتَّخِذُونِی وَأُمِّیَ إِلَـٰهَیۡنِ مِن دُونِ ٱللَّهِۖ قَالَ سُبۡحَـٰنَكَ مَا یَكُونُ لِیۤ أَنۡ أَقُولَ مَا لَیۡسَ لِی بِحَقٍّۚ إِن كُنتُ قُلۡتُهُۥ فَقَدۡ عَلِمۡتَهُۥۚ تَعۡلَمُ مَا فِی نَفۡسِی وَلَاۤ أَعۡلَمُ مَا فِی نَفۡسِكَۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلۡغُیُوبِ (١١٦) مَا قُلۡتُ لَهُمۡ إِلَّا مَاۤ أَمَرۡتَنِی بِهِۦۤ أَنِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ رَبِّی وَرَبَّكُمۡۚ وَكُنتُ عَلَیۡهِمۡ شَهِیدࣰا مَّا دُمۡتُ فِیهِمۡۖ فَلَمَّا تَوَفَّیۡتَنِی كُنتَ أَنتَ ٱلرَّقِیبَ عَلَیۡهِمۡۚ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ شَهِیدٌ (١١٧)

 "Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ' " Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri-Mu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. (116) Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu. (117)" 

(Al-Mā'idah: 116-117)

Wahai penganut Kristian, tidak ada seorang Muslim pun yang memandang Jesus seperti pandangan orang Yahudi, kerana Jesus kamu pada pandangan orang Islam ialah seorang Nabi dan Rasulullah, seperti Nabi dan Rasulullah yang lain yang disebut dalam Torah, bukanlah anak tuhan seperti dakwaan gereja ataupun anak yang lahir daripada hubungan luar ikatan perkahwinan yang sah, seperti yang dituduh oleh mereka.

Wahai penganut Kristian, jangan dicaci Nabi Muhammad S.A.W bahkan sebaliknya berterima kasihlah kepada Nabi Muhammad S.A.W yang menyampaikan Islam kepada manusia, kerana tanpa Islam mungkin nasib penganut Kristian akan lebih buruk.

MUHAMMAD RIF'AAT RAZMAN 
Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah
Kampung Luat, Lenggong. - HARAKAHDAILY 26/2/2019

POLITIK tanah air masih bermain dengan emosi yang diselubungi naratif perkauman dan permusuhan kepuakan, serta komplot untuk saling menjatuhkan hingga menyebabkan rasa muak rakyat. Usaha memacu negara menuju Wawasan 2020 cetusan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak memimpin selaku Perdana Menteri Keempat dahulu dilihat bakal 'tertunda' lagi.

Di era beliau selaku peneraju ketujuh negara ini, desas-desus untuk beliau segera berundur dan digantikan semakin galak direaksikan. Sekali gus, proses demokrasi terus dipertaruhkan ke medan spekulasi dan risiko yang tentunya mengundang rasa resah dan risau rakyat. Ia gara-gara ahli politik yang gelojoh dan tidak menghargai nilai mandat dipercayakan rakyat.

Sehubungan itu, sampai masanya Tun Dr Mahathir berhijrah ke pendekatan dan model yang meyakin serta menyelesaikan. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) digagaskan PAS menjadi penawar tersedia untuk merawat racun dalam politik negara ketika ini. Ia jelas meletakkan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara sebagai agenda utama.

Paling penting, BPMS berpaksikan kepada Islam yang merupakan dasar terutama dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini dapat diperteguhkan lagi menerusi dukungan konsep Kerajaan Teknokrat yang sangat menekankan aspek kompetensi dan integriti. Pemimpin politik masa kini menuntut batang tubuh yang mampu memikul masa depan lebih mencabar.

Malangnya, isu seperti kelulusan palsu dan kegagalan berfungsi di jawatan Kabinet telah mengecewakan banyak pihak dan merencatkan reformasi serta harapan dari gelombang perubahan dizahirkan rakyat pada PRU14 lalu. Ia boleh diakui sebagai keperluan mendesak agar Malaysia Baharu tidak terus dibayangi slogan indah lagi retorik setelah pula banyak janji kepada rakyat dan negara tidak tertunai.

Solusi tersebut juga telah bersiap sedia di dalam PAS yang dapat disaksikan pada Ahli-ahli Parlimennya dengan latar belakang berkemampuan dan berkemahiran tersendiri. Uniknya, mereka ini dibantu pasukan teknokrat di belakang tabir yang aktif menjadi 'penasihat' banyak perkara termasuk berkaitan hal ehwal polisi dan pentadbiran negara.

Namun, seandainya gagasan dan konsep ini masih tidak menjadi ramuan yang selesa dan perlu dimanfaatkan, kami tetap menghormati Tun untuk mempertahankan kepimpinan beliau selagi kepentingan agama, bangsa dan negara terjamin. Sebarang usaha menukar mandat ini mestilah berlaku mengikut saluran PRU yang tentu sekali wajar diadakan mengikut tempoh matangnya.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 25/2/2019

SAYA dikirim ucapan DSAI (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), katanya 'Hadi' mahu berkawan dengan pencuri.

Seingat saya, Tuan Guru tidak pernah berkata mahu berkawan dengan pencuri. Apa yang Tuan Guru sebut, segerakan siasatan, kemudian dakwa dan sabitkan hukuman dengan cukup bukti.

syahir2Malah Tuan Guru sering menyebut pesanan Nabi, bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi.

Yang dizalimi, bantu agar tidak terus dizalimi. Yang zalim, bantu agar tidak terus menzalimi.

Teringat saya ketika DSAI dituduh sebagai perasuah dan pelaku amalan songsang, seluruh negara mula berasa sangsi.

Namun insan yang dipanggil 'Hadi' inilah yang bangun mempertahankan maruah saudaranya yang dizalimi, walaupun disabitkan hukuman dengan cukup bukti.

Bahkan Tuan Guru menulis buku khusus tentang qazaf (hukuman terhadap tuduhan zina atau liwat) bagi mempertahankan saudaranya dari tuduhan jahat itu.

Ahli PAS juga tidak percaya tuduhan DSAI terlibat amalan songsang. – HARAKAHDAILY 26/2/2019

KERJASAMA PAS dan Umno yang hari ini kita saksikan di PRK Semenyih dan sebelumnya di PRK Cameron Highlands bukanlah sesuatu yang dibuat-buat atau dilakon-lakonkan.

Ia sesuatu yang "real" yang telah berjaya merobohkan tembok permusuhan yang tebal yang telah memisahkan orang-orang Melayu lebih 6 dekad. Sengketa dan perbezaan politik ini telah memisahkan orang-orang Melayu dan kerjasama ini menemukan kembali dua anak kembar yang berpisah sekian lama (meminjam kata-kata Dato' Seri Utama Mohamad Hasan).

Semalam dalam satu majlis ceramah di Taman Tasik Semenyih, Setiausaha Umno Selangor yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Dato’ Johan Abd Aziz dengan jiwa yang besar bersempena kerjasama yang bersejarah ini telah memohon maaf secara terbuka kepada semua ahli dan pimpinan PAS atas segala perselisihan faham dan perbalahan yang tercetus antara kedua parti Melayu Islam terbesar dalam negara selama ini.

Saya yakin tindakan Dato’ Johan ini mencerminkan kesungguhan bukan hanya pada pihak Umno tetapi malah PAS juga untuk melihat kedua-dua parti melupa dan meninggalkan luka-luka lama sebaliknya atas nama kesatuan ummah bersatu dan melangkah gagah bersama demi membela nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Mendakapi suasana politik dalam negara yang sungguh panas dan mencabar dewasa ini kedua PAS dan Umno perlu insaf dan serius memacu kerjasama ini.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-'Anfāl: 61)

Nasib dan masa depan politik umat Melayu Islam kini terancam dengan melonjak naiknya PH yang diterajui DAP.

Siapakah yang mampu bangkit membela jika tidak PAS dan Umno? Sedarlah kita bahawa ikhtiar kerjasama antara pimpinan kedua parti ini sesungguhnya digerakkan oleh Allah SWT apabila semua pihak akur bahawa titik penyatuan kita adalah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Benarlah Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Al-'Anfāl: 63)

Hargai dan tatanglah penuh cermat hubungan keramat ini. Pupuk dan belai ia hingga menjadi kuasa yang bertenaga.

Moga Allah SWT anugerahkan kemenangan kepada kita hasil kesungguhan semua kita. – HARAKAHDAILY 25/2/2019

DEWAN Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sabah melahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa orang pengguna yang menjadikan media sosial untuk menghina dan merendahkan agama lain. Ini saya kaitkan dengan beberapa pengguna media sosial yang menghina Islam dan menghina Nabi Muhammad.

Sebagai seorang yang beragama Kristian, saya merasakan ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk, pelbagai agama dan suku kaum, perkara seumpama ini boleh menjejaskan keamanan.

Nenek moyang kita sudah memulakan kehidupan yang aman dan tenteram. Mereka sudah berjaya mewujudkan kesepaduan dalam kehidupan kita. Janganlah kerana adanya teknologi yang sangat mudah digunakan ini menjadikan kehidupan kita tidak tenteram.

Saya berpesan kepada semua, tidak kira agama atau bangsa dan kepercayaan, gunakanlah akal yang matang sebelum membuat sebarang 'posting' di media sosial. Jangan dengan sesuka hati mencabar dan menghina agama dan bangsa lain.

Ada baiknya masyarakat lebih utamakan penulisan yang bersifat mendidik atau apa-apa yang berkaitan dengan keperluan masyarakat. Penulisan seumpama itu adalah lebih bermanfaat dan berguna untuk kesejahteraan semua.

SATAIL MAJUNGKAT
Pengerusi
Dewan Himpunan Penyokong PAS Sabah - HARAKAHDAILY 25/2/2019

More Articles ...